26 April 2012

NGO Umno gagal fahami kandungan perlembagaan

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TANAH MERAH: Biar pun banyak penjelasan diberi namun masih ada pihak yang buat-buat tidak faham mengenai usaha meningkatkan pengurusan bekalan air di Kelantan.

Sepatutnya Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) melihat Jadual 9 Senarai Bersama Negeri dalam perlembagaan, secara jelas menyebut perkhidmatan bekalan air di bawah tanggungjawab persekutuan, dan hanya sumber air milik negeri.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman (gambar) berkata, NGO terbabit dan pemimpin Umno asyik mengungkit isu sama biar pun banyak penjelasan diberi.

Katanya, biar pun pengurusan air di bawah tanggungjawab pusat, namun kerajaan negeri mengambil peranan itu bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air bersih.

“Sepatutnya tidak berlaku Kelantan didiskriminasi dalam tempoh begitu lama bagi mendapat kemudahan bantuan atau pinjaman kewangan untuk meningkatkan prasarana bekalan air.

“Namun apa yang berlaku hampir 13 tahun Kelantan dinafikan hak mendapat segala kemudahan kewangan sehingga terpaksa berikhtiar sendiri mencari dana,” katanya di sini.

Akhbar milik Umno hari melaporkan Presiden MTRK, Azmi Ali mendesak Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Md Anizam meletak jawatan ekoran Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Md Anizam berkata, Umno masih menjaja isu lapuk kerana usaha meningkatkan bekalan air berterusan dilakukan selepas mendapat pinjaman mudah pada 2003.

Sementara itu Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, sekiranya benar operator itu terlibat dengan salah urus tadbir sudah tentu laporan mengenainya dimuat dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Katanya, sehingga kini tidak ada laporan penyelewengan berlaku seperti yang didakwa MTRK.

“Sebenarnya tidak perlu laporan MTRK untuk Jabatan Audit dan SPRM bertindak kalau benar ada salah urus. Apa yang berlaku sekarang pihak terbabit sengaja mahu melemparkan persepsi bagi memburukkan AKSB dan kerajaan negeri.

“Kalau betul ada penyelewengan sudah tentu Lembaga Penasihat Perbadanana Menteri Besar membuat teguran lebih awal.

“Lembaga terbabit dianggotai pegawai kanan kerajaan dan golongan profesional. Biar apa pun terpulang kepada SPRM untuk menentukan kedudukan sebenar,” ujarnya.

Harakah Daily

Komputer diubah suai mesin judi

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KAMPAR – Polis merampas sejumlah 125 unit komputer yang diubah suai menjadi mesin perjudian haram dalam 12 serbuan dalam ‘Ops Dadu’ di daerah ini sejak 1 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, dalam tempoh tersebut, polis telah menahan 11 lelaki dan seorang perempuan berusia antara 20 hingga 40 tahun disyaki penjaga pusat perjudian.

Menurutnya, sebanyak sembilan kes telah dituduh di Mahkamah Majistret Kampar bersabit kesalahan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah judi Terbuka 1953 manakala, tiga lagi dalam proses pertuduhan.

“Kejadian terbaru melibatkan dua serbuan rumah kedai di Kampar dan Mambang Diawan dan telah merampas sebanyak 20 unit komputer.

“Dalam serbuan itu, seorang perempuan dan lelaki telah ditahan dan mereka masih dalam siasatan polis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, kegiatan perjudian memerlukan kerjasama daripada orang awam bagi membendung kegiatan itu selain pihak polis meneruskan usaha dari semasa ke semasa.

Sinar Harian

Asid tumpah atas jalan raya, laluan ditutup lima jam

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Kecuaian pemandu lori memandu laju di kawasan selekoh Jalan Pontian-Skudai, di sini mencetuskan panik apabila cecair kimia yang mengandungi 80 peratus asid sulfurik tumpah di atas jalan raya, kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila laluan terpaksa ditutup selama hampir lima jam bermula daripada restoran makanan segera McDonalds Skudai sehingga ke selekoh berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulai, Taman Universiti, Mohd Fakri Mazlan berkata, sebanyak tiga jentera digunakan dalam operasi itu dengan kekuatan 23 anggota bagi meneutralkan semula tumpahan cecair kimia berkenaan.

“Cecair berkenaan amat berbahaya dan boleh menyebabkan hakisan teruk kepada kulit manusia, bagaimanapun kejadian itu berjaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang memandu laju di kawasan selekoh ini dan menyebabkan dua daripada 11 tong asid sulfurik yang dibawa jatuh dari kenderaan.

“Menurut pemilik kenderaan berkenaan, setiap tong berkenaan dianggarkan mengandungi kira-kira 1,800 kilogram cecair kimia,” katanya.

Mohd Fakri berkata, laluan berkenaan telah dibuka semula kepada pengguna jalan raya lain selepas operasi pembersihan jalan untuk meneutralkan tumpahan asid tamat pada jam 1.15 petang.

“Ketika sampai ke lokasi kejadian, pihak bomba mendapati pemandu lori tiada di tempat kejadian dan cecair berkenaan telah merebak sehingga 300 meter akibat keadaan jalan yang curam.

“Anggota penyelamat segera menjalankan operasi pembersihan jalan dan laluan terpaksa ditutup sementara sehingga operasi tamat bagi keselamatan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kejadian tumpahan cecair kimia seumpama itu merupakan yang pertama berlaku sejak balai bomba berkenaan beroperasi kira-kira setahun lalu.

Sinar Harian

Tanah KTM: Najib tidak terlepas begitu sahaja

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 April: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan terlepas begitu sahaja setelah menyebabkan negara rugi besar dalam perjanjian pertukaran tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) dengan Singapura, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).

Mengulas laporan bahawa stesen keretapi Tanjong Pagar kini dijadikan pusat pertunjukan fesyen oleh Singapura setelah berjaya memperolehinya dalam perjanjian pertukaran tersebut, beliau mempersoalkan, apa yang manfaat yang diperolehi Malaysia dari perjanjian tersebut.

"Singapura sudah mula membuat untung besar dengan penggunaan stesen keretapi Tanjong Pagar itu sedangkan Malaysia yang kononnya mendapat tanah secara percuma dalam perjanjian pertukaran itu masih lagi bergelut dengan isu caj pembangunan yang terlalu tinggi yang dikenakan oleh Singapura setelah kononnya memberikan tanah secara percuma untuk dibangunkan," katanya.

Salahuddin kesal, ketika Singapura sudah pun berjaya menjana pendapatan dan publisiti untuknya sebagai pusat fesyen antarabangsa, kerajaan pimpinan Najib masih lagi terkial-kial untuk mencari penyelesaian dalam isu caj pembangunan itu.

"Tidak ada apa-apa pembangunan kerana Najib dan kerajaannya diperdaya dengan 'development cost' atau caj pembangunan.

"Terpaksa menunggu dan terpaksa merayu agar dikurangkan. Kalau Singapura tidak mahu kurangkan, sekali lagi terpaksa pergi ke ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) untuk membuat keputusan dan 10 tahun lagi pun terpaksa berputih mata.

"Sebelum ini hilang Pulau Batu Puteh kepada Singapura di ICJ. Apa jaminan tanah KTM itu tidak akan hilang di ICJ setelah Najib diperbodohkan dalam perjanjian itu?" Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mempersoalkan.

Salahuddin bertegas dengan pendirian bahawa apa yang berlaku itu hakikatnya adalah pengkhinatan Najib terhadap negara.

"Najib bertanggung jawab terhadap penghianatan itu. Perdana Menteri apa yang mudah terpedaya sedemikian rupa?

"Saya tidak percaya Malaysia tidak mempunyai orang yang cerdik untuk menasihati Perdana Menterinya supaya tidak diperdayakan sedemikian rupa," katanya.

Sebab itulah, Salahuddin enggan menolak spekulasi yang mendakwa bahawa apa yang sebenarnya berlaku ialah peras ugut dan pihak yang diperas ugut terpaksa merasuahkan tanah berharga kepada pihak yang memeras ugut.

Dengan apa yang berlaku itu, Salahuddin bimbang, apa lagi yang akan terlepas dari negara ini jika terus diperintah oleh Umno.

"Tidak kiralah sama ada kerana terlalu bodoh atau sengaja merasuah setelah diperas ugut, setelah kita kehilangan Singapura pada 1965, Pulau Batu Puteh pada 2008 dan tanah-tanah KTM termasuk stesen keretapi Tanjong Pagar itu, apa lagi yang akan diserahkan oleh Umno kepada Singapura?

"Dalam soal tanah-tanah KTM, masalahnya Najib bersetuju bahawa Malaysia tidak akan menerima apa-apa pampasan dan pertukaran tanah jika Malaysia menangguh-nangguhkan tindakan untuk memuktamadkannya," kata beliau.

Salahuddin membangkitkan, perjanjian 1918 menyatakan tempoh pajakan tanah-tanah tersebut kepada KTM adalah selama 999 tahun walaupun dinyatakan untuk kegunaan perkhidmatan keretapi sahaja.

"Najiblah yang memusnahkan kelebihan yang berpihak kepada Malaysia dalam perjanjian 1918 itu apabila beliau mempersetujui perjanjian pertukaran tanah tersebut dengan (Perdana Menteri Singapura) Lee Hsien Loong," kata beliau penuh kesal.

Harakah Daily

Nafi ‘satu orang, satu undi’ sertai Bersih 3.0

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Penafian prinsip demokratik asas iaitu “satu orang, satu undi” adalah lagi satu sebab, selain daripada pengundi hantu dan kepincangan dalam daftar pemilih, mengapa rakyat Malaysia harus menyertai ‘Bantah Duduk’ Bersih pada jam 2 petang 28 April 2012 di Dataran Merdeka untuk menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Badan pemerhati pilihan raya Tindak Malaysia telah mengemukakan bukti bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersifat berat sebelah terhadap BN dengan gerrymandering dan manipulasi sempadan kawasan pilihan raya sehingga satu undi pengundi luar bandar adalah sama dengan enam undi pengundi bandar, kerana BN lebih kuat di kawasan luar bandar.


Mengikut Tindak Malaysia, BN telah memenangi 112 daripada 139 kerusi Parlimen yang paling kecil semasa Pilihan Raya Umum 2008, lantas memberikan mereka majoriti mudah dengan hanya 18.9 peratus undi popular. Kawasan-kawasan tersebut tidak akan ditukar untuk pilihan raya umum yang akan datang. Di manakah prinsip demokratik “satu orang, satu undi” dan juga di manakah pemerintahan majoriti apabila BN boleh memenangi 50.4 peratus daripada kerusi Parlimen dengan hanya 18.9 peratus undi popular?

BN telah memenangi 62 daripada kawasan yang paling kecil dengan hanya 6.2 peratus undi popular, termasuk kawasan terkecil iaitu Putrajaya yang hanya mempunyai 6,008 pengundi dan dimenangi BN, berbanding dengan Kapar yang mempunyai 112,000 pengundi dan dimenangi PKR. Daripada pemerintahan majoriti, kita mempunyai sistem pemerintahan minoriti, iaitu satu pelanggaran prinsip demokrasi perwakilan.

Tidak ada makna untuk SPR membazir duit mencetak 5,000 buah buku untuk menangkis dakwaan-dakwaan terhadap proses pilihan raya SPR yang pincang, apabila penipuan boleh mengatasi kebenaran. Bagaimana SPR boleh memperlekehkan isu lebih daripada 42,000 “pengundi ragu” dalam daftar pemilih apabila mereka bukan warganegara sepertimana yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran dan juga dakwaan pendaftaran pengundi yang terlalu banyak dalam satu alamat. Masalah ini mungkin lebih teruk daripada kes 42,2000 pengundi ragu yang diakui SPR dan Jabatan Pendaftaran.

Projek Analisa Daftar Pemilih Malaysia (Merap) yang diterajui ahli sains politik terkenal Dr Ong Kian Ming telah mengenal pasti lebih kurang 3.4 juta kes di mana siasatan lanjut harus dijalankan oleh SPR untuk mengesahkan kesahihan pengundi kerana ini adalah jumlah pendaftaran yang bermasalah dan mencemarkan integriti dan ketepatan data dalam daftar pemilih. Beliau telah mengutarakan 4 isu kritikal:

Lebih kurang 3.1 juta pengundi telah dikenal pasti sebagai bukan permastautin oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2002. Data ini telah diberi kepada SPR tetapi tiada tindakan yang telah diambil oleh SPR untuk menilai masalah ini dan mencari penyelesaian.

Menggunakan data SPR yang menyenaraikan kewarganegaraan atau “bangsa” setiap pengundi, lebih kurang 65,000 pengundi telah dikenal pasti sebagai warga asing. Daripada jumlah ini, dekat 90 peratus atau 58,000 mempunyai nombor kad pengenalan yang menunjukkan bahawa mereka telah dilahirkan di Malaysia. Tambahan pula, lebih kurang 49,000 pengundi ini datang dari hanya satu neger – Sabah – yang mempunyai sejarah yang terkenal dengan sejarah di mana K/P telah diberikan kepada pendatang asing untuk membolehkan mereka menjadi pengundi.

Dengan membandingkan daftar pemilih pada suku tahun keempat (Q4) 2010 dan Q3 2011 dan dengan menyoal-periksa data itu dengan pengemaskinian kepada suku tahun pertama dan ketiga 2011, telah dijumpai bahawa terdapat 106,743 pengundi yang dikeluarkan daripada daftar pemilih tanpa paparan awam dan sebanyak 6,762 pengundi telah ditambah kepada daftar pemilih dalam tempoh masa yang sama, juga tanpa paparan awam.

Maklumat penting yang disediakan oleh SPR dalam pengemaskinian Q1 ke Q3 2011 seperti sebab untuk pengeluaran nama daripada daftar pemilih tidak dijelaskan dalam pengemaskianian suku tahun Q4 2011. Kekurangan penjelasan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan maklumat penting disembunyikan oleh SPR supaya analisa data yang terperinci tidak dapat dilakukan.

Tambahan, pendaftaran warga asing sebagai pengundi dan tindakan unilateral SPR untuk membetulkan lokaliti mengundi sebanyak 19,000 pengundi dengan mengalihkan pengundi tanpa persetujuan mereka. Bahkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pun menjadi mangsa apabila lokaliti mengundinya telah ditukar daripada Selangor kepada Wilayah Persekutuan.

Aduan yang lain termasuk tambahan pengundi yang mendadak di kawasan-kawasan tertentu, kes-kes lebih 100 pengundi dalam satu alamat, dakwaan bahawa warga asing telah diberi hak mengundi, peralihan pengundi dari satu lokaliti ke lokaliti yang lain, pendaftaran pasangan kakitangan tentera sebagai pengundi pos, keputusan SPR secara tiba-tiba untuk meningkatkan jumlah pegawai yang bertugas pada hari mengundi dan kewujudan jumlah yang besar pengundi-pengundi yang berusia lebih 100 tahun.

Untuk sebab ini, DAP menyokong penuh dan akan menggerakkan ahli untuk Duduk-dan-Bantah Bersih pada jam 2 petang 28 April 2012 untuk pilihan raya yang bersih, dan menyeru agar semua rakyat Malaysia menyertai perhimpunan Bersih di merata negara, khususnya di Dataran Merdeka. DAP mengutuk hebat tindakan dan amaran oleh pihak kerajaan, terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, untuk mengharamkan bantahan secara aman ini dengan menakut-nakutkan orang. Penggunaan taktik ketakutan ini hanya mendedahkan watak sebenar kerajaan BN yang kuku besi dan bersifat zalim. Seperti yang dikatakan seorang Presiden Amerika Syarikat Thomas Jefferson,

Apabila rakyat takut kepada kerajaan, itu namanya kezaliman;
Apabila kerajaan takut kepada rakyat, itu namanya kebebasan.

Masa sudah tiba untuk memastikan masa depan yang cerah dan bersih serta bebas daripada ketakutan. Hanya proses pilihan raya yang bersih dan tanpa salah guna kuasa oleh SPR boleh menzahirkan pemimpin-pemimpin yang dapat memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia.

Harakah Daily

Tabur janji, dua kali pecah tanah mana hospital

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BERA, 26 April: PAS Kawasan Bera mendesak kerajaan menyegerakan pembinaan hospital daerah ini berikutan keperluannya amat mendesak bagi kegunaan penduduk apa lagi peruntukannya sudah diluluskan kerajaan.

Selain daripada itu, sudah dua kali majlis pecah tanah pembinaan hospital berkenaan diadakan serta janji demi janji yang diuar-uarkan oleh Ahli Parlimen Bera yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Desakan tersebut terkandung dalam usul yang diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan di Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Bera kali ke-9 di Darul Ikhwan, Mengkarak baru-baru ini. Mesyuarat agung berkenaan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman. (Gambar)

Ketua Penerangan PAS Bera Yusof Che Din yang membawa usul berkenaan, berhujah Ismail Sabri sendiri yang mengumumkan Kerajaan Pusat sudah meluluskan peruntukan RM60 juta bagi pembinaan hospital berkenaan.

"Satu tapak di Bandar 34 dekat rancangan Felda Gugusan Triang telah diwartakan untuk pembinaan projek hospital berkenaan yang akan memberikan perkhidmatan kepada lebih 100,000 penduduk di daerah ini sedangkan pusat kesihatan yang ada tidak dapat menampung keperluan kerana bilangan penduduk yang semakin bertambah.

"Pada masa ini, sesetengah penduduk terpaksa mendapatkan perkhidmatan dan rawatan di Hospital Temerloh yang jaraknya lebih 70 kilometer dan Hospital Bahau, Negeri Sembilan yang jaraknya lebih 100 kilometer dari Bera.

"Jika berlaku sebarang kecemasan sudah tentu amat merumitkan kerana kedudukan kedua-dua hospital agak jauh, sedangkan dengan adanya sebuah hospital baru dan moden ia dapat memberikan perkhidmatan dan rawatan kepada penduduk sekali gus menjimatkan perbelanjaan untuk berulang,” hujahnya.

Menurut Yusof, sudah dua kali dilakukan majlis pecah tanah di atas tapak tanah seluas 26 ekar yang dicadangkan melibatkan Sultan Pahang, Menteri Kesihatan, Menteri Besar Pahang serta Ahli Parlimen Bera sendiri iaitu pada 5 Januari 2008 dan 6 Februari 2009.

Tegas Yusof lagi, hospital yang dicadangkan itu merupakan salah satu projek pembinaan Hospital baru yang diluluskan oleh kerajaan semasa kajian semula Rancangan Malaysia Ke-9 dan sepatutnya siap tahun ini.

“Sesudah beberapa tahun, bukan saja Hospital Bera tidak wujud, malah tanda-tanda kerja-kerja awal projek pun belum bermula sehingga ke saat ini.

“Jadi janji Hospital Bera hampir pasti menjadi satu lagi daripada ribuan koleksi tunggakan janji pilihan raya Umno dan BN. Datuk Seri Ismail Sabri akan menganjurkan satu lagi upacara pecah tanah menjelang PRU13?” soalnya sambil diiringi tepukan gemuruh.

Usul tersebut kemudiannya diterima sebulat suara.

Harakah Daily

Bersih 3.0: Unit Amal kerah 4,000 petugas

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia akan menggerakkan 4,000 ahlinya dari Semenanjung Malaysia untuk bertugas menjaga keamanan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Johari Osman, Unit Amal dari Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu akan mula memasuki ibu kota seawal petang ini manakala dari negeri-negeri lain akan mula berkampung esok pagi.

"Keseluruhan Unit Amal yang akan diturunkan iaitu yang lengkap beruniform tidak kurang daripada 4,000 orang dan semuanya sudah melaporkan diri," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, Unit Amal dari Sabah dan Sarawak tidak digerakkan ke Dataran Merdeka sebaliknya mereka akan bertugas di himpunan Bersih 3.0 yang turut diadakan serentak di sana.

"4,000 itu dari semenanjung sahaja kerana anggota kita di Sabah dan Sarawak akan menjaga perhimpunan di sana pada masa yang sama," katanya.

Johari juga berkata, Unit Amal atau sinonim dengan gelaran "Tentera Merah" akan turut bekerjasama dengan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Angkatan Muda Malaysia (AMK) dan beberapa pergerakan lain bagi melancarkan perjalanan Duduk Bantah.

"Unit Amal telah mengadakan mesyuarat dengan pergerakan-pergerakan lain bagi menyelaraskan pergerakan. Tapi tugas tetap Unit Amal adalah menjaga pimpinan utama Pakatan Rakyat selain menjaga pergerakan peserta himpunan," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Jabatan Amal Malaysia, Azuan Ismail menyeru masyarakat yang prihatin agar menghulurkan sumbangan ke Tabung Amal yang diwujudkan bertujuan menampung perbelanjaan anggotanya.

"Saya menyeru semua para dermawan agar sama-sama dapat menyumbang ke Tabung Amal untuk membantu petugas-petugas Jabatan Amal yang akan terlibat.

"Ada di antaranya yang bekerja kampung seperti menoreh getah, berkebun, tukang kayu dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam Jabatan Amal Malaysia 140140-101-33669.

Harakah Daily

BR1M diguna beli lembu kenduri masuk PAS

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Belum pun Umno sempat menuai hasil daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ada penerima bantuan sudah membelanjakan wang yang diperolehi bagi menganjurkan kenduri kesyukuran menyertai PAS.

Baru-baru ini beberapa penduduk yang menerima BR1M berpakat menggunakan wang yang diperolehi untuk membeli lembu bagi majlis kesyukuran di Rantau Panjang.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, keadaan sebaliknya berlaku apabila habuan BR1M sebanyak RM500 yang diharap BN dapat memancing undi dijadikan modal untuk program PAS.

“Pada mulanya BR1M bertujuan memancing undi dengan harapan rakyat terus menyokong BN, namun lain pula jadinya di Bukit Tuku.

"Tak sangka pula ada penerima berpakat sesama mereka membeli lembu sempena majlis kesyukuran menyertai PAS,” ujarnya pada perasmian penutup Ijtima’ Almala’ di Kota Darulnaim baru-baru ini.

Hampir 800 peserta menghadiri program berkenaan. Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Perupok, Datuk Omar Mohamed dan Pegawai Fatwa Jabatan Mufti Kelantan, Ustaz Saibon Ismail.

Harakah Daily

Hishammuddin pengecut ‘haram’ Dataran Merdeka

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan politik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berselindung di sebalik jentera kerajaan mengekang Bersih 3.0 adalah tindakan pengecut.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal dengan sikap berdolak dalik kerajaan apabila melarang penggunaan Dataran Merdeka sebagai lokasi Perhimpunan Bersih 3.0 ‘Duduk Bantah’ pada 28 April ini walaupun di peringkat awalnya mereka memberi lampu hijau.

“Lebih mengecewakan apabila kerajaan menggunakan agensinya iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai alasan mengekang perhimpunan ini diadakan,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Menurutnya, DBKL dan PDRM tidak mungkin bertindak ganas menahan dan menghalau perkhemahan rakyat di Dataran Merdeka serta memagarinya sepanjang masa jika tidak ada arahan daripada beliau.

“Tidak mungkin Dataran Merdeka tiba-tiba diisytiharkan menjadi kawasan haram kepada orang ramai oleh DBKL jika bukan arahan dari beliau sendiri.

“Tindakan kerajaan ini memperlihatkan wajah sebenar mereka dalam menghayati tuntutan demokrasi sebenar,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Bagi DPPM, katanya sikap tidak konsisten kerajaan amat dikesali apabila menutup pintu serapatnya kepada ruang demokrasi di negara ini.

Menurutnya, hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara disekat dan dinafikan dengan pelbagai tekanan kononnya ia adalah langkah mengawal keselamatan negara dan keharmonian rakyat.

Riduan berkata, rakyat di negara ini dilayan seperti warga kelas kedua jika mereka ini bukan dari kelompok elit BN.

Beliau berkata, segala aktiviti yang melibatkan rakyat bawahan yang ‘menentang’ dasar kerajaan yang songsang, pasti akan dilawan habis-habisan.

Katanya lagi, rakyat seolah-olah golongan yang berbahaya dan menjadi musuh utama kerajaan.

“DPPM menegaskan Perhimpunan Bersih 3.0 adalah perhimpunan aman yang dianjurkan oleh NGO,” tegasnya.

Tujuannya, jelas beliau adalah menegur kerajaan dan badan yang mengendalikan sistem pilihan raya yang tidak bertindak jujur dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Katanya lagi, segala macam bukti kepincangan, penyelewengan sudah dikenal pasti dan didedahkan satu persatu untuk tindakan namun tidak ada tindakan susulan dibuat bagi memperbaikinya.

“Rakyat menjadi bimbang unsur penipuan akan dijayakan secara besar-besaran dalam PRU ke-13 dan pilihan raya tersebut bakal menjadi pilihan raya terkotor dalam sejarah,” katanya.

Dengan demikian, ujarnya DPPM membayangkan demokrasi di negara ini akan terus bergelap jika kuasa masih dipegang BN.

“Rakyat tidak mungkin akan mengecapi nikmat hidup dalam demokrasi sebenar jika BN terus mendapat mandat nanti pasca PRU13.

“Ketika itu, lupakan demokrasi dan hiduplah di bawah rejim BN yang memerintah sesuka hati,” katanya lagi.

Harakah Daily

6 kawasan alternatif Dataran Merdeka

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Aman Bersih 3.0 tetap akan diteruskan walaupun dihalang oleh pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sekiranya orang ramai tidak dapat memasuki Dataran Merdeka, mereka dikehendaki berkumpul di enam tempat alternatif yang telah dirancang.

Enam lokasi alternatif itu terdiri daripada Pasar Seni atau Central Market; Masjid Negara; KLCC; Brieckfield; Jalan Sultan; dan Masjid India.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0, Maria Chin Abdullah (gambar atas) menjelaskan, perhimpunan aman di KLCC itu adalah Himpunan Hijau, tetapi mereka yang menyertai perhimpunan di kawasan itu akhirnya tetap akan bersatu juga dengan himpunan aman Duduk Bantah Bersih 3.0.

Menurut beliau, Himpunan Hijau tidak terpisah dengan Perhimpunan Aman Bersih 3.0 kerana kesemua mereka yang menyertai kedua-dua perhimpunan itu mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya dengan bersih, adil dan telus di negara ini.

Katanya, mengikut perancangan, Perhimpunan Aman Bersih 3.0 akan diadakan di Dataran Merdeka dan pihaknya tidak sekalikali akan menukar ke tempat lain, manakala enam tempat berkenaan adalah tempat perhimpunan awal sebelum para peserta menuju ke Dataran Merdeka.

“Tetapi kalau orang ramai tak dapat sampai ke Dataran Merdeka, mereka hendaklah berkumpul dengan duduk bantah di enam tempat itu yang sekali gus menjadikannya sebagai tempat alternatif,” katanya ketika dihubungi Harakah 24 April lalu.

Laporan penuh dalam Harakah cetak di pasaran mulai hari ini.

Harakah Daily

Dicekup ketika ambil pesanan

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sedang leka mengambil pesanan pelanggan di kedai makan dicekup dalam serbuan oleh Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Johor, di sini pagi kelmarin.

Operasi yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen II, Amzari A Jalil itu dijalankan di Medan Selera Bandar Baru Uda kira-kira jam 9.45 pagi dengan disertai oleh 12 anggota penguat kuasa.

Amzari berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam dan pemeriksaan dibuat ke atas pekerja di sepuluh premis gerai makan yang membawa kepada penahanan lapan warga asing.

“Ketika serbuan dijalankan, kehadiran anggota tidak disyaki kerana kebanyakan dari mereka yang bekerja sebagai pembantu kedai sedang sibuk memasak dan melayan pelanggan.

“Malah beberapa anggota turut menggunakan taktik penyamaran sebagai pelanggan bagi mengawasi pergerakan warga asing ini.

“Kesemua mereka merupakan warga Indonesia iaitu empat orang lelaki dan empat perempuan yang berumur di antara 22 tahun hingga 40 tahun,” katanya.

Menurutnya, tujuh daripada mereka melakukan kesalahan di bawah peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala seorang lagi didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan.

“Kesemua mereka yang ditahan turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Atipsom 2007 dan Akta Pasport 1963.

“Operasi tamat kira-kira setengah jam kemudian dan kesemua mereka dibawa ke depoh tahan Pekan Nenas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sinar Harian

Buka paip air umpan mangsa

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PALOH HINAI - “Saya terdengar bunyi air paip di bahagian dapur yang dibuka kuat ketika mahu ke tandas kerana sakit perut dan tidak menyangka ia hanya helah perompak yang mahu mengumpan ahli keluarga saya supaya terjaga dari tidur,” kata Norul Eliana Abdul Samat, 26.

Dia adalah mangsa rompakan empat penjenayah bersenjatakan parang dan besi kuku kambing yang memecah masuk rumahnya di Rancangan Penempatan Semula Banjir (RPSB) Batu 8 Lepar, di sini, awal pagi semalam.

Norul berkata, ketika itu dia bersama ibu bapa dan tiga adiknya sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing.

Menurutnya, dia bangun kira-kira jam 3 pagi untuk ke tandas sebelum terdengar bunyi air paip mengalir di bahagian dapur rumah.

“Selepas membuka suis lampu di bahagian dapur, saya terus ke tandas kerana perut terlalu sakit dan berniat untuk menutup paip yang terbuka selepas selesai membuang air.

“Saya terkejut apabila membuka pintu bilik air, seorang lelaki bertopeng dan memegang besi kuku kambing tercegat di situ menyebabkan saya menutup kembali pintu bilik air,” katanya.

Norul berkata, perompak terbabit menolak semula pintu bilik air sehingga dia terlentang di atas lantai dan diarahkan diam serta keluar dari bilik air tersebut.

“Perompak berkenaan kemudiannya mengacu kuku kambing ke arah saya sambil mengarahkan saya ke bahagian tengah rumah, di mana dua adik lelaki saya, Mohd Syafiq, 17, dan Mohd Haris, 15, berada di situ.

"Mereka telah diikat dengan wayar seterika dan diawasi tiga perompak lain yang turut memakai topeng serta bersenjatakan parang.

"Perompak-perompak itu kemudiannya mengarahkan Mohd Syafiq mengetuk pintu bilik mengejutkan ibu dan ayah yang sedang tidur, sebelum mengacukan parang ke leher ayah sejurus pintu bilik dibuka.

“Ayah, Abdul Samat Lela, 49, dan ibu, Jamilah Ismail, 49, hanya terdiam. Mereka turut diikat sebelum perompak berkenaan bertindak menggeledah bilik untuk mencari wang dan barangan berharga,” katanya.

Norul berkata, seorang lagi adiknya, Norul Syafinaz, 19, turut diikat di dalam bilik ketika perompak menggeledah seluruh rumah, selain mengugut akan mencederakan mereka jika tidak mengikut arahan.

“Perompak berkenaan turut memaksa ayah memberitahu di mana wang dan barang kemas disimpan, selain menampar ayah sebanyak dua kali.

“Selepas kira-kira hampir sejam berada dalam rumah dan mengambil wang serta barangan berharga, keempat-empat perompak itu melarikan diri melalui pintu dapur,” katanya.

Norul berkata, selepas adiknya, Mohd Syafiq berjaya membuka ikatan, dia memanjat dinding untuk keluar dari dalam bilik ibu dan ayahnya lalu bertindak mengunci pintu dapur.

“Telefon bimbit milik Norul Syafinaz yang tidak diambil digunakan untuk menghubungi bapa saudara yang tinggal berdekatan dan polis.

“Saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak diapa-apakan, namun saya masih trauma dengan kejadian ini yang pertama kali berlaku,” katanya.

Laporan polis mengenai kejadian itu dibuat kedua ibu bapa Norul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.


Kerugian dianggar RM10,000

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, perompak memecah masuk ke rumah mangsa melalui pintu di bahagian dapur dengan cara membuka selak kunci melalui tingkap berhampiran pintu.

Menurutnya, kesemua perompak berada dalam rumah mangsa selama kira-kira sejam sebelum me­larikan diri dengan barangan seperti tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM1,800 dan barang kemas.

“Empat suspek disyaki lelaki warganegara Indonesia berdasarkan bahasa percakapan yang didengari mangsa, selain mengesyaki mereka melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletakkan agak jauh dari rumah mangsa.

“Polis kini giat mengumpul maklumat dan kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, polis masih giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau melihat orang yang mencurigakan menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Syria perlu hormati gencatan senjata

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Majlis keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dimaklumkan, Syria gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata dan bandar-bandar yang dikawal pemerhati PBB mungkin diserang.

Perantara antarabangsa, Kofi Annan, menegaskan kepada 15 negara anggota, mereka perlu menyediakan pemerhati dan pendengar yang mampu bergerak bebas serta pantas dalam memantau gencatan yang dianggap tidak tersusun.

Jelas Annan, kuasa tentera Syria masih belum menarik balik penggunaan senjata berat dan berundur seperti yang dikehendaki.

“Situasi di Syria masih belum boleh diterima. Pihak berkuasanya perlu memberikan komitmen penuh dan harus menghormati gencatan terhadap keganasan itu,” katanya.

Annan berpendapat, kerajaan Syria menyasarkan serangan terhadap penduduk di kawasan pantauan PBB dan paling mencemaskan, apabila tentera kerajaan memasuki Hama kelmarin, membedil dengan senjata automatik dan sebilangan penduduk terbunuh sejurus pemerhati meninggalkan kawasan itu.

Kelmarin, seramai lima penduduk di Douma dibunuh dan berpuluh lagi cedera, apabila rejim menembak bandar sehari selepas kumpulan pemerhati PBB melawat kawasan berkenaan.

Setiausaha Umum Keamanan PBB, Herve Ladsous berkata, kumpulan pemerhati terpaksa bergerak secara perlahan sehingga akhir April dan Mei depan, selain 100 daripada 300 pemerhati akan mendapat penempatan.

Sinar Harian

Jaringan Indra cetus kebangkitan

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JARINGAN penyamaan menerusi Indra Putra Mahayuddin menjadi titik tolak kebangkitan Kelantan sebelum menewaskan wakil Vietnam, Navibank Saigon 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan H, kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Stadium Thong Nhat kelmarin.

Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menyifatkan sepakan percuma yang disudahkan pemain berusia 31 tahun itu menjadi pembakar semangat kepada anak buahnya untuk bangkit setelah ketinggalan satu gol sebelum itu.

“Jaringan Indra Putra (Mahayuddin) hadir tepat pada masanya dan tempoh 10 minit terakhir cukup bermakna bagi kita sebelum Mohammad Ghaddar meledakkan gol kemenangan dalam perlawanan ini.

“Pemain mungkin sedikit keletihan setelah mengharungi jadual perlawanan yang padat, tetapi saya gembira dengan apa yang ditunjukkan mereka,” katanya yang turut memuji persembahan Navibank Saigon yang beraksi cemerlang sehingga memaksa barisan pemainnya banyak bertahan dalam babak pertama perlawanan tersebut.

Sementara itu, pengendali Navibank Saigon, Pham Cong Loc menyifatkan kegagalan barisan pemainnya mempertahankan kelebihan satu gol yang dimiliki menyebabkan pasukannya terpaksa berputih mata dalam perlawanan tersebut.

“Dua gol dijaringkan Kelantan hadir dalam tempoh yang singkat. Ini menyebabkan kami kesuntukan masa untuk kembali menyamakan kedudukan dan kekalahan ini sesuatu yang amat merugikan bagi kami,” katanya.

The Red Warriors kini gah menerajui tangga teratas kumpulan dengan mengumpul 10 mata dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri ke atas wakil Myanmar,

Ayeyawady United dalam perlawanan terakhir kedua-dua pasukan di Kota Bharu pada 8 Mei nanti.

Sinar Harian

Dua kes curi motosikal selesai

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JELI – Polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli berjaya menyelesaikan dua dari tujuh kes curi motosikal dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan tertangkapnya dua remaja lelaki dekat Batu Melintang bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintandan, Sheik Azhar Sheik Omar, berkata, dengan penahanan dua remaja tersebut polis percaya dapat menyelesaikan lima lagi kes curi motosikal yang dilaporkan hilang dalam tempoh tiga bulan dengan pantas.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh polis berjaya mengesan dua suspek terbabit yang masing-masing berasal dari kampung Berdang kira-kira jam 2.30 pagi ketika sedang menunda sebuah motosikal yang dicuri di kawasan Batu Melintang.

“Hasil pemeriksaan lanjut satu beg kain ditemui berisi sepana, pemutar skru yang dipercayai digunakan dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini,” katanya ketika menghadiri program derma darah anjuran IPD Jeli dengan kerjasama Hospital Jeli dan Tanah Merah.

Program derma darah sempena sambutan Hari Polis yang ke 205 itu turut dihadiri anggota polis dari IPD Jeli, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta masyarakat sekitar.

Sheik Azhar berkata, untuk melancarkan lagi kerja polis amat memerlukan kerjasama daripada penduduk setempat untuk menyalurkan maklumat agar jenayah mencuri tidak berleluasa.

“Hasil sokongan semua pihak ia pasti membantu polis menyelesaikan jenayah curi motosikal yang kerap kali berlaku dalam masa yang singkat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, IPD Jeli berjaya memperoleh tempat pertama bagi kadar pertuduhan kes jenayah tertinggi seluruh negara bagi bulan Januari dan Februari peringkat IPD kategori C dalam satu majlis yang dihadiri Ketua Polis Negara di Hotel Dorsett, Subang Jaya, Selangor pada penghujung Mac lepas.

“Ia merupakan satu penghargaan buat anggota di IPD Jeli untuk berkhidmat dengan lebih bersemangat dalam mencegah jenayah daripada berlaku,” katanya.

Sinar Harian

‘Filem Altantuya, Scorpene’ dan ‘kerjasama’ Najib

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: "Filem Altantuya" akan turut siap jika "kerjasama" Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebabkan siapnya "filem Scorpene", kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Rasa takut yang ditunjukkan dengan begitu ketara oleh Najib dan kerajaannya terhadap perbicaraan mahkamah mengenai urusniaga kapal selam Scorpene hakikatnya adalah suatu "kerjasama" yang akan menyebabkan terbongkarnya pelbagai isu yang tersembunyi dari pengetahuan rakyat dalam pembelian kapal selam tersebut.

"Sikap Najib dan kerajaannya hakikatnya membantu menyiapkan 'filem Scorpene'," katanya.

Jika sikap Najib dan kerajaannya itu menyebabkan "filem Scorpene" disiapkan, Mohamad yakin "filem Altantuya" juga akan turut disiapkan sekaligus.

"Saya pernah kata, kalau mahu 'filem Altantuya' yang tiada kesudahan itu disiapkan, pastikan Pakatan Rakyat (PR) menjadi kerajaan dalam pilihan raya akan datang.

"Nampaknya mungkin filem itu akan siap lebih awal lagi dengan ketakutan luar biasa yang ditunjukkan oleh Najib dan kerajaan terhadap perbicaraan di mahkamah Perancis yang akan membicarakan kes bayaran komisen tidak sah dalam penjualan kapal selam itu.

"Jika PR dipilih menjadi kerajaan, saya percaya Najib akan menerima anugerah kerana kehebatan filem Altantuya itu," kata beliau.

Sebelum ini, banyak media luar negara yang mengaitkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dengan urusniaga kapal selam Scorpene.

Najib sebelum ini enggan menjawab soalan wartawan mengenai perbicaraan di mahkamah Perancis itu dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi pula berkeras tidak mahu hadir atau menghantar wakil ke perbicaraan itu.

"Sikap Najib dan kerajaannya itu menyebabkan rakyat sudah mula mempersoalkan apa yang mereka takut sangat sehingga seolah-olah lari lintang pukang dari kes yang dibicarakan itu," kata Mohamad.

Beliau yakin, jika tidak ada sebarang perkara yang ditakuti, sudah tentu "berdegar-degar" Najib menjawab panjang lebar soalan wartawan mengenai perkara itu seperti yang biasa dilakukannya dan menteri penggantinya di Kementerian Pertahanan pula tidaklah terlalu ketara mahu melarikan diri perbicaraan di mahkamah Perancis itu.

"Orang Melayu kata berani kerana benar, takut kerana salah," kata Mohamad.

Dalam laporannya, Malaysiakini mendakwa, siasatan majistret Perancis mendapati AS$1.2 bilion (RM3.7 bilion) jualan kapal selam kepada Kementerian Pertahanan Malaysia antara lain melibatkan transaksi dengan syarikat berpangkalan di Hong Kong, iaituTerasasi (Hong Kong) Ltd.

Antara pegawai penting syarikat tersebut ialah Abdul Razak Baginda, yang dilihat sebagai orang kepercayaan perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu juga mendakwa, siasatan percaya sekurang-kurangnya sejumlah wang daripada 36 juta euro (RM144 juta) itu disalurkan melalui Terasasi kepada Najib, yang menjadi Menteri Pertahanan dan juga Timbalan Perdana Menteri ketika dua kapal selam Scorpene itu dibeli daripada Thales International atau Thint Asia.

Harakah Daily

Pemuda PAS Wilayah sedia sambut tetamu Bersih 3.0

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mungkin perhimpunan aman Bersih 3.0 adalah jalan terakhir buat rakyat untuk menyelamatkan Malaysia dari sebarang penipuan dan penodaan terhadap nilai demokrasi negara.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan kehadiran semua peserta perhimpunan Bersih 3.0 ‘Duduk Bantah’ ke Dataran Merdeka pada 28 April ini.

DPPWP menganggap kehadiran semua tetamu yang hadir sama ada peserta Bersih 3.0, wakil-wakil media, pemerhati dan NGO antarabangsa serta pemimpin parti politik bakal memeriahkan suasana ibukota Kuala Lumpur pada tarikh tersebut, kata Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Katanya, DPPWP amat kagum dengan kesungguhan rakyat dari pelbagai peringkat yang berusaha hadir ke Dataran Merdeka pada tarikh tersebut.

“Meskipun sendat dengan pelbagai jadual kehidupan, mereka sanggup mengosongkan tarikh bagi memberi laluan kepada perhimpunan gergasi ini.

“Malah mereka sanggup berdepan dengan risiko ditahan, ditangkap, dicederakan dan pelbagai kemungkinan lain,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, kehadiran peserta ke perhimpunan Bersih 3.0 menunjukkan kematangan rakyat Malaysia dalam menerima alur politik negara.

Menurutnya, rakyat sudah semakin celik maklumat dan amat mudah memahami situasi politik dalam negara ini yang berada dalam keadaan gawat.

Beliau menambah, landskap politik negara yang sudah tersasar jauh dari landasannya, perlu segera diselamatkan sebelum terlewat.

“DPPWP bersama rakan-rakan dari Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan di Wilayah Persekutuan bersedia menyambut tetamu pelbagai peringkat ini dengan kemampuan yang ada,” ujarnya.

Oleh yang demikian, kata beliau kawasan-kawasan di sekitar Wilayah Persekutuan telah menyediakan penginapan yang terdiri dari markaz PAS kawasan-kawasan, Pasti serta rumah aktivis tempatan.

Selain itu, katanya DPPWP menasihatkan para pemandu perkhidmatan awam dan juga pengguna jalan raya agar mencari laluan alternatif menjelang 28 April sebagaimana biasa dibuat oleh kerajaan apabila ada aktiviti besar diadakan di ibu negara bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan.

“Para peniaga juga diseru agar tidak merasa bimbang untuk meneruskan perniagaan mereka kerana rekod perhimpunan bersih yang diadakan sebelum ini tidak ada yang mengecewakan sesiapa.

“Malah hasil jualan mereka mungkin akan berlipat kali ganda daripada hari lainnya,” katanya.

Akhirnya, ujar beliau DPPWP mengajak anak-anak muda supaya menyertai perhimpunan Bersih 3.0 seramai mungkin.

Harakah Daily

Terapung di tali air

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PENDANG – Mayat seorang remaja dijumpai terapung di tali air Lembaga Pertanian Muda (Mada) Kampung Alor Besar setelah jatuh bersama motosikalnya ketika dalam perjalanan ke rumah majikannya kira-kira 11 pagi, semalam.

Bapa mangsa, Daud Taib, 43, tidak menyangka keinginan anak, Mohd Suhaimi Mohd Daud, 19, untuk makan kuih bajau petanda dia akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan keluarga.

Bapanya berkata, dia tidak sempat berjumpa dengan anak keduanya itu pada pagi kejadian, namun hanya mendengar suaranya sahaja ketika mengejutkan mangsa bangun dari tidur.

“Saya terkejut apabila rakan datang ke rumah memaklumkan dan bergegas pergi ke tempat kejadian.

“Malam sebelum itu, saya juga tidak sempat berjumpa dengannya, kerana dia pulang lewat ke rumah dan pagi ini (semalam), saya hanya mendengar suaranya sahaja,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian anaknya itu kerana hasrat untuk makan kuih bajau ditunaikannya pagi kejadian.

Sementara itu, saksi kejadian, Zamri Ahmad, 45, berkata, dia segera memberhentikan jengkaut yang dipandunya di laluan itu bersama rakan, setelah ternampak sebuah motosikal dalam tali air terbabit.

“Kami dalam perjalanan dari arah Alor Besar ke Kampung Pulai untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan tali air Mada sekitar kawasan itu.

“Kemudian berhenti dan ternampak ada mayat terapung dalam keadaan tertiarap dalam tali air itu dan segera menghubungi polis,” katanya.

Jurucakap polis berkata, pihak polis segera ke tempat kejadian setelah mendapat panggilan orang awam.

"Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat dan mengklasifikasikan kejadian sebagai mati lemas," katanya.

Mayat mangsa dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelam 3 Mukim Besar, Yan kira-kira jam 6 petang, semalam.

Sinar Harian

Mayat ditemui dalam longgokan sampah

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUBANG - Seorang pengawal keselamatan loji kumbahan yang baru selesai tugas, terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki warga Indonesia dengan tangan berikat di tempat pembuangan sampah di Jalan Masjid di sini, semalam.

Mayat lengkap berpakaian itu ditemui jam 8 pagi, ketika pengawal terbabit ingin pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pemeriksaan­ awal mendapati lelaki memakai t-shirt dan berseluar jeans itu dipercayai baru sahaja dibunuh, beberapa jam sebelum mayatnya dijumpai.

“Siasatan menunjukkan kedua-dua tangan mangsa diikat ke belakang dan terdapat kesan cedera di leher, perut, depan dan belakang badannya.

“Kita bagaimanapun masih belum dapat pastikan sama ada kesan luka itu akibat ditikam atau dikelar,” katanya.

Arjunaidi berkata, polis tidak menolak kemungkinan­ mangsa dibunuh di tempat lain, sebelum mayatnya dibuang di kawasan terbabit.

Menurutnya, tiada senjata atau dokumen pengenalan diri ditemui berhampiran mangsa atau kawasan sekitar.

“Kita masih belum dapat kenal pasti motif kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Sinar Harian

Diseret lori 10 meter

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Sekumpulan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), yang sedang bertugas menjalankan bancian lalu lintas terkejut mendengar bunyi brek yang kuat sebelum melihat sebuah kenderaan diseret lori treler.

Mereka kemudiannya bergegas ke arah kenderaan apabila mendapati kedua-dua kenderaan itu berhenti untuk memberi bantuan kepada mangsa.

Saksi awal kejadian, Wan Nasarudin Wan Aziz, 36, berkata, dia melihat sebuah kenderaan Perodua Alza yang dipandu seorang wanita diseret lori lebih 10 meter sebelum melanggar tiang lampu isyarat.

“Kami berusaha membantu mengeluarkan mangsa tetapi gagal kerana kedua-dua kakinya tersepit. Bagaimanapun seorang daripada rakan saya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi,” katanya.

Katanya, ketika itu, wanita terbabit mengerang menahan kesakitan tetapi dia menenangkan mangsa itu supaya bersabar kerana mereka berusaha membantu mengeluarkannya dari keretanya yang rosak teruk.

Wan Nasarudin mengakui walaupun kejadian itu tidak membabitkan dirinya, dia tetap trauma serta fobia kerana kemalangan berkenaan berlaku di depan matanya dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa, Hayati Hanafi, 36, dari Felda Lepar Hilir, di sini, yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan parah di kaki kanan dan cedera di bahagian badan.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Difahamkan, ketika kejadian mangsa dari arah Sungai Soi, di sini, sebelum tiba di Simpang Tiga Lampu Isyarat Sungai Soi, Jalan Kuantan-Pekan dan cuba membelok ke kanan untuk menghala ke arah Inderapura.

Bagaimanapun, pada masa sama, lori berkenaan yang datang dari arah Kuantan menghala ke Pekan tidak sempat mengelak berikutan jarak terlalu dekat sebelum melanggar kenderaan yang dipandu mangsa.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Anuar Hassan, berkata pihaknya yang menerima panggilan daripada orang awam bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera bersama 11 anggota.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa akibat kedua-dua kakinya tersepit sebelum dikejarkan ke HTAA untuk menerima rawatan.

Sinar Harian

Askar didakwa pecah rumah

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

AYER KEROH – Seorang askar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas 14 pertuduhan membabitkan pecah rumah dan curi sejak penghujung 2009, melibatkan kerugian RM45,899.

Norazlan Kamarulbahrin, 32, mengaku bersalah semua 14 pertuduhan daripada 13 kes yang didakwa terhadapnya di hadapan Hakim Zaharah Hussain.

Daripada 14 pertuduhan itu, Norazlan didakwa melakukan pecah rumah bermula 26 November 2009 sehingga 21 Mac 2012 di beberapa kawasan perumahan, antaranya Taman Sayang Selasih dan Taman Muhibbah di Klebang Besar serta Taman Pasir Emas dan Taman Cederawasih di Batang Tiga.

Dia ketika melakukan perbuatan itu mencuri barangan termasuk syiling dan wang tunai, bernilai kira-kira RM8,470, selain peralatan elektronik, barangan kemas dan gajet.

Norazlan juga didakwa telah melupuskan harta curi iaitu set sistem teater rumah bernilai RM899 di sebuah rumah di Taman Rambai Murni, Bukit Rambai kira-kira jam 4.30 petang pada 4 April 2012.

Norazlan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda atau sebat dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu
penjara sehingga 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Juhari Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh mendengar hukuman dalam tempoh seminggu dan meminta tertuduh diberi jaminan RM10,000 bagi setiap kes.

Bagaimanapun Norazlan memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung ibunya yang menghidap barah dan dua anak buah.

Zaharah menetapkan tarikh jatuh hukuman pada 4 Mei depan dan membenarkan jaminan RM65,000 bagi 13 kes dihadapi Norazlan.

Sinar Harian

Sakit jantung atas motosikal

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang bapa sempat menghantar anak lelakinya ke Terminal One, sebelum motosikal ditunggangnya terbabas di stesen minyak Bukit Tembok Jalan Rasah, di sini, kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Chay Chin Lin, 74, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Mambau selepas menghantar anaknya yang mahu pulang ke Singapura dengan menaiki bas di Terminal One.

Jurucakap polis berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.

“Berdasarkan siasatan, mangsa secara tiba-tiba mengalami sakit dada ketika dalam perjalanan pulang menyebabkan motosikalnya hilang kawalan sebelum terbabas.

“Pasukan kecemasan yang buat pemeriksaan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan serangan jantung,”katanya.

Menurutnya, mangsa yang tinggal bersama isteri dengan seorang cucu, dipercayai memang ada penyakit jantung.

“Anak mangsa sebelum ini pulang bercuti untuk bertemu dengan anaknya yang tinggal di kampung.

“Sebaik sahaja bas dinaiki anak mangsa tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Senawang, dia telah dimaklumkan kejadian ini dan sempat berpatah balik,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar dan telah dituntut ahli keluarganya.

Ketua polis daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan kejadian itu.

Sinar Harian

RM47,000 lesap di lebuh raya

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang ahli perniagaan rugi RM47,000 disamun sekumpulan penjenayah bertopeng dalam kejadian langgar dan samun di Kilometer 259, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan berdekatan Plaza Tol Port Dickson, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, lelaki berusia 47 tahun itu dalam perjalanan ke Senawang dengan memandu kereta jenis Nissan selepas mengeluarkan wang daripada sebuah bank di Rasah.

Menurut sumber, sejurus tiba di tempat kejadian, mangsa yang bersendi­rian dilanggar dua kereta jenis Toyota dan Mercedez, dinaiki tiga lelaki.

Bagaimanapun, mangsa tidak memberhentikan kenderaan dan meneruskan perjalanan sebelum suspek bertindak menghalang kereta mangsa di hadapan dan belakang.

“Mangsa dihampiri tiga suspek bertopeng, dipercayai membawa pisau dan turut memecahkan cermin kereta hadapan bahagian penumpang,” katanya semalam.

Sumber berkata, suspek mengambil wang berjumlah RM47,000 di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan turut menoreh tayar kereta mangsa menggunakan pisau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6014999 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Agency

Liga Juara: Real kecewa, gagal guna peluang

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BAYERN Munich mara ke perlawanan akhir kejohanan Liga Juara-juara bulan depan selepas mengatasi Real Madrid dalam perlawanan separuh akhir kedua yang ditentukan menerusi tendangan penalti, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Real Madrid, yang ketinggalan satu gol dalam pusingan pertama minggu lalu tidak putus asa dalam memburu gol apabila jaringan Cristiano Ronaldo akhirnya membolosi pintu gawang lawan pada minit keenam dan 14 untuk mendahului 3-2.

Bagaimanapun, Real Madrid yang berpuas hati dengan buruan gol itu kelihatan tersentak apabila jaringan Arjen Robben pada minit ke-27 membuatkan kelab itu diikat Bayern, pada aksi menarik di Stadium Estadio Santiago Bernabeu.

Kedua-dua Real Madrid dan Bayern Munich terikat dengan agregat 3-3 selepas 120 minit perlawanan.

Selepas perlawanan masa tambahan tidak mengubah kedudukan gol, tendangan penalti diberikan.

Keadaan semakin mendebarkan apabila penjaga gol, Manuel Neuer menjadi wira Bayern apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Ronaldo dan Kaka dari menembusi gawang sekaligus memberikan kemenangan kepada kelab itu yang berjaya menyempurnakan tiga gol berbanding satu di pihak Real Madrid.

Kegagalan Ronaldo bermakna ini kali kedua menjadikan pemain itu gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas perlawanan akhir menentang Chelsea pada 2008.

Ini juga satu keputusan yang mengecewakan kelab itu apabila pemain gagal mempertahankan kelebihan satu gol di hadapan Bayern pada minit awal perlawanan,

Bayern akan bertemu Chelsea dalam pertemuan akhir untuk memburu kejuaraan musim ini.

Sinar Harian

Pakistan diserang lagi

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya dua nyawa melayang dan lebih 30 orang cedera dalam letupan bom di kawasan menunggu stesen kereta api di bandar Lahore, Pakistan kelmarin.

Pegawai kanan polis, Ali Ahmad Malik berkata, letupan meragut nyawa anggota polis dan pengangkut barangan itu, melibatkan bahan letupan seberat lima kilogram yang dimasukkan ke dalam sebuah beg.

Letupan berlaku berhampiran ruang istirahat penumpang keretapi Business Express ke Karachi, iaitu perkhidmatan yang menawarkan perjalanan kelas pertama antara dua bandar terbesar di Pakistan sejak dua bulan lalu.

Kejadian turut mengejutkan pemimpin negara, Presiden Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Yousuf Raza Gilani yang sedih dengan serangan itu.

Pakistan sering dihujani serangan sehingga meragut nyawa, tetapi kejadian seumpama itu adalah yang pertama kali di Lahore sejak kumpulan Islam Sunni melancarkan serangan bom yang meragut dua nyawa pada Februari tahun lalu.

Serangan terakhir di Lahore adalah pada Januari tahun lalu, apabila sekurang-kurangnya 11 terkorban dalam satu letupan bom berani mati ketika perarakan kumpulan Islam Syiah.

Sejak 2007, lebih 4,900 orang dibunuh di serata pelosok Pakistan melibatkan pelbagai serangan.

Sinar Harian

Api muncul bakar pakaian, Jumiran sekeluarga cemas

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MUAR – Pelik tetapi benar, itu kenyataannya apabila seorang warga emas berhadapan detik mencemaskan diganggu serangan api misteri di kediamannya selama dua hari sejak Sabtu lalu.

Jumiran Wahid, 66, dari Kampung Parit Bengelin, Jalan Parit Yusuf dekat sini berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila api misteri tersebut muncul tiba-tiba dan membakar pakaian dalam sebuah almari.

Menurutnya, kejadian itu disedarinya yang kebetulan mahu mengambil pakaian dalam almari tersebut selepas pulang dari majlis perkahwinan di kampung berhampiran.

“Saya sangat terkejut lihat api itu, lalu segera ambil air untuk padamkannya bagi mengelakkannya daripada merebak. Kira-kira 10 minit kemudian, api tersebut berpindah dan membakar tuala mandi yang disidai di ampaian berhadapan bilik mandi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Katanya, tidak lama kemudian salah seorang anaknya yang mahu menuju ke bahagian atas rumah terbau hangit seperti benda terbakar sebelum mendapati tiga langsir di sebuah bilik terbakar.

“Selesai padam, api itu berpindah pula ke dua lagi bilik lain di bahagian rumah bawah dan dapati cadar dan langsir terbakar, manakala almari berasap.

“Kami terpaksa ambil semua pakaian yang disimpan di dalam almari dan dicampak ke luar rumah melalui tingkap untuk mengelakkan daripada terus hangus terbakar selain bimbang api menjadi semakin marak,” katanya.

Jumiran berkata, sangkaannya kejadian pelik yang dialaminya selama hampir satu jam itu sudah berakhir, tetapi ia berulang kira-kira jam 4.20 petang dan membakar tilam serta cadar termasuk kalendar pada dinding rumah.

Katanya lagi, jiran-jiran yang mengetahui kejadian tersebut turut membantu memadamkan api yang mulai marak itu.

“Pada sebelah malamnya, penduduk kampung berhimpun di rumahnya untuk mengadakan bacaan Yasin dan solat Hajat. Namun, lebih mengejutkan ketika bacaan Yasin berlangsung, tiba-tiba alas meja di dapur terbakar,” katanya.

Katanya, pada hari Ahad kejadian itu berulang lagi sebanyak empat kali dan lebih pelik apabila empat almari pakaian tumbang dengan sendirinya.

“Saya cuba bangunkan semula almari yang tumbang itu tetapi tidak lama kemudian, ia tumbang lagi sehingga berlarutan pada hari Selasa.

“Saya rasa tidak sedap hati dan ambil keputusan untuk membiarkan sahaja almari yang tumbang itu,” katanya.

Menurut Jumiran, sepanjang lebih 40 tahun mendiami rumah itu, ini merupakan pertama kali berlakunya kejadian yang dianggap pelik serta penuh misteri.

Bagaimanapun, dia masih mencari jawapan di sebalik kejadian yang berlaku itu dan berdoa supaya tiada sebarang perkara yang lebih buruk terjadi selepas ini.

Sinar Harian

Chong Wei perlu rehat secukupnya: Jalani

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KETIKA skuad badminton negara sedang berhempas pulas bersaing di Siri Super Terbuka India, timbul rasa kurang senang segelintir pihak mengenai penyertaan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dikhuatiri akan menjejaskan kecederaan bahu yang dialaminya baru-baru ini.

Ia turut diperakui bekas pemain badminton kebangsaan, Jalani Sidek bahawa Chong Wei sewajarnya lebih berwaspada dengan mendapatkan rehat secukupnya supaya matlamat di Olimpik London, Julai depan tidak terjejas.

“Beliau sepatutnya tidak perlu beraksi kerana pernah cedera dan ini sekali gus membuka ruang kepada pihak lawan mengetahui lebih banyak kelemahan Chong Wei. “Fokus di Olimpik adalah perkara utama Chong Wei sekarang, supaya misi meraih emas di London tercapai,” katanya.

Jalani yang pernah merangkul gangsa dalam acara beregu di Olimpik 1992 berkata, keputu­san jagoan dunia itu yang nekad untuk menyertai tiga kejohanan iaitu Siri Super Terbuka India, GP Emas Terbuka Malaysia dan Piala Thomas sebelum Olimpik terletak kepada Olahragawan Kebangsaan 2011 itu yang lebih arif mengenai kecergasan dirinya sendiri.

“Beliau lebih arif tentang tahap pemulihan kecederaannya itu, dan saya yakin keputusannya untuk beraksi adalah satu keputusan yang bijak,” katanya yang berharap supaya Chong Wei mempertimbangkan aksinya di Piala Thomas yang berlangsung di Wuhan, China pada 20 hingga 27 Mei ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kemampuan skuad negara di Piala Thomas pada Mei depan, beliau menyifatkan pasukan negara berdepan la­luan sukar berdasarkan kemerosotan prestasi pemain sepanjang tahun lepas dan awal tahun ini.

Sinar Harian

Didenda makan cili padi

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH – Gara-gara mengoyak buku tanda protes kerana dihalang menghubungi ibunya, seorang murid sebuah sekolah agama swasta di Taiping terpaksa menahan azab kepedasan apabila didenda makan cili padi tanpa diberi setitik air.

Akibat denda itu, Ainul Aiman Hafiz Ainul Azizul Rahman, 10, dimasukkan ke Hospital Columbia Asia Taiping dan disahkan mengalami Acute Gastritis (gastrik) dan trauma terhadap makanan bercili.

Ibunya, Siti Erna Izura Abd Jamil, 32, berkata, niat untuk memberikan pendidikan agama kepada anaknya itu telah menjadi igauan ngeri kepada mereka sekeluarga.

Menurutnya, guru-guru di sekolah itu juga tidak memaklumkan keadaan anaknya yang mengalami asma selepas memakan cili itu kepadanya.

“Lebih memilukan, saya tidak dimaklumkan keadaan anaknya yang terlantar dua hari tanpa rawatan dan dibiarkan terbaring di katil asrama sambil menahan kesakitan.

“Keadaan itu diceritakan oleh bapa salah seorang pelajar yang kebetulan melihat Ainul Aiman Hafiz terbaring sambil menekan perut ketika mengambil anaknya di asrama itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Siti Erna berkata, Ainul Aiman Hafiz juga enggan kembali ke sekolah berkenaan kerana masih trauma dan dia merasakan hukuman itu tidak sesuai bagi kanak-kanak kecil.

“Ketika lawatan guru-guru sekolah itu ke hospital ini, mereka mengaku ada memberikan cili padi dan menerangkan bahawa hukuman itu adalah biasa di sekolah berkenaan.

“Mereka maklumkan bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberi kebenaran mengenakan hukuman tersebut dan mereka mengaku tersalah bagi hukuman kepada anak saya,” katanya.

Katanya, dia kecewa dengan sikap lepas tangan guru-guru sekolah berkenaan yang lambat memaklumkan kejadian itu kepadanya.

“Saya tergerak hati untuk menelefon sekolah, barulah mereka beritahu keadaan anak saya tidak mahu makan menyebabkan saya pergi mengambilnya dan barulah perkara ini terbongkar.

“Anak saya diwadkan selama empat hari bermula 15 April lalu. Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini dan saya dinasihatkan oleh Kementerian Pelajaran Negeri untuk bertemu dengan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bagi mengadu perkara ini.

“Saya telah pergi ke Pejabat Pelajaran untuk tukarkan anak saya ke sekolah lain. Difahamkan ramai lagi murid dipaksa makan cili kerana ia telah menjadi hukuman biasa bagi sekolah itu,” katanya.

Sinar Harian

Remaja diekori harimau meninggal kerana trauma

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR - Peristiwa diekori harimau hampir tiga jam di kawasan Padang Ragut Changkat Jambu, di sini, mengakibatkan kehidupan Mastura Kamaruddin, 16, diselubungi trauma sehingga dia menghembus nafas terakhir pada jam 5 petang kelmarin, di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Kisah Mastura bersama ibunya, Rohani Osman, 50, diekori harimau ketika menoreh getah pada 15 Januari lalu pernah menggemparkan negara apabila tersiar di dada akhbar.

Menurut Rohani, selepas peristiwa itu, kesihatan Mastura sering terganggu termasuk mengalami demam panas dan pernah dimasukkan ke wad Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, kesihatan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Kati itu semakin teruk dari sehari ke sehari sehingga hilang kemampuan berjalan pada 7 April lalu.

“Keadaannya sangat lemah ketika itu sehingga perlu didukung oleh bapanya untuk ke bilik air dan memerlukan jagaan sepanjang masa.

“Mastura dipindahkan ke HRPB pada 13 April lalu kerana keadaannya semakin teruk sehingga tidak mampu bercakap,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Chuar Hilir, di sini, semalam.

Laporan hospital mengatakan kematian Mastura berpunca daripada jangkitan kuman dalam darah dan Sinar Harian difahamkan selepas peristiwa diekori harimau, kehidupan remaja itu sering dihantui insiden berkenaan.


Sentiasa ketakutan

ROHANI mengakui Mastura mengalami trauma dan sentiasa berada dalam ketakutan selepas peristiwa itu, sehingga tidurnya sering terganggu.

Katanya, selain mendapatkan rawatan di hospital, keluarganya turut mendapatkan rawatan alternatif daripada pengamal perubatan tradisional dan pernah dibekalkan limau nipis untuk mandi.

“Hanya saya sahaja mandi menggunakan limau nipis itu sedangkan Mastura tidak mahu melalui proses berkenaan,” jelas Rohani.

Rohani juga memaklumkan anaknya itu mengalami luka di bahagian kaki dan pinggang serta sedikit kecederaan semasa melarikan diri daripada harimau berkenaan.

Menurutnya, luka berkenaan semakin teruk sehingga kaki Mastura menjadi lemah menyebabkan remaja itu tidak mampu berjalan dan kini mereka sekeluarga reda dengan pemergiannya walaupun di selubungi kesedihan.


Hilang mata pencarian

DALAM pada itu, Rohani menceritakan, Mastura sempat berpesan agar dia tidak lagi menoreh di kawasan kejadian beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu turut memberi pesanan sama kepada ayahnya kerana bimbang mereka akan jatuh sakit sepertinya.

“Kerana menghormati pesanan akhir Mastura, saya dan suami tidak lagi menoreh di kawasan padang ragut itu demi mengelak kejadian sama berulang.

“Sekarang kami tidak tahu di mana mahu mencari rezeki kerana selama ini pendapatan kami sekeluarga hanya bergantung kepada kerja menoreh getah,” katanya.

Dalam keadaan sedih serta muram, Rohani mengakui dia sendiri tidak dapat melupakan kejadian tersebut dan akan berpegang kepada pesanan Mastura sungguhpun tertekan memikirkan cara mencari sumber pendapatan keluarga.

*Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi sendiri keluarga ini di talian 012-5825300.

Sinar Harian

Liga Juara: Bayern Munich ke final, temu Chelsea

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BAYERN Munich akan bertemu dengan Chelsea dalam perlawanan akhir kejohanan Liga Juara-juara di Allianz Arena bulan depan selepas mengetepikan Real Madrid dalam perlawanan pusingan kedua separuh akhir yang dramatik, yang ditentukan menerusi tendangan penalti.

Kedua-dua Real Madrid dan Bayern Munich terikat dengan agregat 3-3 selepas 120 minit perlawanan.

Real Madrid yang tewas 1-2 dalam pusingan pertama minggu lalu, pada pertemuan hari ini, yang selesai sekitar jam 5.15 pagi tadi (waktu Malaysia) menjaringkan dua gol berbalas satu.

Selepas perlawanan masa tambahan tidak mengubah kedudukan gol, tendangan penalti diberikan.

Bayern Munich menyempurnakan tiga gol berbanding satu di pihak Real Madrid.

Agency