12 Julai 2012

RM11.87 juta rebet air pangsapuri di Selangor

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Sejak program rebet air percuma diperkenalkan pada bulan Jun 2010, lebih kurang RM11.87 juta nilai rebet air percuma telah diberi kepada 250 kawasan pemajuan pangsapuri yang terdiri daripada 77,378 unit kediaman.

“Bagi kawasan di bawah MPAJ, sebanyak 43 kawasan pemajuan pangsapuri terdiri daripada 15,634 unit kediaman telah membuat tuntutan rebet air percuma,” ujar Iskandar Abdul Samad (gambar).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selamngor itu berkata, pelaksanaan program pemberian rebet air percuma pada peringkat awalnya dilaksanakan melalui kupon.

Walau bagaimanapun, jelasnya terdapat kelemahan dalam melaksanakan kaedah itu berikutan kekurangan tenaga kerja daripada pihak pengurusan bangunan.

Ini, katanya sama ada pihak pemaju, Badan Pengurusan Bersama [Joint Management Body (JMB)] atau Perbadanan Pengurusan [Management Corporation (MC)] yang menyebabkan berlakunya kelewatan dalam tuntutan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Selain dari itu, katanya kerajaan negeri juga terpaksa menanggung kos tambahan bagi kerja-kerja percetakan kupon.

Justeru itu, jelas beliau lagi pada tahun 2011, penggunaan kupon telah dimansuhkan dan diganti dengan kaedah pengebilan amaun rebet air percuma secara automatik pada bil air unit kediaman setiap pembeli.

“Kaedah terbaru ini adalah lebih telus, mudah dan sukar untuk disalah guna oleh pemaju, JMB atau MC,” ujarnya yang juga Adun Chempaka.

Beliau menjelaskan, selanjutnya pada tahun 2012, kaedah pemberian rebet air percuma dipermudahkan melalui konsep “Lapor dan Dapat” dengan format tuntutan kepada Syabas yang lebih ringkas supaya pengagihan rebet air percuma dapat dibuat secara berkesan dan meluas kepada semua pangsapuri kos rendah di Selangor.

Harakah Daily

Tiada ulasan: