21 September 2008

Berpeganglah kepada Al Quran dan sunnah Nabi

“Kutinggalkan untuk kalian dua perkara yang kalau berpegang kepadanya kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Al-Quran dan sunnah” (HR. Al-Hakim).

Al-Quran diturunkan Allah agar menjadi pegangan hidup bagi manusia, supaya tidak tersesat dalam hidup ini. Sebagai pegangan hidup, Al-Quran sepatutnya didekati, dibaca, difahami, dan diamalkan, samasekali bukan untuk ditakuti. Jika ditakuti berarti akan dijauhi.

Menjauhi Al-Quran berarti menjauhi pegangan hidup yang berasal dari Allah dan yang dicadangkan oleh Allah. Lalu apa lagi yang akan dijadikan pegangan hidup? Lebih lanjut, bagaimana seseorang wakil rakyat membimbing orang ramai yang diwakilinya bila ia sendiri takut pada Al-Quran? Bagaimana pula sembahyangnya, sedangkan bacaan dalam sembahyang, yang banyak berisi ayat-ayat Al-Quran, tidak selesai?

Padahal, manusia beruntung dengan adanya Al-Qur‘an. Al-Quran bukan hanya dijadikan pegangan hidup, tetapi juga berpahala bila dibaca ayat-ayatnya. Satu huruf saja dibaca, lebih-lebih di bulan Ramadhan, akan mendapat pahala berganda. Sangat banyak huruf dalam satu ayat Al-Quran, lebih-lebih dalam ayat-ayat panjang, sehingga sangat banyak pula pahala yang didapat pembacanya. Bahkan, Al-Quran juga disebut Al-Furqan, yaitu sebagai pembeda antara yang haq dengan yang bathil. Sehingga kitaboleh membezakan antara yang benar dengan yang salah bila menurutinya.

PM adakan pertemuan dengan pemimpin UMNO Perak

IPOH ,20 Sept. :-Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin-pemimpin Umno Perak dari peringkat bahagian, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Bangunan Ibu pejabat Umno Perak di sini.

Abdullah yang tiba kira-kira pukul 6.30 petang, disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta pemimpin Umno negeri yang lain.


Selepas pertemuan itu, Abdullah yang juga Presiden Umno berbuka puasa bersama pemimpin Umno negeri sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah. Abdullah kemudiannya berlepas pulang ke ibu negara.


Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.



Bernama

Pak Lah mesti berundur kalau tak mahu dimalukan

Majlis Tertinggi UMNO telah menasihati Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersara secara sukarela, segera dan terhormat. Jika tidak, kemungkinan besar Abdullah akan disingkirkan oleh majoriti bahagian UMNO yang memulakan perwakilan bahagian masing-masing pada 10 Oktober 2008.

Lantaran itu, Abdullah dijangka mengumumkan tarikh persaraannya daripada siasah dan kerajaan dalam tempoh terdekat ini demi agama, bangsa dan tanahair, selewat-lewatnya pada 9 Oktober 2008.

Nasihat di atas telah disampaikan oleh Majlis Tertinggi UMNO kepada Abdullah dalam mesyuaratnya pada 18 September 2008.


Ini kerana persidangan perwakilan UMNO bahagian kali ini akan menamakan calon-calon pucuk pimpinan tertinggi parti yang akan dipertandingkan pada Disember 2008.

Jika Abdullah enggan berundur, beliau dijangka menghadapi risiko tidak memperolehi kuota secukupnya untuk mempertahankan kerusi Presiden UMNO yang disandangnya ketika ini.

Ambil Risiko

Sekelompok orang Abdullah mungkin akan mendesak Abdullah untuk bertahan, mengambil risiko dan tidak bersara. Kelompok ini dikatakan rela menabur wang berjuta-juta ringgit nilainya semata-mata untuk mempertahankan kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Dalam konteks ini, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu blog ini, mainan politik wang ini tidak mungkin berlaku. Ini kerana kini sudah wujud sebuah badan pemantau bebas yang bergerak secara rahsia untuk menggagalkan kemungkinan berkenaan.

Katanya, pelbagai projek di beberapa koridor pembangunan yang ditawarkan oleh sesetengah pihak kepada segolongan ketua-ketua bahagian sebelum ini pun sudah tidak lagi diyakini oleh pihak terbabit bila ekonomi dunia mula meredum dan Kementerian Kewangan pula diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi pula menyatakan kepada blog ini bahawa nasihat yang disampaikan kepada Abdullah pada 18 September 2008 adalah satu ledakan gelombang perubahan yang serius. Gelombang ini akan meledak jadi tsunami siasah jika Abdullah mengengkari nasihat berkenaan.

Maka, katanya, terserahlah kepada Abdullah untuk mengartikulasikan nasihat Majlis Tertinggi. Jika Abdullah mahu mengambil risiko, Abdullah dijangka terkapai-kapai seorang diri dan akhirnya menjadi mangsa kepada tsunami siasah yang meledak daripada peringkat bahagian.

Abdullah Sedar

Ahli Majlis Tertinggi ini mengesahkan posting oleh beberapa bloggers tempatan yang mengatakan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008 adalah hangat dan decisive. Beliau juga mengakui bahawa sebilangan besar anggota kanan Majlis Tertinggi UMNO rata-rata menasihati Abdullah bersara secara terhormat dan dengan segera.

Sebab itulah agaknya Abdullah dipetik oleh Bernama 18 September 2008, sebagai berkata bahawa “sebarang keputusan berkaitan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan juga peralihan kuasa akan dibuat oleh beliau sendiri.”

Abdullah juga dipetik sebagai berkata bahawa “sebarang perubahan kepada pelan peralihan kuasa itu akan beliau bincangkan dengan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Mengenai peralihan kuasa, Abdullah juga berkata: “Saya tidak beri penjelasan semula. Saya hanya kata yang saya sedar, saya sentiasa mendengar, saya sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti. Apa-apa juga keputusan yang akan saya buat mengenai perkara ini akan saya bincang dulu dengan Datuk Seri Najib, kemudian keputusan itu akan dibawa untuk makluman Majlis Tertinggi.”

Moga-moga Abdullah yang kini “sedar, sentiasa mendengar dan sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti” seperti ditegaskan di atas akan menghormati nasihat Majlis Tertinggi UMNO yang mewakili aspirasi majoriti warga UMNO akar umbi di seluruh negara mutakhir ini. Mudah-mudahan di hari baik bulan baik ini Abdullah sanggup berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair dengan mengumumkan persaraannya daripada siasah dan kerajaan sebelum 10 Oktober 2008.

sumber : http://perakdaily.com/