20 Muharram 1433H. [MOD] -
SERI KEMBANGAN – Tidak serik! Walaupun pernah disita sebelum ini, tiga pusat perjudian haram di sekitar kawasan Putra Walk, Taman Pinggiran Putra tetap meneruskan operasi. Namun, kedegilan mereka tidak kekal lama selepas sekali lagi diserbu pihak berkuasa.
Dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Subang Jaya premis terbabit dikenakan tindakan pemotongan elektrik.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Ahmad Hasan berkata, premis pertama pusat permainan video yang diserbu di Jalan PP 25 didapati menjalankan aktiviti perjudian haram serta pertaruhan melalui laman sesawang.
Menurutnya, tindakan seterusnya hasil risikan sebelum ini menemukan dengan dua lagi premis yang ditinggalkan kosong di Jalan PP 32 dan PP 33.
“Kita dapati premis tersebut kosong dan tiada aktiviti perniagaan dijalankan ketika serbuan dibuat. Tidak serik dengan tindakan penutupan dan sitaan sebelum ini, pengusaha berdepan pula tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh TNB,” katanya.
Ahmad berkata, operasi bersepadu menyita, menutup dan tindakan memotong bekalan elektrik dijalankan bertujuan mengelakkan pengusaha premis pusat perjudian haram terus menjalankan aktiviti perjudian.
Tambahnya, kesemua premis dikenakan tindakan sitaan di bawah Undang-undang Kecil 3 Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen dan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM 1,000.
“Sebanyak 110 set peralatan komputer berunsur perjudian turut disita di bawah Undang-undang Kecil 28(1) Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 dan premis tersebut juga ditutup di bawah Undang-undang Kecil 33(1) Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007. Manakala pihak TNB pula menyita tiga meter elektrik di premis pusat perjudian tersebut,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan