30 Disember 2009

Sidang Media Tok Guru.

Nik Aziz dalam sidang medianya petang ini. Di kiri dan kanan beliau adalah Datuk Mohamad Daud-Ketua Dewan Ulama Negeri dan Nik Amar - Timbalan Pesuruhjaya III/:Foto: Harakahdaily


Nik Aziz nafi: Husam letak jawatan dan dua pegawainya dipecat

11 Muharram 1431

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 29 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak dakwaan dua pegawainya dipecat di samping menafikan exconya, Datuk Husam Musa meletakkan jawatan.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di kediaman Menteri Besar hari ini, beliau memberitahu niat setiausaha politiknya, Anual Bakhri Haroun untuk meletakkan jawatan sudah lama dinyatakan.

Ianya dibuat atas sebab Anual mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat beliau dan juga atas masalah kesihatan anak bongsunya yang harus deberi penumpuan.

Manakala setiausaha akhbarnya pula, Mohd Saiba Yaakob akan habis kontrak hujung bulan ini.

Apa yang berlaku katanya bukan rombakan tetapi prosedur biasa lantikan politik apabila seseorang itu tamat kontrak.

Nik Aziz juga menolak spekulasi kononnya Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatannya ekoran rombakan dalam pentadbiran pejabat menteri besar.

Sebaliknya Nik Aziz memberitahu, Husam yang merupakan bekas setiausaha politiknya sebenarnya pemimpin kesayangan beliau.

“Mana boleh dia (Husam) letak jawatan...Datuk Husam ini antara yang saya sayang, dia punya kebijaksanaan,” kata beliau selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di sini petang ini.

Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa Husam akan meninggalkan Kabinet kerajaan negeri dan kerusi Dewan Undangan Negeri, Nik Aziz berkata, “siapa kata dia (Husam) nak letak jawatan? Karut semua itu.”

Dimaklumkan perkara itu dilaporkan oleh blog sejak beberapa hari lalu, Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan, “celaka blog itu. Tak ada kerja lain... tau nak laga-lagakan orang.”

“Suka buat dosa. Berdosa menulis perkara bukan-bukan tanpa bukti dan fakta jelas,” tambah beliau.

Husam juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan. Malah juga diamanahkan untuk mengetuai jawatankuasa berkaitan isu pertikaian royalti minyak untuk negeri itu. Harakahdaily/-

Makna batin penyempurna solat

12 Muharram 1431H
Email : mohd naim mohd zain

Makna-makna batin yang mesti wujud bagi menyempurnakan kehidupan solat, mengikut pandangan Imam Ghazali, terhimpun di dalam enam perkara, iaitu hudur al-qalb (kehadiran hati), tafahhum (usaha memahami bacaan dan perbuatan), ta'zim (mengagungkan) , haibah (takut yang timbul daripada perasaan hormat atau mengagungkan) , raja'(harap) , dan haya'(malu).

Hudur al-qalb

Yang dimaksud dengan hudur al-qalb ialah mengosongkan hati daripada selain yang kita sedang lakukan dan ucapkan, sehingga kita mengetahui apa yang kita lakukan dan apa yang kita ucapkan dan fikiran, kita tidak berkeliaran kepada selain keduanya. Selama fikiran kita berpaling daripada selain keduanya dan dalam hati kita tidak ada selain ingatan terhadap apa yang sedang kita hadapi dan tidak ada sebarang kelalaian terhadap setiap sesuatu, maka tercapailah dengannya kehadiran hati. Faktor utama bagi kehadiran hati adalah himmah, iaitu minat, keinginan atau perhatian, kerana hati seseorang akan menjadi perhatiannya. Jika seseorang berminat pada sesuatu atau mengingini sesuatu atau menaroh perhatian pada sesuatu, maka hatinya akan hadir padanya, sama ada ia kehendaki atau tidak, sebab hati dijadikan bertabiat demikian.

Apabila hati kita tidak hadir dalam solat, maka ia tidak menganggur, tetapi berkeliaran ke berbagai macam urusan dunia yang diminati atau menjadi perhatian utamanya. Maka tidak ada cara untuk menghadirkan hati kita kepada solat, melainkan dengan memalingkan minat dan perhatian kita kepada solat. Minat atau perhatian kita tidak akan terpaling kepada solat selama belum jelas bahawa tujuan yang dicari bergantung kepadanya. Yang demikian adalah keimanan dan kepercayaan bahawa akhirat itu lebih baik dan lebih berkekalan daripada dunia, dan bahawa solat merupakan sarana untuk mencapainya. Jika perkara ini didukung oleh hakikat pengetahuan tentang betapa tidak berharganya dunia dan betapa sedikit kepentingannya jika dibanding dengan akhirat, maka akan tercapailah daripada keseluruhannya kehadiran hati dalam solat.

Jika dengan sebab seperti ini, hati anda boleh hadir bila anda berada di hadapan orang besar atau raja yang tidak berkuasa menimpakan bahaya atau memberi manfaat kepada anda, dan tidak boleh hadir pada waktu anda bermunajat di hadapan Maha Diraja, Yang ditanganNya segala kerajaan, kekuasaan, manfaat dan bahaya, maka janganlah anda menyangka bahawa hal tersebut memiliki sebab lain selain daripada kelemahan iman.

Oleh sebab itu, berjuanglah anda untuk memperkuat keimanan anda yang lemah tersebut.

Tafahhum

Tafahhum atau memahami makna ucapan merupakan perkara di luar kehadiran hati. Boleh jadi hati hadir bersama lafaz yang diucapkan, tetapi tidak bersama makna lafaz tersebut. Kehadiran hati bersama pengertian tentang makna lafaz yang diucapkan inilah yang dimaksud dengan tafahhum.

Dalam kefahaman ini manusia berbeza-beza, kerana mereka tidak sama dalam memahami makna-makna yang terkandung di dalam Al-Qur'an dan berbagai tasbih. Bahkan kefahaman seseorang itu sendiri berbeza dari semasa ke semasa. Berapa banyak makna-makna yang halus yang difahami oleh seseorang yang sedang menunaikan solat, padahal sebelumnya tidak pernah terlintas di dalam hatinya. Melalui kefahaman terhadap makna-makna yang terkandung di dalam bacaan inilah solat mencegah orang-orang yang menunaikannya daripada segala perkara yang keji dan mungkar. Faktor penyebab timbulnya tafahhum, setelah kehadiran hati, ialah sentiasa berfikir dan mengarahkan fikiran ke arah usaha untuk mengetahui dan memahami makna. Usaha menimbulkan tafahhum ialah dengan menghadirkan hati beserta menghalakan pemikiran ke arah memahami makna lafaz yang dibaca dan usaha menolak berbagai lintasan fikiran yang liar.

Cara menolak lintasan fikiran yang menyibukkan ialah dengan memutuskan atau memotong berbagai perkara yang boleh menjadi bahan pemikiran, yakni menjauhkan diri daripada sebab-sebab yang membuat fikiran tertarik kepadanya. Jika perkara-perkara yang menjadi bahan fikiran itu tidak dilenyapkan, maka fikiran tidak akan dapat dipalingkan daripadanya. Sesiapa yang mencintai sesuatu, maka ia pasti banyak mengingatinya, dan ingatan itu pula pasti akan melanda hatinya. Oleh sebab itu, maka kita melihat bahawa orang yang mencintai selain Allah, solatnya tidak akan terhidar daripada berbagai lintasan fikiran yang liar.

Ta'zim

Ta'zim juga merupakan perkara di luar kehadiran hati dan kefahaman, kerana seseorang mungkin mengatakan kepada hamba sahayanya perkataan-perkataan yang ia fahami maknanya dengan kehadiran hati, tetapi ia tidak mengagungkannya, ertinya tanpa ta'zim. Jadi ta'zim adalah tambahan ke atas keduanya. Ta'zim ini merupakan keadaan hati yang lahir daripada dua makrifat:

Pertama: Makrifat akan kemuliaan dan keagungan Allah, yang merupakan salah satu asas keimanan. Sesiapa yang tidak diyakini keagungannya, maka jiwa tidak mahu mengagungkannya.

Kedua: Makrifat akan kehinaan diri dan kedudukannya sebagai hamba yang tidak memiliki sebarang kekuasaan.

Daripada kedua makrifat tersebut lahirlah perasaan istikanah (yakni pasrah dan merendah diri), inkisar (lemah, tidak terdaya) dan khusyu' kepada Allah, yang diungkapkan dengan perkataan ta'zim. Selama kedua makrifat tersebut belum wujud, maka tidak akan timbul keadaan ta'zim dan khusyu'.

Seseorang yang merasakan kecukupan, tidak memerlukan pihak lain dan merasa aman atas dirinya mungkin mengetahui sifat-sifat keagungan pihak lain, tetapi pada dirinya tidak ada perasaan khusyu' dan ta'zim, kerana makrifatnya akan keagungan pihak lain tersebut tidak disertai oleh makrifat lain, iaitu makrifat kehinaan dirinya dan kedudukannya sebagai hamba yang tidak memiliki sebarang kekuasaan.

Haibah

Haibah adalah tambahan ke atas ta'zim, bahkan ia merupakan perasaan takut yang berpunca daripada ta'zim, kerana orang yang tidak takut tidak dapat dikatakan ha'ib. Perasaan takut kepada kala atau ular atau kejahatan seseorang atau yang seumpamanya daripada sebab-sebab yang hina tidak dinamakan haibah, kerana haibah adalah perasaan takut yang berpunca daripada sikap atau perasaan mengagungkan.

Haibah dan khawf adalah keadaan jiwa yang timbul daripada makrifat akan kekuasaan Allah, akan pengaruh dan berlakunya segala kehendaknya ke atas dirinya, dan pengetahuannya bahawa sekiranya Allah membinasakan seluruh manusia, yang dahulu maupun yang kemudian, maka yang demikian itu tidak akan mengurangi kerajaanNya sedikitpun juga. Yang demikian, di samping mengetahui akan segala yang berlaku ke atas para nabi dan para Wali, daripada berbagai musibah dan bermacam-macam ujian, meskipun Allah SWT Maha Kuasa untuk menolaknya. Berbeza dengan keadaan yang disaksikan daripada raja-raja dunia.

Kesimpulannya, semakin bertambah ilmunya tentang Allah, maka semakin bertambahlah rasa takut dan haibahnya kepadaNya.

Raja'

Raja' atau harap pula merupakan tambahan. Beberapa banyak orang yang mengagungkan seseorang raja yang ditakuti, kebaikannya. Seorang hamba adalah sudah selayaknya mengharapkan dengan solatnya ganjaran daripada Allah swt, sebagaimana ia takut bila mencuaikannya akan seksaanNya.

Faktor penyebab timbulnya raja' adalah makrifat akan kelembutan, kedermawanan, keluasan ni'mat, keindahan ciptaan, dan pengetahuan akan kebenaran segala janji Allah swt., khususnya janji Syurga bagi orang-orang yang menunaikan solat. Jika telah wujud keyakinan akan kebenaran janjiNya dan pengetahuan akan kelembutanNya, maka timbullah raja.

Haya'

Haya' merupakan tambahan bagi semua perkara di atas, kerana ia timbul daripada perasaan melakukan kecuaian dan perasaan berdosa. Mungkin sahaja pada seseorang terdapat kesemua yang lain, yakni ta'zim, haibah, raja dan lain-lainnya, tetapi tidak ada padanya haya', kerana tidak ada padanya perasaan melakukan sebarang kecuaian ataupun melakukan sebarang perbuatan dosa.

Maka perasaan haya' ini hanya akan muncul dengan adanya perasaan kekurangan, atau kecuaian dalam ibadat, dan mengetahui akan ketidak mampuan diri untuk mengagungkan Allah sepenuh hakNya. Dan perasaan tersebut menjadi lebih kuat lagi dengan mengetahui akan kecacatan diri, kekurangan ikhlasnya, keburukan batin dan kecenderungannya kepada memperoleh keuntungan yang segera dalam segala amal perbuatannya, di samping mengetahui akan besarnya konsekuensi yang dituntut kebesaran Allah, dan bahawa Dia Maha Mengetahui akan segala rahasia dan lintasan hati sehingga kepada yang sekecil-kecilnya. Semua pengetahuan ini jika telah diperoleh secara yakin, pasti akan menimbulkan suatu keadaan yang dinamakan haya'(malu).

Inilah sifat-sifat atau makna-makna batin yang mesti wujud bagi menyempurnakan kehidupan solat, dan faktor-faktor penyebabnya. Setiap perkara yang dituntut memperolehnya, maka caranya adalah dengan menghadirkan faktor penyebabnya. Dengan mengetahui faktor penyebabnya, maka kita akan mengetahui cara mewujudkannya. Penghubung kesemua sebab-sebab tersebut adalah keimanan dan keyakinan. Kekhusyu'an hati adalah mengikut kadar keyakinan, dalam erti semakin tinggi kadar keyakinan seseorang, maka semakin tinggi pula kadar kekhusyu'annya.

Dengan melihat kepada perbezaan makna-makna yang telah disebutkan di dalam hati, maka manusia terbahagi kepada orang yang lalai yang menyempurnakan solatnya tanpa kehadiran hatinya, walau sesaatpun; dan orang yang menyempurnakan solatnya dan hatinya tidak lalai walaupun sesaat, seluruh perhatiannya tertumpu pada solatnya, sehingga ia tidak menyedari apa yang berlaku di hadapannya, bahkan ada sekumpulan manusia yang wajah mereka menjadi pucat dan sendi-sendinya menggeletar.

Bahagian tiap orang daripada solatnya adalah mengikut kadar kekhusyu'an, pengagungan, perasaan takut dan lain-lainnya daripada makna-makna tersebut, kerana yang menjadi tempat perhatian Allah swt adalah hati, bukan gerakan anggota badan yang nampak. Pada hari kiamat nanti, tidak ada yang selamat melainkan orang yang datang menemui Allah swt dengan hati yang selamat.

Usaha Menghadirkan Hati Dalam Solat

Seorang mukmin, di samping beriman, ia juga tidak terlepas daripada keadaan mengagungkan Allah swt, takut, menaruh harapan, dan merasa malu kepadaNya atas kecuaian dan kekurangannya. Meskipun kekuatan keadaan tersebut bergantung kepada kadar kekuatan keyakinannya, tetapi terlepasnya dirinya daripada keadaan tersebut dalam solat tidak mempunyai sebab lain selain daripada berpencarnya fikiran, bercawangnya lintasan, ketidak hadiran hati pada munajat dan kelalaian daripada solat.

Tidak ada yang melalaikan seseorang daripada solat selain lintasan-lintasan yang mendatang yang menyibukkan atau mengganggunya. Tidak ada cara untuk menghadirkan hati melainkan dengan jalan menolak atau mengusir lintasan-lintasan tersebut. Sesuatu tidak dapat ditolak atau diusir melainkan dengan menolak atau mengusir sebab-sebabnya. Oleh sebab itu, hendaklah ia mengetahui sebab-sebabnya. Sebab datangnya lintasan-lintasan tersebut sama ada merupakan perkara yang datang dari luar, atau pun perkara yang datang dari dalam dirinya sendiri.

Yang datang dari luar, sama ada yang mengetuk telinga atau nampak bagi penglihatan, yang meragut perhatian, sehingga mengikutnya dan hanyut terbawa olehnya, kemudian fikirannya pun terseret kepada perkara-perkara lainnya secara berantai. Penglihatan menjadi sebab pemikiran, kemudian sebahagian daripada pemikiran-pemikiran tersebut menjadi sebab bagi sebahagian yang lainnya. Orang yang kuat niatnya dan tinggi minat atau perhatiannya, segala yang berlaku pada pancainderanya tidak akan membuatnya lalai. Tetapi orang yang lemah, fikirannya pasti akan berpencar kerananya.

Mengatasinya adalah dengan memutuskan atau menghalang sebab-sebab tersebut dengan memejamkan penglihatan, solat di tempat yang gelap, tidak membiarkan sesuatu yang boleh menyibukkan perasaannya berada di hadapannya, solat dekat dinding agar tidak luas jarak penglihatan, dan menghindari solat di tepi atau menghadap ke jalan, atau solat di tempat-tempat yang penuh dengan perhiasan, atau diatas permaidani yang berwarna-warni, apalagi yang dilukis dengan bermacam-macam lukisan.

Oleh kerana itulah, maka para ahli ibadat beribadat di dalam ruangan yang kecil atau sempit, supaya lebih dapat menumpukan perhatian. Orang-orang yang kuat daripada kalangan mereka meghadiri masjid-masjid dan menundukkan pandangan dan tidak melampaui pandangan mereka dari tempat sujud. Mereka berpendapat bahawa daripada kesempurnaan solat adalah bahawa kita tidak mengetahui siapa di sebelah kanan dan kiri kita. Ibnu Umar r.a. tidak membiarkan di tempat solatnya ada sebarang mushaf atau pedang melainkan beliau menyingkirkannya, dan tidak ada sebarang tulisan melainkan beliau menghapusnya.

Adapun sebab-sebab batin yang datang dari dalam diri kita sendiri, maka ia lebih susah mengatasinya. Sesungguhnya orang yang memiliki obsesi yang bercawang-cawang di lembah-lembah dunia, fikirannya tidak tertumpu pada satu aspek sahaja, tetapi sentiasa berkeliaran dari satu aspek ke aspek lain, sehingga menundukkan atau memejamkan pandangan tidak lagi berguna baginya. Apa yang telah bersemayam di dalam hati sebelumnya telah cukup menyibukkannya.

Cara mengatasinya adalah dengan menarik jiwa secara paksa untuk memahami apa yang dibaca di dalam solat dan menyibukkannya dengannya sehingga melupakan yang lainnya. Perkara lain yang boleh membantunya ialah mempersiapkan diri sebelum takbirat al-ihram dengan memperbaharui ingatan akan akhirat, kedudukan munajat dan pentingnya berdiri di hadapan Allah swt Yang Maha Melihat, di samping mengosongkan hatinya daripada perkara yang boleh menarik perhatiannya sebelum takbiraat al-ihram.

Rasulullah saw bersabda kepada Usman Bin Talhah:

Maksudnya: "Aku lupa mengatakan kepadamu supaya engkau menutup periuk yang ada di rumah. Sesungguhnya tidak semestinya di dalam rumah ada sesuatu yang boleh melalaikan manusia daripada solatnya".

Ini merupakan salah satu cara menenangkan fikiran. Apabila gelora fikirannya tidak dapat ditenangkan dengan cara ini, maka tidak ada yang dapat menyelamatkannya melainkan dengan menumpas atau mencabut materi penyakit dari akar umbinya, iaitu dengan melihat kepada perkara-perkara yang menghalang usaha menghadirkan hati. Tidak syak lagi bahawa yang demikian kembali kepada berbagai perkara yang diminati, yang telah menjadi perhatian utama bagi syahwatnya, maka ia menghukum jiwanya dengan melepaskan diri daripada syahwat-syahwat tersebut dan memutuskan berbagai ikatannya.

Setiap perkara yang melalaikan seseorang daripada solatnya membahayakan agamanya dan merupakan tentera Iblis, musuhnya; maka memegangnya lebih berbahaya daripada membuangnya. Oleh sebab itu, ia hanya dapat melepaskan dirinya daripadanya dengan membuangnya, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah r.a. bahawa beliau berkata:

"Nabi SAW mempunyai khamisah (pakaian daripada wool yang padanya terdapat lukisan), maka baginda memberikannya kepada Abu Jahmah dan mengambil sebagai gantinya anbijaniyahnya (pakaian daripada wool yang paling kasar dan paling rendah mutunya). Mereka berkata: Wahai Rasulullah, khamisah lebih baik daripada anbijaniyah.

Baginda saw bersabda: Aku melihat lukisannya dalam solat".

Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Imam Malik daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, tidak melalui Aisyah r.a.

Nasai dan Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa beliau berkata:

"Bahawa Rasulullah saw mengambil sebentuk cincin dan memakainya. Kemudian baginda bersabda: Cincin ini, sejak hari ini, telah melalaikan aku daripada kamu, sekejap aku melihat kepadanya dan sekejap aku melihat kepadamu. Kemudian baginda membuangnya" .

Diriwayatkan bahawa baginda saw telah memerintah menggantikan tali terompahnya dengan yang baru. Kemudian baginda saw tergerak hatinya untuk melihatnya dalam solatnya, kerana barunya. Maka baginda pun memerintahkan supaya menggantikannya dengan tali yang lama kembali.

Diriwayatkan bahawa Abu Talhah menunaikan solat di dalam kebunnya, maka tiba-tiba beliau tertarik dengan seekor binatang yang terbang di atas pokok mencari jalan keluar. Beliau mengikutinya dengan pandangannya, kemudiannya beliau terlupa berapa rakaat beliau telah solat? Beliau pun menceritakan fitnah yang terjadi pada dirinya kepada Rasulullah saw, dan beliau berkata: "Kebun itu aku sedekahkan, aturlah mengikut kehendak tuan hamba".

Demikianlah mereka bertindak untuk memutuskan perkara yang menjadi bahan pemikiran, selain juga sebagai kesempurnaan solat. Itulah ubat yang mujarab bagi penyakit tersebut dan tidak ada ubat lainnya yang bermanfaat.

Adapun ubat penenang dan ajakan memahami zikir yang dibaca, maka ia hanya bermanfaat untuk mengatasi syahwat yang lemah dan keinginan atau minat yang tidak menyibukkan kecuali pinggiran hati. Adapun syahwat yang kuat yang bergelora, ubat penenang tidak berguna dan ia akan terus menariknya dan terus menarik anda, kemudian mengalahkan anda sehingga musnah seluruh solat anda dalam usaha tarik menarik. Walaupun demikian, anda tidak boleh meninggalkan mujahadah atau berhenti berusaha untuk mengembalikan hati kepada solat dan mengurangi sebab-sebab yang melalaikan.

Itulah ubat yang pahit, dan kerana pahitnya dianggap buruk oleh tabiat, sehingga penyakit yang ada menjadi kronik dan sukar disembuhkan.
Dipetik daripada buku Pejalanan Rabbani, Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat karangan Prof Madya Dr Musa bin Fathullah Harun

Sajian Hari Ini : Asam Pedas Ikan Sembilang

12 Muharram 1431H
Email : mohd yusri selamat


Bahan-Bahan:
2 ekor ikan sembilang sederhana besar
1 cawan jus asam jawa
1 genggam daun kesom
1 cawan cili kisar
1/2 inci halia, dititik
1/2 inci lengkuas, dititik
Garam dan gula
8 biji bawang merah*
1/2 inci kunyit hidup*
3 ulas bawang putih*
1/2 camca teh halba*
1/2 inci belacan
3/4 camca teh lada hitam

Cara Menyediakan:
1. Ikan sembilang, dikerat2, cuci dan perap dengan garam dan jus limau nipis 10 - 15 minit. Cuci bersih dan toskan.

2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan tumbuk halus, halia dan lengkuas dan tumis hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga terbit minyak. Tuangkan air (anggaran 700ml) dan biar mendidih.
3. Masukkan ikan dan daun kesom, kacau rata. Tambah jus asam jawa, perasakan dengan garam dan secubit gula. Biar mendidih perlahan 3 - 4 minit hingga ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api.

Matlamat Sek. Jing Zhen ialah melahirkan pendakwah yang boleh berbahasa Mandarin.

12 Muharram 1431H
Email : Kamal Koh
http://www.jz-islamic-school.myportal.my/

Tadika ini juga terbuka untuk anak-anak non muslim. Keisimewaan guru berkelulusan M.A. dalam sastra Cina boleh menjadi daya tarikan kepada ibu bapa Cina.

Sekian, terima kasih

Kamal Koh (tel:016-2206707)


Tahniah, dan Teruskan Usaha Dakwah Dewan Pemuda PAS Perak

12 Muharram 1431H
Email : Mohd Hafez sabri

Tahniah diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Perak, kerana berjaya mengadakan pertandingan futsal piala Pesuruhjaya PAS Perak.

Sememangnya program seperti ini sangat penting kerana ia adalah medan mengeratkan ukhuwwah seluruh ahli pemuda PAS Perak di setiap kawasan. Semasa bertemu ahli-ahli boleh saling bertanya khabar dan mengetahui perkembangan organisasi. Ini penting untuk mengeratkan lagi ukhuwwah dan kesatuan organisasi bagi melancarkan agenda dakwah.


Selain itu saya melihat aktiviti riadah berfutsal yang dianjurkan oleh pemuda PAS Perak ini boleh dijadikan medan mengumpul mad’u yang baru. Riadah boleh dijadikan masa untuk bertemu dan saling berkenalan. Dengan berkenalan akan timbul kesefahaman dan kasih sayang yang merupakan asas dalam dakwah.

Selain itu, program riadah dapat membentuk akhlak muslim. Ketika bersukan pastinya akan ada kekasaran. Kadangkala juga seorang itu akan diuji sejauh mana dia jujur dengan kesalahan yang dilakukannya ketika bersukan. Oleh itu dari kekasaran akan terbentuknya sifat kemaafan dan kejujuran menanamkan sifat sering merasai pemerhatian oleh Allah (ma’iyatullah).

Sehubungan dengan itu, penghayatan terhadap kepentingan riadah pula adalah sebahagian daripada fikrah Islam yang syumul. Sebuah organisasi yang membawa fikrah yang syumul harus merialisasikan apa yang didokongnya.

Tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Perak kerana berjaya menjadikan riadah sebagai salah satu wasilah kepada dakwah, tarbiyah dan siasah, teruskan segala usaha murni dalam meneruskan gerak kerja Islam.

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
Pesuruhjaya PAS Perak

2009 : Sejarah Tahun Kejahatan UMNO-BN

12 Muharram 1431H
Oleh : Zabidie Abas

Marhaen dan dunia menyaksikan tahun 2009 adalah tahun dimana Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO diambang keruntuhan dan penuh kejahatan.

Ia bukan dicanang oleh pencatat tetapi dilakukan sendiri oleh tangan-tangan jijik UMNO-BN :

1. Setelah BN kalah PRU 12 bagi DUN Perak. UMNO-BN mengunakan wang dan Istana untuk merampas DUN Perak dari Pakatan Rakyat.

2. Datuk Seri Najib Razak mengunakan taktik kekalahan Pilihanraya kecil untuk merampas tahta Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Badawi.

3. Pembunuh Altantuya iaitu Razak Baginda mengunakan bom C4 . Razak dibebaskan kerana mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri .

4. Hilangnya enjin jet F5E bernilai RM100 juta. Langkah pertama untuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjatuhkan Najib Razak.

5. Tan Sri Isa Samad yang mengaku melakukan jenayah wang untuk pemilihan UMNO. Sayugia dilantik calon pilihanraya Kecil .

6. Orang dalam UMNO Negeri Sembilan menyalurkan maklumat tentang wang yang diseludup oleh MB N.Sembilan dan Datin Seri Rosmah Mansor dengan tujun mencantas satu sama lain.

7. Robohnya Stadium di Kuala Terengganu. "Satu lagi projek Barisan Nasional ".

8. Rebutan kuasa MCA berpunca skandal sex dan PKFZ. BN-MCA yang melakukan jenayah, malangnya pegawai syarikat pengendali yang didakwa.

9. Khairi Jamaluddin telah dibuktikan mengunakan wang semasa Pemilihan Agung UMNO tetapi dibiarkan memegang jawatan Ketua Pemuda.

10. Ketua Menteri UMNO Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan ramai pemimpin UMNO didapati mengunakan wang dalam pertandingan Naib Presiden dan jawatan lain dalam UMNO. Tetapi 'dibiarkan' sahaja.

11. Sembilan Pilihanraya Kecil berlaku. UMNO-BN gagal disebabkan kejahatan dan masih melakukan jenayah secara terang.

12. Akhirnya Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan meletakkan jawatan kerana tidak mahu lagi bersetongkol dengan kejahatan UMNO-BN.

13. UMNO mengunakan taktik pendakwaan liwat sekali lagi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kes liwat tersebut diseliakan oleh Najib Razak.

14. UMNO-BN mengunakan wang untuk 'membeli' wakil rakyat Pakatan Rakyat. Dibuktikan dengan beberapa wakil rakyat disimpan dirumah Najib Razak.

15. Teoh Beng Hock dibunuh atau bunuh diri ? Yang pasti dia terbunuh didalam jagaan SPRM. Ada yang mengatakan ada rakaman video Teoh dibunuh semasa soal-siat dan tahanan SPRM.

16. Rosmah Mansur mengatakan rakyat memfitnahnya. 'Big Mama' berkata semua tuduhan adalah fitnah dan gosip.

17. Rakatan Rakyat menerima keahlian baru yang mendadak sepanjang 2009 termasuk beberapa tokoh UMNO-BN meninggalkan UMNO-Bn dan menyertai PKR.

18. Tun Abdullah Badawi melepaskan jawatan PM dalam keadaan dihinakan oleh bekas PM dan orang-orang UMNO sendiri.

19. Dewan Rakyat hampir 'menguburkan BN' kerana gelombang rakyat dan sikap semulajadi pemimpin BN-UMNO yang sentiasa cuai.

20. Pengajian dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) - terus mendapat tentangan daripada rakyat. Namun pemimpin UMNO masih berkeras kepala tanpa penyelasian.

Kelab Penyokong PAS diiktiraf sebagai Dewan

12 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 29 Dis: PAS menempa satu lagi sejarah dalam perjuangan dakwah dan politiknya apabila kini Kelab Penyokong PAS akan diserap menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS bertaraf sayap parti.

Dasar-dasar yang telah diderafkan sebagai legitimasi kepada dewan ini memberi kelansungan kepada sinar politik dan pengharapan masyarakat bukan Islam dalam meneruskan sokongan kepada PAS.

Mengupas tajuk ini, Wartawan Kanan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB menemubual Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa pada 23 Disember lalu.

Ikuti bingkisan wawancara tersebut.

Soalan: Assalamualaikum Dr Mujahid, boleh Dr jelaskan bila terbentuknya keputusan mengenai Himpunan Penyokong PAS, diperingkat pusat, dan bagaimana ia dipertimbangkan hingga terbentuknya dewan yang bersejarah ini?

Dr Mujahid: Waalaikumsalam..Terima kasih kepada pihak Harakan, ingin saya maklumkan bahawa ia bermula dengan pembentangan awal draf ini pada 'retreat' PAS Pusat Jun tahun 2009 di Alior Setar.

Kemudiannya kali kedua setelah kita buat selepas kita selesai beberapa pilihan raya kecil PRK, dalama dua tiga bulan yang sudah, kemudiannya mesyuarat terakhir baru-baru ini dibentang sekali lagi, bermakna dah tiga kali draf ini dibentang.

Draf ini yang membawa makna ia legitimasi kepada undang-undang yang membawa kewujudan kelab inilah, contohnya dia ada punya struktur sendiri, keahliannya, disiplinnya dan hak keperwakilannya ke adalam muktamar atau mesyuarat-mesyuarat PAS Pusat, negeri, hingga ke kawasan.

Ia juga ada syarat-syarat keanggotaan dan sebagainya.

Draf tersebut telah dibentang tiga kali dan pada mesyuarat terakhir kita di peringkat pusat telah bersetuju dari segi dasar yang bagi saya hampir selesai, cuma pembetulan dari segi teknikal bahasa sahaja, iaitu kita akan siapkan sebelum mesyuarat akan datang iaiatu 10 Januari 2010.

Dari segi dasar tiada masalah bahkan pada mesyuarat lalu mereka mahu namanya diberi sedikit kekuatan dengan diberi nama Dewan Perhimpunan Penyokong PAS supaya dilihat ia sayap yang berperanan penting seperti dewan lain, itu drafnya kita telah sediakan di mana bekas senator Haji Hassan Shukri selaku pengerusi.

Soalan : Baik, DR bagaimanakan kedudukan penyokong yang menjadi ahli kelab ini, terutamanya dalam muktamar dan peranan dalam PAS?

Mujahid : Kita ada cuba elakkan terutamanya soal keahlian, jika mereka ini hendak dijadikan ahli penuh maknaya kita perlu meminda perlembagaan, di mana ia akan melibatkan pendaftar pertubuhan (ROS) dan pengalaman kita dalam berurusan dengan ROS ini sebenarnya jika nak hantar satu pindaan yang besar kerana melibatkan satu prinsip atau asas dalam perlembagaan ia akan mengambil masa lama untuk ROS luluskan.

Malah ia perlu dibawa ke muktamar untuk pindaan.

Oleh kerana kita nak elak ia menjadi masalah yang panjang, kita menggunakan peruntukan (klause) yang ada dalam perlembagan kita yang menyatakan AJK PAS Pusat berhak membentuk apa-apa jawatankuasa yang dirasakan perlu.

Jadi dengan peruntukan itu, kita telah diberi kuasa menubuhkan jawatankuasa ini dan kita setuju keahlian dewan ini kehalian di peringkat dewan sahaja tak melibatkan ahli menyeluruh kerana berasaskan kepada masalah yang saya sebutkan tadi.

Namun demikian status sebagai dewan perhimpunan ini tetap beri hak hadir mesyuarat, hadir muktamar dan beri pandangan dan lebih dari itu jadi sayap parti khusus dalam persoalan bukan Islam.

Soalan : Adakah mereka juga ini ada hak untuk mengundi atau memilih perwakilan?

Dr Mujahid : Oleh kerana macam, saya kata sebentar tadi bahawa pindaan perlembagaan secara besar-besaran tidak berlaku, yang berlaku hanya klause yang menyatakan jawatankuasa boleh membentuk.

Di sana ada isu-isu yang menyentuh hak untuk mengundi di muktamar, dia tak menyebut nama dewan ini sebab belum dipinda, kita letak status mereka pemerhati rasmi, mereka berperanan macam perwakilan lain tetapi mereka tak boleh mengundi dan diundi buat masa ini, namun status itu tak kekal, maknanya ia boleh berubah tak kekal statusnya setakat itu sahaja.

Soalan : Ada keperluan ubah pada masa akan datang?

Dr Mujahid : Kemungkinana besar ada keperluannya nanti kerana kita baharu dalam peringjkat awal, ia berpadanan dengan bersifat pemerhati rasmi sahaja, namun bila kita lihat adanya keperluan kita akan pinda lagilah.

Soalan : Apakah respons penyokong bukan Islam terhadap pembentukan dewan ini?

Dr Mujahid : Sudah tentulah sebelum ini mereka setia dengan Kelab Penyokong PAS (KPP), sudah tenti bila kita (PAS) mengiktiraf mereka jadi dewan dan ada undang-undang sendiri dan boleh hadir muktamar dan mesyuarat, saya rasa itu bagi mereka yang setia bersama KPP, ini satu perubahan besar mereka yakjin masa depan dengan PAS cerah.

Dan bagi mereka yang bukan penyokong, mereka akan dapat melihat ini satu pembaharuan yang PAS lakukan bukan hanya retorik sahaja.

Soalan : Timbul persoalan, dalam menyentuh soal calon bagi Pilihan Raya Kecil mahupun Umum, adakah mereka dati kelab yang mahu menjadi calon ini boleh bertanding dengan lambang PAS, bagaimana Dr melihat ini, kerana ia pernah menjadi tuntutan KPP sebelum ini?

Dr Mujahid : Kalau kita tengok dalam draf undang0undang ini, antaranya ada disebutkan mencalonkan ataupun mencadangkan calon-calon untuk pilihan raya apabila dikehendaki atau diminta PAS Pusat, maknanya potensi mereka jadi calon ada.

Namun ianya terpulang kepada pertimbangnan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama yang biasanya menapis calon-calon ini.

Malah ia juga bergantung kepada suatu rundingan dengan sahabat-sahabat dalam Pakatan Rakyat samada untuk letak ditempat sesuai.

Draf juga menyebut mereka boleh beri calon kepada kita untuk kita pertimbangkan, mereka bukan sahaja duduk kekal sebagai dewan tetapi nak jadi calon untuk mereka ini sebagai tidak mustahil akan berlaku.

Isu ini perlu diperincikan keperluan siapa dan dimana.Secara peribadi saya rasa sangat perlu letak calon bukan Islam kalau tak ramai beberapa indidvidu di kawasan yang staretgik

Soalan: Dengan kekecamukan parti koponen BN seperti MIC, PPP dan MCA apakah peranan dewan ini dalam mendepani kemelut ini suapay sokongan bukan Islam akan terarah kepada PAS?.

Dr Mujahid : Peranan dewan ini besar walauun kini kita tumpukan soal penjelmaan dewan ini, ini bukan mudah insyaAllah akan kita selesaikan secepatnya.

Tetapi pada waktu yang sama juga apa yang berlaku iaitu kekecamukan dalam MIC, MCA dan PPP kita di peringkat PAS memerlukan mereka sertai kita, tetapi ditegaskan mereka yang nak masuk kena yakin dasar dan perjuangan PAS dan ada syarat dalam keahlian yang mana dalam kita alu-alukan kita juga mahu penyertaan mereka dengan keyakinan dengan dasar-dasar PAS.

Kita dah siap modul untuk ahli-ahli masuk serap jadi dewan kita dan kita adakan model latihan perkenalakan PAS.

Soalan : Adakah terbentuknya dewan ini, sokongan kepada PAS akan meningkat, atau rakyat hanya akan melihat ia satu perubahan politik semata?

Dr Mujahid : Sudah tentu meningkat, salah satu sebab mengapa ditubuhkan atau angkat jadi dewan ialah kerana aktivis kelab itu mereka rasa mereka mahu lebih dihargai dan berperanan dan mereka mahu jadi sebahagian dari kita dan seterusnya orang bukan ISlam ini bila lihat serap jadi dewan mereka lebih yakin dan bukan retorik kerana kita jadikan mereka sebahagian orgnaisasi kita, ini komitmen PAS yang begitu telus dalam garap persoalan bukan Islam ini.

Ini pengiktirafan besar, kita harap ia berkembang perkenalkan PAS bukan dari ,mulut orang Islam tetapi mulut hukan Islam.

Saya juga ingin memesan, bahawa Lajnah Perpaduan Nasional mahu minta semua pengerusi lujnah negeri memberi kerjasama erat supaya usaha kelab di negeri masing-masing diberi perhatian dan disokong supaya mereka dapat diserap dengan licin dengan daftar keahlian dan struktur negeri yang lebih tersusun.

Beri kerjasama atas arahan Lunjah pastikan proses ini berjalan lancar.

HarakahDaily.Net/-

Mahasiswa mahu perkataan 'Pelajar' ditukar kepada 'Mahasiswa'

12 Muharram 1431H

SKUDAI, 29 Dis: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam dicadangkan untuk menggunakan perkataan 'mahasiswa' menggantikan 'pelajar' pada nama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti tersebut.

Cadangan tersebut dibuat Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Nur Azim Fahada Ahmad dalam suatu memorandum kepada Naib Canselor Datuk Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang semalam.

Beliau berkata, cadangan tersebut sejajar dengan kenyataan Timbalan Naib Canselor Prof. Dr. Tajuddin Ninggal dalam suatu upacara rasmi Universiti sebelum ini.

Beliau juga berpendapat, penggunaan perkataan 'mahasiswa' pada pertubuhan-pertubuhan siswa Universiti sekali gus mengiktiraf kedudukan mahasiswa sebagai kelompok intelektual terpilih di peringkat Universiti.

Beliau turut memaklum inti perbincangan ProM UTM dengan pentadbiran Universiti, sebelum upacara penyerahan memorandum dilakukan.

"Dalam pertemuan tadi (Isnin), perbincangan kami lebih menumpu pada bagaimana semua pihak dapat bekerjasama dalam menjayakan Pelan Pembangunan Mahasiswa dan melestarikan ilmu di semua peringkat," dipetik dari laman rasmi ProM UTM, promahasiswautm.blogspot.com

Dalam perkembangan yang sama, lebih 50 orang mahasiswa berhimpun di lobi pejabat pentadbiran Universiti menuntut diadakan Majlis Pengenalan Calon dan kebebasan berkempen dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang dijangka umum diadakan pada awal Januari depan.

HarakahDaily.Net/-

Lumut, johan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Perak

12 Muharram 1431H

IPOH 29 Dis: Pasukan futsal dari Lumut muncul juara keseluruhan kejohanan futsal piala Pesuruhjaya PAS Perak dan membawa pulang hadiah berupa sebuah piala dan juga wang tunai RM1,500.

Tempat kedua pula diraih pasukan dari Ipoh Timur dan menerima wang tunai sebanyak RM700, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dari Tanjung Malim dan Kampar membawa pulang hadiah saguhati.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) yang telah berjaya mengadakan Pertandingan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Perak.

Abu Bakar berkata, program sedemikian amat penting kerana ianya merupakan medan untuk mengeratkan ukhuwwah di kalangan pemuda negeri yang hadir dari setiap kawasan di negeri itu bagi mencapai persefahaman dalam melaksanakan kerja dakwah.

"Semasa bertemu,ahli-ahli boleh saling bertanya khabar dan mengetahui perkembangan organisasi. Ini penting untuk mengeratkan lagi ukhuwwah dan kesatuan organisasi bagi melancarkan agenda dakwah," katanya.

Abu Bakar juga berpandangan, program yang diadakan itu boleh dijadikan sebagai medan untuk menarik dan mengumpul golongan muda agar mencintai cara hidup Islam.

"Program ini boleh menjadi medan mengumpul mad'u (sasaran dakwah) yang baru. Riadah boleh dijadikan masa untuk bertemu dan saling berkenalan. Dengan berkenalan akan timbul kesefahaman dan kasih sayang yang merupakan asas dalam dakwah," katanya lagi.

Selain itu ujarnya, program riadah juga juga dapat membentuk akhlak muslim. Ini kerana jelasnya, ketika bersukan pastinya akan berlaku kekasaran.

Kadangkala juga seorang itu akan diuji sejauh mana dia jujur dengan kesalahan yang dilakukannya ketika bersukan. Oleh itu dari kekasaran akan terbentuknya sifat kemaafan dan kejujuran menanamkan sifat sering merasai pemerhatian oleh Allah (ma’iyatullah).

"Sehubungan itu, penghayatan terhadap kepentingan riadah pula adalah sebahagian daripada fikrah Islam yang syumul. Sebuah organisasi yang membawa fikrah yang syumul harus merialisasikan apa yang didokongnya," katanya.

Beliau turut berharap agar DPPN Pk dapat meneruskan usaha untuk menjadikan program riadah dan sukan sebagai salah satu wasilah kepada dakwah, tarbiyah dan juga siasah.

Ahad lalu, sebanyak 24 pasukan terdiri daripada kawasan-kawasan Parlimen di seluruh negeri mengambil bahagian dalam Pertandingan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Perak.

Pertandingan itu berlangsung meriah di Extreme Park Tambun, Ahad lalu dan dirasmikan oleh Abu Bakar sendiri.

Pengadil perlawanan yang dibawa khas daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyemarakkan lagi semangat para pemain. Setiap perlawanan menggunakan khidmat 2 orang pengadil untuk memberikan keadilan kepada semua pasukan.

Setiap pasukan juga menerima sijil penghargaan daripada pihak penganjur.

HarakahDaily.Net/-



Nik Aziz desak Umno keluar BN

12 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin meminta Umno keluar dari BN dan bersama-sama PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya jujur dan benar-benar mahu memperjuangkan hak rakyat.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas aksi sekumpulan pemuda mendesak PAS Selangor supaya keluar dari Pakatan Rakyat negeri Ahad lalu.

Jelasnya, mereka yang terbabit dipercayai sebagai ahli atau penyokong Umno.

"Kalau Umno boleh minta PAS keluar daripada Pakatan (Rakyat), maka saya minta daripada Umno (supaya) keluar dari BN untuk bersama dengan PAS," jelas Nik Aziz seperti yang dilaporkan suatu akhbar tempatan.

Beliau berkta, teknik menjadi dalang mengganggu PAS tersebut merupakan amalan kebiasaan Umno sejak PAS mula memerintah Kelantan dua dekad lalu lagi.

"Didalangi itu, perkara biasa bagi golongan sekular ini (Umno)," jelasnya.

"Sebenarnya orang PAS ini dah masak dah (menjadi dalang Umno)...sejak tahun 1991 lagi, macam-macam perkara dibuat."

Ujarnya, Umno diminta menggugurkan dasar kebangsaan dan bersedia menerima Islam sebagai dasar parti, sekiranya jujur mahu bersama-sama perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Tambahnya lagi, Umno juga seharusnya bersedia menerima parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang lain kerana PAS sekarang komited bersama-sama Pakatan Rakyat demi menumbangkan kerajaan yang zalim secara demokratik.

Beliau yang sebelum ini disebut-sebut sebagai 'Pemimpin Spiritual' dalam Pakatan Rakyat turut berpandangan Pakatan Rakyat lebih memenuhi semangat 1Malaysia, berbanding BN.

"Ia (Pakatan Rakyat) lebih bersemangat 1Malaysia daripada apa yang ada (BN) sekarang ini," sinisnya.

HarakahDaily.Net/-

Pertandingan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Negeri Perak

12 Muharram 1431H
Email : safarizal saleh







http://dppperak.blogspot.com/

http://ajijoi.blogspot.com/2009/12/perasmian-pertandingan-futsal-piala.html



Khasiat Buah Pisang

12 Muharram 1431H
Email : anuarani

Perhatian: Jangan sekali-kali menyimpan pisang dalam peti sejuk. Lepas baca anda semua pasti akan pandang tinggi pada buah pisang.

Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi – sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

Tekanan:
Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mood dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

PMS:
Lupakan pil-pil hospital – makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mood anda.

Anemia:
Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi:
Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi – garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda:
Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert).

Penghadaman:
Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.

Keletihan:
Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung:
Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi:
Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan Nyamuk:
Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.

Saraf:
Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.

Obesiti dan Tekanan Kerja:
Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang.

Ulser:
Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu:
Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool).

Seasonal Affective Disorder (SAD):
Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mud kita.

Ketagihan Rokok & Tembakau:
Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh.

Stres:
Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh. Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

Strok:
Mengikut kajian dalam buku ‘The New England Journal of Medicine‘, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Lain-lain Penyakit Kulit:
Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.
Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati.

Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, “Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!”

PS: Kesimpulannya, pisanglah adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan selalu sihat dan bahagia setiap masa dan ketika! Satu lagi; ingin kilatkan kasut?? Ambil bahagian dalam kulit pisang, sapukan secara terus kepada kasut anda, kemudian kilatkan dengan kain kering. Menakjubkan!

Desakan keluar Pakatan, seperti usaha kudeta UMNO Perak –Pesuruhjaya PAS Perak

12 Muharram 1431H
Email : mohd hafez sabri

IPOH, 28 Dis. Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain tidak menolak kemungkinan bahawa demontrasi pemuda mendesak PAS supaya keluar dari Pakatan Rakyat di Selangor merupakan suatu usaha menjatuhkan kerajaan negeri itu.

“Saya tak tolak kemungkinan ia suatu usaha mereka (Umno) untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, seperti kudita yang mereka buat di Perak,” jelasnya

“Semacam di Perak, mereka (Umno) cuba adakan pelbagai helah dan demontrasi, modul ini yang kita lihat di Selangor sejak Umno tak perintah kerajaan negeri itu lagi.”

Selain menyamakan demontrasi tersebut dengan Demontrasi Mengarak Kepala Lembu September lalu, beliau mengganggap demontrasi tersebut dilakukan oleh segelintir yang kecewa melihat PAS bersama-sama Pakatan Rakyat memerintah Selangor sejak 8 Mac tahun lalu.

“Sama seperti demontrasi kepala lembu berdarah sebelum ini, perhimpunan ini mungkin didalangi membabitkan mereka yang kecewa apabila Umno (dan) BN gagal menguasai (kerajaan negeri) Selangor,” jelasnya.

Sekiranya anggapan tersebut benar, beliau menasihatkan kepemimpinan PAS Negeri serta Pakatan Rakyat Selangor supaya tidak cepat melatah dengan aksi-aksi pemuda terbabit.

“Saya lihat PAS dan Pakatan sepatutnya tidak mudah melatah dengan permainan mereka (Umno) ini yang sengaja mencari isu (dan) jalan (tektik) walaupun tidak bermoral asalkan boleh boleh rampas Selangor seperti mereka kudeta Perak,” jelasnya.

“Keduanya, PAS dan Pakatan Rakyat sepatutnya lebih usaha mengeratkan persefahaman, semacam yang dituntut dalam Konvensyen (Pakatan Rakyat) baru-baru ini.”

Semalam, lebih 20 pemuda melancarkan demontrasi kerana mengganggap PKR dan DAP mengetepikan keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat ketika mentadbir negeri itu.

Mereka yang diwakili Wan Hilman Abdul Halim dilaporkan mahu menyerah memorandum kepada Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Mohd Hassan pagi tadi, namun gagal.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali kemudiannya mengarahkan Badan Perhubungan PAS Selangor supaya menyiasat dalang di sebalik perhimpunan misteri tersebut.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menegaskan bahawa mereka yang terbabit sebenarnya tidak mewakili PAS negeri itu.

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari-Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

12 Muharram 1431H
Email : anuarani

1. TUJUAN

1.1 Garis Panduan ini disediakan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat Islam dalam menyertai majlis perayaan orang bukan Islam supaya tidak berlaku perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

1.2 Garis Panduan ini juga menjadi asas rujukan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam menganjur majlis perayaan orang bukan Islam bersama dengan orang Islam supaya tidak berlaku perbuatan syubhat atau acara yang bercanggah dengan prinsip dan nilai-nilai Islam.

2. PENDAHULUAN

2.1. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah

mengadakan majlis-majlis perayaan sama ada di peringkat nasional, negeri, daerah dan lain-lain. Perayaan tersebut adalah Hari Raya Idul Fitri, Tahun Baru Cina, Depavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan juga Hari Krismas. Ia disambut melalui konsep penganjuran “rumah terbuka nasional”, bertujuan meningkatkan persefahaman dan sikap toleransi di kalangan masyarakat pelbagai kaum serta fahaman agama di negara ini.

2.2 Persoalan timbul di kalangan masyarakat Islam tentang apakah hukum turut merayakan perayaan agama lain. Ada pendapat yang mengatakan hukum merayakan hari perayaan agama lain adalah haram. Mereka bimbang perbuatan tersebut boleh menjejaskan akidah atau secara tidak langsung akan membawa kefahaman bahawa semua agama adalah sama.

2.3 Dalam mengatur hubungan antarabangsa, kaum dan agama di negara ini agar tidak menimbulkan kekeliruan dan prasangka dalam pergaulan khususnya bagi umat Islam, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dalam muzakarahnya pada 1 dan 2 Oktober 1970 yang secara khusus menyentuh mengenai rumah ibadat telah memutuskan;

“Pembesar-pembesar Islam tidak boleh merasmi pembukaan rumah-rumah ibadat orang-orang bukan Islam kecuali difikirkan kalau tidak berbuat demikian akan mendatangkan perpecahan dan permusuhan kaum dengan syarat tidak menyertai upacara ibadat dengan mereka”

2.4 Pada dasarnya terdapat dua pandangan berbeza dari sudut hukum tentang orang Islam turut merayakan hari perayaan orang bukan Islam. Pandangan yang membenarkan orang Islam merayakan hari perayaan orang Islam adalah berdasarkan pandangan berikut;


i. Kekeliruan dari sudut hukum tentang merayakan hari perayaan agama lain atau dalan konteks masa kini “rumah terbuka nasional” adalah berpunca daripada fahaman yang kurang jelas terhadap maksud merayakan atau mengucapkan ucapan selamat hari kebesaran kaum lain itu. Jika maksud merayakan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran orang bukan Islam dan bermuamalah dengan mereka atas nama agama mereka ia adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Sebaliknya jika merayakan hari perayaan kaum lain sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau menyertai perayaan mereka atas tujuan merapatkan perhubungan sesama manusia maka ia adalah diluar daripada konteks meraikan akidah mereka atau merelakan agama mereka. (Hukum Merayakan Perayaan Kaum-kaum Bukan Islam, Dr. Abdul Hayei bin Syukor, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)

ii. Menurut Dr. Ahmad al-Syarbashi seseorang Islam yang turut menyertai hari perayaan orang bukan Islam setelah memastikan majlis yang dihadiri itu tidak mengandungi perbuatan yang bercanggah dengan akidah atau upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti penyajian arak dan sebagainya (Dr Ahmad al-Syarbashi, Yas`alunaka Fid Din Walhayah, hal 390, jilid 4, Darul Jail, Beirut).

2.5 Hukum yang melarang orang Islam turut merayakan perayaan orang bukan Islam berdasarkan pandangan berikut;

i. Abu al-Qasim Hibbatullah bin Al-Hussain bin Mansur al-Tabari berkata, tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana kemungkaran mereka. (Ibn Qayyim Al-Jauziyah, Ahkam Ahl al-Zimmah, jilid 1, hal 156, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut)

ii. Menurut Fatwa Lajnah Daaimah, kunjungan terhadap perayaan orang bukan Islam tidak boleh dilakukan kerana ia akan melibatkan orang yang melakukannya kepada dosa. (al-Syeikh Ahmad bin Abdul Razak, Fatawa al-Lujnah al-Da`imah lil Buhuth al-Ilmiah wal Ifta`, jilid 3, hal 436, Dar al-Muaiyyad, Riyadh)

2.6 Berdasarkan persoalan hukum tersebut maka pihak yang menganjurkan majlis tersebut perlu meneliti adakah perayaan yang dianjurkan mempunyai unsur agama atau semata-mata bercirikan kebudayaan. Kedua-dua unsur ini perlu diteliti dalam memastikan sambutan perayaan tersebut tidak menyinggung sensitiviti keagamaan terhadap orang awam yang menyertainya.

3. TAKRIF

3.1 Simbul

Maksud simbul dalam garis panduan ini adalah sesuatu yang mewakili sesuatu yang lain, lambang, tanda (Kamus Dewan).

3.2 Ciri

Maksud ciri dalam garis panduan ini adalah sifat (unsur, tanda) yang khusus pada sesuatu (yang membezakannya dengan yang lain) (Kamus Dewan).

3.3 Tunduk

Maksud tunduk dalam garis panduan ini adalah kepala atau muka condong ke hadapan (Kamus Dewan).

3.4 Upacara

Maksud upacara dalam garis panduan ini adalah majlis menurut adat (kebiasaan, agama), kermaian atau peralatan (menurut adat) (Kamus Dewan).

3.5 Budaya

Maksud budaya dalam garis panduan ini adalah tamadun, peradaban, cara berkelakuan (berfikir dsb), kemajuan (akal budi), kebudayaan (Kamus Dewan).

3.6 Dakyah

Maksud dakyah dalam garis panduan ini adalah penyiaran (penyebaran) sesuatu ideologi (doktrin, pendapat dsb) untuk mendapat sokongan, propaganda (Kamus Dewan).

3.7 Mempersenda

Maksud mempersenda dalam garis panduan ini adalah mempermainkan (dengan gurau senda), memperolok-olokkan, mengejekkan(Kamus Dewan).

3.8 Sensitiviti

Maksud sensitiviti dalam garis panduan ini adalah perihal perihal sifat mudah merasai sesuatu (mudah tersinggung, bergerak balas dsb (Kamus Dewan).

3.9 Kriteria

Maksud kriteria dalam garis panduan ini adalah beberapa ukuran (asas pertimbangan) untuk menentukan nilai (Kamus Dewan).

4. KRITERIA PERAYAAN ORANG BUKAN ISLAM YANG BOLEH DIHADHIRI OLEH ORANG ISLAM

4.1 Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam boleh dihadhiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

4.1.1 Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

i. menyertakan simbul-simbul agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.


4.1.2 Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.


Contohnya:

i. Memakai pakaian bewarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;

ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;

iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

4.1.3 Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan ahli sunnah wal jamaah.

Contohnya:

i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;

ii. Berpakaian yang menyolok mata;

iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;

iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.


4.1.4 Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyingung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;

ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;

iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;

iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.


4.1.5 Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.


5. PENUTUP

Sekiranya terdapat keraguan atau ketidakjelasan dalam mentafsir dan melaksanakan Garis Panduan ini hendaklah merujuk kepada;

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
Blok D7, Parcel D,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502, PUTRAJAYA
Tel: 03-8886 4253

GMI terkejut menteri kata semua sokong kekal ISA

12 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa semua pihak sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kenyataan yang dibuat oleh Hishamuddin itu tidak menggambarkan persetujuan semua pihak kerana pertemuan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak melibatkan semua pihak.

GMI khususnya dan beberapa badan bukan kerajaan yang lantang menuntut ISA dimansuhkan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) juga tidak dipanggil menghadiri sesi Pertemuan Awam dengan KDN bagi berbincang mengenai akta tersebut.

"Banyak prsoalan yang timbul daripada kenyataan Datuk Seri Hishamuddin itu. Yang dikatakan sepakat (ISA dikekalkan) itu siapa? Siapa yang terlibat dalam pertemuan itu?

"Setahu saya badan bukan kerajaan seperti GMI, SUARAM dan JIM yang ke depan dalam isu ini tidak dipanggil. Bagaimana dengan bekas tahanan ISA, ahli keluarga, peguam yang ada pandangan berbeza dan meluas dalam isu ini?" soalnya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Syed Ibrahim turut berkata, Hishamudin juga tidak menunjukkan kesungguhan dalam melihat akta ini secara menyeluruh apabila gagal menunaikan janji untuk membentang dan membahaskan pindaan mengenai ISA pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Kenapa akta ini hanya akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang? Menteri tidak tunaikan janjinya. Sedangkan masa Datuk Seri Najib baru jadi PM, beliau minta ISA dikaji kemudian dibentangkan.

"Kalau betul kerajaan mengambil kira pandangan rakyat, mereka sepatutnya berusaha untuk membentangkan mengenai ISA baru-baru ini, bukan melengah-lengahkannya,"tegasnya.

Beliau turut mendakwa, kenyataan Hishamuddin untuk meminda ISA hanya sekadar untuk menawan kembali rakyat yang 'atas pagar' agar kembali memberikan sokongan penuh kepada kerajaan dengan menabur pelbagai janji manis.

Namun kata Syed Ibrahim, pada hakikatnya tiada sebarang perubahan berlaku sejak dari awal akta ini ditubuhkan sehinggalah usianya sudah mencecah 40 tahun kini.

"Saya yakin ini semua cara untuk menawan orang atas pagar dengan menunjukkan kononnya perubahan telah berlaku, kerajaan ambil kira pandangan rakyat, tapi hakikatnya tidak ada sebarang perubahan yang berlaku dalam ISA. Ia kekal 100 peratus.

"Sesiapa sahaja boleh ditahan di bawah akta ini pada ketika ini. Sekarang ini masih ada lagi sembilan orang yang ditahan dan salah seorangnya sudah lebih tujuh tahun dalam tahanan.

"Tapi itu semua orang tidak nampak sebab kerajaan pandai menyembunyikan perkara sebenar," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menyokong Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia yang menggesa kerajaan melantik sebuah jawatankuasa pilihan parlimen bagi mendapatkan maklum balas awam sebelum pindaan terhadap ISA dibahaskan di Parlimen.

Menurutnya, isu besar yang melibatkan hak asasi rakyat itu harus segera dibawa ke parlimen untuk diselesaikan.

"Saya bersetuju dengan cadangan NUJ itu. Memang perkara ini perlu ditangani di peringkat Parlimen. Apa-apa perubahan ianya perlu dibincangkan di Parlimen kerana undang digubal di peringkat Parlimen. Kalau dari segi jawatankuasa tindakan, teknikal mesti dijawab di Parlimen supaya skop perbincangan boleh diperluas.

"ISA ini kuasa eksekutif. Kami sangsi apabila pihak yang buat kajian ialah badan eksekutif, dan buat keputusan pun badan yang sama," ujarnya.

Setiausaha Agung NUJ, V.Anbalagan Sabtu lalu dilaporkan sebagai berkata, perbincangan mengenai pindaan kepada akta itu tidak harus tertumpu kepada satu kumpulan kecil.

Beliau turut mendakwa, sebagai kumpulan berkepentingan, NUJ tidak dipelawa ke sebarang perbincangan oleh KDN ataupun pendapatnya diminta.

Beliau menyebut sebagai contoh penahanan seorang wartawan selama 18 jam tahun lepas berhubung sebuah artikel.

Sementara itu, GMI ujar Syed Ibrahim, tetap dengan pendirian menuntut kerajaan memansuhkan terus akta zalim itu meskipun usaha-usaha yang dilakukan ini tidak diendahkan pihak kerajaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, GMI sedang dalam perbincangan untuk mengadakan satu sesi pertemuan dengan semua ahli parlimen sebagai platform untuk menyampaikan maklumat berkenaan ISA serta sebab ia perlu dimansuhkan, bukan dipinda seperti yang dicadangkan.

Bagaimanapun, ianya perlu mendapat persetujuan daripada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami mungkin akan adakan sesi (perbincangan) dengan semua ahli parlimen tapi saya percaya yang akan datang cuma ahli Parlimen pembangkang sahaja. Kami kena bincang dengan Ketua Pembangkang (Anwar)khususnya supaya ia dapat diadakan," katanya.

Beliau turut menyeru Hishamuddin khususnya agar memberikan ruang kepada GMI untuk memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai kepentingan ISA dimansuhkan.

GMI tegasnya sentiasa bersedia untuk berdialog dengan pihak KDN demi memastikan ISA dimansuhkan.

"Hishamuddin tolong bagi ruang kepada GMI.Walaupun sebelum ini beliau tidak layan permintaan kami untuk mengadakan pertemuan, tapi kami sentiasa bersedia. Panggil kami, kami sedia datang. Selain demonstasi, kita masih ada ruang untuk berdiskusi dan berdialaog," katanya.

Khamis lalu, Hishamuddin berkata, pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Hishammuddin berkata, berikutan pertemuan dan perbincangan awam dengan kumpulan-kumpulan sasaran, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang kini berada di peringkat akhir kajian semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan semasa sesi berkenaan sebelum pindaan dibentangkan di Parlimen.

HarakahDaily.Net/-

Setelah Sebulan

12 Muharram 1431H

Saya minta maaf kerana telah sebulan tidak menulis. Maklumlah agak sibuk sedikit termasuklah menunaikan ibadah Haji di Makkah baru-baru ini. Alhamdullilah, semua kerja ibadat telah selesai. Malah sempurna juga kerja menjayakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada Sabtu lepas. Inilah perkara yang saya ingin huraikan hari ini.

Kejayaan konvesyen itu memang tidak boleh dinafikan. Sudah tentu UMNO dan media miliknya akan terus memperlekehkan usaha murni kita dan mengatakan itu semua cakap-cakap kosong sahaja dan tidak boleh dilaksanakan. Ada pula yang berkata, tidak ada perkara baru yang diketengahkan. Ada pula menuduh PAS menggadaikan perjuangan Islamnya. Inilah cara mereka yang biasa kita dengar; merendah-rendah, menghina dan menidakkan usaha baik orang lain. Malahan, mereka juga tidak malu mengaku bahawa mereka ini menghayati ajaran dan amalan Islam.

Yang paling ketara dan jelas ialah Pakatan Rakyat; DAP, KeAdilan dan PAS, telahpun sebulat suara bersatu untuk berpegang teguh kepada empat perkara pokok – menolak dasar perkauman dalam politik tanah air; menegakkan unsur demokrasi, keadilan dan keluhuran undang-undang selari dengan kehendak agama dan kepercayaan kita; merencana dasar ekonomi yang telus dan mengira kepentingan rakyat; dan menolak rasuah serta kerakusan kuasa. Ini adalah paradigma baru dalam politik negara.

Apa yang bakal menjadi cabaran kepada kita bukanlah menangani dakyah UMNO (walaupun ini memang perlu dilakukan) tetapi seperti kata Pemuda PAS, kita jangan jadikan konvesyen itu sebagai satu kejayaan satu hari sahaja. Ia perlu disusuli dengan kegiatan bersama dalam usaha bersungguh meyakinkan rakyat bahawa kita akan laksanakan janji tersebut. Kita perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa kita membawa mesej serta fahaman politik yang berbeza.

Orang-orang Cina dalam Pakatan Rakyat mestilah menunjukkan bahawa kita bukan hanya mementingkan isu orang-orang Cina. Orang-orang India bukan sahaja memperjuangkan isu sekolah Tamil. Orang-orang Melayu pula tidak harus terus-terusan memperkatakan tentang kelemahan mereka serta meminta pertolongan ekonomi. Kita dalam Pakatan Rakyat mestilah memperjuangkan semua isu dan kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Kita mesti mengembalikan maruah kepada perjuangan politik Malaysia. Kita perlu buktikan muafakat sejati di antara kaum. Kita perlu menjalankan pentadbiran negeri serta negara yang adil dan saksama. Inilah sebenarnya cabaran yang menanti kita semua.

Perkembangan dunia hari ini akan membawa perubahan nilai di negara kita. Usaha-usaha meningkatkan kedudukan ekonomi dan taraf hidup mesti dibawa bersama dengan hak-hak keadilan, demokrasi dan kebebasan. Nilai inilah yang berpihak kepada kita.

Jika kita kuat berkerja, hasilnya juga lumayan. Tetapi bukanlah untuk orang-orang politik mendapat kuasa. Lebih penting hasil ini adalah untuk rakyat menikmati pembaharuan yang kita perjuangkan. Kita bukanlah mahu berubah semata-mata untuk perubahan. Tetapi kita berubah untuk menjadikan negara dan masyarakat kita berada di tahap lebih baik.

Dalam hal ini, saya amat yakin bahawa semakin ramai orang-orang Melayu Islam telah menyedari bahawa masyarakat yang bersih dari rasuah, penyelewengan dan korupsi merupakan tuntutan utama dalam Islam. Apa jua label atau slogan yang dilaung-laungkan tidak akan sama apabila dibandingkan dengan amalan sebenar yang berteraskan nila-nilai murni yang dituntut. Itu adalah Islam sebenar dan bukanlah hanya bercakap pasal hal-hal Islam. Inilah juga merupakan teras empat perkara pokok yang mahu diperjuangkan atas nama Pakatan Rakyat.

HarakahDaily.Net/-

MOHD IKHMAL: Kecelakaan bas: Antara teori, retorik dan pelaksanaan

12 Muharram 1431H

Kemalangan yang melibatkan bas menumpang baru-baru ini sungguh menyayat hati. Apa tidaknya, kemalangan ini mengorbankan 10 orang penumpang termasuk sepasang suami isteri yang berasal dari Klang, Selangor.

Bas yang membawa 48 penumpang itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Kangar dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan di LebuhRaya Utara Selatan (Plus) kira-kira 8km dari Plaza Tol Ipoh Selatan. Menurut siasatan awal, kemalangan itu berpunca daripada pemandunya yang mengantuk dan terlelap seketika.

Sejurus media menayangkan berita ini samada di media massa atau media cetak, ramai cakap-cakap mencadangkan pelbagai idea bagi mengelak malapetaka ini dari terus berlaku. Cadangan-cadangan tersebut adakalanya bersifat jangka pendek mahupun bersifat jangka panjang.

Seharusnya, pihak-pihak berkenaan perlu melihat kecelakaan ini tidak berpunca daripada ‘human factor’ semata-mata. Apakah mungkin terdapat faktor-faktor lain yang mengakibatkan kecelakaan ini terus berlaku? Adakah ia mungkin disebabkan juga faktor fizikal (bas, jalanraya, cuaca) dan faktor undang-undang (dasar kerajaan)

Justeru itu, apakah mekanisme yang sesuai dalam memastikan kecelakaan ini dari tidak terus berlaku?

Pada hemat saya yang daif ini, beberapa mekanisme perlu digabungjalinkan dan dilakukan secara bersama bagi mengelak kecelakaan ini dari terus berlaku

Faktor fizikal:-

1. Bas :

Seperti mana yang kita sedia maklum, terdapat bas-bas yang uzur yang masih lagi dibenarkan beroperasi di atas jalan raya. (Cuba lihat intercity bas). Walaupun kita tahu bas-bas ini sudah lulus pemeriksaan dari Puspakom, tetapi adakah sesiapa dapat bertanggungjawab jika bas-bas yang usianya melebihi 10-20 tahun ini menempuh kecelakaan di atas jalan raya?

Sebagai contoh dengan dasar Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Kenderaan Perdangangan (LPKP) yang membenarkan bas sekolah beroperasi walaupun berusia hingga 30 tahun sangat mendukacitakan malah dasar ini ternyata berpontensi mengundang pelbagai malapetaka dan kecelakaan kepada penggunanya khususnya kanak-kanak sekolah.

Disamping itu juga, bas-bas penumpang ini perlu dilengkapkan dengan beberapa ‘gadget’ tertentu bagi memastikan bas ini dapat beroperasi di tahap yang optimum. Antara ‘gadget’ yang perlu dipasang dalam setiap bas penumpang adalah system GPS, kotak hitam dan penyekat kelajuan. Walaupun ‘gadjet’ tersebut mahal, ia mampu bertindak sebagai pemberi isyarat awal kepada pengusaha dan pemandu bas terhadap keupayaan dan kebolehpanduan sesuatu bas itu. Tentang kosnya? Kerajaan boleh mengenakan rebat atau potongan cukai kepada pengusaha bas yang menggunakan ‘gadjet’ ini dalam setiap bas mereka.

2. Jalan raya

Jalan raya di Malaysia yang diiktiraf sebagai antara Jalan Raya yang terbaik di Asia Tenggara seharusnya memperlihatkan tiada kemalangan yang direkodkan akibat daripada faktor jalan raya ini. Walaubagaimanpun perkara ini tidak boleh menyebabkan penyelenggaran jalan raya dilakukan seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Masih ada jalan-jalan persekutuan mahupun jalan-jalan negeri yang keadaan tidak menyenangkan dengan hanya diturap ketika menjelang pilihanraya semata-mata. Justeru itu setiap jalan raya baik jalan –jalan negeri, persekutuan dan lebuh raya diselenggarakan secara konsisten bagi memastikan jalan raya di Malaysia berada dalam keadaan yang optimum

3. Cuaca

Cuaca di Malaysia yang panas dan lembab memungkinkan hujan turun secara tiba-tiba. Walaubagaimanapun, faktor cuaca ini seharusnya tidak dijadikan sebagai penghalang dalam kita memastikan tiada lagi kecelakaan bas yang direkodkan. Dengan hampir majoriti bas-bas penumpang menggunakan LebuhRaya Utara Selatan (PLUS) sebagai jalan utama, bas-bas penumpang ini perlu memanfaatkan setiap hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan jika cuaca dalam suatu ketika itu tidak mengizinkan perjalanan diteruskan. Apa salahnya, pemandu dan penumpang berehat seketika daripada tetap meneruskan perjalanan yang mana mendatangkan risiko yang tinggi kepada mereka. Jika perjalanan kapal terbang boleh ditangguhkan akibat cuaca buruk, adakah sistem bas penumpang kita tidak boleh mengaplikasikan sistem yang sama?

Faktor manusia

1. Pemandu

Pemandu adalah duta kecil kepada sesuatu syarikat bas. Malah dengan kata lain, nyawa 48 penumpang berada di kedua belah tangan pemandu. Walaubagaimanapun, adalah kurang cermat malah keterlaluan jika sesuatu malapetaka itu dipertanggungjawab ke atas pemandunya semata-mata. Dalam menelusuri permasalahan seseorang pemandu itu, mari kita selongkar beberapa perkara terpencil seseorang pemandu itu.

Tidak dinafikan, untuk menjadi seorang pemandu bas mereka hanya perlu mendapatkan lesen daripada JPJ sahaja selepas menjadi beberapa ujian tertentu. Apabila ujian tertentu itu selesai dan mereka dapat melepasinya dengan jayanya, maka mereka akan dinobatkan sebagai pemandu bas. Tetapi dalam senario terkini, adakah lesen daripada JPJ sahaja sudah mencukupi sedangkan nyawa 20-48 penumpang di dalam tanggungjawab mereka? Seharusnya suatu akademi khusus ditubuhkan bagi melatih pemandu bas ini supaya menjadi pemandu bas yang professional dan kompeten selaras dengan tuntutan semasa. Jika pemandu teksi diminta profesional dalam pemanduan mereka selaras dengan tanggungjawab mereka selaku duta kecil negara, pemandu bas juga wajib diangkat sebagai pemandu profesional selaras nyawa 20-48 penumpang berada di dalam tanggungjawab mereka.

Disamping itu juga, sering terdengar gaji asas pemandu bas ini terlalu kecil. Untuk mendapat lebih pendapatan, mereka perlu mengejar ‘trip’ dalam sesuatu hari. Adakah ini berbaloi dengan nyawa-nyawa penumpang yang berada didalam sesuatu bas itu berbanding ‘extra’ pendapatan yang cuba diraih oleh pemandu dalam sesuatu bulan. Justeru itu, tangga gaji minima perlu dilaksanakan kepada pemandu bas bagi memastikan kebajikan mereka dibela selaras nyawa penumpang juga terpelihara.

2. Pengusaha bas

Siapa yang berniaga hendak rugi. Itulah falsafah yang dipegang oleh setiap usahawan khususnya pengusaha bas. Dengan memperkudakan ‘bas lama’, dan meletakkan gaji asas yang rendah kepada pemandu, pengusaha bas bakal menikmati pendapatan lumayan pada hujung tahun pendapatan.

Seharusnya dalam menerobos dunia perniagaan yang lebih mencabar, konsep tersebut perlu dikikis dan dibuang sama sekali. Pengusaha bas juga perlu dipertanggungjawabkan jika sesuatu malapetaka berlaku. Jika sesuatu malapetaka itu berlaku dan disiasat bahawa pengusaha bas bertanggungjawab kepada malapetaka itu, maka nama setiap ahli lembaga pengarah dan ahli keluarga mereka disenarai hitam dari memiliki dan mengusahakan sebarang perkhidmatan pengangkutan awam di masa akan datang.

Seharusnya pengusaha bas sedar, kerajaan telah memberi bantuan dan insentif yang banyak kepada mereka. Sebagai contoh, kerajaan membenarkan surcharge 30% kepada setiap tiket bas yang dibeli oleh pengguna khususnya untuk bas ekspress. Walaupun kerajaan pernah berkata surcharge ini bersifat sementara, ia masih dikuatkuasakan hingga ke saat ini. Dan kerajaan juga membenarkan harga tiket bas dikaji dari semasa ke semasa. Dan sebagai timbal balas kepada pengguna mahupun pemandu, pengguna perlu dibekalkan dengan perkhidmatan yang berbaloi dan pemandu juga perlu digajikan dengan gaji yang setimpal dengan usaha mereka. Tidak hanya keuntungan ini dinikmati oleh pengusaha bas seorang sahaja.

Faktor kerajaan

1. Dasar kerajaan

Dasar kerajaan yang flip-flop sebenarnya turut menyumbang kepada permasalan kecelakaan bas penumpang ini. Sebagai contoh, kerajaan pernah menetapkan setiap bas dilengkapkan dengan kotak hitam. Walaubagaimanapun, selepas rungutan daripada pengusaha bas, dasar tersebut ‘disimpan di bawah karpet’. Senyap begitu sahaja. Dahulu, kerajaan pernah menetapkan seorang pegawai JPJ tanpa uniform ditempatkan dalam bas secara rawak. Adakah dasar tersebut masih dikuatkasakan sekarang? Dan juga kerajaan pernah menetapkan setiap bas yang keluar dari sesuatu terminal bas akan melalui pemeriksaaan JPJ. Sekali lagi ditanya, adakah dasar dan peraturan tersebut masih berjalan.

Hakikatnya dasar dan peraturan kerajaan yang bersifat sementara dan hangat-hangat tahi ayam sungguh mendukacitakan dan menjadi bahan lawak oleh sesetengah pengusaha bas. Seharusnya dasar dan peraturan kerajaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan tidak bermusim. Kerajaan melalui JKJR, JPJ, LPKP, MOT, dan JAS perlulah memastikan setiap dasar yang dibentuk, dilaksanakan secara konsisten. Bukan hanya dilaksanakan apabila timbul sesuatu kecelakan besar menimpa khususnya yang melibatkan bas Sani Ekspress tempoh hari

2. Peranan LPKP

Apa itu LPKP? LPKP merupakan singkatan kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan yang bertanggungjawab mengikut Akta LPKP 1987. Ia bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas seperti berikut

* Membangunkan usahawan Bumiputera dalam sektor industri kenderaan perdagangan melalui latihan dan program pembangunan usahawan.
* Menimbang dan meluluskan permohonan untuk mendapatkan lesen baru, membaharui dan ubah syarat bagi semua kelas lesen kenderaan perdagangan di Semenanjung.
* Mengenakan syarat-syarat ke atas semua kelas lesen kenderaan perdagangan yang meliputi penetapan kadar tambang, penentuan peringkat tambang, jadual perjalanan, bilangan penumpang, kawasan operasi, berat muatan, jenis barang-barang, hal-hal pengendalian dan syarat-syarat khas yang lain.
* Menggantung, membatal atau mengenakan apa-apa hukuman yang sesuai ke atas mana-mana kelas lesen kenderaan perdagangan yang disabitkan kesalahan melanggar syarat lesen atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan Akta LPKP 1987 (Akta 334) serta kaedah-kaedah yang diperbuat di bawahnya serta undang-undang lain yang berkuatkuasa.
* Menentukan tempoh kuatkuasa lesen bagi semua kelas lesen kenderaan perdagangan.
* Melesenkan kenderaan perdagangan dari Singapura, Thailand atau negara lain yang dibenarkan beroperasi di Semenanjung Malaysia.
* Membuat kajian laluan baru sebelum memberi pertimbangan ke atas permohonan untuk mendapatkan lesen bas bagi laluan-laluan yang dipohon.
* Mengumpul rekod, penyata kewangan, statistik atau dokumen-dokumen berhubung perniagaan pemegang lesen kenderaan perdagangan.
* Menentukan prosedur permohonan, memproses dan menimbang permohonan lesen, mengenakan bayaran, menetapkan penalti dan menentukan tanda pengenalan kepada kenderaan perdagangan.
* Melaksanakan tugas-tugas yang berhubung dengan penguatkuasaan ke atas syarat-syarat lesen kenderaan perdagangan

Walaubagaimanapun, tugas LPKP terlalu terhad malah seringkali bertindan dengan skop tugas JPJ, JAS dan POLIS.

Dengan LPKP telah diangkat sebagai suatu lembaga yang beroperasi dibawah Jabatan Perdana Menteri, ia ternyata suatu kesilapan yang jelas dengan ia dilihat membesarkan lagi jurang antara LPKP dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan dengan pengangkutan awam.

Seharusnya dengan skopnya yang menjurus kepada pengangkutan awam, LPKP sepatutnya beroperasi di bawah Kementerian Pengangkutan dan diberi suatu authoriti penuh dalam melaksanakan pemodenan pengangkutan awam di Malaysia.

Sebenarnya, LPKP layak untuk diangkat sebagai sebuah lembaga yang tersendiri sama seperti JPJ. Walaubagaimanapun demi menjaga segelintir poket-poket menteri, LPKP kini berpindah ke Jabatan Perdana Menteri (Sebelum ini dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi). Kenapa ini berlaku? Teorinya cukup mudah, supaya Perdana Menteri dapat mengawal jumlah permit teksi yang dikeluarkan dan permit teksi ini dapat diberikan kepada penyokong politik mereka.

Bilamana peranan LPKP itu dimanipulasi sedemikian rupa, maka janganlah kita harap pengangkutan awam di Malaysia khususnya pengangkutan bas awam dapat berdiri megah sama seperti yang berlaku di negara-negara eropah.

Tepuk dada Tanya selera, Kuasa di tangan anda.

HarakahDaily.Net/-