06 Januari 2012

Azmin : Polis benarkan himpunan 901 diluar Mahkamah


12 Safar 1433H. [MOD] -

Polis telah membenarkan Pakatan Rakyat meneruskan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar' di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin ini.

Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua pihak bermesyuarat selama sejam dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Walaupun timbalan presiden PKR Azmin Ali yang mengetuai rombongan parti itu, namun beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga sidang akhbar jam 3 petang nanti.

Sebaliknya, perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dalam laman twitternya yang berbunyi:

"Persetujuan dicapai dgn @PDRMsia utk perhimpunan solidariti utk @anwaribrahim 901 di kawasn letak kereta Kompleks Mahkamah KL. Jom turun".

Azmin pada sidang akhbarnya sekadar berkata keputusan perbincangan dengan polis hari ini "positif".

Bagaimanapun katanya, beliau akan mengumumkan hasil perbincangan secara terperinci pada sidang medianya pada jam 3 petang ini.

Walaupun diasak bertubi-tubi, beliau enggan mendedahkan butiran terperinci hasil perbincangan berkenaan.

"Keputusannya positif, saya gembira dengan (hasil) perbincangan pagi ini, kerana polis menunjukkan kesediaan untuk berbincang dengan parti-parti politik.

"Mereka mengambil sikap terbuka demi untuk menjamin keamanan rakyat," katanya sambil mengharapkan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman dan teratur.

Azmin juga menegaskan bahawa pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjaga keamanan dan mampu mengatasi sebarang provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

PERKASA berhimpun di masjid

"Saya percaya polis mengambil langkah-langkah sewajarnya... Kita juga berbincang tentang program kita secara teliti dengan polis. Kita amat berpuas hati," katanya.

Menurutnya lagi, perhimpunan tersebut adalah untuk mrnunjukkan solidariti bagi membebaskan Anwar daripada fitnah.

"Ia bukan protes, tapi solidariti kepada Datuk Seri Anwar," katanya.

Sementara itu, Datuk Mohmad Salleh yang ditemui wartawan selepas mengadakan pertemuan itu mengesahkan pihak polis Kuala Lumpur membenarkan perhimpunan itu dengan dengan syarat ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.

"Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi kelonggaran kepada penyokong Anwar untuk mengadakan perhimpunan di lokasi lain tetapi bukan di kawasan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta.

Sehingga semalam sebanyak 535 laporan polis dibuat di seluruh negara membantah perhimpunan anjuran PKR itu pada Isnin depan oleh pelbagai pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, kumpulan pendesak Melayu, PERKASA juga melaporkan polis telah memberi kebenaran kepada mereka untuk berhimpun di perkarangan masjid Kuala Lumpur pada Isnin depan.

Menurut timbalan presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga mengadakan pertemuan dengan pihak polis, tidak ada permit yang diperlukan bagi tujuan berkenaan.

Malaysiakini/-

Pemuda PAS Sabah ketuai gerakan anak muda

12 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 6 Jan: Pemuda PAS Sabah akan mengiringi gerakan anak muda yang terdiri di kalangan pemuda-pemuda Sabah bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman dan menuntut keadilan bagi memastikan hak rakyat dijamin berdasarkan peruntukan perlembagaan negara.

Ketuanya, Lahirul Latigu akan mengetuai gerakan tersebut bagi memecah keegoan dan keceluparan Umno BN yang memperhambakan rakyat Sabah sebagai fixed deposit Umno BN berkuasa.

“Kita nyatakan pendirian dengan tegas bahawa, sebarang kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku dinegara ini adalah berpunca daripada Umno BN.

“Jangan terlalu ego dengan kesenangan yang ada ini. Hari ini, waktu ini dan di sini… anak-anak muda Sabah akan beraksi menentang kezaliman Umno BN,” ujarnya.

Momentum Bersih 2.0 merupakan satu bentuk manifestasi kebangkitan rakyat pada perhimpunan aman 901 ini yang menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat terhadap kepimpinan zalim.

“Anwar telah diaib dan dimalukan sebelum keputusan mahkamah dibuat. Adakah ini keadilan yang dipertahankan Umno BN,” katanya.

Katanya, rakyat Sabah sudah muak dengan janji yang dimainkan saban hari oleh media perdana Umno BN.

“Pagi hari dia bagi tanah, malam hari dia rompak hasil tanaman rakyat. Siang hari dia derma baja, cukup bulan dia rampas tanah… apa ini?,” kata Lahirul.

Pemuda PAS Sabah katanya, akan memainkan peranan yang lebih agresif dalam mendepani kezaliman Umno BN.

Justeru katanya, pihak polis perlu mengawal dan menjamin kelancaran perhimpunan dan bukan mengikut telunjuk Umno BN.

“Uniform biru yang dipakai itu menunjukkan kesetiaan kepada Raja dan Perlembagaan Negara, bukan setia kepada Najib dan takut kepada Umno BN.

“Ingat semula surat aku janji yang dilafazkan itu,” jelasnya.

Harakah Daily

Najwa Latif di Kota Bharu sempena ‘Ladies Night’

12 Safar 1433H. [MOD] -

PENGKALAN CHEPA, 6 Jan: Artis baru yang terkenal dengan lagu ‘Cinta Muka Buku’ Najwa Latif bakal membuat persembahan di Kelantan sempena program ‘Kelantan Got Talent, Ladies Night’.

Program tertutup khusus untuk golongan wanita sahaja itu akan diadakan di Kelantan Trade Cantre kira-kira 2.30 petang dan pukul 8.45 malam untuk Ladies Night, pada 23 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar (gambar) ketika memberitahu media berkata, program berkenaan dianjur bertujuan untuk mencari bakat-bakat baru dalam hiburan.

“Saya sedar ramai anak-anak kita serta kaum wanita kita yang boleh menyanyi atau membuat persembahan, cuma bakat saja tidak dicungkil.

“Program ini kita anjur juga untuk menghibur kaum wanita, kerana hiburan itu fitrah manusia yang memerlukan hiburan, cuma program ini tertutup macam biasalah khusus untuk kaum wanita sahaja,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis rebranding Perdana Resort oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Katanya lagi, majlis itu bermula jam 2.40 petang dan ianya terbuka kepada kaum wanita berusia 15 tahun ke atas, termasuk rakan media di kalangan wanita.

Harakah Daily

901: Saya akan hadir, ahli terserah - Presiden PAS

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Jan: "Saya akan hadir, dan untuk ahli PAS pula, terserah masing-masing," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) ketika ditanya apakah beliau akan hadir dalam perhimpunan aman 9 Januari ini.

Perkara ini disampaikan Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Harakahdaily.

Manakala itu Dewan Muslimat PAS, Dewan Pemuda dan PAS Selangor membuat keputusan akan menyertai perhimpunan aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi meminta mana-mana pihak tidak salah faham dengan perhimpunan tersebut dengan menganggap ianya merupakan sokongan peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Muslimat PAS akan memberi sokongan kepada perhimpunan pada 9 Januari bukan semata-mata atas isu Anwar.

"Isu Anwar adalah sebahagian yang menampakkan kepincangan sistem kehakiman negara, tetapi lebih daripada itu ianya adalah manifestasi kebencian rakyat terhadap kezaliman Umno BN yang mencampur adukkan sistem pengasingan kuasa iaitu Eksekutif, Perundangan, Legislatif dan Kehakiman," katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Pimpinan PAS Selangor juga memutuskan untuk turun 9 Januari ini, kata Pesuruhjayanya, Dr Rani Othman.

"Kita akan bersama presiden di sana. Dalam perbincangan di peringkat negeri juga, kita sudah putuskan akan turun," katanya kepada Harakahdaily.

Pemuda PAS pula sedang memobilisasi ahlinya untuk turun pada perhimpunan tersebut.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda memberi komitmen untuk mencapai sasaran 100,000 orang yang ditetapkan oleh penganjur.

"Jika Datuk Seri Najib kena zalim pun kita akan turun," kata Nasrudin.

Bersama Presiden

Aiman turut berkata, muslimat tidak perlu takut untuk bersama-sama 9 Januari ini atas kapasiti parti kerana Presidennya sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain sudah menyatakan komitmen untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"Muslimat tidak perlu ragu-ragu kerana PAS sendiri termasuk Presiden kita akan turun bersama-sama. Jadi tidak ada masalah di peringkat parti," katanya.

Zalim kepada mahasiswa

Sementara itu, beliau menambah sudah tiba masanya rakyat berani menyatakan kebencian terhadap kerajaan Umno BN yang bertindak zalim ke atas mahasiswa sendiri.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kebangkitan mahasiswa yang menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan, Aiman berkata mahasiswa sekarang sudah bijak berfikir dan bertindak tanpa mengabaikan pelajaran.

"Muslimat juga mengucapkan syabas dan tahniah di atas kebangkitan gerakan mahasiswa yang bermula daripada Adam Adli dan tragedi berdarah di UPSI.

"Muslimat berpendapat mahasiswa pada abad ke-21 ini mesti lebih cekap dan cerdik iaitu meletakkan pelajaran nombor satu tetapi gerakan kebangkitan rakyat bukan di tempat kedua.

"Yang paling penting dalam kehidupan seorang manusia apabila dia dapat melawan kelemahan dalam dirinya dan juga melawan kezaliman di sekelilingnya," tegasnya.

Harakah Daily

Turun bendera PM: Adam adli beri keterangan

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi susulan insiden beliau menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 18 Disember lalu.

Adam yang merupakan penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemani peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri.

Menurut Fadiah, polis memberitahu Adam Adli dipanggil kerana terdapat laporan polis yang telah difailkan terhadapnya.

Bagaimanapun menurutnya, pegawai polis berkenaan tidak menyatakan asas mengapa Adam dipanggil dan enggan membenarkan beliau melihat laporan tersebut.

“Apabila ditanya atas alasan apa anak guam saya dipanggil, pegawai ini berkata, Adam dipanggil di bawah Seksyen 504 Kanun Acara Jenayah kerana didakwa menimbulkan sesuatu yang memecah belahkan keamanan dengan risikonya hukuman penjara dua tahun,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja Adam selesai memberikan keterangan.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) menyerahkan memorandum yang didakwa mengandungi bukti kekasaran polis terhadap mahasiswa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang ini.

Kekasaran itu didakwa dilakukan polis pada demonstrasi aman di hadapan UPSI, 31 Disember lalu, menuntut Adam tidak dikenakan tindakan tatatertib berhubung tindakan menurunkan bendera gambar Najib.

Demonstrasi itu turut mendesak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan.

Polis didakwa bertindak kasar terhadap Pengerusi Bebas, Safwan Anang sehingga terpaksa dirawat di hospital.

Seramai 17 mahasiswa ditahan pada malam tersebut.

Harakah Daily

Penyamun kurung mangsa dalam tandas

12 Safar 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA – Dua penyamun tidak berhati perut sanggup mengikat dan mengurung seorang mangsanya yang mengandung enam bulan di dalam tandas rumah wanita itu sebelum membuat ‘kerja’ menyelongkar dan melarikan barang berharga milik mangsa.

Tidak cukup dengan tindakan kasar itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an juga dikatakan bertindak kejam merentap rantai emas yang dipakai di leher serta menghentak kepala mangsa beberapa kali dilantai.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa menerima kunjungan dua tetamu tidak diundang itu di rumahnya di Casa Subang USJ 1, kira-kira jam 11.30 pagi, kelmarin.

“Ketika mangsa berada di dalam rumah, dia terdengar bunyi loceng dan terus membuka pintu sebelum dua lelaki berparang menyerbu masuk ke dalam rumahnya.

“Salah seorang suspek mencengkam muka mangsa dan mengacukan parang sambil bertanya di mana barangan berharga disimpan. Dalam keadaan takut dan cemas, mangsa menunjukkan tempat simpanan barang kemas,”katanya suspek kemudian mengikat dan mengurung mangsa dalam tandas rumah itu.

Yahaya berkata, setelah mendapat apa dihajati, suspek kemudian melarikan diri bersama barang kemas dan komputer riba milik suami mangsa.

“Meyakini keadaan sudah selamat, mangsa kemudian keluar dari tandas dan memberitahu insiden kepada jiran serta pengawal keselamatan yang bertugas di pangsapuri didiaminya.

“Bertindak atas aduan, pengawal keselamatan berjaya mengesan tindak tanduk dua lelaki mencurigakan dan terus mengejar suspek. Salah seorang daripadanya yang berusia 21 tahun berjaya dicekup manakala rakannya dapat melarikan diri,”katanya hasil pemeriksaan mendapati suspek bukan penghuni di kawasan pangsapuri itu.

Beliau berkata, dengan penangkapan suspek, barang kemas, komputer riba, sebilah parang dan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Taman Putra Perdana berjaya ditemui.

“Suspek mengaku melakukan jenayah samun itu bersama seorang rakan yang didakwa baru dikenalinya seminggu lalu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis memburu seorang lagi lelaki yang masih bebas. Polis percaya terdapat beberapa lagi suspek yang terlibat dengan kes samun ini,”katanya kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Nenek dakwa dipukau

12 Safar 1433H. [MOD] -

BANDAR PEKAN – Seorang nenek mendakwa dipukau selepas menyedari beg tangannya dilarikan dua lelaki tidak dikenali ketika pergi ke bandar untuk menyelesaikan urusan peribadi kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Mangsa, Sadiah Awang, 66, yang berseorangan dari Nenasi ke bandar menaiki bas mendakwa dipukau ketika dalam perjalanan ke terminal bas untuk pulang ke rumah selepas membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di sini.

Menurutnya, ketika tiba di kawasan pondok telefon awam terminal bas, tiba-tiba dia ditegur dua lelaki berusia lingkungan 30-an di mana seorang daripadanya kemudian mengeluarkan sebentuk batu permata berwarna kuning daripada poket seluar untuk ditunjukkan kepada mangsa.

“Selepas memegang batu permata itu, saya seperti lupa segala-galanya dan hanya menurut ajakan untuk pergi ke bahagian belakang pasar raya berhampiran kerana mereka mahu memberi penjelasan lanjut mengenai batu tersebut.

“Ketika berada di belakang pasar raya itu, lelaki terbabit mengarahkan saya menyerahkan rantai bersama loket dan cincin emas termasuk beg tangan berisi RM200,” katanya.

Sadiah berkata, seorang daripada mereka kemudian memberi RM10 yang diambil daripada beg tangannya sendiri dan menyuruh membeli sabun serta air mineral sebelum mendapati mereka melarikan diri.

“Saya hanya sedar dipukau apabila pergi semula ke belakang pasar raya untuk menyerahkan sabun dan air mineral seperti diarahkan dua lelaki terbabit. Ketika itu, hanya Tuhan tahu perasaan saya.

“Walaupun sedar harta benda hilang, namun ingatan mengenai kejadian itu masih samar-samar hinggalah anak menemui dan membawa saya membuat laporan polis,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sadiah kerugian lebih RM2,500 apabila barang kemas termasuk wang tunai miliknya dilarikan dua lelaki yang dipercayai mahir memukau menggunakan permata berwarna kuning.

Dia berharap orang ramai terutama mereka yang sering menggunakan kemudahan awam lebih berhati-hati untuk mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada Sadiah berhubung kejadian itu, kelmarin.

Yahaya berkata, menurut rekod, pihaknya ada menerima aduan kes seumpama itu dan berusaha mengesan kedua-dua penjenayah terbabit yang dipercayai mempunyai kemahiran melakukan rompakan menggunakan ilmu hitam atau pukau.

“Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran menjual barangan seperti batu permata untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Sikap waspada dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dapat membantu kita mencegah risiko kejadian jenayah,” katanya.

Sinar Harian

Pahang, Johor diramal hujan mulai Ahad ini

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Hujan sekejap-sekejap kadang kala sederhana yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor bermula Ahad ini akan berlanjutan sehingga hari Isnin.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, kawasan yang terlibat di Pahang ialah daerah Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran manakala bagi Johor ialah daerah Mersing dan Kota Tinggi.

Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 60 kmsj dan ombak melebihi 5.5 meter di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North, dan Layang-Layang yang dijangka berterusan sehingga 10 Januari.

Sementara itu keadaan yang sama juga diramalkan berlaku di Pantai Timur Semenanjung yang terdedah dengan kejadian kenaikan paras air sehingga Selasa ini.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak melebihi 4.5 meter yang dijangka berterusan sehingga Selasa ini di kawasan perairan Sarawak, Reef South, Palawan, Sulu, Wilayah Persekutuan Labuan dan beberapa kawasan di Sabah seperti Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Sinar Harian

Letupan di premis barang lusuh, satu maut

12 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA — Seorang warganegara India terbunuh manakala dua rakan senegaranya cedera parah dalam satu letupan di premis perniagaan besi buruk di Kampung Bukit Lancang, Putra Heights, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata Ganesan Selvakumar, 25, yang putus tangan kiri dan cedera parah di bahagian kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Thiruvattachelvam Ayyachamy, 28, dan Marimuthu Chinnathambi, 37, dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 8.45 pagi tadi apabila Ganesan dipercayai merungkaikan pemampat peti sejuk dan rakan-rakannya mengetuk beberapa barangan besi.

"Ini mengakibatkan satu letupan kuat berlaku menyebabkan Ganesan tercampak,” kata Yahaya.

Ketika kejadian berlaku hanya tiga pekerja itu sahaja yang berada di premis itu.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati premis besi buruk itu tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan di kawasan setinggan itu.

Kematian Ganesan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut, kata beliau.

Menurut Yahaya, Ganesan dan Thiruvattachelvam mempunyai pasport sah untuk berada di negara ini manakala Marimuthu pula telah berdaftar dengan program pemutihan pendatang asing tanpa izin baru-baru ini. — BERNAMA

20 tahun ketagihan dadah

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN - “Kalau saya tak ambil benda tu, saya tak boleh melakukan sebarang kerja, saya rasa seperti orang bodoh,” demikian pengakuan salah seorang penagih tegar warga emas, Din, 54, yang ditahan dalam Ops Tapis, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini.

Menurutnya, dia sudah ketagih dadah lebih 20 tahun lalu malah keluarganya mengetahui keadaannya.

“Saya rasa seperti orang gila dan tidak boleh buat kerja. Kalau saya tak dapat kerja, macam mana saya nak cari makan untuk anak isteri.

“Saya tidak boleh mengambil metadon kerana dinasihatkan mengambil ubat mental,” katanya.

Dalam operasi selama tujuh jam bermula 9 pagi itu, seramai 43 daripada 75 mat gian yang ditahan pihak berkuasa berusia 24 hingga 54 tahun disahkan positif dadah jenis heroin dan methamphetamine oleh pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Superintendan Yap Toon Kuan berkata, dalam operasi tersebut, beberapa port mat gian di sekitar jeti tersebut diserbu.

Menurutnya, port berkenaan sudah menjadi pilihan penagih untuk melepaskan gian malah ada di antara mereka orang luar.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada nelayan dan ada juga orang luar yang datang ke sini semata-mata mahu melepaskan gian.

“Hasil pemeriksaan awal didapati kebanyakan mereka menyertai program pertukaran jarum yang disediakan kerajaan, bagaimana pun pelbagai alasan diberikan untuk kembali menagih dadah,” katanya, semalam.

Toon Kuan berkata, pihaknya menggalakkan penagih yang belum mengikuti program yang disediakan supaya menyertainya supaya tidak bergantung pada bekalan yang dijual tokan.

Katanya, dalam operasi itu juga pihaknya turut menahan lima warga Myanmar dan dua daripada mereka didapati positif.

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Ombak musnah kawasan pendaratan penyu

12 Safar 1433H. [MOD] -

RANTAU ABANG – Fenomena ombak besar yang melanda perairan pantai Dungun penghujung 2011 lalu mengakibatkan kemusnahan di beberapa lokasi peranginan di daerah ini.

Rantau Abang, sebagai destinasi pelancongan penyu yang terkenal di seluruh dunia tidak terkecuali terkena tempias ombak besar yang disifatkan sebagai tsunami kecil itu.

Seorang penduduk, Mohd Abdullah, 44, berkata, serangan ombak pada tahun ini disifatkan lebih ganas berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, kejadian ombak menghempas pantai pada tahun ini meninggalkan kesan yang amat teruk pada pantai yang menjadi tempat pendaratan bot nelayan tempatan.

“Landskap di tepi pantai, terutama berhampiran chalet penginapan juga banyak yang rosak teruk.

“Keadaan ini dibimbangi boleh menjejaskan kehadiran penyu ke sini kerana pantainya sudah tercemar selain semakin curam akibat hakisan ombak. Kalau boleh biarlah ada usaha dari pihak berkenaan untuk membaikinya sebelum keadaan menjadi bertambah teruk,” katanya.

Menurut Mohd, lokasi terbabit perlu dipulih segera untuk memastikan ia tidak menjejaskan kehadiran penyu mendarat dan pelancong ke lokasi yang pernah popular pada lewat tahun 70-an dan awal 80-an itu.

Sinar Harian

Padah curi kain batik

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Padah mencuri 10 helai kain batik yang bernilai RM280, seorang buruh terpaksa meringkuk dalam penjara selama seminggu dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Khairi Noh @ Mohd Noh, 29, didapati bersalah setelah mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dihadapinya di hada-pan Majistret Noradila Ab Latif manakala pendakwaan dibuat oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kira-kira jam 11 pagi pada 1 Januari lalu, bertempat di kedai kain atas Pasar Kedai Payang, tertuduh telah melakukan curi dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia dan tempat menyimpan harta curi bernilai RM280 daripada milikan Muhamad Ismail, 46, seorang peniaga.

Dengan itu, dia telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau kemudian, hendaklah diseksa dengan penjara dan bolehlah dikenakan sebat.

Setelah mendengar pengakuan bersalah tertuduh, Majistret Noradila kemudiannya menjatuhkan huku-man penjara selama seminggu dan denda RM2,000. Jika gagal membayar denda, hukuman sebulan penjara akan dikenakan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati gagal membawa kad pengenalan dan didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM3,000.

Majistret Noradila kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM200 bagi pertuduhan kedua. Jika gagal membayarnya, hukuman seminggu penjara akan dikenakan.

Mengikut fakta kes, pada 1 Januari lalu, kira-kira jam 11 pagi, pengadu iaitu Muhamad Ismail berada di kedainya iaitu di Pasar Kedai Payang manakala tertuduh datang ke kedai itu untuk membeli kain.

Pengadu kemudiannya telah pergi ke bahagian sebelah lagi kedai itu dan meninggalkan tertuduh untuk memilih kain. Bagaimanapun, selang beberapa minit, pengadu diberitahu oleh pemilik kedai sebelah lelaki itu bahawa tertuduh telah mencuri kain.

Pengadu kemudian terus memegang lelaki tersebut dan memeriksa begnya. Dia mendapati tertuduh telah mencuri 10 helai kain batik pelbagai warna, lalu menghubungi polis dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Sinar Harian

Warga emas dibelasah

12 Safar 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA - Tidak berperikemanusiaan! Itu gelaran layak diberi kepada lima lelaki yang membelasah seorang warga emas di sebuah tokong di Taman Bukit Kuchai, di sini sehingga pengsan meskipun mangsa menjerit meminta simpati supaya tidak dicederakan.

Sinar Harian difahamkan, mangsa, Toy Kin, 57, yang menjadikan rumah ibadat itu sebagai tempat tinggal sejak tiga tahun lalu ditumbuk berkali-kali di bahagian mata dan kepala menggunakan topi keledar sehingga tidak sedarkan diri.

Setelah puas ‘mengerjakan’ mangsa, kelima-lima suspek dikatakan melarikan diri bersama wang tabung derma tokong serta beberapa peralatan bernilai hampir RM25,000 yang diletakkan dalam tokong itu.

Mangsa berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi, empat lelaki dikatakan memecah masuk ke dalam Rumah Berhala Kuan Yin Tien dengan memanjat pintu pagar utama, manakala seorang lagi rakan mereka dipercayai menunggu di luar.

“Ketika itu saya baru bangun tidur untuk mengisi minyak di dalam bekas yang akan digunakan untuk upacara keagamaan.

“Apabila membuka pintu tokong, saya terkejut melihat empat lelaki yang kesemuanya memakai topi keledar sudah menunggu di luar, tanpa sempat berkata apa-apa dan tidak mengetahui tujuan mereka mengunjungi tokong pada awal pagi, mereka menumbuk mata dan memukul dengan topi keledar,” katanya.

Toy Kin berkata, dia beberapa kali mengadu kesakitan dan meminta suspek berhenti daripada memukulnya, namun tidak diendahkan.

“Saya terus ditumbuk dan dipukul sehingga pengsan, saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu hanya disedari apabila pembantu tokong datang untuk membuat kerja pembersihan sebelum mendapati Toy Kin sudah tidak sedarkan diri di tempat sembahyang.

Kejadian itu menyebabkan tulang di bahagian mata Toy Kin retak dan berlaku pendarahan pada kepala.

Kumpulan berkenaan dikatakan membawa lari sistem pembesar suara, peralatan kamera litar tertutup (CCTV), sebuah mesin dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM4,000.

Toy Kin memberitahu, kesemua suspek berusia lingkungan 20-an, bagaimanapun dia tidak dapat mengecam muka suspek kerana masing-masing memakai topi keledar.

Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kinrara, Datuk Wong Hock Aun berkata, kejadian itu agak mengejutkan kerana pertama kali berlaku membabitkan rumah ibadat yang sudah berusia puluhan tahun.

“Ada beberapa kes samun berlaku di sekitar Kinrara kebelakangan ini dan saya berharap orang ramai akan lebih berhati-hati bagi menge­lak diri daripada menjadi mangsa jenayah.

“Simpan nombor telefon Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau nombor telefon balai polis terdekat supaya senang dihubungi ketika berlaku kecemasan,” katanya yang turut menggesa polis meningkatkan rondaan di kawasan rumah ibadat dan perumahan.

Sinar Harian

Ikan tuna gergasi dilelong RM2.3 juta

12 Safar 1433H. [MOD] -

KIYOSHI KIMURA (kanan) bergambar di sebelah ikan tuna gergasi di pasar ikan Tsukiji, Tokyo semalam.

TOKYO - Seekor ikan tuna gergasi sirip biru seberat 269 kilogram (kg) yang ditangkap di luar perairan wilayah Aomori, utara Jepun mencipta rekod apabila dilelong dengan harga 56.49 iuta yen (RM2.3 juta) pada lelongan pertama hidupan laut itu dalam tahun ini.

Menurut agensi berita AFP, ikan itu dibeli oleh presiden sebuah syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran popular Zushi-Zanmai, Kiyoshi Kimura.

"Saya mahu memenangi ikan tuna yang terbaik supaya pelanggan Jepun dan bukan pelanggan dari luar negara yang akan menikmatinya," kata Kimura.

Dia merujuk kepada seorang pemilik restoran sushi di Hong Kong yang membeli seekor ikan tuna sirip biru yang dilelong pada harga 32.49 juta yen (RM1.32 juta) di Tsukiji, Jepun.

Penduduk Jepun makan tiga suku daripada ikan tuna yang ditangkap di seluruh dunia. - AFP

Rugi RM650,000

12 Safar 1433H. [MOD] -

HI-TECH, KEDAH - Seorang kontraktor binaan berusia 46 tahun terkejut apabila mendapati sembilan saiz kabel berlainan berukuran 16,400 meter dilaporkan hilang apabila dia ingin memulakan kerja pemasangan.

Menurut seorang pekerja yang berada di tempat kejadian, mereka sedang melakukan kerja pemasangan pendawaian di sebuah kilang, di sini yang sudah 45 peratus siap.

“Sebelum ini semua kabel yang hilang tidak diletakkan di tempat kejadian, sebaliknya ia hanya diletakkan sehari sebelum projek pemasangan hendak dijalankan.

“Kira-kira jam 9.30 pagi ketika sampai di tempat kejadian, saya membuat pemeriksaan terhadap kabel yang ada untuk dipasang. tetapi terkejut apabila mendapati kesemua tempat di mana kabel itu digulung telah kosong,” katanya.

Difahamkan susulan kejadian, kontraktor berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulim semalam.

Terdahulu, menurut pekerja terbabit, terdapat sembilan jenis kabel yang disimpan di belakang bangunan di situ untuk pasang.

“Kesemua kabel ini baru dan ia memang panjang. Saya percaya suspek yang mencuri semua kabel ini datang dari arah belakang kerana pagar di belakang bangunan ini sudah dipotong.

“Secara logik, suspek harus menggunakan lori untuk mengangkat semua kabel. Saya mentafsirkan jumlah kerugian akibat kehilangan kesemua kabel itu kira-kira RM650,000,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, kes melibatkan kehilangan kabel kerap berlaku.

Menurutnya, kejadian itu mungkin berikutan bahan logam yang terletak dalam kabel itu boleh dijual dengan harga mahal atau dijual semula kepada mana-mana kontraktor yang menjalankan tugas pendawaian dengan harga lebih murah.

“Terdapat beberapa kawasan yang sering dilaporkan berlaku kes kecurian kabel. Sehingga kini beberapa kejadian serupa dilaporkan berlaku dan terdapat individu berjaya ditahan.

“Kes kecurian kabel melibatkan jumlah kerugian besar sukar dikenal pasti kerana suspek terlibat seakan–akan sedang menjalankan tugas pemasangan kabel,” katanya.

Eng Khim tidak menafikan sukar untuk PPKM mengesyaki berlaku kes kecurian kabel sekiranya perlakuan suspek terlibat bersahaja dan seolah-olah mereka sedang menjalankan kerja pemasangan kabel.

Katanya, aktiviti pendawaian kabel bawah tanah ini selalunya dijalankan pada waktu malam dengan suspek akan memakai topi dan baju pantulan cahaya sama seperti pekerja pendawaian lain.

Sinar Harian

Hudud: Mohd Amar cabar Umno

12 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Umno kembali memainkan isu hudud Pas selepas bekas Ketua Dewan Ulama Pas, Wan Ismail Wan Ahmad meminta penjelasan mengenai hukum tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau dan beberapa pemimpin Pas sudah kerap kali menjawab isu tersebut namun mereka daripada Umno seolah-olah tidak mahu memahaminya.

“Apa yang ditimbulkan Wan Ismail itu hanya kekeliruan ketika menjawab kenyataan saya yang meminta orang ramai menunjukkan bahagian mana yang tidak betul dalam hudud yang dibawa Pas pada program Wacana Sinar Harian baru-baru ini.

“Hukuman yang kita ambil sememangnya tercatat dalam al-Quran, kita gubal dalam bentuk enakmen untuk disesuaikan dengan keadaan semasa, saya tidak faham apabila mereka masih mengatakan itu hudud Pas,” katanya.
Sejak diluluskan pada 1993, Umno katanya, menolaknya dengan mengatakan ia hudud Pas dan bukan hukum hudud yang terkandung dalam al-Quran.

“Saya cabar Umno supaya membawa kepada kita hudud yang dikatakan betul agar kita dapat melaksanakannya, kita terbuka dalam hal ini dan sampai sekarang mereka tidak mengemukakannya,” katanya demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah dan Barangan Industri Kecil dan Sederhana Peringkat Dun Panchor dekat sini, semalam.

Katanya, soal teknikal boleh berlaku kerana terdapat khilaf mengenainya seperti menetapkan hukuman kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan hanya mengenakan hukuman kepada orang Islam.

Katanya, perbezaan pendapat ulama dalam fekah perkara biasa, apa yang penting ialah hasrat murni untuk melaksanakannya.

Sementara itu, katanya, surat sudah dihantar kepada Ahli Jawatankuasa Teknikal untuk perlaksanaan hudud dan akan mesyuarat akan diadakan selepas mendapat jawapan daripada mereka.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor menyampaikan sumbangan pelajar cemerlang, pelan Takaful Kifalah, barangan IKS, barangan pertanian dan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi kepada 184 penerima.

Mengenai persiapan Pas untuk Pilihan Raya Umum Ke-13, Mohd Amar berkata, Pas bersiap sedia menghadapinya pada bila-bila masa selepas senarai akhir calon untuk Kelantan dihantar Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Pas Pusat.

“Saya difahamkan senarai itu sudah diterima Pas Pusat dan sehingga hari ini senarai itu kekal, tidak ada perubahan calon,” katanya.

Sinar Harian

Peneroka Felda tunjuk jalan keluar buat Isa

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan beberapa anggota Koperasi Permodalan Felda (KPF) untuk menghalang mesyuarat agung KPF diadakan melalui kuasa mahkamah menunjukkan seakan ada sesuatu yang tidak kena pada KPF atau pada bakal pengerusinya Tan Sri Isa Samad.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) merasa hairan kerana selama ini KPF tidak pernah bermasalah dan tiada suara-suara anggota KPF itu dibawa keluar.

Katanya, dunia Felda seperti senyap dengan keadaan yang tenang dan aman tanpa berlaku sebarang insiden yang memalukan.

“Namun demikian, dengan kehadiran Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF yang dilantik oleh tangan-tangan hitam tanpa restu ahli-ahli dan anggota Felda, Felda berkecamuk dengan begitu kuat sekali. Sehinggakan pemimpin Felda yang lain seperti sepakat bahawa yang menjadi duri dalam daging kepada Felda dan KPF adalah Tan Sri Isa Samad,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Lebih dari itu, ujarnya usaha menyingkirkan beberapa orang kanan Felda termasuk mencutikan Pengerusi KPF sebelum ini iaitu Datuk Dzulkifli Abdul Wahab secara paksa memarakkan lagi kemarahan warga Felda.

Kemuncaknya, kata beliau tindakan Tan Sri Isa untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia telah mendapat tentangan banyak pihak yang merasa terancam dengan masa depan KPF yang tidak menentu hasil penyenaraian tersebut.

Menurutnya, ramai beranggapan bahawa Tan Sri Isa Samad tidak layak memimpin KPF kerana beliau bukan ahli KPF, malah, beliau juga bukan berlatarbelakangkan Felda.

Tambahan pula, katanya Isa gagal memikat hati peneroka Felda daripada terus menyokongnya.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai menunjukkan kebencian terhadap beliau sehingga ada yang sanggup ke mahkamah demi memastikan beliau tidak mengemudi KPF,” ujarnya.

Justeru, katanya lagi Isa sewajarnya sedar diri sekiranya ada ahli bawahan membantah setiap tindakan beliau.

Ini, ujarnya menunjukkan kepemimpinan Isa tidak disenangi oleh warga Felda sendiri.

Sepatutnya, kata Riduan langkah awal yang perlu dibuat oleh Tan Sri Isa Samad adalah dengan mengundur diri bagi mengelak lebih ramai mempertikaikan kehadiran beliau di situ.

“Dibimbangkan sekiranya beliau terus berdegil untuk memimpin Felda dan KPF, warga Felda keseluruhannya memberontak dan boleh menyebabkan berlakunya ‘Felda Springs’ pula melanda sebagaimana berlaku di negara Arab ketika ini,” ujarnya.

harakahdaily/-

OPS Dadu: 10 ditahan

12 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Niat untuk bersuka-suka bagi mengisi masa lapang, akhirnya menjerat diri seorang warga emas, apabila dia ditahan dalam operasi judi yang dilakukan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di dua tempat berasingan, petang kelmarin.

Warga emas berusia 63 tahun itu yang dipercayai bekerja sebagai petani, merupakan antara yang ditahan bersama sembilan lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam permainan berkenaan.

Serbuan diketuai Pegawai Turus Bahagian Jenayah dan Kongsi Gelap, Asisten Superintendan, Nik Rosdi Nik Yahya dengan 11 anggota cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), di dua kawasan berasingan iaitu di Kampung Petalok, Jejulok dan Kampung Sering, Binjai.

Operasi yang bermula jam 5 petang itu berakhir kira-kira jam 8 malam dan kesemua yang disyaki dibawa ke balai polis Binjai untuk tindakan lanjut.

Nik Rosdi berkata, operasi dilakukan di dua tempat terbabit dari hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan anggota di kawasan itu sejak seminggu lalu.

”Serbuan pertama pada jam 5 petang yang dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Petalok, Jejulok, kita berjaya menahan empat lelaki yang berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun. Semua yang terlibat disyaki mempertaruhkan sejumlah wang dengan kaedah bermain daun terup,” katanya.

Manakala dalam operasi kedua pada jam 6.45, di Kampung Sering, enam lelaki yang berusia 35 hingga 63 tahun, ditahan di sebuah kandang kambing kerana terlibat dalam permainan judi belangkas yang menggunakan taruhan wang dengan tikam bergambar menggunakan dadu.

”Mereka yang ditahan dipercayai bekerja sebagai buruh kasar dan petani dan akan dikenakan tindakan lanjut di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Diharapkan agar orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini dapat melaporkan kepada pihak kami,” katanya.

Nik Rosdi berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang melaporkan kegiatan ini melalui talian Rakan Cop.

”Saya nasihatkan agar pihak yang berkeinginan untuk menganjurkan kegiatan ini supaya menghentikannya kerana pihak kami sudah mengenal pasti setiap lokasi yang menjadi tumpuan dalam permainan ini.

”Kita akan lakukan operasi dari masa ke semasa dan memantau keadaan di kawasan yang dikenal pasti, bagi membanteras kegiatan ini sehingga ke akar umbi,” katanya.

Sementara itu, polis Kelantan membuktikan keseriusan mereka menangani jenayah judi di negeri ini apabila kelompok pertama yang ditahan dalam OPS Dadu, kelmarin di hadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Nazri Muhamad, 40, (pembantu kedai kopi); Hashim Mohd Yusof, 44, (buruh); Mohd Azmi Mohamad@Mat, 26, (jurukimpal) dan Ahmad Saiful Nizam Ab Ghani, 20, (petani) dikenakan hukuman denda RM2,500 setiap seorang atau empat bulan penjara jika gagal jelas denda.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama.

Pada prosiding semalam, mereka mengaku bersalah berjudi dengan menggunakan wang sebagai pertaruhan di kedai makan Kampung Pelatak, Jejulok di sini, pada jam 5 petang, 4 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan ketika sedang leka berjudi dan duit RM1 sebanyak 19 keping serta 52 daun terup yang digunakan dalam judi itu turut dirampas.

Siasatan dijalankan Inspektor Suhana Saad sementara pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman.

Sinar Harian

Lepas gian belakang reban

12 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Cubaan seorang daripada tiga lelaki berusia antara 40 hingga 50-an untuk melarikan diri ketika asyik melepas gian di belakang reban ayam gagal apabila dia berjaya ditangkap sepasukan anggota polis di Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

Operasi berkenaan yang dijalankan kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, diketuai Inspektor Sobri Zakaria bersama tujuh anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Alor Gajah selepas dua minggu intipan di­jalankan.

Dalam operasi itu, polis menemui 12 paket plastik lutsinar berisi heroin dan satu paket syabu dalam genggaman seorang daripada suspek yang sedang khayal.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, berkata, operasi yang dijalankan di belakang reban ayam milik seorang daripada suspek bagaimanapun tidak disedari dua daripada mereka.

“Ketika tangkapan dibuat, dua suspek yang ditemui sedang khayal dan tidak melawan.

“Seorang daripadanya yang separuh sedar cuba meloloskan diri, namun berjaya ditangkap berhampiran lokasi serbuan.

“Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah,” katanya.

Sementara itu, Umar berkata, jumlah keseluruhan dadah jenis heroin dan syabu itu dianggarkan bernilai RM3,000.

“Pihak polis tidak menafikan lokasi serbuan yang berdekatan jalan besar berkenaan sememangnya merupakan port penagih untuk melepas gian.

“Polis juga percaya masih terdapat penagih lain yang menjadikan lokasi ini sebagai port melepas gian.

“Oleh itu, pemantauan dari masa ke semasa akan dilakukan bagi mengurangkan kadar jenayah di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A2 Akta Dadah Berbahaya atas kesalahan memiliki dadah dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Sinar Harian

Ibu hilang bersama dokumen

12 Safar 1433H. [MOD] -

BAHAU - Ketika kanak-kanak sebayanya sedang gembira menjalani alam persekolahan, seorang kanak-kanak di sini terpaksa melupakan seketika impian untuk ke sekolah berikutan tiada sijil kelahiran.

Ira Abdullah, 6, terpaksa hidup tanpa pengenalan diri selepas ibunya, seorang warga Indonesia berusia 20-an melarikan diri bersama dokumen pengenalan diri kanak-kanak berkenaan, tahun lalu.

Neneknya, Zahariah Hussin, 57, berkata, sebelum ini Ira sudah mempunyai dokumen kelahiran yang dimiliki menerusi bantuan seorang kenalan pada Disember 2010.

“Segalanya hampir selesai. Bagaimanapun, ibunya tiba-tiba menghilangkan diri dan lesap bersama dokumen anaknya pada tahun lalu.

“Sehingga kini, kami tidak tahu di mana dia dan ada sumber memaklumkan bahawa dia telah pulang ke negara asalnya,” katanya.

Zahariah berkata, kira-kira 10 bulan lalu, kenalannya ada menerima panggilan daripada ibu Ira yang dikenali sebagai Villa Barokah Seth.

“Bagaimanapun, nombor telefon yang tertera dalam telefon bimbit itu seperti nombor luar negara,” katanya.

Zahariah berkata, Villa ada memberitahu kenalannya itu bahawa dia akan memasukkan Ira ke sekolah sekiranya memberikannya wang untuk belanja tiket penerbangan ke negara ini.

“Namun, saya tidak mampu membantu Villa dan buntu memikirkan nasib cucunya itu kerana tidak tahu bagaimana caranya untuk mendapatkan salinan dokumen itu.

“Risau juga, sebab saya khuatir jika pihak berkaitan tidak percaya kata saya untuk mendapatkan salinan dokumen itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, kelmarin.

Zahariah berkata, ibu dan bapa Ira sebenarnya sudah lama berpisah dan setelah cucunya itu dilahirkan, masing-masing tinggal secara berasingan.

“Ayahnya pula tidak tahu di mana dan pulang tidak tentu masa,” katanya.

Berikutan itu, Zahariah amat mengharapkan sekiranya ada pihak datang membantu.

“Saya amat menghargai kerana ianya membabitkan masa depan Ira,” katanya.

Sinar Harian

Suami isteri maut kereta tercampak ke parit

12 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH - Sepasang suami isteri terbunuh selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan tercampak ke dalam parit yang dipenuh air di Jalan Kampung Raja, Kampung Gajah, kira-kira 75 kilometer dari sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohd Fakri Che Sulaiman berkata Shahrin Ismail, 33, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan isterinya Norazimah Abdul Aziz, 34, mati lemas selepas terperangkap dalam kereta yang dipenuhi air.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.25 pagi ketika kereta Perodua Kelisa yang dipandu Shahrin dalam perjalanan dari Teluk Intan ke rumahnya di Bandar U25, Seri Iskandar, Bota, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat pasangan suami isteri itu yang terperangkap dalam kereta dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat, katanya.

Sinar Harian

Sudah tahu tapi tetap diperdaya

12 Safar 1433H. [MOD] -

Penipuan membabitkan sindiket gores dan menang bukan isu baru. Walaupun sering kali didedahkan melalui media massa, namun masih ramai yang terpedaya dengan taktik licik sindiket ini. Mengikut laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri, sebanyak 189 aduan diterima sepanjang 2011 membabitkan kerugian sejumlah RM95,000.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Abdul Hamid Abu Bakar mengesahkan purata kerugian setiap mangsa penipuan sindiket berkenaan mencecah RM5,000.

Namun kebanyakan aduan diterima tidak mempunyai dokumen lengkap termasuk resit bayaran, selain nama dan alamat syarikat palsu merumitkan siasatan dijalankan.

Lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan sindiket ini di bandar raya Johor Bahru, berdasarkan aduan mangsa yang diterima KPDNKK adalah Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), JB Sentral, jejantas JB Sentral ke Plaza City Square, Jalan Wong Ah Fook, termasuk kawasan parkir beberapa kompleks membeli belah.

Modus Operandi Penipuan Gores dan Menang

Modus operandi sindiket ini ialah menipu orang ramai dengan taktik mengundang mangsa dengan menawarkan hadiah lumayan menggunakan beberapa kad atau sampul sebagai umpan.

Selepas berjaya memperdayakan mangsa, sindiket akan membawa mangsa ke premis mereka kononnya bagi urusan tuntutan hadiah, sebelum meminta sejumlah wang tertentu kononnya sebagai cukai kerajaan, bayaran iklan dan pelbagai alasan lain.

Mangsa diminta untuk membuat bayaran sama ada secara tunai, kad kredit atau mengeluarkan wang dari mesin ATM, seterusnya mengambil wang diberikan bertujuan merekodkan nombor siri sebelum hadiah diserahkan.

Selepas berjaya mendapatkan wang mangsa, sindiket akan menyerahkan hadiah seperti tilam jade, peralatan penapis air, set teater rumah, mesin urut kaki dan sebagainya sebelum ‘hadiah’ sebenar diserahkan selain itu sindiket akan membantu urusan penghantaran hadiah berkenaan ke rumah mangsa.

Kebiasaannya sindiket berkenaan akan mengeluarkan resit tanpa nama dan alamat syarikat berkenaan atau menggunakan nama syarikat dan alamat palsu. Sindiket juga dikenal pasti turut mencatatkan amaun bayaran kurang daripada bayaran sebenar.

Antara alasan diberikan, khususnya mangsa warganegara jiran termasuk mengelakkan hadiah dimenangi dikenakan bayaran cukai semasa membawa pulang hadiah.

Sindiket juga dikesan akan berpindah ke lokasi lain dalam tempoh singkat bagi mengelakkan kegiatan mereka ‘dihidu’ pihak berkuasa termasuk disedari pelanggan.

Tangkapan dan tindakan KPDNKK Johor

KPDNKK negeri telah menahan 14 ejen sindiket gores dan menang membabitkan sembilan lelaki dan lima wanita berumur 20 hingga 30 tahun, termasuk menyita sejumlah kad gores dan menang serta risalah hadiah dalam serbuan pada 20 Disember lalu berdasarkan maklumat orang ramai.

Suspek dipercayai jurujual atau ejen sindiket yang ditugaskan untuk menarik pelanggan di lokasi tertentu sebelum di bawa ke pejabat mereka untuk tujuan penipuan. Siasatan lanjut ada sindiket menawarkan hadiah lumayan kepada mangsa iaitu kereta jenis Toyota Camry dan Jade Mattress.

Terbaru, dua suspek sindiket telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 Disember lalu, kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(b)(ii) Akta Perihal Dagangan 2011 namun mengaku tidak bersalah dan mereka diikat jamin RM25,000 setiap seorang.

Kedua-dua tertuduh akan dibicarakan pada 10 Januari ini.

Menurut Abdul Hamid, ini adalah kes pertama yang didakwa di mahkamah melalui undang-undang berkenaan, jika sabit kesalahan dua lelaki terbabit bakal dihukum iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain daripada tindakan berkenaan, beberapa langkah bagi mengatasi masalah penipuan gores dan menang digunakan KPDNKK termasuk:
i- Meminta pengurusan kompleks membeli belah supaya membuat pengumuman atau hebahan tentang aktiviti penipuan gores dan menang kepada pelanggan melalui sistem pembesar suara.
ii- Meletakkan notis sebagai peringatan kepada orang ramai di kawasan ’panas’ supaya orang ramai tidak terpedaya oleh sindiket yang aktif di lokasi berkenaan.
iii- Menjalankan pemeriksaan berkala dan pemantauan statik di kawasan ‘panas’ dan mengambil tindakan untuk menahan termasuk soal siasat terhadap suspek.
iv- Meminta pengawal keselamatan di kompleks membeli belah supaya mengusir ejen sindiket yang beroperasi dikawasan premis mereka.
v- Mendapat kerjasama daripada pihak polis untuk membuat rondaan di kawasan ‘panas’.
vi- Menyebarkan risalah kepada orang ramai mengenai aktiviti penipuan gores dan menang.
vii- Memberi ceramah dan menyebar maklumat penipuan gores dan menang melalui media massa selain forum kepenggunaan yang diadakan.

Penyelesaian

Bagi membanteras kes penipuan gores dan menang dengan lebih berkesan KPDNKK turut mendapat kerjasama daripada pihak polis bagi mengambil tindakan terhadapan sindiket melalui Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Modus operandi sindiket adalah satu penipuan muslihat atau International Deception iaitu menggunakan taktik penyelewengan gores dan menang bertujuan memperdaya mangsa menyerahkan wang untuk membeli barangan walaupun tiada niat untuk membelinya.

Niat jahat sindiket boleh dikesan dengan cara operasi perniagaan mereka dengan menggunakan alamat palsu selain menggunakan nama individu yang tidak dapat dikesan.

Dibawah Seksyen berkenaan jika sabit kesalahan individu berkenaan bakal berhadapan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan selain boleh dikenakan denda.

Sinar Harian

Beli ubat kurap sebelum samun

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang lelaki menggunakan helah membeli ubat kurap sebelum menyamun sebuah farmasi di Jalan Bukit Sekilau, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 malam itu, mangsa yang juga pekerja farmasi itu, Jaslini Jasni, 32, berada di kaunter bayaran bersama seorang pekerja, Nur Hafifah Mohd, 19.

Menurutnya, lelaki tersebut memasuki farmasi seorang diri dengan memakai topi keledar dan membeli ubat kurap sebelum membuat bayaran RM10 di kaunter.

“Pada mulanya kami tidak mengesyaki apa-apa. Bagaimana pun, selesai mem­buat pembayaran dia berlegar-legar di dalam farmasi sebelum memasuki bahagian kaunter dan bertindak me­ngacukan pisau di perut Nur Hafifah serta meminta saya menyerahkan wang yang terdapat di dalam mesin wang.

“Akibat takut dicederakan, saya mengeluarkan semua duit di dalam mesin wang berjumlah RM300, namun dia tidak berpuas hati lalu mengarahkan kami menyerahkan beg tangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kedua-dua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah, semalam.

Sinar Harian

Sorok minyak dalam but

12 Safar 1433H. [MOD] -

BUKIT KAYU HITAM - Taktik baru dengan mengubahsuai tangki minyak pada but kenderaan, selain bawah tempat duduk belakang untuk menyeludup minyak ke negara jiran berjaya ditumpaskan pihak berkuasa, semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 hingga 7.50 pagi semalam, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di sini, menahan semua kenderaan terbabit yang membawa muatan 1,900 liter petrol dan 1,600 liter diesel bernilai RM6,480 ketika sekatan jalan raya di Kilometer 1.3 di sini, arah Thailand.

Timbalan Komander UPP Kedah, Noor Mohamed Shaik Alaudin berkata, semua kenderaan termasuk empat Proton Saga, sebuah Ford Telstar dan sebuah pikap Thailand menggunakan taktik sama mengubahsuai tangki di beberapa bahagian kenderaan masing-masing.

Menurutnya, sindiket penyeludupan berkenaan dipercayai dari kumpulan sama, memandangkan tempoh penahanan semua kenderaan terbabit hanya melibatkan tempoh setengah jam sahaja.

“Namun ia adalah kumpulan baru berikutan masing-masing tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, UPP mengesan trend terkini penyeludupan dengan menggunakan kenderaan tempatan sebagai modus operandi baru berbanding penggunaan kenderaan Thailand sebelum ini.

Sinar Harian

Cucu ugut kelar nenek

12 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Demi RM50, seorang cucu sanggup mengacu pisau ugut mengelar nenek kandungnya sendiri, sebulan lalu. Padahnya, dia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman terhadap Mohd Faizal Abdul Rahim, 26, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali kerana mengugut hendak menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Berdasarkan pertuduhan, buruh tersebut didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Eshah Botok, 72, di Kampung Aril, Peringat, Melor di sini, pada jam 8 pagi, 28 Disember tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengacu pisau pemotong sayur sambil berkata kepada neneknya, ‘semalam aku minta seratus, mu bagi RM50, mu bawa mari pitih (duit), kalau mu tak cari, aku ‘siup’ tengkuk mu.’
Eshah yang takut dicederakan kemudian menyerahkan RM50 sebelum ke balai polis Pengkalan Chepa membuat laporan.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly, bagaimanapun, menafikan akan digunakan untuk itu membeli dadah.

Mohd Fazaly Ali kemudian menyabitkan tertuduh dengan kesalahan tersebut sebelum mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya, Isnin lalu.

Sinar Harian

PR mampu terus berjuang

12 Safar 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Tanggapan pihak tertentu yang mendakwa Pakatan Rakyat (PR) akan berkubur sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipenjarakan adalah kurang tepat.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, PR mampu meneruskan perjuangan dan tetap bersama dalam satu pasukan demi menegakkan keadilan untuk rakyat.

“Yang penting, rakyat mesti pastikan Barisan Nasional (BN) dapat ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya pada ceramah khas di pekarangan Pejabat PKR negeri di sini, malam kelmarin.

DI MELAKA, dalam ceramahnya yang dihadiri 3,000 penyokong, Anwar menegaskan supaya penyokongnya terus menumpukan perhatian pada PRU13, berbanding keputusan mahkamah terhadapnya Isnin depan.

Anwar berkata, keputusan sama ada beliau dipenjarakan atau sebaliknya, tidak penting tetapi yang perlu diutamakan adalah keputusan rakyat membuat pilihan untuk mengubah kerajaan pada pilihan raya akan datang.

“Saya mahu semua penyo­kong dan rakyat fokus pada pilihan raya, malah perkara ini telah dimaklumkan kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Naib Presidennya, Salahuddin Ayub,” katanya.

Ceramah itu diadakan secara aman tanpa sebarang kekecohan dan majlis yang sama turut diadakan Barisan Nasional (BN) di kawasan bersebelahan, dengan jarak tidak sampai 100 meter.

Sinar Harian

MB Selangor akui akan turut sertai

12 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menyertai perhimpunan Bebas Anwar 901, untuk menyatakan sokongan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ya, saya juga seorang kepimpinan Keadilan dan Pakatan Rakyat (PR), saya akan memberikan ucapan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

“Reformasi kita belum selesai. Oleh sebab itu, kita ini meneruskan usaha memper­juangkan cita-cita untuk Malaysia ini dalam keadaan yang lebih baik dan me­nguntungkan rakyat,” katanya.

Abdul Khalid berkata, walaupun mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes liwat ketua pembangkang itu, namun tidak menghalang beliau untuk memberi ceramah pada hari berkenaan.

“Itu tidak menjadi masalah, malah harapan saya makin besar. Sebab tujuan kita ialah me­ngingatkan rakyat membuat perubahan.

“Setiap rakyat bertanggungjawab memilih kepimpinan dan membuat perubahan,” katanya.

Sinar Harian

Ribuan kenderaan terperangkap

12 Safar 1433H. [MOD] -

SEBAHAGIAN kereta yang terperangkap di sekitar Jalan Batu Lintang, semalam.

Urusan pengguna jalan raya di Kuching tergendala 4 jam akibat banjir kilat

KUCHING: Ribuan kenderaan menghala ke pusat bandar raya ini terperangkap dalam kesesakan teruk hampir empat jam akibat banjir kilat yang berlaku, pagi semalam.

Hujan lebat sejak tengah malam menyebabkan sistem perparitan tersumbat sebelum melimpah ke hampir semua jalan utama mengakibatkan ia dinaiki air setinggi 0.3 hingga 0.5 meter.

Orang ramai yang dalam perjalanan ke tempat kerja serta pelajar sekolah tidak dapat melalui Jalan Rock, Jalan Green, Jalan Batu Kawa, Jalan Badarudin, Jalan Matang serta Jalan Sultan Tengah berikutan air parit melimpah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata pihaknya cuba menyuraikan aliran trafik dengan mengarahkan kenderaan melalui laluan alternatif sementara menunggu banjir surut.

“Kesesakan teruk berlaku apabila banyak laluan utama dinaiki air antara jam 6 pagi hingga 9 pagi semalam, namun trafik kembali pulih selepas jam 10 pagi dengan semua jalan kembali dibuka kepada pengguna.

“Ini adalah kesesakan terburuk pernah berlaku di Kuching dengan anggota trafik diminta membantu orang ramai termasuk pengguna jalan raya yang terperangkap akibat banjir,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, ribuan penduduk sekitar Petra Jaya dan Batu Kawa yang keluar bekerja seawal jam 5.30 pagi terperangkap dalam kenderaan masing-masing dengan puluhan kenderaan dilaporkan turut mengalami kerosakan.

Kejadian banjir kilat ini berlaku selepas Sarawak berhadapan bencana banjir ketika sambutan Hari Krismas bulan lalu yang menyebabkan lebih 5,000 penduduk di Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Mukah terpaksa dipindahkan.

Banjir besar dijangka melanda utara Sarawak

MIRI: Banjir besar dijangka melanda kawasan utara Sarawak terutama di Baram, Niah dan Suai, jika hujan lebat berterusan bagi tempoh beberapa hari lagi .

Berikutan itu, Pejabat Residen Miri meminta semua agensi bantuan serta pasukan keselamatan terbabit mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memantau kawasan yang rendah.

Jurucakapnya berkata, walaupun ketika ini belum ada kawasan di utara Sarawak dilanda banjir, penduduk perlu berjaga-jaga dan sedia dipindahkan jika keadaan memerlukan.

“Berdasarkan ramalan cuaca, kita menjangkakan hujan berterusan beberapa hari lagi dengan banyak kawasan rendah yang sebelum ini pernah mengalami banjir berisiko dinaiki air lagi,” katanya kepada Berita Harian.

Tahun lalu, beberapa kawasan penempatan penduduk sekitar Miri mengalami banjir teruk, khususnya di kawasan berhampiran pantai seperti di Suai, Niah, Bekenu serta beberapa kampung masyarakat Orang Ulu di Baram.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Daerah Niah, George Tan berkata, ketika ini belum ada kawasan di daerah itu dilanda banjir.

Namun, katanya, semua penduduk sudah diminta segera pindah jika paras air sungai berdekatan penempatan mereka terus naik.

“Kita mahu penduduk mengambil langkah lebih waspada jika air sungai di kawasan mereka naik. Jangan tunggu sehingga situasi menjadi bahaya baru berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, pegawai daerah Marudi, Joseph Belayong berkata, belum ada penempatan penduduk di Baram dilanda banjir, khususnya di kawasan Sungai Tutoh.

“Kita sudah minta semua pihak khususnya penduduk yang menetap di tebing Sungai Tutoh supaya pindah ke tempat tinggi jika paras air sungai itu naik mendadak.

“Langkah ini perlu untuk mengelak masalah yang lebih serius kerana arus sungai berkenaan deras dan boleh menghanyutkan kediaman penduduk,” katanya.

berita harian/-

Operasi mengesan mangsa tertimbus akibat tanah runtuh diteruskan

12 Safar 1433H. [MOD] -

MANILA: Pihak berkuasa berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mengesan mangsa tanah runtuh yang mengakibatkan lebih 20 orang maut di kawasan lombong emas di pedalaman negara berkenaan tetapi mereka tidak pasti jumlah sebenar yang masih tertimbus.

Kejadian itu yang berlaku awal pagi semalam di bandar Pantukan, wilayah Compostela Valley.

Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos berkata, laporan awal seramai 100 orang dikatakan masih tertimbus dalam tanah runtuh berkenaan.
Katanya, anggaran itu terlalu tinggi tetapi jumlah sebenar belum dapat dipastikan.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan tidak menyimpan maklumat jumlah pelombong kebanyakannya orang luar yang bekerja di situ. - AP


Felda digesa selesai isu bonus insentif

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS, 6 Jan: PAS memandang serius isu 39 peneroka Felda Sungai Koyan 3 yang tidak menerima bonus insentif produktiviti seperti yang dijanjikan Perdana Menteri sedangkan mereka mendakwa layak menerima wang berkenaan.

Timbalan Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal, berkata pihak pentadbiran Felda sepatutnya lebih prihatin dan mengetahui peneroka yang sepatutnya layak menerima bonus.

Tambahnya, kecuaian memberikan kepada yang berhak tambahan dijanjikan oleh Perdana Menteri pula hanya akan menyebabkan mereka makin tertekan tambahan menjelang tahun baru dan awal sesi persekolahan.

“Bayangkan sudah sebanyak mana hasil tuaian ladang mereka yang diusahakan Felda Technoplant dan dihantar pula ke kilang sawit Felda. Itupun belum diambil kira gred kadar perahan yang dibayar rendah.

“Jadi sebagai sebuah agensi pembangunan tanah dan industri kerajaan, kita mahu Felda sesesaikan segera isu bonus insentif yang hanya dinikmati setahun sekali itu,” katanya.

Roslan yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Pahang berkata, pihak kerajaan dan Felda mesti sedar bahawa pada awal tahun ini semua pihak termasuk peneroka memerlukan wang yang banyak untuk persekolahan anak masing-masing.

Tambahnya, jika bonus yang layak mereka dapat pun dinafikan sudah tentu akan menjejaskan kewangan mereka yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu, yang sebelum ini sudahpun menghadapi tekanan akibat harga barang keperluan semakin melambung.

“Kita tidak mahu Felda berkokok dalam soal penyenaraian saham, bisnes di luar negara dan sebagainya sedangkan hakikatnya kebajikan peneroka yang telah berjasa membangunkan ladang terbesar di dunia itu diabaikan,” ujarnya.

Roslan berkata demikian ketika diminta mengulas isu 39 peneroka Felda Sungai Koyan 3 yang mendakwa tidak menerima bonus insentif seperti disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini.

Agihan bonus kepada peneroka telah diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Disember lepas.

Berdasarkan kenyataan peneroka yang terkilan dan kecewa itu, pihak pengurusan Felda di rancangan berkenaan tidak mengendahkan tuntutan bonus tersebut meskipun mereka layak menerimanya kerana ladang diuruskan Technoplant.

harakahdaily/-

Jika Najib jadi mangsa, wajib tentang kezaliman

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Jan: “Jika mangsa itu adalah Datuk Seri Najib Abd Razak sekalipun, kita wajib menentang kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Katanya, kebetulan hari ini insan yang menjadi mangsa hukuman sebelum hukuman mahkamah ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, katanya jika beliau turun pada perhimpunan 901 kelak, bukan turun untuk Anwar dan kerana Anwar.

“Tetapi kerana saya mahu membawa mesej kepada kerajaan Umno dan BN bahawa rakyat menolak cara pemerintahan dan pentadbiran yang merosakan maruah orang sebelum ia dibuktikan bersalah, menghukumnya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya,” tulis beliau di dalam blognya.

Ini, katanya adalah satu kezaliman dan penganiayaan.

Menurutnya lagi, adalah tidak baik membiarkan pemerintahan sebegitu mengurus negara dan rakyatnya.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur membenarkan penganjuran perhimpunan Bebas Anwar 901 di tempat letak kereta luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin ini dengan syarat ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. pagi tadi.

harakahdaily/-

Perlu ikrar kongsi isteri

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Rela berkongsi isteri. Itu antara sumpah atau ikrar yang dilafazkan ketika upacara khas atau ritual untuk merekrut ahli baru bagi satu kumpulan kongsi gelap.

Perkara itu didedahkan seorang bekas pengikut kumpulan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Burn, 23 dan pemuda terbabit juga meminta nama kumpulan itu dirahsiakan demi keselamatannya.

Burn yang menganggotai kumpulan itu selama tiga tahun, nekad meninggalkannya pertengahan tahun lalu selepas sering diugut rakan sekumpulan kerana gagal melunaskan bayaran bulanan selain diarah melakukan jenayah seperti memukul orang dan bergaduh.

Menceritakan lebih lanjut mengenai upacara merekrut ahli baru kumpulan dianggotainya itu, Burn berkata, dia dan beberapa bakal ahli dibawa ke sebuah tokong di selatan tanah air yang terletak jauh dari pusat bandar.

“Upacara merekrut ahli baru ini dilakukan dalam skala besar atau kecil mengikut berapa ramai ahli baru yang akan direkrut dan kebiasaannya dilakukan pada lewat malam,” katanya sambil menjelaskan penyertaannya dalam kumpulan itu disebabkan terpengaruh dengan pujukan rakan.

Harian Metro

Harimau zoo sambar kepala budak

12 Safar 1433H. [MOD] -

MOSCOW: Kegembiraan satu keluarga mengunjungi zoo bergerak di Blagoveshchensk, timur Russia bertukar tragedi yang hampir menyebabkan kematian apabila seorang daripada mereka diserang harimau, semalam.

Hanya dikenali sebagai Timofei, budak berusia tiga tahun itu sedang berdiri berhampiran pagar sementara yang menempatkan harimau Amur – spesies hidupan liar yang jarang ditemui.

Ketika Timofei bersedia dirakamkan gambar oleh ibu bapanya, harimau itu menjangkau kepala mangsa menyebabkan berlaku kekecohan.

Saksi berkata, seorang pekerja zoo berjaya memukul haiwan liar itu dengan kayu sebelum ia melepaskan kepala Timofei.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan kritikal selama dua jam Doktor berkata, Timofei mengalami kecederaan parah pada kepala dan otak. – DM

901: Polis benar himpun, PKR jamin kerjasama

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Jan: PKR memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung Himpunan 901 yang akan diadakan 9 Januari ini, tegas Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali.

(Polis dan Azmin bersetuju perhimpunan ini diadakan dengan aman...berita Astro Awani)

Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan dengan Ketua Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh dan beberapa wakil penganjur dan pegawai tertinggi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pagi ini.

"Kita mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak polis yang telah membenarkan himpunan tersebut.

"Pada 9 Januari nanti kita akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis bagi memastikan himpunan tersebut berlangsung dengan amam tanpa ada sebarang provokasi yang tidak diingini," jelasnya kepada media selepas pertemuan tersebut.

Sidang media khas

Bagaimanapun ujarnya, maklumat berkaitan tempat berhimpun dan perkara teknikal lain hanya akan dinyatakan pada sidang media khas jam 3.30 petang ini di Ibu Pejabat PKR.

"Secara rasmi kita akan nyatakan pada petang ini mengenai tempat himpunan dan segala maklumat teknikal.

"Secara ringkas pihak polis membenarkan himpunan tersebut," jelasnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, semalam menyatakan pihak berkuasa tidak akan mengharamkan perhimpunan 9 Januari depan, sebaliknya menuntut penganjur berunding dengan pihaknya berkenaan kawasan yang sesuai untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Tedahulu, turut hadir pada pertemuan tersebut adalah beberapa pimpinan PKR termasuk Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan juga Naib Presiden PKR N.Surendran yang sebelum ini dipanggil pihak polis berhubung himopunan yang akan dianjurkan itu.

Pertemuan hari ini dibuat selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyarankan agar Ketua Polis Kuala Lumpur bertemu penganjur bagi membincangkan perkara tersebut.

harakahdaily/-

Duit palsu jadi hantaran kahwin

12 Safar 1433H. [MOD] -

BANDAR SERI BEGAWAN: Kegembiraan seorang ibu tunggal menerima menantu baru, bertukar peristiwa pahit apabila mendapati wang hantaran belanja hangus yang diterimanya adalah kepingan wang kertas palsu.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Juli berkata, dia tidak menyangka perkara ini boleh berlaku, apatah lagi urusan perkahwinan anak perempuannya dibuat secara teratur dan mengikut adat.

Katanya, majlis perkahwi nan anak perempuannya itu diadakan secara serentak dengan majlis menghantar tanda, tunang dan akad nikah pada 1 Januari, lalu.

Katanya, setelah menerima barang hantaran dan wang belanja sebelum akad nikah dilangsungkan, dia membawa barang itu ke dalam bilik untuk diperiksa.

Namun begitu, dia terkejut apabila membuka bingkai kayu tempat wang itu diletakkan, dan mendapati ia adalah wang palsu.

Juli segera memberitahu bekas suaminya yang hadir sebagai wali untuk anak perempuannya dan meminta menghentikan pernikahan itu. Bekas suaminya menolak kerana bimbang keputusan itu akan mengaibkan keluarga mereka.

Tetapi, Juli berkeras kerana wang hantaran adalah hak anaknya dan perkara itu menyalahi adat dan perjanjian kedua-dua keluarga.

Namun, upacara akad nikah diteruskan dan sebaik saja ia selesai, perkara itu diberitahu kepada suami anak perempuannya.

Suami anak perempuannya, yang dikenali sebagai Joe merasa terkilan dengan ibu bapanya yang menyediakan “wang palsu” untuk hantaran.

Setelah berbincang, keluarga Joe bersetuju untuk menggantikan wang palsu itu dengan wang pendahuluan B$1,000 (RM2,427) kepada pihak perempuan.

“Yang buat saya terkejut, kenapa beri wang palsu dan perkara itu tidak dibincang dulu,” kata Juli.

Kata Juli, setelah ditanya kepada menantunya, Joe memberitahu, ibu bapanya berbuat demikian “kerana mereka tidak mempunyai wang.” – Media Permata

Pegawai Perhutanan Perak ditangkap SPRM

Antara wang yang dirampas sedang dikira oleh pegawai SPRM

12 Safar 1433H. [MOD] -

Wang RM720,000, saham dirampas

IPOH: Seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati menyembunyikan wang tunai RM720,000 dan beberapa buku amanah saham membabitkan pelaburan bernilai lebih RM4 juta di rumahnya di kuarters kerajaan berhampiran Kem Tentera di Gerik, awal pagi semalam.

Sebahagian wang tunai itu ditemui disusun rapi dalam lipatan telekung dan sebahagian lagi bersama beberapa buku pelaburan ditemui disembunyikan berasingan di beberapa lokasi, termasuk di dapur serta ruang tamu rumah pegawai kanan berusia lingkungan 50-an.

Serbuan dan tangkapan itu dibuat jam 2 pagi susulan penahanan seorang lagi pegawai kanan jabatan sama bersama seorang 'tauke balak' berkait kes mencuri balak bernilai lebih setengah juta ringgit di Hutan Kuak Luar, berdekatan Pengkalan Hulu, tengah hari kelmarin.

Sumber SPRM berkata, pegawai itu ditahan ketika berada di dalam rumah bersama isteri serta beberapa anaknya dan hasil pemeriksaan di dalam rumah menemukan sejumlah wang tunai berjumlah RM720,000.

“Semua wang tunai dan buku pelaburan amanah saham yang ditemui dirampas dan suspek dibawa ke pejabat SPRM Perak untuk disoal siasat,” katanya di sini, semalam.

Semalam, akhbar ini mendedahkan seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak bersama seorang seorang tauke balak, masing-masing berusia 40 dan 50 tahun ditahan SPRM, Rabu lalu, berikutan penemuan lebih 300 balak siap dipotong bernilai RM600,000 di kawasan pembalakan Hutan Kuak Luar, berdekatan Pengkalan Hulu.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menahan tiga lori sedang mengangkut balak dan merampas beberapa jentera berat di kawasan pembalakan berkenaan. Siasatan awal SPRM juga mendapati balak itu ditebang di luar kawasan tender.

Sumber berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu berikutan penemuan sejumlah wang tunai yang banyak, selain pelaburan saham membabitkan jutaan ringgit.

“Pegawai kanan itu dan dua lagi suspek yang ditangkap Rabu lalu masih ditahan untuk siasatan. Kita juga akan memanggil beberapa individu lain termasuk ahli keluarga suspek bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009,” katanya.BH/-