21 Ogos 2011

Ketua masyarakat ditemui mati berbogel

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -



MEXICO CITY: Seorang pemimpin bandar kecil di tengah Mexico ditemui mati semalam, sehari selepas dia diculik.
Pegawai keselamatan berkata, kematian itu menjadikan bilangan korban di kalangan pemimpin tempatan menjadi lima orang sepanjang tahun ini.



Katanya, mayat mangsa ditemui pagi semalam di bandar El Pochote.

“Selepas diperiksa, mayat itu disahkan Jesus Eduviges Nava, ketua bandar Zacualpan,” katanya.



Laporan biro keselamatan Mexico membayangkan Nava ditemui “berbogel dan kesan penderaan di seluruh tubuh, selain bekas hentakan objek tumpul di dahi yang menyebabkan kematiannya.” Polis berkata, pemimpin setempat akan menjadi sasaran kumpulan penjenayah apabila mereka enggan memberikan kerjasama dalam kegiatan itu. - AFP

100 isteri kena culik

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -



BEIJING: Polis negara ini melancarkan siasatan ke atas sindiket menculik kira-kira 100 wanita Vietnam yang dijual sebagai pengantin kepada lelaki China, kata media kerajaan, semalam.
Menurut agensi berita rasmi Xinhua, semua wanita yang hilang itu disyaki tinggal di desa pedalaman di wilayah Hunan.



Selepas wanita berkenaan hilang, sesetengah suami menerima panggilan telefon meminta mereka membayar wang tebusan atau isteri mereka akan dijual semula.

Bagaimanapun, laporan tidak menyatakan bila wanita berkenaan hilang.



Penduduk, Hu Jianhe, yang membayar 36,388 yuan (RM16,978) untuk mendapatkan isteri warga Vietnam pada 2008, berkata, isterinya menelefonnya selepas hilang selama dua bulan. “Dia menangis dan memberitahu saya dia diculik dan dijual di sebuah desa pedalaman dan memerlukan wang tebusan 20,000 yuan (RM9,331) sekiranya ingin kembali kepada saya,” katanya.




Bilangan tepat wanita yang hilang mungkin lebih tinggi daripada 100 orang ekoran sesetengah suami enggan melaporkan kehilangan isteri kerana bimbang dituduh terbabit dengan kegiatan penyeludupan manusia. - AFP

Jual anak perempuan

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

MEXICO CITY: Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Mexico melancarkan siasatan terhadap laporan berhubung laporan bahawa masih ada masyarakat Orang Asli negara itu meneruskan amalan menjual anak perempuan seperti yang dilakukan nenek moyang mereka.
Suruhanjaya itu menamakan masyarakat Tanah Tinggi Mixtec di Oaxaca, negeri di selatan negara itu sebagai antara kumpulan yang menjual kanak-kanak perempuan berusia antara 11 dan 15 tahun.


“Ibu bapa mencari jalan untuk berunding dan menukar anak perempuan mereka dengan wang, sama ada dengan bakal suami mereka atau keluarga yang kemudian membawa kanak-kanak itu ke bandar untuk membantu dalam kerja domestik,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.

Ia tidak menyebut sejauh mana amalan itu berleluasa.


Kanak-kanak itu dijual dengan harga sehingga 3,000 peso (RM735) atau sama harga dengan barangan seperti lembu, kekacang atau jagung.



Ibu bapa akan menyerahkan semua hak terhadap anak mereka.

Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Orang Asli di Oaxaca, Hugo Aguilar Ortiz bagaimanapun berkata, dia tidak pernah mendengar laporan mengenai penjualan kanak-kanak.


Aguilar, anggota masyarakat Tanah Tinggi Mixtec berkata: “Ini bukan amalan masyarakat saya.

“Apabila anggota masyarakat kami berkahwin, sudah menjadi kebiasaan bagi keluarga pengantin lelaki memberi hadiah wang atau lembu dan produk lain untuk majlis perkahwinan dan membantu pasangan itu memulakan hidup baru.” Bagaimanapun, menurutnya, tradisi itu tidak termasuk kanak-kanak bawah umur dan bukan urusan jual beli.


Mixtec ialah masyarakat orang asli kedua terbesar di Oaxaca.



Pejabat Hak Asasi di negeri itu berkata, ia tidak terbabit dalam siasatan itu. Siasatan itu dijalankan sendiri oleh suruhanjaya kebangsaan.



Jurucakap pejabat Hak Asasi Oaxaca, Juan Pablo Ceja berkata, dia tidak pernah menerima aduan mengenai kegiatan itu. - Agensi


Bersih 2.0 : Kerajaan Patut Akui Kesilapan- Kit Siang

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR 21 OGOS : Ketua Parlimen Nasional DAP Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan permainan wayang dan dolak-dalih mereka selama dua bulan dengan mengaku bahawa Kerajaan Barisan Nasional silap dalam menangani himpunan aman Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Kit Siang, dalam kenyataan medianya semalam sempena ulangtahun 'Yellow Saturday' ke enam menyatakan, pengharaman kerajaan terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 patut dihentikan selain semua tuduhan terhadap lebih 1,600 demonstran digugurkan serta-merta.

"Tindakan keras kerajaan dan polis pada Himpunan Bersih 2.0 benar-benar membawa publisiti dan imej buruk kepada Malaysia dalam tempoh singkat Najib sebagai Perdana Menteri.

"Malah, Perdana Menteri perlu menunjukkan penghargaan kerana Himpunan Aman Bersih 2.0 mengumpulkan kira-kira 50 ribu rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama, umur dan jantina merupakan pertunjukan terbaik dan paling menonjol dalam konsep 1 Malaysia," kata Kit Siang yang juga ahli parlimen Ipoh Timur.

9 Julai lalu, puluhan ribu rakyat Malaysia hadir berhimpun untuk menyokong tuntutan reformasi pilihan raya tersebut di ibu negara.

Bagaimanapun, kerajaan pusat dan polis telah bertindak ganas dalam menyuraikan perhimpunan itu dan seolah-olah cuba 'melenyapkan' perkara tersebut pada paparan media arus perdana.

Malah seorang peserta turut terbunuh pada hari tersebut dan beberapa yang lain cedera akibat tindakan Polis.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah pilihan raya dan menghentikan politik kotor.

Oleh yang demikian, Kit Siang tidak mahu BN terus berselindung dengan hujah pilihan raya negara ini adil dan kemenangan di lima buah negeri Pakatan Rakyat merupakan buktinya.

Menurut Kit Siang, kenyataannya ialah perkara itu bukan jawapan kepada aspirasi rakyat Malaysia yang berdiri teguh di belakang tuntutan Bersih 2.0.

"Respon mudah dan benar terhadap hujah itu ialah jika tidak kerana sistem pilihan raya yang tidak telus, lebih lima negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan di peringkat Nasional, mungkin hampir menggantikan kerajaan BN di Putrajaya," tegas beliau.

Kerja keras untuk sedarkan Melayu

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Ogos: PAS harus bekerja keras untuk menyedarkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai hak mereka.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, orang Melayu tidak sensitif terhadap isu pembaziran dan penyelewengan wang rakyat yang dilakukan kerajaan BN selama ini.

(Mohamad sambil duduk menyampaikan kit kempen Barang Naik)

Menurutnya, orang Melayu hanya tahu merungut tapi tidak ada usaha melakukan protes terhadap kerajaan.

"Untuk menimbulkan sensitiviti rakyat terhadap hak-hak mereka satu kerja yang sukar dan perlu kesabaran, terutama menghadapi orang Melayu yang tidak sensitif dengan perkara-perkara yang berlaku seharian, contohnya soal rasuah, penyelewengan, kenaikan harga barang.

"Mereka merungut tetapi tidak sampai ke peringkat protes," kata beliau sewaktu berucap merasmikan Pelancaran Kempen dan Kelab Protes Barang Naik (Protes BN) di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa, Kampung Baru, petang semalam.

Mengimbau sejarah tahun 1986 yang menyaksikan protes besar-besaran kaum Cina terhadap MCA, Mohamad Sabu berkata kaum itu tahu menuntut hak mereka yang disalah gunakan.

"Berlaku penyelewengan yang hebat dulunya dalam koperasi pengambilan deposit, ratusan juta wang pelabur dari MCA hilang.

"Maka apa yang berlaku pilihan raya tahun 1986 orang Tiong Hua membuat protes besar-besaran sehingga DAP menang 24 kerusi Parlimen, hampir menawan Pulau Pinang iaitu DAP menang 13 kerusi, kekurangan tiga kerusi lagi untuk memenangi Pulau Pinang.

"Ini dilakukan DAP seorang diri.Masa itu belum ada Barisan Alternatif, belum ada Pakatan Rakyat.

"Ini kerana orang Tiong Hua tahu menilai duit, nilai harga dan apabila berlaku sesuatu mereka protes," katanya di hadapan hampir 100 orang yang hadir.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru rakyat agar menyokong dan menyertai kelab ini serta memberikan pandangan-pandangan mereka mengenai situasi kenaikan harga barang yang berlaku di negara ini.

"Tujuan penubuhan kelab ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang kenaikan harga barang yang tidak pernah berhenti.

"Lajnah Pengguna tidak nafikan kenaikan harga barang ini juga kerana kenaikan harga di peringkat global tapi ianya boleh ditangani jika kerajaan membelanjakan wang rakyat dengan berhemah.

"Jadi saya minta sesiapa yang tidak sokong harga barang naik, sertailah kelab ini. Kalau tak nak sokong maksudnya mereka setujulah harga barang naik,' katanya yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat.

(Mohamad Sabu melancarkan kempen)

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof pula meminta kaum wanita sedar dengan pembaziran yang dilakukan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur sedangkan rakyat terpaksa menanggung bebannya.

Antaranya beliau menyentuh mengenai los lawatan Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah ke luar negara dari 2008 hingga 2011 sejumlah RM17 juta.

Selain itu kos penganjuran Persidangan Wanita Pertama Dunia yang hanya dihadiri 14 wanita,majoritinya dari Afrika menelan belanja RM4.5 juta.

"Saya percaya kaum wanita sangat terbeban dengan kos kenaikan harga barang khususnya melibatkan barang keperluan asas.

"Tak ada guna jika kita terus berdiam diri dalam pada kerajaan membelanjakan wang rakyat sesuka hati mereka," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.

Selesai majlis pelancaran, mereka mengedarkan risalah mengenai kenaikan harga barang kepada peniaga dan pengunjung bazar Ramadhan berhampiran.

Protes BN mensasarkan 5,000 ahli menjelang Aidilfitri ini dan akan berterusan sehingga pilihan raya umum ke-13.

harakahdaily/-

Najib Harus Fokus Kebajikan Rakyat- PAS

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 21 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diingatkan agar lebih fokus dan menumpukan kepada keperluan semasa rakyat berbanding membina imejnya melalui bangunan pencakar langit yang berjumlah berbilion ringgit.

Hal ini kerana menurut Lajnah Tanah dan Pembangunan PAS Pusat, Mazlan Aliman, asas kepada pembangunan sesebuah negara adalah kesejahteraan hidup rakyatnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru pembinaan Menara Warisan 100 tingkat yang kini sudah sampai ke peringkat mereka bentuk bangunan yang dicadangkan dan dijangka siap akhir tahun ini.

Menurut Mazlan, tindakan kerajaan yang mahu meneruskan projek tersebut walaupun dibantah keras sebelum ini kerana berlakunya pembaziran, jelas membuktikan ketidakupayaan kerajaan Najib untuk mendengar suara rakyat.

“Kalau sekadar mercu tanda ini dibina di zaman Perdana Menteri bagi gambarkan oh zaman dia ada bangunan setingi 100 tingkat kononnya jadi tatapan cucu cicit hanya kerana faktor kebanggaan itu semata-mata,

saya fikir nampaknya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional ini mereka langsung tidak mempunyai kepekaan terhadap apakah keutamaan untuk dilakukan oleh pemimpin terhadap rakyat dalam keadaan kenaikan harga barang, kos sara hidup yang semakin meningkat, pemimpin selalu bercakap tentang berjimat cermat, ikat perut dan sebagainya.

"Nampaknya rakyat sahaja yang dipaksa, diperingatkan tentang amalan budaya cermat, jimat cermat bahkan dalam kontek Islam pun, pembaziran ini merupakan saudara syaitan,"katanya kepada Tv Selangor.

Najib akhir tahun lalu berkata, pembinaan projek Menara Warisan yang dicadangkan oleh Permodalan Nasioanal Berhad (PNB) itu bakal menguntungkan negara.

Walau bagaimanapun, tidak pula dijelaskan oleh beliau keuntungan dari aspek apa.

Pembinaan menara 100 tingkat itu, yang akan mengatasi ketinggian Menara Berkembar Petronas, diumumkan dalam bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

Difahamkan kerja-kerja mereka bentuk menara tersebut sedang dijalankan manakala projek itu dijangka siap pada 2015.

Projek tersebut, yang dilaporkan membabitkan kos RM5 bilion, bagaimanapun terus mendapat bantahan umum dan pembangkang.

Rata-rata menganggapnya sebagai salah keutamaan termasuk Mazlan.

Keadaan itu ditambah pula dengan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dan tangga gaji masih di takok sama.

“Saya ingin ulangi ketegasan kalaulah perancangan kerajaan untuk membina ini diteruskan, saya harap mereka dapat membatalkan hasrat tersebut kerana ini langsung tidak memberi apa-apa kebanggaan kepada negara khususnya rakyat dalam negara kita," kata beliau.

Terdahulu, kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center juga menunjukkan dua per tiga rakyat membantah pembinaan menara pencakar langit itu.

Kajiselidik yang membabitkan 1,005 responden di Semenanjung Malaysia itu, menunjukkan 65 peratus tidak bersetuju dengan rancangan tersebut, dan hanya 25 peratus yang menyokongnya.

tv news/-

Prasarana terbaik dalam negara berkebajikan

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

RAWANG, 21 Ogos: "Negara berkebajikan PAS bukan bermakna semua perkara akan disubsidikan tetapi menyediakan prasarana yang terbaik untuk rakyat hidup dengan baik," kata Dr Dzulkefly Ahmad, anggota Parlimen Kuala Selangor.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis berbuka puasa dan meraikan anak yatim anjuran PAS cawangan Bandar Tasik Puteri semalam.

(Antara anak yatim yang diraikan bersama peserta majlis berbuka puasa PAS cawangan Bandar Tasik Puteri)

20 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Ay Syakur diraikan di majlis berbuka puasa itu. Lebih 150 peserta menyertai majlis berbuka itu.

Di majlis itu, Dr Dzulkefly telah menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim itu dengan ditemani Bendahari PAS Selayang, Haji Ismail Hassan.

"Antara yang kita fokaskan adalah anak yatim sebagaimana yang dibuat oleh PAS cawangan ini," kata Dr Dzulkefly.

Dalam majlis itu, Dr Dzulkefly yang merupakan pakar toksid menyarankan kepada semua umat Islam jangan jadikan waktu berbuka untuk qadak semua makanan yang telah seharian tidak dimakan.

(Dr Dzul menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim)

"Itu satu salah faham dalm berbuka dan berpuasa," katanya.

Beliau kesal dengan sikap ramai umat Islam yang berbuka dengan meah dan memakan dengan pelbagai jenis makanan sehingga memudharatkan kesihatan.

harakahdaily/-

Apa pula pendirian Umno-MCA dalam isu Jais?

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Ogos: Dalam keseronokan menyerang PAS secara bertubi-tubi dalam isu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU), rakyat masih tertanya-tanya apakah pendirian sebenarnya Umno Barisan Nasional dalam isu ini pula.

“Apakah pendirian rasmi Umno Barisan Nasional dalam isu ini? Satu belah, Umno menuduh PAS tidak menjaga aqidah umat Islam, rakan baiknya MCA pula menuduh PAS untuk perkara sebaliknya sehingga merestui pencerobohan gereja,” soal Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Masih segar dalam ingatan ialah rakan terbaik Umno, MCA – parti yang disokong Umno untuk menyaman kerajaan Kelantan dalam isu mengharamkan judi melalui Presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek dalam kenyataannya yang dipetik Harian Metro telah secara terbuka mengutuk tindakan Jais dalam menyiasat GMDU sebagai satu tindakan yang memalukan.

Dr Chua turut dipetik sebagai berkata Jais, yang terletak di bawah bidang kuasa anggota exco daripada PAS Datuk Dr Hassan Ali perlu memberi penjelasan tentang isu itu dan memohon maaf kerana menceroboh premis gereja berkenaan serta kelemahan pihaknya mengendalikan perkara itu.

“Kejadian ini menunjukkan bahawa PAS tidak liberal seperti yang didakwanya,” tambah Chua sebagaimana yang dilaporkan media.

Selain itu, Naib presiden MCA, Gan Ping Sieu pula berkata, tindakan para pegawai Jais itu mencerminkan sikap pakatan pembangkang yang berfikiran sempit serta tebal dengan semangat kedaerahan.

Sejak penubuhan PAS, kata Tuan Ibrahim, rata-rata umat Islam tahu parti sentiasa berpendirian dengan tegas bagi mempertahankan aqidah umat Islam, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti sehinggakan hari ini Umno and MCA masih menakutkan umat Islam dan bukan Islam bahawa kita satu parti yang ekstemis dalam mempertahankan aqidah umat Islam – tak boleh judi, tak suka arak, membanteras murtad dan sebagainya.

Disebabkan ketegasan PAS dalam isu membanteras murtad, kata Tuan Ibrahim PAS telah mengesa agar Jais agar mengambil tindakan segera sekiranya cukup bukti selaras dengan peruntukan perlembagaan negara dan undang-undang tubuh kerajaan Selangor untuk mendakwa mereka yang bersalah di mahkamah.

“Disebabkan kekurangan maklumat, dan juga first-hand news, PAS turut mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan kedua-dua pihak, Jais dan GMDU, tapi malang, kedua-duanya memilih untuk menangguhkan perjumpaan. Akan tetapi, pada masa yang masa, bukti-bukti Jais pula mula terledak di Internet walaupun ia sepatutnya rahsia sehingga pendakwaan dibuat di mahkamah.

Bahkan, lidah rasmi kami Harakahdaily sudahpun melaporkan bahawa terdapat percanggahan antara apa yang dinyatakan oleh pegawai gereja GMDU bahawa majlis makan malam anjuran Harapan Komuniti tidak mempunyai kaitan dengan agama dengan bukti video Jais ketika menyiasat di majlis makan malam GMDU yang kini hangat dipertontonkan di internet,” terang beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Berikutan ledakan bukti video penyiasatan Jais di internet, Tuan Ibrahim berkata PAS kini mempunyai dua persoalan utama dalam kontroversi ini.

“Mengapa Jais masih berlengah-lengah untuk bertindak, dan juga kesunyi-sepian gereja mengenai percanggahan kenyataan pihak gereja dengan video penyiasatan Jais yang kini tersebar luas – namun keduanya tidak mempunyai jawapan sehingga ini PAS masih tidak dapat bertemu dengan kedua-dua pihak,” soal beliau.

Walaupun telah membuat pendirian tegas dalam isu Jais ini dan juga menunjukkan keadilan dalam Islam sebenar dalam mencari penyelesaian adil dalam isu ini, namun kata Tuan Ibrahim media pro Umno sehingga hari ini masih mendesak PAS untuk menyatakan pendirian.

“Sebaliknya, rakyat masih sehingga hari ini tak tahu apa pula pendirian BN, khususnya Umno dan MCA dalam isu ini selain sibuk menyerang PAS? Ada sesiapa dari seberang sana boleh menjawab?” tanya beliau.

harakahdaily/-

Jika p'raya telus, sudah lama BN pembangkang

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BUTTERWORTH, : Pembentukan Jawatankuasa Terpilih Parlimen seperti mana yang dilaung-laungkan oleh BN sejak awal lagi sudah menunjukkan ketidakadilan mereka dalam menangani isu pilihan raya.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (gambar) ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di perkarangan Masjid Mak Mandin, Butterworth petang semalam.

Menurut beliau lagi, dalam pembentukan jawatankuasa tersebut sudah melihat adanya kepincangan, jadi bagaimana untuk mengharapkan suatu keadilan tercapai secara telus.

"Mereka ingin bentuk jawatankuasa yang didominasi oleh mereka. Majoriti kuasa ada pada mereka. Suara juga banyak pada mereka. BN ada lima anggota dan PR hanya tiga. NGO yang dicadangkan juga tidak relevan pada mereka.

"Pembentukan (jawatankuasa) ini tidak akan membawa apa-apa erti sekiranya pada awal-awal lagi sudah adanya unsur-unsur tidak telus dalam menangani masalah pilihan raya yang tidak adil dan telus dalam negara.

"Selagi SPR diperkudakan oleh Umno dan BN, saya yakin, selagi itulah masalah yang sekian lama dipertikaikan seperti pengundi pos, pengundi hantu dan terkini isu pemilikan Mykad oleh warga asing sebagai pemilih sah," ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, Umno dan BN tidak akan berani untuk menghadapi pilihan raya secara telus dan adil.

Malah katanya, sekiranya pilihan raya dilaksanakan secara telus BN sudah lama menjadi pembangkang dalam politik negara apabila rakyat menolak mereka melalui keputusan pilihan raya yang bersih.

"Namun begitu, adalah sukar untuk merealisasikan pembersihan ini wujud, selagi SPR tidak melepaskan diri mereka dari belenggu parti pemerintah, " tambahnya lagi.

harakahdaily/-

Speaker Kedah akan cabar keputusan Mahkamah Rayuan

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR,: Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr Isa Ismail (gambar) menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang menyerahkan kembali kerusi Kota Siputeh yang dikosongkan sejak tiga tahun lalu kepada penyandangnya, Datuk Abu Hassan Sharif kelmarin.

Walaubagaimanapun, Dr Isa yang dihubungi memberitahu bahawa beliau sedang berbincang dengan peguamnya dan menimbangkan kemungkinan akan mencabar keputusan tersebut dalam masa terdekat ini.

"Peguam saya sedang menguruskan untuk mencabar keputusan tersebut, insya Allah dalam masa yang terdekat selepas kita menerima dan menyemak hujah-hujah penghakiman berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan itu," katanya.

Semalam, media melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang menuduh beliau secara sengaja melakukan kesilapan apabila bertindak mengosongkan kerusi Kota Siputeh pada 2009 lalu.

Dr Isa berkata, dalam keghairahan anggota parlimen Jerlun itu memberikan kenyataan kepada media secara tidak sedar beliau telah menonjolkan suatu pemikiran yang tidak sihat.

"Mukhriz berkemungkinan sedang mengalami masalah pemikiran yang terencat apabila membuat tuduhan tersebut secara melulu. Kalau saya buat silap bermakna Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah dengan sengaja membuat kesilapan yang sama tiga tahun dulu," katanya sinis.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Alizatul Khair Osman pada 16 November 2009 telah memutuskan kerusi Kota Siputeh dikosongkan apabila penyandangnya gagal menghadiri persidangan dewan dua kali berturut-turut dan melanggari Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.

harakahdaily/-

Wanita dakwa dicabul 11 polis

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Seorang pengurus akaun Wong Bee Fong mendakwa selepas tujuh tahun dicabul oleh 11 anggota polis, beliau sehingga kini masih menunggu tindakan terhadap kumpulan itu.

Bahkan, tambahnya, polis gagal memberi jawapan sama ada kertas siasatan dibuka selepas dia membuat laporan polis berhubung pengalaman pahit yang meninggalkan trauma hinggga ke hari ini.

Dalam sidang media bersama peguamnya hari ini, Wong, 39 mendakwa, polis sebaliknya menyiasatnya atas dakwaan menghalang polis menjalankan tugasnya.

Wong mendakwa, mimpi ngerinya bermula pada jam 1.55 pagi apabila kereta yang dipandunya ditahan dalam sekatan jalan raya dekat Taman Connaught pada tahun 2004 kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

"Saya minta lesen memandu saya kembali dan saman yang akan dikeluarkan tetapi pegawai itu, Johari Ismail, nombor lencana 88147, enggan memulangkan dan sebalinya meminta rasuah RM3,000.

"Saya menolaknya dan beliau biarkan saya menunggu kira-kira 15 minit. Saya curiga ada sesuatu yang tidak kena jadi saya memandu ke arah balai polis Batu 9, Cheras," katanya.

Tetapi, dakwanya, sebelum sampai ke destinasi, sebuah Proton Saga mengejar dan memaksanya membelok ke bangunan PGA di Batu 9.
[Baca berita penuh]

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Wahab ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau akan berjumpa dengan Wong untuk cuba menyelesaikan masalah itu.

Abdul Rahshid berharap Wong dapat menghubunginya segera kerana beliau memerlukan lebih makluma. Insiden itu berlaku sebelum Abdul Rashid menjawat jawatan itu.

malaysiakini/-

Novelis Azizi Haji Abdullah meninggal

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -


GEORGETOWN, 21 Ogos: Novelis terkenal tanahair, Haji Azizi Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi tadi.

Rakan sekerjanya di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Jenazah Allahyarham Haji Azizi akan dibawa pula ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini.

Allahyarham meninggal disebabkan sakit jantung setelah lebih enam bulan di rawat di hospital berkenaan.

PAS kesal kenyataan PM, mungkin tarik diri

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Ogos: PAS hari ini melahirkan kekesalan terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum (PRU) ke 13 boleh diadakan bila-bila masa meskipun jawatankuasa (JK) parlimen khas untuk reformasi pilihanraya sedang bersidang.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man(gambar) dalam satu kenyataannya hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Najib Razak itu dan berkata ia adalah bukti terhadap sikap sebenar ketidak-ikhlasan BN.

Ia juga melambangkan sikap berpura-pura kerajaan terhadap tuntutan rakyat agar sistem pilihanraya yang bersih dan adil dapat diwujudkan, sebelum PRU akan datang.

“Tujuan utama JK Khas ini ialah merumus satu sistem pilihanraya yang adil dan bersih, setelah pelbagai kelemahan dibongkar.

"Apa guna dibentuk JK Khas, sekiranya kerajaan sudah memberikan bayangan jelas bahawa pilihanraya umum akan diadakan sebelum JK Khas ini menyiapkan laporan dan sekaligus memberikan petanda yang jelas bahawa sememangnya kerajaan Barisan Nasional  tidak bersedia untuk menerima dan memperbaiki kelemahan yang ada,” selar Tuan Ibrahim.

Perdana Menteri Najib semalam dipetik sebagai berkata bahawa PRU akan datang tiada sebarang kaitan dengan JK Khas parlimen yang bakal ditubuhkan Oktober ini.

“Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Murshidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat turut melahirkan rasa terkilannya terhadap kenyataan Najib semalam.

“Sejauhmana kesungguhan Barisan Nasional untuk penambahbaikan pilihan raya jika kenyataan yang tidak berapa cerdik ini dikeluarkan?” soal beliau.

Bagi Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, adalah mustahak untuk rakyat bahawa inisiatif mengatasi kelemahan dan hilangnya keyakinan mereka kepada sistem pilihanraya yang ada kini diperbetulkan terlebih dahulu supaya satu perjalanan sistem pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia dapat dijalankan.

“Sekiranya tidak, apa gunanya rakyat mengundi sekiranya keputusan pilihanraya bukan keputusan yang membayangkan hasrat mereka sebenar di akar umbi, tetapi hasrat pengundi hantu dan warga asing yang berlambak untuk memenangkan calon parti tertentu,” tambah beliau.

Kerajaan, kata beliau harus sedar  terhadap kemarahan rakyat dan tuntutan yang diadakan dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 baru- baru ini dan dengan sikap kerajaan yang menolak diadakan pilihanraya sebelum sistem diperbaiki sudah tentu akan mengundang kemarahan rakyat dan tahap kebolehpercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihanraya akan terus merosot.

Sekiranya ini berlaku, tambah Tuan Ibrahim keadaan ini adalah sangat tidak baik bagi negara, dan terutamanya kerajaan memerintah dan  tidak mustahil parti- parti dalam Pakatan Rakyat akan menarik diri ekoran kenyataan Perdana Menteri.

Ketidakikhlasan kerajaan Barisan Nasional ini juga katanya akan mempercepatkan  bantahan rakyat, jesteru menyemarakan semangat untuk himpunan Bersih 3.0 diadakan.

“PAS ingin tegaskan kerajaan tidak patut dan sememangnya ia amat tidak bertanggungjawab untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan mereka sedar bahawa sistem pilihanraya negara kita sememangnya tempang berhadapan dengan kelemahan dan kepincangan yang pelbagai.

Sila memperbaiki dahulu beberapa kelemahan yang utama, barulah diadakan pilihanraya ke 13, demi rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat,” tegas beliau.

Menurut beliau, PAS akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaan dalam JK Khas Parlimen, kerana berpendapat, ianya tidak membawa sebarang makna sekiranya  ia diadakan setelah Perdana Menteri membuat kenyataan sedemikian.

Manakala, pada 24hb Ogos ini juga satu mesyuarat Pakatan Rakyat akan diadakan untuk membincangkan secara serius perkembangan muktahir ini bagi membuat satu keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Najib dan Barisan Nasional untuk melakukan reformasi sistem pilihanraya sebelum PRU ke 13 yang bakal menjelang.

Mismah tak ingin lagi diwawancara

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Selepas dua minggu mencuri perhatian ekoran dikatakan mendapat kerakyatan dalam tempoh empat jam, Mismah -- pekerja di sebuah syarikat jualan langsung -- kini enggan diwawancara pihak media.

Baginya, cukuplah berita yang ditulis tentang dirinya oleh pelbagai media sejak hari pertama disiarkan sehinggalah dikunjungi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar baru-baru ini.

Ketika ditemui Malaysiakini di gerai tempat wanita itu berniaga di ibu negara semalam, Mismah -- anak kelahiran Bawaen, Indonesia -- itu bagaimanapun masih mesra dan ramah berbual.

Jelasnya, beliau cuma tidak mahu lagi kenyataannya dipetik media mahupun gambarnya di gerai itu dirakamkan, walaupun dipujuk berkali-kali.

"Sudah banyak tentang diri saya ditulis," katanya petang semalam menjelang waktu berbuka puasa di gerai kecil 10 kali 10 kaki di depan sebuah kedai baju di pusat bandar Kuala Lumpur.

Selepas bekerja sebagai tukang sapu di sebelah siang, pada malamnya beliau mengambil kesempatan meniaga sempena hari raya yang bakal tiba hujung bulan ini.

Ketika kunjungan itu, Mismah, 47 kelihatan menunggu pelanggan di gerai baju kurungnya. Beliau tidak lagi menjual tudung seperti dilaporkan baru-baru ini.

Memandangkan hujan agak lebat pada masa itu, keadaan agak lengang dan tidak ramai mengunjungi gerainya -- tidak seperti kelaziman di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sesak setiap kali menjelang musim perayaan.

Tiga soalan, jawapan off record

Selepas dilaporkan Malaysiakini pada 2 Ogos, isu sama ada ibu kepada empat anak itu merupakan penduduk tetap (PR) yang diberikan hak mengundi hangat diperdebatkan.

Tambahan lagi apabila statusnya di laman dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertukar daripada PR kepada warganegara selepas empat jam berita itu disiarkan.

JPN bagaimanapun sehari selepas itu membuat penjelasan bahawa dakwaan itu tidak benar dan kewarganegaraan wanita itu sebenarnya diluluskan pada 31 Januari lalu.

Laporan itu disusuli penampilannya kali pertama kepada Sinar Harian pada 12 Ogos -- sepuluh hari selepas itu di mana beliau dilaporkan menolak mendapat kerakyatan mudah melalui "pintu belakang".

Sebaliknya, jelas Mismah, beliau juga menjalani laluan sukar apabila mendapat kerakyatan setelah menjadi PR selama 29 tahun dan dua kali memohon menjadi warganegara.

Kunjungan Malaysiakini semalam bagi mendapatkan penjelasan bagaimana Mismah mendapat taraf PKR dalam tempoh beberapa bulan sahaja ketika masih belasan tahun dan siapa yang membawanya masuk ke negara ini pada tahun 1982.

Selain itu, masih ramai tertanya-tanya apa yang mendorongnya membuat permohonan baru di Putrajaya setelah gagal kali pertama dan apa yang mendorongnya mendafar sebagai pemilih tidak lama selepas mendapat taraf itu.

Sebahagian daripada soalan itu dijawab oleh Mismah tetapi Malaysiakini tidak dapat menyiarkan atas permintaannya supaya perbualan itu tidak dirakamkan atau off record.

Ketika beredar, keramahan Mismah jelas kelihatan apabila beliau sempat mencadangkan tempat berbuka puasa sekitar kawasan itu kepada pemberita dan juruvideo Malaysiakini.

Mesir undur duta ke Israel

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KAHERAH: Mesir memutuskan untuk memanggil pulang dutanya ke Israel sebagai tindakan membantah kematian lima anggota polisnya yang terbunuh di sempadan ketika serangan balas tentera Zionis ke atas pejuang Palestin, lapor berita televisyen kerajaan, semalam.

“Mesir memutuskan untuk membawa pulang dutanya ke Israel hingga negara Yahudi itu menghantar utusan meminta maaf secara rasmi,” lapor kenyatan berita itu.

Israel menyalahkan kumpulan pejuang Hamas atas insiden yang berlaku dan mendakwa berjaya membunuh pemimpin sayap kumpulan itu dalam serangan Khamis lalu, selain melancarkan berpuluh-puluh lagi serangan kelmarin.

Mesir secara rasmi membantah dan menuntut Israel supaya menyiasat punca kematian lima anggota polisnya ekoran berang dengan serangan negara Yahudi itu yang sudah membunuh sekurang-kurangnya 15 orang sejak Khamis lalu.

“Mesir memfailkan aduan secara rasmi terhadap Israel dan menuntut supaya ia melakukan siasatan segera ekoran insiden kematian di sempadan antara Isarel dan Mesir,” lapor agensi berita kerajaan, Mena.

Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf mengutuk tindakan Israel dan menyifatkan darah rakyatnya amat berharga untuk disia-siakan.

“Darah rakyat Mesir terlalu berharga untuk disia-siakan tanpa penjelasan munasabah,” kata Essam dalam mesejnya di dalam laman Facebook miliknya.

Kabinet Mesir sebelum itu memanggil duta Israel ke Keherah bagi memprotes tindakan tentera Israel yang menyerang di sempadan hingga menyebabkan kematian lima anggota pasukan keselamatan negara terbabit.

Sementara itu, beratus-ratus rakyat Mesir melakukan demonstrasi di luar kedutaan Israel di Kaherah kelmarin menggesa supaya duta negara Zionis itu diusir sebagai mengecam tindakan serangan berkenaan. - AFP/Reuters

Rusuhan Seperti Di UK Boleh Berlaku Di Jerman

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BERLIN: Kejadian rusuhan dan penjarahan yang berlaku di Britain baru-baru ini, termasuk kejadian seorang pelajar Malaysia berusia 20 tahun, Mohamed Asyraf Haziq Rossli yang dipukul dan dirompak dalam rusuhan itu, dipantau oleh Jerman.

Malahan, pakar keselamatan dan polis Jerman telah membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya rusuhan sepertimana di Britain yang telah mengakibatkan kemusnahan besar-besaran, lapor Bernama Online.

Seorang pegawai kesatuan polis Jerman baru-baru ini memberi amaran bahawa rusuhan sepertimana di Britain boleh berlaku di Jerman. Namun ahli politik Jerman segera menolak andaian bahawa rusuhan seperti itu akan berlaku di negara itu.

Rainer Wendt, pengerusi Deutsche Polizei Gewerkschaft (Kesatuan Polis Jerman), baru-baru ini dalam temu bual dengan akhbar tabloid Jerman, Bild-Zeitung, berkata Jerman turut mempunyai tanda-tanda masalah sosial yang telah menjadi punca rusuhan besar-besaran di London dan beberapa bandaraya lain di United Kingdom selama hampir seminggu.

Wendt berkata rusuhan itu adalah berpunca daripada “jenayah, kebencian terhadap negara dan peminggiran daripada segi kebajikan sosial terhadap kumpulan
tertentu”. Keadaan seperti itu turut wujud di Jerman.

Pakar sosiologi dan aktivis lain turut bersetuju dengan penilaian itu walaupun ahli politik Jerman enggan memperbesarkan masalah itu.

Pakar German mengambil perhatian bahawa rusuhan di Britain dicetuskan oleh pembunuhan lelaki berusia 29 tahun oleh polis di London. Rusuhan itu kemudian memuncak dan merebak ke Manchester dan the Midlands.

Menurut Wendt, demonstrasi 1 Mei yang diadakan setiap tahun di Hamburg dan Berlin berpotensi untuk mencetuskan rusuhan serupa di negara itu.

Rakyat Malaysia di Jerman menyatakan kepada Bernama, situasi di Jerman "jauh lebih baik daripada di Britain”. Bagaimanapun, mereka menyatakan tidak rugi untuk “bersikap lebih berhati-hati".

Pernah berlaku pergaduhan di antara orang asing dan kumpulan tempatan di Jerman namun ianya merupakan kes terpencil.

tv news/-

PAS: Najib bunuh minat kami pada PSC

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PAS mungkin tidak menyertai jawatankuasa khas parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya berikutan sikap kerajaan yang didakwa semakin jelas tidak ikhlas, kata naib presidennya Salahuddin Ayub.

Sebaliknya PAS akan terus berpegang kepada pendirian supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini, katanya.

"Walaupun sebelum ini PAS amat berhati-hati untuk memberikan sebarang komitmen kepada jawatankuasa khas parlimen yang dicadangkan oleh (Perdana enteri, Datuk Seri) Najib (Razak) itu, tetapi kenyataan terbaru Najib telah membunuh minat kami untuk memberikan perhatian kepada jawatankuasa tersebut," tegas beliau sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai bukti keangkuhan Najib dan Umno.

Menurut perdana menteri, pilih raya umum akan datang boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa mengenai penambahbaikan pilihan raya itu.

"Kenyataan yang angkuh itu menguatkan keyakinan PAS bahawa Najib hanya melepaskan batuk di tangga apabila mengumumkan cadangan menubuhkan jawatankuasa itu dan hakikatnya beliau dan Umno tidak pernah serius dalam mendepani tuntutan reformasi pilihan raya negara ini," kata Salahuddin.

Mengenai usaha untuk menghubungi badan-badan di peringkat antarabangsa mengenai tuntutan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih, ahli parlimen Kubang Kerian itu menyatakan, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan, usaha itu adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai tunturan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih dalam negara ini.

"Kesedaran mengenai tuntutan itu perlu diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa," kata Salahuddin.

BERSIH 2.0 sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

harakahdaily/-