2 Muharram 1433H. [MOD] -
PENGKALAN CHEPA - Sementara negara sudah mula bersiap sedia untuk
melangsungkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Datuk Seri Abdul Hadi
Awang memberi jaminan Pas bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR)
sudah bersedia untuk menggalas amanah yang lebih besar bukan sahaja di
peringkat negeri bahkan pusat - menggantikan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Presiden Pas memberi keyakinan bahawa peralihan kuasa akan berjalan dengan lancar sekiranya PR diberi mandat.
"Pas percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat
akan berlaku dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan
amanahnya kepada kita.
"Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik.
"Maka, sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat bolehlah
menghukum kami dalam pilihan raya yang seterusnya," kata Abdul Hadi
ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan Negara Berkebajikan
Teras Perpaduan pada Muktamar ke-58 parti itu di sini, hari ini.
Ia muktamar terakhir Pas sebelum PRU13 dipanggil. PRU13 disebut-sebut
akan dipanggil bila-bila masa sementara mandat Kerajaan Pusat akan
berakhir secara automatik pada 28 April.
Pas bersama DAP dan PKR membentuk PR sejak Mac 2008. Kerjasama
ketiga-tiga parti itu membawa kepada kemenangan di lima negeri selain
penguasaan 84 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2008.
Keyakinan itu, menurut Abdul Hadi, tentunya berpaksikan kepada sokongan
rakyat dan keahlian Pas yang merangkumi pelbagai bidang kepakaran,
selain dari kalangan teknokrat yang boleh bekerjasama dengan kerajaan
Pas dan PR.
"Sekiranya diberi amanah ini, maka Pas juga akan mengusulkan supaya
dimansuhan akta-akta yang zalim, mengembalikan kewibawaan institusi
penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), institusi pendakwaan dan
kehakiman, Parlimen, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
sebagainya.
"Perjalanan pilihan raya yang lebih adil dan bebas akan terus
diperjuangkan oleh Pas, walaupun setelah kita sampai ke Putrajaya nanti
kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi yang sihat," katanya lagi.
Menyedari bahawa tinggal beberapa lama sahaja lagi sebelum Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13), pimpinan Pas digesa untuk mempertahankan
negeri-negeri yang sudah dimenangi pada pilihan raya lalu dengan penuh
keazaman.
"Kita juga menyedari bahawa sudah tentunya tempoh hampir lima tahun ini
tidak mencukupi untuk kita lakukan perubahan yang besar yang kita
citakan di negeri yang kita perintah, kerana dalam masa yang sama kita
berdepan dengan konsep federalisme songsang yang memberikan kuasa negeri
yang terhad.
"... campur tangan dan tekanan secara tidak adil oleh Kerajaan Pusat
terhadap pemerintahan kita, tidak sempatnya kita menukar sistem
pentadbiran menyusahkan rakyat yang berakar umbi dari peninggalan
kerajaan BN sejak sekian lama, selain dari beberapa kelemahan kita
sendiri yang perlu dibaiki secara berterusan dengan seni menyelesaikan
masalah secara penuh hikmah," katanya lagi.
Abdul Hadi dalam pada itu mengingatkan pimpinan Pas supaya bersiap
sedia ke tahap paling tertinggi untuk menghadapi PRU13 terutama dalam
mendepani mainan nakal serta provokasi media dan seteru politik parti
itu yang akan menggunakan pelbagai cara untuk menggugat hubungan baik
bersama PR.
"Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi
yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa.
"Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat," katanya.
Seluruh pimpinan dan perwakilan kemudiannya diarah oleh Abdul Hadi untuk melaksanakan tugas pilihan raya dengan penuh hikmah.
"Bukan musuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa
yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan dan mendapat
keredhaan ALLAH s.w.t," kata Abdul Hadi.
harakah/-