13 September 2008

Tiga ditahan ISA

3 orang telah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin . Mereka yang ditahan ialah Raja Petra Kamaruddin, Tan Hoon Cheng (Wartawan Sin Chew Daily) dan YB Teresa Kok .Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan ketiga-tiga mereka.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan.Mengikut peruntukan itu, mereka boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan sebelum Menteri Dalam Negeri membuat keputusan sama ada penahanan itu perlu dilanjutkan.

Menahan tanpa bicara, adalah satu kezaliman. Sepatutnya setiap individu mesti diberikan kebebasan untuk mempertahankan diri, bukanya ditahan tanpa bicara. Apa jua kesalahan yang dilakukan oleh mereka hendaklah dibuktikan dimahkamah.


Semua rakyat Malaysia mesti mengakui ISA adalah akta yang paling kejam yang masih diguna pakai di Malaysia.

Penahanan Teresa Kok itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan arahan melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid dan surau.
Wakil rakyat DAP itu dilaporkan turut cuba menghapuskan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan di ibu negara dan mencadangkannya digantikan dengan tulisan Cina serta Tamil.

Penahanan Hoon Cheng dipercayai ada kaitan dengan laporan wartawan itu dalam akhbar Sin Chew Daily yang memetik kenyataan kontroversi Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini yang mendakwa orang Cina Malaysia adalah pendatang di negara ini.


Hoon Cheng, 33, yang masih belum berkahwin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan telah berkhidmat dengan Sin Chew Daily sejak sembilan tahun lalu.


Dalam kes Hoon Cheng, laporan beliau itu menimbulkan kontroversi di seluruh negara yang akhirnya menyebabkan Ahmad digantung keahlian UMNO selama tiga tahun dalam satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO Rabu lalu.

Ismail dalam kenyataannya berhubung kes Raja Petra berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerusi pemantauannya berpuas hati bahawa pengendali laman blog itu telah melakukan tindakan-tindakan yang mencetuskan kegelisahan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Tangkapan ini terpaksa dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan beliau,” katanya.

Nik Aziz: PAS untung Dr M masuk semula Umno

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai semula Umno akan memberi kelebihan kepada PAS dan Pakatan Rakyat kerana "Umno akan bergolak".

"Saya seronok dia (Dr Mahathir) timbul kacau bilau," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bekas perdana menteri itu telah menyuarakan hasrat untuk memohon menyertai semula Umno setelah meninggalkan parti itu selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu kerana kecewa dengan kepimpinan sekarang.

Sambil menyatakan rasa gembiranya kerana Umno akan bergolak, Nik Abdul Aziz berkata tindakan Dr Mahathir untuk menyerang Umno dari dalam merupakan "langkah yang terbaik", demikian menurut laporan Bernama.

"Dari segi untuk melemahkan Umno, memang saya seronok kerana Umno musuh saya. Tetapi Tun Mahathir serang Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan keluar parti pada masa dulu, yang itu saya tidak faham.

"Tinggal di luar dan serang Umno itu saya tidak nampak logik. Bila masuk di dalam serang dari dalam, itu betul. Ertinya dia (Tun Mahathir) masuk ni betul untuk serang secara berdepan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Umno menggantung keahlian Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, kerana membuat kenyataan menyentuh sensitiviti kaum, Nik Abdul Aziz berkata keputusan itu tidak wajar dilakukan oleh Umno sebaliknya ianya perlu diputuskan oleh kerajaan.

"Sepatutnya bukan parti bertindak tetapi kerajaan perlu bertindak. Kalau orang lain sudah kena Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Nampak macam pilih kasih," katanya.

Sumber: tranungkite.net