10 Julai 2012

Reformasi parlimen jadikan Malaysia lebih baik

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Reformasi parlimen menjadi agenda utama Pakatan Rakyat dalam menjadikan Malaysia lebih baik apabila memenangi piihan raya umum yang akan datang.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberitahu pemisahan kuasa boleh bermula dengan reformasi parlimen yang akan memberi kuasa dan mengukuhkan institusi perundangan untuk memberi 'check and balance' terhadap kezaliman eksekutif dan ketidaksenonohan kehakiman.

"Pengasingan kuasa adalah prinsip utama yang struktur demokrasi yang berfungsi dan membolehkan keseimbangan kuasa lebih dinamik untuk menghasilkan penyelesaian yang terbaik.

"Serta menyatakan semua perkara terutamanya dalam bidang membuat dasar, pelaksanaan dasar dan kajian semula dasar," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Tambahnya, pengasingan kuasa akan memastikan ketelusan dan akauntabiliti tadbir urus yang baik yang akan mengurangkan terhadap penyalahgunaan kuasa serta rasuah, yang akan membenarkan kepentingan semua pemegang saham diwakili secara saksama.

"Penubuhan struktur jawatankuasa dengan ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua belah jurang politik yang meliputi semua aspek utama kerajaan termasuk kewangan, pendidikan, kesihatan, pertahanan, undang-undang, perkhidmatan awam di kalangan orang lain dengan mandat untuk mengadakan pengawasan dan dimasukkan ke dalam tadbir urus utama.

"Semua perkara-perkara ini yang akan menjamin penyertaan penuh demokrasi dan akauntabiliti untuk rakyat," kata beliau.

Beliau yang memberi contoh dalam isu Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang mendapati satu contoh tadbir urus demokrasi yang lemah.

"Jika ada jawatankuasa parlimen mengenai perkhidmatan awam, maka tidak akan wujud flip-flop dasar birokrasi yang akan memberi manfaat kepada golongan elit melalui pelarasan gaji yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja biasa.

"Ia bukan sahaja meningkatkan jurang gaji yang sudah luas sebagai salah satu yang tertinggi di dunia tetapi juga meluaskan ketidakadilan sosial majoriti untuk memberi manfaat kepada minoriti elit," jelas Nurul Izzah.

Beliau percaya dengan pembaharuan parlimen menyediakan 'check and balance' rakyat tidak akan menanggung lagi beban kewangan seperti penyelewengan di dalam NFC, PKFZ, SELEX, Scorpene, Istijuara dan banyak lagi.

harakahdaily/-

Dua maut dalam kemalangan berasingan

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang pemandu sebuah kereta maut manakala abang, adik dan seorang rakannya terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka berpusing akibat kerosakan pada sterengnya sebelum melanggar besi pengadang jalan di Kilometer 91.8 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Bentong, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 7.25 petang itu, mangsa Mohamed Adam Che Rasdi, 29 dari Kampung Permatang Piah, Jalam Kolam Melor, Kelantan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Bentong.

Abangnya, Mohd Rasdan Che Rasdi, 31 dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan adiknya, Mohd Fadly Hisham Che Rasdi, 27 serta rakan mereka Ahmad Nor Nasriq Mohammad Nor Azman, 24 dari Felcra Keruak, Jertih, Terenggu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kereta jenis Toyota yang dinaiki tiga beradik bersama seorang rakannya itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki mengalami kerosakan pada stereng menyebabkan kenderaan tersebut tidak dapat dikawal lalu berpusing beberapa kali sebelum merempuh besi pengadang lebuh raya di sebelah kiri.

“Akibat rempuhan itu, kereta yang dinaiki mereka remuk di bahagian hadapan manakala pemandunya cedera parah.

“Keempat-empat mangsa di hantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut bagaimanapun Mohamed Adam disahkan meninggal dunia,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan faktor jalan basah selepas hujan antara punca kenderaan tersebut berpusing.

Sementara itu, hasrat seorang nenek membawa pulang dua cucunya ke rumah selepas menjemput mereka dari sebuah sekolah tidak kesampaian apabila dia maut akibat dirempuh sebuah motosikal ketika cuba melintas jalan di Kilometer 10, Jalan Jerantut- Temerloh dekat Sanggang, Temerloh, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa Ramlah Ali, 64 dari Kampung Baru Paya Luas, Kuala Krau mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Sementara itu dua cucunya, Kurniawati Karna Hidayat, 16 dan Khairul Nazim Karna Hidayat, 7 yang turut dirempuh motosikal terbabit mengalami kecederaan dan dihantar menerima rawatan di hospital sama.

Abdul Rahim berkata, penunggang motosikal, Ahmad Arshad, 62 dari Jengka 22, Bandar Jengka, Maran turut parah dalam kemalangan tersebut.

sinar harian/-

Pelajar dipaksa minum air kencing sendiri

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

SANTINIKETAN - Seorang pelajar dipaksa minum air kencingnya sendiri oleh warden yang didakwa sebagai rawatan menghentikan tabiat buruk kencing di atas tilam.

Menurut sumber, pelajar Sekolah Patha Bhavan itu menghidapi sejenis penyakit dan telah membuang air kecil di tilam beberapa malam sebelumnya.

Apabila ibu pelajar itu menghubungi warden berkenaan, dia memberi jawapan bahawa pelajar itu dalam keadaan baik tetapi kerap kencing malam dan kemudian meminum air kencingnya sendiri sebagai rawatan menghentikan tabiatnya itu.

Ibu bapa pelajar yang terkejut itu lantas membuat laporan di balai polis Bolpur kerana yakin anak mereka telah dipaksa minum air kencing sendiri dan bukan atas kerelaan.

Susulan itu, Suruhanjaya Perlindungan Kemanusiaan terhadap Kanak-Kanak Kebangsaaan (NCPCR) telah mememberi notis tunjuk sebab kepada pihak sekolah bagi mendapatkan penjelasan.

sinar harian/-

Juruteknik dipenjara 4 tahun rompak pekerja stesen minyak

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Seorang juruelektrik dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merompak seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh dengan bersenjatakan parang Februari lalu.

Hakim Latifah Mohd Tahar memerintahkan tertuduh, Mohd Shafizan Ramli, 20, menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 26 Februari.

Mohd Shafizan didakwa bersama-sama seorang lagi yang dihadapkan ke mahkamah pada 5 Mac lalu, Mohamad Zakwan Awang Chek, 20, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang dengan mengambil sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM1,881.73 daripada Md Taher Md Mokbul Hossain.

Mohamad Zakwan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan Mahkamah Sesyen yang sama menetapkan 20 Julai ini tarikh perbicaraan.

Mohd Shafizan didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Minyak Caltex Seksyen 27 di sini, kira-kira jam 9.45 malam pada 13 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, ketika Md Taher dan seorang lagi pekerja stesen minyak warga Bangladesh, Md Rajur Ahammad, berada di kaunter pembayaran, tertuduh masuk meminta rokok daripada Md Rajur.
Tertuduh kemudian masuk ke kaunter bayaran lalu mengacu parang kepada Md Taher dan mengarahkan Md Rajur mengeluarkan wang dari mesin kaunter bayaran.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah hukuman ringan atas alasan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Ketika ditanya Latifah mengapa dia melakukan kesalahan itu, tertuduh berkata dia terpengaruh dengan rakan-rakannya.

Timbalan Pendakwa Raya R Kalaiyarasi yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berkata, kedua-dua pekerja stesen minyak berkenaan tidak mengalami kecederaan.

- BERNAMA

Utusan hilang integriti siar berita fitnah

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyelar tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan fitnah mendakwa DAP akan bertanding di 90 buah kerusi Parlimen dalam PRU ke 13 nanti.

Bagi DPPM, penyiaran berita seperti adalah berniat jahat bagi menimbulkan keresahan di kalangan pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat.

DPPM menganggap Utusan Malaysia adalah akhbar paling tidak beretika di negara ini kerana sanggup menyiarkan berita pembohongan dan fitnah terhadap Pakatan Rakyat.

Dasar ‘ampu’ atau bodek keterlaluan Utusan Malaysia terhadap pemerintah menjadikannya hilang integriti sehingga sanggup menyiarkan apa sahaja berita memburukkan Pakatan Rakyat meskipun ia layak ‘dibakulsampahkan’ untuk menyenangkan pihak tertentu.

DPPM hairan dari mana Utusan Malaysia mendapat khabar angin seperti ini.

Maklumat mereka seperti terperinci lebih dari pemimpin Pakatan Rakyat sendiri yang hadir dalam mesyuarat tertutup. Seolah-olah, mereka mempunyai maklumat penuh setiap pergerakan dan hasil keputusan mesyuarat peringkat tertinggi Pakatan Rakyat, walhal maklumat yang disiarkan itu hanyalah fitnah dan pembohongan semata-mata.

DPPM ingin menegaskan, bahawa DAP hanya bertanding tidak lebih dari 60 buah kerusi Parlimen daripada keseluruhannya 222 buah, atau lebih tepat lagi 40 buah kerusi Parlimen di negara ini. Kerusi-kerusi inilah yang mempunyai majoriti pengundi Cina di negara ini.

Bagaimana mungkin DAP boleh bertanding di kerusi majoriti Melayu selebihnya? Sudah tentu fakta yang dikemukakan oleh Utusan Malaysia jauh bercanggah dari kebenarannya.

Justeru, DPPM meminta Ketua Pengarang, kumpulan editor dan pihak berkepentingan dalam Utusan Malaysia agar segera insaf dari terus melakukan pembohongan.

Rakyat semakin benci dengan penipuan yang tidak bermaruah dan politik fitnah seperti ini.

Zaman ini rakyat semakin celik maklumat dan cerdik dalam menilai sesuatu. Rakyat tidak sesekali terpengaruh dengan dakyah liar yang ditaburkan bagi mengabui pemikiran mereka.

Jangan sampai Utusan Malaysia menjadi bankrap disebabkan etika pemberitaan yang jahat dan jangan sampai pula Umno BN kalah teruk dalam PRU ke-13 disebabkan penolakan rakyat terhadap mereka ekoran berita mengarut seperti ini!

harakahdaily/-

Dunia Politik Mesir kalut

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kaherah: Speaker parlimen Mesir, Saad el-Katatni, semalam memanggil ahli parlimen untuk mengadakan sidang esok selepas presiden baru negara itu, Mohamed Morsi mengarahkan supaya pembubaran parlimen oleh mahkamah sebelum ini dibatalkan.

Agensi berita Mesir, MENA melaporkan, keputusan Morsi dilihat sebagai usaha mengukuhkan kuasa beliau sebagai presiden dan cabaran terbuka kepada pemimpin tentera yang memerintah negara itu sejak 16 bulan lalu apabila bekas presiden Hosni Mubarak digulingkan.

Tentera menyerahkan pemerintahan kepada Morsi kurang dua minggu lalu, tetapi terus memegang kuasa yang tidak dapat dicabar.

Penganalisis berkata, kemelut terbaru itu dijangka menjerumuskan semula Mesir ke kancah keganasan dan keadaan tidak menentu.

Bangunan parlimen terus dikawal polis semalam, walaupun sekumpulan penyokong Morsi berkumpul di luar. Ramai ahli parlimen puak Islam yang menguasai 70 peratus kerusi dewan berkata mereka akan menghadiri sidang diadakan. Puak bukan Islam bagaimanapun berkata mereka akan memulaukannya.

Hormati undang-undang

“Kami tidak mungkin hadir sidang dan mengingkari mahkamah. Kita mesti menghormati undang-undang dan mematuhi perintah mahkamah,” kata ahli parlimen sekular, Imad Gad.
Sementara itu Mahkamah Agung Perlembagaan Mesir berkata semua keputusan membubarkan parlimen muktamad.

“Semua keputusan dan perintah Mahkamah Agung Perlembagaan adalah muktamad, tidak boleh dirayu dan mesti dipatuhi semua institusi negeri,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

Beberapa pihak dilaporkan sudah ke mahkamah untuk mencabar keputusan Morsi, manakala mahkamah berkata pihaknya akan meneliti kes itu.

Kenyataan itu juga menegaskan keputusan mahkamah tidak mempunyai motif politik, sebaliknya bagi melindungi perlembagaan negara.

Kelmarin, Morsi mengarahkan parlimen yang dibubarkan, disahkan semula, tindakan dilihat penganalisis satu cabaran kepada tentera yang menguatkuasakan perintah mahkamah untuk membubarkan parlimen sebelum ini.

Beliau mengeluarkan satu perintah presiden merungkaikan perintah yang dibuat bulan lalu untuk membubarkan Perhimpunan Rakyat dan mengundang dewan bersidang semula.

Perintah itu juga menetapkan pertubuhan pilihan raya baru parlimen dua bulan selepas diluluskan pungutan suara perlembagaan negara itu dan menggunakan undang-undang kawal selia parlimen.
AFP

Mansuh ISA, agenda politik kerajaan

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

50 tahun rakyat berjuang menuntut penghapusan akta zalim ISA. Perjuangan rakyat ini dilakukan atas penuh sedar bahawa ISA mencabul keadilan dan menzalimi rakyat dengan hukuman tanpa perbicaraan. Ribuan aktivis telah menjadi mangsa akta zalim ini. Sepanjang perjuangan ini juga Kerajaan Malaysia terus menafikan dakwaan banyak pihak yang mengatakan ISA sebagai senjata politik pihak pemerintah.

Kenyataan terbaru Perdana Menteri menunjukkan Kerajaan selama ini seolah-olah menipu rakyat dengan mengatakan ISA adalah undang-undang telus yang digunakan untuk keselamatan negara dan tidak pernah disalah guna. Menurut laporan portal Malaysiakini bertarikh 9 Julai,

Perdana Menteri semasa berucap di hadapan penjawat awam di Putrajaya mengatakan ISA dimansuhkan kerana tidak membantu survival politik pemerintah. ISA tidak berjaya mengekang kemaraan politik bahkan menyemarakkan kemaraan politik orang yang ditahan.

Kenyataan ini menunjukkan pemansuhan ISA bukanlah atas dasar Kerajaan benar-benar ingin berubah dan menghormati tuntutan rakyat, tetapi lebih untuk menjaga kepentingan politik Barisan Nasional yang semakin tergugat sejak tsunami politik 2008. Perdana Menteri seolah-olah mengesahkan bahawa ISA digunakan untuk mengekang kemaraan politik pihak lawan tetapi usaha itu telah gagal dan berubah menjadi sebaliknya. Oleh kerana kezaliman ISA telah menjadi elemen motivasi yang memacu kebangkitan rakyat, maka secara terdesak Kerajaan terpaksa memansuhkan ISA.

Pemansuhan ini bukanlah atas dasar Kerajaan Barisan Nasional menginsafi kesilapan ekoran kezaliman ISA, tetapi hanya semata-mata ingin menyelamatkan survival politik parti yang memerintah. Maka benarlah selama ini apa yang dikatakan oleh masyarakat sivil dan Gerakan Mansuhkan ISA yang menyifatkan ISA sebagai alat politik Kerajaan yang digunakan untuk menjaga keselamatan parti pemerintah dan bukannya keselamatan negara.

Oleh itu tidak hairan jika Kerajaan enggan membebaskan baki tahanan ISA yang masih dikurung di Kem Tahanan Kamunting. Hal ini kerana baki tahanan merupakan individu biasa yang tidak boleh mendatangkan risiko politik kepada Barisan Nasional. Oleh itu pembebasan mereka bukan perkara kritikal yang perlu dipertimbangkan. Sedangkan mereka juga masih dizalimi di bawah ISA yang menafikan hak mereka untuk mendapat keadilan. 45 orang ini juga dijadikan alat oleh Kerajaan untuk mempertahankan ego parti pemerintah yang selama ini menyifatkan ISA sebagai undang-undang yang adil.

Kenyataan Perdana Menteri ini juga GMI sifatkan sebagai amat tidak bertanggungjawab. Perdana Menteri seperti mengatakan segala tindakan dalam ISA seperti menangkap tanpa bicara, menyeksa tahanan, mengurung tahanan bertahun-tahun dan kemudian membebaskan tahanan, merupakan langkah rasmi yang direstui oleh Kerajaan untuk mengekang kebangkitan seteru politik pemerintah. Tanpa menyesali segala penyeksaan dalam ISA, Perdana Menteri sebaliknya seperti mengiktiraf segala kerja kotor yang berlaku dan tidak menyifatkannya sebagai satu kesalahan.

Jika Perdana Menteri menyifatkan ISA sebagai telah gagal mengekang kemaraan politik lawan, maka apakah SOSMA atau Akta Kesalahan Keselamatan yang menggantikan ISA akan mengambil alih tugas tersebut dengan lebih berkesan?. Keadaan ini menyebabkan rakyat memiliki asas yang kuat untuk meragui ketelusan Kerajaan dalam menggubal akta baru ini.

Walaupun terdapat klausa khusus dalam akta baru yang mengatakan tidak akan ada penahanan bermotifkan perbezaan politik, namun klausa itu masih bersifat umum. Sebagai contohnya, sepanjang ISA digunakan untuk mengekang politik lawan, alasan yang digunakan untuk menangkap tidak menjelaskan bahawa penangkapan itu kerana perbezaaan poltitik, namun lebih kepada tuduhan yang direka seperti ancaman untuk mengadakan rusuhan dan ancaman untuk menggulingkan kerajaan.

GMI menuntut:

Perdana Menteri segera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada bekas-bekas tahanan ISA dan keluarga yang telah dizalimi. GMI menyifatkan Perdana Menteri telah mengkhianati kepercayaan rakyat yang menganggap pemansuhan ISA sebagai langkah positif Kerajaan yang ingin berubah menjadi lebih baik. Namun jelas pemansuhan tersebut hanya digunakan untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional yang semakin terhakis.

Kerajaan perlu segera membebaskan kesemua baki tahanan ISA tanpa sebarang kelengahan. Semua tahanan perlu dibebaskan atau diberi hak perbicaraan di mahkamah. GMI menuntut Menteri Dalam Negeri mengunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Klausa 32 Akta Kesalahan Keselamatan untuk membatalkan perintah tahanan sekaligus membebaskan semua tahanan ISA

Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Keadilan dan Rekonsiliasi bagi menyiasat kes-kes penyeksaan dalam tahanan ISA dan membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan. Tahanan ISA dan keluarga juga perlu diberi pampasan yang setimpal dengan penderitaan yang telah mereka alami.

Kerajaan juga perlu menarik balik atau memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) yang digubal bagi menggantikan ISA. GMI berpendirian undang-undang pencegahan seperti akta baru ini tidak perlu ada kerana berisiko untuk disalah guna seperti mana kerajaan telah menyalah gunakan ISA.

Sekian.
Syed Ibrahim Syed Noh

Pengerusi GMI

Syukri Razab

Penyelaras Suaram

Untung atas angin, Selcat teliti kontrak Kuis

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berkemungkinan akan mengadakan sesi pendengaran awam mengenai penyelewengan pembinaan asrama Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berkata, langkah tersebut perlu diberi perhatian supaya maklum balas jelas isu itu dapat diberikan dan tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.

“Ahli Jawatankuasa akan mempertimbangkannya dan tindakan perlu diambil kepada mereka yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan itu,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Selangor 2012, semalam.

Sebelum ini, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, bekas Menteri Besar Selangor didakwa memberi kontrak kepada sebuah syarikat untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi keperluan 6,000 pelajar Kuis bernilai RM125.8 juta.

Walau bagaimanapun, kontrak itu kemudiannya diserahkan kepada sebuah lagi syarikat dengan nilai RM96.1 juta kerana syarikat tersebut hanya bertindak sebagai orang tengah.

Rafizi mendakwa, syarikat asal menerima kontrak terbabit dikuasai seorang Adun Barisan Nasional (BN) negeri ini yang memiliki 51 peratus pegangan saham manakala isteri Adun BN terbabit memiliki enam peratus dan selebihnya dimiliki oleh syarikat pihak ketiga yang menerima manfaat kontrak.

Selain itu, bekas Menteri Besar itu juga didakwa menetapkan syarikat milik Adun BN itu diberi konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada Kuis dengan kadar sewa RM15.4 juta setahun.

Malah, sepanjang tempoh tersebut, walaupun kesemua urusan itu secara ‘atas angin’ tetapi syarikat terbabit menerima durian runtuh sebanyak RM508 juta dan keuntungan sebanyak 524 peratus.

Sehubungan itu, konsesi sewa asrama tersebut membebankan pengurusan Kuis dan anggaran sewa yang sepatutnya hanya separuh dari jumlah asal iaitu RM6 juta setahun.

sinar harian/-

Media baru: Najib resah dengan generasi muda

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kena sedar bahawa generasi muda tidak boleh dibodoh dan digula-gulakan begitu sahaja, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

“Zaman untuk membodohkan rakyat sudah berlalu. Sekarang bukan zaman Perdana Menteri tahun 70-an, tetapi zaman millenium baru yang sarat dengan maklumat sepantas kilat,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Najib meminta generasi muda perlu dilatih supaya mempunyai kemahiran berfikir secara mendalam, supaya persepsi yang terdapat menerusi internet dan media sosial tidak mengganggu mereka di dalam membuat keputusan.

Katanya, ucapan Najib menandakan keresahan beliau kepada generasi muda yang tidak lagi bergantung kepada media yang dikongkong oleh BN yang sarat dengan provokasi dan fitnah.

Idris berkata, macam mana generasi muda hendak mendengar nasihat daripada seorang pemimpin yang tidak mempunyai daya intelektual untuk berhujah.

Ini, katanya kerana cabaran untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak disambut sedangkan ia adalah medan percambahan fikiran, merupakan pendekatan baru yang perlu diambil untuk menguji kematangan dan tahap intelektual.

“Generasi muda yang ada ialah mereka yang bermaklumat, tidak boleh dikongkong oleh mana-mana pihak. Mereka akan berfikir, kalau dah hebat sangat kenapa tidak sanggup untuk berdebat,” katanya.

Oleh itu, ujar beliau Najib jangan marah jika generasi muda tidak bersama dengan Umno, kerana mereka menilai berdasarkan ilmu dan fakta.

Soalnya, macam mana Najib hendak memaksa generasi muda menolak laporan internet dan media sosial di zaman langit terbuka.

“Menjadi tanda tanya kepada mereka apakah laporan yang dikeluarkan oleh internet itu palsu. Jika laporan itu palsu kenapa mereka tidak ambil tindakan undang-undang,” ujarnya lagi.

Idris menambah, generasi celik maklumat tidak boleh menerima ketika mereka terpaksa memerah tenaga untuk mendapat kerja, sedangkan kroni Umno mendapat peluang dengan begitu mudah.

“Apakah ini satu persepsi, fitnah atau laporan palsu yang disiarkan oleh media sosial, yang mereka tidak dapat daripada media lama?” tanya Idris.

Contohnya, kata beliau laporan melupuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta, projek NFC kepada suami Shahrizat sebanyak RM250 juta, Raja Farhana anak Raja Nong Chik dianugerah projek membina Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar Johor sebanyak RM30.8 juta, Ikhwan anak Jamaludin Jarjis mendapat projek Pusat Kawalan Trafik Udara Subang bernilai RM128.4 juta.

harakahdaily/-

Selangor tolak Langat 2 bukan kerana politik

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Senator Syed Husin Ali (gambar) memberitahu Dewan Negara, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menolak Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) bukan kerana politik tetapi masalah ekonomi.

Beliau berkata, harga air akan bertambah jika kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan Loji Langat 2 itu nanti.

Malah jelas beliau, masalah penstrukturan semula air antara Syabas dan Kerajaan Selangor menjadi masalah sulit apabila kementerian dan kerajaan pusat masuk campur.

"Adakah ini diakui oleh kerajaan?" soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan hari ini.

Dalam soalan asal, Senator Ahamad Yusop meminta Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air menyatakan laporan media bahawa jika tiada kata sepakat antara Kerajaan Pusat dan negeri berkaitan isu air, akan berlaku krisis air yang teruk di Lembah Klang menjelang tahun 2014 dan melibatkan jutaan penduduk.

Dalam jawapannya, timbalan menteri berkenaan, Datuk Noriah Kasnon berkata, negeri Johor sudah melangkah kepada penstrukturan semula memperlihatkan kejayaannya dalam mendepani masalah air.

Bagaimanapun, Syed Husin bangun mencelah dan membidas timbalan menteri terbabit bahawa harga air di negeri Johor lebih tinggi berbanding Selangor.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menegaskan projek Loji Langat 2 tidak perlu disegerakan kerana bekalan air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi sehingga 2019.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan sikap kerajaan pusat yang mendahulukan projek loji rawatan itu seolah-olah ia amat penting dalam menyelesaikan masalah perkhidmatan air di Selangor.

harakahdaily/-

Anak buaya di parkir

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

TAWAU: Seorang pegawai perladangan yang cuba meletakkan kenderaannya di bahagian tempat letak kereta di depan rumahnya di Kampung Cina, Jalan Ranggu, Batu 8 1/2, di sini, malam Ahad lalu, terkejut apabila mendapati benda yang disangkanya kayu sebenarnya seekor anak buaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, pegawai berkenaan iaitu Aziz Djudja, 41, yang baru saja tiba di rumahnya, berasa hairan apabila melihat satu ‘benda’ sedang menunggu di tengah tempat letak kereta di depan rumahnya.

Menurutnya, beliau kemudian memberhentikan kenderaannya dan turun untuk cuba mengalihkan benda yang disangka kayu kerana menghalang laluannya.

“Bagaimanapun, apabila didekati, kayu itu seakan-akan bergerak kemudian saya cuba memerhatikan dengan lebih dekat dan terkejut apabila mendapati ia seekor anak buaya sepanjang dua meter,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Aziz berkata, bimbang buaya itu mengganas, dia kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau untuk menangkap buaya berkenaan.

metro/-

WWW 1: Nizar saman Utusan, TV3 RM100 juta

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin hari ini memfailkan saman fitnah kepada dua media pro Umno iaitu Utusan Malaysia dan TV3 berhubung isu bidaan plat kenderaan WWW1.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta Kuala Lumpur, pagi tadi.

Menurutnya, pihak Utusan dan TV3 tidak memberi respons untuk memohon maaf dalam tempoh yang telah diberikan.

"Saya bersama peguam hari ini memfailkan saman masing-masing RM50 juta kepada Utusan dan TV3 selepas enggan memohon maaf kepada saya dalam tempoh 7 hari yang telah diberikan," katanya ketika ditemui Harakahdaily di pekarangan mahkamah.

Beliau hadir bersama barisan peguamnya yang diketuai Zamri Ibrahim yang juga Pengarah Juham Pemuda PAS Perak. (Gambar)

Mengulas lanjut, mantan Menteri Besar Perak itu berkata, TV3 dalam Buletin Utama pada 30 Mei lalu mendakwa beliau telah mendakwa Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida plat WWW1 yang berharga RM520 ribu melalui laman Twitternya.

Utusan Malaysia pula dalam keluaran 31 Mei lalu juga mendakwa perkara yang sama.

"Kenyataan saya seperti yang kita boleh lihat, ianya langsung tidak menyebut nama Sultan Johor sebaliknya ianya diputarbelitkan untuk menjatuhkan kredibiliti saya," jelasnya.

Ujarnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada barisan peguamnya untuk tindakan lanjut dan berharap ianya dapat diselesaikan segera agar rakyat mengetahui perkara sebenar.

harakahdaily/-

Najib utama pengurusan awam dari tangani jenayah

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: PKR hari ini mempersoalkan kenapa program transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pencegahan jenayah hanya melebihkan kepada pengurusan awam daripada menangani permasalahan jenayah.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Belanjawan 2012 yang lepas, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM240 juta untuk pengurusan NKRA yang merangkumi lima aktiviti dasar.

"Saya beranggapan bahawa konsep 'keputusan besar pantas' itu hanyalah semata-mata untuk memberi persepsi kepada rakyat bahawa aktiviti jenayah sudah menurun daripada membaikpulih struktur keselamatan dalam negara ini.

"PKR yakin seluruh rakyat mahu melihat proses penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan jenayah dan ini hanya boleh diperolehi daripada tatakelola dan pengurusan yang kukuh," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab mereka perlu bekerja untuk memperbaharui struktur pasukan polis dan bukannya semata-mata memikirkan persepsi umum.

"Program tranformasi ini untuk menangani isu jenayah adalah lebih kepada pengurusan awam dan 71 peratus daripada jumlah belanjawan yang diperuntukkan adalah untuk NKRA.

"Kerajaan tidak ikhlas apabila mereka hanya menunpukan persepsi rakyat awam," sambungnya lagi.

Dalam masa yang sama beliau turut mengulangi bahawa PKR belum menerima maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung unit khas (SB) yang melebihkan aktiviti mengintip rakyat sendiri daripada mencegah aktiviti jenayah.

"Rakyat dan PKR khususnya akan terus menanti jawapan daripada pihak yang bertanggungjawab," katanya lagi.

harakahdaily/-

Isu Talam: PR tunjuk kehebatan pengurusan

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas mematahkan serangan ahli parlimen Labis MCA Chua Tee Yong bahawa kerajaan negeri Selangor telah menyelamatkan Talam, ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua (gambar) melihat hikmah di sebalik ribut yang ditimbulkan.

Pua berkata sensasi yang disengajakan oleh anak presiden MCA itu telah membolehkan rakyat melihat kehebatan pentadbiran Pakatan Rakyat dalam mengurus wang rakyat.

“Chua bukan sahaja tidak dapat membezakan antara debit dan kredit di dalam akaun perimbangan, beliau juga mempunyai cara ‘menolak matematik’ yang menarik – dua tolak satu dapat tiga (2-1=3),” sindir Pua.

Terdahulu, Chua telah memanggil satu sidang akhbar mendakwa kerajaan Selangor telah menyeleweng RM1 bilion dalam menyelamatkan Talam.

Kemudian, beliau mengurangkan jumlah tersebut kepada RM42 juta, yang beliau katakan yang terlebih bayar kepada syarikat tersebut.

Pua mengingatkan sekali lagi bahawa hutang Talam adalah hasil peninggalkan bekas kerajaan BN di Selangor.

“Apa yang lebih teruk ialah tiada usaha oleh pentadbiran BN untuk mendapatkan bayaran kepada hutang tersebut,” kata beliau.

Beliau menambah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah menampilkan kemahuan politik dengan mendapatkan kembali hutang RM392 juta daripada Talam dalam masa setahun.

Selain itu, Pua berkata kerajaan negeri turut mendapat RM676 juta aset yang dinilai pada harga RM685 juta.

Dengan pendapatan sedemikian, Pua berkata ia membolehkan kerajaan Selangor untuk membelanjakan wang dalam program kebajikan dan infrastruktur, dan meningkatkan jumlah simpanan kerajaan negeri kepada RM1.9 bilion daripada RM733 juta pada 2008.

Perkara ini, kata Pua sangat berbeza dengan cara BN menyelamatkan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), di mana hutang RM589.15 juta bekas bosnya Tan Sri Tajuddin Ramli telah dinyahkan oleh kerajaan.

“Tidak timbul persoalan apabila mentadbir negara dengan prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan, sebagaimana yang ditunjukkan di atas, Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa ia membolehkan rakyat Malaysia mencapai potensi penuh mereka,” tegas Pua.

harakahdaily/-

Lintasan rasa: Sudah ada darah luruh di Putrajaya

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kejadian amuk di pintu masuk ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya petang semalam menyebabkan berlaku kematian apabila polis tidak ada ikhtiar lain untuk menghalang si pengamuk melainkan menembaknya, merupakan kejadian pertama seumpama itu berlaku di kompleks kerajaan Putrajaya. Kejadian berdarah itu seharusnya diambil iktibar oleh semua pihak dan perlu memastikan ia tidak akan berulang lagi.

Negara tidak memerlukan tindakan-tindakan agresif berani mati seperti itu. Kita semua kena waras dalam melakukan tindakan sehingga tidak mencatatkan sejarah malang buat negara dan bangsa. Dalam kejadian semalam tidak dapat disahkan siapa yang benar dan siapa terkhilaf? Sudah pasti ada pihak yang benar dan salah dalam kejadian itu. Sebabnya, kalau kedua-dua benar, ia tidak sampai senapang meletup dan darah tumpah di pintu masuk ke pejabat Perdana Menteri.

Cuma apa yang terus menyendap di dalam kepala saya sebaik membaca laporan mengenai kejadian itu, teringat kepada kata-kata dan ucapan Perdana Menteri Ha Najib Razak mengenai kesediaannya untuk mempertahankan Putrajaya ke titisan darah terakhir. Najib dalam satu kenyataan membalas tindakan dan usaha gigih pembangkang untuk merampas kuasa politik, menegaskan yang beliau (UBN) akan mempertahankan kekuasaan itu sehingga ke titisan darah terakhir. Satu kenyataan yang penuh emosi.

Ucapan Najib itu masih dalam konotasi politik. Tetapi dari sudut lain ia bersifat jenayah. Hal-hal atau unsur darah, tembak, bunuh dan sebagainya adalah unsur-unsur jenayah atau dikaitkan dengan perilaku jenayah. Apakah kata-kata Najib tempoh hari telah merangsang si pengamuk untuk bertindak demikian? Begitukah?

Makanya orang politik hendaklah menjaga mulut dan perasaan. Mereka perlu kawal kata-kata dan butir ucapan jangan sampai bersifat atau ada elemen jenayah kerana ia memberi reaksi kepada pihak lain. Perlu ingat yang menghidup manusia ini perasaan. Perasaan pula menguasai diri seseorang itu. Jika seseorang gagal mengawal perasaan maka berlakulah kejadian-kejadian yang di luar normal kehidupan seperti apa yang berlaku itu.

Mudah-mudahan di masa akan datang.. bermula hari ini, jangan ada sesiapa yang bermain dengan perasaan atau pun mengusik perasaan orang lain sewenang-wenangnya. Berpolitiklah dengan cermat dan waspada. Mungkin orang yang menyebut kata-kata jenayah tidak bermaksud sampai ke tahap seburuk itu dan ia hanya gurauan...atau ancaman, tetapi kena ingat orang yang mendengar dan menerimanya ada penilaian lain. Kata-kata yang tidak bijak itu boleh membenihkan dendam yang akhirnya berbuah kejahatan.

Atas peribadi saya menyeru kepada semua pihak hentikan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyentuh perasaan di antara satu sama lain. Juga hendaklah perbuatan jahat yang sampai mengganggu hak asasi seseorang dibatasi dan diawasi. Bertindak waras dan serderhanalah dalam apa juga bidang kerana itu adalah sebaik-baik tindakan. Tindakan melampau membahayakan semua orang dan boleh membakar negara.

Bila berlaku tragedi amuk di JPM dan ada kematian dan pembunuhan yang buruknya adalah negara kita juga. Kendati Tuhan boleh mentakdirkan apa saja yang Dia kehendaki kita diberi hak dan dituntut mendoakan agar takdir itu tersisih jauh dan tidak berlaku. Perlu kita menyedari di mana kita (berdiri dan mengambil timbang rasa) di antara kuasa hamba dan kuasa Tuhan dalam konteks ini.

harakahdaily/-

Kereta melekat pada pokok

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KLANG - Dua remaja maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di kiri laluan di Jalan Langat berhadapan sebuah pusat membeli-belah Jusco Bukit Tinggi dari arah Klang menghala Banting, di sini malam, kelmarin.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, pemandu mangsa dikenali C S Selvam Kumar, 24, dan rakannya, R S Sureandran, 23, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11.50 malam ketika kedua-duanya menaiki kereta dari arah Klang menghala Banting.

“Berdasarkan siasatan kereta itu disyaki dipandu laju menyebabkan kereta jenis Honda itu gagal dikawal lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh sebatang pokok di sebelah kiri laluan di lokasi kejadian.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kenderaan melekat pada pokok berkenaan selain remuk teruk menyebabkan kedua-dua penumpang pula mengalami kecederaan parah,” katanya.

Beliau berkata, mayat kedua- dua mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang Untuk dibedah siasat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

sinar harian/-

Status Parlimen: Tentera beri Presiden Mesir amaran

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) Mesir mahu keputusan membubarkan Parlimen dihormati - dilihat sebagai amaran secara langsung kepada Presiden Mohammed Mursi, yang kelmarin mengarahkan agar dewan perwakilan bersidang semula.

Scaf mengarahkan bangunan Parlimen ditutup ekoran keputusan mahkamah bulan lalu mengisytiharkan pilihan raya Parlimen sebagai tidak sah dan ia harus dibubarkan.

Semalam, Mahkamah Perlembagaan Agung menolak perintah dikeluarkan oleh Mohammed, mahu Parlimen bersidang semula.

Perkembangan terbaru ini dilihat sebagai satu cabaran ke atas kepimpinan Mohammed yang mengangkat sumpah sebagai presiden yang baru lebih seminggu lalu – ketua negara yang pertama selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan.

Ia juga kemungkinan membawa kepada krisis perlembagaan dan krisis politik baru di era pasca-Hosni.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Scaf berkata pihaknya yakin kesemua institusi negara itu akan menghormati undang-undang dan perlembagaan Mesir.

Berdasarkan keputusan Mohammed, Speaker telah memanggil satu sidang Parlimen hari ini.

Laporan BBC pula menyebut orang ramai pula sudah mula berhimpun di Dataran Tahrir – lokasi utama kebangkitan rakyat tahun lalu - menjelang sidang Parlimen yang dijangka bermula jam 10 pagi ini waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).

Malah laporan BBC menyebut bahawa keputusan Scaf dijangka menambah kemarahan di kalangan pengikut dan penyokong Ikwanul Muslimin yang memperoleh kerusi terbanyak dalam pilihan raya Parlimen yang diadakan enam bulan lalu.

Pengikut dan penyokong pergerakan itu mendakwa pihak tentera yang enggan menghormati undang-undang dengan memberi kuasa kepada pihaknya selepas pilihan raya Parlimen dan pemilihan presiden selesai diadakan.

Mohammed merupakan presiden pertama daripada kalangan orang awam.

sinar harian/-

Mayat bayi disangka patung

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

SELAYANG – Seorang peniaga pisang goreng terkejut kerana plastik yang disangkakan mengandungi patung kanak-kanak rupa-rupanya mayat seorang bayi lelaki yang ditemui di longkang berhampiran tempat niaganya sekitar Selayang Baru di sini jam 1.30 petang, semalam.

Menceritakan kejadian, saksi yang dikenali Norlisa Abdullah berkata, dia ketika itu sedang menyapu lantai kedainya untuk memulakan operasi perniagaan dan secara kebetulan menjenguk longkang yang berada di sebelah gerainya.

“Ketika ingin bersihkan lantai berhampiran longkang itu, saya terlihat suatu bungkusan yang mengandungi kepala bayi yang pada mulanya saya ingat hanyalah patung.

“Saya kemudiannya mengambil sebatang kayu untuk meneliti lebih dalam kepala mangsa sebelum pasti rambutnya adalah menyerupai bayi yang baru lahir dan lengkap bertali pusat,” katanya.

Menurutnya, plastik itu hanya diikat di bahagian leher bayi menyebabkan kepalanya terkeluar.

“Sejurus kemudian, saya meminta bantuan daripada jiran berhampiran sebelum seorang daripadanya membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, polis menerima laporan sekitar jam 2 petang dan menemui mayat bayi dalam longkang di Jalan 62, Selayang Baru di sini.

“Mayat bayi yang dijumpai dipercayai baru lahir dan masih bertali pusat serta ditutup dengan satu kotak, dibungkus kertas surat khabar dan beg plastik.

“Jantina bayi tersebut adalah lelaki dan bangsa belum diketahui serta tiada kesan kecederaan dilaporkan,” katanya.Menurutnya, kes disiasat di bawahSeksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran serta membuang bayi, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

sinar harian/-

Bakar kereta sebab langgar remaja

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

Keadaan kereta jenis Proton Saga dibakar orang awam yang didakwa melanggar seorang penunggang motosikal menyebabkan mangsa patah kaki kanan, dalam kejadian malam kelmarin.

KLANG - Bengang tindakan pemandu kereta yang didakwa memandu laju hingga menyebabkan kecederaan seorang remaja, orang awam bertindak membakar kereta jenis Proton Saga itu dalam kejadian sekitar jam 11.45 malam di Batu 2, Jalan Kampung Jawa, di sini malam kelmarin.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam IPD Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, orang awam bertindak sedemikian selepas simpati melihat seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun yang cedera dan patah kakinya terdampar di jalan berkenaan sejurus kejadian.

Menurutnya, mangsa disyaki dirempuh kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah Klang menghala bulatan Jalan Kebun.

“Keadaan di lokasi kejadian sedikit tegang bagaimanapun keadaan dapat dikawal sepenuhnya apabila polis dari IPD Klang Selatan tiba di situ.

“Mangsa berusia 17 tahun yang patah kaki kanan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hingga kini hanya pemandu kenderaan terbabit membuat laporan di Balai Trafik Klang Selatan, semalam.

“Berdasarkan maklumat daripada pemandu itu, dia mendakwa penunggang motosikal datang dari arah bertentangan dan telah memasuki laluannya ketika melintas kenderaan di hadapan.

“Berikutan itu, dia mendakwa gagal mengelak lalu berlaku pertembungan antara keretanya dan motosikal mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kejadian tepat masih belum diketahui memandangkan polis kini hanya mendapat laporan daripada sebelah pihak iaitu pemandu kenderaan.

“Selepas kita mengambil keterangan daripada penunggang motosikal, barulah memudahkan siasatan kita,” katanya.

Rosly berkata, tindakan orang awam membakar kenderaan itu juga dipercayai ada kaitan dengan kemalangan itu dan kini siasatan lanjut masih diteruskan.

sinar harian/-

Warga emas pandu Volvo lama sejauh hampir 4.8 juta kilometer

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

GORDON memandu kereta Volvo P1800 miliknya di Babylon, New York semalam.

NEW YORK - Seorang bekas guru di Amerika Syarikat (AS), Irvin Gordon berharap dapat mencatat perjalanan sejauh 4.8 juta kilometer (km) bersama kereta merah kesayangannya, Volvo P1800 keluaran 1966 tidak lama lagi, lapor laman berita chron.com semalam.

Setakat ini, odometer kereta dua pintu itu mencatat jarak perjalanan melebihi 3.2 juta km atau hampir 1,176 pusingan mengelilingi dunia.

Gordon, 72, berharap dapat mencatat jarak 4.8 juta km menjelang tahun hadapan. Warga emas itu cuma perlu memandu sejauh 54,400km lagi untuk melakukan pencapaian tersebut.

"Saya seronok memandu kereta ini," kata Gordon yang membayar $4,150 (RM13,228) untuk kenderaan tersebut pada 30 Jun, 1966.

"Ketika itu, ia bersamaan gaji saya selama setahun," tambahnya.

Gemar melakukan perjalanan jauh, Gordon adalah pemegang Guinness World Record kategori Kenderaan Perbatuan Tinggi sejak 2002 dan merupakan orang pertama yang mencatat rekod tersebut.

Menurutnya, dia mengambil masa 21 tahun untuk mencapai jarak 1.6 juta km dan 15 tahun lagi untuk mencecah 3.2 juta km.

Kini bergelar duda selepas bercerai dengan isterinya, Gordon memandu sekitar 136,000km hingga 160,000km setiap tahun.

Kebanyakan perjalanan itu dilakukan untuk bersiar-siar atau menyaksikan pertunjukan automobil di seluruh AS.

Ditanya sama ada dia akan menukar kereta lama tersebut dengan model baharu, Gordon menyatakan perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

"Kenapa saya perlu menukar kereta ini? Ia ibarat seorang wanita yang baik, anda tidak akan mencari yang lain," ujarnya. - AP

Apple Kalah Saman Paten Terhadap Samsung Galaxy Tab

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

LONDON: Syarikat Samsung dari Korea Selatan pada Isnin, menang dalam perebutan paten terhadap pesaingnya dari Amerika Syarikat (AS) Apple, apabila hakim British membuat keputusan bahawa tablet Samsung Galaxy tidak cukup 'sama', untuk dikelirukan dengan iPad keluaran Apple.

Mahkamah tinggi di Britain memutuskan tablet Galaxy yang dibuat oleh Samsung, syarikat elektronik terbesar di dunia, tidak melanggar reka bentuk berdaftar Apple dan pengguna tidak mungkin keliru dengan tablet iPad.

"Mereka tidak mempunyai reka bentuk sama dan persamaan melampau yang dimiliki oleh reka bentuk Apple," Hakim, Colin Birss berkata ketika keputusan mahkamah dibuat.

"Mereka tidaklah sama."

iPad memegang sekitar 65 peratus pasaran komputer tablet global, dengan Galaxy Samsung membuat sekitar enam peratus jualan global, menurut penyelidik.

Seorang jurucakap Samsung mengalu-alukan penghakiman itu dan memberi amaran kepada lawannya terhadap tindakan undang-undang selanjutnya.

Apple dan Samsung terlibat dalam perebutan paten antara satu sama lain di mahkamah antarabangsa, dengan kedua-dua syarikat bersaing untuk kepentingan yang lebih besar dalam pasaran telefon pintar dan tablet.

MSTAR/-

53 pemandu bas mogok tiga jam

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

BEBERAPA penumpang menunggu perkhidmatan bas yang terjejas selepas 53 pemandu mengadakan mogok di Melaka Sentral semalam.

MELAKA - Perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini tergendala kira-kira tiga jam apabila 53 pemandu bas mengadakan mogok di Melaka Sentral di sini dari pukul 8 hingga 11 pagi semalam.

Ia bagi membantah tindakan majikan mereka, Panorama Melaka Sdn. Bhd. (Panorama Melaka) membuat laporan polis terhadap seorang pemandu bas, Azam Sabtu, 39, kerana didakwa mengambil wang penumpang tanpa mengeluarkan tiket.

Ekoran laporan itu, pemandu terbabit ditahan oleh polis di rumahnya pada 3 Julai lalu.

Wakil pemandu, Rosman Wahab, 49, berkata, tindakan pengurusan Panorama Melaka tidak wajar kerana kes tersebut sepatutnya boleh diselesaikan di peringkat dalaman tanpa melibatkan pihak polis.

"Kes hanya melibatkan segelintir pemandu tetapi yang kena tempiasnya pemandu-pemandu lain," katanya di sini semalam.

KOSMO/-

Cuba lagi bunuh janda

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

TAPAH: Selepas empat tahun, sekali lagi seorang guru wanita nyaris maut diletupkan bekas suaminya apabila lelaki itu didakwa sengaja meletakkan bom di bawah kereta wanita berkenaan yang diparkir di pekarangan Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti, di sini.

Dalam kejadian jam 9.40 malam Selasa minggu lalu, guru berusia 50-an itu, bagaimanapun terselamat selepas menemui alat yang mencurigakan dipasang berhampiran tangki minyak dan ekzos Proton Saga miliknya.

Mangsa yang mengesyaki alat berkenaan bom dan bimbang kereta meletup apabila enjin dihidupkan, bergegas membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, sejurus menerima laporan, anggotanya bergegas ke tempat kejadian dan memeriksa kereta berkenaan sebelum menemui satu alat yang disyaki bom.

Bagaimanapun, ketika itu, alat berkenaan sudah dialihkan dari bawah kereta mangsa oleh pengawal keselamatan sekolah dan meletakkannya di kawasan terbuka kerana bimbang ia meletup.

metro/-

Perarakan lilin memperingati perhimpunan BERSIH 2.0

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kira-kira 300 orang menghadiri perarakan sambil membawa lilin menuju ke Stadium Merdeka bagi memperingati perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan pada 9 Julai tahun lalu.

Peserta mula berarak kira-kira pukul 8.10 malam dari Dataran Merdeka walaupun hujan agak lebat pada ketika itu.

Peserta juga dilihat membawa payung bewarna kuning - warna rasmi BERSIH dan memakai baju hujan berwarna sama sebagai tanda sokongan kepada gabungan itu.

Kira-kira lebih 10 orang anggota polis juga kelihatan di sekitar Dataran Merdeka bagi mengawasi peserta.

Dari Dataran Merdeka, peserta melalui Jalan Tun Perak, Jalan Silang, Jalan Sultan, Jalan Hang Jebat dan Jalan Changkat Stadium sebelum tiba ke Stadium Merdeka kira-kira pukul 8.50 malam.

Beberapa orang anggota polis juga dilihat mengikuti perarakan itu ke stadium.

Setibanya di Stadium Merdeka, kesemua peserta berkumpul di pintu masuk stadium sambil melaungkan ''BERSIH''. Selepas itu, peserta diminta untuk bertafakur selama seminit bagi memperingati pemergian allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan itu tahun lalu.

Selepas bertafakur, acara dimulakan dengan memberi laluan kepada anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Wong Chin Huat untuk memberikan ucapan.

Selepas Wong memberikan ucapan yang penuh bersemangat, tiba giliran wakil daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) iaitu pengarah eksekutifnya, E. Nalini untuk memberikan ucapan.

Nalini yang turut berucap bagi pihak Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendesak agar kesemua tahanan di Kem Kamunting dibebaskan.

"Kika akan terus mendesak agar semua tahanan dibebaskan. Pada 15 Julai ini, kita akan mengadakan demonstrasi di depan Kem Kamunting. Kita akan terus desak," katanya.

NONEKemudian, sebelum perhimpunan itu bersurai, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah pula berucap sambil menyanyikan lagu 'selamat hari lahir BERSIH 2.0'.

Selepas selesai menyanyikan lagu itu, peserta beramai-ramai menyanyikan lagu Negaraku.

Peserta mula bersurai kira-kira pukul 9.25 malam selepas Negaraku dinyanyikan dan wisel ditiupkan.

Perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan tahun lalu bagi menuntut kerajaan mengadakan pilihan raya adil dan bersih.

Perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) itu turut menuntut agar pihak kerajaan melaksanakan lapan tuntutan mereka terhadap sistem pilihan raya negara.

malaysiakini/-

Wabak misteri di Kemboja dirungkai

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

PENDUDUK kampung menunggu giliran untuk pemeriksaan kesihatan anak-anak mereka di luar sebuah hospital di Phnom Penh, Kemboja semalam.

PHNOM PENH - Beberapa pakar kesihatan menemui kaitan kematian misteri berpuluh kanak-kanak di Kemboja dengan virus penyakit tangan, kaki dan mulut, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Penemuan dibuat ketika mereka giat berusaha mengenal pasti punca penyakit misteri itu.

Menurut WHO dan Kementerian Kesihatan Kemboja, daripada 59 kes yang direkodkan, sekurang-kurangnya 52 kanak-kanak berusia tiga bulan hingga 11 tahun maut ekoran penyakit misteri itu sejak pertengahan April lalu.

Namun, keputusan ujian makmal baru-baru ini menunjukkan sebahagian besar sampel positif Enterovirus 71 (EV-71) yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut.

Seorang pakar kesihatan awam untuk WHO Kemboja, Nima Asgari memberitahu agensi berita AFP bahawa virus tersebut belum pernah ditemui di Kemboja tidak seperti beberapa negara rantau Asia Tenggara lain.

Namun, Asgari memberitahu, lebih banyak ujian perlu dilakukan untuk mengenal pasti sama ada terdapat virus lain dalam wabak tersebut.

"Penemuan ini penting kerana ia membongkar misteri penyakit ini," katanya.

Tambah Asgari, penyakit tangan, kaki dan mulut adalah penyakit berjangkit dan merebak menerusi sentuhan langsung dengan bendalir badan atau najis orang yang dijangkiti.

Kaedah terbaik untuk membendung penyakit itu katanya adalah dengan menjaga kebersihan diri. - AFP

Segelas air pengikat cinta

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

BAHAGIA...Idris dan Rohani diarak dengan beca ke majlis persandingan, semalam.

KOTA BHARU: “Saya terkejut hingga pitam sebaik melihat wajah bakal isteri yang cantik selepas disolek pada majlis akad nikah semalam (kelmarin).

“Bagaimanapun, Alhamdulillah majlis itu selesai selepas saya berjaya melafazkan akad nikah kali ketiga,” kata penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Taman Kemumin, di sini, Idris Laboh, 71, yang bertemu jodoh dengan Rohani Lee Abdullah, 53, juga penghuni RSK.

Idris atau lebih dikenali sebagai Pak Yeh selamat diijabkabulkan dengan Rohani pada jam 5.30 petang kelmarin dan bersanding semalam serta diraikan 117 penghuni dan kakitangan RSK.

Lebih menarik, Rohani bertemu jodoh kali kedua di RSK selepas berkahwin dengan suaminya yang juga penghuni RSK pada 1994. Bagaimanapun, pada 2004, suami pertama Rohani meninggal dunia sebelum bertemu jodoh dengan Idris.

Idris yang berasal dari Kampung Pangkal Canggung, Machang, berkata, dia terpikat dengan Rohani selepas ditempatkan di rumah perlindungan itu pada November tahun lalu.

METRO/-

(Gambar) Amuk samurai di Putrajaya, seorang mati

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

Seorang lelaki mati ditembak selepas mengamuk dengan membawa pedang dan merosakkan kenderaan polis dan orang awam di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, petang tadi.

Turut ditembak rakannya seorang wanita.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, ketika sebahagian kakitangan JPM pulang daripada waktu makan tengah hari, pasangan terbabit cuba menceroboh bangunan dengan membawa pedang samurai.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan seorang daripada suspek yang ditembak ketika membuat kecoh di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri petang tadi dan meninggal dunia.

Satu kenyataan akhbar berhubung maklumat lanjut kes akan dimaklumkan sebentar lagi oleh Pusat Media Kuala Lumpur, katanya.

Lelaki bertubuh sasa dan tidak berbaju itu bersama pasangannya yang berhijab hitam kelihatan masuk di pondok pengawal keselamatan pada pukul 2.30 petang.

Difahamkan, pengawal keselamatan cuba menghalang mereka,namun kedua-duanya bertindak ganas dan memecahkan sebuah Perodua Kancil dan dua Proton Waja di tempat letak kereta tidak jauh dari bangunan terbabit.

Cubaan polis untuk memujuk pasangan terbabit daripada bertindak lebih ganas tidak diendahkan, sehingga memaksa pihak berkuasa melepaskan tembakan dan mengenai mereka.
Suspek lelaki cedera dibahagian tangan kanan manakala pasangannya dibahagian peha kiri.

Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Berita Berkaitan:

[MK] Seorang lelaki bertubuh sasa tidak berbaju dengan pedang samurai serta seorang wanita hari ini menceroboh Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya menyebabkan keadaan kecoh.

Kedua-dua suspek dikatakan memberitahu mahu menggulingkan kerajaan dan melaungkan perkataan takbir beberapa kali, lapor Utusan Online.

Bagi mengelak kejadian tidak diingini pasangan tersebut diminta masuk ke perkarangan bangunan.

Bagaimanapun, kedua-duanya dilapor bertindak ganas memecahkan sebuah Perodua Kancil dan dua Proton Waja di tempat letak kereta tidak jauh dari bangunan B1 yang menempatkan Biro Pengaduan Awam.

Anggota polis yang tiba di tempat kejadian cuba memujuk pasangan tersebut bagaimanapun gagal memaksa tembakan dilepaskan, lapor akhbar itu lagi.
Suspek lelaki yang berseluar jean cedera di tangan kanan, manakala pasangannya di paha kiri. Kedua-dua dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

P/s: Betulkah pasangan tersebut mahu menggulingkan kerajaan? Kenyataan itu pula dikeluarkan oleh Utusex, surat khabar yang paling banyak kena saman!

Sumber gambar: Pelbagai

Kemas Kini:
Yang berikut ialah kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia tentang insiden tersebut:

Pada 9/07/2012 jam l/kurang 1430 hrs bertempat di JPM KOMPLEKS B PUTRAJAYA, saspek seorang lelaki dan seorang perempuan telah mengamuk di luar perkarangan JPM dengan melibaskan pedang samurai.

Mereka berdua menuju ke pos pengawal dan telah dihalang oleh polis bantuan.
Saspek lelaki telah meletakkan pedang samurai di leher SM polis bantuan di mana polis bantuan tersebut terpaksa membenarkan mereka masuk.

Bila berada di dalam perkarangan kompleks B, kedua-dua saspek telah melibaskan pedang dan merosakkan dua cermin kerta HYUNDAI ACCENT Dan PERODUA KANCIL milik kakitangan JPM.

Anggota cawangan pencegahan jenayah sampai di tempat kejadian setelah terima maklumat dari pusat kawalan daerah polis Putrajaya.

Apabila sampai di sana nampak kedua-dua suspek dengan pedang samurai.
Anggota cawangan pencegahan jenayah telah kenalkan diri sebagai polis dan terus diserang oleh kedua-dua saspek dengan pedang samurai.

Kereta pasukan mengalami kerosakan di mana cermin hadapan kereta pecah.
Anggota MPV sampai dan cuba membantu untuk tahan saspek.

Anggota MPV juga diserang dengan jarak yang dekat oleh saspek menggunakan pedang samurai dan seorang anggota MPV telah melepaskan tiga das tembakan.
Kedua-dua saspek telah dibawa ke hospital Putrajaya.

Didapati saspek lelaki telah terkena tembakan di tangan kanan dan bahagian ari-ari manakala saspek perempuan terkena tembakan pada paha kanan.
Saspek lelaki telah meninggal di hospital.

Siasatan awal mendapati saspek telah menggelarkan dirinya sebagai ‘IMAM MAHADI ‘ manakala saspek perempuan masih menerima rawatan di Hospital Putrajaya. (Facebook PDRM).

HARAKAHDAILY/-

Pelupusan Sampah Di Kelantan Guna Teknologi Moden Dari Taiwan

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BAHARU: Masalah pelupusan sampah dan sisa pepejal di negeri ini akan diselesaikan tidak lama lagi menggunakan teknologi moden dari Taiwan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) memeterai perjanjian usaha sama dengan Syarikat SS Microbial Sdn Bhd bagi mewujudkan pusat pelupusan sampah dan sisa pepejal itu.

"Saya harap impian saya selama 20 tahun untuk menyelesaikan masalah sampah di negeri ini akan selesai apabila terlaksananya projek ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, Isnin.

Yang Dipertua MPKB Fauzi Mat menandatangani perjanjian itu bagi pihak MPKB manakala syarikat tersebut diwakili Pengarah Urusannya, Lim Kok Eng.

Nik Abdul Aziz berkata satu kawasan seluas 4 hektar di Kampung Telong, Bachok akan dijadikan tapak pusat pelupusan tersebut.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Fauzi berkata pusat kitar semula dan kompos itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dibina berasaskan biologi dan alam sekitar untuk mereputkan sisa pepejal organik menggunakan mikrob untuk dijadikan baja organik.

Beliau berkata MPKB akan menyewakan tapak kilang sisa pepejal itu kepada syarikat berkenaan selama 20 tahun, melibatkan empat fasa.

"Melalui kaedah teknologi baru ini, MPKB akan mendapat pulangan hasil RM335,000 dalam tempoh 20 tahun, di samping dapat mengurangkan kos memproses dan melupus sebanyak 70 peratus," katanya.

Fauzi juga berkata melalui teknologi itu, sampah jenis organik akan direputkan menggunakan mikrob bagi menghasilkan baja organik yang boleh digunakan dalam sektor pertanian.

Beliau berkata setakat ini, MPKB memungut sampah berjumlah 300 tan sehari serta 110,000 tan metrik setahun, dan daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 70 peratus adalah sampah jenis organik seperti sisa makanan, sayur-sayuran, buah-buahan serta haiwan. - BERNAMA

DAP90: Nik Aziz enggan ulas, karut semua tu

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, enggan mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini yang mendakwa DAP bakal bertanding di 90 kawasan Parlimen pada PRU13 nanti.

Bagaimanapun, beliau hanya berkata “karut semua tu”.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara itu selepas majlis perjanjian pusat kitar semula dan kompas Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam di sebuah hotel, di sini petang tadi.

Katanya, beliau tidak mahu mengulas berhubung perkara itu apa lagi ianya tidak membabitkan soal PAS.

“Saya hanya nak jawab apa yang berkaitan dengan PAS sahaja,” ujarnya.

Walaupun bila ditanya adakah ianya hanya spekulasi murahan Umno, Tuan Guru tetap tidak mahu mengulasnya.

Pada masa yang sama beliau turut menyangkal PAS telah sasar beberapa kerusi yang ingin ditandingi, sebaliknya memberitahu selepas sahaja parlimen dibubarkan, ianya akan ditentukan jumlah kerusi yang bertanding dan bukannya sekarang.

harakahdaily/-

Pertemuan di Damsyik positif

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

GAMBAR oleh agensi berita rasmi SANA menunjukkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad bertemu dengan utusan PBB-Liga Arab, Kofi Annan di Damsyik semalam.

DAMSYIK - Duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Syria, Kofi Annan menyatakan beliau mencapai satu persetujuan dengan Presiden Bashar Assad berhubung pelan damai bagi menamatkan pergolakan berdarah di negara berkenaan.

Usaha damai itu dibuat hasil inisiatif Annan melibatkan peralihan kuasa untuk menamatkan krisis di Syria yang telah berlanjutan selama 16 bulan.

Konflik di Syria bermula dengan kebangkitan rakyat menentang pentadbiran Bashar sebelum bertukar menjadi pemberontakan bersenjata.

Annan berkata, Iran perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada konflik di Syria yang menurut beberapa aktivis, sudah meragut lebih 14,000 nyawa setakat ini.

"Kami bersetuju dengan satu pendekatan yang akan di maklumkan kepada pihak penentang," kata Annan kepada pemberita selepas pertemuan selama dua jam dengan Assad di sini.

"Saya juga menegaskan adalah penting untuk meneruskan dialog yang turut dipersetujui oleh Bashar," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran terperinci berhubung rangka kerja yang dicapai bersama Bashar.

Sementara itu, sebuah stesen televisyen Iran melaporkan bahawa Annan telah berkunjung ke Tehran untuk mesyuarat semalam.

Sebelum itu, dalam satu wawancara dengan akhbar harian Le Perancis Monde pada hari Sabtu, Annan mengakui bahawa usaha masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian politik kepada keganasan yang semakin meningkat di Syria telah gagal.

Beliau menambah bahawa lebih banyak perhatian perlu diberikan kepada sekutu Syria, Iran, dengan menyatakan Tehran harus menjadi sebahagian daripada penyelesaian. - Agensi

Jodohnya Bagai Hujan Mengguyur

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

Menikah? mengajak menikah? Satu jam baru mengenal sudah mengajak menikah? Apakah karena belum begitu mengenalnya ataukah karena proses berjalan dengan begitu cepat nyaris tanpa kendala? Entahlah.

Sebulan yang lalu ditengah kegalauan hatinya ketika ibunya bertanya mau sampai kapan terus mengejar karier ditengah usianya yang sudah menginjak kepala tiga, membuat hatinya terhenyak. Air matanya mengalir tiada henti seolah ibunya menyadarkan bahwa sudah saatnya membangun bahtera rumah tangga, tidak hanya sibuk dengan urusan pekerjaan.

"Apa sih yang engkau cari nak?" ucap ibu tengah malam sambil membelai rambutnya. air matanya membasahi jilbab merah mudanya. Kerisauan hati, bercampur aduk dengan rasa perih, kecewa dan cemas disaat berada di Rumah Amalia berbagi dan berdoa bersama dengan mengharap keridhaan dari Allah, ingin sekali rasanya untuk membahagiakan ayah dan ibunya yang dicintainya. Terbayang waktu kecil dengan penuh kebahagiaan. Ayahnya selalu mengantar sekolah sementara ibu memasak makanan kesukaannya. Begitu sangat indahnya.

Waktu terus berlalu, sampai kemudian ada seorang laki-laki yang baru dikenalnya. Satu jam perkenalan yang mengubah hidupnya. Ia mengajaknya menikah. Proses ini terasa seperti air hujan yang tiba-tiba mengguyur dan byur! semuanya basah kuyup, "aku belum mengenalmu, kita jalani aja, kita berproses.

."jawabnya. Laki-laki itu menjawab, "Baik, kita berproses.." Sebulan kemudian pulang dan menyampaikan kepada orang tuanya, "Ayah, saya mau menikah.."Terlihat mata ayah dan ibunya berkaca-kaca. Seminggu setelah itu keluarga calon suaminya datang bersilaturahim dengan keluarga besarnya. Menjalani persiapan pernikahan menghitung hari berjalan seperti dengan cepatnya.Diringi oleh ibu, adik dan keluarga besarnya diantar ke Masjid. Hijab terpasang memisahkan tamu laki-laki dan perempuan. Di depan untuk para tamu, deretan meja berkaki pendek memanjang adalah meja akad. Ayah, Ustadz, Penghulu dan saksi-saksi, calon suaminya nampak terlihat sudah hendak bersiap untuk prosesi akad nikah .

Jantungnya berdetak kencang. Badannya merasa lemas, perjanjian yang disebut "mitsaqon ghalida" untuk menyempurnakan separuh agama, "Kaif? Syah?" Ayah menengok ke kanan dan ke kiri. Ustad mengangguk. "Na'am.."terdengar suara menjawab serentak. Penghulu mengucap "Khair.." Sah sudah dirinya menjadi seorang istri. Pertemuan satu jam saja telah mengubah hidupnya. Itulah kebahagiaan yang telah lama dinanti, mengarungi bahtera rumah tangga bersama orang yang dicintainya.

posted by :agussyafii



Wan Azizah: Dendam Mahathir pada Anwar masih menebal

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

PENANTI : Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja ego dan bongkak, malah menyimpan dendam kesumat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

“Keegoan yang tinggi masih meresap dalam jiwa dan pemikirannya. Ia menjelaskan dendam kesumat dalam hatinya masih menebal terhadap Anwar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan sijil saham kepada anggota Koperasi Ibu Tunggal dan Wanita Seberang Perai Tengah di Yayasan Aman, dekat sini semalam.

Wan Azizah mengingatkan, bukannya suara Mahathir yang akan menentukan pemerintah negara tetapi suara rakyat bakal menentukan teraju kepimpinan.

“Rakyat sudah dapat bezakan siapa Mahathir sebenarnya. Rakyat sudah dapat membandingkan Perdana Menteri mana yang korup, rasuah dan amalkan kronisme melampau.
“Biar rakyat tentukan siapa yang mereka mahu untuk memerintah negara dalam PRU ke-13 yang akan datang. Bukan Mahathir yang menentukan,” tegasnya.

harakahdaily/-