25 Mei 2012

Pegawai tinggi diyakini akan terus sertai PAS

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Fenomena penjawat awam berpangkat tinggi menyertai PAS diyakini akan berterusan selepas ini, kata veteran PAS, Ahmad Awang (gambar).

Ahmad berkata, fenomena ini berlaku kerana rakyat tidak menyenangi situasi politik dalam negara yang tidak baik.

Tambahan pula kata bekas Naib Presiden PAS itu, tindakan kerajaan menyekat kemaraan Bersih 3.0 baru-baru ini memberi kesedaran kepada rakyat untuk menolak kerajaan yang enggan membersihkan sistem pilihan raya.

"Banyak isu dalam negara menyebabkan kemarahan rakyat dan mereka mula sedar kepentingan mereka bersama-sama dalam perjuangan PAS," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS.

Beliau juga juga yakin makin ramai pesara kerajaan akan menzahirkan sokongan terhadap PAS jika kerajaan terus mengamalkan politik kotor dan kezaliman.

"Saya yakin semakin banyak penyelewengan, salahguna kuasa dan politik kotor, semakin ramai orang akan menyertai perjuangan PAS," katanya.

Tambah beliau lagi, fenomena penjawat awam termasuk golongan cerdik pandai memilih PAS selepas bersara bukan baru sekarang berlaku malah sejak dari dahulu lagi.

"Sejak dahulu lagi PAS menerima keahlian penjawat awam yang bersara daripada askar, polis.

"Sewaktu dalam perkhidmatan, mereka terpaksa menyembunyikan sokongan terhadap PAS tapi mereka tahu apa yang diperjuangkan PAS. Jadi selepas bersara, mereka berasa bertanggungjawab untuk memberikan komitmen," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: