10 Oktober 2009

DETIK PERHITUNGAN BAGI MCA

LUMPUR: Mesyuarat agung luar biasa MCA yang akan berlangsung Sabtu dijangka benar-benar "luar biasa" sebaik sahaja 2,377 perwakilan pusat parti memutuskan siapa yang bakal mereka sokong untuk menerajui parti.

Ia akan menyaksikan sama ada Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat atau timbalan presiden yang digantung keanggotaannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengundur diri.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan keprihatinannya hari ini dengan berkata bahawa beliau mahu melihat MCA yang kukuh tanpa mengira keputusannya.

mungkin satu pilihan yang sukar bagi para perwakilan, terutamanya berhubung usul undi tidak percaya terhadap Ong atau mengembalikan semula jawatan Dr Chua.

Para penyokong Ong telah berjanji untuk memulihkan semula parti bagi satu budaya politik yang baru sementara penyokong Dr Chua sedang memperkenalkan manifesto 3R: Reject. Reunite. Rejuvenate." semasa berkempen.

Jika para perwakilan memilih untuk mengembalikan semula jawatan Dr Chua, pemerhati politik berkata Ong mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada parti.

Pemerhati politik berkata Ong bukan sahaja berharap para perwakilan akan menolak Dr Chua tetapi pada masa yang sama, beliau memerlukan mandat yang kuat untuk menerajui parti.

Tanpa mengira apa jua keputusannya, masa depan parti politik terbesar kaum Cina itu menjadi pertaruhan kerana majoriti pengundi Cina dikatakan tidak menyokong Barisan National (BN) dalam pilihan raya umum Mac tahun lepas.

Keadaan itu masih belum pulih sejak itu dan ramai yang tertanyatanya jika MCA mampu memperbaiki imej buruk dan mendapatkan semula sokongan kaum Cina.

Dalam mesejnya kepada para perwakilan di saat-saat akhir, Ong menekankan mengenai kepentingan MCA untuk meneruskan agenda perubahannya.

"EGM ini adalah satu peluang untuk membutkikan kepada masyarakat dan rakyat Malaysia bahawa kita serius untuk mengubah diri kita. Kita boleh memilih laluan yang betul untuk menuju ke era integriti dan kebertanggunjawaban, atau kita boleh membiarkan MCA goyah dan memikirkan kenapa masyarakat hilang kepercayaan terhadap kita.

"Keputusan di tangan anda. Saya yakin bahawa anda akan membuat pilihan yang tepat berdasarkan kebijaksanaan anda," katanya.

Kedua-dua pihak yakin bahawa mereka boleh mendapatkan semula sokongan selepas EGM ini seperti apa yang mereka katakan bahawa " para perwakilan tahu di mana letaknya kepentingan parti".

"Saya percaya para perwakilan akan membuat satu keputusan yang tidak akan menampakkan bahawa pendapat umum satu yang asing dengan MCA dan bertentangan dengan aspirasi rakyat, jika tidak MCA menanggung risiko menjadi parti yang tidak relevan dan tidak berkaitan langsung," kata seorang lagi anggota jawatankuasa pusat parti Gan Peng Sieu.

Katanya semasa pertikaian kepimpinan Neo-Tan (Neo Yee Pan dan Tan Koon Swan), ada dua presiden dan pada akhirnya (bekas Timbalan Perdana Menteri) Tun Ghafar Baba dibawa masuk sebagai orang tengah.

"Hari ini parti telah matang sehinggakan para perwakilan perlu memutuskan mengenai masa depan dua personaliti hebat dalam MCA," katanya. BERNAM/-

EGM MCA Menerima Usul Undi Tidak Percaya Terhadap Ong

KUALA LUMPUR, 10 Okt :- Mesyuarat Agung Luar Biasa MCA menerima usul undi tidak percaya terhadap Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat selepas 2,304 anggota perwakilan pusat mengundi pada mesyuarat itu di Wisma MCA di sini, pada Sabtu

EGM MCA Menerima Usul Undi Tidak Percaya Terhadap Ong

KUALA LUMPUR, 10 Okt :- Mesyuarat Agung Luar Biasa MCA menerima usul undi tidak percaya terhadap Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat selepas 2,304 anggota perwakilan pusat mengundi pada mesyuarat itu di Wisma MCA di sini, pada Sabtu

Ketua Putera Umno bukan samseng jalanan tetapi.......

Email : Zamri keciks
By : Roslan Sms


Pada 21 Jun lalu saya ada memuatkan dalam blog saya (http://n32.blogspot.com/) ulasan berkenaan temuramah Ketua Putera Umno Azeez Abdul Rahim dalam Agendadaily (http://www.agendadaily.com/). Dalam ulasan saya itu saya mengenengahkan maklumat yang diterima dari sumber yang boleh dipercayai berkenaan jawapan dan ulasan Azeez dalam temuramah itu.

Menurut sumber tadi kebanyakan maklumat yang diberikan Azeez dalam temuramah itu samada telah diselewengkan atau palsu ataupun pembohongan.

Saya terbitkan kembali ulasan saya itu:

Menurut seorang sumber yang menghubungi kami sebahagian besar dari jawapan Azeez terhadap wawancara ini adalah bohong dan palsu belaka. Menurut sumber tadi sesiapa yang tidak mempercayainya bolehlah melakukan siasatan sendiri samada melalui pendaftar syarikat ataupun mana-mana pihak yang berkaitan.

Satu lagi pembohongan yang lebih serius (dalam wawancara itu) adalah:Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri.

Menurut sumber syarikat tersebut bukannya milik Almarhum Sultan Selangor, tidak masuk akal Almarhum Tuanku memiliki sebuah syarikat sedemikian rupa. Barangkali pemilik lesennya adalah kerabat di raja Selangor tetapi BUKAN Almarhum Sultan, mengapa Azeez menjual nama Almarhum dalam hal ini? Dan Azeez tidak pula memberitahu yang syarikat itu kemudiannya telah beliau jual dan kini pemiliknya bukan lagi beliau!

Dan lebih serius lagi Azeez mendakwa:sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di AmerikaMenurut sumber Azeez tidak pernah memasuki mana-mana universiti di Amerika apalagi berjaya mendapatkan ijazah sarjana di sana.

Pihak Agendadaily telah membuat temuramah susulan dengan Azeez barangkali ekoran perkembangan ini (atau barangkali agendadaily pun menerima maklumat yang sama). Jelas kenyataan Azeez kali ini semakin mengeruhkan keadaan malah hampir mengesahkan maklumat yang diperolehi dari sumber itu dan banyak lagi yang masuk setelah berita Azeez ini dibawa kepengetahuan umum.

Azeez tidak menafikan yang beliau banyak terlibat dengan kes-kes di mahkamah yang ada diantaranya masih belum diputuskan apabila beliau berkata dalam temuramah kali ini:

Dalam bab ada orang dakwa saya ada kes mahkamah …memang betul.
Siapa saja yang berminat nak tahu sangat betul tak betul boleh pergi check kat mahkamah..memang dulu waktu zaman saya mula berniaga.. memang ada unsur-unsur dalam perniagaan… kata saya nak tembak orang dan sebagainya.

Selain itu dalam penjelasan beliau kepada Agendadaily Azeez tidak menyentuh langsung berkenaan syarikat Wilayah Arms yang didakwanya dibeli dari Almarhum Sultan Selangor (dalam temuramah pertama). Berdasarkan rekod Almarhum Tuanku memang TIDAK PERNAH memiliki mana-mana lessen mengedar ataupun menjual senjatapi!

Manakala berkenaan ijazah Masters yang didakwanya diperolehi beliau di Amerika Syarikat (yang dinafikan oleh kenalan-kenalan rapat beliau) Azeez berkata dalam temuramah baru ini:

Pasal ada orang bawa mulut kata saya tak ada kelulusan universiti luar negara kata saya temberang dan sebagainya.

Itu terpulanglah..kalau saya tak ada mana mungkin saya berani nak bubuh kelulusan itu dalam biodata saya.

Universiti saya belajar bukan universiti yang kolot..itu antara universiti tertua di Amerika iaitu Preston University di Wyoming,Amerika Syarikat.

Tak kan saya masuk universiti balik kosong, mustahi, lainlah kalau universiti negara-negara kita tak percaya kesahihhannya, ini semua ada rekod.

Tak mungkin saya nak bohong, apa tujuan saya nak bohong.

Akan tetapi penjelasan ini sahaja sudah merupakan satu pembohongan baru!

Jeff Ooi pemilik blog SCREENSHOTS (http://www.jeffooi.com/) telah membuat kajian berkenaan Preston University ini sebagaimana yang didakwa Azeez dan Jeff mendapati:

Preston University of Wyoming - which was established in 1994, and held its first graduation ceremony in 1997 - is ONE OF THE OLDEST UNIVERSITIES IN THE US?

Bagaimana Universiti yang ditubuhkan pada tahun 1994 (baru 11 tahun) itu boleh dikatakan oleh Azeez sebagai ANTARA UNIVERSITI TERTUA DI AMERIKA SYARIKAT!

Apa pun penjelasan Azeez ini makin menimbulkan pelbagai lagi kecelaruan dan kesangsian terhadap kewibawaan dan status beliau sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya memimpin golongan muda, genarasi pelapis dalam Umno. Kemungkinan Azeez bukan lah samseng jalanan (sebagaimana tajuk temuramah susulan beliau dalam agendadaily), kerana hanya seorang samseng profesional sahaja sebenarnya yang mampu melakukan semua yang diatas! Selamatkanlah anak-anak anda dari terjebak di dalam Putera Umno ini.

LANCAR 1MALAYSIA: NAJIB HINA RAKYAT PERAK

Email : safarizal saleh

Kenyataan Media (8 Oktober 2009)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) tidak terkejut dengan pemilihan Perak sebagai tempat pelancaran sambutan 1Malaysia peringkat kebangsaan oleh Kerajaan Persekutuan yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai sesuatu perkara yang pelik dan menunjukkan bahawa UMNO / Barisan Nasional (BN) telah tertekan dengan suasana yang telah berlaku di Perak ini sehingga terdesak untuk mengajurkan apa jua program besar di Perak bagi mendapat simpati dan ehsan rakyat.

DPPN Pk melihat usaha Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap rampasan kuasa awal Februari yang lalu sebagai satu penghinaan kepada seluruh rakyat Perak kerana pelancaran sambutan 1Malaysia peringkat kebangsaan pada 18 Oktober ini sebagai satu penipuan terhadap slogan rakyat diutamakan.

DPPN Pk merasakan slogan Datuk Seri Mohd Najib benar-benar mengguris hati rakyat Perak kerana UMNO / BN tatkala ketika beliau menjadi Timbalan Presiden UMNO tidak memberikan keutamaan kepada rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 12 tahun lepas serta menafikan demokrasi yang menyebabkan seluruh rakyat sudah pasti akan menolak UMNO / BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

DPPN Pk menjangkakan dengan pelancaran 1Malaysia oleh Datuk Seri Mohd Najib dengan memilih Perak adalah merupakan satu kesilapan kerana ingatan rakyat Perak masih segar dengan rampasan kuasa yang paling tidak bermaruah UMNO / BN, dan semestinya rakyat Perak akan bangkit untuk menegakkan demokrasi dan juga pencabulan hak mereka di dalam menentukan siapakah sebenar yang telah di beri kuasa memerintah Kerajaan Negeri Perak ini.


DR. RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

PAS tuntut hentikan undi pos serta merta

TELUK KEMANG, 9 Okt: PAS menuntut Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) menghentikan serta merta proses pembuangan undi pos kerana badan pelaksana pilihan raya itu tidak menggunakan daftar pemilih rasmi yang sah dan dikeluarkan pada hari penamaan calon.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub pagi tadi menegaskan tindakan SPR itu bertentangan dengan Peraturan 14A Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981

Statut tersebut berbunyi: "Daftar Pemilih yang dikemukakan kepada calon pada hari penamaan calon HENDAKLAH merupakan naskah sahih daftar pemilih yang akan digunakan oleh pegawai pengurus dan ketua tempat mengundi sesuatu tempat mengundi pada hari mengundi..."

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian meragui proses penyerahan Sampul Keutamaan yang dipercayai bertentangan dengan peraturan 14A, yang lain; kerana tiada pengarahan bertulis kepada pengundi-pengundi yang gagal dikenal pasti.

Ujarnya lagi, terdapat beberapa kes di mana isteri kepada pegawai tentera yang sebenarnya tidak mempunyai kad pengenalan tentera pun; didapati terdapat dalam senarai daftar pemilih undi pos.

Dalam kes yang berkaitan, Salahuddin juga menjelaskan bahawa terdapat beberapa pegawai tentera yang dikenali sebagai penyokong tradisi Pakatan Rakyat; turut digugurkan dalam senarai daftar pemilih tidak rasmi yang digunakan SPR di dalam Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDAR) semalam.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, proses pembuangan undi awam boleh dilaksanakan seperti biasa pada 11 Oktober depan.

Tegasnya lagi, jika SPR tidak membatalkan proses pengundian Pos serta merta, akan mengganggu keabsahan keputusan pilihanraya N31 itu kelak.

Ditanya tentang tindakan PAS serta Pakatan Rakyat seterusnya, Salehuddin menjelaskan bahawa suatu pasukan perundangan sedang membuat perhitungan akhir.

Pakatan dan PAS juga dijadualkan bertemu SPR dalam masa terdekat; sama ada di sini atau di Putrajaya.

Semalam, PAS mencadangkan SPR membuat injunksi, sehingga kedua-dua daftar pemilih N31 benar-benar puteh.

Pendedahan terbesar tersebut, menjadikan SPR tidak mempunyai alasan untuk menolak segala cadangan PAS sebelum ini. Harakahdaily/-

DUN Bagan Pinang: PAS gesa SPR hentikan pengundian pos

PORT DICKSON: Setelah usaha untuk menangguhkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang gagal, PAS hari ini menggesa supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan proses pengundian pos bagi mengelakkan keseluruhan pilihan tersebut terbatal.

PAS mendakwa SPR telah melanggari Peraturan 14A Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) Peraturan 1981, apabila menggunakan daftar pemilih yang berbeza di antara daftar pemilih yang diberikan kepada calon pada hari penamaan dan daftar pemilih yang digunakan di hari pembuangan undi pos.

"Semasa pengundian pos semalam, kita dapati SPR tidak menggunakan daftar pemilih yang sama semasa proses penamaan calon.

"Tindakan tersebut bertentangan dengan Peraturan 14A Pilihanraya dan kegagalan untuk mengikuti peraturan ini akan menyebabkan pilihan raya kecil N31 Bagan Pinang terbatal," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun Salahuddin berkata proses pengundian awam pada Ahad ini boleh diteruskan seperti yang dijadualkan.

"SPR sebagai pelaksana pilihan raya wajib menghentikan semua proses yang terdapat dalam pengundian pos dengan segera dan meneruskan pengundian awam pada 11 haribulan ini seperti yang telah dijadualkan.

"Jika proses undian pos ini tidak dihentikan, maka keseluruhan pilihan raya kecil Bagan Pinang boleh terbatal dan menyebabkan pembaziran wang rakyat," katanya.

Proses pengundian pos melibatkan anggota keselamatan iaitu tentera dan polis telah bermula semalam.

Anggota tentera mengundi di Dewan Jeneral Tan Sri Sani, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Kem Si Rusa manakala anggota polis mengundi di Ibu Pejabat Polis Port Dickson.

Sehingga semalam seramai 1,275 daripada kira-kira 2,000 pengundi tentera yang tinggal di dalam kem telah keluar mengundi manakala pengundi pos di kalangan anggota polis, seramai 27 daripada 31 pengundi berdaftar sudah mengundi pada hari pertama.

Terdapat sejumlah 4,604 pengundi pos di kawasan DUN Bagan Pinang. Daripada jumlah itu 4,571 terdiri daripada anggota tentera, 31 anggota polis manakala dua pengundi pos dikategorikan sebagai pemilik tak hadir kerana bertugas di luar negara.

Mereka merupakan sebahagian daripada 13,664 pengundi dalam DUN Bagan Pinang, yang turut membabitkan 9,060 pengundi biasa. Mstar/-

Graf sokongan terhadap Najib terus merudum

KUALA LUMPUR, 8 Okt: Lagi tiga hari menjelang pilihan raya Bagan Pinang yang amat penting untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, graf sokongan kepada beliau turun menjunang.

Menurut poll terbaru yang dibuat oleh Merdeka Centre yang diedarkan hari ini, tahap sokongan kepada Najib turun 9 peratus dalam masa empat bulan berbanding dengan bulan Jun lalu.

Jun lalu, tahap sokongan kepada Najib adalah 65 peratus manakala poll terbaru mendapati tahap sokongan kepada beliau turun kepada 56 peratus sahaja, lapor laman web The Malaysian Insider.

Poll yang dibuat sempena enam bulan Najib menjadi Perdana Menteri itu mendapati rakyat tidak berpuashati dengan pencapaian Najib tentang korupsi dan kejadian jenayah yang terus meningkat.

Namun mereka berpuashati dengan usaha Najib untuk memperbaiki sistem pendidikan, pengurusan ekonomi dan kecekapan kerajaan.

Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati, jumlah orang yang tidak berpuashati dengan Najib juga meningkat dari 22 peratus Jun lalu kepada 23 peratus sekarang ini.

ImagePoll ini dibuat melalui perbualan telefon yang dibuat kepada 1027 respondan yang dipilih secara rawak. Ia dijalankan pada 4-14 September lalu.

60 peratus respondan adalah Melayu, 30 peratus Cina dan sembilan peratus India.

Dalam pada itu, untuk pilihan raya ini, Najib berkata, BN tidak kesah dengan berapa jumlah majoriti yang bakal dicapai oleh calonnya di Bagan Pinang.

Yang penting adalah kemenangan, kata beliau kepada para wartawan.

Berbanding dengan pilihan raya sebelum ini, Presiden Umno menyerahkan sepenuhnya operasi pilihan raya kepada timbalannya.

Namun, untuk pilihan raya Bagan Pinang, Najib didapati terlibat secara aktif termasuk hadir ke kawasan pilihan raya di hari calon BN diumumkan.

Beliau juga membuat ulasan dari masa ke semasa tentang pilihan raya kecil ini.

Menurut sumber, pemilihan Tan Sri Mohamad Isa juga dibuat oleh beliau secara pribadi kerana beberapa kenyataan yang dibuat timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin sebelum ini membayangkan beliau tidak bersetuju dengan Isa.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga tidak bersetuju dengan pemilihan Isa.

HarakahDaily.Net/-

Pemuda diminta tingkat keselamatan, elak provokasi

TELOK KEMANG, 8 Okt: Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi meminta ahli-ahli Pemuda meningkat keselamatan di markas dan unit peti undi parti di kawasan Bagan Pinang, sebagai respons kepada peningkatan tindakan ganas di sini.

Nasrudin berkata demikian dalam ucapannya di perhimpunan Pemuda di Markas Induk PAS di Telok Kemang sebentar tadi.

Perhimpunan dihadiri sekitar 300 ahli Pemuda dari seluruh negara itu dikerah Dewan Pemuda siang tadi untuk meningkatkan keselamatan di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.

"Tujuan Pemuda dikerahkan hadir ialah untuk meningkatkan keselamatan agar mengelakkan berlaku provokasi dan kekacauan di sini," kata Nasrudin ketika ditemui Harakahdaily.

Beliau menggesa semua Pemuda agar tidak bertindak balas terhadap provokasi dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini.

Ketua Pemuda PAS juga berpesan kepada Pemuda supaya "jangan bertindak tanpa sebarang arahan," tegasnya.

Majlis bermula sekitar pukul 8.30 di sini dihadiri Nasrudin, Timbalan Ketua Pemuda Ustaz Azman Syafawi Abdul Rani, exco Pemuda Kamaruzzaman Mohamad dan Ustaz Riduan Mohd Noor dan pemimpin pemuda seluruh negara.

HarakahDaily.Net/-

Pilihan raya kecil paling kotor, Umno amat tertekan!

TELOK KEMANG, 9 Okt : Jika SPR masih tidak endah dan Umno masih 'bermaharajalela' memanipulasi dan mengganasi, PAS tidak menolak kemungkinan rakyat akan bangkit menyatakan bantahan besar-besaran sekali lagi seperti ditunjukkan dalam Himpunan Bersih 100,000 dua tahun lalu.

Ini bagi memberi pengajaran perit kepada kerajaan Barisan Nasional agar menghormati hak rakyat dan tidak menzalimi mereka seperti insiden belasah dan pukul di Bagan Pinang sekaligus menghukum parti itu dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Demikian kata AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar ketika ditemui Harakahdaily di Markas Operasi Utama PAS bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang dekat sini semalam.

Kata Kamaruddin pelbagai pelanggaran akta pilihan raya dan tindakan ganas samseng Umno ke atas petugas dan penyokong Pakatan Rakyat hanya menjadikan pilihan raya kecil kali ini antara terkotor dalam sejarah selepas pilihan raya 2008.

Sambil menyatakan rasa terkejut dengan insiden pukul petugas PAS oleh penyokong Umno yang cukup kerap berlaku sejak 7 Oktober, Kamarudin menyatakan hal ini berkaku walaupun dengan kehadiran polis yang ramai.

"Tindakan ini menunjukkan Umno sangat tertekan dan berusaha dengan apa cara sekalipun termasuk mengganas demi untuk memastikan calon terpalit rasuah mereka menang

"Asakan-asakan ini menunjukkan mereka sudah mendapat 'feedback' bahawa rakyat sudah menolak mereka dan imej Umno makin jatuh," katanya.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan pihak berkuasa yang gagal menangani masalah provokasi dan pergaduhan yang berlaku, menampakkan kelemahan pihak polis sekaligus memburuk imej institusi itu yang dilihat dipergunakan oleh Umno.

Jika sebelum ini pihak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sering memberi jaminan bahawa keselamatan petugas, orang awam dan petugas lain diberi keutamaan semasa kempen pilihan raya kecil mahupun umum, tetapi kali ini suara KPN tidak kedengaran, katanya.

"Kali ini polis gagal dan Umno perlihatkan kegelisahan dan ketakutan mereka itu berdepan dengan Pakatan Rakyat dan melakukan tindakan yang sangat tidak demokratik.

"Peristiwa ini sebagai satu pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa usaha Pakatan Rakyat mewujudkan suasana demokrasi masih dihalang Umno.

"Dan parti yang menyalahguna kuasa ini mesti ditolak oleh rakyat khususnya di Bagan Pinang,"katanya.

HarakahDaily.Net/-

Polis buat tak tahu ketika samseng Umno mengganas...

TELOK KEMANG, 9 Okt : Dalam keadaan mabuk, kumpulan pemuda samseng Umno ini melakukan sekatan jalan raya di Batu 4 dekat sini dan menahan beberapa buah kereta yang dilihat mempunyai lambang-lambang atau logo PAS sekaligus membelasah pemandu-pemandu terbabit sehingga cedera.

Lebih teruk, sebilangan mereka menceroboh masuk ke beberapa buah rumah kampung khususnya di Bagan Pinang dan melakukan tindakan yang sama ke atas penghuni rumah yang dipercayai penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Ada kawasan tertentu yang tercetusnya kes yang sama, seorang tua diselamatkan oleh sekumpulan anggota tentera daripada terus menjadi sasaran samseng tidak berhati perut ini.

Dan lebih dasyat, kejadian sekumpulan samseng Umno membelasah dan menetak dengan parang seorang petugas PAS berlaku betul-betul di depan 'biji mata' dan 'batang hidung' Balai Polis Telok Kemang namun tidak diendahkan pasukan polis.

Demikian rentetan peristiwa yang menyaksikan seolah-olah wujud kerjasama dan modus operandi ini dibantu oleh pihak polis, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin.

Beliau menyifatkan kelakuan samseng pemuda Umno pada 7 Oktober lalu memukul dan menyerang petugas Pakatan Rakyat hanya menjadikan Bagan Pinang kini bagai 'zon perang'.

"Saya hairan bagaimana ada kejadian yang berlaku di hadapan Balai Polis Telok Kemang tidak diendahkan pihak berkuasa polis.

"Ketika 'ketegangan' memuncak sekitar jam 3.00 pagi hingga 5,00 pagi, saya sendiri beberapa panggilan dibuat kepada pihak polis, namun setiap panggilan tidak berjawab," katanya kepada Harakahdaily di Markas Utama PAS Bagan Pinang.

Badrul juga turut menahan sebuah kereta peronda polis untuk meminta bantuan seorang anggota berpangkat kostabel namun polis terbabit memohon maaf kerana tidak dapat berbuat apa-apa dan meninggalkan beliau begitu sahaja.

Ada anggota polis yang menjawab panggilan kecemasan yang dibuat beliau tetapi memberitahu bahawa mereka merupkan anggota dan pasukan polis luar yang tidak tahu selok belok jalan dan kawasan untuk menangani kes terbabit, kata Badrul.

Beliau mendakwa, ada kemungkinan tindakan ini 'sengaja' dirancang hanya untuk memberi tekanan kepada petugas Pakatan Rakyat.

"Mereka yang diganggu termasuk petugas Pakatan Rakyat yang berusia.

"Saya tahu pemuda Umno ini mabuk dan mereka ini keluar dari Umno Command Centre, mereka buat 'road block' sendiri di Batu 4, mereka tahan siapa sahaja yang lalu yang pakai logo PAS," ujarnya.

Beliau turut mendakwa, salah seorang anak pemimpin tinggi Umno di Negeri Sembilan terbabit dengan keganasan ini.

Beliau menamakan anak pimpinan Umno yang terbabit itu sebagai 'Bob' yang dibayangkan seorang yang bertubuh besar dan berkulit cerah.

Tindakan samseng jentera Umno itu sebenarnya hanya menjadikan suasana pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang yang pada awalnya tentera, kini seperti 'zon perang'.

Justeru beliau menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas kepada mereka yang membuat 'onar' iaitu Pemuda Umno.

"Jangan sampai mengasak atau meberi tekanan kepada Pemuda Pakatan Rakyat sampai ke dinding. Kesabaran kami ada hadnya," jelasnya tegas dan tidak menolak kemungkinan insiden ini akan berlaku dalam dua tiga hari lagi.

Sehingga kini, difahamkan terdapat 9 laporan polis telah dibuat berhubung tindakan ganas samseng Umno ini dan gambar-gambar mangsa belasah parang dan pedang samurai itu telah tersebar di papan-papan poster markas, internet, rakaman telefon dan diedarkan sebagai risalah.

Malah ada sms yang meminta Pemuda Pakatan Rakyat dan PAS untuk tingkatkan keselamatan dan siap siaga bagi mendepani sebarang kemungkinan yang tidak diingini beberapa hari menjelang hari pengundian Ahad ini.

HarakahDaily.Net/-

Undi calon bukan parti, pilih yang amanah - Dr Asri

TELOK KEMANG, 9 Okt:"Lihat kualiti calon, bukan lihat jenama parti. Pilih calon yang baik pada nilaian agama dan berkemampuan pada nilaian politik.Jika sekadar berkemampuan sahaja, tapi tidak amanah, maka penyelewengan akan berlaku."

Demikian pandangan sisi agama oleh bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin kepada Harakahdaily pagi ini bagi memilih ciri-ciri pemimpin yang wajar dipilih oleh para pengundi Bagan Pinang yang akan membuang undi Ahad ini (11 Oktober)

Beliau yang masih tetap dengan pendirian bahawa para pengundi mestilah memilih calon dan bukannya parti yang bertanding sekaligus merujuk istilah siyasah syar�iyyah yang disebut al-Quwwah dan al-Amanah iaitu yang ada kekuatan atau kemampuan atau ketangkasan melaksanakan tugas serta amanah terhadap tugasan tersebut.

Dua ciri yang disebut dalam al-Quran ini katanya bermaksud: �Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah� (Surah al-Qasas:26).

Gabungan dua ciri ini kata Asri penting dalam apa tugasan yang dihendak diserahkan kepada seseorang.

"Jika sekadar berkemampuan sahaja, tapi tidak amanah, maka penyelewengan akan berlaku.

"Jika sekadar amanah sahaja tetapi tidak berkemampuan atau tangkas dalam tugasnya, maka tanggungjawab akan terbengkalai," katanya tegas.

Bagi Pengundi Bagan Pinang katanya hendaklah dengan teliti menilai perkara ini dan kesimpulannya ialah memilih yang berkemampuan dan amanah kerana ianya memenuhi tuntutan Islam.

Beliau di samping itu turut menasihati penyokong kedua-dua parti yang bertanding agar sentiasa memikirkan kesan tindakan mereka pada nilaian agama, tanpa dipengaruhi emosi atau semangat yang tidak terkawal.

"Jika kita sesama muslim bergaduh dan �berperang� antara satu sama lain, apa yang akan terjadi kepada masa depan umat Islam dalam negara ini?"

Bekas pensyarah itu juga tidak mahu menyeru kepada parti kerana parti hanya nama yang dicipta yang perjalanannya ditentukan oleh insan-insan yang mendokongnya justeru menyeru kepada individu-individu yang menyokong atau mendokong kedua-dua parti bahawa tanggungjawab yang lebih utama dalam hidup adalah tanggungjawab terhadap Islam

"Maka mereka dalam apapun tindakan hendaklah memastikan masa depan Islam tidak tercalar dengan apa yang mereka lakukan.

"Mereka hendaklah selalu ingat amaran Nabi s.a.w: "Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah)...(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)," katanya merujuk insiden pergaduhan dan provokasi yang berlaku di Bagan Pinang baru-baru ini.

HarakahDaily.Net/-

Gempa Bumi Lemah Di Bukit Tinggi

TERKINI : Sebanyak lapan gegaran lemah dikesan dan dilaporkan dirasai berlaku oleh penduduk tempatan di sekitar daerah Bukit Tinggi, Pahang, dari 4.45 pagi hingga 12.05tengah hari Khamis.

Bagaimanapun, sehingga 12 tengah malam tadi, tiada lagi gegaran dikesan di daerah itu, demikian menurut kenyataan Jabatan Metereologi Malaysia di sini , Jumaat.

Jabatan itu berkata ia akan sentiasa memantau perkembangan gempa bumi di rantau negara ini dan akan memaklumkan keadaan terkini.

WAWANCARA BERSAMA TERAJU PUTERA UMNO BANYAK YANG BOLEH DIPERTIKAIKAN

Email : Zamri Keciks
By : Roslan Sms


Dalam laman web Agendadaily dihttp://www.agendadaily.com/ dimuatkan wawancara eksklusif bersama Ketua Putera Umno yang baru ditubuhkan iaitu Abdul Azeez Abdul Rahim. Putera Umno, iaitu Biro dari Pergerakan Pemuda Umno ini diberikan tugas menawan anak-anak muda sekitar 18 hingga 25 tahun dan mereka ini mahu dilatih dan diberikan pendedahan agar menjadi instrument kearah mencapai cita-cita Malaysia maju pada tahun 2020.

Menurut seorang sumber yang menghubungi kami sebahagian besar dari jawapan Azeez terhadap wawancara ini adalah bohong dan palsu belaka. Menurut sumber tadi sesiapa yang tidak mempercayainya bolehlah melakukan siasatan sendiri samada melalui pendaftar syarikat ataupun mana-mana pihak yang berkaitan.

Beliau memberi contoh Azeez ada berkata:

Itulah mulanya saya berjaya sehinggalah saya dapat jual kereta pada mat salleh dan saya ada 7 showroom . Saya ada di tapak Gaint Kelana Jaya sekarang, jalan Kelang Lama dan dalam Subang Parade, itu ada jual kereta mewah.

Di dalam Subang Parade tidak ada showroom kereta. Kalau ada pun berkala pada musim-musim tertentu, tidak ada showroom yang kekal. Takkanlah Azeez nak mendakwa showroom seumpama itu sebagai sebahagian dari kononnya 7 showroomnya itu.

Satu lagi pembohongan yang lebih serius (dalam wawancara itu) adalah:

Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri

Menurut sumber syarikat tersebut bukannya milik Almarhum Sultan Selangor, tidak masuk akal Almarhum Tuanku memiliki sebuah syarikat sedemikian rupa. Barangkali pemilik lesennya adalah kerabat di raja Selangor tetapi BUKAN Almarhum Sultan, mengapa Azeez menjual nama Almarhum dalam hal ini? Dan Azeez tidak pula memberitahu yang syarikat itu kemudiannya telah beliau jual dan kini pemiliknya bukan lagi beliau!

Dan lebih serius lagi Azeez mendakwa:

Sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di Amerika

Menurut sumber Azeez tidak pernah memasuki mana-mana universiti di Amerika apalagi berjaya mendapatkan ijazah sarjana di sana.

Dalam wawancara ini Azeez turut berkata:

Sesuatu yang salah tetap saya kata salah, haram tetap haram halal tetap halal prinsip saya jelas, saya tidak mahu kerana kawan saya nak pusing cakap, itu saya tak mahu! Bagi saya apa mak cakap adalah benar belaka.

Dan dalam hal ini berdasarkan kenyataan sumber sebagaimana yang telah dinyatakan, tidaklah salah kalau kita mula meragui kenyataan Azeez di atas. Kalau yang salah itu benar-benar salah, maka banyak yang perlu diperbetulkan oleh Azeez dan sedih melihatkan Umno akan menyerahkan nasib anak-anak muda kepada seorang yang kredibilitinya sangat-sangat dipertikaikan.

Kesimpulannya renunglah apa lagi kata Azeez dalam wawancara itu:

Pak Lah ke sana sini menyebut Islam Hadhari, yang faham siapa, ketua bahagian pun ada yang tak faham, apatah lagi akar umbi, jadi peluang yang berikan pada saya ini akan dipergunakan dengan sebaik-baiknya, saya akan pergi ke akar umbi untuk menterjemahkan apa itu mari bekerja bersama saya bukan untuk saya.

Khutbah Jumaat 9 Okt 2009 Cabaran Bencana Alam Dan Sikap Muslim Dalam Menghadapinya

Email : Saadiah Awek

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
9 Oktober 2009 / 20 Syawal 1430

Maasyiral Muslimin Rahimakumullah, Marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang bertakwa dan sentiasa mengerjakan
kebaikan dan amal soleh. Semoga dengannya, kita mendapat kemuliaan dan kejayaan hakiki, Amin.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati,
Islam menyeru kita agar membuka segala pancaindera; penglihatan, pendengaran dan yang lain, agar kita sentiasa melihat sekeliling dan memahami alam dan dunia kehidupan kita. Keagungan dan kebesaran alam ciptaan Allah s.w.t. pasti tampak jelas bagi mereka yang merenunginya. Di sebalik kehebatan dan keagungan ciptaan Tuhan, tampak kecil dan kerdilnya kita sebagai manusia. Firman Allah s.w.t di dalam surah Yunus ayat ke 101,

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w), perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi (yang membuktikan kekuasaan Allah), dan tidaklah ia dapat memberi faedah kepada orang-orang yang tidak beriman.

Saudaraku sekalian,
Wujudnya kita tidak dapat dipisahkan dari alam sekeliling. Bahkan, keadaan kehidupan kita sangat terkait dengan setiap perubahan yang berlaku padanya. Bayangkan betapa kita perlu menyesuaikan diri apabila cuaca menjadi semakin panas, atau hujan turun menyebabkan banjir. Lihat bagaimana kehidupan sesuatu masyarakat berubah dengan dasarnya apabila paras air laut mula meningkat, seperti yang menjadi keprihatinan di kepulauan Maldives. Kerana itu, di antara tanggungjawab kita sebagai Muslim adalah untuk menjaga alam sekitar dengan sebaik-baiknya.

Contohnya, kita dilarang membazir sumber-sumber alam semulajadi, seperti air, tenaga dan sebagainya. Nabi s.a.w pernah bersabda kepada Saad bin Abi Waqqas ketika beliau berwudhu' yang bermaksud, "Pembaziran apakah ini wahai Saad? Lalu beliau bertanya, "Adakah dalam hal berwudhu pun ada pembaziran? Sabda Nabi s.a.w, "Ya, walaupun kamu berwudhu di tebing sungai yang mengalir airnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Saudaraku sekalian,
Jika kita memerhatikan dengan insaf, kita akan merasakan bahawa perubahan pada alam sekitar lebih kerap berlaku dewasa ini. Bahkan, perubahan ini berlaku dengan kesan yang besar pada kehidupan manusia. Contohnya, sekarang ini, berlaku lebih banyak gempa bumi, tsunami, banjir, tanah runtuh, wabak penyakit dan lain lagi. Manusia hilang harta benda, bahkan tidak kurang yang terkorban dalam peristiwa-peristiwa sedemikian.

Menurut satu kajian yang dibuat oleh World Bank Study, bencana alam telah meningkat kepada 30% semenjak tahun 1990. Peningkatan ini datang dari bencana yang berkaitan dengan perubahan cuaca. Kita melihat dan merasakan sendiri bagaimana berlaku gempa bumi.

Bagi orang-orang yang beriman, ia pasti menginsafkan kita. Keimanan kita mengajar kita bahawa setiap musibah yang berlaku yang bukan dari perbuatan manusia sendiri sebenarnya adalah dengan ketentuan Allah s.w.t. Pergerakan plat tektonik yang menyebabkan gempa, pergerakan awan tebal yang menurunkan hujan yang lebat, perbezaan tekanan (pressure) di udara yang menyebabkan tiupan ribut taufan, adalah berlaku dengan kehendak dan izin Allah s.w.t. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 22:

Maksudnya: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan dibumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab kami (pengetahuan kami) sebelum kami jadikannya, sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah".
Begitu juga firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-An'aam ayat ke 17,

Maksudnya: Dan jika Allah menimpakan kamu dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia, dan jika Dia melimpahkan kebaikan, maka Dia-lah Maha Kuasa atas tiap sesuatu.

Saudaraku sekalian,
Namun, mungkin kita bertanya, mengapa ia berlaku di suatu tempat, menimpa satu masyarakat dan negara, dan bukan orang yang lain? Pastinya, apa yang berlaku adalah ujian untuk menilai tahap keimanan dan kesabaran seseorang hamba-Nya. Peristiwa sedemikian juga mengajak kita bermuhasabah diri untuk melakukan perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah. Mereka yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t., maka ianya sebagai peringatan serta peluang untuk kembali bertaubat dan mengukuhkan keimanan. Firman Allah s.w.t, dalam surah al-Baqarah ayat 214:

Maksudnya: "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu ujian dan cubaan seperti yang telah berlaku kepada orang-orang terdahulu daripada kamu?. Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya) sehinggalah berkata rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya; "Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat".

Saudaraku sekalian,
Musibah sedemikian juga menguji tahap persaudaraan kita. Adakah kita menyayangi mereka yang terjejas seperti mana kita menyayangi diri kita sendiri? Adakah kita membantu mereka sedaya upaya kita dan mendoakan mereka? Di sini peranan usaha-usaha kemanusiaan sangat penting. Sebagai umat Islam, kita perlu sama-sama menyokong dan mendokong segala usaha tersebut, demi semangat hubungan kemanusiaan yang baik seperti yang diajarkan Islam.

Begitu juga, musibah sedemikian mengingatkan kita bahawa kehidupan kita ini, terutama hari ini, penuh dengan ketidak-tentuan. Apa sahaja boleh berlaku. Makanya, janganlah kita menangguhkan kebaikan yang ingin kita lakukan. Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Jika berlaku hari kiamat dan di tangan kamu ada sebutir benih, maka taburkanlah benih itu." (Hadis riwayat Imam Ahmad) Begitu juga, dosa, kesilapan, dan semua perbuatan yang tidak baik, dan masing-masing kita mengetahuinya, yang ingin kita tinggalkan, maka janganlah kita berlengah-lengah untuk meninggalkannya.

Lahirkan rasa kasih sayang dan berbaik-baik dengan orang yang kita sayangi, ahli keluarga, teman dan sebagainya. Ramai kita yang menyesal tidak sempat berterima kasih, tidak sempat meminta maaf, tidak sempat mengatakan kasih dan sayang kepada mereka. Kita juga perlu terus berdoa kepada Allah agar kita sentiasa dipeliharanya dari musibah dan bala'.

Sidang Jumaat sekalian,
Namun, ada bencana yang berpunca dari perbuatan manusia sendiri. Contohnya, proses industrialisasi menyebabkan pembakaran karbon lantas menyebabkan kesan "greenhouse" dan menaikkan suhu darjah dunia. Membakar hutan juga boleh menyebabkan kerosakan pada alam ini. Sikap penggunaan sumber-sumber alam dengan boros dan berlebihan juga akan menyumbang ke arah alam yang semakin sakit dan melarat. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Rum ayat ke 41 yang bermaksud, "Telah timbul kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia."

Oleh itu, sesuai dengan ajaran Islam, kita masih lagi mempunyai tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik. Itulah amanah yang kita perlu pikul bersama. Bukan sahaja terhadap diri kita dan keluarga, bahkan kepada alam sekitar yang mana kita menikmati keindahan dan segala kemudahannya.

Semoga kita menjadi manusia yang bersyukur kepada Allah di atas
nikmat-nikmat ini, lantas menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya, sesuai
dengan visi menjadi umat pembawa rahmat buat seluruh alam, Amin.

Arab Saudi Bersedia Menyambut Tetamu Allah

Email : mohd naim mohd zain


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Sesungguhnya segala pujian


Dan nikmat


Dan pemerintahan adalah kepunyaanmu


Tidak ada sekutu bagimu

FEZ, Maghribi - Arab Saudi sudah bersiap sedia untuk menyambut ketibaan kira-kira tiga juta jemaah haji ke kota suci pada Disember ini, sekalipun langkah berjaga-jaga terhadap wabak selesema babi dipertingkatkan.

Pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Ziad Ahmed Memish hari ini berkata, meskipun langkah berjaga-jaga terhadap virus influenza A (H1N1) pada tahap enam, 'Arab Saudi mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan besar di Mekah dan Madinah'.

Beliau berkata demikian di luar jadual utama mesyuarat jawatankuasa serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Mediterranean Timur yang berlangsung di sini sehingga Khamis ini.

Langkah untuk menangani ancaman selesema babi semasa ibadat haji adalah antara topik utama pada persidangan yang dihadiri oleh 22 menteri kesihatan dan ketua WHO, Margaret Chan.

"Kami buat masa ini mempunyai lebih empat juta dos vaksin dan hospital-hospital kami dilengkapi peralatan yang secukupnya untuk menangani selesema babi," kata Ziad.

Beliau berkata, Arab Saudi telah melepasi ujian selesema babi semasa jemaah melakukan umrah pada bulan Ramadan yang lalu.

"Kami hanya menemui 26 kes jangkitan di kalangan dua juta jemaah," katanya.

Kira-kira dua juta jemaah asing dan kemungkinan seramai itu jemaah Saudi dijangka membanjiri Mekah dan Madinah semasa haji, yang berlangsung di tengah-tengah musim selesema di hemisfera utara.

Pihak berkuasa Saudi menggesa jemaah haji mendapatkan suntikan selesema biasa dan jika vaksin selesema babi sempat disediakan, mendapatkan suntikan berkenaan juga.

Pegawai kesihatan di dunia Arab pada mesyuarat di Kaherah pada Julai lalu menasihatkan mereka yang berusia 65 tahun ke atas, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun serta pesakit kronik supaya tidak mengerjakan haji pada tahun ini.

Arab Saudi sehingga kini melaporkan 9,000 kes selesema babi dan 35 kematian akibat penyakit itu, antara paras jangkitan tertinggi di dunia Arab. - AFP

Buah kering dicemari logam beracun

Kerajaan hari ini mengharamkan 16 jenama produk buah kering yang diimport dari China, Taiwan dan beberapa negara Asia kerana mengandungi logam plumbum melebihi paras yang dibenarkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata produk buah kering antaranya plum kering dan prun kering itu mengandungi paras plumbum yang agak tinggi iaitu antara 0.11 dan 30.3 bahagian sejuta (ppm) atau miligram (mg)/kilogram (kg).

Beliau berkata paras plumbum yang ditetapkan di negara ini ialah dua bahagian sejuta ppm atau mg/kg di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan jika kandungan logam melebihi paras tersebut, tindakan undang-undang akan dikenakan.

"Mana-mana pihak yang terlibat, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2009 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan US Food and Drug Administration (USFDA) menerusi laman webnya http://www.fda.gov yang bertajuk "Consumers Warned Not to Eat Certain Imported Dried Plums" pada Khamis lepas.

Liow berkata produk berkenaan adalah "The Original Chinese Candy", "Dried Plums with Pickle and Lemon", "Saladitos Con Pepino Y Limon", "Saladitos 6 Count", "Saladitos Salted Prunes", "Saladitos Chinese Candy", "Its Fruit Chinese Style Dried Prune" dan "Salted Plum Suckers".

Produk lain adalah "Salados Salted dried plums", "7 Salted Plums", "Preserved Liquariced Prune", "Preserved Plums:Preserved Salted Prunes", "Preserved Plums:Preserved Red Prunes", "Preserved Fruit Pitted Prunes", "Chan Pui Mui Preserved Plum" dan "Ka Po Preserved Plum".

Liow berkata kementerian terus memantau untuk memastikan produk berkenaan tidak terdapat dalam pasaran tempatan.

Beliau berkata kementerian juga akan meneruskan pemantauan di pintu masuk dengan meletakkan pemeriksaan Tahan Lima (Tahan, Uji dan Lepas) dalam Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) untuk semua produk yang terlibat.

Plumbum adalah bahan cemar dalam makanan yang boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan manusia dalam jangka masa panjang akibat daripada pengumpulan bahan cemar dalam badan.

Beliau berkata kesan yang mungkin berlaku adalah gangguan kepada sistem saraf dan perkembangan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak.

"Sehubungan itu, kementerian ingin menasihatkan pengguna supaya tidak membeli produk-produk yang terlibat, manakala penjual dinasihatkan supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ataupun Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat sekiranya produk berkenaan terdapat di premis mereka," katanya.

Liow berkata pengimport atau ejen yang mengimport produk terbabit diminta menghentikan pengedaran dan memaklumkan kepada PKD atau JKN berdekatan untuk tindakan seterusnya. BERNAMA

Ribuan ikan duri muncul di Bachok, mungkin akibat gempa

Hasil tangkapan luar biasa ikan duri oleh nelayan di Kuala Kemasin dan Pantai Senok, Bachok, semalam berkemungkinan berpunca daripada kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Wilayah Timur, Azmi Daud berkata, fenomena kemunculan ribuan ikan dari dasar laut kebiasaannya terjadi apabila adanya kejadian bencana alam kerana ikan akan mencari kawasan yang lebih selamat.

"Biasanya haiwan seperti ikan laut ini mempunyai ketajaman deria yang kuat dan sensitif dan setiap kali berlaku bencana alam seperti gempa bumi dan seumpamanya, ia berkumpul dan timbul di sesuatu kawasan yang sama dalam kuantiti yang luar biasa banyaknya," katanya kepada Bernama di Jerteh hari ini.

Semalam, nelayan di sekitar Kuala Kemasin dan Pantai Senok terkejut apabila memperoleh hasil tangkapan ikan duri sehingga 5,000 kilogram hanya dalam tempoh dua jam turun ke laut.

Seorang nelayan Mat Zin Omar, 44, berkata kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sejak dia menjadi nelayan 15 tahun lepas.

"Kebiasaannya hasil tangkapan paling banyak diperoleh adalah sekitar 1,000 kilogram sahaja. Kejadian ini memang sesuatu yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata nelayan menganggapnya satu rezeki yang tidak dijangka dan mereka kini menjual ikan duri terbabit kepada peraih pada harga RM4.60 sekilogram. BERNAMA

Rakyat Mampu Buat Perubahan: Pesuruhjaya PAS Perak

Email : mohd hafez sabri

Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussin hari ini menegaskan bahawa kemenangan calon PAS di Bagan Pinang adalah penting kerana ia akan menjadi petanda bahawa rakyat telah hilang keyakinan terhadap Umno dan BN yang semakin berpecah antara parti komponennya dari hari ke hari. MCA sedang bergelut sesama mereka, MIC luka parah setelah gagal menundukkan diktator mereka, Gerakan sudah tinggal suku nyawa manakala Umno terus gagal apabila menaja seorang calon yang mereka sendiri sahkan terlibat dengan politik wang atau rasuah, jelas beliau.

Bagi Pesuruhjaya PAS Perak itu, rakyat khasnya pengundi di Bagan Pinang mempunyai peranan yang sangat besar. Pengundi Bagan Pinang bukan sekadar bertanggungjawab memilih wakil DUN mereka, tetapi kerusi Bagan Pinang juga menentukan politik masa depan Negara jelas beliau. Memetik kata-kata beliau “Tidak mustahil jika PAS menang di Bagan Pinang ini (kerusi kedua buat PAS di Negeri Sembilan),dan InsyaALLAH jika PAS diberi mandat oleh rakyat untuk menang maka senario politik negara juga akan turut berubah”. “Isyarat kuat dari rakyat Ahad ini tidak mustahil memungkinkan pimpinan dan ahli-ahli parlimen serta ADUN BN samada dari Umno atau parti-parti lain berfikir panjang dan menyemak semula pendirian serta pegangan politik masing-masing. Tolakkan rakyat terhadap BN berlaku terus-menerus walaupun Umno menukar ganti pimpinannya.” Tegas beliau

Beliau juga menasihati pemimpin-pemimpin umno supaya tidak berteduh di bawah pohon lapuk yang bakal rebah dan mencederakan diri sebaliknya bernaunglah di bawah pohon yang segar dan menjanjikan masa depan yang meyakinkan, jelas beliau lagi

Beliau juga begitu yakin jika para pengundi di Bagan Pinang termasuklah tentera yang merupakan pengundi pos, berani memainkan peranan dan membuat perubahan, ianya pasti akan melakar masa depan baru buat Negara Malaysia

Beliau juga turut menempelak umno BN yang terus melakukan provokasi dan penipuan untuk mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang itu. “Bermula dengan politik silap mata Azeez dan kini diikuti dengan projek “segera” yang satu ketika dahulu pernah ditolak oleh Presiden Umno sendiri iaitu Najib Tun Razak . Namun kini kita dapat melihat jalan-jalan terus diturap, sedangkan Najib pernah berkata BN tidak akan menggunakan taktik sebegini lagi dalam mana-mana pilihanraya.”

Beliau juga menyeru agar seluruh rakyat berani untuk melakukan perubahan dengan memilih calon dari Pakatan Rakyat untuk mewakili suara rakyat dalam membina sebuah Negara yang adil dan berkebajikan.

Masjid Cina pertama dibina di Perak

Masjid Baru Muhammadiah, masjid Cina Muslim pertama di Perak dan kedua di negara ini, dijangka mula dibina awal tahun depan apabila jawatankuasa penubuhannya memperolehi dana kewangan yang mencukupi.

Penasihat jawatankuasa pembinaan masjid berkenaan Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata segala perancangan termasuk pelan dan seni reka bentuk masjid berkonsep kebudayaan Cina di Taman Tasek Jaya berkenaan telah siap walaupun ada beberapa perkara lagi yang perlu diselesaikan.

"Kita juga sedang mendapatkan pengecualian cukai untuk memohon derma dan sumbangan yang lebih banyak daripada mana-mana pihak.

"Selain itu ada juga sekumpulan kecil penduduk setempat yang tidak bersetuju dengan pembinaan masjid berkenaan dengan alasan nanti (apabila masjid siap) jalan sesak," katanya ketika ditemui pemberita di Ipoh hari ini.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, yang juga yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), berkenan menyampaikan geran pelancaran bernilai RM2 juta kepada beliau bagi tujuan membina masjid berkenaan.

Beliau berkata dengan geran pelancaran itu dan ditambah hasil sumbangan serta derma pelbagai pihak berjumlah RM1 juta kepada pihaknya, masjid berkenaan akan dapat dibina dengan segera.

Dr Fadzli Cheah berkata MAIAMP dan Raja Dr Nazrin Shah telah meluluskan dan bersetuju terhadap pelan dan senireka bentuk masjid berkenaan.

Beliau berkata sekiranya pembinaan masjid di kawasan itu terus mendapat bantahan kumpulan kecil itu, pihaknya mempunyai alternatif iaitu memindahkan pembinaan masjid itu ke sebuah lagi kawasan yang terletak kira-kira 2 kilometer dari tapak asal.

"Kawasan itu juga merupakan tanah kerajaan negeri dan luasnya lebih satu ekar," kata beliau.

Katanya apabila siap dibina, masjid baru itu boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Beliau berkata pada masa sekarang surau yang telah dinaiktaraf menjadi masjid di kawasan perumahan itu hanya mampu menampung 600 jemaah sahaja sedangkan bilangan jemaah telah bertambah terutama untuk solat Jumaat.

Katanya, cadangan pembinaan Masjid Baru Muhammadiah yang berkonsepkan seni bina kebudayaan Cina adalah gabungan antara dua pihak iaitu anggota jawatankuasa masjid Taman Tasek Jaya dan Persatuan Cina Muslim Ipoh.

Beliau berkata peruntukan yang diperlukan dalam pembinaan Masjid Baru Muhammadiah ini dianggarkan RM10 juta termasuk kos untuk pusat komuniti setempat yang dilengkapi kelas, sekolah agama, ruang perniagaan dan pusat maklumat.

Pada 2 Jun lepas, Raja Dr Nazrin mengumumkan geran pelancaran RM2 juta sumbangan MAIAMP bagi membina sebuah masjid baru di kawasan seluas 3,776 meter persegi di Taman Tasek Jaya di Ipoh dengan reka bentuk ciri-ciri seni bina kebudayaan Cina.

Masjid itu akan menjadi pusat ibadat, pusat perkembangan ilmu, pusat maklumat, pusat kemasyarakatan untuk manfaat tujuh kawasan perumahan iaitu Taman Seri Tasek, Taman Tasek Baru, Taman Manikavasagam, Taman Tasek Jaya, Taman Musim Bunga, Taman Tasek Mutiara dan Taman Tasek Berlian.

Dr Fadzli Cheah berkata masjid Cina Muslim pertama negara dibina di Rantau Panjang, Kelantan. BERNAMA