21 September 2012

Penduduk Green Cow mohon AG gugur pertuduhan

5 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA:  Gabungan Penduduk Green Cow Cameron Highlands memohon Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail mengugurkan rayuan dan tuduhan ke atas mereka dan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dilihat berunsur 'mala fide'.

Menurut penduduk berkenaan, pihak peguam negara harus berpihak kepada kehendak rakyat tetapi setelah melihat pendakwaan oleh pihak timbalan pendakwaraya seolah memberikan laluan kepada pemaju untuk terus menjalankan aktiviti tanpa menghindar keselamatan penduduk.

Tuduhan pertama melibatkan dua orang penduduk Green Cow yang didakwa di bawah seksyen 341KK kerana menghalang lori pemaju.

Manakala tuduhan kedua melibatkan seorang aktivis PSM dan dua penduduk Green Cow sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Cameron kerana tiada kes bagaimanapun pendakwaraya membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh. Kes ini akan disebut semula pada 2 Oktober ini.

Mewakili rombongan menyerahkan memorandum kepada Peguam Negara di sini Suresh Kumar berkata, mereka bertindak menghalang pemaju kerana nyawa penduduk Green Cow terancam dengan kerja-kerja pemaju.

Malah beliau percaya, polis Cameron Highland dari awal lagi berpihak kepada pemaju dan ingin membalas dendam kerana kalah dalam kes pertama.

Buktinya, kata beliau, polis menahan penduduk dan aktivis PSM di atas tanah milik persendirian tanpa perintah mahkamah pada 13 Oktober 2011.

Malah tambahnya, polis tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas pemaju walaupun penduduk ada membuat banyak laporan polis, selain tidak mengambil sebarang tindakan ke atas pemaju yang menggunakan gangster dan pistol untuk pecah kandang kambing penduduk.

Beliau menyifatkan dakwaan ini 'mala fide' apabila pihak berkuasa menggunakan seksyen 341KK yang mana ia digunakan untuk salahlaku mengurung atau menghalang seseorang, malangnya dalam kes ini polis Cameron Highlands mentafsirkan seksyen ke atas mereka yang cuma menghalang pemaju bekerja.

Suresh turut mempersoalkan, mengapa pihak polis hendak mengklasifikasikan kes ini sebagai jenayah walhal pihak pemaju sudah pun mengambil kes sivil di mahkamah?

"Apakah niat untuk mendakwa mereka dalam tuduhan jenayah apabila isu-isu cukup jelas ia adalah isu kes sivil?" katanya yang turut ditemani Setiausaha Agung PSM S.Arutchelavan.

Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Peguam Negara, iaitu Pegawai Perhubungan Awam Nasrudin Mahmud.

Sebelum ini, Majistret Cameron Highlands Nik Habri Muhamad telah membebaskan kesemua tiga orang pada 30 Julai 2012 kerana ada isu keselamatan rumah penduduk Green Cow, pemandu jentolak tiada lesen memandu jentolak dan permit menolak tanah pemaju meragukan.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Shaani Abdullah dalam lawatannya ke kawasan berkenaan pada 16 September 2012 mendapati isu keselamatan penduduk adalah sahih.

Green Cow adalah kawasan berbukit yang terletak di persimpangan jalan Sungai Palas, ia termasuk di dalam kawasan Kea Farm, Cameron Highlands.

Majlis Daerah Cameron Highlands telah meluluskan projek membina enam blok kedai pejabat empat tingkat berjumlah 65 unit dan 256 unit tempat letak kereta dengan nilai projek RM20 juta.

Dengan pembinaan struktur besar ini, rumah penduduk Green Cow yang terletak di bawah kaki bukit terdedah kepada batu dan tanah runtuh, ianya mengancam nyawa penduduk dan pengguna jalan raya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: