31 Mei 2010

Kerajaan Tidak Berhak Pinda Hukum Allah - Dr Yusof al Qaradhawi

15 Jamadil Akhir 1431H.
Oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Islam telah menetapkan bahawa satu-satunya kuasa yang berhak menghalal dan mengharamkan sesuatu itu adalah kuasa Allah semata-mata. Tidak kira betapa tingginya darjat seseorang tersebut di dalam agama Allah, ataupun dari sudut pandangan manusia, ia tetap hak Allah SWT semata-mata.

Ia bukanlah hak orang cendekiawan atau ahli ugama, bukan juga milik raja atau sultan, untuk mereka menentukan sesuatu itu haram selama-lamanya kepada mana-mana manusia. Maka, sesiapa yang melakukan demikian, bermakna dia telah melampaui batasan hak Allah SWT di dalam mengatur syariat bagi semua makhluk.

Bahkan, sesiapa yang mengakui bahawa mereka berhak untuk mengatur syariat, dan orang ramai mengikutinya, seolah-olah dia telah menjadikan aturan mereka tersebut sebagai tandingan bagi Allah, dan mereka yang mengikutinya turut dikatakan sebagai syirik.

Allah SWT berfirman

Adakah patut bagi mereka, mempunyai sembahan-sembahan selain daripada Allah yang menyusun syariat di dalam agama, dengan sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah? (Surah asy Syura : 21)

Al Quran mengkritik golongan ahli kitab yang telah memberikan kekuasaan untuk menghalal dan mengharamkan kepada golongan-golongan cerdik (pendeta), dan ahli-ahli ugama dari kalangan mereka. Allah SWT berfirman

Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al Masih anak Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang yang mereka sekutukan (Surah at Taubah : 31)

Seorang sahabat Nabi SAW, ‘Adiy bin Hatim telah datang berjumpa Baginda SAW (beliau adalah penganut agama Nasrani sebelum Islam). Ketika mana beliau mendengar Nabi SAW membacakan ayat 31 Surah at Taubah tersebut, beliau berkata :

“Wahai Rasulullah, mereka bukanlah menyembah benda-benda (cendekiawan dan ahli ugama) tersebut”

Lalu Baginda SAW menjelaskan

“Benar apa yang kamu katakan. Sesungguhnya mereka telah mengharamkan apa yang dihalalkan ke atas mereka, dan mreka juga menghalalkan apa yang diharamkan, lalu mereka mengikut sahaja syariat sesat tersebut. Maka perbuatan ini dikira penyembahan terhadap benda-benda tersebut”

Di dalam riwayat lain, bahawa Nabi SAW bersabda untuk mentafsirkan ayat 31, Surah at Taubah dengan berkata :

“Sekiranya mereka tidak dikatakan menyembah benda-benda tersebut, akan tetapi apabila benda-benda tersebut menghalalkan sesuatu perkara, mereka juga turut menghalalkannya. Begitu juga apabila benda-benda tersebut mengharamkan sesuatu perkara, mereka juga turut mengharamkannya.

Sebelum ini telah diceritakan tentang tanggapan orang kristian bahawa syariat itu berhak diatur oleh orang-orang mereka, bahkan ia bercanggah dengan al Quran. Orang Nasrani masih beranggapan bahawa Nabi Isa AS memberi kebenaran sepenuhnya kepada anak-anak muridnya untuk menghalal atau mengharamkan sesuka hati mereka.

Sepertimana yang telah diceritakan di dalam Injil Mathew 18:18

“Satu kebenaran yang aku beritahu kepadamu, iaitu semua perkara yang berkaitan dengan urusanmu di dunia, ia juga sepertimana di langit. Dan setiap perkara yang kamu halalkan di dunia, ia juga dihalalkan di langit”

Demikianlah sepertimana yang Islam kritik terhadap golongan yang mensyirikkan Allah. Mereka mengharam dan menghalalkan sesuatu perkara tanpa keizinan daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman

Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum) : “Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah kepada mereka : “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?” (Surah Yunus : 59)

Allah SWT berfirman

Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu : “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya (Surah an Nahl : 116)

Berdasarkan ayat ini, dan hadis yang telah disebutkan sebelum ini, Fuqaha telah mengemukakan satu pengetahuan yang meyakinkan, iaitu

“Sesungguhnya Allah sahajalah empunya kuasa untuk menentukan sesuatu itu halal atau haram di dalam al Quran, atau melalui lidah rasul-rasulNya”

Sesungguhnya peranan fuqaha’ dan ulama’ itu tidak melanggar hukum-hukum Allah di dalam menghalal atau mengharamkan sesuatu. Allah SWT berfirman

Allah SWT telah menerangkan kepada kamu apa yang diharamkanNya ke atas kamu (Surah al An’am : 119)

Fuqaha’ bukanlah berperanan untuk mengatur syariat agama bagi manusia tentang perkara yang dibenarkan ataupun tidak, sebaliknya mereka bersama-sama ulama’-ulama’ dan ijtihad-ijtihad mereka berusaha mengelakkan diri daripada mengeluarkan fatwa. Bahkan mereka lebih suka menyerahkan sesuatu permasalahan kepada ulama’ lain kerana mereka khuatir terhalalkan sesuatu yang haram, dan terharam sesuatu yang diharamkan.

p/s : Risalah ini diterjemah daripada artikel di dalam Buku al Halal Wal Haram, karangan Dr Yusof al Qaradhawi yang bertajuk "Allah Sahaja Yang Berhak Menghalal Atau Mengharamkan" - ibnuirfadzil.blogspot.com.

GAS beri Samy seminggu untuk letak jawatan


15 Jamadil Akhir 1431H.

5.38pm: Mugilan mendakwa lagi bahawa masyarakat India tidak lagi menyokong Samy Vellu dan telah beralih kepada pembangkang.

Katanya, GAS akan menganjur petisyen ke seluruh negara untuk memungut 500,000 tandatangan mendesak Samy meletak jawatan, memandangkan dia kini menjadi liabiliti kepada MIC.

"Siapakah yang lebih besar? Pemimpin atau rakyat?” tanya beliau, disambut laungan gemuruh hadirian “Rakyat!”

Becakap kepada media kemudiannya, Mugilan berkata beliau memberi tempoh seminggu kepada Samy untuk berfikir secara mendalam, sama ada mahu meletak jawatan atau sebaliknya.

Mugilan juga berkata, beliau berharap kerajaan akan menimbang memberi jawatan kanan kepada Samy Vellu sekiranya presiden MIC itu melepaskan jawatannya.

5.00pm: Mugilan mengumumkan perhimpunan GAS sebagai berjaya ekoran kehadiran yang ramai dan menyifatkanya sebagai satu petanda desakan supaya Samy meletak jawatan.

Menurutnya, walaupun taktik kotor digunakan oleh "pihak tertentu" untuk menghalang orang ramai daripada menghadiri perhimpunanitu, tetapi GAS masih mampunyai berjaya melaksanakannya.

Program tersebut, tegasnya, telah berjaya untuk mendesak Samy meletak jawatan.

4.57pm: Mugilan mendedahkan bahawa RM5 juta telah dibelanjakan untuk menghalang orang ramai daripada menghadiri perhimpunan GAS. Bas-bas yang membawa penyokong GAS dari Pulau Pinang, Pahang dan tempat-tempat lain telah dihalang. Sekurang-kurangnya seorang pemimpin GAS 'diculik' atau hilang, dakwa Mugilan lagi.

Samy, dakwa Mugilan, akan menumpukan kepada usaha memenangi pemilihan jawatan presiden dan kemudian menggunakan kuasanya untuk menyingkirkan mereka yang dia tidak suka sebelum pemilihan parti berikutan supaya dapat terus menguasai parti.

4.46pm: V Mugilan memberitahu media bahawa beliau tidak ada kena mengena dengan insiden seorang penyokong memukul poster Samy dengan kasut yang berlaku sebelum ini (3.48pm), dan berharap insiden itu tidak akan diperbesar-besarkan kerana ia bukan budaya masyarakat India.

Katanya, lelaki tersebut bertindak demikian kerana merasakan dirinya ditipu berhubung skandal Maika.

Mugilan juga berkata tindakannya mendesak Samy meletak jawatan adalah atas kehendaknya sendiri dan bukan diminta berbuat demikian oleh Umno atau pihak-pihak lain.

4.35pm: Ahli jawatankuasa pusat yang dipecat, G Kumar mengetaui 4,500 hadirin melaungkan sebanyak tiga kali mendesak Samy meletak jawatan.

Dalam ucapannya, Kumar berkata banyak pihak dalam masyarakat India yang mahu Samy meletak jawatan, tetapi beliau enggan tuntuk kepada kehendak mereka.

“V Mugilan bertekad untuk membawa perubahan dalam parti, dan dipecat oleh Samy."

4.47pm: Jumlah hadirin meningkat kepada 4,500 ketika KP Samy, berucap, mendesak kerajaan BN supaya berhenti "melindungi" Samy Vellu atau berdepan dengan risiko hilangan sokongan masyarakat India.

3.48pm: Seorang penyokong GAS memukul poster Samy dengan kasut yang diikat pada hujung kayu penyapu, disambut dengan sorakan hadirin.

Beliau begitu emosional sekali dan terpaksa ditenang dan diminta duduk.

3.45pm: Bekas pemimpin veteran bahagian Petaling Jaya, V Subramaniam, yang lebih dikenali sebagai Baratmaniam, yang berucap kepada hadirin, mengecam Samy berhubung RM9 juta saham Telekom yang sepatutnya diperuntukkan kepada masyarakat India.

Beliau juga turut membangkitkan skandal yang membabitkan syarikat pendidikan MIC, Maju Institute for Education Development (MIED), dan mendakwa mempunyai satu dokumen yang ditandatatangani mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjamin bahawa MIED adalah badan untuk masyarakat India dan bukan untuk mana-mana individu.

Berikutan itu, beliau menggesa masyarakat India supaya bersatu untuk memperbaiki keadaan.

3.33pm: Jumlah hadiri kini meningkatkan kepada kira-kira 4,000.

3.18pm: Govindarajoo kemudianya bercakap kepada pihak media selepas menyampaikan ucapanya itu.

Katanya, dalam ucapan tersebut, beliau memohon maaf kepada masyarakat India keana membawa Samy Vellu menyertai MIC.

Beliau juga mendakwa mempunyai bukti yang menunjukkan bagaimana Samy Vellu mengkhianati masyarakat dan negara.

"(Dia melakukan ini) bukan sahaja kepada MIC, tetapi juga MCA serta Umno."

Menurutnya, beliau merupakan orang yang memperkenalkan Samy Vellu kepada MIC, dan kini mahu beliau meletak jawatan.

Govindrajaoo juga menyalahkan Samy Vellu kerana bersikap angkuh dan enggan meletak jawatan selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu.

"Kegagalan terbesarnya ialah kalah di (parlimen) Sungai Siput," tambahnya.

3.07pm: Pemimpin veteran MIC, V Govindarajoo menyampaikan ucapan pembukaan di perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu.

3.00pm: Jumlah hadirin kini meningkat kepada kira-kira 3,500 orang. Ia bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu parti MIC.

2:50pm: Antara pemimpin yang hadir termasuk bekas timbalan ketua Pemuda MIC Mugilan V dan bekas ahli jawatankuasa pusat, G Kumar, serta pemimpin veteran V Govindaraju.

Govindaraju (kiri, tengah) dikatakan pernah menjadi sekutu kuat Samy Vellu dan membantu Samy Vellu menang kali pertama bertanding jawatan presiden.

Sekitar 1,500 orang sudah mula berkumpul di dalam Pusat Konvensyen dan Pamerah Antarabangsa Mines untuk menyertai perhimpunan gerakan anti-presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Sebelum itu, bekas ahli jawatankuasa pusat MIC bekerja KP Samy tiba pada jam 2.17 petang dan meminta mereka yang hadir untuk mengambil tempat.

Malaysiakini/-

Kerajaan dapat untung, Rakyat dapat kelentung !

15 Jamadil Akhir 1431H.
Oleh Annuar Kamaruddin

Setiap kali berlaku peristiwa serah harta dan hak negara kepada negara luar, maka Setiausaha Akhbar PM pun dikerahkan untuk jelaskan kewajaran dan mengapa sangat perlu nak buat begitu. Jawapan dan alasan paling atas adalah Kerajaan untung! Kerajaan dapat untung! Wah seronoknya rakyat! Kerajaan untung. Bila sebut untung dah tentu dapat duit. Bukan sekupang. Bukan seringgit. Berbilion-bilion ringgit agaknya. Tapi ke mana perginya duit untung tu.

Masa sekolah rendah dulu, adalah saya merasa bantuan makanan tambahan. Seminggu sekali kami dapat biskut patsegi tawar dengan air susu. Lepas tu tak ada dah. Masa naik form six merasa pula biasiswa pra U. Masuk U pulak dapat biasiswa tapi kerajaan tanggung sikit je, kontrak kena sepuluh tahun. Tapi tak apelah ayah pun tadak duit.

Lepas tu dengar budak-budak sekolah dapat Susu Kotak. Dapat susu free lah. Dapat RMT. Walaupun daging seketul sebesar cucuk sate je, tapi adalah jugak. Yuran sekolah pun empat ringgit setengah je setahun.

Itu dulu. Hari ni dah tak adedah yang free-free. Kerajaan kata rakyat mesti dididik bersedia untuk membayar untuk perkhidmatan yang disediakan. Terbaru ni nak tarik semua subsidi. Kerajaan dah tak larat nak tanggung rakyat. Kalau terus bagi bantuan dan subsidi, kerajaan akan bengkerap, katanya.

Eh! Macamana pulak ni. Kelmarin kita dengar kerajaan untung sebab bagi lombong minyak kat Brunei . Dapat kontrak dan untung untuk selama empat puluh tahun. Maknanya sampai tahun 2040. Tapi menteri di JPM pulak kata Negara akan bengkerap tahun 2019 kalau terus tolong rakyat.

Matematik apanama pulak ni. Dapat untung. Tapi akan bengkerap. Lepas tu dengar lagi. Tanah KTMB bagi kat Singapore takpa. Kita dapat untung. Wah untung lagi. Tapi ke mana untung tu.

Masa nak bawa gas keluar dari perairan Kelantan, sebab tak mau orang Kelantan dapat untung, kerajaan bawa masuk lalu ikut Thailand . Kat orang Kampong Chanae di Siam tu Petronas sanggup pulak taja dan bagi biasiswa, dari tadika hingga ke universiti, seluruh orang kampong tu, sebab paip gas tu lalu bawah kampong Chanae. Kat orang kampong sendiri bye-bye lah jawapnya.

Saya memang tak rasa pelek dengan fe’el kerajaan BN ni sebab perangai dia memang macam tu. Apa yang kerajaan buat semua bagus, semua untung. Tapi rakyat dapat apa?

Kita nak dengar juga PM cakap begini. “Oleh sebab kerajaan dapat untung hasil penyerahan blok minyak dan tanah kepada jiran kita, kerajaan akan membagi-bagikan untung ini kepada semua rakyat apabila untung tersebut kita dapat.”

Tapi mungkinkah dia akan cakap begitu. Entah. Yang pasti, kerajaan dapat untung, rakyat dapat kelentung.

Mahasiswa Malaysia Di Mesir Mengadakan Rapat Umum Membantah Judi

oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Kaherah, 28 Mei 2010 - Bertempat di Darul Ehsan Café (DE Café), telah berlangsung satu rapat umum membantah JUDI BOLA SEPAK Piala Dunia. Rapat umum anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) diadakan selepas selesai solat jumaat bagi menyatakan rasa tidak puas hati dan bantahan mengenai keputusan kerajaan persekutuan yang meluluskan lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia yang akan berlangsung di Afrika Jun ini.

Rapat umum ini diadakan bagi membuktikan kebersamaan mahasiswa Selangor Mesir dalam menentang keputusan yang membelakangkan Syariat Islam yang meletakkan judi adalah HARAM sama sekali untuk terlibat atau bermain dengannya, sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Maidah, ayat 90.

Sebagai simbolik bantahan, peserta rapat umum ini diminta berpakaian jubah putih. Rapat umum ini juga diadakan bertujuan menyahut seruan PMRAM PUSAT, yang menyeru seluruh pendokong-pendokong Islam untuk bangkit menyatakan kebenaran terhadap isu ini.

Dengan kehadiran kebanyakan mahasiswa yang berpakaian putih semalam telah menyemarakkan lagi rapat umum ini. Rapat umum ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, Saudara Muhammad Bazli Badarudin. Ujar beliau, rapat umum ini diadakan bagi menegakkan Amar Ma’ruf Nahi Munkar sebagaimana yang dituntut oleh islam.

Seterusnya ucapan Mantan Penasihat BKASM, Saudara Farhan Madzlan. Beliau memuji BKASM kerana berani bertindak dan menyatakan tindakan ini selaras dengan tindakan kerajaan Negeri Selangor yang meminta seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tidak membenarkan mana-mana premis melaksanakan kegiatan judi bola sepak ini.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Penasihat BKASM, Saudara Firdaus Madzlan yang menyatakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan. Beliau juga memohon dan mendesak semua mufti di Malaysia agar lebih berani menyatakan pendirian mereka terhadap isu ini.Selain itu, beliau mencabar kerajaan Malaysia menarik balik lesen tersebut selari dengan islam agama rasmi di Malaysia.

Yang Dipertua BKASM, Saudara Abdul Muiz Abdul Talib pula menyatakan dalam ucapan beliau, sebagai mahasiswa islam, lebih-lebih lagi Mahasiswa Pengajian Islam, seharusnya kita peka dengan apa yang berlaku disekitar kita dan mempraktikkan ilmu yang diperolehi bukan hanya sekadar ingin mengejar segulung ijazah.

Jikalau orang bukan islam boleh bersama membantah isu judi ini mengapa kita selaku mahasiswa yang beragama Islam hanya berdiam diri dalam isu ini? Soal beliau kepada hadirin ketika berucap. Turut Berucap, Saudara Abdul Hadi Abdul Kadir selaku wakil mahasiswa tahun satu.

Mengakhiri rapat umum selama 25 minit ini, laungan “TAKNAK JUDI”dilaungkan sebanyak 3kali oleh seluruh hadirin diketuai Saudara Firdaus Madzlan. Pihak penganjur begitu berpuas hati dengan kehadiran yang memberangsangkan. Penganjur berharap bantahan ini dapat diteruskan dengan berpakaian jubah putih setiap jumaat bermula pada minggu hadapan sehingga lesen Judi Bola Sepak ini ditarik balik.

Nasib baik PAS tolak kerjasama dengan UMNO

15 Jamadil Akhir 1431H
Oleh: WFAUZDIN NS

ALHAMDULILLAH, Allah telah selamatkan PAS dari berkawan dengan Umno dengan mengilhamkan kepada pucuk pimpinan PAS agar menolak Umno bagi membentuk sebarang kerjasama politik. Bayangkan jika kerjasama PAS dan Umno menjadi realiti, dimanakah PAS

hendak tunjuk muka apabila Umno di bawah Najib ini meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia di dalam keadaan majoriti Non Muslim menentang kegiatan judi ini?

Muktamar Khas Pas sememangnya membuat keputusan yang tepat di mana telah mengambil keputusan menutup pintu rundingan Kerajaan Perpaduan bersama Umno. Di sinilah letaknya kebijaksanaan kepimpinan PAS dengan mengambil pengajaran sejarah lampau musuh politik seagama dengannya itu. Presiden PAS beserta dengan Mursyidul Am PAS telah dapat menghidu dari jauh busuk dan tengiknya Umno ini dan ianya terbukti sekarang. Maka, pendekatan PAS untuk terus melakukan kerjasama dengan PKR dan DAP nampaknya lebih bijak dan lebih berhikmah dari segi strategi politik jangka masa panjang.

Keterbukaan DAP terutamanya di dalam memahami prinsip Islam yang dibawa oleh PAS kelihatan semakin menuju ke arah yang lebih positif. Buktinya, P.Pinang yang kini diterajui oleh DAP di bawah Lim Guan Eng serta merta mengharamkan judi yang baru diluluskan oleh pemimpin Umno itu. Begitu juga di Selangor dengan pemerintahan MB Tan Seri Khalid dari PKR. Sehingga kini saya tidak tahu apakah Kerajaan Negeri Kedah di bawah PAS akan turut mengikuti langkag dua buah kerajaan ini. Negeri Kelantan telah lama mengharamkan judi di negeri tersebut.

Isu judi berbeza dengan isu arak. Judi ditolak 100 % oleh semua agama di negara ini dan kewajaran Kerajaan Pusat untuk meluluskan lesen judi adalah semata-mata kerana inginkan wang yang masuk. Demi wang, mereka sanggup menjadi hina lebih hina dari yang bukan Islam. Pemimpin Umno patut malu dengan Lim Guan Eng yang Non Muslim tetapi amat bertanggungjawab terhadap rakyat di negeri tersebut. Lim Guan Eng tidak mahu rakyat di negerinya diperhambakan dengan judi. Tidak mustahil suatu ketika nanti, hasil hubungan baik PAS dengan DAP dan PKR, satu langkah yang lebih positif akan dapat diusahakan agar arak juga dapat diharamkan terus di bawah negeri-negeri PR.

Inilah yang PAS mahu capai hasil hubungan dengan DAP dan PKR. Bukan semata-mata untuk menegakkan Daulah Islam yang mungkin memakan masa yang agak panjang untuk memberi kefahaman tentang Negara Islam kepada mereka. Umno yang ahli-ahlinya majoriti Islam dan Melayu itu pun masih buta hati tentang perundangan Islam, inikan pula DAP dan ahli-ahli Non Muslim dari PKR. Jika Umno tidak buta hati mereka, sudah lama Umno akan dibubarkan dan mereka akan bersatu di bawah PAS.

Mungkin ada segelintir penyokong-penyokong atau ahli PAS yang dahulunya kecewa apabila PAS menolak Kerajaan Perpaduan bersama Umno, tetapi kini mereka telah diperlihatkan dengan wajah Umno yang sebenarnya. Wajah yang berselimut dengan Apco serta sekutu perniagaan judi itu sememangnya bukan jenis kawan yang halal untuk PAS bersekongkol. PAS lebih bermaruah jika terus bersama dengan DAP dan PKR, melainkan Umno akan berubah untuk mengenali agamanya yang sebenar./wfauzdin.blogspot.com.