19 April 2013

BN Negeri Sembilan umum calon baru Dun Johol

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SEREMBAN - Ahli perniagaan Abu Samah Mahat diumumkan sebagai calon baru Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, menggantikan calon sebelum ini Fadzil Abu Kassim yang menarik diri.
   
Pengumuman dibuat Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini yang turut menyerahkan watikah calon kepada Abu Samah, 61, pada kira-kira 10.30 pagi ini di kediaman rasmi Menteri Besar.
   
Selasa lepas, Mohamad semasa mengumumkan senarai calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Negeri Sembilan menamakan Fadzil sebagai calon BN bagi DUN Johol.
   
"Fadzil telah hubungi saya...beliau menyatakan hasrat untuk tarik diri dalam PRU13. Ini satu contoh keperibadian baik dan semangat untuk lihat supaya parti didahulukan," kata Mohamad.
   
Susulan daripada itu, Menteri Besar berkata beliau telah menerima hasrat Fadzil dan menghubungi Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim untuk memberikan senarai nama calon lain untuk dibawa ke peringkat pucuk pimpinan parti.

Senarai nama itu telah dikemukakan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak yang kemudian memutuskan Abu Samah sebagai calon pengganti di DUN Johol yang berada di bawah Parlimen Kuala Pilah, katanya.
   
Mengulas mengenai calon pengganti itu, Mohamad berkata Abu Samah yang juga pesara kerajaan bukanlah orang baru dalam arena politik dan amat dikenali serta diterima ramai terutama dalam kawasan Johol.
   
"Pilihan itu amat tepat dan saya yakin pencalonan beliau (Abu Samah) tidak akan mendapat apa-apa tentangan daripada penduduk setempat," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: