30 Oktober 2008

Hak muslim atas muslim yang lain.

“Hak seorang muslim atas muslim lainnya ialah lima, Iaitu menjawab ucapan salam, menjenguk orang sakit, mengantar jenazah, memenuhi undangan, dan mendoakan orang yang bersin” (Muttafaq `Alaih).

Sebagaimana dikemukakan dalam hadits diatas, berkunjung ke rumah seseorang untuk tujuan mulia sangat dianjurkan oleh Islam. Conyohnya, berkunjung untuk menjenguk orang yang sakit, untuk mengantar jenazahnya, dan untuk memenuhi undangannya. Apalagi tidak jarang, bila dikunjungi rumahnya, orang yang sedang menyimpan rasa dendam sekalipun, rela melepaskan rasa dendamnya.

Menjenguk orang sakit juga berpeluang meringankan penderitaannya. Paling tidak, ada tempat untuk berbagi kisah tentang bagaimana penderitaannya. Kesempatan itu juga boleh menjadi tempat untuk saling bermaafan. Berilah sedikit sumbangan atau bawa sedikit buah tangan tanda simpati dan kebersamaan. Bukan hanya itu, yang mengunjunginya akan mengambil iktibar akan nasib kesihatannya suatu ketika nanti , mungkin suatu penyakit menghinggapi tubuhnya sebagaimana orang yang diziarahinya.

Ingatan itu akan lebih bermakna apabila berkunjung untuk menghantar jenazah seseorang. Akan didapati suatu peringatan bahwa kematian pasti akan menimpa setiap yang bernyawa, lambat ataupun cepat. Bila ingatan yang demikian muncul, maka, menurut Imam Al-Ghazali, manusia akan terdorong untuk mempersiapkan bekal kebaikan dan tidak rakus akan dunia.

Namun yang sangat dilarang adalah berkunjung untuk tujuan-tujuan tidak baik. Misalnya, berkunjung untuk menumpahkan janji-janji , namun kemudian janji-janji itu tidak ingin ditepati.

Memenuhi undangan sesama muslim adalah suatu kewajipan yang mesti dipenuhi kecuali ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Tunaikan dengan sebaik mungkin hajat saudaramu itu.

Apabila seseorang itu bersin biasanya diucapkan kalimah alhamdulillah dan doakan mereka dengan yarhamukkallah.

Blog ADUN :Suatu permulaan yang baik.


Semasa menyampaikan taklimat kepada semua Ahli BBC pada suatu masa dulu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak, Drs. Khalil Idham Lim menyatakan hasratnya supaya semua ADUN Pakatan Rakyat di Perak mencontohi beberapa ADUN yang lain yang aktif dengan blog masing-masing.

Tambahnya pilihanraya akan datang menuntut semua Ahli-ahli yang berhormat memastikan blog masing-masing diujudkan dengan secepat mungkin.

Ianya bukan menjadi mimpi dan sekadar arahan namun telah diterjemahkan oleh beberapa ADUN akhir-akhir ini.


Kepada yang ingin melayari berita ADUN Gunung Semanggol, Hj. Ramli Tusin sila layari http://adunsemanggol.blogspot.com/

ADUN Selingsing pula walaupun nampak kurang aktif setakat ini namun ianya telah bermula di blognya http://adunselinsing.blogspot.com/



ADUN Changkat Jong juga nampaknya semakin aktif dengan pelbagai berita yang cuba dikemaskini hampir setiap hari di http://intanhijau.blogspot.com/

Kita doakan semuanya diberikan kekuatan ....

Semangat gotong royong jayakan majlis hari raya.

BAGAN TIANG, 29 Okt. :- Biasanya inisiatif mengadakan Jamuan Hari Raya datang dari kelompok komuniti yang besar atau organisasi tertentu di kawasan DUN Titi Serong. Namun sekali ini Majlis Jamuan Hari Raya diadakan oleh penduduk kampung secara gotong royong dengan kerjasama dari Pejabat Penghulu setempat.

Hadir sama dalam program tersebut ialah ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim bersama beberapa pegawai dari Pejabat ADUN bagi menikmati juadah yang disediakan.

ADUN Titi Serong bersalaman dengan hadirin.

Menu istemewa untuk jamuan ini ialah kerang rebus berkuah kacang sesuai dengan Bagan Tiang yang terletak dengan laut.

Memperkatakan sesuatu sambil diperhati Penghulu Bagan Tiang, En.Shahrul Nizam(memakai tanda nama)


Menurut ketua kampung Kuala Bagan Tiang, Tn.Hj. Bakhtiar acara ini akan dijadikan acara tahunan yang akan diteruskan di tahun-tahun akan datang.

Kerang rebus menu istemewa.


Uniknya bila majlis seumpama ini diadakan ia dapat memperlihatkan semangat gotong royong yang tinggi dikalangan penduduknya.

Khemah dipenuhi warga setempat.

Awas ! penipu di mana-mana.

PARIT BUNTAR, 30 Okt. : Pelbagai cara menipu dilakukan oleh manusia untuk mendapat wang mudah. Begitulah yang berlaku di Pejabat Ahli Parlimen Parit Buntar minggu lepas.

Seorang petugas di pejabat ini memberitahu, pejabat ini didatangi oleh seorang lelaki yang memohon simpati kerana berada dalam kesusahan dompet duitnya telah dicuri orang. Bagi menyakinkan petugas-petugas di pejabat, satu salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Parit Buntar diserahkan kepada petugas ini.

Bagi menyakinkan lagi, beliau memberikan nombor telefon rumahnya. Seperti kebiasaan di pejabat YB ini, sumbangan akan terus diberikan kepada orang berada dalam kesusahan. Kali ini sumbangan lebat juga kerana lelaki ini memberitahu beliau tiada wang untuk pulang ke Johor.

Petugas di pejabat YB memberitahu, dari gaya lelaki ini memang nampak beliau benar-benar memerlukan pertolongan untuk pulang ke Johor.

Apabila lelaki ini beredar dari pejabat YB, seperti biasa petugas pejabat YB akan melakukan siasatan kepada sesiapa tidak dikenali yang datang memohon bantuan. Petugas di pejabat YB mendail nombor telefon rumah yang diberi lelaki tadi.

Telefon ini dijawab oleh seorang perempuan dan dia memberitahu tidak kenal dengan nama lelaki tadi. Kemudian seorang petugas melakukan semakan nombor kad pengenalan lelaki ini dalam salinan laporan polis yang diberi. Semakan dibuat dengan menggunakan online daftar pemilih SPR.

Sah, pejabat YB ditipu kerana nombor kad pengenalan itu tertera nama orang lain bukan nama dalam salinan laporan polis. Petugas di pejabat YB terus keluar meninjau di luar pejabat, tetapi lelaki ini sudah hilang dari pandangan.

Keesokannya, dengan izin Allah seorang petugas ternampak lelaki ini berjalan sedang menuju ke pejabat YB Titi Serong. Terus petugas ini bersama YDP PAS Parit Buntar yang kebetulan berada di pejabat YB Parlimen membuat laporan polis.

Pihak polis datang dan menunggu di kawasan yang agak jauh dari pejabat YB Titi Serong meninjau perlakuan lelaki ini. Beberapa minit kemudian lelaki ini keluar dan apabila beliau berjalan agak jauh dari pejabat YB Titi Serong, pihak polis terus membuat tangkapan. Setakat tarikh 27 Okt., lelaki ini masih berada di lokap polis.

Peristiwa tipu di pejabat YB ini bukan berlaku di Parit Buntar sahaja. Ramai yang mengambil peluang di atas dasar kebajikan yang diperjuangkan oleh Kerajaan PR untuk menipu. Mereka sanggup menipu polis dengan membuat laporan polis palsu semata-mata hendak menyakinkan orang ramai.

Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran kepada lelaki ini supaya tidak menipu lagi. Entah berapa manusia yang telah ditipunya sebelum beliau ditangkap. Pengajaran juga kepada petugas di pejabat YB bukan sahaja di Parit Buntar malah di seluruh negara supaya berhati-hati sebelum memberi bantuan.

http://paritbuntar.pas.org.my/

Nizar nafi kenyataaan Zahid.

IPOH, 29 Okt.:- “Saya tidak memohon menunai ibadat haji tahun ini, begitu juga isteri saya,” kata Menteri Besar Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sambil menafikan laporan Zahid Hamidi seperti yang disiarkan akhbar bahawa beliau dan isteri akan ke tanah suci tahun ini, beliau meminta wartawan yang hadhir bertanyakan hal itu pada Utusan Malaysia.

” Saya dah tunaikan ibadat haji. Jadi saya cuma menyokong permohonan mereka yang mahu menunaikan ibadat haji tahun ini,” kata beliau.

Zahid juga berkata, ” haji bukan agenda politik. Saya mahu masyarakat tahu walaupun dari parti politik berbeza, saya mengambil pertimbangan agama.

Nizar, bagaimanapun mengucapkan terima kasih pada Zahid kerana memberi kesempatan dan menerima baik permohonan 22 anggota rombongan dari pejabatnya dan berharap Zahid mengotakan kata-kata bahawa beliau akan sentiasa mengambil kira pertimbangan agama dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan agama.

“Saya dan isteri sudahpun menunaikan ibadat haji. Yang memohon itu juga bukannya semua ahli Pas, ada dari Keadilan dan guru-guru pencen,” kata beliau sambil menegaskan bahawa permohonan itu dikemukakan kerana difahamkan Menteri Besar diberi peruntukan kuota khusus atau kemudahan tertentu untuk menghantar bakal haji ataua menunaikan haji.

Sehubungan laporan akhbar hari ini, pejabat Menteri Besar menerima beberapa panggilan dari orang perseorangan yang bertanyakan kedudukan temujanji masing-masing yang telah ditetapkan sepanjang Disember 2008.

KERAJAAN NEGERI PR AKAN TINGKATKAN PELABURAN

TEMBUAL KHAS DENGAN DATO SERI MENTERI BESAR

IPOH: Kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan mengandakan lagi usaha untuk meningkatkan aktiviti pelaburan dan transaksi ekonomi negeri Perak termasuk dalam bidang industri pelancongan dan perlombongan, kata Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar berkata, setakat tujuh bulan ini, kerajaan negeri belum berpuashati kerana pencapaiannya masih kecil dan kebanyakannya pula memakan masa jangka panjang untuk menampakkan keberhasilannya.

Bagaimanpun rakyat menyakini akan kemampuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mencapai ke arah itu, di samping para pelabur asing sendiri yang yakin akan kewibawaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, kata beliau dalam sidang khas.

Nizar berkata, perbincangan juga sedang diadakan dengan para pelabur membina lapangan terbang baru di Batang Padang, Slim River dan setakat ini, satu kajian (assesmen) sedang dijalankan.

Lokasi di Batang Padang itu lebih ekonomik kerana berada dalam laluan perhubungan darat berbanding dengan cadangan awal di Seri Iskandar. Ia dijangka menelan belanja RM1.6 bilion dan dibiayai oleh pengusaha atau pelabur berkenaan di kawasan seluas 3,000 ekar.

Mengenai program menjadikan negeri berkebajikan, Nizar berkata, beberapa program telah dilaksanakan ke arah itu, seperti pemilikan hak tanah kekal dan bekalan air percuma, pemberian barangan asas seperti beras dan gula kepada yang miskin tegar.

Kerajaan juga memberi anak-anak rakyat negeri Perak yang ditawarkan tempat ke universiti sebanyak RM1,000 seorang di bawah skim Dermasiswa Rakyat, katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri juga akan memberi pinjaman tanpa faedah kepada pelajar anak negeri Perak yang ditawarkan untuk membuat Diploma dan Ijazah pertama mengikut paras kelayakan tertentu.

Selain itu kerajaan negeri Perak:

+ akan menambah elaun Ketua kampong baru, kampong tradisional dan kampong tersusun dengan tambahan elaun RM200 sebulan.

+ melaksanakan skim membantu keluarga rakyat negeri Perak yang meninggal dunia ketika berusia 65 tahun ke atas. Jika rakyat meninggal dunia pada usia itu dan termasuk dalam kategori kurang berkemampuan, bantuan sehingga RM1,500 akan disalur pada keluarga berkenaan bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan menanggung kos-kos pengkebumian.
Skim ini untuk semua bangsa dan kerajaan berharap dapat dibuat sewal-awalnya pada pertengahan tahun 2009, katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri sedang mengkaji skim-skim yang bersesuaian termasuk dengan takaful atau mana-mana syarikat insurans.

Mengenai golongan miskin tegar pula, beliau akan mencadangkan agar kumpulan ini dapat diserapkan menjadi peserta tanah-tanah rancangan sama ada yang diusahakan di SADC, Perbadanan Pembangunan Pertanian ataupun oleh agensi-agensi lain seperti Felcra.

Rakyat miskin tegar yang menjadi peserta akan mendapat elaun dan pendapatan tambahan bulanan.

Mengenai perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat pula, beliau berkata perselisihan pendapat antara ketiga-tiga parti komponen pakatan rakyat sudah menjadi sangat minimum berbanding sebelum ini.

“Kalau adapun hanya daripada segi pelaksanaan atau aspek teknikal sahaja. Daripada segi prinsipnya kita telah pun menunjukkan kematangan untuk menerima perjalanan dan gabungan Pakatan Rakyat. Ini juga berlaku di peringkat pusat. Jadi sekarang ini saling hormat-menghormati dan persefahaman ini sungguh matang…. menjadi sungguh baik. Semakin lama, kita berharap hubungan ini akan nenjadi lebih baik.”

Mengenai perkembangan masa hadapan Pakatan Rakyat, Nizar memohon semua parti gabungan pakatan rakyat mulai bekerja keras untuk menambah dan mempertahankan kedudukan kerusi (yang dimenangi pada PRU12) pada PRU13.

Beliau berkata semua pihak dalam PR kena berusaha mempertahankan dan menambahkan sokongan dan membantu, serta PAS dan PKR akan meletakkan calon-calon berwibawa dan memastikan kemenangan bertambah.

“PAS bertanding 21 kerusi dan hanya memenangi 6 kerusi sahaja… ini bermakna PAS kena bekerja lebih kuat bagi memasti memenangi 15 lagi kerusi. Yang jelas seluruh jentera Pakatan Rakyat mesti bekerja kuat memastikan kemenangan lebih banyak kerusi.’

Mengenai suasana politik di Malaysia sekarang, beliau berkata ia menuju ke arah penerimaan sistem demokrasi yang jauh lebih matang. Rakyat ingin melihat sebuah kerajaan yang telus, berwibawa, berintegriti serta kerajaan yang memenuhi janji dan bersikap adil pada semua kaum. Masyarakat tidak mahu lagi melihat politik berasaskan sentimen perkauman.

Mengenai 2009, Nizar berharap semua rakyat memberi sokongan dan bersatu hati untuk memajukan Perak dan mencapai tahap pertumbuhan lebih tinggi daripada pencapaian nasional.

“Saya juga berharap dapat menghapuskan rakyat miskin tegar dalam 2009 dan mewujudkan hubungan erat dengan penjawat awam dan institusi istana.

“Kerajaan negeri juga berharap dapat mengurangkan defisit belanjawan pada tahap lebih rendah daripada 2008 iaitu bawah RM40 juta dan berharap dikurangkan lagi pada tahun depan, dengan harapan akan wujud belanjawan seimbang pada 2010. ”