14 September 2010

Cina dakwah kepada Melayu

5 Syawal 1431H.

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan masyarakat Cina yang sudah dan akan masuk Islam di negara ini turut menyampai dakwah kepada orang Melayu.

Menurutnya, persepsi masyarakat yang menganggap masyarakat Cina itu semuanya tidak Islam perlu dibuang, malah diperbetulkan kembali agar nilai-nilai Islam dapat dipupuk dengan kaedah yang benar dan betul.

Katanya, masyarakat Cina perlu menerangkan kebaikan Islam lebih-lebih lagi apabila negara China terlebih dahulu menerima agama ini lebih dahulu berbanding masyarakat di negara ini.

“Melayu boleh dakwah kepada orang Cina, apa yang pelik sekiranya orang Cina dakwah kepada orang Melayu, masyarakat Cina di negara China lebih dahulu menerima agama Islam berbanding orang Melayu di negara ini.

”Lagipun orang Cina muda menerima agama Islam bukan secara ikut-ikutan tetapi melalui ilmu dan pembacaan yang mendalam tentang agama,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis Aidilfitri meraikan anak Kelantan di perantauan di sini semalam.

Ditanya sama ada cadangannya boleh mengelirukan masyarakat umum, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia bukan satu perkara yang pelik sekiranya Islam difahami dengan kaedah yang betul.

”Orang yang menganggap ia pelik dan luar biasa menunjukkan mereka ketinggalan dari segi kefahaman agama, masyarakat Cina di negaranya menerima Islam lebih dahulu daripada negara kita, jadi apa peliknya jika mereka berdakwah kepada orang Melayu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz mengulangi pendirian bahawa beliau sedia berkempen untuk membenarkan jawatan Menteri Besar diberikan kepada orang Cina sekiranya individu terbabit mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang memenuhi kehendak Islam.

Sinar Harian Kelantan/-

Kegeringan berpanjangan Tuanku Ismail Petra perlukan pengganti - SUK

5 Syawal 1431H.

KOTA BHARU 13 Sept. - Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan adalah selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berikutan keadaan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang gering sejak lebih setahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias berkata, mengikut peruntukan Perkara 23A, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), menyatakan jika setelah siasatan dilakukan, Majlis Perajaan Negeri berpendapat raja mempunyai kecacatan yang besar, maka seorang pengganti hendaklah dipilih untuk menjadi raja mengikut syarat-syarat tertentu.

"Majlis Perajaan Negeri dalam sidangnya hari ini berpendapat bahawa keadaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang ini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik untuk menjadi Raja bagi menggantikan baginda mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

"Keputusan Majlis Perajaan Negeri tersebut telah dibuat secara sebulat suara oleh 15 orang anggota majlis yang hadir pada pagi tadi yang mengikut peruntukan itu telah memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra menjadi Raja yang memerintah," katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang akhbar di Istana Negeri, Kubang Kerian selepas Majlis Penghadapan Penyerahan Watikah Pemasyhuran Kepada Sultan Kelantan yang baru itu.

Pada tengah hari ini, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat Majlis Perajaan Negeri itu yang diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim bagaimanapun tidak dihadiri dua anggotanya iaitu Anggota Parlimen Gua Musang yang juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan, Tengku Amalin A'Ishah Putri.

Aiseri berkata, Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang telah diwartakan pada 22 Julai lalu setelah Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai bagi membolehkan pindaan Bahagian Yang Kedua undang-undang tersebut melalui Perwawai.

"Pindaan tersebut amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berkaitan kegeringan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra yang bermula pada 14 Mei 2009 sehingga sekarang dan dikhuatiri ianya terus berlanjutan," katanya.

Katanya, antara kuasa dan syarat pada pindaan itu adalah berkaitan pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada takhta Raja itu atau bakal Raja atau bakal-bakal Raja dan pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada takhta kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun anggota Majlis Pangkuan Raja bagi negeri.

"Saya berharap dengan kenyataan ini akan dapat memperjelaskan lagi tentang keputusan Majlis Perajaan Negeri sebagaimana yang disebutkan tadi," katanya. - BERNAMA

Selesaikan kemelut istana - Nik Aziz

5 Syawal 1431H.

KOTA BHARU 13 Sept. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dapat menyelesaikan kemelut istana negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta segenap lapisan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agar mendoakan semoga negeri ini selamat zahir dan batin serta dunia dan akhirat

Berikutan pemasyhuran itu juga, beliau tidak mahu ada lagi pihak yang mengungkit isu pelantikan Sultan Kelantan setelah Tuanku Ismail Petra gering sejak lebih setahun yang lalu, seperti kata pepatah "rumah siap pahat berbunyi".

"Sekiranya ada lagi tukul dan pahat-pahat berbunyi, kita harap simpan dalam peti masing-masing," katanya kepada pemberita di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penghadapan dan penyerahan watikah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas berkata, selama lebih setahun beliau menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kemelut yang melanda istana Kelantan kerana beliau amat menghormati institusi itu. Brnama/-

KEJUTAN DARI IBRAHIM ALI YANG KITA TIDAK AKAN TERKEJUT

Oleh: WFAUZDIN NS

PERKASA di bawah Ibrahim Ali MP Pasir Mas akhirnya dimalukan oleh Umno. Umno yang mengaku memperjuangkan nasib bangsa Melayu di negara ini menolak PERKASA yang juga mengaku menjadi hero orang-orang Melayu. Kedua-duanya yang `menjual nama' Melayu ini bersengketa kerana apa? Jawapannya mudah, mereka bersengketa kerana masing-masing sebenarnya tidak ikhlas membela nasib orang-orang Melayu.

Kenyataan Presiden PERKASA, Ibrahim Ali yang mengaku akan membuat kejutan di dalam PRU nanti sebenarnya bukan satu kejutan. Terkejutkah kita jika raja katak Pasir Mas ini mengistiharkan untuk menubuhkan parti baru? Mungkin juga beliau akan keluar dari sarang di Pasir Mas dan berhijrah ke tempat lain yang beliau rasa kawasan itu boleh menyelamatkan beliau untuk kekal sebagai Ahli Parlimen? Ke mana sekali pun raja katak ini berhijrah, ianya tidak mengubah pandangan orang terhadap Presiden PERKASA ini. Jika Umno sebuah parti yang `kuat Melayu'nya pun menolak PERKASA yang dipimpin oleh Ibrahim Ali, bangsa atau kaum mana yang mahu percaya kepada perjuangan beliau?

Ibrahim Ali mendapat sokongan kuat dari Tun Mahathir iaitu tokoh yang mula-mula memecahkan perpaduan Melayu. Tun Mahathir menganggap rugi besar jika Umno menjauhi PERKASA. Kita tidak nampak pula di mana untungnya Umno jika bersama PERKASA, apatah lagi di bawah Najib dengan konsep `1 Malaysia'nya itu. PERKASA lebih banyak `memeningkan' Umno dari memulihkan Umno yang sememangnya sudah `pening' itu.

PAS awal-awal lagi sudah mengumumkan bahawa di dalam PRU akan datang, PAS tidak lagi mahu `bersedekah' kepada Ibrahim Ali kerusi Parlimen Pasir Mas. Memang tepat dan bijak keputusan PAS itu kerana `bersedekah' kepada orang yang `sombong dan khianat' tidak akan memperolehi pahala. Ibrahim Ali Ali juga menyebut bahawa Umno juga tidak mungkin (mustahil lebih tepat) untuk mencalonkan beliau di kerusi Parlimen Pasir Mas. Bahkan, jika Umno terdesak sangat untuk memilih raja katak ini sebagai calon mereka, Umno bakal mendapat malu besar nanti.

Ibrahim Ali menyebut masih banyak lagi kawasan majoriti Melayu yang boleh beliau wakili di dalam Pilihanraya nanti. Mungkin Ibrahim menganggap bahawa kawasan majoriti Melayu adalah kawasan selamat buatnya. Adakah sebelum ini Ibrahim Ali pernah bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu? Dan, kawasan mana yang pernah menghilangkan deposit beliau? Beliau mesti ingat bahawa beliau menang di Parlimen Pasir Mas dahulu bukan kerana Ibrahim Ali Melayu, tetapi kerana pengundi-pengundi memilih calon yang dipilih oleh parti yang memperjuangkan Islam bukan memperjuangkan Melayu semata-mata. Di Kelantan, sebuah negeri yang hampir 100 peratus Melayu, sekarang mempunyai Adun dari kaum berbangsa Cina.

Apa pun kejutan dari Ibrahim Ali tidak akan menjadi kejutan kepada mereka yang kenal Ibrahim Ali. Ibrahim Ali bukan sahaja menjadi duri dalam daging buat Umno, bahkan ianya menjadi racun kepada semua. Insan yang satu ketika memuji Tuan Guru Nik Aziz, kemudiannya memperlekehkan MB Kelantan itu dan orang ini juga satu ketika menghina DS Anwar, kemudiannya ingin bersama DS Anwar dan kini kembali menyerang DS Anwar adalah insan yang tidak boleh dipercayai bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang sekali pun./wfauzdin.blogspot.com.

Pemasyhuran Sultan Kelantan ke 29

5 Syawal 1431H.

TUANKU Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra menerima Watikah Pemasyhuran sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di Istana Negeri Kubang Kerian hari ini . - Foto Fathil Asri

Cabaran Idulfitri setelah sebulan ditarbiah

4 Syawal 1431H.
Oleh: Ahmad Baei Jaafar

Khutbah hari raya Idulfitri dibacakan di Masjid Putra Perdana, Taman Putra Perdana, Sepang.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
اَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ وَأَشْهَدُ أَنْ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
اَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh melaksanakan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Dan yang paling penting tidaklah kita dimatikan melainkan dalam keadaan Islam.

Kita baru sahaja tamat menghadiri kursus membina ketaqwaan sepanjang bulan Ramadan. Kini kita berkumpul di sini seolah-olah untuk menerima sijil atau ijazah daripada Allah sebagai menandakan kita telah berjaya mencapai target kursus iaitu membina taqwa. Atau sekurang-kurangnya kita berpeluang menerima sijil penyertaan, adapun ijazah kejayaan mungkin agak sukar kerana tidak semua yang ikuti kursus itu berjaya mematuhi kehendak pengajur, Allah.
Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu puasa sama seperti yang difardukan keapda orang yang terdahulu, semoga kamu beroleh taqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Dalam tempoh kursus itu kita diberi latihan:
1. Kawal nafsu syahwat agar tidak terdorong kepada yang diharamkan.
2. Kawal mata daripada melihat perkara yang diharamkan
3. Kawal telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan
4. Kawal lidah daripada bercakap perkara yang diharamkan
5. Kawal perut daripada menerima yang diharamkan
6. Kawal tangan agar tidak mengambil perkara yang haram
7. Kawal kaki agar tidak menuju ke tempat yang haram.
Dalam tempoh itu juga kita diajar:
1. Membudayakan segera berbuka puasa
2. Dilewatkan bersahur
3. Dimulakan dengan buah yang terbaik iaitu kurma
Dalam tempoh itu juga kita dibiasakan ibadah sunat:
1. Solat sunat tarawih
2. Solat witir
3. Solat tahajud
4. Solat hajat
5. Iktikaf
6. Sedekah

Selama 30 hari kita diasak, diorientasikan dengan amalan yang baik itu, kita dilatih tubi berhari-hari. Persoalannya adakah asakan orientasi dan latihan tubi selama 30 hari ini sudah cukup untuk mendidik kita? Apakah kita perlu ditambah hari lagi. Jawapannya tentu tidak mahu, tetapi apakah yang kita semua dapat hasil latihan itu?

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

Saya percaya hari ini kita masing-masing mengharapkan agar dianugerahkan ijazah ketaqwaan, namun adakah kita dapat rasai hari ni bahawa aku layak mendapatnya? Yang pastinya, ijazah ketaqwaan ini akan diberi kepada mereka yang berjaya dalam semua latihan yang disebut tadi. Oleh sebab itu mulai saat, marilah kita muhasabah diri sendiri apakah sudah layak atau tidak.

Walau bagaimanapun Allah yang Maha Adil tidak mahu mengisytiharkan secara jelas, sebaliknya membiarkan kita menilai sendiri. Oleh sebab itu sebagai motivasi diri sendiri marilah kita bersangka baik bahawa kita telah berjaya.

Kuncinya, mereka yang berjaya melepasi latihan itu pasti nafsu dan anggota lahirnya sudah terpimpin, kehidupan akan terbiasa perintah yang baik, dan ibadahnya sudah boleh diistiqamahkan. Mereka dalam keadaan ini sudah tentu berjaya mendapat tawaran Allah, itqun minalnar, pembebasan daripada neraka. Mereka inilah yang selayaknya menyambut idulfitri.

Idulfitri yang bermaksud kembali kepada fitrah merujuk kepada umat Islam yang menyambut idulfitri pada hari ini. Maka secara umumnya kita telah diiktiraf sebagai telah kembali kepada keadaan manusia yang tiada dosa, sebaliknya bertambah pahala.

Kita sudah tahu untuk mengawal nafsu syahwat agar tidak terdorong kepada yang diharamkan. Sudah pastinya dia sudah tahu mengawal mata daripada melihat perkara yang diharamkan. Pada masa yang sama dia juga dapat mengawal telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan.

Selain itu kita akan mula berdisiplin dengan menyegerakan amalan yang diperintahkan supaya segera dan melewatkan ibadah yang dibenarkan. Kita juga boleh berdisiplin dalam soal makan minum agar memilih yang halalan taiba. Akhirnya kita boleh berdisiplin dalam melakukan ibadah atau terus istiqamah.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

Beginilah keadaan kita pada hari ini. Kita masih bersih sebersih fitrah. Bersih seperti kain putih, bersih seperti baru dilahirkan. Tetapi apakah yang akan terjadi selepas ini dan hari-hari selepas ini? Apakah kita akan terus berada dalam keadaan fitrah? Inilah cabaran yang kita akan hadapi selepas ini.

Nanti selepas ini kita akan menerima tetamu sahabat handai dan rakan taulan. Apakah bualan kita nanti? Siapakah yang akan kita umpatkan? Tetamu yang berkunjung pula akan melihat itu dan ini, apakah yang dilihat itu sesuatu yang halal atau sebaliknya? Biasanya apa yang dilihat itulah yang akan diumpatkan.

Televisyen yang mempunyai pelbagai rangkaian kini telah menyediakan program hiburan yang langsung tidak mendidik jiwa. Anak dan isteri akan terpaku di hadapan TV sehinggalah mereka tertidur. Apakah yang ditonton itu habis begitu sahaja? Tidak, mata akan melihat aurat artis, lidah akan mengumpat, dan telinga akan mendengar perkara yang lagha.

Kalau mereka keluar berziarah, apakah yang akan mereka lihat di sekeliling? Apakah yang akan dibualkan semasa itu. Kalau kita sedang berpuasa, mungkin kita akan beringat-ingat takut hilang pahala puasa, tetapi selepas puasa berakhir tidak ada alasan lagi untuk mereka melihat semua itu.

Ingatlah, kursus selama 30 hari untuk memungkinkan kita beroleh taqwa hanya setahun sekali, maka setelah kita berjaya memperolehnya tentu tidak wajar kita musnahkan hanya tidak sampai satu hari. Bayangkan bagaimana kita harus berhadapan dengan 11 bulan lagi, kalau sehari pun kita sudah gagal. Jadi, awasi semua itu dengan tingkatkan iman diri, isteri dan anak-anak agar mereka terus berada dalam keadaan fitrah.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

Sidang hadirin sekalian

Sesungguhnya Allah berbesar hati mengurniakan idulfitri kepada kita pada hari ini, maka gunakan kesempatan ini untuk bergembira sesama kita. Maka ucapkan tahniah kepada sahabat handai, kawan taulan yang kita temui kerana mereka telah berjaya mengharungi ujian dan kita beroleh taqwa. Kalau kita ucapkan tahniah sudah pasti kita juga akan menerima ucapan balas. Ertinya kita saling berdoa ke arah kebaikan. Allah yang mendengar doa hambanya ini akan segera kabulkannya kerana Allah mengikut sangkaan hamba-Nya.

Dengan cara ini, semua orang boleh dinilai sebagai berjaya pada hari ini. Cuba budaya seperti ini belum ada dalam masyarakat kita. Dan inilah yang saya ingin mengajak kita semua ke arah itu. Ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin tiada nilai di sini Allah kerana ucapan selamat menyambut hari raya walaupun ada nilai doa tetapi rendah nilainya. Begitu juga maaf zahir dan batin, kini sudah menjadi ucapan mainan, bukan lagi benar-benar permohonan maaf daripada segala dosa dan kesalahan.

Kalau anda perasan, satu iklan TM di tv3 dialognya berbunyi begini:

Budak lelaki Melayu: “Saya minta maaf”
Budak perempuan Cina: “Buat apa minta maaf tunggulah hari raya”
Padahal mohon maaf mesti dilakukan setiap hari sebaik saja kita melakukan kesalahan. Kita banyak dosa dengan ibu bapa, kawan-kawan, malah dengan Allah. Sudahkah kita meminta maaf? Jangan tunggu hari raya kerana umur kita tidak menjamin untuk sampai ke hari raya akan datang.

Jadi, mulai hari ini selain mengekalkan budaya lama, eloklah kita tukar kepada ucapan tahniah, “Tahniah anda berjaya di hari raya ini, maafkan salah silap saya dan doakan kebaikan saya.” Jawablah, “Terima kasih, tahniah juga atas kejayaan anda, maafkan kesalahan saya dan doakan kebaikan saya.”
Dalam masyarakat Arab Islam selalu diungkapkan:

تهنية بالعيد، انتم من العائدين والفائزين، كل عام وانتم بالخير

Selain saling berdoa kebaikan orang lain, orang ramai yang merasai masih kurang sempurna ibadahnya, bolehlah ditambahkan dengan amalan sedekah kepada anak-anak termasuk anak yatim, kerana pemberian yang ikhlas itu pasti mendapat doa yang baik daripada anak itu. Jadi, selepasa ini berilah kepada mereka walaupun sekadar RM1.00 semoga dinilai oleh Allah.

الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ ، أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ .

Maksudnya: “Orang yang mendirikan solat dan membelanjakan apa yang direzekikan kepada mereka, mereka itu adalah orang yang beriman yang sebenarnya, bagi mereka beberapa darjat di sisi tuhan mereka dan pengampunan dan rezeki murah.”(Surah al-Anfal 3-4)

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى، وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى، بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا، وَالاَخِرَةًُ خَيْرٌ وَأَبْقَى


“Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan diri dengan beriman dan menyambut-menyebut dengan lidah dan hati akan nama tuhannya serta mengerjakan solat dengan khusyuk. Tetapi kamu orang yang kafir memilih dan menyayangi kehidupan dunia padahal kehidupan akhirat lebih dan kekal.” (Surah al-A’la :14-17)

بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.
أقول قولي هذا وأستغفرالله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم.
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، لا اله الا اللهُ والله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

301,653 pemilih baru didaftar

4 Syawal 1431H.

Parti-parti politik bersaing dalam pendaftaran pemilih baru, dengan lebih separuh daripada 301,653 pemilih baru didaftarkan melalui saluran parti sejak awal tahun hingga Jun lalu.

Sebanyak 56 peratus atau sejumlah 169,850 pemilih baru didaftar oleh penolong pendaftar daripada kalangan wakil parti politik, kata pengerusi jawatankuasa panel pendaftaran dan penyediaan daftar pemilih, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Zainal Abidin Mat Said.

Daripada jumlah itu, DAP mencatat pendaftaran pemilih paling tinggi iaitu 55,321 orang, diikuti oleh Umno dengan 54,872 pemilih didaftar manakala PAS dan PKR masing-masing mendaftar 38,618 dan 13,098 pemilih.

Katanya penolong pendaftar daripada wakil parti politik dibayar RM1 bagi setiap pendaftaran.

Zainal Abidin berkata selain melalui saluran parti politik, pendaftaran pemilih luar pejabat dan program outreach yang dijalankan oleh SPR berjaya mendaftar 72,434 pemilih baru dan 24,663 penukaran alamat bagi tempoh yang sama.

Pada masa yang sama, kaunter pejabat pos turut menjadi pilihan orang ramai mendaftar sebagai pemilih apabila ia mencatatkan 37,142 pendaftaran baru dan 11,903 penukaran alamat.


Zainal Abidin berkata sejumlah 345,261 pendaftaran pemilih dicatat dari Jan hingga Jun lalu, dengan 301,653 pemilih baru dan 43,608 penukaran alamat.

Daripada jumlah itu, Johor merupakan negeri yang mencatat pendaftaran paling tinggi iaitu 56,663 orang, diikuti Selangor (46,764 orang) dan Pulau Pinang (36,841 orang).

Bernama/-

Tuanku Faris Petra, Raja yang dekat di hati rakyat

4 syawal 1431H.

Sultan Kelantan yang baru dimasyhurkan, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra merupakan seorang raja yang berjiwa rakyat dan dekat di hati rakyat Kelantan.

Sebut sahaja kawasan pedalaman mana yang tidak pernah dilawati baginda bagi menyelami suka duka rakyat termasuk ke kampung-kampung penempatan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.

Sering mengenakan jubah atau berbaju "gumbang" (baju Melayu) serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat jelata menyebabkan tiada siapa yang menyangka lelaki segak itu merupakan pewaris Kesultanan Kelantan yang baru.

Pernah satu ketika di Pantai Damat, Bachok, baginda tidak kekok duduk bersila dan mendengar kisah penderitaan seorang ibu tunggal yang uzur dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mata baginda berkaca ketika mendengar kisah keperitan hidup Azizah Abdullah, 41, membesarkan tiga anaknya.

Membahasakan diri baginda dengan perkataan "kita" menyebabkan baginda dan rakyat seperti tidak ada jurang pemisah yang boleh merenggangkan hubungan rakyat dan raja.

Ketika di rumah Azizah, baginda yang turut menghulurkan sumbangan peribadi, juga sempat memberikan perangsang kepada tiga anak wanita itu untuk berjaya dalam pelajaran mereka.

Tuanku Muhammad Faris Petra merupakan putera sulung Sultan Kelantan sebelum ini, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.

Pendidikan awal

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Bendahara Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'Ishah Putri.

Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Baharu dan di Kuala Lumpur dan seterusnya di Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Okt 1969 dan dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985 dan sejak pelantikan itu baginda telah menunjukkan kecenderungan untuk mempelajari dan mendalami selok belok pentadbiran negeri.

Baginda mula menarik perhatian seluruh negara dengan liputan meluas media ketika bertitah merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 2008.

Ketika bertitah pada majlis itu, baginda secara terbuka mengingatkan usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi berikutan kedudukan orang
Melayu dan Islam yang kian tercabar kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara.

Baginda berharap segala perbezaan pendapat dan perbelahan diketepikan melalui jalan yang bijaksana dengan perpaduan ummah harus diutamakan demi agama, bangsa dan negara sebagaimana yang diimpikan oleh semua.

Di masa lapangnya, baginda gemar membaca bagi mengikuti perkembangan semasa di dalam dan luar negara di samping meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Selain itu baginda juga menunjukkan minat mendalam terhadap sukan memanah, berkuda, boling serta suka memelihara haiwan kesayangan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Dalam hubungan dengan rakyat, baginda ternyata mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, baginda menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Komander Askar Wataniah

Baginda juga turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).

Umum juga mengetahui hubungan yang akrab baginda dengan ayahanda baginda dan kegeringan Tuanku Ismail Petra pada 14 Mei tahun lalu membuatkan baginda diselubungi kesedihan dan berasa tertekan.

Baginda pernah mengimamkan solat hajat bersama-sama rakyat jelata sebelum ini bagi memohon kesejahteraan ayahanda baginda.

Pada 24 Mei tahun lalu, Tuanku Muhammad Faris Petra telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan setelah ayahanda baginda mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Pelantikan itu membolehkan baginda menjalankan tugas Sultan Kelantan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang menurut pakar perundangan mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan mengikut Perkara 4 Fasal 1 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan Majlis Perajaan Negeri mengikut peruntukan tersebut.

- Bernama

Sah Tengku Faris dimasyhur Sultan Kelantan


4 Syawal 1431H.

KOTA BHARU, 13 Sept: Pemasyhuran Perlantikan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan telah selamat disempurnakan di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu pada jam 12.30 tengah hari ini di sini.

Pemasyuran perlantikan itu dibacakan Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Kedua.

"Bismilhhari Rahmanir Rahim; maka dengan ini adalah diisytiharkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa pada menjalankan kuasa-kuasa menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Yang Kedua, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang bermesyuarat pada hari ini (4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan 13.9.2010, pukul 9.00 pagi) di Pejabat SUK, Kota Darunaim, Kota Bharu telah membuat keputusan bersetuju memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan waris, menjadi Raja memerintah, menaiki takhta Negeri Kelantan dan Jajahan takluknya bagi menggantikan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berkuatkuasa pada hari ini 4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan dengan 13 September 2010.

"Padanya, sekalian hamba rakyat mengaku taat setia dan kasih mesra dan kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa dipohon taufiq dan hidayah ke atasnya, semoga Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darulnaim dan seluruh jajahan takluknya memerintah di atas takhta Kerajaan Kelantan, dan memandu negeri dan rakyat sekalian merasa aman sentosa, mewah, makmur, kebajikan serta menaungi.," katanya.

Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, kerabat negeri, kepimpinan dan pegawai negeri.