27 Mac 2012

Ditetak suspek

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) - Cubaan menyelamatkan bapanya yang dipegang tiga perompak menyebabkan seorang pengurus sebuah stesen minyak berusia 46 tahun, di sini mengalami kecederaan akibat ditetak dengan sebilah parang, pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kejadian berlaku antara jam 6 hingga 6.20 pagi di perkarangan rumah mangsa di Taman Haewood, di sini.

Menurutnya, bapa mangsa yang berusia lingkungan 70 an dipercayai keluar rumah untuk mengambil surat khabar semasa tiga suspek terbabit memanjat masuk ke dalam kawasan rumah.

“Suspek dipercayai memanjat pagar rumah berkenaan lalu menyerbu bapa mangsa.

“Isteri mangsa yang berada di ruang tamu, menjerit sebaik sahaja melihat kejadian berkenaan dan mangsa telah meluru keluar untuk membantu bapanya,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, menyedari kehadiran mangsa, salah seorang daripada suspek terbabit mengangkat parang lalu menetak mangsa menyebabkan dia cedera pada bahu kiri dan tangan kanan.

Azman memaklumkan, selepas kejadian berkenaan ketiga-tiga suspek telah melarikan diri tanpa sempat mengambil apa-apa barangan atau wang tunai.

“Suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru dan tidak memakai topeng atau penutup muka.

“Polis belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes ini dan siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengenal pasti semua suspek,” katanya.

Menurut Azman, mangsa cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Siput untuk mendapat rawa­tan­.

Sinar Harian

Tiada ulasan: