26 Mac 2013

Nilai sekeping kertas

14 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Nilai sekeping kertas
Dari kanan: Yusof, Mohd dan Dehan menunjukkan surat penghargaan diterima mereka sempena Sambutan Hari Polis ke-206 Peringkat IPD Hulu Terengganu, semalam.
 
KUALA BERANG - “Mungkin orang lain melihat ini hanya sekeping kertas dan tiada apa-apa pengertian. Namun bagi saya ia begitu ternilai  hingga sukar diterjemahkan dengan kata-kata, apatah lagi saya adalah orang awam."

Itu luahan Yusof Ismail, 55, salah seorang daripada empat orang awam yang menerima surat penghargaan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim sempena Sambutan Hari Polis ke-206 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, semalam.

Menurut datuk tiga cucu dari Kampung Baru Sungai Binjai ini, surat penghargaan itu kali pertama diterima dalam hidupnya dan berasa sangat bangga kerana dirinya dihargai.

“Orang awam adalah mata dan telinga untuk sampaikan maklumat kepada polis. Kerjasama dua pihak ini amat penting bagi mewujudkan persekitaran kehidupan lebih selamat dan aman damai.

“Sebagai orang awam, saya berasa bertanggungjawab membantu polis dan bukannya mempunyai tujuan lain. Saya juga terkejut apabila dimaklumkan menerima surat penghargaan hari ini (semalam)," katanya.

Keterujaan itu turut dirasakan Dehan Ibrahim, 54, dari Felda Jerangau Barat yang menyifatkan surat penghargaan itu membuatkan dirinya dihargai polis walaupun sumbangannya masih kecil jika dibandingkan tugasan dilaksanakan polis bagi menjaga ketenteraman awam.

Sementara itu, bagi Mohd Taib, 55, dari Kampung Bukit Diman, ‘kertas’ itu pastinya begitu bernilai buatnya dan menyemarakkan lagi semangatnya memberikan kerjasama berterusan kepada polis, apatah lagi dia adalah Ketua Platun Rela Bukit Diman.

Sambutan Hari Polis ke-206 Peringkat IPD Hulu Terengganu semalam menyaksikan jumlah keseluruhan penerima surat penghargaan seramai 53 orang termasuk daripada Ketua Polis Terengganu berjumlah 11 orang.

Sinar harian/-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan