Hari
ini merupakan hari yang ke setahun, empat bulan dan 19 hari daripada
tarikh pengumuman pemansuhan ISA yang dibuat oleh Perdana Menteri pada
sambutan hari Malaysia tahun 2011. Cukup nyata bahawa pengumuman itu
sekadar pengumuman kosong apabila sehingga ke hari ini, masih ada
tahanan ISA yang dikurung di Kem Tahanan Kamunting.
Tidak cukup dengan itu, pengumuman itu juga diikuti dengan
penggubalan satu undang-undang yang mirip kepada ISA walaupun tidak
serupa. Undang-undang ini turut menghalalkan penahanan tanpa bicara dan
penangkapan sesuka hati oleh pihak polis.
Akibat penipuan Kerajaan ini, 23 orang masih menjadi mangsa akta
zalim ISA. Mereka yang masih ditahan adalah sembilan orang warganegara
Malaysia, seorang warga Pakistan, lima warga Sri Lanka, seorang warga
India, seorang warga Iraq, dua orang warga Indonesia, seorang warga
Bangladesh, dan tiga orang warga Filipina.
Sekiranya merujuk kepada perintah tahanan yang dikeluarkan oleh
Kementerian Dalam Negeri, tahanan terakhir hanya akan dibebaskan pada
bulan Januari 2014 iaitu dua tahun empat bulan selepas ISA diumumkan
termansuh.
Sepanjang tahun 2012, GMI konsisten mendesak pihak Kerajaan khususnya
Menteri Dalam Negeri untuk membebaskan kesemua tahanan ISA. Semasa
pengumuman pemansuhan dibuat, seramai 45 orang masih ditahan di Kem
Tahanan Kamunting dan ramai pihak menyangkakan pemansuhan tersebut akan
diikuti pembebasan kesemua tahanan ISA. Amat mengecewakan apabila
Kerajaan enggan membebaskan tahanan atas alasan pembebasan perlu dibuat
berdasarkan perintah tahanan.
Namun, hasil daripada desakan demi desakan daripada rakyat, 25 orang
telah dibebaskan dalam masa setahun tiga bulan. Pembebasan terbaru yang
dibuat ialah pada 21 Disember 2012 yang membabitkan dua orang tahanan
iaitu Nyelang Anak Mesidi daripada Sarawak dan Hemachandran A/L
Thiyagarajah tahanan warga Negara Sri Lanka.
GMI percaya kesemua pembebasan ini dibuat hasil daripada desakan
daripada rakyat kerana kesemua tahanan dibebaskan lebih awal daripada
tempoh perintah tahanan.
GMI telah mengambil inisiatif untuk turun bertemu rakyat terbanyak
dengan turut serta secara aktif dalam jelajah Himpunan Kebangkitan
Rakyat di Johor, Penang dan Perak.
Ruang yang disediakan semasa himpunan itu telah GMI gunakan sebaik
mungkin bagi mendedahkan rakyat mengenai cerita sebenar disebalik
pemansuhan ISA.
Di setiap lokasi himpunan, GMI telah mengedarkan risalah mengenai
kempen Bebaskan Tahanan ISA kepada masyarakat umum selain berkesempatan
memberi ucapan penerangan di pentas yang disediakan untuk aktivis NGO.
Melalui desakan yang konsisten daripada rakyat, GMI percaya kerajaan
akan terpaksa akur untuk membebaskan kesemua tahanan ISA.
Bagi meneruskan momentum desakan rakyat ini, GMI menyeru seluruh
rakyat Malaysia untuk turut sama menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat
pada 12 Januari ini.
GMI juga menyatakan solidariti penuh bersama himpunan ini
memandangkan salah satu tuntutan yang diketengahkan ialah menuntut
kerajaan membebaskan kesemua tahanan ISA. Sehingga dimansuhkan, ISA
pernah memanjarakan lebih 10 ribu mangsa yang tidak pernah dibuktikan
bersalah dimahkamah.
Bahkan pada Oktober 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah
memutuskan bahawa penahanan 5 orang aktivis rakyat di bawah ISA pada
tahun 2001 adalah salah dan mahkamah memerintahkan agar kerajaan
membayar pampasan kepada kelima-lima aktivis tersebut.
Oleh itu GMI menyeru semua bekas mangsa ISA, keluarga mangsa, dan
seluruh rakyat Malaysia untuk turun dan menyuarakan tuntutan agar
Kerajaan segera membebaskan kesemua tahanan ISA pada Himpunan 12 Januari
nanti.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan