24 Januari 2010

Jenazah Sultan Iskandar Selamat Disemadikan

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail menyiram air mawar ke pusara Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail semasa istiadat pemakaman diraja di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, hari ini. - Foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI

8 Safar 1431H

JOHOR BAHARU: Jenazah Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail selamat disemadikan di sebelah makam ayahanda baginda dalam satu istiadat pemakaman diraja di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, hari ini.

Istiadat itu disempurnakan dengan siraman air mawar dan taburan bunga rampai selepas bacaan doa dan talkin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Seri Mohd Nooh Gadot.

Terdahulu, Tunku Bendahara Tunku Abdul Majid dan cucunda-cucunda Almarhum termasuk Raja Muda Tunku Ismail Ibrahim bersama-sama menimbus tanah dalam liang lahad makam baginda.

Istiadat itu disaksikan oleh Sultan Johor Tunku Ibrahim Ismail, Sultanah Zarith Sofiah, Sultanah Zanariah serta anakanda dan cucunda selain anggota kerabat diraja Johor yang lain.

Turut berangkat hadir ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Perak Sultan Azlah Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Muhriz, dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang turut menghadiri upacara pemakaman itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Osman serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Tan Sri Ali Rustam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut serta.

Sebelum itu, semasa upacara perangkatan jenazah, sebuah pedati khas digunakan untuk membawa jenazah Almarhum Sultan Iskandar yang turut dinaiki Tunku Abdul Majid dan Tunku Ismail Ibrahim, dengan diiringi anggota kerabat diraja Johor dan anggota pasukan Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar ke makam diraja.

Upacara perangkatan itu sejauh 3 kilometer dari Istana Besar diiringi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Selain itu, sebanyak 77 das tembakan mariam disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat Kem Sungai Buloh, sebagai menandakan usia Almarhum semasa kemangkatannya.

Ribuan rakyat jelata turut beratur di sepanjang jalan dari Istana Besar ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.

Sultan Iskandar mangkat di Hospital Pakar Puteri di sini pada 7.15 malam semalam selepas dimasukkan ke hospital berkenaan kerana gering. - BERNAMA

Kemangkatan Sultan: Pimpinan dan ahli PAS rafak takziah

8 Safar 1431

KUALA LUMPUR, 23 Jan: PAS merakamkan ucapan takziah kepada kepada kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail semalam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi awang dalam satu kenyataan berkata, PAS mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkanroh baginda bersama orang-orang yang soleh.

"Seluruh kepimpinan dan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan takziah kepada KDYMM Sultan Johor dan kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada hari Jumaat 22 Januari 2010.

"Patik sekalian berdoa moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan baginda di kalangan orang-orang yang soleh," katanya.

Selain itu PAS negeri Johor juga turut merafak takziah kepada kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar.

"Saya bagi pihak PAS negeri Johor, mengucapkan banyak-banyak takziah kepada keluarga Diraja Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

"Saya juga memohon doa moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda," kata Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Bin Mohamad.

Beliau berkata demikian sewaktu dihubungi ketika sedang dalam perjalan ke istana untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum pagi tadi.

Pada masa sama, beliau turut merakam ucapan tahniah kepada Tengku Ibrahim Ismail telah dimasyhurkan secara rasminya sebagai Sultan Johor dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Singgahsana Istana Besar Johor Bahru pada 10.31 pagi tadi.

"PAS Johor juga mengucapkan tahniah kepada Tengku Ibrahim yang telah ditabal sebagai Sultan Johor yang baharu.

"Semoga beliau akan memerintah Johor dengan penuh keadilan, kesaksamaan dan mementingkan kesejahteraan rakyat jelata seperti Almarhum Ayahanda baginda," katanya.

Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada pukul 7.15 malam tadi di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di sini, malam tadi. Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada pukul 2 petang hari ini.

Rakyat jelata boleh memberikan penghormatan terakhir di Istana Besar dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi sementara orang kenamaan dari pukul 11 pagi hingga petang.
Harakahdaily/-

Seni Coklat Menggambarkan Budaya China

8 Safar 1431H

Semalam, Taman Impian Coklat Dunia yang terletak di Taman Olimpik Beijing ini mempamerkan kumpulan arca yang dibuat daripada coklat. Para pengunjung boleh menghayati budaya coklat dan melihat barang-barang berciri China yang dibuat daripada coklat, seperti, Tembok Besar, barang tembaga dan mahjong.CRI/-


Tengku Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor

8 Safar 1431H

Tengku Ibrahim Ismail telah dimasyhurkan secara rasminya sebagai Sultan Johor dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Singgahsana Istana Besar Johor Bahru pada 10.31 pagi tadi.

Kenyataan Media : Sultan Johor mangkat, Pakatan Rakyat Perak Ucap Takziah

Keranda yang membawa jenazah Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail bersalut kain kuning dibawa keluar dari Hospital Pakar Puteri di Johor Bahru malam ini. - Foto oleh Abdul Rahman Embong


8 Safar 1431H

Berikutan dengan kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77,malam tadi pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di sini malam ini.Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada pukul 2 petang hari ini.

Rakyat jelata boleh memberikan penghormatan terakhir di Istana Besar dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi sementara orang kenamaan dari pukul 11 pagi hingga petang.

1. Dengan ini Pakatan Rakyat Perak merafak takziah kepada kerabat diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar tersebut.

2. Saya mewakili Pakatan Rakuat Perak dengan ini merakamkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah dan anakanda-anakanda serta kerabat baginda di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

3. Sesungguhnya negeri Johor kehilangan seorang Raja yang sentiasa memerhati dan mengambil tahu tentang nasib rakyat yang memerlukan pembelaan. Beliau adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini.

4. Harapan kami semuga perjuangannya diteruskan oleh Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja Johor , dimana Tunku Ibrahim adalah seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan. Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan pencapaian membanggakan tetapi baginda juga cukup disenangi kerana keperibadian yang menawan hati rakyat.

Kenyataan Media/23 Jan 2010

YB. Drs. Khalil Idham Lim
Sekretariat Pakatan Rakyat
Negeri Perak.



Rakyat dibenar ziarahi jenazah Sultan mulai pagi ini

Jenazah Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar yang akan disemayam di Dewan Besar, Istana Besar, di Johor Baharu boleh diziarahi segenap lapisan rakyat mulai pagi ini.

Menteri Besar Johor yang mengumumkan kemangkatan Almarhum baginda Sultan Johor, malam semalam, berkata waktu yang dibenarkan kepada orang awam untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum adalah dari pukul 9 pagi hingga
10.30 pagi.

"Penghormatan terakhir oleh orang kenamaan pula adalah bermula dari jaml 11pagi sehingga pukul 12.30 tengah hari," katanya di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.

Abdul Ghani berkata jenazah Almarhum Sultan akan dibawa dari Istana Besar pada jam 1.30 tengah hari untuk upacara pemakaman di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di Johor Baharu, pada jam 2 petang.

Peraturan berkabung

Mengenai peraturan berkabung, beliau berkata orang-orang Melayu perlu memakai tanda perkabungan kain putih selilit saja selebar dua inci pada songkok.Bagi lain bangsa dan agama, Abdul Ghani berkata mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.

Katanya, bagi yang memakai uniform dan memakai uniform pada majlis tertentu, mereka perlu melilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri.

"Bagi perempuan Melayu, mereka hendaklah memakai tudung kepala warna putih manakala bagi orang perempuan lain bangsa dan agama, mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri," katanya.

Abdul Ghani berkata bagi upacara pemakaman pula, lelaki Melayu perlu memakai baju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam manakala lelaki bukan Melayu perlu memakai lounge suit warna hitam, tali leher hitam dan selilit kain hitam tiga inci di lengan kiri.

Beliau berkata bagi yang memakai uniform, mereka perlu melilit kain putih berukuran dua inci di songkok.

Segala darjah dan pingat juga hendaklah dipakai, katanya.

Negara Akan Bankrup Jika UBN Terus Memerintah

8 SafaR 1431H
Oleh Nash Array

Negara akan terus lingkup di bawah UBN . Pendedahan oleh Ku Li, berlakunya penyelewengan wang rakyat dan salahgunakuasa Bank Negara untuk kepentingan broker pertukaran wana asing Rosmah Najib amat mengejutkan sekali yang membuatkan rakyat marhein sesak nafas !. Apa tidaknya pada pertengahan tahun lepas(2009) perjudian Bank Negara yang tiada ambil iktibar daripada kesalahan yang sama yang pernah berlaku dalam pasaran perjudian tukaran wang asing . Bank negara terus berjudi sehingga mengalami kerugian sebanyak RM32BILLION ! Satu jumlah yang cukup besar yang bisa menampung bajet negeri Pulau Pinang selama 100 TAHUN !

Selain daripada itu , defisit negara yang berturutan selama 13 tahun membimbangkan rakyat. Hutang negara sebanyak RM 363 BILLION pula terpaksa dibayar sebanyak RM13,000setiap kepala rakyat Malaysia. Lahir sahaja seorang bayi ; sudah terhutang kepada negara sebanyak RM13,000. Warga marhein yang akan membayarnya bukan PM dan kabinetnya yang ‘joli katak ‘ dengan wang rakyat sebagaimana kata Ku li .

Negara akan muflis jika salahguna wang negara dan penyelewengan terus berlaku. Tak cukup dengan penyelewenan dan kerakusan pembaziran yang di buat oleh Badawi sebagaimana dakwa Mahathir sebanyak RM270BILLION dan Mahathir sendiri sebagaimana pendedahan Barry Wain telah membazirkan RM100Billion wang rakyat yang dinafi cuma RM10 Billion sahja adalah juga wang rakyat yang terpaksa menanggung siksa dan derita membayar setiap sen wang negara yang hilang dengan kenaikan harga barang, gula , minyak , dsn. Ditambah pula siksa-derita rakyat marhein dengan perjudian tukaran wang asing oleh Bank Negara RosmahNajib sebanyak RM32 BILLION ! Rakyat yang membayarnya bukannya UBN dan kroni mereka yang menjadi kaya raya di atas keperitan rakyat jelata.

Kerugian Bank Negara tersebut pada pertengahan tahun lepas( 2009) mengakibatkan pada tahun itu kakitangan kerajaan tiada bonus dan ada ura-ura cola akan di potong dan minyak naik( selepas pilihanraya semula di Perak ) dan sekarang makanan sekolah berasrama penuh dipotong dan gula naik. .RM270 + 100 Billion yang berjumlah RM370Billion dan yang terkini RM32 Billion itu; berjumlah sekitar RM400BILLION . Jika UBN terus memerintah dengan kerakusan dan ketamakan keqorunan mereka , tiada mustahil negara akan bisa jatuh bankrup.Bapak menteri bisa cabut luar negara dengan aset mereka di seberang laut ; tetapi rakyat bagaimana!!!!

Sewajarnyalah rakyat golongan marhein bersama PAKATAN RAKYAT mendesak supaya harta Mahathir dan Badawi disita untuk menampung kerugian dan penyelewengan wang rakyat yang dilakukan oleh mereka dan kroni mereka ; golongan Umnoputra Korprat Melayu Islam di bawah UBN yang beramal dengan koruspsi, kroni, nepotisme dan salahguna kuasa dan wang rakyat untuk projek yang membazir dan harga kos projek yang berlipatkali ganda daripada harga yang sebenar sepertimana yang pernah didedahkan oleh Chua Ju Meng bekas Menteri kabinet yang berpengalaman luas ; yang keciwa dengan sikap kerakusan umno yang tiada akan berubah dan mutakhir ini bergiat cergas di dalam Pakatan Rakyat untuk membina tapak baru dan harapan baru untuk masa depan rakyat Malaysia.

Satu Malaysia di tipu oleh UBN dalam program : JMR ( JUARA MENIPU RAKYAT) tajaan UBN satu Malaysia. Isu penyelwengan demi penyelewengan wang rakyat ini; termasuk skandal PKFZ, cuba di alih-fokus oleh UBN dengan perihal isu ‘Kalimah Allah “ yang diperbesarkan dan diekploitasikan oleh mereka demi untuk mendapat semula sokongan orang Melayu dalam PRU13 nanti . Namun, massa sudah celik mata akan sandiwara mereka dan tiada memberikan sokongan ke atas lakunan demonstrasi mereka yang cuba mencetuskan huru hara antara kaum dan antara agama ; dalam isu ‘Kalimah Allah” di negara ini ; setelah huru-hara heret kepala lembu tiada mendapat sokongan orang Melayu apalagi daripada PAS yang berhati-hati dan menunjukkan kematangan siasahnya daripada masuk perangkap perkauman dan ugama manipulasi Umno . PAS yang semakin utuh di hati massa yang menyaksikan sendiri bukti kehebatan Islam yang di bawanya selaku gerakan dan Parti Islam SATU MALAYSIA, di negara ini.

Bahkan TGNA, Mursyudul Am PAS, menyatakan memberi salam kepada orang bukan Islam itu kilaf dan boleh mengucapkan salam . Bahkan inilah yang sebenarnya mesej Islam supaya orang bukan Islam tahu bahawa Islam itu baik ; bahkan dinyatakan tuhan sebagai ‘ Rahmatan lil alameen” ; ertinya Rahmat kepada sekelian alam , manusia dan binatang; termasuk memberikan rahmat kepada bukan Islam juga sebagaimana terkandung dalam salamnya : ‘ “ Peace Be Upon You “ .( Sejahtera ke atas kamu ); secara literalnya adalah untuk dan kepada semua manusia wajar diselamatkan.

Kehebatan gerakan Islam PAS amat dikagumi bukan Islam yang akan membenarkan bukan Islam menjadi ahli penuh dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS yang bakal ditubuhkan dengan rasminya , insyaAllah ; yang setaraf , sesuara dan sehak dengan Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Ulamak; menjadikan konsep keadilan dalam Islam dapat dicernai oleh Gerakan Islam PAS sebagai gerakan terulung massa dalam massa dewasa ini . PAS dibawah Mursyidul Am TGNA bisa melakukan refomasi uslub dakwah yang paling sesuai dengan waqi’ terkini bersama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat sebagai PILIHAN RAKYAT pada PRU13. insyaAllah.; disamping tiada menggadaikan prinsip perjuangan Islam yang sebenar yang anti nasionalisme , racialisme dan ekstremis agama.

UBN , akan bertambah gusar dan phobia lagi , apabila PAS sendiri akan meletakkan calun bukan Melayu dan Bukan Islam yang sesuai untuk menentang calun UBN daripada MCA dan MIC bersama DAP dan PKR untuk membentuk kerajaan baru di peringkat federal. Oleh itu , perkemaskanlah daftar pemilih dan pendaftaran pengundi baru daripada sekarang khususnya anak- anak muda yang bersemangat tapi apa ertinya tiada bisa mengundi jika belum lagi mendaftar sebagai pengundi. Semakan tempat mengundi juga perlu di segerakan kerana SPR dan JPN adalah anggota UBN yang tiada berdaftar! Yang bekerja untuk tipu muslihat dan strategi UBN untuk menang secara penipuan dan cara jahat . Justeru Bilik Greakan bagi semua UPU ( Unit Peti Undi) sepatutnya sudah pun bersiap-siaga daripada sekarang khususnya bagi negeri Perak untuk memintas perancangan UBN dan agensi dibawah telunjuknya (JPN dan SPR) ; khususnya penggunaan ‘Mycard” di kalangan anggota polis dan tentera .

Kamu merancang . Allah juga merancang ; Tetapi perancangan Allah yang terbaik ( Maksud Qur’an) Gerakan yang batil bisa menyalahkan Gerakan yang hak jika yang batil itu lebih tersusun rapi dan organisir .kata Syaidina Ali.

“ Selamatkan Negara Kamu Daripada Bankrup ! DETHRONE UBN!!! “
“ VICTORY FOR PAKATAN RAKYAT ! “ “ GOD IS THE GREATEST ! “
By: Nash Ar-Rawy /23.1.10 ( www.nashsisepuluh.spaces.live.com )

POTONG. POTONG. POTONG

8 Safar 1431H
OLEH:JJ ANAK DESA
(http://www.joharapat.blogspot.com)

Apabila saya melihat iklan di TV kanak kanak memukul rebana sambil menyebut potong, potong, potong , teringat saya kepada Kerajaan BN 1 Malaysia yang sekarang ini juga turut mendendangkan lagu potong, potong potong.

Zaman 1 Malaysia ini, rakyat diutamakan kini menjalankan polisi `potong', jangan tak potong. Dalam harakahdaily tulisan doktor rakyat mengisahkan tindakan kerajaan 1 Malaysia sedang berkira-kira untuk memotong elaun kakitangan awam. Semua ini di lakukan atas alasan sebagai langkah berjimat-cermat.

Pada tahun ini, difahamkan yang kerajaan telah pun memotong bajet hospital kepada hampir separuh daripada jumlah bajet pada tahun sebelum ini. Sebagai contohnya, jika sesebuah hospital itu menerima RM40 juta pada tahun lepas, tahun ini hanya RM20 juta sahaja diberikan.

Kalau baget untuk hospital pun kerajaan 1 Malaydsia sanggup potong, inikan baget yang lain. Sekarang ini masa untuk `potong'. Lepas ni tak tahu apa lagi yang kena potong.

Kita bimbang jika kes potong memotong ini berlaku di hospital, bimbang bukannya apa ubat ubatan yang diperlukan untuk pesakit juga turut terhad . Hospital kerajaan ini adalah tempat rakyat untuk dapatkan rawatan, jika ubat ubatan pun dihadkan, tidakkah ini menyusahkan rakyat. Mana slogan 1 Malaysia. Ini yang kita bimbangkan

Yang pergi ke hospital kerajaan adalah mereka yang tidak banyak wang, yang kaya dan banyak duitnya akan pergi ke hospital kerajaan. Jadi meranalah rakyat bawahan bila potong memotong ini terkena kepada mereka. Sudahlah sakit, ubat ubatan pula dihadkan. Nak beli ubat kat luar, mahal. Akhirnya tunggulah nyawa dipotong (sampai ajalnya)

Itu cerita bajet di hospital dipotong. Sekarang ini peruntukan makan bagi asrama asrama sekolah pun dipotong. Sebelum ini kerajaan memberikan peruntukan untuk makan kepada pelajar pelajar yang tinggal di asrama asrama selama 250 hari setahun, tetapi sekarang ini peruntukan itu telah dipotong menjadi 200 hari sahaja.

Dalam 200 hari pelajar pelajar yang tinggal diasrama ini diberikan makan. Lima puluh hari lagi tak ada makan. Para pelajat di asrama pandai pandailah cari makan. Kesannya pelajar berkenaan hanya dapat makan hari isnin hingga sabtu saja. Hari sabtu ahad `hampa' cari sendiri. Minta duit kat mak bapa 'hampa' `untuk makan dua hari itu.

Diberitakan ada sekolah sekolah asrama yang meminta ibubapa mengambil anaknya pada hari sabtu kerana makanan untuk dua hari itu tidak ada disediakan. Kalau sekolah anak tersebut tidak jauh dari rumah bapanya, bolehlah si ayah datang mengambilnya atau balik sendiri.

Ini bermakna kos yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa meningkat terutama mereka yang ramai anaknya berada di asrama sekolah. Kebanyakan pelajar pelajar yang tinggal di asrama ini adalah anak Melayu. Yang berada jauh dari keluarga, ibubapa terpaksa mengerluarkan kos untuk anaknya makan di luar pada hari sabtu dan ahad. Inilah 1 Malaysia, peruntukan makanan pelajar di asrama pun dipotong.

Kes potong memotong ini juga `menggerunkan' ramai kakitangan awam. Desas desus yang mengatakan elaun elaun sara diri (cola) hendak dipotong cukup mencemaskan terutama yang tinggal di bandar besar saperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bharu dan lain lain bandar bandar bandar. Ada yang mendapat RM100, ada yang dapat RM200 sebulan. Jika elaun ini dipotong, terpotonglah bajet harian mereka. Jika semua dah dipotong, apa lagi yang tinggal.

Sudahlah bajet harian terpotong lantaran kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram, peruntukan makanan anak mereka yang tinggal di asrama juga dipotong, peruntukan hospital hospital juga dipotong. Apa lagi selepas ini yang hendak dipotong?

Saya percaya selepas ini ada lagi peruntukan yang kena potong. Kalau untuk orang sakit pun (hospital kerajaan) peruntukannya dipotong, agak agaknya elaun kakitangan awam tak kena potong ke? .

Sekarang ini kakitangan awam tidur tak lena, mandi tetap basah kerana ada lagi air paip. Kalau air paip kena potong disebabkan bajet harian kena potong, barulah mandi tak basah.

Jadinya kes potong memotong yang dilakukan Kerajaan BN 1 Malaysia ini tidak harus dibiarkan, bimbang rakyat pula yang `mati merana' dek kerana bajet harian mereka terpotong lantaran kenaikan harga barang barang. Harga gula dah naik, lepas ini apa pulak yang naik, Bayaran elektrtik, petrol, tol, mungkin naik. Ini semua mengakibatkan bajet keluarga terpaksa dipotong.

Jadi sebelum bajet harian kita terpotong lebih banyak lagi, mari kita `potong' dulu BN dengan cara undi dalam pilihanraya. Pilihanraya umum ke 13 nanti rakyat kena `'potong BN', gantikan dengan Pakatan Rakyat untuk menerajui Malaysia.

Potong mesti potong. Potong mesti potong BN dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Kalau tidak nanti kita pula terpotong.

Potong, potong, potong.
Potong apa?
potong BN.

ALANGKAH SUSAHNYA UNTUK BERLAKU IKHLAS

8 Safar 1431H
anuarani

Ikhlas adalah salah satu daripada sifat-sifat mahmudah yang paling tinggi selepas iman. Ia adalah rahsia Tuhan, para malaikat pun tidak tahu. Yang punya diri pun tidak dapat mengesannya. Ia adalah penentu apakah amalan seseorang itu diterima atau ditolak oleh Allah. Ada para Sahabat bila mendengar tentang ikhlas itu dari Rasulullah SAW mereka menangis.Mereka merasa tidak selamat. Mereka merasakan tidak mungkin memperolehi sifat ikhlas yang begitu tinggi kedudukan dan nilainya itu.

Oleh kerana susahnya untuk mendapatkan sifat ikhlas itu, Islam tidak membenarkan seseorang itu mengaku dia adalah ikhlas. Siapa yang mengaku dia ikhlas kalaupun sebelum itu dia ikhlas, automatik keikhlasannya terbatal. Kalau begitu, salah sekali selama ini yang berlaku di dalam kehidupan kita, seolah-olah telah menjadi budaya apabila seseorang itu memberi,menolong, membantu dengan berkata:

“Ambillah! Saya ikhlas ni!”

“Saya telah tolong dia dengan ikhlas. Kemudian dia memusuhi saya.”

“Saya hendak tolong awak ini dengan ikhlas! Tapi saya sedih, awak menolaknya.”

“Saya ikhlas hendak bagi sebanyak ini, saya bagilah!”

Di dalam menulis surat selalu ditutup dengan perkataan, “Saya yang ikhlas.”

Orang yang mengaku ikhlas, ertinya dia mengaku orang yang paling baik. Di dalam ajaran Islam, mengaku baik itu adalah satu kesalahan. Siapa yang mengaku ikhlas, siang-siang lagi ternafi keikhlasannya. Tiada yang mengetahui seseorang itu ikhlas sekalipun yang punya diri, walaupun malaikat, melainkan Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Oleh itu tiada seorang yang berhak mengaku ikhlas. Cuma berusahalah untuk menjadi orang yang ikhlas. Moga-moga kita ikhlas. Setelah kita berbuat demikian moga-moga setiap amal yang kita buat itu diterima oleh Allah SWT.

APA ERTI IKHLAS?

Erti ikhlas itu ialah murni, bersih. Sesuatu benda itu kalau jenisnya sahaja, tidak bercampur jenis lain, dianggap benda itu bersih, murni, tidak dinodai oleh benda-benda lain. Sebagai contoh, kalau air itu semata-mata air, kalau air itu tercampur sabun, nila atau tepung, air itu tidak khalis. Ertinya air itu tidak murni lagi. Tidak mutlak lagi. Tidak bersih, tidak pure kerana tercampur benda lain yang bukan jenisnya. Ertinya air telah ternoda atau dinodai oleh benda yang lain. Atau ia telah diwarnai oleh benda lain.

Begitulah kita beramal, berusaha dan berjuang seperti bersembahyang,puasa, zakat, naik haji, membaca Al Quran, mengajar, berdakwah, memberi, menolong, motivasi, forum, ceramah dan belajar adalah kerana Allah Taala, kerana suruhan-Nya, kerana perintah-Nya, kerana keredhaan-Nya, kerana arahan-Nya, kerana mentaati-Nya dan patuh kepada-Nya.

Jadi perkara yang kita buat itu, seperti contoh-contoh di atas kerana-Nya adalah satu, tujuannya satu, didorong oleh satu, iaitu Allah SWT. Demi untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Tidak bercampur dengan kerana-kerana yang lain selain kerana Allah Taala. Itulah yang dikatakan orang yang ikhlas, iaitu dia membuat kerja-kerja tadi kerana-Nya murni. Tujuannya bersih. Dorongan dari satu iaitu Allah SWT.

Jika niat atau dorongannya telah tercampur dengan kerana-kerana lain atau ada terselit niat-niat lain di dalam kerana Allah itu, dorongannya bukan satu lagi tapi sudah menjadi dua atau tiga. Misalnya, niat membuat kerja itu dicampur sama kerana riyak, megah, nama, glamour, pangkat, duit, kerana orang minta,kerana takut orang tidak suka, untuk mental exercise, kerana boring di rumah, kerana hendak lari daripada masalah, kerana ingin sokongan atau undi, kerana hendak menguji kemampuan,kerana hendak berlawan, kerana hadiah, kerana piala, kerana kawan. Maka orang itu sudah tidak khalis lagi di dalam kerjakerjanya. Ikhlas sudah tiada, sudah tidak murni, ikhlasnya telah ternoda.

Justeru apa yang dibuat itu ‘kerana Allah’nya telah bercampurdengan kerana-kerana yang lain. Oleh itu ‘kerana Allah’nya sudah tidak bersih atau tidak murni lagi, niatnya telah bersekutu.Niatnya telah syirik, iaitu syirik khafi. Di Akhirat nanti Allah meminta orang itu, “Pergilah minta pahala daripada orang yang awak keranakan itu.” Allah Taala tidak akan membalas kebaikan apa-apa kepada orang itu kerana tujuan dia beramal itu tidak kepada Allah lagi atau tidak sepenuhnya kerana Allah Taala tapi ada kerana yang lain selain Allah Taala.

Untuk berlaku ikhlas di dalam sebarang perbuatan kita amat susah sekali. Terutama kerja-kerja dan amalan yang ada hubung kait dengan kepentingan umum atau dengan orang ramai atau amalan yang terdedah kepada pandangan umum seperti ceramah,dakwah,mengajar,belajar,gotong-royong,membaca Al
Quran di hadapan khalayak, forum, wawancara, memberi hadiah, memberi bantuan di hadapan umum atau di hadapan orang ramai. Lebih-lebih lagi bagi orang yang jarang memikirkan hati, kurang muhasabah hatinya, hatinya dibiar atau terbiar, jarang diambil tahu atau diambil kira, selalunya lebih banyak terjebak kepada tidak ikhlas. Ramai yang nawaitunya tercampur dengan hal-hal huzuzunnafsi, kepentingan atau tujuan diri sama ada disedari atau tidak disedari kerana kurang menyuluh hati.

Adakalanya amalan itu awal-awal lagi nawaitu atau niatnya telah rosak. Ibarat membuat rumah atau bangunan di atas lumpur maka awal-awal lagi rumah atau bangunan itu runtuh di awalnya lagi. Kalau tidak di awalnya, rosak pula di pertengahan jalan. Kadang-kadang di awal-awal dan di pertengahan jalan masih hatinya kerana Allah, tidak bercampur kerana kerana yang lain selain Allah Taala, tapi dia terjebak di hujung atau di akhir perbuatannya.

Di sini saya datangkan contoh bagaimana ia boleh terjadi.

A. Niat rosak di awal lagi.

Katalah kita hendak berdakwah di satu tempat pada hari sekian sekian.Sama ada kita yang membuat program itu,penduduk tempat itu menjemput kita. Hati kecil kita pun berkata:

“Ha! Inilah masanya aku akan popular.”
“Aku akan terkenal!”
“Adalah peluang duit poket!”
“Aku akan hentam puak-puak ini yang menjadi musuh aku selama ini.”
“Barulah mereka tahu siapa aku!”
“Padanlah muka mereka nanti!”

Usaha dakwahnya rosak sama sekali! Di awal-awal lagi sudah tidak ada keikhlasannya. Bukan kerana Allah Taala tapi kerana diri kita sendiri atau kerana tujuan menghentam, tapi kita menggunakan hak-hak Allah sebagai alat. Ini ibarat melukis di atas air atau membangunkan rumah di atas lumpur.

B. Rosak di pertengahan.

Bagaimana pula rosak di tengah-tengah atau di dalam perjalanannya.

Mula-mula memang dibuat kerana Allah. Hati berkata: “Aku wajib menyampaikan seruan Allah itu. Lebih-lebih lagi peluang sudah ada atau sudah terbuka.”

“Aku mesti mengisi program itu. Aku tidak ada apa-apa keuzuran. Kalau aku tidak mengisi program itu nanti Allah marah. Insya-Allah aku akan pergi berdakwah di tempat itu.”

Waktu sedang menyampaikan dakwah dengan petahnya, dengan bahasa yang indah, dalil-dalil dan hujah-hujah yang fasih, orang ramai pun mengangguk-angguk. Begitu ceria muka mereka mendengarnya dan menerima apa yang kita sampaikan menunjukkan ada respon dari orang ramai. Hati kita pun berbunga.

Syaitan pun menghembus-hembuskan ke dalam hati untuk kita lupa dengan Allah. Kita pun terasa luar biasa. Hati kita pun membisikkan kepada kita:

“Hebat aku ni!”
“Boleh tahan juga aku ini.”
“Payah juga orang lain hendak menandingi aku.”

Di pertengahan dia rosak. Rosak di dalam perjalanan. Keikhlasannya tadi telah diungkaikannya semula. Dia telah berkongsi niat di antara Allah dengan dirinya sendiri, syirik khafi.Ibadahnya atau kebaikannya berdakwah itu telah dibatalkan. Ibarat membuat rumah atau bangunan, sedang membinanya belum pun siap lagi telah diruntuhkan semula.

C. Rosak di hujung.

Di awalnya sebelum berdakwah itu niatnya sudah bagus. Dia hendak berdakwah di tempat dan masa sekian-sekian, tujuannya betul kerana Allah. Dia ingin menunaikan tanggungjawab untuk menyampaikan risalah Tuhan kepada umat. Apabila sampai masanya, berhadapan dengan orang ramai, dia pun menyampaikan dakwahnya.

Di waktu itu hatinya masih baik. Belum tergugat lagi. ‘Kerana Allah Taala’nya masih belum terungkai lagi. Tapi dalam perjalanan pulang dari majlis dakwah itu, ada kawan yang sama-sama berada di dalam keretanya pun bercakap:

“Ustaz bercakap tadi sedap betul.”
“Saya tengok orang ramai di majlis itu mengangguk saja tanda memberi respon.”
“Ustaz ni kalau terus-menerus boleh membuat dakwah ini, ustaz akan lebih lagi lincah dan matang.”

Hatinya terus berbunga. Ujub pun datang. Syaitan membisikkan di dalam hatinya bahawa dia orang yang mampu dan berkebolehan. Dia telah lupa kemampuan itu anugerah dari Allah Taala yang Maha Pengurnia. Patut dia malu kepada Tuhan kerana Allah Taala telah memberi dia berkebolehan di dalam
berceramah atau pidato.

Maka terbatal pula ibadahnya. Pahala dakwahnya malam itu telah terkorban. Ibarat membangunkan rumah atau bangunan, siap-siap sahaja rumah itu, ia pun runtuh.

Apa yang kita bawa ini adalah sebagai satu contoh. Kita bolehlah kiaskan kepada usaha-usaha dan kerja-kerja yang lain.

Apakah usaha dan kerja itu kita buat kerana Allah atau kerana kita seratus peratus atau bercampur kerana Allah dengan kerana kita.

Berdasarkan apa yang kita tulis ini, masya-Allah, terasa sungguh oleh kita susahnya untuk menjadi orang yang ikhlas, sedangkan ikhlas itu adalah roh ibadah. Penentu apakah ibadah-ibadah itu tertolak atau diterima.

Wahai Tuhan, rasanya kami belum berbuat apa-apa sebelum ini, kalaupun ada berbuat, sudah tentu payah sekali hendak mengelakkan daripada huzuzunnafsi ini. Iaitu ada tujuan kerana diri. Kalaulah bukan bantuan dan pimpinan-Mu Tuhan, rasanya sebarang amalan yang kami buat mungkin tertolak semuanya.

Para pembaca, di sinilah rahsianya mengapa kadang-kadang usaha dan perjuangan kita itu tidak berkesan, walaupun usaha sudah dilakukan, respon orang ramai pun ada, tapi kesannya tiada. Orang ramai tidak juga berubah dari dakwah kita itu. Apa yang diucapkan oleh mulut kita tidak sama di hati. Apa yang dicakapkan oleh mulut kita sudah cantik, tidak ada cacat celanya, tapi cacat di hati. Jadi apa yang diucapkan oleh mulut itu hanya jatuh di mulut orang ramai. Orang ramai memuji-muji kita,mengulas-ulas dan memperpanjang-panjangkan ceramah kita.Namun hati tidak berubah apa-apa kerana di sini terhijab bantuan daripada Allah Taala disebabkan niat atau hati kita telah rosak oleh mazmumah riyak dan lain-lain lagi. Di waktu itu sifat-sifat taqwa kita sudah ternafi. Allah Taala tidak akan menolong orang yang tidak bertaqwa.

Oleh itu marilah kita membuat kerja-kerja kebaikan dengan hati yang tunduk, yang tawadhuk, penuh malu kepada Tuhan, rasa takut dan cemas. Takut kalau-kalau amalan kita itu ditolak oleh Allah Taala. Firman Allah:

Maksudnya: “Ikhlas itu satu rahsia dalam rahsia-Ku, Aku titiskan ia dalam hati hamba-hamba-Ku yang Aku kasihi.” (Hadis Qudsi)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran lahir kamu tapi dia melihat apa yang ada di dalam hati kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Marilah kita berhati-hati moga-moga kita selamat.

Ya Allah, berilah kami selalu hidayah dan taufik-Mu agar perjalanan lahir dan batin kami berjalan selari menuju keredhaan-Mu, ya Allah!

Anak setan

8 Safar 1431H

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro. com.my
2010/01/21

KUALA LUMPUR: Berpelajaran tinggi tapi tak mampu membuat pertimbangan wajar! Itulah sikap seorang pelajar jurusan perubatan yang baru pulang bercuti di tanah air apabila sanggup memukul bapa kandungnya sendiri selepas permintaannya untuk mendapatkan wang RM1 juta tidak dipenuhi.

Difahamkan, bapa berusia 50-an itu baru menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan sedang berehat di rumahnya di Ampang di sini, manakala anaknya yang berusia 20-an yang kini menuntut di luar negara, pulang untuk bercuti sejak beberapa hari lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam Ahad lalu, mangsa sedang menonton televisyen seorang diri di rumah sebelum tiba-tiba anaknya yang baru pulang terus memukul badannya menggunakan besi.

Malah, dalam laporannya kepada pihak polis, mangsa turut mendakwa jari tangan kanannya dihiris dengan pisau oleh anaknya selain turut cedera di kaki.

Mahasiswa terbabit ‘menyeksa’ bapanya dalam usaha memaksa orang tuanya itu menyerahkan wang berkenaan.

Menurut sumber polis, mangsa mendakwa kejadian berkenaan bukan kali pertama berlaku pada dirinya, malah sudah tiga kali sejak beberapa tahun lalu.

“Mangsa sudah tidak tahan dengan kelakuan anak lelakinya itu lalu melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Susulan itu, polis menahan anak lelaki mangsa sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil,” katanya.

Menurutnya, polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu.

Difahamkan, mangsa bertugas sebagai pengarah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) manakala isterinya turut menyandang jawatan pengarah jabatan di sebuah agensi kerajaan, mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup mereka.

Anak mangsa yang memukul dan meminta wang RM1 juta daripada mangsa sedang menghabiskan cuti pengajiannya dalam bidang perubatan di India.

Menurut sumber, anak mangsa sebelum ini sudah beberapa kali meminta wang daripada bapanya, namun tidak dilayan sehingga dia akhirnya ‘naik angin’ dan melepaskan geram dengan memukul bapanya kerana permintaan itu tidak ditunaikan.

“Bagaimanapun, polis masih menyiasat tujuan anak mangsa meminta wang RM1 juta daripada bapanya dan sehingga kini siasatan menyeluruh sedang dilakukan.

“Hasil siasatan awal mendapati anak mangsa mempunyai perwatakan baik dan polis masih berusaha mengenal pasti motif sebenar di sebalik permintaan wang dalam jumlah yang besar itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.