17 Rejab 1433H. [MOD] -
JASIN - Modalnya hanya menyediakan perkhidmatan mencuci emas dengan caj murah. Itulah taktik digunakan sekumpulan penjenayah untuk mencuri barangan kemas milik penduduk kampung.
Dengan tawaran serendah RM2, mereka mengusahakan perkhidmatan itu dengan meletakkan barangan kemas ke dalam botol mengandungi bahan kimia.
Selepas selesai, barangan kemas tersebut yang sudah bersinar-sinar dipulangkan semula kepada pemilik dengan caj RM2 atau RM3 saja.
Namun, pemilik tidak menyedari kandungan emas dalam barangan kemas itu sebenarnya sudah berkurangan.
Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Sal, 53, berkata, dia menjadi mangsa 24 Mei lalu ketika di rumahnya di Merlimau, dekat sini.
Menurutnya, ketika itu dua anaknya berusia 16 dan 24 tahun dan saudara mara turut berada di rumah sebelum dia didatangi dua wanita menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Pada mulanya, salah seorang daripada kumpulan itu mengaku sebagai warga sebuah negara luar. Dia menunjukkan barangan kemas Korea termasuk cincin berharga RM25 dalam sebuah beg.
“Saya beritahu saya tidak berminat kerana sudah mempunyai barang kemas sebelum dia menawarkan pula perkhidmatan mencuci barang kemas dengan harga RM3,” katanya.
Kak Sal berkata, selepas setuju mendapatkan perkhidmatannya, suspek kemudian membakar barang kemas di atas penunu bunsen sehingga hitam sebelum mencelup dalam larutan kimia di dalam botol.
"Botol itu kemudian digoncang dan proses tersebut mengambil masa 30 minit, sebelum kumpulan terbabit beredar selepas menerima bayaran perkhidmatan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.
Kak Sal berkata, dia hanya menyedari ditipu selepas menimbang semula kesemua tiga utas gelang tangan, dua rantai leher dan sebuah loket miliknya di pekan Merlimau dan mendapati beratnya sudah berkurangan.
Katanya, barang kemas bernilai hampir RM80,000 itu mengalami penyusutan, menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM22,000.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, terdapat dua laporan membabitkan kegiatan itu di Sungai Rambai dan Merlimau, dekat sini, penghujung Mei lalu.
"Sebelum menawarkan khidmat pencucian itu, suspek terdahulu berpura-pura menjual barangan keperluan harian atau alat tulis sebelum dipercayai yakin mangsa mempunyai barang kemas," katanya.
Shahidi berkata, kedua-dua mangsa berusia antara 50 dan 60 tahun mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM27,000 membabitkan penyusutan berat hampir 150 gram emas.
"Berikutan laporan kejadian itu, polis menahan lima suspek melibatkan dua perempuan warga tempatan serta tiga warga China, termasuk dua lelaki yang kesemuanya berusia 30-an.
“Kesemua mereka yang dipercayai baru menjalankan kegiatan itu tidak sampai seminggu.
Manakala, warga China yang memasuki negara ini pada pertengahan Mei lalu berjaya ditangkap di Muar, Johor dan kini ditahan reman," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Sinar Harian