17 Ogos 2012

Pelajar agama aktif aktiviti masyarakat - BSM

28 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BACHOK: Lebih 40 sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) mempunyai Persatuan Bulan Sabit Merah (BSM) dan aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Keaktifan dan penyertaan yang begitu menggalakkan pelajar-pelajar sekolah agama menyebabkan BSM menubuh Cabang Yik yang dipengerusikan Nazari Mohd Noor.

Nazari yang juga seorang pegawai di Yik berkata, mengambil kira peranan aktif sekolah agama menyebabkan tahun ini BSM Kebangsaan dan BSM Kelantan menganjurkan program khidmat sosial dan berbuka puasa di Maahad Amir Indra Petra.

“Pemilihan Maahad Amir Indra Petra dibuat selepas mengambil kira kesungguhan pelajar sekolah berkenaan menyertai badan berpakaian seragam Bulan Sabit Merah,” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan baru-baru ini.

Turut diraikan di majlis terbabit ibu bapa pelajar. Hadir sama Setiausaha Agung BSM Kebangsaan, Datuk Nordin Razak, Pengerusi BSM Kelantan, Wan Ali Wan Ahmad, Timbalan Pengerusi, Dr Seri Buana Zainuddin dan Naib Pengerusi, Tuan Ghazali Tuan Long.

Nazari juga berkata, sekolah Yik menjadi juara pada perkhemahan perdana peringkat negeri baru-baru ini. Seorang peserta lelaki juga dipilih sebagai peserta terbaik.

Sementara itu Nordin berkata, program khidmat sosial BSM merupakan aktiviti tahunan di peringkat kebangsaan.

“Pemilihan sekolah Yayasan Islam Kelantan merupakan satu penghormatan yang tinggi dan ia juga selari dengan penubuhan BSM Cabang YIK,” ujarnya di majlis berkenaan.

Sempena program tersebut seramai 50 pelajar miskin menerima sumbangan kewangan yang didermakan tokoh-tokoh korporat dan bantuan zakat.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: