24 Syawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 22 Sept: “Sila sambut delegasi 240 Adun BN yang berkampung di seluruh Dun Selangor dengan kain rentang ‘Masihkah Engkau Ingat 51 Tahun Ketika BN Perintah Di Selangor’,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Sebenarnya, kata beliau itulah yang layak untuk menyambut rombongan Adun BN ke negeri Selangor dalam misi untuk menawan negeri itu.
Katanya, apabila hilang kuasa barulah mereka teringat kepada rakyat.
“Apabila hilang kuasa baru teringat masih ramai rakyat tidak kenal Umno. Apabila hilang kuasa baru teringat untuk membela rakyat,” katanya kepada Harakahdaily.
Soal beliau, apa yang Umno buat ketika 51 tahun memerintah.
“Kenapa sekarang baru sibuk hendak mengambil berat tentang rakyat?” tanya beliau lagi.
Rakyat, ujarnya tentu masih ingat bagaimana bekas Menteri Besar Umno membelanjakan wang rakyat RM1.7 juta untuk lawatan ke Paris Disneyland dan Orlando Disneyland dalam masa lapan hari sahaja.
Tambahnya, belanja bilik hotel untuk Datuk Seri Khir Toyo sebanyak RM110,000 sedangkan rakyat ke Makkah selama 40 hari baru berbelanja RM10,000.
Rakyat, katanya tentu masih ingat ketika Umno berkuasa menghalau penduduk Kampung Berembang, Ampang macam binatang pada hal penduduk itu penyokong tegar Umno, tetapi pemimpin Umno tidak mempedulikan kerana mereka berada di puncak kuasa.
Tambahnya, rakyat juga tentu masih ingat di zaman Umno memerintah di mana kegiatan masjid malap seperti lampu yang tidak ada bateri.
Ini, katanya kerana ahli jawatankuasa masjid yang dilantik bukan ahli masjid supaya memudahkan kegiatan menjahilkan rakyat dan jauh daripada institusi agama kerana Umno sedar jika rakyat celik agama bererti selamat tinggallah parti itu.
“Rakyat tentu masih ingat ketika kerajaan Pakatan Rakyat memberi air percuma 20 meter padu kepada semua rakyat, maka pemimpin Umno mengatakan ini kerja membazir. Awas jika BN menang semua ini akan ditarik balik,” katanya lagi.
Beliau berkata, rakyat juga tentu masih ingat di mana ustaz-ustaz diburu macam penjenayah bila mana Datuk Dr Haron Din, Datuk Ismail Kamus, Allahyarham Datuk Ishak Baharom hendak ditangkap kononnya melakukan kesalahan jenayah syariah.
Sekarang, ujarnya baru pemimpin Umno hendak bermuka-muka menjadi pembela rakyat.
Baginya, mereka akan menanam janji manis, tetapi apabila mendapat kuasa mereka akan melanjutkan tradisi menindas rakyat.
“Awas rakyat Selangor, bila bertemu dengan Adun BN yang berkampung di tempat tuan-tuan tolong ingatkan kepada mereka ‘Masihkah Engkau Ingat 51 Tahun Berkuasa’,” katanya.
Paling cantik sekali, tambah beliau ialah rakyat Selangor kena tanya kepada wakil rakyat yang datang daripada negeri yang BN memerintah.
“Adakah rakyatnya mendapat air percuma, kifalah RM2,500, Tabung Warisan Anak Selangor, Guru Kafa mendapat gaji RM1,300 sebulan?
“Sudah tentu jika soalan ini dikemukan Adun BN lari lintang pukang,” katanya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan