13 September 2012

PAS hadapi budaya samseng sejak 1960-an

26 Syawal 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu parti itu sudah lama menghadapi budaya samseng sejak dari tahun 1960-an lagi.

Katanya, tindakan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) hampir sama dengan apa yang parti Perikatan lakukan sebelum ini.

"Pada tahun 1969, mereka (Perikatan) telah tubuh pemuda tahan lasak yang akan membuat apa-apa sahaja tindakan sehinggakan parti pembangkang menghadapi kesukaran untuk meneruskan penerangan kepada rakyat.

"Mereka bukan sahaja membuat kacau tetapi sanggup meletakkan pokok kayu di tengah-tengah jalan bagi menghalang pergerakan parti pembangkang," ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Mustafa juga menyatakan walaupun keganasan itu ditujukan kepada Ketua Pembangkang dan juga PKR, namun ia juga dianggap ancaman kepada Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata keganasan yang berlaku terus berulang setiap kali adanya program Pakatan Rakyat terutamanya PKR.

Namun, katanya walaupun tindakan tersebut sentiasa berlaku dan berulang sehingga kini belum ada kenyataan dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengutuk tindakan tersebut.

"Kita mempunyai maklumat dan bukti yang menyatakan bukan sekadar penglibatan Perkasa malah turut melibatkan Umno," katanya selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat.

Malah, katanya keganasan yang berlaku di Lembah Pantai seolah-olah ia mendapat restu daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Menurut beliau lagi, sehingga sekarang tidak ada langsung tindakan diambil oleh pihak polis berhubung insiden tersebut.

"Adakah ini menjadi budaya mereka dan jika tidak saya berharap pihak polis dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih tegas dan adil.

"Malah kenyataan terbaru ada yang memberi amaran kepada saya dari turun ke Johor untuk meneruskan program jelajah merdeka rakyat," sambung Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut berharap Najib dan juga Hishammuddin dapat tampil mengutuk keganasan yang telah berlaku di Kota Bharu, Alor Setar, Lembah Pantai dan Melaka.

Beliau juga minta Perdana Menteri perlu berlaku adil dengan semua pihak dan jangan hanya menyebelahi pihak yang menyokong beliau sahaja.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: