13 September 2012

Golongan belia paling ramai hidap HIV

26 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Golongan belia berusia dari 18 hingga 40 tahun merupakan kelompok tertinggi menghidap HIV di negara ini.

Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia (MAM), Roswati Ghani berkata, lebih 76 peratus daripada keseluruhan kes HIV hingga akhir tahun 2010 membabitkan golongan itu dengan jumlah 69,747 orang.

"Pada tahun 2011 pula bagi setiap empat kes baharu jangkitan HIV, satu dilaporkan daripada kalangan orang muda dan belia dalam lingkungan umur 13 hingga 29 tahun," katanya kepada pemberita pada Majlis Amal Rumah Terbuka MAM, di sini semalam.

Beliau berkata, antara faktor penyumbang kepada angka itu ialah golongan belia merupakan kelompok majoriti penduduk negara dan banyak daripada mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

"Mereka juga dipengaruhi media sosial seperti Internet yang membolehkan kita berhubung sesiapa sahaja dalam masa yang pantas," katanya.

Sehubungan itu, Roswati berkata, MAM mengambil inisiatif melancarkan Kelab Belia Riben Merah pada 6 September lalu untuk menangani penularan virus tersebut dalam kalangan belia negara ini.

"Kita baru mulakan program untuk belia menerusi pelancaran kelab ini dan ia boleh menjadi satu wadah bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan menyebarkan informasi yang tepat bagi mengenai HIV dan AIDS di kalangan belia," katanya.

Katanya, MAM sedang giat menjalankan kempen mencari anggota menerusi pendaftaran dalam talian dan untuk keterangan lanjut orang ramai boleh melayari laman Facebook kelab itu.

Roswati berkata, sebanyak 14 selebriti terbabit menjadi duta dalam kelab itu, antaranya penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan pelakon Aaron Aziz serta Fahrin Ahmad.

"Kita merasakan penglibatan artis dalam kerja sukarela seperti ini mampu memberi kesan yang besar sebab ia sedikit sebanyak dapat mempengaruhi belia menerusi maklumat yang golongan artis sampaikan," katanya. - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ramai remaja terlibat dengan aktiviti seks akibat pengaruh sekitar,kerajaan sepatuttnya mengharamkan terus pusat hiburan tanpa berdolak dalih lagi!