16 Ramadhan 1432H. [MOD] -
“ Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. Al Baqarah 43
“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya” An NIsaa’ 103
“ Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu) pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika-ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat ) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat “ Hud 114
Setiap muslim diwajibkan bersolat sebanyak lima kali dalam sehari semalam iaitu subuh (waktu awal pagi), zohor dan asar (waktu petang) serta maghrib dan Isyak (waktu malam). Tanpa sebarang alasan semua solat lima waktu tersebut mesti dilaksanakan dalam apa keadaan sekalipun. Salah satu tanda sah keimanan dan keislaman kita ialah dengan solat seseorang itu.. Solat itu adalah tiang agama
“ Wahai orang-orang yang beriman, dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah kamu dari perkara yang keji dan mungkar” Al-Ankabuut 45
Berpandukan ayat tersebut, seharusnya dengan melakukan solat, seseorang itu akan dapat menghindarkan diri dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Apa yang membimbangkan dan menghairankan kita ialah, kebelakangan ini, bukan sahaja perkara buruk dan keji dilakukan oleh orang yang tidak bersolat, tetapi perkara tidak baik juga banyak berlaku di kalangan mereka yang mendirikan solat. Di mana silapnya ?
Di dalam Al-Quran banyak diceritakan tentang orang yang bersolat tetapi hanya sebagai langkah penyamaran, ikut-ikutan, ada agenda tertentu, malu, terpaksa atau dipaksa dan bukan dengan lkhlas kerana Allah. Sesungguhnya Ibadat tanpa keikhlasan dan penyerahan diri kepada Allah tidak dapat melindungi kita dari melakukan maksiat dan sebagainya. Segala ibadat dan solat berbentuk penyamaran adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh orang fasik dan munafik di zaman Rasulullah. Semoga Allah lindungi kita dari berperangai begitu.
Dalam waktu yang sama ada pula orang Islam yang sudah puas berusaha untuk mengkhusyukkan semua solatnya tetapi tak boleh-boleh, merasakan ada sahaja gangguannya, berkali-kali mengangkat takbir, kadang-kadang hingga imam hampir rukuk baru selesai, mungkin kerana takut ketinggalan rakaat. Bolehkah kita khusyuk dalam keadaan begini ?.
Justeru itu mari kita cuba muhasabah diri kita apakah antara kemungkinan-kemungkinan halangan atau kelemahan pada diri yang masih ada sedangkan kita tidak menyedarinya.
Sempurnakah wuduk kita
Kesempurnaan wuduk penting untuk menentukan keabsahan semua ibadat yang memerlukannya seperti sembahyang, haji dan umrah. Kita perlu lihat dan teliti semula kaedah kita bersuci, dikhuatiri ada tersilap atau ada kelemahan di mana-mana yang kita tidak sedari kerana telah terbiasa dengan kaedah yang cacat dan rosak tersebut sejak tempohmasa yang sangat lama.
Wuduk hanya terangkat dengan niat yang lengkap dan air mutlak telah sampai ke semua anggota wuduk tanpa halangan dengan tertib atau turutan yang betul, sedang anggota fizikal lahiriah kita tidak tercemar dengan sebarang najis sebelum dan selepas mengambil wuduk tersebut. . .
“Apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka berwuduklah iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu junub(berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib“ “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam perjalanan (musafir) atau salah seorang dari kamu kembali dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan,
sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk atau mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih. Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah (debu) itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan) tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan menyempurnakan nikmatNya kepada kamu supaya kamu bersyukur”
Al-Maaidah 7
Kerana gopoh dan tidak teliti ada kemungkinannya wuduk tidak sempurna kerana niat tidak sempurna, waktu membasuh muka air tidak meliputi anak telinga kiri dan kanan, juga sempadan rambut dan dagu, basuh tangan tidak meliputi seluruh siku, waktu basuh kepala hanya terkena rambut dan tidak terkena kulit kepala, dan bagi kaki tidak meliputi hingga atas dari buku lali dan air dijirus atas kaki di hadapan sahaja, sedangkan tumit, celah-celah jari dan tapak kaki tidak terkena air sewajarnya. Air juga mungkin sudah menjadi air mustakmal terjirus satu sama lain. Keadaan kini tidak macam dulu-dulu kalau dalam sungai misalnya perkara ini mudah sahaja untuk dilaksanakan.
”Apabila seseorang dari kamu mengambil wuduk dengan sempurna maka akan keluarlah dosanya hingga dari bawah kukunya juga.” Maksud Hadis.
Kalau seseorang itu kuku tangannya panjang, atau kukunya kotor, berminyak atau mengambil wuduk dengan gopoh dan sambil lewa, bahagian bawah kuku yang panjang dan kotor itu tidak terkena air, apakah yang dapat kita harapkan dari wuduk yang diambilnya secara tidak sempurna itu? Sudah tentu tidak terangkat wuduknya dan semua ibadat menjadfi sia-sia sahaja.
Kadang-kadang terfikir semula bagaimana orang-orang tua dahulu menyediakan air dalam kolah untuk berwuduk. Dengan air yang tersedia dan mencukupi itu kita lebih mudah menentukan air sampai ke mana-mana bahagian anggota kita . Kita hanya akan mencedok air bagi keperluan membasuh kaki sahaja, sedangkan bagi anggota lain kita menggunakan berkali-kali air yang sama, perlu tambah sahaja jika berkurangan..
Dulu-dulu bila sampai waktu solat, imam atau bilal akan tunggu di tangga mesjid untuk lihat bagaimana orang ambil wuduk terutama kanak-kanak untuk pastikan semua wuduk sempurna, aku tegur kamu dan kamu pun boleh tegur aku, kemudian baca doa sama-sama. Waktu usia muda anak-anak mudah mematuhi arahan dan teguran, kalau sudah dewasa jangankan mendengar kata, adakalanya terjadi perselisihan pula. Suasana tegur menegur sekarang ini payah dijumpa, hampir tidak ada lagi, semuanya sudah sangat sibuk dengan urusan dunia masing-masing, seolah-olah Allah sudah tiada.
Terangkatkah hadas besar kita dan ahli keluarga
Pernahkah para pembaca mendengar satu kes di mana seorang ibu menyedari kesilapan dalam mengangkat hadas besar hanya di usia yang sangat lewat. Beliau berniat mandi wajib hanya selepas mandi seperti mana berniat hendak berpuasa iaitu selepas sahur, sedangkan niat mandi wajib perlu dilakukan sebaik sahaja air mula sampai ke mana-mana bahagian anggota kita dan niat itu perlu berkekalan tanpa putus sehingga seluruh anggota terlibat sudah terkena atau dibasahi air.
Walaupun begitu, Ibu ini masih amat bernasib baik, kerana hadir dalam satu kuliah yang diadakan di hujung minggu dan kebetulan ustaz menyentuh secara tidak sengaja bab mandi wajib di hujung sesi kuliah beliau. Kesiannya, ibu tua lagi uzur ini amat bimbang apakah makna semua ibadatnya selama ini tetapi yakinlah bahawa Allah tidak akan menganiaya hambanya atas kejahilan yang telah lalu, Insyaallah, dengan syarat sedia dan kekal berubah..
“ Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Ali Imraan 135
Orang-orang yang demikian sifatnya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. Ali Imraan 136
Mungkin kita menganggap ini kes terpencil tetapi bagaimanakah pula kalau ini adalah petunjuk Allah, “satu mewakili beribu-ribu yang lain” ( bidalan inggeris, “a tip of an iceberg” ).
Justeru mari kita muhasabah, apakah anak-anak kita benar-benar faham, dan benar-benar tahu bagaimana mengangkat hadas besar bila diperlukan. Sebagai bapa atau ibu pernahkah kita bertanya bagaimana mereka melaksanakan kewajipan tersebut. Apakah kita hanya berharap guru agama mereka di sekolah melaksanakan tugas tersebut sedangkan kita tahu jumlah murid dalam satu-satu kelas adalah ramai dan masa yang diperuntukkan amat singkat. Kalau guru itu perempuan lazimnya beliau hanya akan memberatkan cara murid perempuan melakukannya dan begitulah jika guru itu lelaki sudah pasti praktikal juga berat kepada murid lelaki sahaja. Perkara ini tidak boleh dielakkan kerana batas-batas aurat dan sebagainya.
Di samping itu mungkin kita terkeliru apakah maksud menyampaikan air keseluruh badan. Apakah memadai dengan hanya berdiri dan menggosok-gosok badan, menyabun seperti mana kita mandi biasa terutama perempuan. Sebenarnya mengikut hukum kita perlu membersih dan menyampaikan air bukan sahaja anggota lahiriah tetapi mesti melepasi sedikit anggota tersebut di bahagian-bahagian tertentu, rongga hidung, rongga telinga, hatta pusat bagi yang gemuk yang pusatnya sedikit tenggelam.
Kebersihan juga perlu meliputi dua rongga penting yang lain iaitu qubul dan dubur, kita perlu mencangkung dan menggunakan jari-jari kita untuk melaksanakan tugas di tempat terpencil tersebut. Air tidak merata kalau sekadar dilakukan sambil berdiri sahaja. Pembersihan juga perlu lebih teliti selepas mana-mana perempuan didatangi haid atau nifas kerana mungkin ada lagi baki kotoran tersangkut atau terlekat di sana. Rambut juga mesti tidak mempunyai bahan terlarang..
Ini semua asas Fardhu Ain. Mahirkah kita semua ? Mahirkah anak-anak kita ? Jawablah sendiri !
Bersih dan sesuaikah pakaian solat dan telekung kita.
Semua lelaki maupun wanita mesti telah tahu peraturan berkaitan tetapi sebagai usaha untuk muhasabah diri dan ingat mengingati antara satu sama lain, elok jika kita bincangkan sedikit antara perkara yang perlu diambil perhatian.
1. Seluar, kain atau jubah bagi lelaki tidak seharusnya melepasi buku lali kerana ini termasuk ciri-ciri orang yang sombong. Di samping itu masa berjalan selalunya lelaki berjalan laju, kurang melihat ke bawah, jika labuh, risiko terkena najis di jalanan adalah tinggi berbanding perempuan yang lazimnya berjalan agak perlahan sambil menundukkan kepala.
2. Orang lelaki perlu elakkan memakai baju singkat terutama Baju T, kerana dikhuatiri sewaktu rukuk dan sujud ia akan terangkat dan aurat di pinggang kita akan terbuka.
3. Bagi lelaki yang berambut agak panjang di depan dan tidak menutup kepala pastikan tiada rambut yang menutup bahagian dahi sewaktu kita sujud
4. Jika masuk ke tandas terutama tandas awam, hati-hatilah supaya pakaian kita tidak terkena lantai atau dinding kerana dibimbangi lantai dan dinding serta peralatan di dalam tandas tersebut telah tercemar dengan najis pengguna sebelum kita.
5. Selain berkongsi sejadah, kalau boleh kecuali terpaksa, elakkanlah dari menggunakan telekung atau kain di surau-surau awam kerana kesucian dari najis boleh dipertikaikan.
6. Telekung yang dipakai biarlah sempurna bentuk dan saiznya, yakni tidak singkat, tidak jarang, tidak sempit dan tidak berlubang-lubang.
7. Bagi wanita yang tidak memakai telekung solat, tentukan lengan baju dikancingkan (pakai sleeving jika perlu) dan pakai sarung kaki manakala kain sedikit dilabuhkan supaya sepanjang masa antara pertukaran rukun tiada anggota aurat yang terbuka atau terdedah.
8. Ketatkan ikatan telekung di bahagian muka sewajarnya supaya anak-anak rambut tidak terkeluar di kiri kanan muka atau dahi akibat pergerakan anggota antara pertukaran rukun.
9. Tidak perlu gopoh, hati-hatilah sewaktu ke ruang solat terutama masjid dan surau kerana ada risiko terpijak najis dalam perjalanan tersebut.
10. Pastikan pakaian dan tempat solat kita kekal bersih dan suci.
Bila berjemaah, cukupkah bilangan rakaat solat kita
1. Kalau mampu masuklah bersolat secara muafik kerana banyak kelebihannya dan kita tak perlu bimbang jumlah rakaat, memadai dengan mengikut imam sahaja.
2. Jangan buru rakaat tuan imam jika masuk solat secara masbuk, amat bahaya kalau-kalau niat solat tidak sempurna dan rakaat pula tidak mencukupi.
3. Penentuan jumlah rakaat jika masbuk adalah atas penentuan setiap individu, bukan orang kiri atau kanan dan bukan juga ikut tuan imam, jika kurang yakin, tambahlah satu lagi.
4. Ingatlah kalau tidak sempat thoma’ninah dalam rukuk bersama imam, rakaat itu tidak boleh dikira, perlu tambah satu rakaat lagi.
5. Sewaktu solat jangan lakukan berkali-kali pergerakan “ tambahan” kerana boleh menyebabkan solat tidak sah.
Kepada yang arif, silalah terangkan terutama kepada anak-anak yang belum dewasa apa pergerakan “tambahan” yang dimaksudkan ini, dibimbangai ia akan jadi tabiat.
Dunia sudah semakin gawat, kecelaruan berlaku sepanjang masa dan di mana saja, dalam mengejar urusan dunia kadang-kadang kita tersilap memberi keutamaan, kita terabai yang lebih penting.
Sekarang ini kita tidak boleh lagi hanya berharap kepada para ustaz atau guru sekolah atau alim ulama sahaja untuk mendapatkan diidkan agama kepada anak-anak kita. Sesungguhnya anak-anak banyak belajar secara ikut-ikutan dari suasana sekeliling mereka.
Kalau kita mewujudkan suasana yang baik, Insyaallah akan baiklah hasilnya, kalau tidak buruklah kesannya nanti, na’uzubillah semoga kita dilindungi dari azab dan bencana Allah
“ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu(berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar(layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. “ At Tahriim 6
“ Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” Al Anfal 28
Diceritakan bahawa di akhirat nanti ada orang yang sudah sampai ke pintu syurga ditarik keluar semula kerana dihalang oleh anak-anak dan isteri yang menuntut keadilan kerana tidak diasuh dan dibimbing ke jalan yang benar sewaktu hidup di dunia. Mahukah dan sanggupkah kita ?
Tulisan ini tidaklah sempurna kerana sesungguhnya Ilmu manusia berbanding ilmu Allah tidak lebih daripada jumlah air laut yang terlekat di paruh burung bila ia menyelam dan keluar semula dari air laut tersebut. Namun diharapkan ia boleh membantu sesama kita memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa dalam mengabdikan diri kepada Allah. Mohon kemaaafan atas apa-apa yang yang tidak lengkap.
Untuk mendalami ilmu agama marilah kita mula berguru dan di samping itu dapatkanlah bahan-bahan tambahan berkaitan, Insyaallah ibadat kita akan lebih sempurna.
Oleh : md zainal mzd