15 Mei 2012

Dua kumpulan samseng bertempur

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA – Tidak dapat menerima kenyataan salah seorang ahli kumpulan mereka dibunuh kejam sekumpulan samseng, lebih 10 ahli geng dipercayai menggelarkan diri mereka ‘satu hati’ bertindak membalas dendam, awal pagi kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam Sabtu lalu, tiga lelaki berusia lingkungan belasan tahun dari geng ‘satu hati’ itu yang menunggang motosikal ditahan lapan lelaki menaiki kereta Perodua Kancil dan beberapa motosikal di Puchong Perdana.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, tindakan terbabit menyebabkan ketiga-tiga lelaki itu terjatuh dari motosikal yang dinaiki.

Katanya, kumpulan lelaki dipercayai dari geng 08 yang menghalang tiga remaja terbabit dikatakan mengejar mereka menyebabkan kesemua ahli geng ‘satu hati’ bertindak melarikan diri.

Menurutnya, seorang daripada tiga orang itu dapat ditangkap geng samseng dan dia dipercayai diserang menggunakan parang di bahagian leher dan kepala.

Tambahnya, remaja berusia 19 tahun itu ditetak dengan parang sehingga mengalami pendarahan serius dan disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Serdang oleh rakannya.

“Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, rakan mangsa dikatakan mengesan geng yang menyerang rakannya dipercayai untuk membalas dendam kira-kira dua jam selepas itu,” katanya.

Yahaya berkata, rakan mangsa kembali mencari seorang daripada ahli kumpulan samseng yang terlibat dalam pembunuhan itu untuk melangsaikan ‘hutang darah’ terbabit.

Katanya, kira-kira jam 1.30 pagi keesokannya, geng mangsa dapat mengesan seorang yang menyerang rakannya dan membawanya ke sebuah kawasan lombong berdekatan Puchong Perdana.

“Di situ, lelaki berusia 25 tahun terbabit dikatakan diserang dengan beberapa senjata dipercayai parang dan pisau sehingga mati sebelum mayatnya dicampak ke dalam tasik.

“Mayat lelaki yang mempunyai rekod lampau dikehendaki polis bersabit kes bunuh di Rawang tahun lalu ditemui seorang pemancing yang kebetulan melakukan aktivitinya di situ kira-kira jam 5.25 petang hari sama.

Beliau berkata, motif kedua-dua kejadian masih dalam siasatan dan lebih kepada perselisihan faham dua kumpulan samseng.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Setakat ini tiga individu telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: