IPOH: Kebangkitan anak muda semakin memuncak selepas menghadapi perjalanan pilihanraya yang penuh dengan kepincangan pada PRU13 lalu. 

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, tsunami kebangkitan itu dapat dilihat di Himpunan Blackout 505 yang diadakan di seluruh Negara.

Menurutnya, rata-rata yang hadir dalam himpunan yang bertujuan untuk menunjukkan rasa duka cita rakyat akan ketidaktelusan SPR itu adalah dari kalangan orang muda berbilang bangsa.

“Kebangkitan anak muda secara drastik pasca pilihanraya ini ternyata menakjubkan dan sudah pasti menjadi satu kegusaran kepada BN khususnya Umno.

“Mereka bangkit untuk menzahirkan keprihatinan serta ketidakpuashatian mereka terhadap penjalan PRU13 lalu yang menunjukkan betapa jijiknya taktik BN dengan SPR untuk mengekalkan kuasa di Negara ini,” katanya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menjelaskan, kebangkitan anak muda khususnya mahasiswa ini adalah satu fenomena besar di Negara ini.

Kata Raja Iskandar, anak muda kini tidak lagi hanya memikirkan keseronokan dan kehidupan mereka semata-mata, sebaliknya mereka bangkit menuntut hak seluruh rakyat Malaysia yang dicabul oleh BN.

Golongan ini katanya mula mengambil berat tentang betapa pentingnya pemerintahan yang berdasarkan integriti, ketelusan, kejujuran dan adil kepada semua rakyat.

“Kekalahan dengan penipuan adalah satu hikmah yang diberikan oleh Allah untuk mewujudkan satu kesedaran besar rakyat khususnya golongan muda.

“Ketidakpuashatian anak muda ini harus di ambil kira dan diraikan kerana ianya adalah salah satu kurniaan Allah kepada Pakatan Rakyat dan PAS itu sendiri,” jelasnya lagi.

Tambahnya, sentimen perkauman yang diapi-apikan selepas pilihanraya lalu adalah satu strategi BN untuk menutup hakikat yang sedang berlaku iaitu kebangkitan anak muda.

“Suara anak muda ini adalah satu isyarat kepada BN khususnya Najib bahawa rakyat tidak lagi mahukan kepimpinan yang berasaskan perkauman serta yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan ketidakadilan.

“Sejijik mana taktik sekali pun tidak akan dapat menyekat suara rakyat khususnya anak muda untuk melakukan perubahan tampuk pemeritahan,” jelasnya lagi.

Oleh Muhammad Faeez Azahar