21 Februari 2012

Noh Omar Di Cabar Hadir Sesi SELCAT

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 21 FEB : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dituntut untuk mengadakan sesi pendengaran awam atau mahkamah rakyat bagi membongkar penyelewengan dana NFC sekiranya beliau benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan ketelusan dalam sesuatu pentadbiran.

Bagaimanapun, Noh Omar terlebih dahulu dituntut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin untuk hadir pada sesi pendengaran awam terhadap pengendalian pasir di Selangor yang melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Yayasan Selangor dan dua anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS).

"Datuk Seri Noh Omar dijemput untuk menghadirkan diri sepanjang sesi pendengaran awam ini berlangsung supaya beliau dapat memberikan maklumat dan bukti apa yang didakwa penyelewengan dalam KSSB khususnya.

"Kehadiran beliau amat penting, selain dapat menunjukkan keikhlasan beliau dalam membenteras rasuah, beliau juga boleh mendapat idea, inspirasi dan semangat untuk melakukan perkara yang sama dalam pentadbiran Kerajaan Pusat BN," ujar Faekah tegas.

Sementara itu, Faekah turut mengulas kesediaan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membanteras segala bentuk penyelewengan dan salahguna kuasa.

"Usaha ini sejajar dengan aspirasi pentadbiran Kerajaan Pakatan yang mahukan pentadbiran kerajaan ini bersih daripada sebarang penyelewengan dan ketirisan dana awam.

"Ini penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran awam yang sebelum ini teruk tercemar disebabkan tindakan sesetengah pemimpin Umno/BN yang tamak dan mengamalkan kronisme," jelas Faekah lagi.

Faekah juga menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab sekiranya terdapat bukti penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Selain itu, pendengaran SELCAT juga akan mampu menghapuskan reputasi buruk yang cuba dibayangkan sesetengah pihak terhadap anak-anak syarikat Kerajaan Negeri," kata Faekah.

tv news/-

Swastakan Loji Benih Padi, Petani Derita

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PERMATANG, 21 FEB: Tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menswastakan loji benih padi di Negeri Selangor bukan sahaja menyebabkan pesawah terpaksa membeli harga benih tinggi.


Demikian menurut Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri ketika dihubungi Selangorkini baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan tersebut menyebabkan pesawah-pesawah di Tanjung Karang termasuk di Dun Permatang terpaksa membeli benih padi pada harga RM28 berbanding sebelum penswastaan RM22 tetapi dibekalkan benih yang tidak berkualiti.

"Dahulu kerajaan ada memiliki loji benih padi sendiri, jadi pesawah dapat beli benih padi dengan harga RM22 sahaja bagi setiap kampit 20kg.

"Tetapi apabila Datuk Seri Noh Omar jadi Menteri Pertanian, dia swastakan loji benih padi di sini dan menyebabkan pesawah terpaksa beli dengan harga RM28.

"Malangnya, sepatutnya apabila diswastakan kualiti benih dan sistem pembekalan jadi lebih baik tetapi menjadi teruk dan kucar kacir dan mampu menjejaskan pengeluaran padi negara ini," ujar Yahya.

Tegasnya, Inilah jadinya apabila kerajaan memberikan tanggungjawab ini kepada syarikat yang kurang pengetahuan dan keupayaan teknikal dalam mengeluarkan benih padi.

Yahya turut mendesak menteri terbabit yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjung Karang agar menjelaskan butiran subsidi RM20 bagi setiap kampit yang diberikan kepada pegusaha loji terbabit.

"Selain harga RM28 yang dibayar oleh pesawah, kerajaan turut membayar subsidi sebanyak RM20 kepada pengusaha logi benih terbabit bagi setiap kampit seberat 20kg.

"Kita menyokong subsidi untuk meringankan beban pesawah, tetapi soalnya subsidi RM20 itu adalah tinggi, tetapi tiada perincian untuk menampung kos apakah subsidi itu diberikan," katanya lagi.

tv news/-

Penjara Filipina dihujani peluru, 3 terbunuh

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MANILA - Puluhan lelaki bersenjatakan grenad dan bom, menyerang penjara selatan Filipina dalam cubaan membebaskan rakan mereka yang ditahan, tetapi dihalang polis sehingga mencetuskan pertempuran dan meragut tiga nyawa, kelmarin.

Menurut pegawai, 13 orang cedera dalam serangan itu dan orang awam terperangkap dalam pertempuran di luar dewan bandar raya Kidapawan, utara Cotabato dan di sepanjang jalan komersial utama.

Pegawai polis dan tentera menyalahkan bekas anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), tetapi jurucakap bagi kumpulan itu menafikannya.

Kejadian yang turut mengorbankan pemandu palang merah yang membawa orang awam ke hospital, berlaku apabila tiga penyerang membaling bom tangan ke dalam pintu pagar penjara sehingga mencetuskan tembak-menembak.

sinar harian/-

Roboh Rumah Allah Di Melaka : Kezaliman Melampau

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Pesuruhjaya Pas Melaka, Adly Zahari melahirkan rasa kecewa kerana sebuah surau di robohkan di Ujong Pasir oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

"UMNO gagal menjaga Islam, surau dirobohkan adalah bukti kegagalan UMNO

"Menurut penduduk setempat di Ujong Pasir, tapak surau itu telah puluhan tahun diwakafkan" ujar Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Adly mempersoalkan mengapa tanah-tanah wakaf sebegini tidak diselenggara dengan betul dan diwartakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Melaka MAIM) yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Kegagalan kerajaan negeri mewartakan tanah wakaf ini menyebabkan tanah tersebut terjual kepada pihak ketiga".

"Akhirnya surau yang didirikan oleh penduduk kampung di Ujong Pasir itu dirobohkan, atas alasan Pembangunan oleh pemaju" katanya dalam posting terbaru blog peribadi beliau adlyzahari.blogspot.com.

Menurutnya Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Penghulu, Wakil Rakyat dan Ketua Menteri sendiri tidak dapat menyelamatkan sebuah surau yang menjadi tempat ibadat dan aktiviti lain di kawasan tersebut.

"MAIM dan Ketua Menteri harus bertanggungjawab terhadap perobohan surau ini" tambah Adly.

Difahamkan Adly dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka, Harun Mohammed telah membuat lawatan ke surau tersebut baru-baru ini.

Dalam lawatan itu mereka mendapati masih terdapat banyak sejadah dan tikar sembahyang yang dibiarkan begitu sahaja bersama timbunan batu dan pasir kesan perobohan tersebut.

"Mereka tidak mengalihkan sejadah yang digunakan ketika operasi merobohkan surau tersebut"

"Surau itu dirobohkan 20 Januari lalu atas alasan tapak tanah surau itu hendak dibangunkan dan telah jatuh kepada pihak ketiga".

"Umno sering melaung-laungkan pembela Islam dan agama tetapi mereka sanggup membiarkan surau ini dirobohkan sedangkan mereka adalah parti yang berkuasa" ujar Harun yang juga Penyelia Dun Telok Mas.

selatan online/-

Musim Debat Bermula : Ibrahim Ali Berani Dalam Takut

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Debat di antara Dr Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng baru-baru ini telah berjaya membuka gelanggang debat terbuka di antara tokoh politik dan masyarakat negara kita.

Datuk Mahfuz Omar mengembalikan nostalgia 12 tahun yang lalu dengan mencabar Datuk Hishamudin untuk berdebat.

Saya menghubungi beliau sebentar tadi untuk bertanyakan perkembangan baru sama ada Hisham telah pun memberikan respon terhadap cabaran tersebut. Manalah tahu Hisham akan menghantar wakilnya seperti satu masa dahulu.

Terbaru, tiba-tiba Presiden Perkasa juga mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang untuk berdebat di atas tajuk siapa yang paling rasis, DAP atau Perkasa. Pada umumnya, saya boleh menerima tajuk tersebut kerana Perkasa sentiasa dipalitkan dengan perjuangan yang berlandaskan rasis, ruang yang ada ini dapat memberikan ruang Perkasa untuk membuktikan semua yang dilemparkan itu fitnah belaka.

Cuma yang agak melucukan adalah permintaan Datuk Ibrahim Ali yang mahu debat tersebut diadakan tanpa kehadiran hadirin atau penyokong. Saya tidak pasti apakah muslihat Datuk Ibrahim namun saya merasakan bahawa Datuk Ibrahim tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan suasana tekanan daripada hadirin khususnya yang tidak menyebelahinya.

Saya katakan begitu kerana saya teringat bagaimana Datuk Ibrahim pernah 'naik angin' semasa dalam perbahasan Parlimen apabila beliau diprovok oleh ahli Parlimen yang lain.

Pada pandangan saya, jika debat tersebut diadakan tanpa penyokong maka saya cadangkan Datuk Ibrahim kembali semula ke alam persekolahan kerana di peringkat sekolah kerana debat diperingkat sekolahpun mempunyai penyokong kedua-dua pihak.

Tahniah Datuk Ibrahim Ali kerana mencabar YAB Lim Guan Eng walaupun cabaran tersebut dapat dikategorikan sebagai cabaran BERANI DALAM TAKUT.

selatan online/-

Abdul Hadi: Pas tidak jadikan Islam senjata politik

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA PILAH – Pas tidak pernah menjadikan Islam sebagai senjata politik untuk meraih kuasa.

Sebaliknya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang telah menjadi tanggungjawab bagi umatnya untuk berjuang menegakkan hukum Islam dalam kehidupan mereka sehari-hari, termasuk urusan politik.

Sehubungan itu, menu­rutnya, tanggapan pihak tertentu bahawa parti itu menggunakan agama sebagai senjata politik, sama sekali tidak benar.

“Politik adalah sebaha­gian daripada ajaran Islam, bukan sebaliknya. Kita tidak boleh mempolitikkan Islam, tetapi perlu mengislamkan politik. Siapa kata politik terpisah daripada Islam?,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menggesa pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan agama sebagai senjata politik.

Abdul Hadi berkata, Islam sentiasa mengajar umatnya supaya ikhlas dalam melakukan sesuatu.

“Bukan sahaja ikhlas dalam bersolat, tetapi dalam politik juga kita perlu ikhlas. Ada orang ber­juang dalam politik hendak dapatkan nama, pangkat, projek atau harta, ini adalah tidak betul dan sudah tentu tidak dapat pahala,” katanya ketika menghadiri Majlis Pelancaran Dokumen Negara Berkebajikan dan Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan Pas kawasan Kuala Pilah, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abdul Ghani; Ahli Jawatan­kuasa Pas Pusat, Zulkefly Mohamad Omar; Timbalan Pesuruhjaya II Pas Negeri, Abdul Rahman Ramli dan Yang Dipertua Pas Kuala Pilah, Zaharuddin Othman.

sinar harian/-

Polis tumpaskan sindiket curi kenderaan, 12 suspek ditahan

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Polis menumpaskan satu sindiket curi kenderaan bernilai jutaan ringgit, yang dipercayai aktif sejak 10 tahun lepas, dengan tertangkapnya 12 suspek dalam serbuan berasingan di Selangor dan Perak pada Khamis dan Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki berusia antara 22 dan 33 tahun di belakang sebuah pasar raya di Rawang ketika kesemua mereka cuba mencuri sebuah lori pada 16 Feb lepas.

Beliau berkata polis kemudian memeriksa kenderaan dinaiki suspek dan menemui pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk mencuri seperti pemutar skru, gunting, playar, wayar yang diubah suai dan 'test pen'.

"Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun kira-kira 4 pagi pada 17 Feb lepas di Sabak Bernam yang membawa kepada serbuan di sebuah premis di Kampung Air Putih, Simpang di Perak pada hari sama," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Tun Hisan berkata dalam serbuan di premis itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta empat lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 18 dan 50 tahun, yang dipercayai anggota sindiket curi kenderaan terbabit.

Polis turut merampas 1,040 pintu lori, 1,101 enjin lori, 102 enjin kereta, 128 buah kenderaan jenama tempatan, 30 kepala lori, tiga buah lori, tiga bahagian hadapan kereta, dan beberapa kunci lori.

Kesemua nombor casis enjin telah dikikis bagi mengelak dikesan pihak berkuasa namun polis akan menggunakan khidmat forensik untuk mengesan nombor casis asal enjin berkenaan, katanya.

Tun Hisan berkata sehingga kini, polis mendapati kes terawal yang membabitkan sindiket itu adalah laporan kecurian sebuah lori pada 1999.

Berikutan itu, katanya polis meminta supaya seorang lelaki dikenali sebagai R. Muniandy, 38, iaitu pemilik premis berkenaan supaya tampil membantu siasatan kes itu.

Menurutnya premis berkenaan terletak di atas tanah persendirian di kawasan terpencil sebuah ladang kelapa sawit dan beroperasi tanpa lesen dari pihak berkuasa.

Polis juga masih menyiasat modus operandi sindiket berkenaan namun siasatan awal mendapati sindiket itu mencuri kenderaan di parkir, menyamun dan merampas kenderaan daripada pemilik, katanya.

Tun Hisan berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya membuat laporan kepada polis sekiranya mendapati premis yang mencurigakan di kawasan perumahan mereka.- Bernama

Sinar Harian

Israel: Bantahan esok solidariti rakyat Malaysia

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Kelab Anwar Ibrahim (AIC) mendokong dasar satu bantahan aman anjuran Jingga 13 dengan dokongan AMK, Pemuda PAS dan Kesatuan Pekerja North Port berikutan kemasukan kapal ZIM Europa kepunyaan Israel dan menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama berhimpun di hadapan pagar Westport, Pelabuhan Klang pada 22 Februari (esok), jam 5.00 petang.

“Bantahan ini adalah solidariti rakyat Malaysia terhadap kezaliman yang ditunjukkan Yahudi Israel dan penyokongnya termasuklah kerajaan Umno Barisan Nasional kepada rakyat Palestin,” kata setiausahanya, Nor Mazli Muhammad dalam satu kenyataan.

Katanya, AIC merasa simpati dengan kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin dengan peperangan fizikal dan mental yang dilancarkan oleh rejim Israel.

Tambahnya, keadaan diburukkan lagi dengan pencabulan pendirian Kerajaan Malaysia dengan membenarkan kapal-kapal kargo dari Israel berlabuh di pelabuhan negara kita.

Menurutnya, Malaysia mengamalkan diplomasi serantau tetapi dengan tegas tidak mempunyai hubungan perdagangan atau diplomatik dengan negara haram Israel.

Walau bagaimanapun, AIC mendapati tindakan kapal kargo Israel berlabuh di Pelabuhan Klang sebagai tamparan hebat buat rakyat Malaysia yang percaya Kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya hubungan dengan Israel.

“Tindakan Kerajaan Malaysia ini merupakan satu penghinaan kepada agama Islam dan perjuangan rakyat Palestin.

“Tindakan ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengiktiraf kerajaan haram Israel,” ujarnya lagi.

Katanya, polisi yang selama ini dilaungkan kerajaan Malaysia adalah satu penipuan kepada dunia dan rakyat Malaysia khususnya.

“Kita menentang sekeras-kerasnya tindakan kapal kargo Israel berlabuh di pelabuhan negara kerana akan membawa kepada satu perubahan kepercayaan terhadap ketegasan negara melawan regim Israel,” ujarnya.

Harakah Daily

Berlagak ‘suci’

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SAKIT...Muhamad Hafiz menunjukkan muka isterinya, Nuramiza Ezzanie yang cedera. ALOR SETAR: “Dia cuma berani di belakang, orang macam ini perlu diberi pengajaran,” kata Muhamad Hafiz Azizan, 23, suami mangsa ragut di Jalan Gelam-Jalan Datuk Kumbar, di sini, Jumaat lalu.

Muhamad Hafiz berkata, hatinya geram apabila menerima SMS dipercayai daripada peragut yang menggunakan telefon bimbit isteri yang berada di dalam beg diragut.

SMS berbunyi ‘Kami minta maaf, bukan niat kami benda nak jadi tak diduga, kami Mat Rempit tak diiktiraf tapi itulah salah dia (mangsa) sampai menggadai nyawa.’

Dia berharap, peragut terbabit ditangkap polis dan dihadapkan ke muka pengadilan.

SMS itu juga membuatkan, isterinya, Nuramiza Ezzanie Azmi, 21, semakin marah kerana peragut menyalahkan dirinya

my metro/

Debaran Villas-Boas

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LONDON – Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas berdepan satu ujian sukar dalam karier pada pertemuan kalah mati pertama Liga Juara-Juara menentang Napoli awal pagi esok.

Selain misi peribadi untuk menyelamatkan kariernya, Villas-Boas turut berdepan ujian penting untuk menggembalikan semula kegemilangan sku- ad The Blues musim ini.

Pada perlawanan tersebut, tumpuan sudah pasti terarah kepada Villas- Boas di tepi padang selepas rakan se- jawatannya di Napoli, Walter Mazzarri menjalani penggantungan dan hanya dibenarkan memberi arahan dari tempat duduk penonton sahaja.

Selepas hanya mencatat dua keme- nangan daripada 10 perlawanan terakhir Liga Perdana England, Chelsea perlu menewaskan Napoli bagi mengembalikan semula keyakinan pasukan itu selepas seri 1-1 dengan Birming- ham City di pusingan kelima Piala FA, Sabtu lalu.

Spekulasi pula bertiup kencang mengatakan Villas-Boas mungkin dipecat sekiranya tewas kepada Napoli.

“Anda perlu kekuatan mental tambahan untuk mendapatkan keputusan yang baik. Hanya kemenangan boleh membantu untuk keluar daripada saat buruk ini,” kata Villas-Boas.

Ditanya kenapa beliau fikir Chelsea boleh menang di San Paolo, Villas- Boas berkata: “Ini adalah bola sepak. Kadangkala ia boleh berlaku sebalik- nya kerana Napoli kuat dan kami juga kuat.”

Bagaimanapun, Chelsea dijangka turun tanpa ketua pasukan, John Terry yang masih cedera. – Reuters

Kapal terbang tersepit dengan helikopter

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

CALIFORNIA - Sebuah kapal terbang kecil dan helikopter tersepit antara satu sama lain di laluan udara di Utara California, menyebabkan dua juruterbang pesawat itu mengalami kecederaan ringan.

Pesawat enam tempat duduk Beechcraft Bonanza terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang, manakala helikopter dua tempat duduk Robinson R22 mendarat di atas padang berhampiran lebuh raya negeri, Highway 160.

Menurut jurucakap Pentad­biran Penerbangan Persekutuan, Ian Gregor, kemalangan itu berlaku berhampiran selatan Lapangan Terbang Kecil Bandaran Rio Vista, diantara Oakland dan Sacramento.

Dua juruterbang yang mengemudi pesawat persendirian itu terus dikejarkan ke hospital, dan pihak berkuasa tidak menemui penumpang lain selain mereka berdua.

sinar harian/-

2 maut, seorang parah kereta terbabas

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN — Dua maut manakala seorang cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Km 10.5 Jalan Kuantan Bypass lewat petang semalam.

Pegawai Turus Trafik Pahang, DSP Mohd Rizal Abdullah berkata, Norhazana Che Hasim, 28, yang memandu kereta itu dan Ismail Hassan, 48, penumpang hadapan, mati di tempat kejadian, manakala Suzilawaniasama Harun, 27, yang duduk di belakang cedera parah.

"Mereka yang menaiki sebuah kereta Proton Waja dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pelabuhan.

"Apabila sampai di tempat kejadian berhampiran Taman Pertanian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum kenderaan yang dinaiki tiga rakan sekerja itu terhumbang ke dalam longkang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. — BERNAMA

Pasir: Noh dijemput beri bukti kepada Selcat

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 21 Feb: Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dijemput hadir pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Negeri Selangor berhubung skandal pasir.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar) berkata, kehadiran Noh itu penting bagi memberikan maklumat dan bukti apa yang didakwanya sebelum ini kononnya wujud penyelewengan dalam pengendalian pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

"Datuk Seri Noh Omar dijemput untuk menghadirkan diri sepanjang sesi pendengaran awam ini berlangsung supaya beliau dapat memberikan maklumat dan bukti apa yang didakwa penyelewengan dalam KSSB khususnya.

"Kehadiran Noh Omar pada hari sesi pendengaran ini berlangsung amat penting, selain dapat menunjukkan keikhlasan beliau dalam membenteras rasuah, beliau juga boleh mendapat idea, inspirasi dan semangat untuk melakukan perkara yang sama dalam pentadbiran Kerajaan Pusat BN," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pendengaran awam terhadap KSSB, Yayasan Selangor dan dua anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) yang ditangguhkan sebelum ini disambung semula selama tiga hari bermula 5 Mac ini.

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Khim berkata keputusan untuk mengadakan pendengaran awam itu diambil selepas Selcat bermesyuarat pada 16 Feb lepas.

Menurut Faekah, meskipun ramai yang sangsi akan kesediaan Noh untuk hadir kerana berpendapat bahawa Noh berkobar-kobar dalam isu KSSB semata-mata mahu menutup skandal NFC yang telah mempalit lumpur kepada Umno dan seluruh kabinet BN, namun beliau masih mahu memberi faedah dari keraguan (benefit of the doubt) kepada Noh.

Tambah Faekah lagi, pendengaran Selcat akan mampu menghapuskan reputasi buruk yang cuba dibayangkan sesetengah pihak terhadap anak-anak syarikat kerajaan negeri tersebut.

Pada masa yang sama, jika benar terdapat penyelewengan dan salah guna kuasa katanya, tindakan sewajarnya akan tetap diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

"Dasar kerajaan negeri adalah jelas- tidak akan berkompromi dalam isu-isu rasuah dan salah guna kuasa.

"Justeru itu, kita mencabar, jika benar ketelusan yang mahu diperjuangkan oleh Noh, maka Kerajaan Pusat atau Noh Omar selaku Menteri Pertanian turut mengadakan sesi pendengaran awam atau mahkamah rakyat bagi membongkar penyelewengan dana NFC yang disalah guna oleh keluarga rakan baiknya, Datuk Seri Shahrizat Jalil," cabarnya.

Harakah Daily

Dua beranak bermalam di hutan

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LANCHANG – Dua beranak yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di belakang rumah dekat Kampung Bolok Hilir di sini sejak kelmarin ditemui selamat di belakang sebuah Tabika Kemas kampung berkenaan pagi semalam.

Mariana Mohd Zakaria, 28, dan anaknya Siti Alia Natasha Azli, 2, ditemui seorang guru Tabika Kemas dalam keadaan lemah di belakang bangunan Tabika berkenaan jam 10 pagi semalam kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Mangsa bersama anak tunggalnya keluar dari rumah adiknya dekat Taman Lanchang Permai di sini kira-kira jam 8.30 pagi selepas dikatakan cuba mengikut suaminya.

Mangsa dipercayai diganggu makhluk halus sejak sebulan lalu keluar dari rumah selepas mendengar panggilan suami dan cuba mengikut jejak suaminya ke dalam hutan.

Suami mangsa Azli Shaharudin 36, berkata, dia tinggal di Felda Lepar 3, Jerantut dan pada Sabtu lalu dia membawa isterinya ke Lanchang untuk mendapatkan rawatan tradisional selepas dikatakan diganggu penyakit misteri.

Menurutnya, sebelum berubat dia bermalam di rumah adik iparnya dan kelmarin dia keluar mengikut biras ke ladang.

“Pada masa itu, ahli keluarga maklumkan isteri saya keluar mengikut jejak saya ke dalam hutan dan terus hilang bersama anak saya," katanya.

Azli percaya isterinya bukan keluar rumah untuk mengikutnya sebaliknya mengikut gangguan makhluk halus yang menyerupainya ke dalam hutan.

“Isteri pernah keluar rumah dua kali sebelum ini, dia cakap nak ikut ‘suami yang berambut panjang,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, usaha menjejak mangsa diadakan sejak berita kehilangan mangsa dan anaknya dilaporkan kepada polis pagi kelmarin.

Menurutnya, polis dengan bantuan hampir 100 pegawai anggota, Ikatan Relawan Rakyat, PGA dan penduduk kampung memulakan gerakan mencari sejak tengah hari kelmarin.

“Kita juga telah meminta bantuan udara dalam menjejak mangsa sebelum mangsa dan anak ditemui selamat oleh guru tabika di kira-kira dua kilometer dari rumahnya,” katanya.

Mohd Nor berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah bertungkus lumus mencari mangsa sehingga jam 4 pagi semalam sebelum menghentikan operasi akibat hujan lebat.


Guru Tabika tak tahu kejadian orang hilang

Guru Tabika Kampung Bolok Hilir, Azizah Wahid yang menjumpai mangsa dalam keadaan lemah pagi semalam tidak tahu mengenai kejadian yang menimpa dua beranak berkenaan.

Azizah berkata, dia tidak tahu langsung usaha mencari sedang giat dijalankan bermula kelmarin dan hanya mengetahui mangsa adalah orang hilang selepas seorang penduduk kampung menghantar anaknya ke Tabika terbabit.

“Saya menemui mangsa secara kebetulan, masa itu saya nak keluar untuk buat panggilan telefon, sebaik membuka pintu belakang saya lihat dua beranak dalam keadaan lemah di penjuru bangunan Tabika.

“Dia hanya cakap tolong saya, bila diaju soalan langsung tidak jawab, saya kemudian buatkan air milo dan beri sedikit makanan dan tolong bersihkan anaknya.

“Masa itu keadaan mangsa sangat kotor dan seluar terkoyak, anaknya ada kesan calar pada kaki dan banyak gigitan nyamuk,” katanya.

Azizah berkata, lebih kurang 15 minit kemudian kawasan Tabika tempatnya mengajar dipenuhi polis dan pasukan mencari dan menyelamat membawa mangsa dan anaknya menerima rawatan kecemasan di Poliklinik Lanchang.

Sinar Harian

Hidup diselubungi bau busuk

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PONTIAN – Kira-kira 30 keluarga yang tinggal di Projek Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Murni, Pontian, di sini, terpaksa membuang sampah di merata tempat berikutan tiada tong khas disediakan untuk ­kemudahan membuang sisa pepejal itu.

Rata-rata penduduk mengakui ­tiada pilihan selain terpaksa menjadikan kawasan belukar, sungai, parit serta belakang rumah, sebagai ­tempat pembuangan ‘sampah haram’­ ­sejak lebih 10 tahun lepas.

Seorang penduduk, Abd Wahab Busharani, 60, berkata, penduduk terpaksa membuang sampah yang diisi dalam beg plastik ke kawasan tersebut atau membakarnya sahaja bagi melupuskan sisa pepejal itu.

“Ketiadaan perkhidmatan ­mengutip sampah di kawasan perumahan ini hanya menyebabkan ­lambakan sampah serta boleh mencemar keadaan alam sekitar di ­kawasan ini,” katanya.

Abd Wahab berkata, tindakan membuang sampah di merata-rata tempat itu terpaksa dilakukan kerana ia adalah langkah terakhir memandangkan bahan buangan itu sentiasa bertambah setiap hari.

“Sudah puas kami merayu ­kepada pihak berwajib supaya menyediakan satu tempat pembuangan sampah khas dan perkhidmatan mengangkut sampah di kawasan perumahan ini, namun ia masih belum ada jalan ­penyelesaian,” katanya.

Menurutnya, dia juga terpaksa meletakkan dan melonggokkan ­sampah di belakang rumahnya ­sebelum membakar sisa pepejal itu bagi ­mengurangkan masalah ­pencemaran bau yang terpaksa ­dihadapi mereka setiap hari.

“Kami sekeluarga terpaksa menghadapi bau busuk, pembiakan lalat dan nyamuk serta menyebabkan ­selera makan kami sekeluarga sering terganggu akibat daripada masalah ini,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, mereka sekeluarga juga ­sukar untuk membakar sampah pada ­musim tengkujuh apabila keadaan cuaca hujan berterusan hingga menyebabkan sampah berbau busuk.

“Kami minta pihak berwajib supaya menyelesaikan masalah ini segera kerana kami sudah tidak sanggup dikelilingi sampah bertimbun setiap hari akibat daripada pertambahan bilangan anggota keluarga,” katanya.

Sinar Harian

Kenderaan berat dikompaun

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KLANG - Sebanyak 32 kenderaan berat termasuk bas dikenakan kompaun dalam operasi bersama melibatkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) yang diadakan sekitar daerah ini.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam (JKPA), Norfiza Mahfiz berkata, antara kawasan yang terlibat dalam operasi itu ialah sekitar bandar Klang, Hentian Bas Pelabuhan Klang dan Bandar Sultan Sulaiman (BSS) serta beberapa lokasi lain menjadi tumpuan
pemandu meletakkan kenderaan mereka di situ.

Menurutnya, kesemua kenderaan itu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 46, Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 kerana menyebabkan halangan dan denda tidak melebihi RM 1000 ke atas setiap kenderaan.

“Operasi yang diadakan ini merupakan tindakan kali kedua bersama SPAD dan kami akan mempertingkatkan ia pada masa akan datang untuk memastikan tiada pihak yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

“Malah pemantauan juga akan diadakan dari masa ke semasa terutama di kawasan bandar ini dan pada masa yang sama lokasi lain termasuk di kawasan perumahan,” katanya.

Norfiza berkata, operasi terdahulu pada November lalu juga menyasarkan kawasan yang sama terutama di P1 di mana lokasi itu hanya untuk menurunkan dan mengambil penumpang namun terdapat segelintir pemandu yang tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan mereka di situ.

Tambahnya, operasi berkenaan juga secara tidak langsung melicinkan perjalanan aliran trafik yang sebelum ini sering tergendala gara-gara pemandu yang meletakkan kenderaan mereka termasuk bas dan lori di tepi-tepi jalan dan perumahan.

Sinar Harian

Polis tahan 21 orang, rampas mesin judi

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menahan 21 orang, merampas 83 mesin judi berkomputer serta wang tunai RM1,479 dalam serbuan di lima premis perjudian tanpa lesen di Taman Cahaya, Ampang, dekat sini malam tadi.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, DSP Izwan Abdul Karim berkata mereka yang berumur antara 20 dan 38 tahun terdiri daripada l6 lelaki dan lima wanita itu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti tersebut.

Bercakap kepada pemberita di sini, Izwan berkata dalam serbuan itu juga polis mendapati pengusaha premis judi menggunakan gerai makan di hadapan premis mereka untuk "menutup" pusat perjudian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pemilik premis cuba menarik minat pelanggan dengan menawarkan pelbagai bentuk cabutan bertuah menerusi pengumpulan mata tertinggi yang boleh diguna untuk menambah mata judi bagi permainan seterusnya atau ditukar kepada wang tunai.

Izwan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun.

Beliau berkata operasi dua jam bermula 11.15 malam itu disertai 10 pegawai dan 35 anggota dari D7 IPK Selangor dan Polis Daerah Ampang Jaya. - Bernama

Sinar Harian

9 kereta di PJ dipecah, barang bernilai dilarikan

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Sembilan pemilik kenderaan mengalami kerugian apabila cermin kereta dipecahkan dan barangan berharga dilarikan penjenayah dalam satu kejadian di Taman Desaria di sini, awal pagi ini.

Kenderaan itu diletakkan di kawasan lapang berhampiran Pusat Rukun Tetangga Taman Indah Jaya.

Difahamkan, kenderaan itu dipecahkan sekitar jam 4 pagi dan hanya disedari pemilik-pemilik kereta terbabit ketika hendak keluar bekerja.

Agency

Kapal Isreal: Kerajaan BN lukakan hati umat Islam

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Tindakan Kerajaan BN yang sanggup menjalinkan hubungan dagang dengan Israel benar-benar melukakan hati majoriti rakyat negara ini terutama yang beragama Islam.

Kehadiran dua buah kapal dagang milik rejim Israel, Zim Atlantic dan Zim USA ke Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu benar-benar mengejutkan seluruh rakyat negara ini sehingga memperlihatkan wajah sebenar Umno BN di mata orang ramai.

Dewan Ulama PAS Pusat sehubungan itu menuntut Kerajaan Malaysia segera membuat penjelasan mengenai kedudukan sebenar perkara itu kepada rakyat.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Aman Razali berkata, umat Islam yang cintakan akhirat sewajarnya tidak menjalin sebarang bentuk kerjasama dan perhubungan sosial atau ekonomi dengan mereka yang melakukan kezaliman sama ada kezaliman itu dilakukan oleh orang Islam sendiri atau bukan Islam.

"Negara haram Israel telah menzalimi umat Islam Palestin dalam tempoh yang panjang dengan merampas tanah air mereka dan membunuh ratusan ribu umat Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sebuah NGO, Jingga 13 seperti yang dilaporkan Harakahdaily semalam mendedahkan bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai hubungan dagang dengan negara rejim Israel.

Hubungan tersebut terbukti dengan kehadiran dua buah kapal, Zim Atlantic dan Zim USA yang telah berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu yang dimiliki oleh ZIM Integrated Shipping Services Ltd hak milik rejim Israel.

Koordinator Jingga 13, Fariz Musa menjelaskan, pihaknya juga telah mendapatkan bukti jelas bahawa hubungan antara Kerajaan Malaysia dan rejim Israel telah wujuh walaupun pemimpin Umno menafikan wujud hubungan dagang.

"Kehadiran ZIM USA yang sebelum ini didaftarkan di Haifa, Israel pada 25 Oktober 2010 dan kini didaftarkan di Republic Of Liberia pada 2 Februari 2012 dan ZIM Atlantic yang turut didaftarkan di Republic Of Liberia adalah milik Israel melalui Israel Corporation dengan pegangan saham sebanyak 98 peratus iaitu salah satu syarikat besar dimiliki oleh Israel," katanya.

Menurut Khairuddin, sebarang kerjasama sosial dan politik dengan mereka yang terang-terang melakukan kezaliman adalah satu keredhaan terhadap kezaliman.

Katanya, Allah berfirman dalam surah Hud ayat 113 bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderong hati terhadap orang-orang yang zalim, pasti kamu disentuh oleh api neraka."

"Jadi, sekiranya benar laporan yang menyatakan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang, ia memang benar-benar melukakan hati majoriti rakyat Malaysia beragama Islam," katanya yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mohd Khairuddin At-Takiri.

Harakah Daily

Anwar jumpa Nik Aziz perjelas isu Israel

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berasa lega kerana dapat memberikan penjelasan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kenyataan kontroversinya tentang Israel.

Beliau juga berkata dengan penjelasan itu, beliau mengaggap salah faham yang timbul sebelum ini selesai.

"Tok Guru Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya, dan saya pun faham pertimbangan PAS yang cukup tegas dan keras dalam soal Israel. Bagi saya, kita dah jelaskan dan perkara ini tidak berbangkit dan kita akan terus dengan program bersama seperti biasa.

"Saya rasa baik kerana telah beri penjelasan terhadap sedikit sebanyak keraguan dalam hal ini," katanya yang juga ketua pembangkang kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Pertemuan kira-kira 45 minit itu berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pagi ini.

Turut serta pada pertemuan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Anwar, beliau menjelaskan kepada Nik Aziz bahawa salah faham isu itu timbul ekoran media Umno yang hanya menggunakan sebahagian sahaja daripada kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar Wall Street Journal bulan lalu.

Ianya sekaligus memberi salah tafsiran terhadap pengiktirafan Israel sedangkan ia bukan bermaksud sedemikian.

"Masalahnya saya sebut, media Umno hanya guna bahagian pertama sahaja, bahawa ada kesediaan mengiktiraf dan mengawal keselamatan tetapi tidak ditekankan 'tertakluk kepada syarat-syarat, contingent'," katanya lagi.

Antara syarat tersebut katanya termasuk pengunduran tentera Israel dari Palestin dan negara arab lain, menghentikan kepungan terhadap Gaza dan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.

Turut dikongsi kepada Nik Aziz katanya pendirian pemimpin Hamas Khaled Mashal yang menerima penjelasan beliau sebelum ini.

"Dalam perbincangan dengan Khaled Mashal dia sebut "I know the word contingent".

"Akhirnya saya bagi tahu (Nik Aziz), saya tunduk dengan apa yang dikehendaki Hamas dan Fatah dan apa yang dirunding di Doha dua minggu lalu," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga mendakwa pendiriannya dengan PAS bukan perbezaan ketara namun yang berbeza sebenarnya adalah dengan Umno.

Menurutnya, Umno hipokrit dalam isu Israel ini apabila mendabik dada kononnya mereka tidak mengiktiraf Israel sedangkan kata Anwar pada masa sama Umno juga mengadakan hubungan perdagangan dengan negara itu.

Malah perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan sendiri masing masing mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari negara itu, kata Anwar.

Harakah Daily

Debat: Umno tunduk pada MCA untuk talian hayat

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Majlis debat antara Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Sabtu lepas membuktikan Umno terpaksa menggunakan talian hayat Presiden MCA untuk mendapat sokongan pengundi Cina.

“Umno di bawah kepimpinan Najib yang sudah hilang sokongan orang bukan Melayu.

“Orang bukan Melayu sudah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat, terutama selepas PRU 2008,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar).

Justeru, katanya MCA cuba meniupkan semangat anti Islam dengan memburukkan ajaran Islam kepada orang Cina supaya jangan memberikan undi kepada DAP.

Manakala Umno pula, ujarnya memainkan semangat perkauman Melayu supaya orang Melayu jangan memberi undi kepada PAS, nanti DAP akan menguasai politik Malaysia.

“Inilah dasar lidah bercabang dua parti yang menguasai BN untuk memastikan undi Melayu dan Cina berpecah, maka senang mereka untuk terus menindas rakyat dan memfaraid khazanah negara,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau mempersoalakan di mana pergi Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Dr Mashitah Ibrahim dan Ustaz Fathul Bari.

“Kenapa kamu membisu dan tidak menegur rakan sejawat kamu menakutkan Islam kepada orang bukan Islam?” tanya beliau.

Katanya, tokoh-tokoh agama di dalam Umno boleh nilai bahawa itulah hasil tarbiah agamawan Umno kepada Chua Soi Lek.

Beliau menambah, boleh perhatikan perbezaan ucapan dua tokoh Cina di dalam debat tersebut.

Katanya, Soi Lek dengan bangga mengatakan: “Kita orang Cina, berani menentang-menentang dan melawan Umno terutama dalam bab hudud, adakah DAP berani dalam hal ini?.

Ini pula, ujarnya jawapan Lim Guan Eng: “Kita orang DAP tidak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka, begitu juga orang PAS tidak pernah menghalang dalam bab agama kita.

Harakah Daily

Pergaduhan di penjara Mexico ragut 44 nyawa

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BANDAR MEXICO - Pergaduhan di penjara pinggir bandar Monterrey, Mexico, menyebabkan sekurang-kurangnya 44 terbunuh selepas mangsa-mangsa dipukul, ditikam dan dibaling batu..

Pergaduhan kelmarin, bermula apabila sebahagian kumpulan banduan membakar tilam-tilam dan seku­rang-kurangnya 12 banduan yang lain parah.

Pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan insiden di penjara yang dihuni 3,000 banduan itu kemungkinan dicetuskan ahli-ahli kartel Teluk Mexico dan kartel Zetas.

Penjara itu mengalami kesesakan banduan yang luar biasa selepas Presiden Felipe Calderon melakukan serangan agresif menentang penjenayah dadah.

Sinar Harian

Apakah Adik Ke Surga?

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Seorang bapak bersama istri dan putrinya datang ke Rumah Amalia, setahun lalu beliau dan keluarganya menyaksikan anaknya yang berusia tiga tahun meninggal dunia akibat penyakit yang dideritanya. Hingga kini masih menyisakan ruang kepedihan didalam relung hati beliau dan keluarga.

Terbayang wajah yang lucu dan menggemaskan, berlarian, tertawa, menangis. Kepedihan itu dirasakan semakin dalam disaat memikirkan bagaimana memberitahukan kepada sang kakak bahwa adik yang sangat disayang telah tiada. Akhir diajaklah sholat berjamaah dan berdoa bersama memohon kepada Allah agar adiknya yang telah berpulang diterima disisi Allah.

Sang kakak bertanya pada beliau, "Ayah, apakah adik ke surga?" Pertanyaan dengan tatapan polos tidak mampu untuk dijawab, air mata beliau dan istri bercucuran dengan anggukan kepala dan serta merta dipeluknya. Sungguh betapa berat melepas kepergian anak yang begitu sangat dicintainya.

Sahabatku, kehilangan orang yang kita cintai begitu teramat berat ,maka pilihannya hanya satu keikhlasan atau menerima ketetapan Allah akan membuat hati kita menjadi kuat dan sabar. Kehilangan atau ketiadaan orang yang kita cintai bisa terjadi tiba-tiba, tanpa pernah kita sangka dan kita duga. Jadikan, hidup ini selalu berserah dan ikhlas apapun yang Allah telah tetapkan untuk hidup kita.

Bahkan kita juga harus memiliki keyakinan apapun dimuka bumi ini tidak ada yang abadi. Semua yang bernyawa pasti akan mati. "Kullu nafsin dzaiqatul maut." Semua yang bernyawa pasti akan mati. (QS. al-Ankabut:57).

posted by :agussyafii

Serangan di Sembrong: Empat dipanggil polis

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Empat individu telah dipanggil bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian di Sembrong pada malam Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali, kejadian yang menyebabkan kereta ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, rosak dan kemek itu akan disiasat di bawah Seksyen 148 dan 440 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkaitan dengan rusuhan yang menggunakan senjata.

"Antara mereka yang dipanggil adalah saksi kejadian dan mereka yang membuat laporan itu," katanya dalam perbualan telefon dengan Malaysiakini lewat petang semalam.

Beliau berkata polis masih belum mengenal pasti mana-mana suspek lagi.

Abdul Majid, bagaimanapun, enggan mengesahkan dakwaan PKR bahawa kejadian berkenaan berlaku, di sebalik kehadiran sekurang-kurangnya 20 anggota polis yang berpakaian seragam.

"Kami memang mengawal keadaan pada malam itu dan akan menyiasat perkara (yang didakwa) tersebut," katanya.

Semalam, pada sidang akhbarnya, setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata kejadian di pejabat PKR di Jalan Mersing di Sembrong itu membabitkan kira-kira 50 hingga 80 anak muda yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 18 tahun.

NONEBeliau juga mendakwa bahawa penduduk tempatan memaklumkan kepada mereka bahawa remaja bermotosikal itu membaling kayu, batu dan juga mercun ke arah kereta Anwar dan mereka dipercayai adalah ahli Umno.

Pada kejadian itu, cermin depan kereta Anwar retak manakala pintu Mercedes Benz miliknya telah kemek. Ketua Pembangkang itu, bagaimanapun tidak mengalami sebarag kecederaan tetapi terpaksa menaiki kereta lain untuk perjalanan pulangnya ke Kuala Lumpur.

Seorang pemimpin PKR tempatan dilaporkan mengalami kecederaan ringan dalam pertengkaran berkenaan.

Sembrong adalah kawasan parlimen Menteri Dalam Negeri yang juga adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

malaysiakini/-

Himpunan Hijau 2.0 diadakan di luar Kuantan juga

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Sekumpulan NGO sedang mengenal pasti beberapa lokasi di negeri-negeri lain bagi menyokong Himpunan Hijau 2.0 yang dijadualkan di Kuantan pada Ahad ini bagi menjadikan bantahan terhadap pembinaan pusat memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang itu acara seluruh negara.

Antara tempat-tempat yang sedang dikenal-pasti bagi membantah kilang Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) itu adalah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu.

Perhimpunan di lokasi-lokasi itu akan bermula serentak pada jam 9.30 pagi bersamaan dengan Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di padang MPK1 di Kuantan. Menurut pihak penganjur, himpunan itu akan diadakan dalam suasana seperti pesta.

"Ini adalah untuk manfaat orang ramai dari negeri-negeri lain yang tidak mempunyai masa atau cara untuk datang ke Kuantan. Mereka boleh datang ke lokasi-lokasi berkenan," kata seorang ahli jawatankuasa penganjur yang enggan namanya disiarkan.

"Terpulang kepada setiap individu untuk memilih sama ada datang ke Kuantan atau mana-mana lokasi yang lain," katanya.

anti lynas shave hair event 190212 2Kempen di seluruh negara itu adalah anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Saya Anak Bangsa Malaysia, Asalkan Bukan Umno (Umno), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pasukan Bertindak Interlok Kebangsaan Interlok dan Jawatankuasa Selamatkan Jalan Sultan.

Sementara itu, sekumpulan penduduk Kuantan pada Ahad lalu secara beramai-ramai menggondolkan kepala mereka bagi persiapan menyertai perhimpunan Ahad depan.

Kira-kira 16 daripada mereka berkumpul di sebuah pasar di Kuantan sewal jam 8 pagi. Menurut kumpulan itu, mereka mahu kerajaan memastikan kilang memproses nadir bumi itu tidak didirikan di bumi Malaysia.

anti lynas shave hair event 190212 kid"Isu Lamps ini menjadi kebimbangan alam sekitar yang utama, jadi peserta ingin merakamkan kebimbangan dengan tindakan mencukur rambut mereka," kata penganjurnya, Winson Ooi.

Antara mereka yang membotakkan kepala adalah seorang budak lelaki berusia dua tahun.

Pengkritik loji kontroversi itu bimbang, kilang yang akan memulakan operasinya lewat tahun ini, akan menghasilkan pencemaran radiasi dan mungkin menimbulkan masalah kesihatan kepada penduduk sekitar.

Mayat nelayan lemas dijumpai

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BANDAR PENAWAR - Mayat nelayan yang lemas di Sungai Papan, kelmarin, dijumpai pada jam 12.25 tengahari semalam, kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dipercayai hilang.

Mayat Mohd Hazli Kasimon, 28, dijumpai terapung dalam operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan pihak bomba dan penyelamat.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Giman Gunorathi berkata, mayat mangsa dijumpai terapung selepas anggota penyelamat membuat goncangan air di kawasan berkenaan menggunakan bot.

“Selepas membuat goncangan air, kami dapati ada objek yang terapung. Setelah pemeriksaan dilakukan, objek berkenaan adalah mayat mangsa yang hilang dan lengkap berpakaian dijumpai kira-kira dua kilometer daripada tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, operasi mencari mangsa yang bermula pada jam 8 pagi itu, turut disertai seramai 20 anggota bomba dan penyelamat dengan bantuan peralatan seperti bot dan
jet ski.

“Operasi yang masuk hari kedua digerakkan dengan menggunakan tiga bot dan sebuah jet ski. Malah, kita juga meneruskan operasi mencari sehingga jam 2 pagi semalam, dengan dibantu orang awam dan anggota marin.

“Dengan penemuan mayat mangsa, secara rasmi operasi mencari ditamatkan pada jam 1.50 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Che Mahazan Che Aik, ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh sebelum kepala dan kakinya terkena bilah kipas enjin bot yang masih berfungsi sebelum dihanyutkan arus.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat dan dituntut keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Felda Papan Timur,” katanya.

Agency

PR harap undi Melayu rampas NS

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) Negeri Sembilan akan memberi tumpuan untuk memenangi hati pengundi Melayu bagi memastikan usaha mereka mengambil alih pemerintahan negeri menjadi kenyataan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, Anthony Loke berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya menjadikan tiga kawasan Parlimen majoriti Melayu iaitu Jelebu, Kuala Pilah dan Tampin sebagai sasaran.

“Kita jadikan tiga kawasan ini sebagai sasaran kerana di kawasan bandar seperti Seremban, Rasah dan Port Dickson, tiada masalah besar bagi PR untuk mendapat sokongan,” katanya ketika mengunjungi pejabat Sinar Harian di sini, semalam.

Turut serta dalam kunjungan itu, Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Bahrin Abbas; Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Taufek Abdul Ghani; Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Dr Rosli Yaakop dan Adun Ampangan, Rashid Latiff.

Anthony yang juga Ketua Pemuda DAP dan Adun Lobak berkata, sokongan pengundi di tiga kawasan majoriti Melayu itu akan menjadi penentu sama ada PR mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Memang kita perlukan sokongan semua kaum tetapi sokongan pengundi Melayu sangat penting bagi kita kerana 60 peratus rakyat Negeri Sembilan adalah orang Melayu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Anthony berkata, di kawasan bandar, meskipun bermajoriti Melayu iaitu 60 peratus, namun hanya 52 peratus yang berdaftar sebagai pengundi.

“Daripada kajian, UMNO memang mempunyai kelebihan untuk mendapat undi Melayu namun parti komponen BN yang lain menjadi liabiliti untuk mereka, terutama pengundi Cina.

“Ini juga diakui oleh BN sendiri yang sedar mereka bermasalah besar untuk mendapat undi Cina, bukan saja di kawasan DAP malahan juga di kawasan PKR dan Pas,” katanya.

Sehubungan itu, kata Anthony, sebagaimana PR bergantung kepada undi Melayu untuk menumbangkan BN, BN pula terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk mengekalkan kuasa.

Pada pilihan raya umum lalu, PR menguasai 15 daripada 36 kerusi yang ditandingi, satu pencapaian paling besar oleh pembangkang dalam sejarah Dun negeri itu.

sinar harian/-

Penyenaraian FGVH: Henti usaha 'rasuah' penerokaPenyenaraian FGVH: Henti usaha 'rasuah' peneroka

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendesak pihak pentadbiran Felda menghentikan sebarang usaha 'merasuah' peneroka supaya bersetuju dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, beliau mendapat maklumat usaha 'memujuk' itu sedang giat dilakukan di seluruh kawasan Felda.

Ianya termasuk satu surat pekeliling daripada pengurus Felda kepada peneroka yang meminta maklumat keluarga peneroka kononnya bagi tujuan pemberian saham.

"Mereka juga mewar-warkan kononnya peneroka akan mendapat sejumlah wang dari penyenaraian.

"Yang peliknya ada peneroka ditawar RM10,000 dan sesetengah peneroka ditawar RM20,000," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu, pekeliling itu juga kata Mazlan turut meminta peneroka melampirkan salinan geran ladang utama, geran ladang tambahan, geran rumah dan salinan kad pengenalan ahli keluarga peneroka dipercayai untuk tujuan penyenaraian itu.

Menurut Mazlan lagi, tindakan-tindakan tersebut adalah menyalahi prosedur sepatutnya kerana isu penyenaraian ini masih lagi tergantung dan sedang dalam proses mahkamah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pekeliling dan tawaran wang itu sebagai usaha Felda memujuk peneroka mengikut kehendak pentadbiran Felda.

"Saya akan buat satu laporan SPRM dan laporan polis 22 Februari ini.

"Saya harap pengurus-pengurus felda dapat tarik balik serta-merta pekeliling ini," katanya.

Semalam, beliau bersama peguam Mohd Harris Abdullah menyerahkan perintah injunksi mahkamah kepada pentadbiran Koperasi Pemodalan Felda (KPF) yang melarang mereka membincangkan soal penyenaraian pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) KPF 22 Februari ini.

Harakah Daily

Pemuda PAS rakam tahniah kepada Sultan Sharafuddin

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan di atas penganugerahan pingat Commandeur de la Legion d'Honneur , anugerah tertinggi Perancis oleh Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.

Anugerah tersebut adalah untuk mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Sultan Selangor dan Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), telah disampaikan oleh Panglima Angkatan Tentera Perancis Edouard Guillaud di French Residence di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan seluruh rakyat negeri Selangor berasa cukup berbangga di atas penganugerahan dan pengiktirafan ini yang telah menunjukkan di peringkat antabangsa kewibawaan dan ketokohan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pemerintah negeri Selangor dan jajahan takluknya serta Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia,” kata Ketua Pemuda PAS negeri, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam satu kenyataan.

Harakah Daily

Kelantan tambah pendakwah untuk orang Asli

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 21 Feb: Bagi menjaga akidah Orang Asli yang telah memeluk Islam sentiasa terjaga agar tidak mudah diganggui oleh fahaman lain, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), telah menambah enam orang lagi pendakwahnya.

(Ustaz Mohamad Mustafa menyampaikan rekplika kunci motor iaitu salah satu kit alat bantuan dakwah kepada Muallim Jaheaik.)
Dengan pertambahan itu, kesemua pendakwah yang bertugas di lima penempatan Orang Asli kini berjumlah 18 orang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Ustaz Muhammad Mustapha berkata, sebelum ini seramai 12 orang bagi menyampaikan dakwah Islam berterusan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kursus Asas Pengurusan dan Dakwah serta penyampaian kit alat bantuan dakwah kepada muallim Jaheaik.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengarah Jaheaik (Bahagian Koperasi) Ustaz Mohd Salleh Mat Jusoh dan Ketua Penolong Pengarah (Dakwah) Ustaz Hasnan Ramli.

Sambungnya lagi, kesemua 18 orang pendakwah yang sebahagian besarnya masih bujang itu akan tinggal di sana selama tiga minggu dan seminggu pulang bercuti.

“Dengan adanya pendakwah kita di sana mereka akan mengikuti pengajian Islam secara terperinci dengan membaca al-Quran, kelas fardhu ain dan berbagai lagi termasuk mempelajari solat,”ujarnya.

Sementara itu sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk membiayai perlatan bantuan dakwah seperti motosikal, computer riba, projektor, kelengkapan jenazah dan berbagai lagi.

Harakah Daily

Tentera Pakistan hasilkan ‘iPad’

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KAMRA, Pakistan – Di dalam sebuah kompleks tentera udara kawalan ketat yang membina jet-jet pejuang dan sistem senjata api, tentera Pakistan kini mempunyai empayar komersial tambahan, iaitu komputer tablet iPad versi tempatan.

Pengeluran komputer itu melibatkan kerjasama jurutera-jurutera Pakistan dan perkakasan komputer.

Jurutera-jurutera penerbangan memasang komputer tablet iPad versi tempatan itu, PACPAD 1 di sebuah pangkalan tentera udara di Kamra, utara Pakistan.

“Asalnya iPad, salinannya ialah PACPAD 1,” kata Mohammad Imran yang meletakkan produk itu di kedai kecil komputer dan telefon bimbitnya di sebuah pusat beli-belah di Rawalpindi tidak jauh dari sini. Komputer itu menggunakan satu sistem yang dihasilkan Google, Android 2.3 secara percuma.

Pada harga AS$200 (RM607.79), PACPAD 1 murah lebih separuh harga daripada komputer Apple atau Samsung dan komputer tablet keluaran China di pasaran.

Nama singkatan PAC adalah merujuk kepada Kompleks Aeronautikal Pakistan.

Hanya beberapa ratus produk itu telah dibuat setakat ini walaupun kumpulan baharu komputer tersebut akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Industri pertahanan cuba untuk menunjukkan kehadirannya dengan melakukan lebih daripada hanya untuk mengeluarkan senjata,” kata penulis kajian penglibatan tentera dalam perniagaan, Ayesha Siddiqa. – AP

Harga minyak lonjak ke paras tertinggi

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEBERAPA orang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Teheran, Iran kelmarin.

SINGAPURA – Harga minyak melonjak ke paras tertinggi sejak sembilan bulan lalu kepada hampir AS$105 (RM318) setong di Asia semalam selepas Iran menyatakan ia menghentikan eksport minyak mentah ke Britain dan Perancis di sebalik peningkatan perbalahan berhubung program nuklear Teheran.

Harga minyak mentah naik AS$1.50 (RM4.54) kepada AS$104.74 (RM316.7) setong pada waktu tengah hari di Singapura semalam.

Sebelum itu, harga minyak mentah meningkat kepada AS$105.21 (RM318.1) yang paling tinggi sejak bulan Mei tahun lalu.

Pada Ahad lalu, Kementerian Minyak Iran menyatakan negara itu menghentikan penghantaran minyak mentah kepada syarikat-syarikat Britain dan Perancis yang merupakan satu tamparan kepada Kesatuan Eropah (EU) selepas EU melaksanakan sekatan ke atas eksport minyak Iran.

Sekatan itu termasuk pembekuan aset bank Iran yang akan bermula pada Julai depan.

Menteri Minyak Iran, Rostam Qassemi memberi amaran pada awal bulan ini bahawa negaranya akan mengurangkan eksport minyak kepada negara-negara Eropah.

Negara-negara EU yang dianggotai 27 buah negara meggunakan 18 peratus minyak Iran yang dieksport.

– Agensi

Padah rasuah pegawai JPJ

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara empat bulan terhadap seorang peniaga selepas mengaku salah memberi rasuah, tahun lalu.

A Krishnan, 42, dituduh memberi suapan sebanyak RM100 kepada seorang Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai dorongan tidak mengeluarkan saman ke atasnya kerana gagal memakai tali pinggang keledar.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di laluan pintu masuk Malaysia/Singapura di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuaratin, Bangunan Sultan Iskandar, di sini, sekitar jam 4 petang, 20 Mei 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding berkenaan, Krishnan yang memakai kemeja lengan pendek berwarna merah sekadar mengangguk faham seterusnya mengaku salah atas kesalahan dilakukan ketika kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim, Mohd Nasir Nordin.

Bagaimanapun, tertuduh ada mengemukakan rayuan agar hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasnya dapat diminimumkan berikutan kesalahan dilakukan adalah kali pertama seterusnya berjanji tidak mengulangi pada masa akan datang.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ridzuan Abdul Malik, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian

Isteri maut selepas kelar suami

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MAYAT Jian Min (gambar kecil) terbaring selepas dikatakan terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Lintang Paya Terubong, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Pergaduhan sepasang suami isteri yang dikatakan berpunca akibat kehadiran orang ketiga berakhir selepas suri rumah terbabit ditemui maut setelah terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Lintang Paya Terubong, Air Itam di sini semalam.

Mangsa, Qie Jian Min, 37, yang merupakan seorang warganegara China dijumpai dalam keadaan terbaring tanpa kesan darah di tepi bangunan berkenaan kira-kira pukul 1.10 pagi.

Pada masa yang sama, hasil pemeriksaan polis di rumah mangsa pula mendapati suaminya yang ingin dikenali sebagai Ah Hin, 44, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil bilik tidurnya dengan kesan darah dipercayai dikelar isterinya menggunakan sebilah pisau.

Jian Min maut selepas dikatakan cuba melarikan diri melalui tingkap rumahnya sebelum tergelincir dan terjatuh dari bangunan setinggi 28.5 meter.

kosmo/-

Banjir dalam terowong

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KEADAAN terowong pejalan kaki yang dilimpahi air hujan di Jalan Jambatan Kota berdekatan Centre Point, Klang semalam.

KLANG – Pejalan kaki di pusat bandar ini terpaksa bertarung nyawa untuk melintas Jalan Jambatan Kota di sini yang sibuk apabila kemudahan terowong yang ada tidak dapat digunakan setiap kali hujan lebat kerana ditakungi air.

Terowong sepanjang kira-kira 100 meter itu dibina untuk menghubungkan perhentian bas Klang ke pusat beli-belah Centre Point yang terletak di seberang jalan.

Ketika tinjauan di lokasi itu semalam, wartawan Kosmo! sempat merasai pengalaman berjalan kaki melintasi jalan terbabit bersama orang ramai dan ternyata ia amat menakutkan.

kosmo/-

Anwar tak gentar dengan serangan di Sembrong

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Di sebalik taktik liar kerajaan BN untuk menakut-nakutkan pemimpin dan penyokong Pakatan daripada menembusi kubu kuat mereka, Ketua Pembangkang Datuk Anwar Ibrahim berkata beliau langsung tidak gentar dengan kejadian di Sembrong, Johor pada Ahad lalu.

Menceritakan pengalaman di mana keretanya diserang kepada kira-kira 1,000 hadirin dalam satu lagi ceramah di Gombak Setia malam semalam, ketua umum PKR itu berkata kerajaan, khususnya Umno tidak lagi boleh memperbodohkan rakyat.

Menurut Anwar, beliau tiba di Sembrong kira-kira jam 11:30 malam dari Endau.

"Apabila saya berada di Semborong, kereta saya diserang dan ditendang, cermin hadapan dipecahkan oleh sekumpulan anak-anak muda.

"Terdapat polis di kawasan sekitar tetapi tidak berbuat apa-apa untuk mengawal keadaan. Malah semasa saya menyampaikan ucapan, mereka membaling mercun," katanya.

Anak-anak muda ini, dakwa Anwar, telah dibayar oleh Umno untuk menimbulkan kekacauan dan masalah.

"Mereka dibayar RM20 untuk menimbulkan kekacauan... inilah mentaliti belia kita yang telah rosakkan di tangan Umno.

"Jika masih ada sisa-sisa Umno di dalam diri kamu, buangkannya, sila berhenti, kerana ini memalukan bagi diri kita.

Anwar yang suatu ketika dahulu adalah juga timbalan presiden Umno berkata rakyat tidak harus diperbodohkan atau diperdayakan oleh parti itu. Sambil memetik senikata lagu Umno, beliau kemudian mendendangkan lagu itu: " Lambang kita yang gagah” sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Dalam nada lebih serius, Umno, kata Anwar, boleh mengupah samseng untuk mengganggu majlis Pakatan ataupun membidas dan memburuk-burukkan beliau dalam media, tetapi katanya, beliau tetap tidak gentar dan tdak akan bertolak ansur.

Pada kejadian malam Ahad itu, selain kereta Anwar dipecahkan, kira-kira 50 hingga 80 anak muda yang bermotosikal menggangu ceramah Pakatan di Sembrong dengan membuat bising serta merempit di kawasan sekitar.

Kejadian itu hanya salah satu daripada siri gangguan dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila pemimpin Pakatan cuba menggempur kubu-kubu BN, khususnya Umno menjelang pilihan raya umum akan datang.

Isnin lalu, kunjungan Anwar ke Felda Tun Ghafar Baba, di Machap, Alor Gajah juga dicemari oleh penyokong Umno yang mengganggu ceramah beliau.

Manakala pada Jumaat lalu pula sekatan jalan raya didirikan daripda menghalang pemimpin dan penyokong Pakatan daripada menghadri ceramah yang dijadualkan di kubu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan.

Malah, Anwar terpaksa menaiki motosikal untuk menuju ke lokasi cermahnya (gambar di bawah).

Pada ceramahnya, malam semalam, Anwar juga mengambil kesempatan bagi menjelaskan dakwaan kerajaan bahawa beliau menyokong negara Israel dan tidak membantu perjuangan rakyat Palestin.

Beliau mengulangi kepada hadirin bahawa kenyataannya dipetik di luar konteks.

Jelasnya, beliau memang menyebut bahawa beliau menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel, tetapi pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin.

"Saya secara konsisten mempertahankan isu Palestin tetapi Umno mengatakan saya sokong Israel dan mengutuk saya, jika ini adalah benar, maka mari kita berdebat," katanya.

malaysiakini/-

Solat hajat '16 OKT mansuh ISA' malam ini

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Satu majlis solat hajat dan ceramah khas 'Solidariti Untuk 16 OKT Kes Mansuh ISA' akan diadakan pada malam ini di surau Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar.

Menurut Timbalannya DMPP Dr. Siti Mariah Mahmud, majlis ini diadakan sebagai tanda solidariti kepada kesemua orang kena tahan (OKT) yang akan mendengar keputusan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, esok.

Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof akan turut serta malam ini.

"Semua pejuang yang sayangkan perjuangan mansuhkan ISA ini diseru hadir beramai-ramai sebagai tanda sokongan kepada OKT ini," kata beliau kepada Harakahdaily semalam.

Pada 21 Oktober tahun lalu, 16 OKT ini yang didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dipanggil membela diri kerana pihak pendakwa berjaya membuktikan prima facie kes bagi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 27 Akta Polis.

Jika sabit kesalahan mereka akan didenda dan dipenjarakan.

Lima daripada OKT tersebut merupakan wanita termasuk Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi.

Dua lagi iaitu Nashita Md Nor dan Norlaila Othman merupakan aktivis Gerakan MAnsuhkan ISA (GMI) manakala dua lagi iaitu Salmah Ismail and Hayati Abd Samad merupakan Wanita PKR.

Mereka ditahan pada hari perhimpunan aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 dan menghadapi perbicaraan lebih dua tahun.

Seramai 29 orang didakwa dan 13 tahanan yang merupakan anggota Unit Amal iaitu pertubuhan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966.

13 tahanan itu bagaimanapun dibebaskan kerana pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti-bukti bahawa ianya pertubuhan haram dan tidak boleh disabitkan dengan menyertai perhimpunan haram.

Harakah Daily

30 banduan larikan diri daripada rusuhan

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MONTERREY, Mexico 21 Feb. - Seramai 30 banduan berjaya melarikan diri dari sebuah penjara di utara Mexico selepas satu rusuhan penjara yang membunuh sekurang-kurangnya 44 banduan, kelmarin.

“Di tengah rusuhan dan kekacauan dalam penjara, seramai 30 banduan berjaya melarikan diri dari penjara,” kata Rodrigo Medina, Gabenor wilayah Nuevo Leon semalam dalam satu sidang akhbar.

Pergelutan meletus antara dua kumpulan saingan di penjara Apodaca, wilayah Nuevo Leon pada pagi kelmarin yang menyebabkan 44 banduan terbunuh dalam rusuhan itu. - AFP

Bapa dakwa pusat perubatan cuai

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GERIK – Kecuaian kakitangan sebuah pusat perubatan di sini, didakwa menjadi punca kematian seorang remaja, Athirah Mohd Mansyur, 13, yang sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 21 Januari lalu.

Bapa Athirah, Mohd Mansyur Ruhi, 44, berkata, keadaan anaknya amat membimbangkan ketika dimasukkan ke pusat perubatan itu.

Menurutnya, Athirah mengadu mengalami sakit kepala yang teruk dan muntah-muntah, menyebabkan dia meminta pihak berkenaan menjalankan pemeriksaan rapi terhadap anaknya.

“Pihak berkenaan memaklumkan anak saya hanya mengalami kecederaan ringan sahaja selepas membuat imbasan x-ray tetapi perlu ditahan di wad buat sementara waktu.

“Keesokan paginya, doktor memberitahu keadaan Athirah tidak serius dan tidak perlu dirujuk ke Hospital Taiping kerana tidak semestinya kemalangan itu menyebabkan dia cedera parah di bahagian dalaman kepala,” katanya ketika di di Balai Polis Gerik, Rabu lalu.

Menurut Mohd Mansyur, Dua hari selepas itu, anaknya dibawa ke Hospital Taiping bagaimanapun terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, (HRPB) Ipoh kerana keadaannya tenat.

Mohd Mansyur, anaknya disahkan telah meninggal dunia oleh doktor di hospital tersebut.

“Saya kesal kenapa pihak berkenaan tidak mewadkan anak saya di hospital Taiping atau Ipoh, sebaliknya bila keadaan kritikal barulah berbuat demikian.

“Selain itu, Athirah juga tidak diberi makan sepanjang dirawat dengan alasan perlu berpuasa,” katanya.

Mohd Mansyur menyatakan, dia tidak kecewa jika pihak berkenaan mengambil berat keadaan anaknya dan bertindak segera walaupun Athirah meninggal dunia.

Katanya, anaknya mungkin boleh diselamatkan jika pihak berkenaan mengambil berat keadaan Athirah yang mengalami kecederaan dalaman di kepala.

“Saya terkilan di atas sikap kakitangan berkenaan dan berharap perkara yang sama tidak akan berulang kepada orang lain,” katanya.

Sebelum ini, Athirah terbabit dalam kemalangan ketika membonceng motosikal yang ditunggang abangnya, MOhd Afiq semasa dalamperjalanan pulang ke rumah dari SMK Bersia.

Dalam kejadian itu, motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah Toyota Hilux menyebabkan Athirah tercampak di atas jalan berhampiran lampu isyarat di persimpangan Felda Bersia dan Kampung Bandariang.

Athirah mengalami luka di bahagian kepala, manakala abangnya cedera di muka.

Sementara itu maklum balas daripada pihak berkenaan akan disiarkan esok.

Sinar Harian