25 Julai 2012

Rasional OKU bangkit, minta perhatian serius

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Muhammad Adam Lee bin Abdullah
547 G, Blok 2,
Flat Sri Pahang,
Jalan Bukit Bangsar,
59000 Kuala Lumpur.

Datuk Seri Presiden
Parti Islam Semalaysia (PAS),
No. 318-A, Jalan Raja Laut,
50350, Kuala Lumpur. 25 Julai, 2012 = 5 Ramadhan, 1433

Datuk Seri (Al-Fadhil Tuan Guru),

RASIONAL OKU BANGKIT --- MINTA PERHATIAN SERIUS

Saya (seperti nama dan alamat tertera) dengan penuh hormat dan takzim ingin sekali memulakan perutusan ini dengan ucapan "selamat berpuasa" dan "salam Ramadhan Al-mubarak" buat Datuk Seri, seluruh jemaah kepimpinan dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat (PR) dan sekalian Muslim Mu'min, khasnya warga Malaysia tercinta ini. Saya adalah seorang OKU penglihatan.


2. Tujuan perutusan warkah ini, tak lain, ialah untuk turut serta bersama sekalian ramai ahli komuniti yang, maaf, dengan izin, turut terpinggir dan "TERTINDAS" dik arus pembangunan yang semakin lari daripada unsur-unsur keagamaan, atau setidak-tidaknya, keadilan bersama, mengucapkan sekalung tahniah kepada Parti Islam Semalaysia (PAS) yang akan menubuhkan Sekretariat Prihatin OKU yang diharap memberi perhatian dan penumpuan serius semua, mentelah lagi, Wawasan 2020 kian hampir, yang mana ianya menjanjikan kemakmuran buat semua warga Malaysia ini.

3. Untuk makluman Datuk Seri, baru-baru ini, terdapat sebuah gerakan massa yang dikenali sebagai Gerakan Bersama Kebangkitan OKU 2012 (BANGKIT 2012) yang diterajui oleh Kumpulan Kerja OKU, Jawatankuasa Hak-Hak Asasi Manusia Majlis Peguam. Ia adalah kempen untuk meningkatkan kesedaran kepada orang awam dan OKU ke atas hal-hal yang berkaitan dengan OKU. Mereka telah mengemukakan memorandum Menuntut Kerajaan Mewujudkan Agensi-Agensi Kerajaan dan Swasta Serta Masyarakat Yang Cakna dalam Memahami Keperluan, Keupayaan Dan Sumbangan oleh Orang Kurang Upaya.

4. Sejarah kebangkitan ini dimulai dengan berkuatkuasanya Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) pada 7 Julai 2008 disusuli tindakan kerajaan meratifikasikan "Convention on the Rights of Persons with Disabilities" pada 19 Julai 2010. Namun, semakin hampir kita menuju Wawasan 2020, cabaran kepada pembangunan OKU terus menyaksikan lompang-lompang dalam sistem yang terdiri dari pemerintah dan rakyat yang perlu mendapat perhatian segera dan sewajarnya. Apatah lagi cabaran ketujuh Wawasan 2020 yang ingin mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu satu sistem sosial yang mengutamakan kepentingan mereka yang selalunya dipinggirkan dan ditindas.

5. Lantas, atas kesedaran inilah, kami, dengan izin, memohon perhatian serius di bawah pimpinan Datuk Seri melalui sekretariat yang akan ditubuhkan, yang insya Allah, bernaung di bawah jemaah yang bakal menerajui tampuk pemerintahan nanti, terhadap aspek-aspek berikut bagi menjamin kesinambungan pembangunan OKU yang lebih lestari:

i. Pemantapan undang-undang sedia ada bagi menjamin kelangsungan hidup OKU;
ii. Pendaftaran wajib bagi memastikan dasar dan perancangan kerajaan tepat;
iii. Pencelahan awal dan pembentukan sokongan keluarga, memperkasakan keluarga (family empowerment);
iv. Pendidikan yang menepati keperluan kecacatan;
v. Kemahiran hidup;
vi. Pekerjaan dan sara hidup;
vii. Cabaran OKU dalam membina keluarga;
viii. Perumahan;
ix. Kebolehaksesan ke tempat-tempat dan perkhidmatan awam;
x. Penyertaan OKU dalam membentuk masyarakat; dan
x. Keperluan OKU di hari tua.

6. Berikut ini pula, dengan izin, saya senaraikan beberapa contoh rasional di sebalik tuntutan-tuntutan tadi:

A. Semakin kita maju dari segi pembangunan material, semakin kami disisih walaupun kedapatan kami yang juga punya kelayakan setara, seperti penjawat jawatan "telephonist" pada sebahagian besar graduan universiti OKU penglihatan, walhal sepanjang 55 tahun kemerdekaan ini, tak kurang di kalangan kami yang turut berkebolehan dalam pelbagai bidang lain seperti seni dan keagamaan;

B. Begitu juga dengan kebergantungan kami yang teramat terhadap produk luar negara yang sememangnya memakan kos tinggi bagi sebahagian besar kami yang juga sukar beroleh pendapatan walaupun untuk sara hidup sendiri dan keluarga, dengan saban waktu berhujjahkan faktor pasaran semata-mata, sedangkan negara dan bangsa lain giat berlumba-lumba menghasilkan produk untuk kegunaan masyarakat OKU mereka;

C. Bakat dan potensi kebolehan kami juga hanya diambil maklum sebahagian kecil masyarakat yang bukan berkedudukan "perencana dasar" sedangkan pelbagai slogan dan janji manis sering ditabur demi meraih sokongan ketika diperlukan;

D. Kedapatan juga prosedur birokrasi yang adakalanya tidak menasabah lagi teramat sukar di samping peruntukan elaun kehidupan yang dipotong mahupun tidak diselaras dengan kos hidup semasa yang kian meningkat sehingga memaksa tuntutan sebegitu terpaksa dilakukan menerusi NGO berkenaan dan individu-individu prihatin, kononnya mereka (petugas agensi berkaitan) hanya patuh kepada undang-undang dan sistem yang ditetapkan;

E. Dari segi "accessibility" serta keselamatan tempat-tempat kunjungan awam seperti stesen-stesen pengangkutan LRT dan lain-lain, terdapat kesukaran bergerak dan adakalanya tidak cekap lagi membahayakan keselamatan, seperti permukaan jalan yang tidak mesra pengguna kerusi roda, tiada pegawai untuk membantu pengguna OKU penglihatan yang bermasalah mobiliti, motosikal yang diletak bagaikan mengikut suka penunggang pada sesetengah kawasan rumah kedai (mungkin disebabkan struktur bangunan dan penguatkuasaan undang-undang yang kurang tegas) dan kedapatan juga projek baik-pulih jalan yang masih belum selesai sedangkan ia dilalui pengguna OKU penglihatan untuk ke persatuan di Brickfields.

7. Justeru, adalah diharap dengan perhatian serius semua ahli masyarakat yang dipimpini oleh Parti Islam Semalaysia terhadap keperluan dan kebajikan semua kategori ahlinya tanpa sebarang sentimen dan rasa prejudis, insya Allah, keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua akan mampudicapai, sekaligus kita sekalian akan beroleh redha, berkat, rahmat dan ampunan-Nya; juga sebagai jambatan ke arah kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Dengan ini juga, PAS benar-benar sebuah gerakan politik Islam yang telah, sedang dan akan berjaya menterjemahkan rahmat dan keadilan Islam di bumi Malaysia tercinta ini. Akhir kata, kami benar-benar mendoakan kejayaan kalian dalam perjuangan ini, kerana, kejayaan kalian juga bermakna kejayaan buat semua yang sememangnya dahagakan tertegaknya keadilan dan kesaksamaan.

Yang benar,

(MUHAMMAD ADAM LEE BIN ABDULLAH)

1 ulasan:

yusofali berkata...

Ya Allah...sy dah 3 thn jd OKU tahu yg dituliskan sdr Adam diatas tu adalah betul. Kerana sebagai OKU..wpun pencapaian akademik dan pengalaman adalah bagus tp susahnya nak dptkan pekerjaan yg sesuai dgn keadaan kami...selalunya sy merungut keadaan Kerajaan x bersungguh nak membela org OKU mcm kami ni...susahnya kami kerana xder mata pencarian..