25 September 2013

Kerajaan taja Kelab Cardiff City lebih RM15 juta

18 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berjumlah £3 juta atau melebihi RM15 juta melalui penajaan jersi Front of Shirt Sponsorship adalah tidak wajar dan membazir. 

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian(gambar) berkata, penajaan tersebut disalurkan kepada Kelab Bola Sepak Cardiff City untuk tempoh satu tahun. 


Baginya, perbelanjaan tersebut tidak akan berupaya membayar balik melalui tarikan pelancong hanya dari United Kingdom khususnya Negara Eropah Barat. 


Beliau menyatakan perkara itu merujuk kepada jawaban Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada soalannya di Dewan Rakyat semalam.


“Persoalan lain ialah mengapa kelab bola sepak EPL Cardiff City dan bukannya kelab bola sepak Liga Inggeris yang lain?” tanya beliau dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sepatutnya lebih kreatif dalam urusan mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 selain daripada menaja logo Tahun Melawat Malaysia 2014 di Stadium Cardiff.


Katanya, peruntukan sebanyak itu sepatutnya disalurkan kepada kementerian yag bertanggungjawab  dalam membantu kelab-kelab bola sepak tempatan yang sekian lama mengalami kekurangan dana atau sekurang-kurangnya dilaburkan kepada latihan-latihan pemain-pemain muda berbakat yang mampu bersaing dengan pemain antarabangsa.


Soalan: Hee Loy Sian minta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan:-

a) Jumlah perbelanjaan Kerajaan daripada menaja jersi Kelab Bolasepak Cardiff City dan tempoh penajaan; dan
b) Bagaimana penajaan jersi bola sepak berkenaan dapat menarik pelancong ke Malaysia.


Jawapan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.


Tuan Yang di-Pertua,


a) Kos keseluruhan bagi menaja Front of Shirt Sponsorship ini adalah sebanyak £7.35 juta. Daripada jumlah tersebut, pihak Kementerian menampung sebanyak £3 juta bagi sepanjang musim Liga Perdana Inggeris 2013/2013.


Nilai publisiti dan perhubungan awam yang dianggarkan dapat diperolehi daripada penajaan ini di peringkat global adalah seperti berikut:

i) Jumlah penonton televisyen seramai 720 juta orang;
ii) Masa siaran tayangan televisyen sebanyak 217,000 jam; dan
iii) Melibatkan lebih 80 rakan penyiar (broadcasting partner) antarabangsa.

Penajaan ini juga termasuk mengadakan pameran sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di Stadium Cardiff sepanjang musim perlawanan dan hak untuk mempamerkan logo Tahun Melawat Malaysia 2014 sepanjang musim perlawanan. 


b) Melalui penajaan jersi kelab bola sepak Cardiff City Football Club telah dapat memperkasakan lagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 secara global serta menjadikan Malaysia sebagai Top of The Mind Destination mencapai sasaran ketibaan pelancong.


Program kerjasama ini juga berpotensi besar dalam meningkatkan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia terutamanya hih end tourist daripada Negara pasaran khususnya pasaran daripada United Kingdom dan Eropah Barat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia yang disasarkan sebanyak 28 juta orang pada tahun 2014. Pasaran pelancong-pelancong daripada United Kingdom dan Eropah merupakan pasaran long haul yang utama bagi Malaysia.


Harakahdaily

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tak tanya ke apa peranan anak nazri nadim dlm hal tersebut. Hehe