15 Mei 2010

PELABURAN AMANAH RAYA BERHAD DALAM MAGNUN CORPORATION

1 Jamadil Akhir 1431H.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng (DPPKG) mengucapkan tahniah diatas keberanian Sahibus Samahah Tan Sri Dr. Hj. Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Perak yang berani mengeluarkan kenyataan menentang keputusan kerajaan Barisan Nasional yang meluluskan lesen perjudian dan menyifatkannya sebagai menentang hukum syarak. DPPKG juga berharap lebih ramai mufti serta cerdik pandai Islam tampil untuk membuat kenyataan menentang keputusan kerajaan ini yang secara terang-terangan bertentangan dengan hukum Allah SWT dan sudah pastinya memberikan kesan negatif kepada rakyat.

Walaubagaimanapun DPPKG juga melahirkan rasa sedih terhadap tindakan Amanah Raya Berhad (ARB) yang melabur sebahagian dari dana di dalam syarikat Magnum Corporation Berhad yang merupakan sebuah dari syarikat perjudian berlesen. Dalam laporan tahunan 2006 yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan pada mukasurat 121 dan 122 menunjukkan bahawa Amanah Raya Berhad melalui Amanah Raya Nominess (Tempatan) Sdn Bhd merupakan sebahagian dari 30 pemegang saham terbesar syarikat perjudian tersebut dengan 1.06% pegangan atau 15,487,200 saham.

DPPKG menyatakan rasa kesal kerana menurut laporan tahunan 2007 dan 2008 mufti Perak masih lagi menjadi sebahagian dari Panel Syariah ARB. DPPKG merasakan sebagai anggota panel syariah syarikat berkenaan, Mufti Perak seharusnya bertanggungjawab untuk menghalang pelaburan dibuat oleh ARB ke dalam syarikat-syarikat yang melibatkan perjudian. Lebih malang lagi Pengerusi ARB, Dato’ Dusuki Ahmad adalah bekas Ketua Pengarah dan Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang mempunyai kelulusan Sarjana dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

DPPKG berharap agar Tan Sri Mufti Perak mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi saham-saham yang dimiliki oleh orang Islam di dalam ARB dari dicemari sumber haram. DPPKG juga amat berharap pengurusan ARB akan segera menarik balik pelaburan tersebut dari Magnum Corporation sebagaimana yang dilakukan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum ini.

HARIS BIN ALIMUDIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS
Kawasan Gopeng

PELAWA MASUK UMNO: PERSILAKAN MASUK PAS

1 Jamadil Akhir 1431H.
Kenyataan Media (14 Mei 2010)

PELAWA MASUK UMNO: PERSILAKAN MASUK PAS

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) hari ini pula menggesa supaya Ahli Umno Negeri Perak amnya dan juga Ahli Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak khasnya agar membubarkan Umno dan menyertai PAS serta mempelawa Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut bersama PAS yang jelas berjuang untuk Islam dan rakyat amnya . Umno yang jelas gagal dan dilihat tidak lagi relevan di negeri Perak dan Malaysia amnya kerana politik perkauman yang dimainkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah ditolak rakyat Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Malah DPPN Pk juga mempelawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan juga ADUN Bebas untuk bersama PAS dan juga Pakatan Rakyat (PR) yang dapat di lihat kini mendapat sambutan hangat di seluruh lapisan masyarakat dan terbukti efisien dan efektif berdasarkan laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

DPPN Pk juga mempelawa semua Ahli Parti Kompenan BN Perak untuk turut serta bersama PAS di dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Negeri Perak atau di dalam Parti PR Perak yang ada. Rakyat yang semakin menolak Umno / BN perlu bersama kami demi menegakkan keadilan dan kebajikan untuk rakyat .

DPPN Pk bukan sahaja mempelawa Umno dan BN, bahkan DPPN Pk juga turut mempelawa golongan-golongan belia yang di sisih oleh masyarakat iaitu ‘Mat Rempit’ yang akan turut alu-alukan. DPPN Pk yang menyediakan program khas ‘Orang Muda Geng Kita’ tidak akan menyisih mana-mana kelompok belia untuk bersama kami.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Perhimpunan bantah lesen judi, konsert kecoh


1 Jamadil Akhir 1431H.

Kekecohan berlaku apabila pihak polis cuba menghentikan ucapan pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO yang membantah tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi pertaruhan bolasepak Piala dunia dan penganjuran konsert 12 jam yang membabitkan artis luar negara, Pitbull.

Mereka mengadakan bantahan tersebut sejurus selepas selesai solat Jumaat Masjid Jamek Kampung Baru pada kira-kira jam 2.10 petang.

Ia berlangsung di atas sebuah pentas dalam kawasan masjid tersebut.

Kejadian itu disaksikan oleh kira-kira 500 orang yang berada di situ, termasuk mereka yang sedang beredar selepas selesai solat Jumaat.

Mereka yang hadir di pentas tersebut ialah pemangku ketua PAS Wilayah Persekutuan (WP) Herman Shamsudeen dan setiausaha Pemuda PAS pusat, Kamaruzzaman Mohamad.

Yang lainnya ialah ketua Angkatan Muda (AMK) Selangor Khairul Annuar Ahmad Zainuddin, wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambry Mat Isa, wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Kelab Penyokong PAS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Majlis itu bermula dengan ucapan Kamaruzzaman selama lima minit, membantah pengeluaran lesen judi pertaruhan tersebut serta penganjuran konsert berkenaan.

Selepas itu, tiba giliran Khairul Annuar pula berucap. Ketika beliau sedang berucap, anggota polis naik ke pentas untuk merampas pembesar suara.

Khairul Annuar bagaimanapun meneruskan ucapannya tanpa pembesar suara.

Pada masa yang sama, kelihatan Kamaruzzaman berunding dengan pegawai polis di belakang pentas.

Kamaruzzaman berkata, beliau meminta kepada polis supaya membenarkan mereka meneruskan majlis itu selama 10 minit.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis hanya membenarkan mereka meneruskannya selama lima minit sahaja.

Pihak polis juga kemudiannya memulangkan pembesar suara yang dirampas sebelum ini.

Bagaimanapun, tidak sampai dua minit penceramah berikutnya berucap, anggota polis naik semula ke pentas untuk merampas pembesar suara tersebut.

Ketika itu berlaku insiden tolak menolak dan tarik menarik sehingga ada yang terjatuh dari pentas.

Ekoran itu, kata Kamaruzzaman, beliau terpaksa berunding lagi sekali dengan polis supaya membenarkan mereka meneruskan bantahan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis mengarahkan beliau supaya meminta orang ramai beredar dari situ.

Ekoran itu, katanya, beliau terus meminta orang ramai beredar.

Difahamkan seorang pemuda ditahan ketika kekecohan berlaku di pentas tetapi kemudiannya dilepaskan.

Malaysiakiini/

MP Wangsa Maju keluar PKR

29 Jamadil Awal 1431H.

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Cho Keong (gambar) hari ini mengumum keluar dari PKR dan menjadi ahli Bebas.

Dalam sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa di pusat khidmatnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Wee berkata tindakannya itu berkuat-kuasa hari ini. Tindakan beliau itu menjawab desas-desus sebelum ini yang mengatakan dia adalah antara ahli parlimen yang akan meninggalkan partinya.

4 ADUN PKR, DAP nafi lompat parti

29 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

Tiga exco Kedah dari PKR dan seorang ADUN DAP, yang dikaitkan dengan spekulasi akan meninggalkan Pakatan Rakyat, menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka akan melompat parti.

Tiga exco PKR itu ialah S Manikumar yang juga ADUN Bukit Selambau, Tan Chow Kang (Sidam) dan Lim Soo Nee (Kulim). Manakala ADUN DAP itu pula ialah Lee Guan Aik (Kota Darulaman).

Sebaliknya, mereka menegaskan bahawa mereka akan tetap dengan Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri yang diterajui oleh Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Beratus kali saya telah katakan, saya selesa dengan pentadbiran negeri Kedah dan (dengan) parti saya. Tidak ada tekanan dan kekangan.

"(Jadi) kenapa perlu saya keluar dari Pakatan Rakyat," kata S Manikumar yang memegang portfolio pelancongan, hal ehwal masyarakat India dan Siam sejak setahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Manikumar berkata, beliau tidak putus-putus mendengar desas desus bahawa beliau akan melompat dari Pakatan.

Bahkan, katanya, beliau sudah 'mangli' dengan tindak tanduk pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab melemparkan tohmahan tersebut.

"Saya menasihatkan mereka ini agar menghentikan perkara karut ini. Jadilah bangsa yang bertamadun," katanya.

Manikumar juga berkata beliau bersedia menghadiri ceramah bertajuk "DUN Kedah Bubar?" anjuran PAS negeri itu pada 22 Mei ini, bagi menjelaskan pendiriannya kepada rakyat berhubung dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Manikumar berkata beliau masih belum mendapat makluman berhubung ceramah tersebut tetapi bersedia untuk menghadirinya.

Seorang lagi rakan exconya, Chow Kang turut menegaskan bahawa beliau akan tetap bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Saya tak lompat... saya tak lari. Saya tetap dengan Pakatan. Saya tak lompat punya. Saya berpegang dengan politik yang selari dengan pantadbiran sekarang," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Tan yang memegang portfolio exco alam sekitar dan hal ehwal masyarakat Cina, meminta rakyat jangan meragui pendirian politiknya.

Mengulas mengenai jemputan PAS Kedah untuk menghadiri ceramah pada 22 Mei ini, Tan berkata beliau juga belum menerima jemputan atau dimaklumkan mengenainya.

Setakat ini, katanya, beliau belum membuat keputusan untuk sama ada memenuhi jemputan tersebut ataupun sebaliknya.

Sementara Soo Nee yang juga exco perdagangan dalam negeri & hal ehwal pengguna, perpaduan, dan pengurusan alam sekitar, kesal timbulnya dakwaan bahawa beliau akan melompat parti sejak beliau memegang jawatan tersebut.

Beliau mendakwa BN tidak mempunyai isu sehingga mengulangi cerita tersebut yang disifatkannya sebagai "cerita lama" dan "hanya memanaskan nasi yang telah sejuk".

"Lagi kita jawab, lagi mereka seronok. Bagi saya, lebih baik kita jangan jawab," katanya sambil menambah bahawa pendiriannya tetap bersama Pakatan Rakyat.

Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk menghadiri ceramah pada 22 Mei ini bagi menyatakan pendiriannya itu.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini Guan Aik berkata cerita tersebut telah berlarutan sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tegasnya, ia tidak benar dan sebenarnya DAP berdiri teguh menyokong kerajaan Pakatan Kedah yang ditunjangi oleh PAS.

Sebaliknya, beliau berkata, khabar angin sengaja disebarkan untuk mewujudkan rasa tidak yakin rakyat terhadap kerajaan negeri.

Guan Aik juga menyatakan kesediaannya untuk menghadiri ceramah anjuran PAS negeri pada 22 Mei ini untuk menjelaskan pendiriannya itu.

Malaysiakini/-

Gobala didenda RM3000, mungkin hilang MP

29 Jamadil Awal 1431 H

Ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan hari ini didapati bersalah kerana menghalang tugas polis dalam satu kejadian yang berlaku lebih lapan tahun lalu pada Januari, 2002.

Gobalakrishnan, yang didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang didenda RM3,000 atau menghadapi penjara enam bulan.

Ketika dihubungi, pemimpin PKR itu berkata beliau cuba membayar dendanya tetapi kaunter bayaran telah ditutup pada jam 12.15 petang tadi untuk solat Jumaat.

"Saya mungkin terpaksa menghabiskan masa di lokap," katanya kepada Malaysiakini.

Gobalakrishnan, yang juga ahli majlis tertinggi PKR berkata beliau akan membuat rayuan.

Pada 29 Januari, 2002, beliau ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang 30 penyokong Keadilan (sekarang PKR) daripada menari ketika sambutan Thaipusam di Geogetown.

Pihak polis mendakwa Gobalakrishnan menghalang anggotanya daripada menjalankan tugas mereka.

Malaysikini/-

Lompat: PAS panggil ADUN PKR, DAP beri penjelasan

29 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

PAS Kedah akan memanggil tiga exco kerajaan negeri dari PKR dan seorang ADUN DAP, untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan yang tersebar luar kononnya mereka akan melompat meninggalkan Pakatan Rakyat.

Tiga exco PKR itu S Manikumar yang juga ADUN Bukit Selambau, Tan Chow Kang (Sidam) dan Lim Soo Nee (Kulim). Manakala ADUN DAP itu pula ialah Lee Guan Aik.

Mereka akan diminta memberi penjelasan dalam satu majlis ceramah anjuran PAS negeri -bertajuk "DUN Kedah Bubar?" - di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, jam 9 malam 22 Mei depan.

Setiausaha PAS negeri, Muhamad Yusof Husin berkata mereka diminta memberi penjelasan tersebut supaya rakyat tahu kedudukan sebenar mengenai desas desus yang mengaitkan nama mereka.

"Kita mengakui rakyat berada dalam kegelisahan dengan keadaan dan senario politik yang berlaku di negeri ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim akan turut hadir dan berucap di majlis tersebut.

"Menteri besar sendiri akan menjelaskan pendirian (kerajaan negeri) berhubung perkara ini dalam ceramah berkenaan," katanya.

Muhamad memberitahu demikian ketika diminta mengulas laporan di mana ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membayangkan peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak, akan berulang dalam waktu terdekat.

Kini, empat negeri dikuasai Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Pakatan Rakyat di Kedah menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN di mana PAS memperolehi 16 kerusi, PKR (3) dan DAP satu kerusi.

Manakala BN pula mempunyai 13 kerusi dan terdapat dua wakil rakyat Bebas.

Speaker DUN Kedah, mengiystiharkan kerusi Kota Siputih yang dimiliki BN kosong kerana ADUNnya gagal menghadiri sidang dan perkara itu kini di peringkat Mahkamah Rayuan.

Diminta mengulas lanjut berhubung mengenai desas desus isu lompat di kalangan ADUN PAS termasuk exco PKR itu, Muhamad Yusof berkata tidak timbul wakil rakyat PAS untuk berbuat demikian.

Ini kerana, katanya yang juga seorang senator menjelaskan mereka masih setia dan berjanji dengan perjuangan parti.

"Cerita lompat-melompat ini kita dengar sejak tahun 2008 sampai sekarang... PAS bukan nak berlagak, kita rasa (exco PKR) yang ada sekarang ini, kita percaya. Sebab mereka semua exco negeri," katanya.

Menurutnya, PAS negeri juga tidak mahu kerajaan Pakatan di Kedah mengalami nasib berulang seperti di Perak.

"Biar kalah dalam pilihan raya (baru), dan kita terima keputusan. Biar mati dihujung pedang, mati kerana bertanding, berlawan (dalam pilihan raya) daripada kalah kerana (ADUN) lompat kerana diberi umpan," katanya.

Susulan itu, PAS Kedah telah mempunyai dengan alternatif dan strategi untuk mengelak peristiwa itu berlaku, tambahnya.

Malaysiakini/-

Mengapa Zambry tidak hadir di majlis Orang Asli

29 Jamadil Awal 1431 H

IPOH, 13 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) hairan dengan sikap berdalih Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkaitan isu masyarakat Orang Asli di negeri ini yang hanya dianggap cukup membuat lawatan sahaja ke kawasan penempatan mereka.

Naib Ketuanya, Salman Salleh berkata, Zambry menganggap lawatan seperti seolah-olah sudah menunjukkan keprihatinannya terhadap pembangunan dan kebajikan semua masyarakat Orang Asli selama ini.

Justeru, katanya DPPN Pk mempertikai majlis perasmian program 'Dekat di Mata, Lekat di Hati’ di Kampung Tangkai Cermin dan Kampung Cenderong Kelubi, Tanjung Tualang, baru-baru ini yang hanya dirasmikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Azhar Ahmad serta dihadiri pegawai khas (Hal Ehwal Orang Asli) Menteri Besar, Panjang Ali Sohor.

“Mengapa Datuk Seri Zambry tidak hadir sendiri bagi menyempurnakan majlis perasmian tersebut?” soalnya.

Ini, menurutnya jelas menunjukkan bahawa Zambry tidak prihatin terhadap masyarakat Orang Asli.

Katanya lagi, jika beliau tidak dapat hadir pada hari tersebut, maka majlis perasmian tersebut boleh dipinda atau diadakan di tempat yang lain.

”Mengapa hanya menghantar pegawai-regawai sahaja bagi merasmikan program yang dianggap penting tersebut?” katanya.

Ini, jelasnya tidak berlaku semasa pemerintahan negeri diterajui Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin yang tidak dapat dinafikan akan keikhlasan dan keprihatinannya terhadap masyarakat Orang Asli.

Harakahdaily/-

Tindakan Jais halang Nik Aziz di masjid terus dipertikai

29 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 13 Mei: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghalang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada menyampaikan khutbah di masjid pada kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor lepas terus dipertikai.

Menurut Abdul Rahman Talib (gambar) atau lebih dikenali sebagai blogger Tulang Besi, tindakan Nik Aziz berkhutbah Jumaat di masjid bukanlah ceramah politik, seperti yang didakwa Jais.

"Apa masalahnya Tok Guru berkhutbah kerana itu suruhan agama, beliau tidak berpolitik, Jais menuduhnya berpolitik di masjid," katanya.

Sebaliknya, menurut beliau, khutbah Jumaat wajar disampaikan oleh sesiapa sahaja agamawan yang dianggap layak dan disegani, seperti Nik Aziz yang juga Menetri Besar Kelantan.

Berbanding PAS dan Pakatan Rakyat, Umno BN, menurut beliau, terbukti menggunakan masjid untuk berkempen memenangkan calon BN, P Kamalanathan, seperti yang didedahkan Malaysiakini.com pada 6 Mei lalu.

Baginya, tindakan Umno BN tersebut sekaligus jelas bertentangan dengan titah Tuanku Sultan Selangor.

"Kain rentang ini sahaja dah cukup jelas untuk mengatakan tindakan Umno BN itu haram, bercanggah dengan titah Tuanku Sultan.

"Kenapa sibuk halang Tok Guru berdakwah di masjid, sedangkan Umno jelas berkempen atas nama BN di masjid," kata beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi tampil membuktikan bahawa tindakan menghalang Nik Aziz berkhutbah itu tidak didalangi oleh mana-mana pemimpin Umno.

"Apa kelayakan Khusrin nak halang Tok Guru, dia kena jelaskan adakah tindakan Tok Guru itu salah di sisi agama," ujarnya lagi.

Bercakap di lobi Jais, beliau menjelaskan telah membuat suatu laporan rasmi kepada Jais supaya Khusrin menyatakan penyalahgunaan masjid oleh BN untuk berkempen.

Tambahnya lagi, suatu salinan laporan turut dikepilkan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar), Datuk Dr. Hasan Mohd Ali (Exco Agama, Adat Istiadat dan Infrastuktur) dan Theng Chang Khim (Speaker Dun) dan Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam).

Dalam perkembangan berkaitan, Utusan Malaysia pada 23 April lalu melaporkan bahawa inisiatif Khusrin menghalang Nik Aziz itu sebagai menjunjung titah Sultan.

Bagitupun, Khusrin tidak pula dilaporkan menghalang majlis bacaan Yaasin dan Solat Hajat bagi memenangkan Kamalanathan yang dianjurkan oleh Umno BN sendiri.

Khalid Samad turut mempertahan tindakan Nik Aziz, selain mempersoal tindakan Jais berdiam diri apabila Umno BN sendiri menggunakan masjid untuk berkempen politik.

Harakahdaily/-

Perbicaraan kes liwat ditangguh 31 Mei

29 Jamadil Awal 1431 H

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Mei hingga 4 Jun depan dengan menyambung sesi menyoal balas saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah membuat penangguhan itu selepas dipohon peguam bela, Karpal Singh pada perbicaraan tertutup petang tadi bagi membolehkan pihak pembela melawat sekali lagi lokasi kejadian liwat yang didakwa berlaku.

Ianya juga bagi mendapatkan maklumat tambahan berikutan permohonan Karpal untuk mendapatkan kenyataan beramaran daripada Saiful yang diberikannya kepada polis, ditolak hakim.

Terdahulu, mahkamah mengenepikan permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan beliau berhubung penolakan permohonannya bagi mendapatkan kenyataan saksi yang dibuat kepada polis.

Anwar ketika bercakap kepada media di luar mahkamah berkata, beliau kesal dengan keputusan hakim yang menolak permohonan karpal supaya perbicaraan kes tersebut ditangguhkan sementara mahkamah rayuan membuat keputusan.

"Masalah kita ialah tidak bersetuju dengan keputusan hakim yang memudahkan soal pendakwaan yang kita anggap tidak adil, aju ke Mahkamah Rayuan pun tidak mahu ditangguh.

"Kalau sesi ini berjalan dengan pertuduhan yang ada sekarang, dah la pertuduhan tu zalim, tambah zalim lagi," katanya.

Sementara itu, Senator Ezam Mohd Nor yang diakui Saiful bertemu dengannya, hadir ke mahkamah petang ini bagi memperkenalkan diri selepas disebut dalam keterangan Saiful semalam.

Beliau dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta diiringi beberapa orang rakan dan penyokong.

Semalam, Saiful mengakui bahawa dia ada bertemu dengan bekas Ketua Pemuda PKR itu pada lewat malam 27 Jun sehingga awal pagi 28 Jun 2008 di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Pertemuan itu menurutnya berlangsung beberapa jam sebelum Saiful menjalani pemeriksaan perubatan dan kemudian membuat laporan polis.

Harakahdaily/-

Miliki kilang arak dan judi, Malaysia negara 'Islam termaju'

29 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Angkasanuri

Menurut duta Besar Istimewa dan Mutlak Malaysia dan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Persidangan Islam di Arab Saudi, Profesor Madya Datuk Syed Omar Al Sagga bahawa Malaysia telah diiktiraf oleh negara itu sebagai negara Islam paling maju di dunia.

Saya setuju dengan pengiktirafan ini kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara 'Islam' di dunia yang membenarkan rakyat di negara ini berjudi sewaktu Piala Dunia Afrika Selatan Jun ini.

Selain itu juga Malaysia memang layak digelar negara Islam kerana turut membayar syarikat milik Yahudi sebanyak RM 77 juta untuk mempopularkan jenama 1Malaysia.

Tidak cukup dengan itu Malaysia juga mempunyai antara pusat perjudian yang terbesar di rantau ini yang diluluskan oleh kerajaan 1Malaysia yang majoriti wakil rakyat yang menyokongnya adalah beragama Islam.

Tidak cukup dengan itu kilang Arak yang terbesar di Asia Tenggara juga terletak di Malaysia yang tidak memungkinkan status negara Islam ditarik balik.

Maka siapa yang kata Malaysia bukan negara Islam ternyata mereka bercakap tanpa fakta dan bukti. Syabas Malaysia!

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Sime Darby kerugian RM1.6 bilion, CEO diarah bercuti

29 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Fazikrina

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Mursyid, diarah bercuti sehingga tamat tempoh kontraknya pada 26 November depan.

Bagi mengisi kekosongan itu, jawatan Zubir (kiri) dipangku oleh Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perladangan Sime Darby, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Azhar akan berkerjasama dengan ketua pegawai operasi kumpulan, Abd Wahab Maskan yang bertanggung-jawab terhadap operasi kumpulan dan ketua pegawai kewangan kumpulan, Tong Poh Keow.

Sime Darby juga hari ini mengumumkan kerugian akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion, membabitkan projek minyak dan gas Bulhanine dan Maydan Mahzam di Qatar serta projek hidroelektrik Bakun.

PRK Sibu – titik perubahan pilihan raya negeri Sarawak

29 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Wan Nik Wan Yussof

Benar atau tidak politik Sarawak sedang dalam perubahan, pastinya akan terjawab selepas keputusan pilihan raya kecil Sibu diketahui. Atas alasan, kemungkinan sokongan pengundi di Sibu bakal memberi nilai yang tepat kepada senario politik Sarawak. Ini kerana pilihan raya Sibu merupakan ujian kepada Barisan Nasional (BN) yang berdepan dengan Pakatan Rakyat yang baru mendapat anggota baru, Sarawak National Party (SNAP) yang sebelum ini pernah menganggotai BN. Sementelah pula, keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang lepas telah menyaksikan sokongan meningkat pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat.

Apakah ia bakal mempamerkan warna sebenar politik negeri Sarawak di penghujung kepimpinan ketua menterinya yang paling lama memimpin negeri.
Sekadar ingatan, nilai sokongan itu sebenarnya boleh dilihat sejak pilihan raya negeri 1996. Ketika itu, BN dikenali BN4 yang disertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Sarawak United People’s Party (SUPP), SNAP, dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS). Sementara parti pembangkang terdiri daripada Democratic Action Party (DAP) dan pihak Bebas sahaja. Keputusannya, BN4 telah memenangi 57 kerusi, sementara pembangkang memenangi lima kerusi (DAP 3 dan Bebas 2). Ia turut membuktikan penerimaan kepada pembangkang, khususnya pengundi Cina yang memberi kemenangan kepada DAP di kawasan bandar (Meradong, Bukit Assek, dan Kidurong).

Kemudian pilihan raya negeri 2001 BN meraih kemenangan 61 daripada 62 kerusi yang dipertandingkan. Parti komponen BN masih kekal empat parti, iaitu PBB, SUPP, PBDS dan SNAP. Sementara parti pembangkang pula terdiri daripada tiga parti, iaitu DAP, Parti Keadilan Nasional (KeADILan), dan buat kali pertama penyertaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Namun, PAS hanya bertanding di tiga kerusi sahaja, iaitu Samariang, Sadong Jaya dan Beting Maro. Ketika itu pembangkang hanya memenangi 2 kerusi, iaitu masing-masing satu DAP dan satu bebas. PAS tidak memenangi apa-apa kerusi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2006 pula berlaku sedikit anjakan senario politik apabila pihak pembangkang berjaya membentuk kerjasama melalui Barisan Bersatu Sarawak. Ia dianggotai tiga parti utama, iaitu SNAP, KeADILan dan DAP. Sementara PAS hanya menjalin kerjasama dengan KeADILan dan bertanding di satu kerusi sahaja, iaitu Beting Maro dalam parlimen Batang Lupar.

Kesan kerjasama itu, pembangkang berjaya menambah kemenangan dari dua kerusi pada 2001 kepada sembilan kerusi, iaitu masing-masingnya satu SNAP, satu KeADILan, satu bebas dan enam DAP. Namun PAS masih gagal memenangi kerusi tunggal yang ditandingi. Jelas sekali, kesan kerjasama parti-parti pembangkang telah membawa pertambahan sokongan pengundi terutama di kawasan pengundi kaum Cina. Ini bermakna politik pengundi Cina agak utuh bersama pembangkang, khususnya bagi DAP yang saling bersaing dengn SUPP di atas sentimen kaum Cina.

Pada 2006, SUPP sebagai parti teras Cina dalam komponen BN bertanding 19 kerusi (16 kerusi daripadanya adalah dominan pengundi Cina) didapati tujuh kerusi di kawasan bandar. Kekalahan itu adalah kepada DAP (lima kerusi – Pending, Batu Lintang, Meradong, Bukit Assek dan Kindurong), KeADILan (satu kerusi - Padungan) dan SNAP (satu kerusi - Engkili). Apa yang menarik, kekalahan SUPP itu dianggap ‘teruk’ berikutan beberapa tokoh penting parti itu kecundang kepada DAP. Antaranya menteri muda, Datuk Sim Khend Hui dan Datuk Alfred Yap Chin Loi, dan Datuk Bandar Kuching, Chan Seng Khai. Termasuk tokoh yang kalah juga adalah penjawat utama jawatan parti, iaitu Setiausaha Agung, Naib Bendahari, Setiausaha Penerangan dan ahli jawatankuasa pusat SUPP.

Menurut Ghazali dan Lee (2009) yang mengkaji politik Cina Sarawak dalam pilihan raya negeri 2006, punca kekalahan SUPP itu adalah antaranya disebabkan isu dalaman parti SUPP seperti faktor calon, perpecahan dalaman dan faktor ekonomi (kenaikan harga minyak petrol, harga pajakan tanah dan perasaan dipinggirkan dari arus pembangunan nasional). Meskipun begitu, kajian mereka itu tidak melihat aspek perpaduan parti pembangkang dan peranan tokoh pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang turut memainkan peranan meyakinkan pengundi Cina di Sarawak.

Natijahnya, faktor pengundi Cina dilihat berombak antara pilihan raya negeri 1999, 2001 dan 2006. Misalnya dalam pilihan raya negeri 2001 sokongan pengundi Cina kepada SUPP memuncak kepada 66.2 peratus, tetapi merundum kepada 49.2 peratus tahun 2006. Kesannya pada pilihan raya umum 2008, prestasi BN khususnya SUPP kembali pulih apabila menerima lonjakan undi dan berjaya mengekalkan kawasan tradisi di semua parlimen kecuali Bandar Kuching kekal dimenangi DAP. Berdasarkan realiti ini, apakah pilihan raya kecil Sibu kali ini menjadi titik perubahan sokongan pengundi Cina menjelang pilihan raya negeri Sarawak nanti. Rekod pilihan raya yang lepas cukup membuktikan dominasi BN adalah di semua parlimen di Sarawak, kecuali pilihan raya 1995 parlimen Bintulu dimenangi DAP dan di parlimen Sibu dimenangi DAP pada pilihan raya 2004 dan 2008. Sedangkan dalam tempoh pilihan raya umum 2008, anjakan sokongan pengundi Cina dari BN kepada parti-parti pembangkang berlaku agak ketara di Semenanjung. Ia tidak berlaku di Sarawak.

Walau bagaimanapun, mood pengundian ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor meskipun dimenangi BN, tetapi pola pengundian kalangan pengundi Cina amat tegas menolak BN. Ia terbukti apabila di Kuala Kubu Bharu, salah satu dewan undangan negeri yang dominan pengundi Cina didapati Pakatan Rakyat mengatasi BN, sedangkan pada pilihan raya umum 2008 ia dimenangi BN. Mungkinkah mood itu menular ke Sibu?

Menjawab persoalan di atas, sebenarnya Sibu dengan pengundinya adalah majoriti kaum Cina Foochow ada keunikannya. Pihak mana yang akan menang sebenarnya masih terikat kepada performance parti-parti dan calon bertanding. Atas kefahamanan inilah, pihak DAP telah meletakkan pendekatan kempen yang seimbang bagi mendekati pengundi Cina, Melanau, Melayu, Iban dan Bidayuh. Sedangkan pihak SUPP pula didapati menjayakan kempen mengutamakan citarasa pengundi Cina sehingga merancang perarakan Tua Pek Kong akan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib di penghujung kempen. Namun, gelagat pengundi Cina dijangka lebih bijak berasaskan respons pasukan kempen Pakatan Rakyat yang mengunjungi mereka di gudang, pasar dan perumahan. Segala-galanya akan terjawab pada 16 Mei nanti.

Sejauh mana tegarnya gelagat pengundi Cina Hulu Selangor menolak BN, natijah persekitaran sosial dan politik serta ekonomi dan perniagaan di Sibu terlalu bebeza dengan di Hulu Selangor. Jika latar politik Semenanjung menjadi senario untuk meramalkan keputusannya, maka pilihan raya kecil Sibu bakal menyaksikan titik perubahan pola pengundinya menafikan dominasi BN. Selayaknya Pakatan Rakyat mampu menang selesa.

Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
merangkap Timbalan Pengarah I JPN PAS Kelantan

Harakahdaily/-

Jenazah Ashaari selamat dikembumi

29 Jamadil Awal 1431 H

Jenazah bekas pemimpin kumpulan Al Arqam yang diharamkan, Ashaari Muhammad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pilin dekat Rembau pada kira-kira pukul 10 malam semalam.

Jenazah Ashaari, yang dibawa dengan kereta persendirian dari Ipoh tiba bersama rombongan di kampung asal Allahyarham, Kampung Pilin pada kira-kira jam 8.30 malam.

Jenazah kemudian ditempatkan di surau kampung itu bagi membolehkan sanak saudara dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham kemudian disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan surau kampung itu.
Kira-kira 1,000 orang hadir pada majlis pengkebumian.

Ashaari, 73, lebih dikenali dengan panggilan Abuya oleh para pengikutnya meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh, Perak pada pukul 2.10 petang semalam, tiga hari selepas dimasukkan di hospital itu kerana jangkitan paru-paru.

Kumpulan Al Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.

Ashaari menimbulkan kontroversi kerana pernah mendakwa beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara sedar dan meramalkan dirinya akan menjadi perdana menteri Malaysia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kumpulan itu dilaporkan menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.

Malaysiakini/-

Keluarga Aminul tak akan desak polis mohon maaf

29 Jamadil Awal 1431 H

Keluarga Aminulrasyid Amzah tidak akan mendesak agar polis memohon maaf dan menyerahkannya kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung insiden tembakan yang meragut nyawa pelajar sekolah yang berumur 15 tahun itu.

"Saya tidak akan mendesak satu permohonan maaf daripada polis. Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berhak untuk menyatakan apa sahaja yang beliau mahu,” kata ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 61, di rumahnya di Jalan Makyong 11/2G dekat Shah Alam hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Musa semalam bahawa polis tidak akan memohon maaf atas insiden itu kerana ia mungkin memberi implikasi perundangan kerana kes itu dibicarakan di mahkamah.
Norsiah, yang kecewa dengan kenyataan terbaru daripada polis berkata beliau tidak mahu memberi sebarang ulasan lagi mengenai kes itu.

"Anak saya telah tiada. Dia tidak akan kembali. Saya tidak lagi mahu memberi sebarang komen. Saya telah luahkan apa yang saya ingin katakan,” katanya.

Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sejauh enam kilometer sebelum terbabas di Jalan 11/2G, kira-kira 100 meter dari rumahnya di Seksyen 11 di Shah Alam.

Rakan remaja itu yang sempat melarikan diri merupakan saksi utama dalam insiden yang mendapat perhatian ramai.

Isnin lalu, seorang anggota polis berpangkal koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam berhubung kejadian tembakan yang menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Malaysiakini/-