Kerajaan Negeri Selangor berharap pihak yang begitu prihatin tentang kelulusan Projek Ternakan Babi Moden di Selangor memeriksa fakta mereka terlebih dahulu. Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dibawah Barisan Nasional dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipimpin YB Dato' Seri Dr. Khir Toyo pada 30 Januari 2008.
Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 April 2008, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di negeri Selangor dan ia memenuhi piawaian kualiti yang tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor.
Sebarang bahan buangan dari ladang tersebut akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak. Justeru, tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang tersebut. Pada masa yang sama, menerusi projek ini, tiada ladang-ladang khinzir baru akan diluluskan di negeri Selangor dan semua ladang babi di luar kawasan ini dikehendaki memindahkan operasi mereka ke Projek Modern Pig Farming. Ini sejajar dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar sebarang usaha penternakan babi dilakukan di satu tempat untuk memudahkan kawalan dan penyeliaan bagi pihak berkuasa.
Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar 'one stop' yang sama bagi penternakan yang lain bagi menjadikan industri penternakan lebih efisyen dan dapat diteruskan di sebalik kemajuan pesat Selangor. Kerajaan Negeri Selangor yang baru di bawah Pakatan Rakyat antara Keadilan, PAS dan DAP berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini dan melaksanakan dengan adil dan saksama dengan mengambilkira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor.
Kenyataan Bekas Menteri Besar Selangor dalam isu yang sama
Kerajaan negeri sekarang yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas, boleh mengkaji semula untuk membatalkan projek ternakan babi moden bernilai RM100 juta di Ladang Tumbuk, Kuala Langat, jika benar-benar mahu berbuat demikian.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menegaskan tidak sepatutnya kerajaan negeri yang berkuasa ketika ini mengaitkan keputusan melulus kan projek itu pada 2 April lalu, dengan apa yang diluluskan oleh pentadbirannya pada 30 Januari lepas.
''Ini kerana kita (kerajaan negeri dahulu) hanya baru membuat perbincangan awal tetapi tidak ada kata mukta mad, kita setuju projek itu untuk skala kecil sahaja, tidak sampai RM100 juta, Selangor tidak perlu projek penterna kan babi bernilai sebanyak itu,’’ katanya