06 Februari 2011

Perkembangan Terkini Pelajar Malaysia Di Mesir

3 Rabiul Awal 1432H.

SHAH ALAM 6 FEB : Meskipun kini ramai pelajar-pelajar Malaysia di Mesir berkampung di Pusat Transit Madinatul Hujaj, namun masih ada sebilangan yang berada di bumi bergolak tersebut.Operasi memindahkan mereka untuk ditempatkan di pusat transit Madinatul Hujaj di Jeddah dijangka berakhir hari ini.

Menurut pegawai operasi bilik gerakan Pertubuhan Sukarela Briged Amal Selangor Ustaz Mohd Firdaus Misnan, kumpulan pertama penerbangan dari Jeddah, Arab Saudi telahpun sampai di KLIA tengah hari tadi, termasuk pelajar dari Selangor.

"Alhamdulillah tadi dah selamat sampai penerbangan Malaysia Airlines daripada kerajaan,kemudian ada tiga keluarga dari Selangor, dan Alhamdulillah kita dah jumpa ketiga-tiga keluarga tersebut termasuk seorang yang retak kakinya" jelas Mohd Firdaus.

Beliau juga memaklumkan, penerbangan seterusnya dari Jeddah dijangka berlepas pada esok (Isnin) hari.

"Perkembangan seterusnya, kita diberitahu oleh pihak Jeddah, penerbangan kecemasan dari Jeddah yang akan datang ini pada esok hari " ujarnya lagi.

Namun setakat ini, jumlah bilangan pelajar yang belum dikeluarkan dari Mesir belum dapat dipastikan.

" Bilangannya kita tak dapat pastikan, tetapi ahli biasa semuanya dah bertolak ke Jeddah, Cuma tinggal lagi ahli jawatankuasa bertindak. Yang itu dikhabarkan akan
bertolak ke Jeddah hari ini. Bila masanya tak dapat dipastikan lagi." Jelasnya mengakhiri perbualan.

Sementara itu seramai 4,733 rakyat serta penuntutMalaysia telah berjaya dikeluarkan dari beberapa bandar di Mesir yang sedangbergolak ke Jeddah menerusi Ops Piramid.

Pegawai Media Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan Mejar Marina Harun memberitahu Bernama, setakat pukul 10 pagi tadi, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui tiga pesawat C-130 berjaya memindahkan 1,808 orang,tiga pesawat MAS (1,791) dan dua pesawat Air Asia (1,134).

Ops Piramid merupakan usaha untuk membawa rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir ke Jeddah di Arab Saudi.TVS/-

PM Temui 63 ADUN Sarawak, Petanda Pilihanraya Makin Hampir

3 Rabiul Awal 1432H.


MIRI, 6 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perjumpaan tertutup dengan 63 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut serta bersama beliau dalam pertemuan itu.

Kumpulan pertama yang ditemui beliau terdiri dari Ranum Mina yang merupakan Adun Opar, Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Tan Sri Adenan Satem (Tanjung Datu), Dr Abdul Rahman Junaidi (Santubong) dan Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen (Demak Laut).

Pertemuan ini pastinya merancakkan desas-desus pilihanraya di Sarawak akan diadakan dalam masa terdekat yang tempoh penggalnya bakal berakhir Julai ini.

Pertemuan ini juga merupakan susulan kepada pertemuan Najib dengan semua Anggota Parlimen Barisan Nasional di Kuala Lumpur 8 Januari lepas.

Wolves calar rekod Man Utd

3 Rabiul Awal 1432H.

LONDON: Wolverhampton Wanderers melakukan kejutan Liga Perdana Inggeris apabila menewaskan pendahulu liga, Manchester United 2-1, awal pagi tadi, sekali gus memusnahkan rekod tanpa kalah United musim ini.

United yang bertandang ke Wolves memperoleh gol awal menerusi Nani pada minit ke-3 tetapi George Elokobi menyamakan kedudukan enam minit kemudian. Wolves memperoleh gol kemenangan menerusi Kevin Dolye pada minit ke-40. Dengan keputusan itu, Arsenal yang mencatat keputusan seri 4-4 dengan Newcastle merapatkan jurang tiga mata dengan United yang masih di tangga teratas liga. - Agens

Mubarak Belum Letakkan Jawatan Parti

3 Rabiul Awal 1432H.

Presiden Mesir, Mohammed Hosni Mubarak belum meletakkan jawatan pengerusi Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) Mesir yang berkuasa. Demikian dilaporkan oleh pihak rasmi Mesir semalam. Sebelum ini menyusul satu berita yang menyatakan beliau telah meletakkan jawatan.

Stesen TV Mesir pernah menyiarkan bahawa Presiden Mesir, Mohammed Hosni Mubarak pada 5 Februari telah meletakkan jawatan Pengerusi NDP.

Jawatankuasa Eksekutif NDP Mesir yang berkuasa semalam telah meletakkan jawatan secara kolektif, termasuk Setiausaha Agungnya Muhammad Safwat Muhammad Yousuf el-Sharif, dan anak lelaki Mohammed Hosni Mubarak, Gamal Mubarak. Anggota NDP, Hossam Badrawy diangkat menjadi Setiausaha Agung yang baru dan Setiausaha Jawatankuasa Dasar parti itu.

Siapakah sebenarnya "Pelacur Agama" ?

3 Rabiul Awal 1432H.
Oleh: WFAUZDIN NS

NAMPAKNYA serangan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz terhadap Umno ternyata berkesan. Apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz bahawa sesiapa yang tidak menyokong PAS sewaktu PAS bertanding menentang Umno di PRK Dun Tenang baru-baru ini adalah golongan Jahiliyyah membuatkan pemimpin Umno `sesak nafas'.

Maka, bermacam ulasan keluar untuk mengharamkan apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz walaupun Tuan Guru Nik Aziz berhujah berlandaskan Al-Quran. Umno pula berhujah berlandaskan akal yang cetek lagi jahil. Apabila politik mahu diasingkan dengan ugama, maka sudah tentu pendapat Tuan Guru Nik Aziz tidak boleh diterima oleh Umno.

Memetik kenyataan Timbalan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh, " Nik Aziz terlalu banyak menggunakan agama untuk kepentingan politik beliau. ‘‘Saya ingin bertanya kepada beliau, apakah status nenek moyang saya dan mereka yang tidak mengundi Pas sebelum Pas diwujudkan. Adakah mereka ini kafir seperti ‘fatwa’ yang dikeluarkan Pas?

Kenyataan di atas membuktikan betapa jahilnya beliau. Pernahkah PAS mengeluarkan fatwa bahawa ahli-ahli Umno kafir? Pemimpin PAS hanya pernah menyebut bahawa barangsiapa yang menolak hukum Islam termasuk hukum hudud yang diwajibkan oleh Allah, maka rosak akidahnya. Jika Umno terasa termasuk di dalam golongan yang menentang hukum Allah, maka fikirlah sendiri apa hukumnya.

Bagi menjawab soalan Omar Salleh itu yang mahu status nenek moyangnya yang tidak mengundi PAS sebelum PAS diwujudkan, adakah mereka kafir atau tidak, itu salah satu soalan orang yang masih Jahiliyyah. Beliau perlu tahu, semasa hidup nenek moyangnya sehingga mati, adakah nenek moyangnya beramal dengan perintah Allah dan tidak pernah menentang hukum Allah? Seandainya nenek moyang beliau pernah menentang hukum Allah dan tidak bertaubat sehingga mati, adakah matinya boleh dikatakan mati di dalam beriman? Omar Salleh jawab sendiri soalan beliau itu.

Islam bukan dibawa oleh PAS. Islam agama di sisi Allah dan dibawa oleh Nabi. PAS sebagai wadah politik ingin memperjuangkan hukum Allah ini. Samada PAS wujud atau tidak, kita sebagai umat Islam mesti menegakkan hukum Allah dengan apa cara sekali pun. Kita patut bersyukur kerana PAS wujud di negara ini sebagai wadah politik yang ingin melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah. Bayangkan jika Umno, MCA, Gerakan, MIC atau DAP sahaja yang wujud di negara ini, siapakah yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan Islam? Umno? Setelah lebih 50 tahun Umno memegang kuasa, mana lebih banyak Umno lakukan samada yang makruf atau yang mungkar?

Umno melakukan yang Makruf secara berpilih-pilih seperti membina masjid, Bank Islam, Universiti Islam, Tabung Haji, Takaful dan beberapa lagi program Islam, tetapi Umno tidak melaksanakan Nahi Mungkar. Umno menolak terus perundangan Islam. Umno tidak mencegah kemungkaran sebaliknya banyak menganjurkan kemungkaran. Menolak perlaksanaan Hukum Hudud, tetapi menerima baik Akta zalim ISA. Sudahlah tidak mahu melaksanakan hukum Allah ini, Umno menyekat dengan kuasa yang mereka ada untuk menentang pihak lain yang ingin melaksanakannya.

PAS bukan agama, tetapi PAS membawa ajaran agama Islam itu sendiri. Jika ada satu pihak yang memperjuangkan Islam, dan satu lagi memperjuangkan bangsa semata-mata, mana satukah yang kita pilih? Jika kita tidak memilih perjuangan Islam, maka memang tepat jika kita digelar golongan Jahiliyyah. Hanya Jahiliyyah yang tidak mahu bersama Islam./wfauzdin.blogspot.com

Mubarak letak jawatan parti

3 Rabiul Awal 1432H.

KAHERAH 5 Feb. - Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan Mesir, hari ini.

Pengumuman Presiden Mesir itu menyusul selepas setiausaha agung parti itu, Hossam Badrawi dan anaknya, Gamal Mubarak yang juga salah seorang pemimpin tertinggi parti itu mengumumkan meletakkan jawatan. - REUTERS

Nik Aziz hanya mahu debat dengan orang bertauliah

3 Rabiul Awal 1432H.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan beliau sedia berdebat tentang Islam dengan sesiapa saja, tetapi orang itu mestilah mempunyai kedudukan dan tauliah.

Nik Abdul Aziz lantas mempersoalkan kedudukan dan kredibilit Pengerusi Biro Agama Veteran Umno Kelantan, Prof Mohd Noor Deris yang ingin berdebat dengan beliau.

Dalam kenyataannya semalam, Mohd Nor menyatakan kegembiraannya kerana Nik Abdul Aziz menyahut cabarannya itu dan akan menghantar surat bagi tujuan itu dalam tempoh terdekat.

Ditanya mengenai kenyataan Mohd Noor itu, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam tidak melarang umatnya berdebat untuk mencari kebenaran dalam soal agama, malah ia digalakkan asalkan meletakkan al-Quran dan hadis sebagai "orang tengah".

“Saya sedia berdebat dengan sesiapa sahaja, asalkan mereka mempunyai tauliah dan ada kedudukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Al-At'am, di Dataran Pasir Pekan, dekat Tumpat hari ini.

Menurutnya, isu perdebatan mengenai agama dengan ulama, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri sudah lama ditimbulkan tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Beliau juga bersetuju suatu kaedah berkesan dicari bagi mengelakkan ia menimbulkan kesan buruk hasil perdebatan itu.

“Bagaimanapun, saya mahu kaedah perdebatan itu dibuat secara terbuka... bagi membolehkan orang ramai mengetahui dengan jelas mengenai topik yang menjadi persoalan," katanya.

Sementara itu, Badan Perhubungan Umno Kelantan menyokong debat antara Nik Abdul Aziz dengan pihak-pihak tertentu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Ulama Veteren Umno negeri itu, Prof Mohd Nor Deris.

Timbalan Pengerusi badan itu, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata debat itu termasuk dengan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi merungkai banyak kekeliruan yang ditimbulkan oleh menteri besar itu sebelum ini.

Mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz hari ini, Dr Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata terserah kepada penganjur sama ada perdebatan itu diadakan secara langsung menerusi TV atau dalam dewan yang terkawal.

--Bernama

Gelombang Merah, angan-angan Mat Jenin

3 Rabiul Awal 1432H.

KUALA LUMPUR, 6 Feb: PAS berpendapat hasrat BN merampas semula Kelantan dengan pelancaran Gelombang Merah bagi memikat sejumlah besar anak muda negeri itu sebagai angan-angan Mat Jenin.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata beliau yakin anak muda Kelantan yang terkenal sebagai golongan terpelajar dan memenuhi pusat-pusat pengajian tinggi sukar menerima BN yang telah terbukti gagal mengurus tadbir negara sejak lebih 50 tahun lalu.

"PAS berpandangan harapan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang hendak memikat 400,000 orang muda Kelantan hanya angan-angan mat jenin sahaja.

"Orang muda Kelantan adalah generasi yang sedar dan bermaklumat. Mereka anti penindasan, diskriminasi dan penyelewengan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelancaran projek Gelombang Merah oleh Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan untuk merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Umno mensasarkan 400,000 belia Kelantan akan bersama mereka pada PRU itu nanti.

Strategi tersebut juga dilihat sama sewaktu Gelombang Biru yang dilancar Umno Terengganu pada tahun 2004 untuk merampas kerajaan negeri yang pada waktu itu diterajui PAS.

Kata Idris lagi, orang Kelantan juga sangat sukar untuk menerima Umno BN ekoran beberapa fakta diskriminasi oleh kerajaan pusat ke atas negeri itu.

Ianya termasuklah isu peruntukan kepada kerajaan negeri, isu sekatan 118 projek sejak Rancangan Malaysia ke enam pada tahun 1991dan terbaru isu royalti yang sehingga kini sangat perit dirasai rakyat negeri itu.

"Kenapa pemimpin Umno Kelantan yang berada di peringkat pusat telah mengkhianat rakyat Kelantan sehingga sanggup menyalurkan minyak ke Songkla Thailand, padahal lebih ekonomik ia mendarat di Kelantan.

"Kesemua sikap ini tidak boleh diterima oleh orang muda Kelantan untuk menerima Umno memerintah semula di Kelantan, kenapa mereka hendak menyerahkan diri mereka ke mulut naga untuk merosakkan sistem yang sudah dibina selama 20 tahun," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Mustapa, agar melihat dahulu negeri-negeri di bawah BN termasuk Sabah dan Sarawak yang masih tinggi kadar kemiskinan.

"Pulihlah ekonomi negara yang menghadapi kadar inflasi yang semakin tinggi, semuanya gara-gara kegagalan kerajaan BN.

"Kelantan sudah selesa di bawah kepimpinan PAS yang boleh bersaing dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan BN. Umno janganlah jadi tikus membaiki labu," nasihatnya.

Harakahdaily/-

Tahun Baru Cina PR Perak disambut meriah, Lebih 3000 0rang hadir.


3 Rabiul Awal 1432H.

IPOH, 6 Feb.:- Kemeriah Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini terserlah dengan sambutan Hari Terbuka anjuran Pakatan Rakyat Negeri perak yang diadakan pada hari ini diperkarangan Wisma DAP Perak di sini.

Dianggarkan lebih 3000 orang dari pelbagai bangsa hadir dalam majlis tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ust Abu Bakar Hussin, Pengerusi PKR Perak, Dr. Muhd Nur Manuty , Pengerusi DAP Perak Dato Ngeh Kho ham dan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin serta ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Selain itu hadir sama di kalangan ADUN Pakatan Rakyat Perak, YDP-YDP PAS Kawasan , ketua-Ketua Cabang PKR dan wakil-wakil persatuan Perniagaan Cina , Ngo, rakan media serta warga sekitar Ipoh yang datang sewalnya sejak jam 9.30 pagi.

Acara belamgsung dengan nyanyian lagu Negaraku dan ucapan dari Pimpinan ketiga-tiga parti. Selain itu terdapat persembahan kebudayaan serta agihan Angpau kepada kanak-kanak dan warga emas yang hadir.























Anwar : Tanah Melayu, Mahathir Perlu Baca Buku Jingga

3 Rabiul Awal 1432H.

GEORGE TOWN 5 FEB: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad membaca 'buku jingga' bagi memahamkan kenyataan bahawa Tanah Melayu bukan bermakna memusnahkan sistem kehakiman, dan bukan untuk memiskinkan majoriti rakyat Melayu.

Selasa lalu dalam program anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah milik orang Melayu dan oleh itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu.

Bekas perdana menteri berkata, nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.

"Tanah Melayu bukan bermakna memusnahkan sistem kehakiman, bukan bermakna untuk memiskinkan majoriti rakyat Melayu. Atas nama tanah Melayu yang mendapat faedah besar tu adalah keluarga mereka. Bukan saja yang lalu tapi berterusan. Contoh kontrak yang petronas berikan berbilion untuk memperkayakan keluarga mereka," katanya.

Anwar juga menyifatkan pandangan dan kenyataan Dr Mahathir dalam membangkitkan persoalan mempertahankan tanah Melayu sebagai tidak lagi relevan.

"Saya lihat percubaan ini ialah percubaan akhir untuk menarik perhatian orang-orang Melayu yang mulai sedar bahawa dasar Umno itu lebih memperkayakan. Kalau tidak minta Dr Mahathir untuk faham kenyataan sekarang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Naib presiden MCA Senator Gan Ping Seiu berkata, bekas perdana menteri itu seharusnya menggunakan status negarawan yang beliau miliki untuk menyatukan negara ini, bukannya bertindak sebaliknya.

"Sebagai seorang negarawan, rakyat mengharapkan Tun bertindak sebagai seorang bapa dan kenyataan-kenyataan beliau seharusnya bersifat membawa penyatuan dan konstruktif.

"Sebarang kenyataan bersifat selektif dan tidak berproduktif hanya akan memecahbelahkan rakyat," kata timbalan menteri belia dan sukan ini.

Dr Mahathir sebelum ini menyifatkan kepercayaan agama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang disebut sebagai 'Islam Nik Aziz' adalah lebih teruk daripada 'Islam nasionalis'. TVS/-

Seorang Terbunuh Pertempuran Tentera Thai Dan Kemboja


3 Rabiul Awal 1432H.

BANGKOK 5 FEB : Seorang tentera Thai terbunuh dan empat yang lain cedera dalam pertempuran terbaru hari ini antara tentera Thai dan Kemboja berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Jurucakap tentera Thai, Kol Sansern Kaewkamnerd berkata Sarjan Wuthicharin Chartkamdee terbunuh dalam kejadian berbalas tembak selama kira-kira 40 minit yang bermula 6.40 pagi.

Pertempuran berlaku di sekitar kawasan seluas 4.6 kilometer persegi yangmenjadi rebutan kedua-dua negara, berhampiran kuil Preah Vihear yang dibina pada kurun ke-11.

Pertempuran turut berlaku di kawasan yang sama semalam yang mengorbankan seorang orang awam dan mencederakan lima tentera Thai.

Bangkok mendakwa Phnom Penh telah melanggar kedaulatan dan wilayah Thai. Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva sedang bermesyuarat dengan pegawai keselamatan kanan dan hal ehwal luar Thai di sini. TVS/-

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi : Mati sebagai syuhada

3 Rabiul Awal 1432H.

Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menyifatkan Presiden Mesir, Husni Mubarak sebagai ‘mula menyembelih rakyatnya sendiri’ selepas tercetusnya pertempuran berdarah antara penyokong presiden Mesir itu dan para peserta demonstrasi pada Rabu, 2 Februari 2011 di Medan Tahrir.

Beliau menyifatkan sedemikian kerana pertempuran itu berlaku selepas 9 hari majoriti rakyat Mesir berdemonstrasi menuntut pengunduran Husni Mubarak daripada kerajaan.

Mubarak, menurut al-Qaradhawi lagi “telah mula menyembelih tanahairnya sendiri dan bertindak seperti tindakan Firaun serta menjadikan sebahagian rakyat Mesir berkuasa ke atas sebahagian yang lain”.

Syaikh al-Qaradhawi turut berdoa supaya Allah membebaskan rakyat Mesir daripada penderitaan mereka dan membebaskan mereka daripada ‘para taghut’.

Ketegasan dan kelantangan al-Qaradhawi

Ketegasan dan kelantangan Syaikh al-Qaradhawi berhubung situasi semasa di Mesir begitu terserlah apabila beliau, melalui stesen satelit al-Jazeera pada 2 Februari 2011, menegaskan adalah menjadi kemestian ke atas setiap rakyat Mesir menyertai ‘Perarakan Jutaan Umat’ yang akan diadakan pada jumaat depan. (telah berlalu -GB)

Perhimpunan tersebut yang diadakan bagi menguatkan tekanan ke atas Presiden Husni Mubarak, disifatkan oleh para peserta demonstrasi sebagai ‘Jumaat Pemutus’ yang merupakan kesinambungan kepada perarakan pada Jumaat lepas yang dinamakan sebagai‘Jumaat Kemarahan’.

Lebih daripada itu, Al-Qaradhawi yang tinggal dalam buangan di Qatar itu, menganggap bahawa “turun ke jalan raya khususnya hari Jumaat, untuk menyertai bantahan merupakan kewajipan syarak ke atas setiap yang mampu pergi ke tempat-tempat perhimpunan dan tidak ada keuzuran yang menghalangnya”.

Sehubungan itu, beliau menggesa para ulama al-Azhar dan lepasan universiti itu agar memimpin dan menyertai perarakan membantah kezaliman regim Husni Mubarak di seluruh Mesir.

Dalam ucapan yang ditujukan kepada Husni Mubarak, al-Qaradhawi memberi amaran kepada Presiden Mesir itu bahawa “kami akan menghadapi kamu dengan doa diwaktu sahur dan dengan setiap orang yang kusut rambutnya dan berdebu tubuh badannya yang jika dia berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memperkenankan doanya”.

Beliau merujuk kepada hadis Nabi s.a.w yang memperihalkan kewujudan sebilangan manusia yang sangat mustajab doanya, meskipun mereka pada zahirnya kusut masai rambutnya dan berdebu tubuh badannya.

Sebagi ingatan kepada Mubarak, al-Qaradhawi menegaskan bahawa “doa orang yang dizalimi akan diangkat oleh Allah melepasi awan dan akan dibukakan untuknya pintu-pintu langit sambil Dia berkata, “demi keagungan dan ketinggianKu, Aku akan menolongmu walau pun selepas beberapa ketika”.

Peserta demonstrasi yang terbunuh mati syahid

Di akhir ucapannya, al-Qaradhawi memperlihatkan sikap dan pandangannya berhubung rakyat Mesir yang menyertai demonstrasi membantah regim Mubarak dan kedudukan mereka yang terbunuh dalam demonstrasi tersebut pada pandangan syarak.

Dalam ucapan yang ditujukan kepada para pemuda yang menggerakkan demonstrasi di Mesir, al-Qaradhawi menyatakan, “saya mengucapkan syabas kepada para pemuda yang menyertai siri-siri demonstrasi di atas keberanian, kecekalan, kemahuan dan sikap tidak berganjak mereka daripada lokasi-lokasi demonstrasi. Saya katakan kepada mereka, samada kamu menjadi orang-orang yang mulia dan bahagia, atau kamu mati sebagai para syuhada’”.

Terdahulu, dalam perutusan khas, al-Qaradhawi di atas nama Kesatuan Ulama Islam Sedunia, memfatwakan bahawa rakyat Mesir yang terbunuh dalam tunjuk perasaan di Mesir sebagai mati syahid.

Asas kepada fatwa ini ialah hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, “sebaik-baik orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah r.a dan seorang lelaki yang pergi kepada pemimpin yang zalim, lantas menyuruhnya melakukan makruf dan menegahnya dari kemungkaran, lantas dia dibunuh”.

Perutusan ini disiarkan oleh laman rasmi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, iumsonline.net.

Difahami daripada fatwa ini, rakyat Mesir yang berdemonstrasi membantah regim Mubarak, pada hakikatnya sama seperti seorang yang tampil membantah pemimpin yang zalim yang mengakibatkannya dibunuh, seperti yang disebutkan dalam hadis yang dinyatakan.

Sumber : onislam.net & iumsonline.net

Risalah 'hina Melayu': Lim mahu ADUN minta maaf

3 Rabiul Awal 1432H.

Ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menuntut ADUN Pulau Betong Muhammad Farid Saad agar memohon maaf atas tuduhan bahawa kerajaan negeri itu bertanggungjawab ke atas satu risalah yang didakwa "menghina orang Melayu."

Lim berkata, ADUN berkenaan perlu menarik balik kenyataan berkenaan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada hari Khamis lalu.

"ADUN Umno Pulau Betong didesak menarik balik dan meminta maaf secara terbuka kepada kerajaan negeri (Pulau Pinang) atas fitnah jahat ini. Sekiranya beliau gagal pada minggu depan maka tindakan tegas akan diambil," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim menjelaskan, risalah 'My Balik Pulau' itu sebenarnya dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan dan bukannya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Sekiranya betul 'My Balik Pulau' lupa sejarah dan hina Melayu, maka yang lupa sejarah dan hina Melayu tidak lain tidak bukan adalah Umno dan kerajaan persekutuan sendiri," kata Lim lagi.

Lim berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar harian tersebut pada Khamis lalu yang menyebut risalah berkenaan "mengandungi fakta sejarah tidak tepat" dan "disifatkan sebagai berbahaya kerana boleh mengundang perbalahan kaum."

Muhammad Farid dipetik dalam laporan tersebut sebagai berkata, "meskipun tidak diketahui niat sebenar risalah tersebut diedarkan, dipercayai ia merupakan cubaan pihak tertentu untuk mengaburi rakyat tentang sejarah kawasan yang dihuni majoriti orang Melayu itu."

ADUN berkenaan turut mendakwa, risalah berkenaan "seolah-olah mahu menggambarkan bahawa Balik Pulau bukan dibuka oleh orang Melayu."

Dalam laporan sama, Muhammad Farid turut mendakwa, bahan dalam risalah berkenaan turut "menghina orang Melayu."

Sehubungan itu, Lim Guan Eng berkata, Muhammad Farid bertindak "meludah ke langit" dengan mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai satu "pembohongan dan fitnah" itu.

"ADUN Umno ini telah menggembar-gemburkan risalah 'My Balik Pulau' dengan sentimen perkauman di Utusan Malaysia yang membuat laporan besar bertajuk 'Lupa sejarah, hina Melayu'.

"ADUN Umno ini telah membuat tuduhan melulu dan dakwaan palsu bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang bertanggungjawab atas isi kandungan (risalah ini).

"Sebenarnya ADUN UMNO ini meludah ke langit kerana yang mengeluarkan risalah 'My Balik Pulau' bukanlah kerajaan negeri PR Pulau Pinang tetapi adalah dari Umno dan kerajaan persekutuan.

Lim turut mendakwa, risalah berkenaan turut mencatatkan nama penyumbangnya iaitu kementerian pelancongan serta pemimpin Umno Balik Pulau "termasuk pusat sumber Muhammad Farid sendiri."

"Akan tetapi semua jentera media massa Umno dan blog serta Utusan Malaysia terus menyebarkan fitnah terhadap kerajaan negeri (Pulau Pinang) kerana terus pinggirkan orang Melayu," katanya lagi.

Malaysiakini/-

Jumlah SMS perayaan TBC ini cecah tahap tertinggi

3 Rabiul Awal 1432H.

Jumlah penghantaran pesanan ringkas ketika perayaan Tahun Baru China ini cecah tahap tertinggi baru. Menurut penganalisis berkenaan, pada satu hari sebelum dan hari pertama Tahun Baru China, jumlah penghantaran pesanan ringkas di China melebihi 5 bilion.

Selain pesanan ringkas, rakyat China juga menggunakan kaedah yang lain dalam telefon bimbit seperti microblog dan fetion untuk saling mengucapkan Selamat Tahun Baru China.

Pakar telekomunikasi China, Chen Jinqiao berkata, seiring dengan telefon bimbit 3G dan smartphone yang semakin banyak digunakan, kaedah mengucapkan selamat Tahun Baru China menerusi telefon bimbit akan semakin popular. Keadaan ini akan mendorong perkembangan telekomunikasi di China. CRI/-

Kadar Penyakit Kanser Kian Meningkat di Negara-Negara Membangun

3 Rabiul Awal 1432H.

Menurut laporan yang dikemukakan oleh Persatuan Pengajian Kanser A.S. semalam, kadar penyakit kanser di negara-negara membangun semakin meningkat ekoran perubahan cara hidup daripada pembangunan ekonomi.

Menurut laporan tersebut, jumlah pesakit kanser di seluruh dunia bertambah 12.7 juta orang setiap tahun dan jumlah kematian akibat penyakit tersebut mencecah 7.6 juta orang setiap tahun. Seiring dengan peningkatan jumlah penduduk dan kesan wujudnya masyarakat warga emas, jumlah tersebut akan meningkat hampir sekali ganda pada tahun 2030. Jumlah pesakit dan kematian akibar penyakit kanser di negara-negara membangun akan meningkat secara besar-besaran. Keadaan ini berkaitan dengan cara hidup yang tidak sihat termasuk merokok, kurang beriadah serta makanan dan minuman yang kurang sihat.CRI/-

Rumah terbuka Tahun Bartu Cina PR Perak hari ini.

IPOH : Majlis Hari terbuka Tahun Baru Cina anjuran Pakatan Rakyat Perak akan diadakan hari ini, 6 Februari bermula pada jam 10.00 pagi bertempat di Perkarangan Wisma DAP Bandar Ipoh Raya , Ipoh.

Dengan ini kami menjemput semua Pimpinan, penyokong dan seluruh warga Ipoh untuk hadir sama bagi memeriahkan majlis tersebut.