06 Ogos 2011

Hayati madrasah Ramadhan

06 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh : Naim Qlate

RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka (riwayat Muslim).

Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.

Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.

Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.

Justeru, sekolah atau madrasah Ramadan perlulah dihayati dan dipenuhi dengan pelbagai amanah kerja yang diminta oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah. Tanpa pendaftaran atau yuran, bulan tarbiyah dan pendidikan ini menjanjikan kelebihan dan kemenangan kepada hamba-Nya yang bertakwa. Benarlah janji Allah: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. (al-Naba': 31).

Takwa secara ringkas maksudnya melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum.

Namun lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.

Madrasah Ramadan juga mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan berkat ini.

Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan. Sabda Rasulullah: Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan dengan keimanan dan mengharap (keampunan), maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun pelbagai ganjaran yang boleh direbut dalam Ramadan, namun terdapat di kalangan umat Islam di negara kita yang telah mengkurus-keringkan pahala mereka.

Ini akibat daripada salah faham dan kesilapan tradisi dalam melakukan ibadah puasa Ramadan.

Perkara berkaitan salah faham dan kesilapan yang disebutkan dalam rencana ini hanyalah beberapa peringatan kepada kita untuk memastikan ibadat puasa kita diterima sepenuhnya oleh Allah. Kadang-kadang, kita lebih mementingkan perkara-perkara kecil, sedangkan perkara yang lebih besar tidak diberi perhatian.

Contohnya, wujud tradisi dalam masyarakat kita yang terikut-ikut budaya bergaduh atau bertengkar mengenai jumlah rakaat dalam solat Terawih.

Hakikatnya, solat tersebut adalah sunat bukannya wajib. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dan juga para Khulafa' al-Rasyidin yang dimulakan oleh Umar al-Khattab.

Sepatutnya, perkara ini tidak menjadi isu. Malah, jangan terkejut khalifah Umar Abdul Azi pernah menguatkuasakan solat Terawih sebanyak 36 rakaat dan tiga kali witir.

Apa yang penting adalah amalan tersebut disertai dengan niat yang ikhlas. Dua rakaat yang ikhlas lebih mulia daripada 100 rakaat yang ujub. Pertelingkahan dalam perkara-perkara kecil dan sunat hendaklah dielakkan demi menjaga silaturahim sesama Muslim.

Justeru, sepanjang madrasah Ramadan ini kita hendaklah mengawasi pancaindera dengan melakukan perkara-perkara berikut bagi memenuhi tuntutan sebenar ibadat puasa;

n Menjaga lidah daripada bercakap kosong, mengumpat, memburuk-burukkan orang lain dan sebaiknya hendaklah dibasahi dengan berzikir atau bertadarus al-Quran;

n Menjaga mata daripada melihat perkara yang diharam dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT;

n Menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu dan perbualan yang tidak berfaedah dan sebaiknya digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran.

n Menjaga anggota-anggota tubuh lain seperti perut, kaki, tangan dan sebagainya. Perut semasa bersahur dan berbuka puasa hendaklah diisi dengan makan halal, baik dan mengikut sunnah. Kaki dan tangan hendaklah digunakan untuk berzikir, solat, dan melangkah ke surau atau masjid.

Dengan pengawasan dan amalan baik, insya-Allah Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita sebelum dijemput ke alam barzakh. Alangkah indahnya jika kita berjaya menghabiskan tempoh latihan di madrasah Ramadan ini dengan memperoleh ijazah takwa yang dijanjikan itu.

Beruntunglah kita di dunia dan berbahagialah kita di akhirat. Ingatlah perkhabaran Rasulullah: Orang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya, iaitu kegembiraan apabila berbuka, dan apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. (riwayat al-Bukhari).

Ramadhan : Dapatkah kita keberkatannya ?

06 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh : Zainal Dahari

“ Wahai orang-orang yang beriman, difardukan atas kamu berpuasa sepertimana difardukan ke atas orang-orang terdahulu dari kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa” AL-Baqarah 183

“ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu; …………..” AL-Baqarah 185.

”Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu ? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” AL-Qadr 1-5

“(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” A-li Imraan 138

Syukur ke hadrat Illahi, sekali lagi kita berpeluang bersama Ramadan, bulan yang mulia yang diwahyukan dan difardukan untuk kita berpuasa, semoga dengan berpuasa kita akan menjadi orang yang bertaqwa..

Jika ditanya semua orang Islam, semuanya akan bersetuju mengatakan Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan. Setiap kali datang Ramadan banyak tazkirah yang mengulas tentang perkara-perkara yang berlaku dan terdapat dalam bulan Ramadan.

Sebagai renungan bersama mari kita cuba senaraikan semula antara kelebihan-kelebihan dan peluang-peluang yang ada dalam bulan Ramadan untuk panduan kita bersama.

1. Malam Anugerah Khas, Malam Lailatul-Qadar dipilih Allah untuk dinikmati oleh orang Islam yang beribadat dalam bulan Ramadan. Orang Islam akan dapat menikmati ganjaran ini, ganjaran pahala bagi setiap ibadat yang dilakukan sama seperti beribadat selama seribu bulan dalam bulan yang lain, iaitu melebihi 80 tahun lamanya

2. Ganjaran pahala bagi setiap ibadat orang Islam digandakan
i. Setiap satu solat sunat dikerjakan dalam bulan Ramadan ganjaran nya sama dengan ganjaran solat wajib yang dilakukan dalam bulan selain Ramadan.
ii. Ganjaran solat wajib yang dilakukan dalam bulan Ramadan diberi tidak kurang tujuh puluh kali ganda dibandingkan dengan dikerjakan dalam bulan yang lain.

3. Suasana beribadat orang Islam tidak diganggu oleh iblis dan syaitan kerana semua iblis dan syaitan dibelenggu oleh Allah dalam bulan Ramadan. Kekurangan adalah kerana kejahilan dan kedegilan kita sendiri.

4. Mereka yang jarang ke mesjid dan surau semasa bulan yang lain tidak akan berasa malu jika ke mesjid dan surau dalam bulan Ramadan kerana ramai orang lain pun beigitu juga.

5. Dengan dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda, marilah kita iringi semua solat wajib lima waktu kita dengan solat sunat awal dan akhir jika terdaya kerana masa yang diambil tidaklah lama.

6. Peluang untuk mendirikan solat malam iaitu selepas tengah malam hingga waktu subuh adalah terbuka luas kerana kita perlu bangun untuk bersahur. Antara solat yang digalakkan ialah solat tahajjud dan solat taubat. Kita perlu bersahur kerana itu syariat.

7. Masa yang panjang yang ada waktu lepas tengah malam hingga sahur, kalaupun tak mampu nak buat selalu, sekali sekala buatlah solat sunat tasbih. Solat sunat tasbih ini memerlukan masa yang sedikit panjang dan kekuatan stamina yang lebih terutama kekuatan sendi pinggang, lutut dan kaki.
Ganjaran pahala solat sunat tasbih amat istimewa.

8. Setiap kita tentunya banyak berbuat dosa, peluang meminta ampun dari Allah terbuka luas dalam bulan Ramadan, kerana salah satu kumpulan manusia yang berdoa yang tidak akan ditolak doanya oleh Allah ialah mereka yang berdoa sedang mereka itu berpuasa.

9. Peluang bertadarus Al-Quran terbuka luas di mesjid dan surau kerana hampir setiap malam semua surau dan mesjid mengadakannya. Mereka yang kurang mahir boleh bersama jemaah lain dan akan dibimbing membaca bersama dalam kumpulan-kumpulan tertentu.

10. Pada Hari Kiamat nanti, Al-Quran akan memohon kepada Allah supaya semua pembaca Al-Quran diberi kemudahan dalam perhitungan dan diberi ganjaran kebaikan oleh Allah kerana telah mengorbankan masa lapang dan waktu tidur malamnya dengan membaca Al-Quran.

11. Dapat merasa manisnya menikmati (mendengar dan menghayati) bacaan AL-Quran hampir sama dengan sewaktu di Tanah Suci Makkah dan Madinah kerana banyak masjid dan surau mengadakan solat terawih secara bacaan AL-Hafiz satu malam satu juzuk.

12. Dengan solat terawih secara bacaan hafiz ini juga kita berpeluang melakukan sujud tilawah beberapa kali bila sampai ayat-ayat yang tertentu. Waktu sujud adalah waktu kita paling hampir dengan Allah dan ambillah peluang yang tidak datang selalu ini untuk memohon apa sahaja kepadaNya, Insyaallah akan dimakbulkan semua doa kita.

13. Oleh kerana imam akan membaca ayat-ayat yang panjang, secara tidak langsung kita boleh berlatih untuk berdiri lama sewaktu solat sebagaimana yang biasa berlaku di tanah suci sewaktu musim haji dan umrah. Dalam keadaan biasa sehari-hari kita hanya dapat berlatih pada waktu solat subuh Jumaat sahaja bila kebanyakan imam akan membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Insaan, itupun tidak panjang hanya 30 dan 31 ayat sahaja setiap satunya.

14. Dengan bersolat terawih juga kita boleh berlatih membaca ayat-ayat Al-Quran dengan mengikut perlahan-lahan bacaan imam kerana ia tidak menjadi kesalahan asalkan tidak mengganggu imam dan makmum yang lain.
(Walau bagaimanapun untuk mengelakkan kekeliruan dalam masalah ini ada khilaf ulamak mengatakan bahawa makmum wajib mendengar dan dilarang membaca Al-Quran sewaktu imam membaca, Wallahualam).

15. Dengan mengerjakan solat terawih 20 rakaat atau 23 rakaat jika bersama witir, kita sebenarnya melakukan latihan jasmani yang mampu menambahbaik kesihatan badan kita.

16. Dengan bersolat Isyak atau Subuh secara berjemaah adalah umpama beribadat separuh malam, manakala jika kita di malam yang sama bersolat Isyak dan Subuh secara berjemaah maka adalah umpama bersolat seluruh malam. Oleh itu jika kita bersolat Isyak dan Subuh pada malam bertepatan dengan datangnya malam Lailatul Qadar maka untunglah kita seolah olah kita sudah beribadat seluruhnya pada malam Lailatul Qadar tersebut, Wallahualam.

17. Kita boleh berkenal-kenalan dengan ramai orang kerana solat terawih digalakkan dibuat secara berjemaah. Kita juga boleh solat di kariah yang lain jika kita suka dan dengan itu boleh mengenali lebih ramai saudara seagama.

18. Dalam bulan Ramadan, kita boleh mengawal dan menjimatkan perbelanjaan makanan harian kita kerana kekerapan makan telah berkurang. Kita boleh menjimatkan wang dengan banyak, contohnya tanpa makan pagi, rehat pagi, makan tengahari, minum petang dan makan lewat malam. Kita makan hanya dua kali sahaja iaitu berbuka dan sahur..

19. Tanpa disibukkan dengan waktu membeli keperluan makanan, memasak, dan masa-masa makan kita akan ada banyak masa untuk membaca Al-Quran dan kitab-kitab agama. Membaca kitab agama lebih-lebih lagi membaca Al-Quran akan menguatkan keimanan, manakala ganjaran pahalanya tidak terhitung hanya Allah Maha Mengetahui.

20. Secara semulajadinya manusia tidak akan bertindak agresif apabila mereka lapar berlainan dengan haiwan. Dengan ini suasana berpuasa di bulan Ramadan juga dapat mewujudkan peluang bagi memperbaiki hubungan yang tidak mesra yang berlaku antara mana-mana dua pihak yang berselisih faham sebelum itu.

21. Mereka yang belum mengeluarkan zakat, samaada harta, tanaman, ternakan ataupun keuntungan perniagaan boleh mengambil peluang keemasan di bulan Ramadan ini untuk melipatgandakan hasil ganjaran pahala disisi Allah.

22. Para hartawan boleh merapatkan hubungan dengan orang ramai terutama fakir miskin dan anak-anak yatim melalui sumbangan makanan, pakaian ataupun wang ringgit.

23. Orang yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan boleh mula berjinak-jinak dengan alam periagaan melalui jualan pakaian hariraya, kuih muih atau makanan berbuka puasa atau lainnya asalkan halal dan tidak terleka dari beribadat bila sampai waktunya.

24. Mereka yang sebelum ini kurang menitikberatkan soal aurat dalam berpakaian, ambillah peluang ini untuk memperbaiki diri, Insyaallah semua rakan dan taulan akan menerima kita dengan hati yang terbuka. Sesungguhnya Allah tidak akan memberatkan sesiapa pun atas apa yang dia tidak mampu.

25. Dengan berpuasa kita berpeluang mengurangkan berat badan dengan menjaga diet dan pemakanan

26. Dengan pergi solat terawih kita berpeluang mengurangkan dosa mata, dosa telinga, dosa mengumpat dengan meninggalkan peti-peti tv yang banyak menyiarkan rancangan yang tidak sesuai.

27. Dengan berpuasa dan solat terawih kita juga berpeluang mengurangkan dosa kaki dan dosa tangan dengan tidak merayau ke tempat-tempat yang melalaikan.

28. Anak-anak yang kurang berpeluang berbakti kepada kedua ibubapa, ambillah peluang ini dengan membantu mereka memasak dan menyediakan makanan untuk berbuka dan sebagainya. Disamping membantu kita dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

29. Mereka yang berhutang, ambillah peluang yang baik ini untuk melangsaikannya, disamping selesainya hutang, hati kita akan tenang dan gembira, pemiutang akan turut sama gembira, dan sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah mengatakan antara orang yang berhutang dengan orang yang tidak berhutang, doa orang yang tidak berhutang lebih cepat dimakbulkan Allah.

30. Sekiranya ada orang berhutang dengan kita dan jumlahnya boleh kita maafkan dan tidak akan memiskinkan kita jika kita melupuskannya, adalah dianjurkan kita lupuskan sahaja, semoga rezeki kita akan ditambah oleh Allah berganda-ganda kerana kerelaan kita itu.

Disamping itu banyak lagi kelebihan yang terdapat dalam bulan Ramadan yang tidak dapat disenaraikan setiap satunya.

Apa yang dimushkilkan ialah dengan begitu banyak kelebihan yang ada, mampu dan dapatkah kita menikmati sebahagian daripadanya kalaupun tidak berjaya menikmati kesemunya. Para ulamak selalu mengulang-ulang perkara ini tetapi ramai dari kita masih ditakuk lama. Dari setahun ke setahun, Ramadan datang dan kemudian Ramadan pergi, yang muda dah jadi tua, dulu kuat sekarang lemah, dulu sihat dah mula uzur, dulu kaya kini bertukar menjadi miskin dan sebagainya, nilai ibadat kita masih tidak berubah..

Ada di antara kita yang berazam untuk memulakan dan melipatgandakan ibadat bila bersara contohnya, tetapi sedarkah kini begitu ramai antara kita yang menjadi uzur sebelum masuk umur bersara, usia baru tiga puluhan atau empat puluhan kaki mula tidak kuat, lutut mula sakit, pinggang mula payah nak lurus, mata cepat jadi kabur, pendengaran telinga cepat merosot, yang lengkap anggota sudah cacat kerana kemalangan dan sebagainya.

Bukan itu sahaja ramai pula yang mati dalam usia muda. Juga ramai pula dihinggapi kencing manis perlu selalu melawat dan tinggal di hospital, atau mendapat sakit ghout, sakit buah pinggang, sakit kencing tak tus, sakit karang susah kencing, darah tinggi naik menggila terpaksa makan ubat sepanjang masa, rosak paru-paru dan menghadapi masalah jika terkena air sejuk, mengidap pening yang kronik dan berbagai lagi kesukaran yang mengganggu dan menghalang kita dari beribadat kepada Allah dengan selesa.

Oleh itu marilah sama-sama kita berazam dan memulakan langkah menuju dan mengerjakan amal ibadat kepada Allah dan kebaikan sesama manusia dari sekarang selagi masa masih ada dan janganlah menunggu hingga sudah tiada daya upaya kerana waktu itu menyesal sudah tidak berguna lagi. Jika tak mampu buat semua janganlah pula kita tinggalkan semua. Hidup dan mati itu sangat hampir seperti hampirnya dua jari kita.

Anggaplah Ramadan sebagai tetamu khas yang datang bertandang setahun sekali ke rumah kita dan sekarang ini sudah hampir seminggu bersama kita. Apakah bentuk layanan yang kita sediakan dan berikan kepadanya. Setakat ini baikkah layanan kita, lazat dan istimewakah makanan yang kita sediakan, rumah dan bilik tempat tidurnya bagaimana dan lain-lain keperluannya adakah telah di sediakan sewajarnya. Jangan lupa tetamu bernama Ramadan ini lagi tiga minggu akan pulang kepangkuan Allah melaporkan dan membawa semua rekod atas apa yang tuan rumah sediakan kapadanya. Susah memanglah susah tetapi marilah kita berusaha, Insyaallah masa masih belum terlewat semoga Allah tetap memberi kekuatan kepada kita.

Wan Azizah akan ganti Anwar 'jika perlu'

6 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengakui pernah terlintas di fikiran bahawa suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang berdepan dengan dakwaan demi dakwaan salah laku seks patut bersara dari politik.

Tetapi bukanlah sekarang, kata Wan Azizah.

Apatah lagi, ketua umum PKR itu perlu membela dirinya dalam perbicaraan kes Liwat II yang akan bermula pada Isnin, tambahnya.

Malaysiakini mengemukakan soalan berkenaan kepadanya dalam satu temubual minggu lalu bagi menanggap sejauh manakah dakwaan berkenaan menjejaskan kepemimpinan Anwar setakat ini.

"Sebelum ini, ya – ketika dia menjadi profesor di (Universiti) John Hopkins. Saya gembira dengan kehidupan (pada waktu itu).

NONE"Saya perlu berterus terang. Kami merupakan keluarga biasa (pada waktu itu) – anak-anak berada di sana (Amerika Syarikat), melanjutkan pengajian, meneruskan kehidupan dan kami seronok.

"Tetapi kini ada pilihan (yang pelu dibuat). Saya fikir, dalam keadaan politik yang teruk pada masa ini, bukan sahaja Anwar yang diperlukan. Semua orang diperlukan.

"Seorang individu tidak dapat membuat banyak perubahan, tetapi setiap orang dan setiap rakyat Malaysia boleh melakukannya. Inilah yang saya ingin lihat," katanya.

Wan Azizah juga berkata, beliau akan kembali ke arena politik semula sekiranya Anwar kecundang dalam perbicaraan kes ini.

"Sekiranya saya diperlukan, tentulah. Tetapi terdapat ramai lagi pemimpin lain yang sudah teruji...

"Saya bukanlah sangat seorang ahli politik. (Tetapi) saya rasa saya ada imej yang berupaya menyatukan orang ramai," katanya lagi yang meletakkan harapan tinggi kepada barisan pemimpin muda.

Pelan A, B, C

Ditanya sekiranya beliau merasakan bahawa Anwar akan kembali ke dipenjara, Wan Azizah berkata beliau meletakkan harapan supaya perkara itu tidak akan berlaku.

"Janganlah doa begitu," katanya sambil tertawa kecil.

Beliau turut menggesa wartawan supaya turut optimis bahawa Anwar tidak akan dipenjarakan dan keluarganya membuat rancangan atas dasar yang sama.

NONE"Tentulah ada pelan kecemasan – pelan A, pelan B dan pelan C," katanya lagi.

Namun, Wan Azizah tidak dapat memberi gambaran jelas sekiranya andaiannya itu meleset.

Lalu siapa yang akan mengetuai Pakatan sekiranya ia dapat menguasai Putrajaya tanpa Anwar?

"Apabila keadaan itu berlaku, kita akan buat keputusan. Walaupun jika Pakatan berkuasa, kita masih perlukan semak dan imbang. Anda tidak boleh ada kuasa mutlak, anda tidak boleh (jadi) diktator," tegas Wan Azizah.

PKR juga telah melatih ramai pemimpin muda untuk mengisi kedudukan pemimpin lama, katanya lagi.

malaysiakini/-

Selamatkah iman mereka daripada sesat

06 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Ust.Ahmad Baei Jaafar

Tiba-tiba sahaja kita dihidangkan satu kejadian di mana polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya, malam tadi. Bagaimanapun polis dan JAIS boleh bekerjasama, siapa yang jemput siapa? Sejak bila pula polis ada kuasa menyerbu rumah ibadat kerana acara makan malam? Apakah JAIS ada kuasa menyerang rumah ibadat orang bukan Islam?

Atas sebab itu barangkali mengapa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berasa kesal dengan kejadian itu. Beliau kesal kerana tindakan boleh menjatuhkan maruah JAIS sekali gus maruah Islam yang tidak bijak sana dalam tindakan. Demi menyelamatkan keadaan beliau secara peribadi telah menghubungi Paderi kanan DUMC, Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden itu.

Syabas Datuk Menteri Besar, tindakan yang diambil itu setidak-tidak boleh meredakan kemarahan pihak gereja kepada kerajaan negeri dan Islam. Setidak-tidaknya mereka tidak bertindak menyaman polis dan JAIS kerana mengganggu majlis mereka.

Merujuk kepada kenyataan Exco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada malam tersebut. Hal ini kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Pemeriksaan itu merujuk kepada maklumat yang diterima mengatakan terdapat kehadiran orang Islam untuk majlis berbuka puasa di gereja berkenaan. Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam dalam majlis tersebut.

Persoalannya apakah niat asal majlis makan malam itu? Kenapa diadakan di gereja? Siapa yang menganjur majlis tersebut? Salahkah orang Islam masuk gereja? Apakah apabila orang Islam masuk gereja boleh dicap sebagai terpengaruh dengan Kristian?

Kalau pihak gereja menganjurkan majlis itu apakah niatnya untuk memujuk mereka menerima Kristian? Kalau tidak mengapa diadakan di gereja? Kalau sekadar 12 orang, cukup di restoran sahaja. Kalau orang Islam yang bertindak menganjur, apakah niatnya untuk berdiolog mengenai salah faham terhadap agama. Ya, mengenai niat adalah kerja hati yang sukar dinilai, malah kerana silap sedikit boleh menjemuskan mereka kepada dosa.

Tidak salah orang Islam masuk gereja, malah tidak salah kalau bersolat di dalamnya asalkan tempatnya bersih dan menghadap qiblat dan pada masa yang sama tidak menghadap kepada patung. Kalau begitu keadaannya, menghadiri jemputan makan malam atau buka puasa di gereja bukanlah isu besar atau salah.

Cuma persoalannya apakah orang Islam yang masuk ke gereja itu atas tujuan berbuka puasa kononnya melakukan solat Maghrib. Kalau tidak solat Maghrib bagaimana puasanya, benarkah mereka orang Islam? Kalau begitu kedudukannya ada dua pihak yang bersalah; individu berkenaan cuai dalam mengamalkan ajaran Islam; ibu bapa dan juga ulama gagal memberi didikan Islam sebenar kepada mereka hingga tersesat dari landasan sebenar.

Sepatutnya dalam kes ini penguatkuasa JAIS tidak terlibat dalam serbuan pada hari tersebut. Malah tidak perlu hadir ke gereja atas nama jabatan. Hal ini kerana kehadiran atas nama jabatan mewakili kerajaan. Walaupun mereka itu datang sekadar melihat majlis tersebut akan disalah tafsirkan sebagai serbuan. Walaupun tiada tangkapan dibuat, kehadirannya boleh disensasikan.

Sememangnya JAIS tidak ada hak masuk gereja sama ada untuk menyelidik apatah lagi menangkap orang yang disyaki. Kedudukannya samalah dengan masjid yang tidak boleh diserang dan cerobohi polis atau askar. Masjid dan rumah ibadah adalah kawasan aman. Adalah dibimbangkan kalau kita berbuat begitu, nanti satu hari orang lain pula menyerang masjid kita.

Jalan penyelesaian dalam kes sebegini, JAIS perlu serius dalam kerja dakwah, mendidik orang Islam terutama mereka yang goyah imannya. Pada masa yang sama jiran atau kawan perlu bantu membetulkan keadaan. Jika tidak mampu, maklumkan kepada pihak berkuasa atau ulama, semoga dengan itu mereka boleh diselamatkan daripada tersesat.

Gaza: Misi Muslim Care berjaya sampaikan bantuan

6 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Walaupun pelbagai rintangan dihadapai untuk sampai ke sempadan Rafah, pasukan Misi ke Gaza anjuran Muslim Care Malaysia berjaya memasuki Gaza bagi menghantar bantuan sempena Ramadhan pada 28 Ogos 2011.

Zulkefli Mohd Nani, Ketua Misi ke Gaza merangkap Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia memaklumkan bahawa Muslim Care juga menyediakan prasarana dan peralatan bagi menubuhkan sebuah kilang roti bagi membangunkan ekonomi muslimah di Gaza sewaktu misi tersebut.

Misi itu turut disertal Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Presiden Muslim Care Mat Arifin Ismail, anggotanya Zakaria Abdul Latif, Hj Zulkifli Wahijan, Ust Reduan Md Nor, Halim Redzuan, Ahmad Safuan Ujar, kesemuanya dari Muslim Care, wakil PAS Selangor Izham Hashim, Zahari dari Cakna Palestin.

Mereka bertolak ke gaza bermula 27 Julai lalu dan selamat pulang ke tanah air 2 Ogos lalu.

Sewaktu di Gaza, misi turut berpeluang mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Ismail Haniyeh dan bertemu dengan 11 ahli parlimen Gaza.

Di samping itu, misi ini turut menyediakan sebuah makmal komputer untuk sebuah sekolah menengah di Khan Younis yg tidak pernah mempunyai makmal komputer di sekolah tersebut sebelum ini.

Disamping itu anggota misi juga telah berjumpa sendiri anggota keluarga yang ada dikalangan ahli keluarga mereka sedang dipenjarakan di penjara Israel.

(Gambar: Anggota misi bergambar selepas menyediakan makmal komputer di sebuah sekolah menengah di Khan Younis)

Menurut Zulkefli Nani, mereka dimaklumkan bahawa ada diantara tahanan tersebut yang telah 34 tahun dipenjarakan di Israel, lebih lama dari Neson Mandela yang dipenjarakan selama 29 tahun.

Selain itu pasukan misi ini juga turut memberikan bantuan kewangan dan makanan kepada anak-anak yatim, ibu-ibu tinggal serta warga miskin di Gaza di mana misi ini telah pergi terus ke rumah-rumah warga miskin bagi menyampaikan bantuan tersebut.

Dengan sumbangan yang telah diberikan oleh penderma melalui Muslim Care, mereka juga mengadakan majlis berbuka puasa selama 7 hari dianjurkan di masjid-masjid di sekitar Gaza dengan sumbangan tersebut.

Selain itu juga masyarakat dan kanak-kanak yg kurang berkemampuan juga akan diberikan pakain baru sebelum Aidil Fitri nanti melalui sumbangan yang dihulurkan Muslim care.

Menurut Zulkefli lagi, walaupun sempadan Rafah dikatakan telah dibuka oleh Kerajaan Mesir, hakikatnya sekatan ke atas Gaza masih berterusan dan umat Islam masih terus dihimpit kemiskinan di Gaza.

Beliau menegaskan bahawa bantuan kepada umat Islam di Gaza mesti diteruskan kerana "humanitarian aide" dari NGO luar ini adalah penghubung nyawa bagi ramai warga miskin.

Di Gaza, Muslim Care telah menandatangani perjanjian dengan Emaar Association sebuah NGO kebajikan yg akan melaksanakan beberapa program bagi pihak Muslim Care di Gaza kelak.

Untuk perancangan seterusnya, Muslim Care berhasrat membina sebuah Masjid di sebuah kawasan penduduk miskin berdasarkan permintaan umat Islam di sana dan juga mencari dana bagi membaiki rumah keluarga-keluarga dhoif di Gaza, Palestin.

Sebanyak USD180,000 diperlukan bagi menjayakan bantuan seterusnya.

Kepada mereka yang mahu memberi sumbangan kepada rakyat palestin, bolehlah berbuat demikian melalui Tabung Muslim Care melalui Akaun Maybank Muslim Care (Viva Palestina) 5644-902-111-59.

Harakahdaily/-

Mat Sabu tak berkerusi roda lagi

6 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Selepas tiga minggu menjalani pembedahan menyambung ligamen belakang lututnya yang terkoyak, kecederaan yang dialami Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu semakin sembuh.

Walaupun masih lagi bertongkat sewaktu berjalan, beliau kini tidak lagi memerlukan bantuan kerusi roda hari untuk bergerak.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Mohamad berkata perubahan tersebut dialaminya sejak tiga hari lalu.

"Saya boleh jalan biasa, tetapi (tapak kaki sedikit) mendatar, dan (berjalan) tidak dalam jarak yang jauh.

"Tetapi masa naik dan turun tangga (rumah) masih perlu kepada tongkat," katanya dengan nada gembira dengan perkembangan terbaru itu.

Sebelum ini dilaporkan Mohamad menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Shah Alam untuk membetulkan ligamen lututnya yang terkoyak akibat dirempuh kenderaan polis dalam perhimpunan BERSIH 2.0 bulan lalu.

Oleh itu, doktor telah memasukkan skru sepanjang 2.5 inci ke belakang pelipat lutut kanannya yang mengalami kecederaan.

Kemudian, kunjungan Malaysiakini di rumahnya di Shah Alam - seminggu selepas pembedahan - Mohamad sudah mampu mengangkat, melunjurkan kaki di atas sofa dan terhencot-hencot sewaktu berjalan dengan bantuan tongkat.

Dalam pertemuan itu, beliau menjangkakan kecederaannya akan pulih dalam tempoh satu hingga dua bulan.

"Sekarang (saya) tak menggunakan kerusi roda... Lepas Hari Raya Aidilfitri, (mungkin) tak pakai tongkat lagi," katanya semalam.

harakahdaily/-

PAS Perak lancar facebook pengundi luar

6 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TAIPING, 6 Ogos: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melalui Jabatan Pilihanraya PAS Negeri telah melancarkan laman peminat facebook khas buat pengundi luar Perak dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussien bersempana majlis Liqa Fikri di Dewan Tuan Guru Abdul Samad Noh, Markaz Tarbiyyah PAS Perak, Air Kuning. Turut hadir bersama adalah pimpinan tertinggi PAS Perak.

Abu Bakar dalam ucapan ringkasnya mengharapkan usaha pelancaran ini akan membantu PAS dan Pakatan Rakyat kembali memenangi semula kerajaan negeri Perak yang telah dirampas oleh Umno BN pada 2008 dahulu.

Jabatan Pilihanraya PAS Perak melalui portfolio Urusan Pengundi Luar bertanggungjawab memastikan fungsi facebook ini dimaksimakan.

Dalam masa yang sama Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Perak, Asmuni Awi berharap agar facebook ini akan menjadi pentas bagi semua pengundi luar yang menyokong PAS dan Pakatan Rakyat untuk dimanfaat sebaik mungkin bagi membantu dalam pilihanraya nanti.

Mereka mensasarkan 50,000 peminat menyertai facebook tersebut.

Bagi semua pengundi Perak yang berada di Lembah Klang agar dapat bersama dengan Facebook ini kerana ianya akan menjadi saluran utama maklumat dari PAS dan Pakatan Rakyat negeri itu.

harakahdaily/-

Majikan ingkar arahan menteri

6 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ZAINAL (kiri) memberi taklimat kepada pekerja-pekerja Dawama selepas mereka tidak dibenarkan masuk ke premis syarikat itu di Hulu Klang, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Seramai 380 pekerja Dawama Sdn. Bhd. (Dawama) mendakwa masih belum mendapatkan penjelasan rasmi daripada majikan berhubung pembatalan notis cuti tanpa gaji meskipun arahan itu telah dikeluarkan Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam (gambar) kelmarin.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dawama, Zainal Alwit, 50, berkata, majikan langsung tidak bertemu pihaknya meskipun arahan pembatalan notis telah dikeluarkan oleh Subramaniam sebelum ini.

"Mana hitam putih (dokumen pembatalan notis cuti tanpa gaji), sekurang-kurangnya jumpa kami dan terangkan kepada kami.

"Ini tidak, pihak majikan masih dengan sikap membisu termasuk tidak memberitahu kami mengenai pembatalan notis itu," katanya sambil ditemani Setiausaha Kehormat kesatuan, Mohd. Fadel Yusof kepada pemberita di Hulu Klang di sini semalam.

kosmo/-

Kepala lembu melekat di stereng

6 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ALOR GAJAH: Kepala seekor lembu betina melekat pada stereng kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki yang merempuh haiwan itu dalam kejadian di Kampung Lendu Dalam, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, haiwan itu yang berada di bahu jalan dirempuh pemandunya itu apabila kenderaannya hilang kawalan.

Kepala lembu itu dikatakan terputus daripada badan, melekat pada stereng sebelum Perodua Kancil dipandu lelaki dikenali Ah Boi berusia 20-an itu melanggar tebing dan terbalik.

Seorang penduduk, Mahazarul Mazlan, 40, berkata, dia yang ketika itu berbuka puasa bersama keluarganya dikejutkan dengan dentuman kuat lalu keluar untuk memeriksa.

“Mulanya saya terpandang seekor lembu terbaring tanpa kepala dan pada masa sama melihat sebuah Perodua Kancil terbalik tidak jauh dari situ.

“Saya terus menghampiri kenderaan itu dan ternampak seorang lelaki berusaha untuk keluar,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia kemudian membantu lelaki itu keluar melalui cermin depan keretanya yang pecah.

Katanya, selepas berjaya mengeluarkan pemandu kereta itu, dia terkejut melihat kepala lembu yang dirempuh itu melekat pada stereng kereta. “Apa yang menghairankan saya dan penduduk kampung, bagaimana kepala lembu itu boleh melekat pada stereng kereta itu. “Pemandu kereta itu hanya cedera ringan di anggota badan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Hospital Alor Gajah berkata, lelaki itu yang cedera di leher dirawat sebagai pesakit luar.

my metro/-

PR: PAS Selangor mahu Najib jawab

6 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM,: PAS Selangor hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan mereka bahawa Penduduk Tetap (PR) didaftarkan sebagai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Laporan itu dibuat atas nama Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Selangor, Mohd Asri Safar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, dekat sini petang tadi.

Asri berkata, pada 2 Ogos lalu, beliau memeriksa 1,108 nama yang terdapat dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) tersebut di dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mendapati kesemua nama itu berstatus PR.

Apa yang menjadi kebimbangan, katanya ada usaha pihak tertentu mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pemegang kad pengenalan merah ini bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Adalah amat membimbangkan usaha haram ini bukan sahaja akan menjejaskan proses pilihan raya negara kita malah turut menjejaskan integriti kad pengenalan serta keselamatan negara," katanya.

Justeru beliau mahu pihak polis melakukan siasatan secara telus berhubung perkara itu.

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman mendesak satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat siapa yang menjadi dalang di sebalik perkara ini.

"PAS Selangor menyatakan bahawa ini isu keselamatan negara yang mesti dijawab oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri kepada rakyat yang mula bimbang dengan keadaan ini," katanya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Samsudin.

harakahdaily/-

Haron Din dibenar keluar IJN

6 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang telah dirawat beberapa hari di hospital kerana mengalami masalah jantung, telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Menurutnya, selama ditahan di wad unit rawatan rapi (CCU) IJN, beliau telah melalui tiga prosedur rawatan iaitu angiogram, ultrasound angiogram dan MRI.

Katanya, berdasarkan laporan pemeriksaan, beliau masih berada di bawah penelitian doktor dan beliau dibenarkan pulang untuk berehat serta akan melalui temujanji susulan dengan doktor di IJN.

"Doktor telah menasihatkan saya supaya berehat, dan saya akan bercuti beberapa hari," jelas beliau dalam laman facebooknya semalam dan turut dimuat naik dalam facebook Darussyifa', hari ini.

Menurut beliau, pulang dari IJN dan berehat di rumah, beliau sempat melayari laman web dan facebook Darussyifa’ serta membaca email-email dalam google group ahli Darussyifa’.

"Membaca komen yang jumlahnya mencecah ratusan, saya sangat teruja dan terharu dengan ingatan, doa, dan kata-kata perangsang daripada tuan-tuan dan puan-puan.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih dan Allah sajalah yang layak membalasnya," katanya ringkas sebaik pulang ke rumah setelah dibenarkan keluar dari hospital oleh doktor yang merawatnya.

Dalam laman facebook terutama facebook kepunyaan Darussyifa', orang ramai tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT agar beliau segera sembuh serta pulih seperti biasa.

Kemasukan beliau ke hospital, khususnya IJN, mencemaskan orang ramai, sehingga menyebabkan pelbagai pihak tidak putus-putus bertanya mengenai keadaan terkininya.

Penjelasan daripada beliau sendiri mengenai keadaan terkininya menerusi facebooknya itu pasti menyenangkan pelbagai pihak, bagi menjawab teka teki orang ramai mengenai keadaan kesihatannya kini.

harakahdaily/-

Nenek 80 tahun saman untuk jadi guru semula

6 Ramadhan 1432H. [MOD] -

LILLIE LEON

BRIARWOOD, New York - Seorang nenek, Lillie Leon yang berusia 80 tahun memfailkan saman di sebuah mahkamah di Manhattan untuk mendapatkan semula pekerjaannya sebagai seorang guru awam di sebuah tadika, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Lillie diberikan notis pada minggu lalu yang menyatakan dia diberhentikan di Sekolah Awam 117 di sini.

Dia yang telah bekerja sebagai seorang guru selama tiga dekad selepas berhenti bekerja dalam sektor perbankan diberhentikan atas alasan tidak mampu untuk membawa anak muridnya yang mahu pergi ke tandas.

Menurut peguam Lillie, Stewart Karlin, anak guamnya itu boleh mengajar dengan baik tetapi dia tidak boleh berjalan dengan cepat kerana mengalami masalah lutut.

Guru itu memperoleh pendapatan sebanyak AS$100,049 (RM298,054) setahun dan tidak pernah menghadapi masalah disiplin sebelum ini.

Menurut guru itu, dia mahu kembali mengajar selama setahun lagi sebelum bersara. - Agensi