05 Mei 2011

Rosmah tokoh wanita baik untuk dicontohi?

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Saya tersedak dan kemudian tersenyum selepas mendengar Rosmah dikatakan sebagai contoh wanita terbaik seperti yang dipaparkan oleh ASTRO Awani semalam. Bukan kerana setuju atau bangga tetapi kerana kebingungan sambil terasa loya secara tiba-tiba. Selepas meneliti paparan berita online di Bernama.com pagi ini, ia dikhususkan melalui perbandingan dengan isteri-isteri pemimpin dunia. Mungkin betul maksud isi hati saya pada mulanya jika ia hanya diperbandingkan dengan sebahagian isteri-isteri pemimpin dunia yang hadir di Sidang Kemuncak Wanita Global 2011 semalam.

Mungkin juga tidak jika ketokohan suami Emine Erdogan yang juga hadir di Sidang Kemuncak itu iaitu Recep Tayyip Erdogan diambil kira berbanding Datuk Seri Najib Razak, mungkin calon yang lebih sesuai dikatakan sebagai tokoh wanita yang harus dicontohi berbanding isteri-isteri pemimpin dunia yang lain khususnya Rosmah, lebih-lebih lagi penganjuran Sidang Kemuncak itu diadakan di Turki dan beliau, Emine Erdogan adalah tuan rumah kepada Sidang Kemuncak itu.

Kita pasti ingat bagaimana Perdana Menteri Turki itu, di World Economic Forum bertikam lidah dengan Simon Peres Perdana Menteri Israel sambil menjerit “You’re killing people!” dan kemudian terus meninggalkan pentas itu sambil diberi tepukan gemuruh oleh para hadirin. Saya tidak melihat ketegasan seperti itu datangnya dari Datuk Seri Najib Razak khususnya pandangan tegas beliau ke atas polisi jahat Israel di bumi Palestin sehingga ke hari ini.

Faktor itu jika diambil kira, termasuk kewajipan Rosmah sebagai seorang muslim untuk memenuhi tuntutan dari Allah S.W.T dalam urusan menutup aurat, secara peribadi saya tidak akan bersetuju atau sependapat dengan Irene Natividad, Presiden Sidang Kemuncak Wanita Global 2011 untuk melabelkan Rosmah sebagai tokoh yang baik untuk dicontohi khususnya kepada wanita ISLAM di seluruh dunia termasuk menggelarkan beliau sebagai Wanita Pertama Negara sedangkan gelaran itu hanya berhak disandang oleh Raja Permaisuri Agong.

Harakahdaily/-
Oleh : Huzir Sulaiman

Suhakam Gesa putrajaya Kaji Balik Akta Kawal Media

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 5 MEI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengulangi gesaan agar Putrajaya mengkaji semula undang-undang yang mengawal ketat media berikutan laporan terbaru Malaysia masih kekal sebagai negara dalam kategori tidak bebas.

Dalam laporan dikeluarkan kelmarin, Malaysia berada di tangga ke-143 daripada 196 negara yang diselidik dalam kajian tahunan mengenai kebebasan media, yang menunjukkan ia sebagai tidak bebas.

Malaysia diletakkan bersama dengan Angola dan Madagascar, yang memperoleh 64 mata. Negara yang memperoleh mata rendah dalam Indeks Kebebasan Akhbar dilihat sebagai negara paling bebas.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya tetap berpendirian bahawa undang-undang yang memberi kesan ke atas tanggungjawab dan peranan media harus dikaji balik dan hak akses yang saksama kepada maklumat harus dipertahankan.

“Dalam hubungan ini, suruhanjaya ingin melihat penubuhan segera Majlis Perundingan Media Kebangsaan, sebagai sebuah badan kawal sedia kendiri, yang akan diuruskan oleh pengamal-pengamal media, yang boleh menjadi galakan besar kepada kebebasan media sambil memastikan kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab,” kata beliau.

Sehubungan itu beliau berkata undang-undang yang ketat seperti Akta Mesia Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji balik dan diambil pendekatan yang lebih liberal untuk meluluskan dan memperbaharui permit dan lesen penerbitan dan percetakaan, dengan dibolehkan proses memperbaharui lesen dan permit secara automatik.

“Dalam mempertahankan ketelusan dan akauntabiliti dan memastikan aspek semakan dan imbangan, suruhanjaya menekankan pendirian bahawa undang-undang yang memberi kesan ke atas tugasan media perlu dikaji balik,” katanya.-TheMalaysianInsider

Minyak naik beri impak negatif kepada rakyat

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

PARIT BUNTAR, 5 Mei : Ketua Penerangan Pas Perak, YB Drs. Khalil Idham Lim berkata negara sekali lagi dikejutkan dengan kenaikan harga Ron 97 yang diumumkan lewat tengah malam tadi dan menjadikan kenaikan tersebut untuk kali yang ke tujuh dalam tahun 2011 atas alasan harga minyak mentah di pasaran dunia mengelami kenaikan.

“Nampaknya BN terus memperbodohklan rakyat dengan alasan yang sama dan tidak masuk akal setiap kali harga minyak negara dinaikkan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, jika harga minyak di pasaran dunia naik, secara automatik negara mendapat untuk berlipat kali ganda.

“Mengapa kita ikut sama naik harga minyak dan rakyat menerima bebannya” soalnya?
Selainitu beliau menjelaskan jenama minyak nasional Petronas, diketahui kualitinya terbaik sehingga diguna untuk jentera formula satu Mercedes GP Petronas.

"sudah pasti negara telah mendapat keuntungan kerana minyak negara di eksport ke seluruh dunia" jelasnya

Walaupun BN berusaha menjelaskan bahawa mereka komited menjaga kebajikan rakyat dengan mengekalkan harga RON 95, hakikatnya peratus kenderaan yang menggunakan RON 97 masih tinggi.

“kenderaan-kenderaan luar negara yang masuk Malaysia diwajibkan mengguna Ron 97, jumlah kenderaan berkapasiti tinggi pula masih banyak menggunakan minyak jenis itu, jelaslah bahawa dasar BN adalah menindas rakyat, bukan membela” jelasnya.

YB Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak berkata bahawa RON 95 yang dikekalkan cuma bermotif politik sedangkan minyak tersebut tidak berkualiti dan berpotensi besar menjejaskan enjin untuk jangka masa panjang.

“Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa BN tidak mampu mentadbir negara dengan baik,” ujarnya.

“Sepatutnya kerajaan BN cari jalan lain untuk dapat wang, bukannya perah poket rakyat dengan sewenang-wenangnya dengan menaikkan harga minyak”

Oleh : Hafizi Pauzi

Konvensyen Kewangan Islam 7 Mei

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 5 Mei: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Selangor dengan kerjasama Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan menganjurkan Konvensyen Kewangan Islam 2011 pada 7 Mei, Sabtu ini.

Konvensyen itu yang bermula jam 8.00 pagi diadakan di Dewan Seminar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Pengerusi PUM Selangor, Mohamad Zamri Mohamed Shapik berkata, konvensyen sehari itu bertemakan Konsep Riba: Aplikasi Dalam Sistem Kewangan Moden telah dirancang untuk membahas isu-isu semasa berkaitan riba.

Katanya, antara tokoh perbankan Islam Malaysia yang terlibat membentangkan kertas kerja ialah Prof. Madya Dr. Mohamad Akram Laldin, Ketua Pegawai Eksekutif, International Shariah Research Academy For Islamic Finance (ISRA), Bank Negara Malaysia;

Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hanafi, Ketua Jabatan Syariah, Kolej Universiti Insaniah, Kedah; Mohd. Zamerey Abdul Razak, Ketua Jabatan Syariah, Asian Finance Bank Malaysia; Mohd. Nazri Chik, Ketua Jabatan Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad; Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.

“Antara objektif utama penganjuran program ini ialah menjelaskan isu-isu semasa kewangan yang melibatkan persoalan dan kemusykilan berkaitan isu riba berteraskan perspektif Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, ia juga untuk memberikan kefahaman yang jelas terhadap semua pihak terhadap takrifan riba seperti yang telah dijelaskan oleh Al-Quran, As-Sunnah dan pendapat ulama muktabar selain menjadi medan kepada para agamawan, pemain industri dan semua pihak untuk menyatakan pendapat untuk mencapai kesepakatan secara bersama.

Katanya, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan dari para ulama, intelektual, pegawai-pegawai kewangan, penyelidikan dan badan-badan NGO, agensi-agensi kerajaan dan swasta, wakil institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta wakil-wakil masjid serta orang perseorangan.

Beliau berkata yuran penyertaan dari agensi kerajaan, swasta, NGO ialah RM150 seorang, individu (RM100), ahli PUM (RM70) dan pelajar ijazah pertama atau sekolah menengah (RM 50).

Tambahnya, sebarang maklumat lanjut berkaitan konvensyen boleh menghubungi Azmi Walang (013-384 0710), Nizam (012-291 1335) atau pejabat (03-5512 4300 / 03-5511 4301).

Harakahdaily/-

Pekerja loji memasuki bangunan reaktor nuklear

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO: Agensi keselamatan nuklear Jepun, berkata beberapa pekerja buat pertama kali sudah memasuki bangunan reaktor Unit 1 di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang rosak susulan gempa bumi 11 Mac lalu.

Operator loji Tokyo Electric Power Co, berkata pekerjanya sudah memasang enam kelengkapan pengalihan udara, hari ini, sebagai usaha menyerap radiasi daripada udara di dalam bangunan.

Katanya, kerja-kerja itu dijangka mengambil masa empat atau lima hari. - AP

Kabinet Sarawak: Taib tidak hargai golongan muda

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUCHING, 5 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) berpandangan pemilihan barisan kabinet baru Sarawak jelas menampakkan kelemahan BN negeri yang amat ketandusan pemimpin pelapis dari kalangan generasi muda.

Ketuanya, Mohammad Arifiriazul (gambar) berkata, dalam kerancakan pembangunan negeri yang diwar-warkan sebelum ini, tentu sekali pandangan dan pendekatan golongan muda amat diperlukan dalam memastikan kejayaan semua projek pembangunan yang cuba dilaksanakan.

Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri (KM), Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan BN Sarawak jelas tidak menghargai suara dan peranan penting golongan muda dalam membangunkan negeri bertuah ini.

Malahan, katanya mereka lebih selesa untuk menggunakan kemenangan ‘hebat’ mereka kali ini untuk meneruskan dominasi golongan berkepentingan agar segala penyelewengan hasil negeri dalam mandat yang lepas akan terus didiamkan dan disembunyikan.

“Malah, adalah tidak keterlaluan untuk kita nyatakan di sini bahawa kabinet baru Sarawak ini tidak ubah seperti kabinet boneka KM yang dianggotai oleh para menteri yang ‘loyalists’ dan ‘yes men’ kepada beliau.

“Ini sememangnya satu kerugian besar kepada negeri dan rakyat Sarawak seluruhnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas barisan kabinet baru Kerajaan Sarawak yang baru sahaja diisytiharkan oleh Abdul Taib Mahmud pada 3 Mei lepas.

Katanya, kenyataan KM yang menyebut beliau belum bersedia untuk merombak kabinet negeri adalah satu lagi petanda bahawa janjinya untuk berundur selepas pilihan raya negeri yang lepas hanyalah gimik politik semata-mata.

DPPNS, tambahnya berasa kesal dengan permainan politik kolot KM yang lebih mementingkan kedudukan peribadi sebagai pemimpin tertinggi BN Sarawak tanpa melihat kepada kepentingan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin lain dalam BN untuk berkhidmat, khususnya dari kalangan pemimpin-pemimpin muda.

Bagi Pemuda PAS Sarawak, katanya ini sebenarnya adalah cerminan ketakutan BN Sarawak kepada Kabinet Bayangan PR Sarawak yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat yang berwibawa dan kebanyakannya dari generasi profesional muda Sarawak.

“Pemuda PAS Sarawak ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pejuang rakyat yang bakal beraksi di sidang Dun Sarawak tidak lama lagi.

“Semoga kepercayaan rakyat kepada kita dan Pakatan Rakyat digunakan sepenuhnya untuk menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman selaras dengan ajaran agung Islam,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, tegasnya Pemuda PAS Sarawak akan terus memberi komitmen yang tertinggi dalam memastikan segala kepentingan rakyat Sarawak dibela dan dipertahankan.

Harakahdaily

Kes Jambatan Bengkok Bukti Amalan Korup Umno-BN

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 5 MEI : Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng menyifatkan pemberian komisyen jutaan ringgit kepada kroni dalam sesebuah projek adalah amalan biasa pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

Malah ujar Jui Meng amalan rakus meratah duit rakyat bukan hanya berlaku di Semenanjung malah sudah lama melarat ke Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak.

Justeru katanya, kerajaan Pakatan Rakyat dalam dasar Buku Jingganya menekankan aspek pembasmian rasuah kerana ia memberi kesan yang begitu besar kepada negara.

"Oleh kerana itu, bila kita (Pakatan Rakyat) menjadi kerajaan, kita akan pastikan urus kelola yang telus dengan amalan tender terbuka dan tidak ada lagi amalan pemberian komiysen yang tinggi seperti RM20 juta serta tidak ada lagi harga yag dinaikan dengan begitu besar dan ketara,"katanya kepada Tv Selangor.

Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga mahu institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah pertanggungjawaban Parlimen termasuk dalam urusan pelantikan jawatan-jawatan tertingginya.

Ia adalah kesinambungan dari perang habis-habisan Pakatan Rakyat kepada pentadbiran bercorak rasuah yang diamalkan kerajaan sedia ada sejak sekian lama.

Tambah Jui Meng, walaupun SPRM sebelum ini menjadikan Hong Kong sebagai penanda aras untuk menangani rasuah di negara ini namun nampaknya Malaysia semakin jauh ketinggalan apabila indeks persepsi rasuah (CPI) negara meningkat dari tangga 47 pada 2009 kepada 56 pada tahun lalu.

"Tetapi nampaknya, SPRM tidak mengikut dan menjadikan Hong Kong sebagai contoh malah tertinggal jauh di belakang Hong Kong dan banyak yang harus diubah dalam kepimpinan SPRM sebelum kita mampu menjadi Hong Kong yang kedua," tambah Jui Meng.

Jui Meng berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan komisyen RM20 juta ahli pernigaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah untuk membina jambatan Laluan Antarabangsa Malaysia-Singapura, yang turut dikenali sebagai 'jambatan bengkok' 13 tahun lalu yang pada hematnya melambangkan betapa dahsyat amalan rasuah di negara ini.

Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenepikan saman yang dikemukakan oleh Eskay berhubung projek tersebut.

Datuk VT Singham dalam penghikamannya berkata, penganugerahan projek berkenaan tidak lagi wujud, maka tuntutan berkenaan juga perlu ditolak.

Eskay memfailkan kesnya pada Januari 2002 dengan mendakwa terdapat pelanggaran kontrak oleh defendan Merong Mahawangsa Sdn Bhd dan Datuk Yahya A. Jalil kerana gagal membayarnya RM20 juta selepas mendapatkan projek itu bagi mereka.

Idea pembinaan jambatan bengkok digerakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi tidak menjadi kenyataan selepas dibatalkan semasa pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri.

Menurut Jui Meng lagi, walaupun pentadbiran dahulu dibayangi dengan amalan rasuah dan penyelewengan kuasa yang begitu dahsyat,namun Pakatan Rakyat katanya akan membuang sejarah silam itu dan menukarnya dengan sebuah kerajaan yang adil, telus dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Malah katanya, kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat sudahpun membuktikannya di beberapa negeri yang ditadbirnya seperti di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

"Dengan hasil penjimatan ini kerajaan boleh menyalurkannya untuk pembangunan projek dan bantuan terus kepada rakyat seperti apa yang diamalkan di Selangor dan Pulau Pinang dan negeri-negeri Pakatan Rakyat memerintah,"katanya lagi.

Tv Selangor/-

Bazar Tok Guru bakal beroperasi tidak lama lagi

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 5 Mei: Sejak pendaftaran untuk kemasukan dibuka bermula 30 April lalu, kompleks pasar baru Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim kini sudah menerima kira-kira 150 tempahan peniaga.

Mereka adalah termasuk sebahagian daripada 415 peniaga dari pasar Arked Uda dan pasar lama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang ditawarkan berpindah dengan kaedah sewa-beli ke kompleks bangunan tiga tingkat itu.

Bazar Tok Guru atau lebih dikenali BTG di kalangan kakitangan pengurusan projek ini, bakal dibuka tidak lama lagi. Bazar yang bermoto, 'Pusat Jualan Produk Klate' ini bakal menjadi mercu tanda baru perniagaan di Kelantan.

"Nampaknya, semua projek kebajikan yang dibuat kerajaan negeri untuk rakyat dijadikan isu oleh Umno melalui media mereka. Nampak sangat ia ditakuti oleh Umno," tulis Wan Nik Yusof Ngah, Setiausaha Politik MB Kelantan dalam tulisannya di Harakah.

Antara projek untuk rakyat yang dibuat kerajaan negeri adalah Bazar Tok Guru dan Ladang Rakyat. Jika kedua-dua projek ini tidak dijadikan isu, Umno tidak ada harapan dalam pilihan raya umum nanti.

Bazar Tok Guru dijanjikan oleh Tuan Guru Nik Aziz menjelang pilihan raya umum 2008 lalu. Ia diimpikan beliau sebagai anugerah kepada para peniaga yang menjadi nadi pembangunan Kelantan. Bangunan ini bakal menjadi mercu tanda perniagaan baru di Kelantan yang terkenal dengan kegemaran untuk berniaga di kalangan rakyatnya itu.

Bazar ini akan menjadi tapak baru peniaga kecil di Kelantan selepas Arked Uda dan Pasar Lama MPKB sudah tidak sesuai lagi untuk dijadikan tapak perniagaan yang baik.

Selepas tiga tahun berjanji, Bazar Tok Guru akan dilancarkan tidak lama lagi. Jika ia berjaya dengan baik, maka tindakan Umno yang pernah merobohkan secara kekerasan Pasar Lambak di hadapan Bangunan Umno Kelantan pada tahun 1987 lalu bakal menjadi satu titik hitam penting yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Kelantan.

Pihak pengurusan bazar iaitu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menyediakan sejumlah 451 lot kedai kepada peniaga yang sebelum ini berniaga di Arked Uda dan bangunan MPKB di samping lain-lain peniaga kecil negeri ini.

368 daripadanya adalah di tingkat bawah, 50 di tingkat satu manakala 33 unit lagi akan dibuang untuk memperbesar laluan.

Peniaga di sini juga akan ditempatkan mengikut kategori perniagaan masing-masing. Ia dibuat demikian agar urusniaga tidak tertumpu kepada tingkat bawah sahaja tetapi mengikut keperluan pengguna.

Di aras bawah diperuntukkan kepada kategori peniagaan pakaian, beg dan kasut manakala jenis perniagaan di aras satu pula adalah kedai jahit.

Untuk emas dan pertukangan pula ditempatkan di kedua-dua aras.

Bagaimanapun, difahamkan pendaftaran yang dibuat PMBK 30 April dan 2 Mei lalu, yang dibuat secara 'First come first serve' mengundang rasa tidak puas hati pihak persatuan peniaga dari kedua-dua pasar lama itu.

Dua hari lepas, selepas para peniaga mula mendaftar untuk masuk, pihak persatuan didakwa membuat pengumuman di pasar lama MPKB mengarahkan peniaga hadir ke Bazar Tok Guru bagi membuat bantahan.

Mereka didakwa mahu sistem pengundian dibuat dan mahu membatalkan mereka yang telah mendaftar awal dengan PMBK pada dua tarikh tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan Harakahdaily pada pagi semalam mendapati hanya beberapa individu dilihat hadir namun tidak dapat berbuat apa-apa ekoran kehadiran dua kereta peronda polis (gambar) yang berkawal sejak awal pagi.

Kaunter pendaftaran PMBK yang sepatutnya dibuka juga kelihatan tutup. Difahamkan ianya ditutup atas faktor keselamatan.

PMBK telah menawarkan harga RM63,000 bagi ruang tingkat bawah premis baru di Bazar ini walaupun harga asalnya adalah RM98,000.

Kini terpulang kepada peniaga Arked Uda dan Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) untuk menduduki premis baru itu.

Harga ini adalah adalah berdasarkan konsep sewa-beli dan beberapa tawaran menarik kepada 415 peniaga di dua kawasan perniagaan yang bakal ditutup itu. Ia termasuklah percuma sewa selama dua tahun untuk tingkat bawah.

Isu Bazar Tok Guru menjadi sejata baru Umno Kelantan menyerang kepimpinan kerajaan negeri itu. Antara dakwaan ruang niaga yang disediakan sempit dan mahal.

Sedangkan saiz lot tersebut telah dipersetujui wakil peniaga melalui beberapa siri pertemuan yang diadakan. PMBK pula bersetuju dengan sais itu kerana ia dibuat untuk peniaga kecil, maka saisnya tentulah mengikut kemampuan mereka. Jika sais yang besar dibuat, bilangannya tidak mencukupi untuk memasukkan semua peniaga yang ada di samping harganya tentu lebih mahal.

Difahamkan juga, wakil persatuan seperti 'menyembunyi' fakta yang dipersetujui kepada peniaga dan ingin bermain politik.

Untuk rekod, satu lot kedai di tingkat bawah ditawarkan pada harga RM63,000 dengan sewa percuma selama dua tahun.

Peniaga ditawarkan pinjaman tanpa interes oleh PMBK dengan tempoh pembayaran balik 18 tahun. Selepas itu, lot-lot kedai itu akan menjadi milik mereka. Ini bermakna, harganya kekal RM63,000 walaupun bayaran balik adalah selama 18 tahun.

Jika pinjaman diambil dari bank-bank komersial, harganya sekitar RM40,000 sahaja manakala harga selebihnya adalah keuntungan untuk pihak bank.

Namun begitu, kerana telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu, ia telah ditentang oleh sesetengah pihak yang berkepentingan dan diperalatkan Umno dalam persatuan peniaga sendiri.

Umno sangat bimbang dengan projek ini. Jika ia berjalan dengan baik habislah Umno. Ini kerana, menjadi titik sejarah kejatuhan Umno di Kelantan 1990 lalu adalah kerana kebangkitan peniaga kecil Kelantan menentang Umno.

Kerajaan negeri Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ketika itu telah bertembung dengan para peniaga Melayu. Kemuncaknya adalah apabila Pasar Lambak yang terletak di depan bangunan Umno Kelantan telah dirobohkan dengan kekerasan.

Pasar Lambak dirobohkan kerana pemandangannya yang buruk yang mencacatkan majlis perasmian bangunan Umno Kelantan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Ekoran itulah, Umno tidak akan membiarkan Bazar Tok Guru berjalan lancar. Ada sahaja isu yang dibangkitkan sehingga Tuan Guru Nik Aziz amat sedih sekali mengingat isu ini.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah

Tiga Maut , 11 Hilang Dalam Runtuhan Lombong

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

TOREON, Mexico: Pasukan penyelamat telah menjumpai tiga mayat di sebuah lombong dekat utara Mexico dan bergegas pada pagi Rabu untuk mencari sebelas pekerja lain yang masih hilang selepas letupan gas berlaku dan menyebakan lombong terbabit runtuh.

Seorang remaja yang sedang bekerja di luar lombong terpaksa dipotong kedua-dua belah tanganya akibat terperangkap di dalam runtuhan letupan itu, demikian menurut pihak penyiasat.

Bedasarkan mesej twitter dari satu laman web, Menteri Buruh Javier Lozano memberi amaran bahawa jumlah kematian daripada kemalangan itu mungkin akan meningkat naik. Pada masa yang sama, Lozano juga mengesahkan tentang tiga kematian tersebut.

Para penyelamat mencuba sedaya upaya dalam menyelamatkan mangsa di dalam satu letupan yang berlaku pada pukul 8 pagi waktu tempatan pada Selasa lalu menyebabkan pelombong terperangkap 50 meter di bawah tanah dekat negeri Coahuila sempadan Amerika Syarikat.

Ahli keluarga mangsa yang bimbang mula berkumpul sekitar kawasan kejadian mulai tengah hari.

"Keluarga mangsa memang terdesak dan kami memahami perasaan mereka ketika ini tetapi mereka tidak boleh masuk ke kawsan lombong kerana terdapatnya tahap metana yang sangat tinggi," kata Datuk Bandar Montemayor, Jesus Maria.

Tahap metana yang sangat tinggi menyukarkan kerja menyelamat sehinggalah enam pekerja penyelamat berjaya turun di sebelah tengahari.

Pekerja pelindungan awam, pelombong dan tentera melakukan usaha mencari kumpulan yang terperangkap dalam kawasan lombong sama yang pernah menyaksikan kematian 65 pelombong di dalam satu kemalangan yang hampir serupa pada tahun 2006.

Presiden Felipe calderon menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan usaha sedaya upaya untuk melakukan operasi menyelamat ini.

Dalam kemalangan pada 2006 itu, 65 pelombong terbunuh dan kebanyakan mayat masih belum ditemui.

Persatuan pekerja dari industri lombong, besi dan keluli Mexico menyeru kerajaan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap syarikat yang tidak mengambil langkah keselamatan yang mencukupi di tapak pekerjaan mereka.

Dunia dikejutkan dengan peristiwa 33 pelombong yang terperangkap jauh di bawah tanah selama 69 hari sebelum diselamatkan pada pada 13 Oktober 2010.-AFP

Polis Sedang Kenal Pasti Dalang Edar Video Seks Mirip Anwar

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti dalang pengedaran salinan video seks mirip pemimpin pembangkang yang diperoleh beberapa orang kenamaan termasuk ahli politik baru-baru ini.

Beberapa individu termasuk Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam baru-baru ini menerima sampul surat mengandungi video cakera padat rakaman aksi seks yangpelakunya mirip ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis memandang serius perbuatan itu kerana ia boleh mengganggu proses siasatan kes rakaman video itu yang masih berjalan.

"Kami sahkan beberapa kenamaan termasuk ahli politik memperoleh salinan video yang dipercayai diedarkan pihak tertentu dan beberapa laporan polis oleh mereka yang menerima salinan itu telah dibuat.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mengenal pasti dalang yangbertanggungjawab iaitu individu dan pihak yang mengedarkan serta motif merekamengedarkan video itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus AntiPenyeludupan dan Pemerdagangan Manusia Peringkat Asean di Maktab PDRM Cheras disini.

Kursus itu yang julung kali diadakan disertai seramai 40 peserta membabitkanpegawai polis, imigresen, kastam dan agensi berkaitan dari kalangan negara serantau, khusus untuk merangka strategi memerangi jenayah itu yang kini menjadi masalah global.

Ismail juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi rakaman terbaru video seks berkenaan yang akan dimuatnaik di laman web oleh individu yang tidak bertanggungjawab selepas ini.

Beliau berkata dalam zaman teknologi yang moden dan canggi ini, polis tidak mampu untuk menyekat terus penyebaran rakaman video berkenaan melalui Internet.

"Saya pun terkejut dengan perkara ini... bila sudah ada bahagian yang dimuatnaik di dalam Internet, ada kemungkinan rakaman seterusnya dimuatnaik selepas ini...siapa yang memuatnaik dan dari mana sumber rakaman diperoleh, itu sedang kita siasat.

"Untuk menyekat, memang sukar justeru setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menangani pemasalahan ini dengan memastikan ia tidak terus tersebar," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kes video seks itu, Ismail berkata kertas siasatan sedang dikemaskini dan akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara secepat mungkin untuk tindakan lanjut.

Kertas siasatan yang dihantar ke Pejabat Peguam Negara dan kemudian dipulangkan semula sebelum diserah sekali lagi bukan perkara baru dan ia adalah antara prosedur dalam melengkapkan siasatan sebelum proses pendakwaan dibuat, katanya.

Ditanya mengenai ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dipanggiluntuk memberi keterangan di Balai Polis Kepong hari ini, Ismail berkata keterangan Eskay itu adalah prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan kes video seks berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata kerjasama dengan pihak berkuasa dari negara serantau dan polis antarabangsa telah dipertingkatkan bagi mengawal dan mengekang sebarang ancaman luar yang boleh menggugat keamanan negara.

Beliau berkata langkah berwaspada dan bersiap sedia itu diambil dalam menghadapi sebarang ancaman yang kemungkinan bakal dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu ekoran laporan pembunuhan pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden, dua hari lepas.

"Kita telah bekerjasama dengan Polis Asean dan Interpol... langkah ini dibuat kerana ini merupakan ancaman bersifat global dan kita perlu memantau serta berwaspada dalam situasi ini," katanya. Beliau berkata pihaknya telah menempatkan anggota polis di lokasi-lokasi strategik dan berkepentingan Amerika Syarikat di seluruh negara.- BERNAMA

Selangor Cadang Wujud Tabung Bencana

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mewujudkan tabung warisan bencana alam dengan peruntukan dana sebanyak RM50 juta bagi menampung perbelanjaan menghadapi bencana di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penubuhan kumpulan tabung berkenaan disifatkan sebagai insurans kepada rakyat Selangor sekiranya berlaku insiden bencana alam.

Menurut beliau cadangan penubuhan tabung tersebut akan dibentangkan di Dewan Udangan Negeri (DUN) Selangor yang akan bersidang bermula 11 Julai depan.

"Penubuhan tabung ini adalah satu usaha kerajaan negeri untuk menentukan bahawa pentadbiran negeri akan menjaga kepentingan rakyat bagi menampung perbelanjaan bencana-bencana alam," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan SUK di sini, Rabu.

Tambah beliau menerusi tabung berkenaan, kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana alam dengan lebih sitematik berbanding hanya menerusi belanjawan kecemasan sebelum ini.

"Walaupun pada masa sekarang kerajaan telah memperuntukan belanjawan untuk perbelanjaan kecemasan seperti banjir, tapi ini tidak cukup.

"Sekarang kita akan peruntukan dana untuk disimpan dan diuruskan supaya apabila berlaku bencana alam yang kita anggap satu yang besar, kita boleh keluarkan dana tersebut," katanya.

Jelas Abdul Khalid, tabung berkenaan akan diuruskan olah jawatankuasa khas yang akan diketuai oleh pegawai kewangan negeri.

"Ia juga akan turut dibantu oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri yang akan membentangkan mengenai tabung berkenaan kepada exco dari masa ke masa," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan turut menubuhkan pasukan sukarelawan bagi menghadapi bencana, Abdul Khalid berkata perkara tersebut termasuk sebagai sebahagian daripada peruntukan penubuhan tabung berkenaan.

"Ia sebahagian daripada usaha tabung ini, ada beberapa peruntukan untuk menyediakan sukarekawan yang akan digerakan untuk memberi bantuan.

"Tapi ini tidak termasuk dalam belanja tabung ini," katanya.

mStar/-

Paras radiasi Jepun meningkat

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO - Paras sisa radioaktif di dasar Laut Pasifik berhampiran loji nuklear Fukushima Daiichi yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu, dilaporkan meningkat, menurut pengendali loji itu, semalam.

Tokyo Electric Power (Tepco) menyatakan sampel yang diambil di bahagian timur utara loji itu pada jarak 15 kilometer menunjukkan kandungan bahan radioaktif yang sangat tinggi.

Ia adalah 600 kali ganda lebih tinggi daripada paras maksimum yang dikesan sebelum ini.

Tepco mengeluarkan laporan itu selepas melakukan analisis pertama terhadap kandungan pasir dasar Laut Pasifik tetapi mereka tidak mengesahkan sama ada ia berbahaya atau sebaliknya.

Sampel lain yang diperoleh dari jarak 20 kilometer turut menunjukkan paras radiasi tinggi, yang mana mereka menyatakan usaha untuk memeriksa dan menganalisis paras radiasi pada kawasan lebih jauh akan dijalankan.

Sinar Harian/-

Gempa bumi lemah dikesan di Lahad Datu, Sabah

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter dikesan berlaku berdekatan Lahad Datu, Sabah pada pukul 3.43 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata, pusat gegaran itu dikesan di 4.9 darjah Utara dan 117.6 darjah Timur iaitu 79km dari barat daya Lahad Datu.

Gegaran mungkin dapat dirasai di beberapa kawasan di bahagian Tawau dan Lahad Datu, kata kenyataan itu.

Sinar Harian/-

Sultan Muhammad V bertemu jodoh

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Kelantan bakal menerima Raja Perempuan setelah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, memberi gambaran bahawa baginda bakal berkahwin.

Dalam satu sidang akhbar khas di Istana Negeri, Kubang Kerian, petang semalam bagi mengumumkan mengenai pelancaran Yayasan Kelantan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu ini, Sultan Muhammad ditanya sama ada baginda akan berkahwin dan sambil tersenyum, menjawab: "Insya-Allah saya berdoa, Insya-Allah Tuhan akan makbul."

Sultan Muhammad, 42, yang mudah membahasakan diri baginda sebagai "saya" atau "kita", berharap berkat doa pemimpin dan pembesar negeri serta sahabat, perkahwinan baginda akan menjadi kenyataan.

"Jadi saya fikir Insya-Allah dengan berkat doa Tok Guru, datuk-datuk, sahabat-sahabat, Insya-Allah berjaya," titah baginda.

Sultan Muhammad, yang dimasyhurkan pada 13 Sept tahun lalu, bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Baginda, yang terkenal dengan sifat mendekati rakyat dengan berkopiah dan berjubah, adalah putera sulung Sultan Ismail Petra.

Baginda dan bekas isteri, Tengku Zubaidah Tengku Norudin, tidak dikurniakan cahaya mata.

Malaysiakini/-

Barca Berpesta, Rekod Mourinho Lebur

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



BARCELONA - Barcelona berpesta, Real Madrid menderita.Hajat Real melangkah ke final Liga Juara-Juara sekali lagi musnah.

Rekod pengurusnya, Jose Mourinho juga tercalar selepas mencipta nama sebagai pengurus paling unik membawa tiga pasukan berbeza mara ke final.

Rekod cemerlangnya itu bermula pada tahun 2004 apabila membawa Porto muncul juara diikuti kejayaan kedua ketika membimbing Inter Milan pada 2010.

Dia turut menjadi nadi di sebalik kejayaan Chelsea melangkah ke final Liga Juara-Juara pada musim 2007-2008.

Semalam, Real ditunjuk jalan keluar oleh Barca yang menang dengan agregat 3-1 hasil kemenangan 2-0 pada separuh akhir pertama minggu lalu dan seri 1-1 pada aksi kedua.

Barca kini mungkin berdepan Manchester United, pertemuan yang dilihat sebagai ulangan final 2009 yang dimenangi kelab Catalan itu.

Real yang memerlukan tiga gol untuk menyekat kemaraan Barcelona, turun dengan rentak yang lebih agresif pada aksi kedua semalam namun gagal memberi ancaman kepada lawan mereka itu, malah ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Pedro pada minit ke-54 sebelum Marcelo menyamakan kedudukan 1-1 sepuluh minit kemudian, namun ia sudah terlambat buat Real.

"Satu perasaan yang unik untuk beraksi di final sekali lagi," kata Iniesta yang tidak bermain pada aksi pertama minggu lalu akibat kecederaan.

Untuk menambahkan lagi derita Real, jaringan Gonzalo Higuain pada awal babak kedua dibatalkan oleh pengadil.

Situasi tersebut telah menghangatkan lagi kontroversi yang ditimbulkan Mourinho bahawa pengadil lebih memihak kepada Barcelona.

"Saya rasa semua orang sudah boleh melihat tentang apa yang kami cuba katakan sebelum ini (mengenai jaringan Higuain)," kata pembantu jurulatih Real, Aitor Karanka yang menggantikan tempat Mourinho.

Pada pertemuan itu, Mourinho dikatakan berada di bilik hotel pasukannya dan menyaksikan perlawanan tersebut menerusi televisyen. 

AFP

Adik Bekas Pengarah Bersalah Terima Rasuah

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



SHAH ALAM, 4 Mei: Azizi Johan Ariffin, 54, adik bekas pengarah Perbadanan Putrajaya, Datuk Shahoran Johan Ariffin menerima hukuman penjara 15 hari (serentak) dan denda RM315,000 selepas disabitkan bersalah atas enam pertuduhan di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila menerima rasuah berjumlah RM63,000.

Bagi enam pertuduhan tersebut, Azizi yang pernah menjawat jawatan sebagai pengarah di sebuah syarikat lanskap didakwa menerima suapan daripada individu yang sama, iaitu Pengarah Sekitar Indah Sdn Bhd, Mohd Kamil Sapuan dalam bentuk wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad miliknya.

Kesemua wang tunai tersebut dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya iaitu sebagai upah membantu mendapatkan tender ’Kerja-kerja Penyelenggaraan Landskap di Persiaran Persekutuan, Persiaran Utara, Persiaran Barat, Lebuh Sentosa (Jambatan Seri Saujana) dan Lebuh Wawasan (Jambatan Seri Wawasan) Putrajaya.

Pertuduhan pertama, Azizi didakwa menerima suapan wang tunai RM15,000 pada 26 Januari 2006 yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank miliknya.

Pertuduhan kedua, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 1 Mac 2006.

Pertuduhan ketiga, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM10,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 7 April 2006.

Pertuduhan keempat, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM5,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 5 Mei 2006.

Pertuduhan kelima, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM15,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 14 Ogos 2006.

Pertuduhan keenam, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM8,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 9 November 2006.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap tertuduh, yang didakwa melakukan kesalahan tersebut enam tahun lalu ditambah 30 bulan, jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh diwakili peguamnya Ridzuan Johan Ariffin, manakala SPRM diwakili oleh Timbalan PendakwaRaya Josiendra Abu Senin.

H/daily

Suami Isteri dibunuh di Bilik Tidur

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



BENTONG - Seorang kontraktor dan isterinya ditemui mati dibunuh dipercayai menggunakan cangkul dan objek tajam di rumah mereka di Kampung Gemeti dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, Mohammad Yusof @ Abdul Rashid Samang, 71, ditemui mati dengan kesan tikaman di dada dan perut manakala isterinya, Timah @ Fatimah Pachu, 68, mengalami kecederaan di tengkuk.

Menurut beliau, mayat pasangan warga emas itu ditemui pada pukul 1.30 pagi dalam bilik tidur utama di tingkat atas rumah dua tingkat itu selepas polis menerima laporan orang awam pada pukul 1.30 pagi yang mengadu terdengar bunyi bising dan laungan kuat dari rumah mangsa.

"Jiran mangsa juga mendakwa semasa kejadian rumah pasangan warga emas itu gelap kerana lampu dipadamkan sebelum memberitahu ada terdengar bunyi seseorang sedang melarikan diri di belakang rumah mangsa," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Narenasegaran memberitahu, Mohammad Yusof ditemui terlentang di tepi pintu tandas bilik tidur itu manakala isterinya ditemui di bahagian tepi bawah katil dalam keadaan terbaring.

Real Mangsa Konspirasi

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


BARCELONA - Cristiano Ronaldo mendakwa pengadil memihak kepada Barcelona selepas Real Madrid tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Selepas tewas 0-2 pada aksi separuh akhir pertama di Santiago Bernabeu minggu lalu, Real sekadar seri 1-1 pada pertemuan kedua di Nou Camp, sekali gus tewas dengan agregat 1-3.

Sebelum ini, pengurus Real, Jose Mourinho turut mendakwa wujud konspirasi dalam Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk membantu Barcelona mencatat kemenangan dan mara ke final di Stadium Wembley pada 28 Mei ini.

"Kami sedar, kami mampu menewaskan Barcelona tetapi pengadil tidak memberi kami peluang," kata Ronaldo.

"Sekali lagi, pengadil telah menentukan keputusan perlawanan itu.

"Pengadil pada perlawanan pertama (Wolfgang Stark) 'merampas' peluang kami untuk mara ke final. Sesiapa sahaja yang terbabit dalam bola sepak sedar Barcelona mendapat layanan yang istimewa."

Real mungkin berpeluang untuk mengalahkan Barcelona sekiranya jaringan Gonzalo Higuain pada awal babak kedua tidak dibatalkan oleh pengadil, Frank De Bleeckere.

De Bleeckere menyalahkan Ronaldo kerana mengkasari pemain tengah Javier Mascherano sebelum Higuain menewaskan penjaga gol Barcelona, Victor Valdes.

"Gol Higuain adalah sah," kata Ronaldo yang meledakkan gol tunggal kemenangan 1-0 Real ke atas Barca pada final Piala Raja Sepanyol bulan lalu.

"(Gerard) Pique menolak saya dan saya terjatuh di atas Mascherano. Dia tidak pernah berlakon di England tetapi dia mengamalkan tabiat buruk di sini sama seperti pemain lain."

Sementara itu, pemain tengah Real, Xabi Alonso turut mempersoalkan mutu pengadilan yang teruk selepas jaringan Higuain dibatalkan tanpa sebab.

"Sekiranya kami menjaringkan gol pertama, perlawanan ini sudah pasti berubah tetapi kami rasa banyak keputusan pengadil tidak memihak kepada kami dan kami tidak gembira mengenainya," kata Alonso.

"Kami rasa kami telah bermain dengan baik tetapi keputusan pengadil tidak menyebelahi kami. Itulah apa yang kami rasa." 

Agensi

Siapa Pengkhianat Islam?

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



1. Mereka yang menghalang penyatuan UMNO dan PAS digelar pengkhianat Islam oleh Mufti Perlis. Sekilas pandang, siapa jua yang menghalang usaha penyatuan adalah pengkhianat. Justeru penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut. Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh. Tetapi apabila bercakap soal penyatuan antara PAS dan UMNO, saya sarankan sohibus samahah Mufti Perlis mengkaji terlebih dahulu secara mendalam dan teliti.
2. Antara PAS dan UMNO jangan hanya dilihat pada bangsa dan warna kulit semata - mata lalu disogok agenda penyatuan bangsa melayu. Sebaliknya perlu dilihat bagaimana pula sikap kedua - dua parti melayu itu [PAS dan UMNO] terhadap Islam. Sikap terhadap Islam dan bagaimana mereka menanggapi Islam adalah kayu ukur yang paling penting untuk bercakap soal penyatuan antara kedua parti ini.

3. Sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, namun Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah yang bermaksud :

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.

Surah Aali Imran 103

4.  Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt yang bermaksud :

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Surah al Anfaal 63

5. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt yang bermaksud :

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.

Surah al Maaidah 2

6. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

7. Penyatuan antara PAS dan UMNO mesti disokong malah wajib diusahakan jika ianya berteraskan Islam dan berobjektifkan taqwa kepada Allah swt. Pengusahanya dijulang dan penyokongnya dialu - alukan. Sementara penentangnya adalah jahat dan pengkhianat.

8. Sebaliknya penyatuan antara PAS dan UMNO tidak boleh dilaksanakan jika ianya tidak diasaskan kepada Islam dan pula berobjektifkan dosa kepada Allah swt. Pengusahanya dilarang dan penyokongnya pula sia - sia. Sementara penentangnya pula adalah hebat dan berwibawa.

9. Bahkan kerjasama yang disertai PAS bersama Pakatan Rakyat adalah kerana Islam dan ianya dilandaskan di atas konsep Tahaaluf Siasi [kerjasama politik] untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional guna menamatkan siri penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kezaliman, penindasan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun yang lalu.

10. Tanpa perlu membuang masa lagi, saya mengundang UMNO meninggalkan Barisan Nasional dan meninggalkan segala perbuatan mungkar demi masa depan agama, rakyat dan negara. Ayuh kita bersatu dan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk membina masa depan dan peradaban baru yang lebih dinamis, jauh dari pengaruh mungkar yang dimurkai oleh Allah swt. Pengusaha yang gigih untuk menamatkan siri keangkuhan kuasa dan sombong dengan dosa yang dilakukan oleh mereka adalah pejuang sementara Penentang usaha inilah pengkhianat Islam !

Murnikan Perjuangan dan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Mayat Dua Beradik dijumpai

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA PILAH - Mayat dua daripada tiga beradik yang hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika berkelah di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini petang kelmarin ditemui semalam.

Mayat Nur Syaza Alisa Said Ahmad, 5, ditemui pada pukul 3.15 pagi semalam oleh bapa saudaranya, Abdul Azam Wahab, 23, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Mayat adiknya, Nur Syaza Azira, 4, pula ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 10.20 pagi, kira-kira 2.5 kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Jaafar Baba mengesahkan penemuan mayat dua kanak-kanak itu dan usaha mencari seorang lagi mangsa, Nur Syaza Sakinah, 2, sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Abdul Azam berkata, dia bersama beberapa orang meredah air sungai paras pinggang itu dan berenang untuk mencari kesemua mangsa yang hilang.

"Ketika itu apa yang saya harap kesemua anak buah saya yang hilang mesti ditemui walau apa keadaannya sekali pun," katanya ketika ditemui di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini semalam.

Katanya, dia sedih apabila menemui mayat Nur Syaza Alisa dalam keadaan kepalanya cedera dan bibir pecah serta lebam.

Puting Beliung Air di Hawaii

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



HONOLULU - Satu puting beliung air yang berlaku di laut dekat pelabuhan Honolulu, Hawaii menjadi daya tarikan penduduk yang sanggup keluar dari kereta untuk melihat fenomena itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang pelajar, Shanelle Solomon memberitahu: "Saya melihat satu kilat dekat asrama saya. Ia (puting beliung air) seperti tali berwarna ungu di udara."

Puting beliung itu berlaku selama 12 minit pada Ahad lalu dan ia merupakan kejadian alam yang jarang berlaku di Hawaii.

Agensi

RON97 Naik 20 sen

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Harga petrol RON97 naik 20 sen kepada RM2.90 seliter berkuat kuasa tengah malam tadi, demikian menurut Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

Naib presiden PDAM, Datuk Zulkifli Mokti berkata, peningkatan ini disebabkan kenaikan harga minyak mentah. “Namun, harga RON95 dan diesel kekal seperti sekarang,” katanya.

Pada 2 April, harga RON97, yang diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa, naik 20 sen ke RM2.70 seliter ekoran krisis Timur Tengah. Petrol RON95 kekal RM1.90 seliter

Gambar Mayat Osama bin Laden Mengerikan

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


WASHINGTON - Kakitangan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) bercanggah sama ada mahu mendedahkan gambar mayat Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden selepas penyokong teori konspirasi dan kumpulan Taliban mempersoalkan sama ada dia benar-benar telah mati, lapor sebuah akhbar semalam.

Presiden AS, Barack Obama keberatan menyiarkan imej tersebut kerana keadaan mayat Osama yang berlumuran darah dengan kesan kecederaan yang teruk.

Obama berpendapat pendedahan imej mayat Osama sebagai tidak menghormati orang yang telah mati dan boleh mendatangkan tindak balas negatif.


Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Leon Panetta sebaliknya berkata, foto ketua Al-Qaeda itu hanya menunggu masa untuk didedahkan kepada umum.

Berikutan tiada bukti bergambar bahawa Osama telah mati, terdapat dakwaan bahawa dia sebenarnya tidak dibunuh.

Dalam isyarat bahawa isu pendedahan imej Osama sedang hangat dibincangkan, White House menegaskan keputusan mengenainya masih belum dibuat selain menekankan tentang keadaan mayat Osama yang mengerikan.

"Boleh dikatakan bahawa gambar mayat Osama itu mengerikan," kata jurucakap White House, Jay Carney.

Beberapa pegawai kanan tentera mengesahkan kepada stesen televisyen CNN bahawa terdapat tiga set gambar Osama.

Set pertama dirakam semasa serbuan ke vilanya dan dipercayai menunjukkan mayat dua adik-beradik dan mayat anak lelaki Osama.

Set kedua yang juga set gambar paling jelas menunjukkan gambar mayatnya yang mengerikan di sebuah pangkalan tentera di Afghanistan.

Mayat Osama dilaporkan berlubang di sebelah atas sebelah matanya dengan satu lagi lubang pada bahagian jantung selepas dia mati ditembak komando AS dalam serbuan di lokasi persembunyiannya di bandar Abbottabad, Pakistan pada malam Ahad lalu.

Agensi

Cerut Paling Panjang di Dunia dihasilkan

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


HAVANA - Sebatang cerut yang sepanjang 81.8 meter dihasilkan oleh beberapa orang diketuai oleh penggulung cerut di Cuba, Jose Castelar.

Castelar berharap cerut itu akan mencipta rekod sebagai yang paling panjang di dunia.

CERUT paling panjang di dunia dipamerkan di sebuah kubu lama Sepanyol di Havana, Cuba 

Dia dan pekerja-pekerjanya mula menghasilkan cerut itu pada penghujung April lalu dan ia berjaya disiapkan kelmarin.

Sebelum ini, Castelar, 67, mencipta rekod dunia kerana dia menggulung cerut sepanjang 45 meter pada 2008.

Cerut itu kini menunggu pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan Guinness World Records di London untuk disahkan sebagai yang paling panjang di dunia.

Agensi

Minum Racun Lepas Bunuh Tunang

1 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita ditemui mati dipercayai ditikam oleh tunangnya di sebuah stesen minyak tempat wanita itu bekerja di Jalan Perusahaan Bukit Tengah di sini semalam.

Mayat Karimah Jusuh, 25, ditemui oleh rakan sekerjanya dalam bilik persalinan di stesen minyak itu pada pukul 8 pagi.

"Mangsa ditikam di beberapa bahagian di perut, leher, dada dan tangan. Kami percaya kejadian itu bermotifkan cemburu," kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar di sini semalam.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, tunang wanita berkenaan yang bekerja di sebuah kilang di Perai dikatakan pulang ke rumahnya di Mengkuang Mak Sulong dan meminum racun.

Mengikut maklumat yang diterima, lelaki itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.

MCA penentang Islam sebenar - Pejabat MB Kelantan

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 4 Mei: Semua pihak diminta mengkaji pendirian politik MCA yang menjadi kawan Umno sejak sekian lama sebelum mempertikaikan hubungan antara PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Ini kerana, kenyataan-kenyataan dari pimpinan MCA terbukti menentang Islam berbanding dengan DAP, kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Fadhli Shaari (gambar kanan).

Pegawai Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu mengulas laporan muka depan lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia hari ini yang melaporkan kenyataan Mufti Perlis kononnya siapa yang menentang perpaduan antara Umno dan PAS adalah pengkhianat Islam.

"Mufti Perlis seharusnya memberikan komen apakah hukum kerjasama di antara Umno dengan MCA apabila Presiden MCA menyatakan dengan jelas bahawa mereka boleh menerima kehadiran PAS di dalam BN tetapi dengan syarat PAS menggugurkan agenda perjuangan negara Islam," katanya.

Begitu juga dengan cadangan MCA untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan sekiranya terus menguatkuasakan undang-undang menghalang premis judi beroperasi, apakah hukumnya Umno selaku rakan kongsi MCA dalam Barisan Nasional membisu seribu bahasa?

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek mempermainkan tindakan calon PAS dalam pilihan raya kecil Tenang, Normala Sudirman, yang enggan bersalam dengan bukan muhrimnya tanpa memakai sarong tangan.

Beliau juga berkata, apa gunanya beliau memahami kehendak Islam dalam isu ini.

Bagi pegawai Nik Aziz itu, PAS mempunyai hujjah yang jelas kenapa parti Islam itu berkawan dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

"Persoalannya, bagaimanakah PAS boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat? Hakikatnya DAP dan PKR tidak menolak prinsip Islam yang dibawa oleh PAS dan tidak mendesak supaya PAS menggugurkan dasar perjuangannya selama ini," katanya.

PAS dan DAP

Sebelum ini, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad (gambar kanan) ketika berhujjah dalam isu ini berkata, "MCA menolak PAS daripada menyertai BN jika PAS kekal dengan dasar perjuangan Islam. Najib jemput, Soi Lek tolak!"

"Tapi, DAP tidak pernah sesekali meminta PAS untuk menggugurkan negara Islam, ia cuma bukan agenda bersama Pakatan Rakyat,” tulis Dzulkefly di laman Twitternya, yang secara langsung ingin memberitahu Najib bahawa MCA adalah jauh lebih teruk daripada DAP dalam hal yang berkaitan dengan Islam.

Dzulkefly juga menyifatkan drama antara Najib dan Chua hanyalah sebagai satu percubaan untuk memberikan lesen kepada kedua-dua pihak untuk memburukkan kaum Tionghua, PAS dan Islam, semua pada masa yang sama, tapi kepada hadirin berlainan.

“Chua tengah memberikan Umno lesen untuk memburukkan kaum Tionghua, dan Umno memberikan lesen kepada Chua untuk membusukkan PAS dan Islam. Satu gabungan yang sesat!” kata Dzulkefly.

“Chua selalu didedahkan oleh Umno bahawa PAS sentiasa berpendirian untuk sebuah negara teokratis dan otokratik. Aduh, betapa ianya jauh menyimpang daripada kebenaran!” kata Dzulkefly.

Hari ini, Utusan menyiarkan kenyataan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang dilaporkan berkata mana-mana pihak yang menentang penyatuan di antara Umno dan PAS ialah pengkhianat kerana al-Quran sendiri telah memerintahkan supaya umat Islam bersatu dan Islam perlu ditegakkan.

"Dengan bersangka baik kepada Sohibus Samahah Mufti Perlis, saya menganggap kenyataan tersebut separuh masak atau sengaja dilaporkan separuh masak untuk meletakkan persepsi bahawa Mufti Perlis menghentam pihak-pihak tertentu khususnya di dalam PAS yang menentang penyatuan PAS dan Umno," tulis Fadli dalam kenyataannya.

Katanya, perlu diingat, PAS melalui pemimpinnya termasuklah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah berkali-kali menyatakan bahawa penyatuan di antara PAS dengan Umno boleh berlaku bila-bila masa dengan syarat Umno mengubah dasar kepada Islam.

Kenyataan ini pernah disiarkan dalam sebuah media Rabu 14 Julai 2010 yang lepas.

Sekiranya seseorang itu dianggap Islam melalui syahadahnya, maka syahadah sesebuah pertubuhan ialah perlembagaannya. Adakah UMNO telah bersyahadah di dalam perlembagaannya?, soal Fadli.

Justeru, beliau berharap agar Mufti Perlis dapat mengemukakan pelan cadangannya secara terperinci agar dapat difahami dengan jelas letak duduknya kenyataan beliau.

"Hakikatnya, PAS tidak pernah meletakkan ke tepi agenda perpaduan umat Islam tetapi perlulah diletakkan Islam sebagai dasar terlebih dahulu," katanya.

Harakahdaily/-

Ahmad Fadhli: Kenyataan Dr Juanda 'separuh masak'

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan meminta Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menjelaskan pelan cadangannya secara terperinci berhubung penyatuan PAS dan Umno supaya ia dapat difahami dengan jelas.

NONEAhmad Fadhli Shaari yang juga ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan berkata pada hakikatnya parti itu tidak pernah meletakkan ke tepi agenda perpaduan umat Islam.

"Perlu diingat, PAS melalui pemimpinnya termasuklah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berkali-kali menyatakan bahawa penyatuan di antara PAS dengan Umno boleh berlaku bila-bila masa dengan syarat Umno mengubah dasar kepada Islam.

"Sekiranya seseorang itu dianggap Islam melalui syahadahnya, maka syahadah sesebuah pertubuhan ialah perlembagaannya. Adakah Umno telah bersyahadah di dalam perlembagaannya?

"Persoalannya, bagaimanakah PAS boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat?

NONE“Hakikatnya DAP dan PKR tidak menolak prinsip Islam yang dibawa oleh PAS dan tidak mendesak supaya PAS menggugurkan dasar perjuangannya selama ini," kata Ahmad Fadhli dalam satu kenyataan media.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam berhubung kenyataan Dr Juanda yang menyifatkan pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai 'pengkhianat Islam' dan boleh dianggap pendukung fikrah Khawarij yang amat bencikan kesatuan.

Dr Juanda dilaporkan berkata, penyatuan kedua-dua parti itu sebenarnya wajib, khususnya untuk kekuatan Islam berdasarkan tuntutan al-Quran antaranya melalui ayat 13 surah Asy-Syura
memerintahkan supaya umat Islam bersatu padu dan Islam perlu ditegakkan.

umno mca chua soi lek najibDalam kenyataannya, Ahmad Fadhli turut menggesa Dr Juanda memberi komen mengenai hukum kerjasama Umno dengan MCA apabila presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek didakwa berkata parti Cina itu boleh menerima kehadiran PAS dalam BN dengan syarat parti Islam itu menggugurkan agenda perjuangan Islam.

"Utusan Malaysia selaku akhbar yang membela agama, bangsa dan negara juga boleh turut mengulas isu ini. Jika pihak mufti Perlis berminat untuk mendapatkan kenyataan ini, saya sedia
membekalkan salinan laporan akhbar New Straits Time pada 2 Mei 1 yang lalu di muka surat 9 untuk rujukan pihak mufti Perlis.

NONE"Atau saya menukilkan semula bahasanya untuk rujukan: However, party president Datuk Seri Chua Soi Lek said PAS had to first set aside its agenda to turn the country state into an Islamic State before it could sit down and talk with Umno about any possible return to the Barisan Nasional fold...

"Begitu juga dengan cadangan MCA untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan sekiranya terus menguatkuasakan undang-undang menghalang premis judi beroperasi, apakah hukumnya Umno selaku rakan kongsi MCA dalam BN membisu seribu bahasa?" soalnya.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106Oleh itu, sambil bersangka baik terhadap Dr Juanda (kiri), Ahmad Fadhli menganggap kenyataan mufti Perlis itu "separuh masak atau sengaja dilaporkan separuh masak" bagi meletakkan persepsi bahawa beliau menghentam pihak tertentu khususnya di dalam PAS yang menentang penyatuan PAS-Umno.

Justeru, Ahmad Fadhli berharap agar mufti Perlis itu dapat mengemukakan pelan cadangannya secara terperinci agar semua pihak dapat memahami kenyataan beliau dengan jelas.

Malaysiakini/-