15 Ogos 2011

Surat terbuka kepada pengurusan Felda

15 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Menyambut 1 Syawal di kampung halaman. Suasana itu sungguh menggamit perasaaan setiap insan. Walaubagaimanapun perasaan itu terpaksa dipendamkan oleh kesemua Pengurus Tanah Rancangan Felda dek kerana tugas memberi ucapan raya pada pagi 1 Syawal.

Sudahlah pengurus-pengurus ini berhempas pulas mengagihkan bantuan raya kepada para peneroka pada bulan Ramadhan, mereka juga dinafikan hak untuk meraikan 1 Syawal bersama keluarga tercinta di kampung halaman dek kerana ‘tugas 10 minit’ tadi.

Walaupun tugas itu kelihatan mudah tetapi tanpa disedari Pengurus-Pengurus tanah rancangan ini dinafikan hak untuk tiba awal di kampung halaman hanya kerana tugas memberi ucapan Raya pada hari lebaran. Adakah pihak pengurusan Felda tidak terfikir bahawa ramai Pengurus Felda yang merantau.

Malah ada Pengurus Felda yang mempunyai kampung halaman di Selatan Tanah Air tetapi terpaksa melaksanakan tugas di Utara Semenanjung Malaysia. Jikalau pihak pengurusan Felda tetap ingin ucapan raya tersebut dilakukan, ia boleh dilakukan secara rakaman dan dimainkan ketika 1 Syawal itu.

Janganlah kerana Pilihanraya makin menjelang, pihak pengurusan tertinggi Felda menatang minyak yang penuh kepada golongan peneroka tetapi mengabai hak dan keperluan pengurusan tanah rancangan yang juga turut menyumbang jasa kepada kekayaan Felda.

Harus diingat, Pengurus-pengurus tanah rancangan Felda ini punya penyokong sendiri di kalangan peneroka. Jangan kerana tindakan yang tidak cermat ini, Kerajaan Pusat akan kehilangan sokongan bukan sahaja di kalangan peneroka tetapi juga di kalangan pengurusan tanah rancangan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: