14 September 2012

Kertas Peperiksaan Percubaan SPM Bocor Di Facebook

27 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Laman Facebook menjadi pilihan para pelajar yang menduduki peperiksaan percubaan SPM memandangkan ia menyediakan 'Tip/Nota/Soalan Ramalan' yang didapati hampir sama dengan soalan peperiksaan sebenar.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, peperiksaan percubaan SPM yang sedang berlangsung sekarang tidak bermakna kerana pelajar menumpukan perhatian terhadap laman tersebut untuk mendapatkan tip soalan.

Beliau berkata, sejak hari pertama peperiksaan yang bermula 29 Ogos lalu, para pelajar mendapati soalan untuk kertas Bahasa Melayu bagi sekolah di Selangor adalah tepat.

Laman tersebut turut mencatatkan 23,626 'like' berbanding hanya 2,000 sebelum peperiksaan percubaan bermula.

Lim melayari laman tersebut pada Khamis dan menemui lapan gambar dengan tanda “Kena Tepat 100%” .

"Adalah jelas gambar-gambar tersebut adalah pengumuman mengenai kebolehpercayaan terhadap soalan yang disediakan oleh pentadbir laman tersebut," katanya yang berjanji akan membangkitkan isu kebocoran soalan peperiksaan percubaan itu di Parlimen.

Semakan The Star di laman sosial itu menemui dua lagi gambar penting.

Gambar tersebut menunjukkan pengumuman bayaran daripada seorang peminat manakala satu lagi gambar soalan yang bocor.

Soalan-soalan yang disiarkan adalah sama dengan soalan peperiksaan sebenar.

Beberapa pelajar dijamin mendapat tip soalan yang tepat.

Menurut seorang pelajar di Kuala Lumpur yang hanya ingin dikenali sebagai LMH, ketepatan soalan adalah diluar jangkaan.

"Laman tersebut muncul di Facebook saya kerana ramai rakan-rakan yang berkongsi dan menyukai laman itu," katanya.

mstar/-

Tiada ulasan: