26 April 2012

Mayat ditemui dalam longgokan sampah

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUBANG - Seorang pengawal keselamatan loji kumbahan yang baru selesai tugas, terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki warga Indonesia dengan tangan berikat di tempat pembuangan sampah di Jalan Masjid di sini, semalam.

Mayat lengkap berpakaian itu ditemui jam 8 pagi, ketika pengawal terbabit ingin pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pemeriksaan­ awal mendapati lelaki memakai t-shirt dan berseluar jeans itu dipercayai baru sahaja dibunuh, beberapa jam sebelum mayatnya dijumpai.

“Siasatan menunjukkan kedua-dua tangan mangsa diikat ke belakang dan terdapat kesan cedera di leher, perut, depan dan belakang badannya.

“Kita bagaimanapun masih belum dapat pastikan sama ada kesan luka itu akibat ditikam atau dikelar,” katanya.

Arjunaidi berkata, polis tidak menolak kemungkinan­ mangsa dibunuh di tempat lain, sebelum mayatnya dibuang di kawasan terbabit.

Menurutnya, tiada senjata atau dokumen pengenalan diri ditemui berhampiran mangsa atau kawasan sekitar.

“Kita masih belum dapat kenal pasti motif kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: