10 Mei 2008

Ir. Nizar : Laksanakan tugas tanpa ada tekanan dari mana-mana pihak

PARIT BUNTAR, 8 Mei:- Semua penjawat awam diminta menjalankan tugas tanpa ada tekanan dari mana-mana pihak dan jauh sekali dari melaksanakan tugas yang tidak mencerminkan ketidak adilan. Demikian antara intipati ucapan Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Ir. Muhamad Nizar Jamaludin semasa menyampaikan ucaptama dalam taklimat pembangunan Daerah Kerian di sini hari ini.

Beliau juga menegaskan rasa bersyukurnya dengan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan PR kerana itu juga Beliau datang untuk menunjukkan rasa bertanggungjawab bagi memajukan Daerah Kerian.

Kerajaan PR juga menyedari penduduk Perak memerlukan bantuan kita semua, oleh itu Menteri Besar memohon kerjasama daripada semua ketua jabatan untuk memberi kerjasama kepada kerajaan baru Pakatan Rakyat bagi menjayakan hasrat tersebut.

Ir. Nizar menegaskan bahawa kerajaan PR adalah kerajaan yang telah diberi mandat oleh rakyat yang mahukan perubahan. Sambil menjelaskan bahawa teras dan dasar kerajaan PR adalah adil, amanah, keterusan, kewibawaan dan kebajikan.

Katanya "Kalau ada tekanan terdahulu telah pun diangkat, maka lakukan tugas dengan penuh tanggungjawab sebelum kelak ditanya oleh Allah".

Menteri Besar mengajak hadirin supaya tidak melayan tomahan masyarakat dan berikan segala tenaga dan kerja tanpa dengan tujuan memuaskan pihak tertentu. Menteri Besat mahu pejabat Daerah Kerian disukai oleh rakyat dan menyenangkan mereka. Beliau berkeyakinan seluruh kakitangan dapat melakukan lebih baik dari yang diharapkan.

Menteri Besar memohon semua pihak agar meraikan perubahan kerajaan di Perak, sambil memohon maaf jika ada kesalahan selama 50 hari kerajaan PR menerajui Perak.

Pertemuan tersebut yang berlaku dalam suadana penuh keakraban dimulai dengan taklimat pembangunan oleh Pegawai Daerah Kerian, Encik Ismail Bin Hassan. taklimat tersebut juga dihadiri oleh 5 exco kerajaan Perak, semua wakil rakyat Parlimen dan DUN Daerah Kerian serta semua ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato' Dr. Abdul Rahman Bin Hashim.