12 Julai 2012

Prestasi merosot: Pafa beri amaran

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

GAGAL mempertahankan kedudukan ketiga Liga Super 2012, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) memberi amaran keras kepada pemain Seladang supaya menebus rentetan tiga kekalahan berturut-turut dengan wajib menang ke atas Kuala Lumpur pada 14 Julai ini, seandainya enggan digugurkan dalam senarai pemain dalam saingan Piala Malaysia.

Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perlawanan penutup tirai itu tidak seharusnya menjadi igauan buruk yang sama untuk pemain dan penyokong kerana pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggantikan pemain sedia ada dengan pemain daripada Piala Presiden.

"Jika kekalahan masih membelenggu skuad Seladang, saya akan mengarahkan pengurusan supaya mengambil pemain Piala Presiden yang muda dan lebih bersemangat juang berbanding mereka.

"Saya amat kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan kerana apa yang telah kami disumbangkan selama ini amat tidak berbaloi kepada pihak pengurusan Pafa," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Malah katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir turut meluahkan rasa sama mengenai kejatuhan skuad Perak secara mendadak meskipun sebelumnya berjaya memenangi empat perlawanan berturut-turut.

"Saya tidak tahu mengapa mereka begitu mudah hilang momentum dalam sekelip mata atau sememangnya mereka sudah hilang selera untuk menang terutama selepas dibelasah Kelantan, 6-0 pada Sabtu lalu.

"Pemain mudah leka terutama di minit terakhir separuh masa pertama dan sebelum tamat perlawanan yang akhirnya memberi peluang kepada lawan untuk membolosi pertahanan dengan mudah," katanya.

Kelmarin, Perak diaibkan di laman sendiri, 1-2 apabila Kedah memastikan tiga mata dibawa pulang menerusi menerusi kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-44 dan Khyril Muhymeen pada minit ke-90 perlawanan.

Manakala gol tuan rumah dijaringkan pemain import, Albert Bodjongo pada minit ke-37.

Sinar Harian

Tiada ulasan: