19 September 2012

Peruntukan Jalan Lapok Sudah Lulus, Mengapa Masih Belum Siap Sepenuhnya?

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Keratan akhbar “The Borneo Post” bertarikh 10hb Januari 2009 dengan tajuk “RM150 million allocated for Lapok road: Lihan” di rujuk.

Kebanyakan jalanraya di luar bandar di Sarawak amat daif dan jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan jalanraya negeri di Semenanjung. Keadaan jalan yang teruk ini menyebabkan penduduk di luar bandar sukar untuk berurusan dengan penduduk di bandar, dan kos pengangkutan juga mahal.

Sekarang sudah tahun 2012, sudah hampir lebih dari 3 tahun Unit Perancang Ekonomi (UPE) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk pembinaan jalan Lapok, sepertimana yang dinyatakan oleh Lihan Jok bekas Wakil Rakyat Telang Usan dalam keratan akhbar, tetapi sehingga kini jalan tersebut masih lagi belum banyak perubahan.

Menurut penduduk Baram dan penduduk kampung yang tinggal dalam kawasan tersebut, jalan Lapok masih lagi teruk dan belum di tar sepenuhnya. Jalan yang masih dalam peringkat pembinaan itu cuma siap lebih kurang 20 peratus saja, sepatutnya jalan tersebut sudah siap sepenuhnya dalam masa 3 tahun yang lalu tetapi sehingga kini keadaan jalan masih teruk dan tidak banyak berubah hanya sesuai untuk kenderaan berat seperti lori balak dan pacuan 4 roda.

Ketika musim hujan jalan tersebut amat merbahaya bagi kenderaan kecil dan boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya tidak memandu dengan cermat. Jalan yang berbukit bukau dan berliku-liku amat merbahaya sekiranya jalan licin dan berlubang akibat hujan turun lebat.

Penduduk di kawasan Lapok menuntut janji dari pihak kerajaan yang pernah berjanji untuk membina jalan tersebut agar dapat disiapkan sebelum PRU13 kerana mereka sudah lama menanti dengan penuh harapan agar jalan tersebut dapat dibina dengan sebaik mungkin untuk memudahkan urusan harian mereka seperti mengangkut dan menjual hasil pertanian mereka ke pasar atau bandar berdekatan.

Kita ingin tahu kemana perginya peruntukan tersebut, adakah ianya sudah digunakan sepenuhnya atau sudah pun habis digunakan untuk tujuan lain atau perlu peruntukan tambahan?

Penduduk Baram sudah terlalu lama menanti agar jalan Lapok dapat disiapkan dalam masa yang terdekat dan mereka juga mahu kerajaan menepati janji sepertimana slogan “Janji ditepati” yang dilaung-laungkan oleh pihak kerajaan sekarang.

Mereka tidak mahu mendengar lagi janji yang sama setiap kali ada pilihanraya, dimana jalan tersebut masih juga tidak siap atau berubah sekadar menimbus batu ditepi jalan atau sepertimana kata peribahasa “menanam tebu dibibir saja". Cakap saja manis tapi kerja tidak dilaksanakan.

Kita mendesak agar pihak kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana peruntukkan sudah pun diluluskan, jalan belum siap dan rakyat sudah lama menanti.

Sampai bila rakyat mesti menanti jalan tersebut disiapkan, adakah mereka terus menunggu sampai 10 atau 20 tahun lagi? Kita harap kerajaan yang ada sekarang dapat menepati janji yang sudah mereka janjikan kepada rakyat, jangan hanya pandai berjanji tetapi tidak ditepati.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: