04 Disember 2010

Ketuanan Melayu: Usah sorok sebalik songkok

27 Zulhijjah 1431H.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan rakyat di negara ini, khususnya orang Melayu supaya tidak melupakan sejarah tanah air dan mengenali siapa pengkhianat bangsa dan agama sebenarnya.

“Hari ini, isu pelantikan timbalan perdana menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik Umno dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin Umno segenap lapisan untuk memberikan ulasan.

“Seolah-olah Umno satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul Umno dan seolah-olah rebah Umno bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebar luas ke dalam minda masyarakat pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Umno serah kerusi Ketua Menteri

Nik Aziz mengulas laporan media yang membidas kenyataan ketua pembangkang bahawa jawatan timbalan perdana menteri diserahkan kepada bukan Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa pada pilihan raya umum ke-13 menjejaskan konsep ketuanan Melayu di negara ini.

“Lupakah kita bahawa Umno pernah menyerahkan kerusi ketua menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun Umno yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi Umno? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini?

“Peliknya apabila Tun Dr Mahathir (Mohammed) sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?” soalnya.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, isu perlantikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang selaku timbalan perdana menteri sebenarnya dimanipulasikan oleh media milik Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini.

Salah lapor budaya media Umno

“Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik Umno?” soalnya.

Nik Aziz berkata salah lapor dan salah dengar adalah satu budaya di kalangan petugas media milik Umno.

“'Islam plastik' yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai 'Islam Palestin'.

Menurut mursyidul am PAS itu lagi, pendiriannya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam.

“Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya.

Songkok tiga jengkal

“Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai,” katanya.

Menurut Nik Aziz yang penting ialah dasar dan jika dasar Islam, sesiapapun boleh menjadi pemimpin.

“Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa menteri besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh.

“YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Seorang Muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!” katanya mengakhir kenyataan akhbar berkenaan.

Malaysiakini/=

Bi Men Si Guo : Merenung Kesalahan dalam Ruang Tertutup

27 Zulhijjah 1431H.

Asal Usul:

Pada zaman Dinasti Han Barat (tahun 206-220 Sebelum Masihi), di negeri Yan, ada seorang pegawai kerajaan bernama Han Yanshou yang menjawat jawatan sebagai Ketua Pengawas Daerah Zuopingyi. Pada suatu hari, ketika membuat tinjauan ke Kaunti Gaoling, dia terjumpa dua orang adik-beradik yang sedang bertelagah. Salah seorang daripada mereka berkata dengan marah, "Ladang milik saya telah dirampas oleh adik saya. Tolonglah tuan buat keputusan yang adil bagi saya."

Seorang lagi pula berkata dengan sedih, "Ladang itu sebenarnya diwariskan oleh ibu bapa kepada saya. Abang saya bersikap tidak wajar. Dia berkeras mengatakan ladang itu diwariskan kepadanya."

Peristiwa tersebut amat menyentuh hati Han Yanshou. Dia berkata dengan malu, "Sebagai Ketua Pengawas daerah ini, saya kurang cekap dalam mendidik rakyat jelata sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan antara dua saudara kandung. Ini bukan sahaja melanggar adat dan kesantunan, malah akan membawa aib kepada orang yang berakhlak mulia. Semuanya disebabkan kesilapan dan kecuaian saya. Saya tidak layak lagi memegang jawatan yang begitu penting ini."

Pada hari itu, Han Yanshou tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun dengan alasan sakit. Dia mengurung dirinya di dalam sebuah bilik untuk merenung kesalahannya. Apabila mendapat tahu hal tersebut, dua beradik yang bertelagah dan mengadu kepada Han Yanshou itu berasa sangat sesal. Mereka berdua segera menuju ke rumah Han Yanshou untuk meminta maaf daripadanya.

Ketika melihat kedua-duanya sudah insaf akan kesalahan mereka, barulah nampak sedikit kelegaan dan kegembiraan pada air muka Han Yanshou.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Bi Men Si Guo" ini bermaksud, merenung kesalahan dalam bilik yang ditutup pintunya atau dalam ruang yang tertutup. Peribahasa ini membawa erti, seseorang yang benar-benar insaf akan kesalahan dan kesilapan dirinya.CRI/-

BN zalimi rakyat marhaen

27 Zulhijjah 1431H.

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Kenaikan harga petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula adalah bukti jelas kerajaan BN zalim kepada rakyat marhaen.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus berkata, rakyat marhaen paling terkesan dengan kenaikan itu kerana mereka adalah majoriti pengguna petrol RON95.

Sambil menyifatkan kenaikan mengejut itu sebagai 'gila', beliau mengharapkan rakyat menolak Umno BN yang secara terang terangan tidak mengutamakan rakyat terbanyak.

"Harap pengguna RON95 mesti tolak BN.

"BN zalimi rakyat marhaen, tak peduli kesusahan rakyat," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau mengulas kenaikan petrol RON95, sebanyak 5 sen menjadikan RM1.90 seliter, diesel naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.

Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Kerajaan terus memberi alasan sama terhadap kenaikan itu dengan mendakwa ianya bagi menyelaraskan subsidi.

Semua harga baru itu berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi esok.

Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter.

Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, ketidakprihatinan BN kepada nasib rakyat bukan lagi dongeng semata-mata.

Ianya terbukti, apabila rakyat terus dibebankan sedangkan Perdana Menteri semalam mengumumkan akan meneruskan cadangan membina Menara Warisan 100 tingkat yang tiada manfaat secara langsung kepada rakyat.

"Kalau betul ikhlas, batalkan sahaja niat nak buat menara 100 tingkat, guna duit tu tampung beban rakyat.

"Saya tengok rakyat hanya diguna untuk pilihan raya sahaja," katanya lagi.

Lebih malang, kenaikan itu berlaku diwaktu rakyat sedang terbeban dengan persiapan persekolahan sesi akan datang.

Kesan kenaikkan itu juga jelasnya, memberi alasan kepada peniaga barangan menaikkan harga barang mereka dan menyebabkan pengguna sekali lagi terbeban.

"Saya hairan, kenapa menteri tak umum di parlimen, sedangkan parlimen tempat bincang masalah rakyat," soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat turun beramai-ramai pada himpunan membantah kenaikan harga air oleh Syabas di Masjid Negara, Ahad ini.

Biarpun himpunan itu bagi membantah tindakan Syabas menaikkan tarif air Selangor, kesempatan itu juga jelasnya wajar diguna untuk menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan keperluan tersebut

Harakahdaily/-

Perlembagaan Perak dpinda tanpa majoriti 2/3

27 Zulhijjah 1431H.

Satu usul yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bagi meminda perlembagaan negeri diluluskan oleh dewan undangan negeri itu tanpa mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

Sebelum usul dibentangkan, Khalil Idham Lim Abdullah (PAS -Titi Serong) membantah perkara itu. Hujahnya, enakmen undang-undang negeri mesti dibentang sebelum pindaan perlembagaan.

Enakmen seumpama itu memerlukan beberapa kali bacaan sebelum dewan mengundi dan ia mesti mendapat kelulusan dua pertiga .

Selepas berperang mulut, Zambry merujuk kepada penasihat undang-undang negeri, Ahmad Kamal Md Shahid dan beliau kemudiannya merujuk perlembagaan negeri dan bersetuju dengan menteri besar bahawa sekadar membentangkan usul adalah memadai.

Berikutan itu, usul berkenaan diluluskan dengan majoriti mudah. Ia disokong oleh 29 ADUN BN dan tiga ADUN Bebas yang berpaling tadah.

Semua 27 ADUN Pakatan Rakyat memilih untuk berkecuali dan tidak mengundi.

Selepas usul diluluskan, speaker, Datuk R Ganesan menagguhkan sidang dewan negeri Perak.

Usul khas itu timbul berikutan mesyuarat kali ke-147, Istana Perak yang diketuai oleh Sultan Raja Azlan Shah pada 12 Ogos lalu. Banginda menitahkan Artikel 58 (1)(a) bahagian Kedua, Perlembagaan Negeri Perak dipinda.

Pindaan itu bagi membolehkan empat lagi Raja Bergelar dengan jawatan Raja Kecil Besar, Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah and Raja Kecil Bongsu dimasukkan dalam kerabat Istana.

Pada sidang akhbar selepas itu, Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melahirkan rasa tidak puas hatinya mengenai cara perlembagaan dipinda.

Rakannya, Ngeh Koo Ham, ADUN Sitiawan dari DAP berhujah Artikel III (3) Perlembagaan Negeri Perak secara jelas mentakrifkan bahawa perlembagaan hanya boleh dipinda melalui enakmen dewan undangan negeri.

Ngeh, yang juga seorang peguam berkata Article III (4) Perlembagaan Negeri Perak memperuntukkan pindaan hanya boleh dibuat jika ia disokong tidak kurang daripada dua pertiga anggota dewan.

Malaysiakini/-