13 Safar 1433H. [MOD] -
|
DAMSYIK - Seramai 20 orang termasuk lapan kanak-kanak terbunuh
selepas kereta kebal tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad membedil
sebuah kampung di wilayah utara Kahtaniyeh semalam, kata Kumpulan
Pemerhati Hak Asasi Manusia untuk Syria.
"Sekurang-kurang 20 orang termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita
terbunuh selepas tentera rejim Bashar menyerang sebuah ladang di kampung
Kahtaniyeh, barat bandar Raqa," kata kumpulan pemerhati itu.
Sebuah video amatur yang dimuat naik ke Internet oleh kumpulan
aktivis menunjukkan beberapa mayat berlumuran darah dan mayat seorang
kanak-kanak ditutup dengan selimut di dalam sebuah rumah.
"Berpuluh-puluh orang lagi dilaporkan cedera di ladang itu," kata aktivis di Raqa.
Sementara itu, menurut kumpulan pemerhati sama, lebih 45,000 orang
dilaporkan terbunuh di Syria sejak penentangan terhadap Presiden Bashar
Al-Assad meletus pada Mac tahun lalu.
"Secara keseluruhan kami telah mendokumen kematian seramai 45,048
orang," kata pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.
Tambahnya, lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh sepanjang minggu lepas.
Katanya, mereka yang terbunuh termasuk 31,544 orang awam, 1,511 orang
berpaling tadah, 11,217 tentera dan 776 tidak dapat dikenal pasti. -
Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan