10 Jun 2010

Judi bukan budaya masyarakat Cina dan India

27 Jamadil Akhir 1431H.
http://kentong-suhaizan.blogspot.com/

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) merasa sangat berbangga dengan sokongan secara terbuka Dr. Toh Kin Woon, Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) terhadap kempen pemansuhan judi sukan yang telah dilaksanakan oleh GMJ.

Malah beliau sendiri mengajak semua masyarakat menyertai himpunan 100 Ribu Memansuh Judi Sukan di Kuala Lumpur pada 3hb Julai 2010.

Kenyataan beliau boleh diperolehi dalam laman web pusat berkenaan di url http://llgcultural.com/bm/index.php?option=com_content&view=article&id=61:llg-membantah-kerajaan-meluluskan-lesen-judi-bola-sepak&catid=34:kenyataan-media-2010&Itemid=55.

Orang Islam di Malaysia mungkin telah diberi gambaran yang salah oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan bahawa judi merupakan budaya orang cina dan india.

Dr. Toh Kin Woon yang juga bekas exco kerajaan Negeri Pulau Pinang zaman Barisan Nasional memerintah, mempertegaskan bahawa judi bukanlah budaya orang cina malah persepsi salah ini boleh merosakan hubungan antara muslim dan bukan muslim dinegara ini.

Beliau mempertegaskan bahawa kerajaan tidak patut memperkudakan bukan muslim sebagai alasan meluluskan lesen judi bola sepak. Beberapa pertubuhan orang Cina katanya telah menyuarakan ketidaksetujuaan terhadap pemberian lesen tersebut.

Dr. Toh Kin Woon juga menyatakan bahawa asas pemberian lesen judi bola sepak, tidak dapat membendung perjudian haram bola sepak, kegagalan membendung perjudian haram adalah berpunca daripada kelonggoran penguatkuasaan dan rasuah.

Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG yang telah didaftarkan pada tahun 1995 merupakan pertubuhan yang ke 55 menyatakan sokongan terhadap Kempen Mansuh Judi Sukan anjuran GMJ.

Sebelum ini Ikatan Perpaduan Rakyat Malaysia pimpinan Sdr. Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil telah menyatakan sokongan terhadap kempen terbabit.

GMJ terus membuka peluang kerjasama semua NGOs dan parti politik dalam Kempen Memansuhkan Judi Sukan. Segala maklumat GMJ boleh layari menerusi http://bantahjudi.wordpress.com

Suhaizan Bin Kaiat,
Setiausaha,
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

Cina Islam dengan imej baru : Terima kasih Admin Hisyam

27 Jamadil Akhir 1431H.

Bermula lewat malam tadi semua pengunjung blog Cina Islam mula melayari blog ini dengan wajah dan imej baharu dengan 3 kolum hasil kerja keras dan bantuan dari Admin Hisyam. Penampilan baru tepat beberapa jam sebelum Muktamar PAS ke 56 di PUTIK Kelantan dan saya adalah antara perwakilan dan akan berucap mewakili Negeri Perak membahas Ucapan Presiden PAS.

Sebenarnya hasrat untuk menampilkan blog kesayangan anda ini dengan tempelete baru telah ada sejak beberapa bulan lepas, namun kerana kekurangan ilmu mengenainya maka saya terpaks meneruskan dengan imej lama sehinggalah Allah menemukan saya dengan Admin Hisyam yang dengan Ikhlas sedia berkerja keras membatu menyusun kembali kandungan asal blog dalam tempelete 3 kolum yang lebih ceria dan mesra pelanggan.

Ucapan Jutaan Terima Kasih kepada Admin Hisyam , semuga usaha dan bakti murni tuan akan diberkati Allah SWT.

Kepada semua pelayar blog Cina Islam, saya ucapkan terima kasih dengan kunjungan anda, kerana tanpa anada apalah adanya pada blog yang sekecil ini.

Blogger PAS dan Pakatan : Selamat bertugas pada Muktamar PAS ke 56

26 Jamadil Akhir 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim

Saya tertarik untuk membuat posting mengenai rungutan dari teman-teman Blogger PAS dan Pakatan yang rasa tidak puas hati dengan kekeliruan dan kenyataan bahawa PAS tidak keluarkan Pas Media untuk Blogger pada Muktamar kali ini

Sedangkan menurutnya Wartawan dari media aruas perdana yang selama ini diboikot tidak akan dihalang untuk membuat liputan Muktamar Tahunan Pas kali ke-56 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di sini mulai malam ini, asalkan mereka disenaraikan dalam surat rasmi yang dihantar oleh agensi masing-masing.

Sebenarnya isu ini kalau difikirkan dengan matang oleh kedua belah pihak saya rasakan sangat sepele dan mudah diselesaikan dan tidak perlu diperbesarkan lagi. Tambahan pula saya kira kenyataan asal Pengarah Muktamar, Datuk Takiyuddin Hassan yang berkata, pihaknya tidak ada masalah untuk menerima kehadiran mana-mana wakil media bagi menjalankan tugas mereka. “Kita parti yang matang,” katanya.

Tambahan pula dengan kenyataan dari Ketua Penerangan PAS Pusat, Ust. Idris Ahmad yang mencadangkan para blogger pro Pakatan Rakyat yang gagal mendapatkan pas media supaya memohon untuk mendapatkan pas pemerhati daripada ad-hoc Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu.

Cadangan tersebut sebagai respons pada rungutan beberapa blogger pro PAS dan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak dilayan oleh ad-hoc muktamar ketika memohon pas media sejak kelmarin.

Lagipun saya kira bukannya ramai sangat para Blogger PAS dan Pakatan Rakyat yang turun ke Kota Bharu untuk membuat liputan sepanjang Muktamar. Mereka mungkin dikalangan pemilik blog yang ternama dan dikenali atau petugas yang mewakli blog tersebut. kalau dijumlahkan dan diagak jumlahnya mungkin tidak sampai 50 orang. itupun sudah terlalu ramai.

Jadi apalah salah kiranya Ust. Idris dengan dibantu oleh Pengerusi Kelab Bolgger PAS yang ditubuhkan satu masa dulu memainkan peranan dengan membuka kaunter khusus untuk pendaftaran Blogger PAS dan Pakatan.

Syaratnya saya kira sangat mudah dan ringkas, nyatakan apa nama blog masing-masing dan sertakan no keahlian parti masing-masing , itupun saya kira kalau diambil nama lengkap , no Kad pengenalan dan alamat surat menyurat juga sudah mamadai.

Apa pun saya kira pihak Panatia Muktamar pasti terbuka seperti terbukanya Pengarahnya dan Ketua Penerangan PAS Pusat. Demikianlah terbukanya PAS yang boleh membenarkan media yang selama ini memusuhi PAS dan Pakatan Rakyat, mereka juga dibebarkan masuk.

Apa lagi saya kira masa masih ada untuk pihak yang terlibat untuk mempermudahkan rakan Blogger PAS dan Pakatan untuk membuat liputan. Mereka yang datang dari dekat dan jauh punya satu harapan besar untuk menyatakan dan menggambarkan kehebatan Muktamar ke 56 kepada pembaca blog masing-masing, apalah salahnya permudahkanlah dengan apa cara sekalipun.

Saya ucapkan kepada semua rakan Blogger untuk meneruskan usaha murni tuan-tuan dan puan-puan yang berkumpul di Kelantan untuk memeriahkan lagi corak pemberitaan Muktamar PAS untuk kali ini.

Kekeliruan dan rasa tidak puas hati beberapa jam yang lepas kita sisihkan jauh-jauh, musuh kita yang sebenar ialah UMNO dan BN yang mesti kita tumbangkan dalam PR ke 13 akan datang.

Blogger PAS, Pakatan boleh pohon ‘pas pemerhati’

26 Jamadil Akhir 1431H.
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad pagi ini mencadangkan para blogger pro Pakatan Rakyat yang gagal mendapatkan pas media supaya memohon untuk mendapatkan pas pemerhati daripada ad-hoc Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu.

Cadangan tersebut sebagai respons pada rungutan beberapa blogger pro PAS dan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak dilayan oleh ad-hoc muktamar ketika memohon pas media sejak kelmarin.

“Opsyen yang ada, blogger-blogger kita ini boleh cuba pohon pas pemerhati,” ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagi beliau, tidak ada sebab untuk ad-hoc menghalang mana-mana pihak membuat liputan tentang muktamar PAS.

Ini kerana, PAS menurut beliau sebenarnya mengamalkan dasar terbuka untuk mana-mana pihak untuk mengakses muktamar PAS.

“Setakat yang saya tahu, muktamar kita terbuka,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan ad-hoc muktamar enggan memberi pas media kepada para blogger mungkin disebabkan mereka kurang mengenali para blogger terbabit.

Bagaimanapun, beliau berjanji untuk merujuk semula isu terpencil tersebut daripada ad-hoc di Kota Bharu, petang ini.

Bagi beliau, tidak ada gunanya PAS menghalang para blogger dari membuat liputan tentang muktamar PAS sebagaimana Umno menghalang media alternatif dan media baru (blog) dari membuat liputan tentang pemilihan agung Umno parti itu sebelum ini.

“Yang menghalang media buat liputan tentang pemilihan hanya Umno saja, itu beza kita dengan mereka,” ujarnya lagi.

Tindakan tersebut, bagi beliau, akhirnya mencemarkan nama parti itu sendiri.

Ditambah dengan perkembangan teknologi maklumat di samping realiti dunia tanpa sempadan sekarang, bagi beliau, sudah tentu membolehkan media-media baru untuk mengakses muktamar PAS walaupun ad-hoc cuba menghalang mereka dari berbuat sedemikian.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Pengarah Muktamar, Datuk Takiyuddin Hassan membenarkan akhbar pro kerajaan untuk membuat liputan tentang muktamar PAS.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, kematangan yang ditunjukkan oleh PAS sebenarnya demi menghormati profesionalisme media pro kerajaan tersebut.

Parlimen akan berpindah ke Putrajaya

26 Jamadil Akhir 1431 H

Jemaah menteri telah memutuskan bahawa bangunan parlimen baru akan dibina di Putrajaya, manakala bangunan sedia ada di Kuala Lumpur akan dijadikan bangunan warisan.Menurut jawapan bertulis kepada Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata perkara itu diputuskan oleh jemaah menteri baru-baru ini.

Nazri bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut berhubung pemindahan itu kerana perkara itu masih dalam kajian awal oleh Jabatan Kerja Raya.
Bagaimanapun, Nazri kemudiannya menjelaskan kepada media bahawa perkara itu masih pada peringkat perbincangan oleh jemaah menteri.

“Ia belum diputuskan lagi...Kami akan membawanya ke Kabinet untuk dibincangkan,” katanya.

"Kami akan mengkaji setiap aspek...Bangunan Parlimen sebenarnya bangunan warisan. Jadi, ia tidak boleh diruntuhkan sebegitu sahaja.

Nazri berkata RM150 juta diperlukan bagi memperbaiki bumbung parlimen dan juga pendawaian elektrik bangunan itu, mankala RM800 juta diperlukan bagi membina bangunan Parlimen baru.“Jadi, kita akan mempertimbangkan pilihan yang terbaik,” kata Nazri.

Malaysiakini/-

Anwar:kalau gugur MP,saya pusing satu negara

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad & Zulaikha Zulkifli

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ejen Israel kini memusuhinya disebabkan sokongannya terhadap Hamas - sebuah gerakan pembebasan Islam - di wilayah bergolak Gaza di Palestin.

Anwar berkata sebuah organisasi Yahudi sedunia kini giat melobi supaya negara Israel memutuskan hubungan dengannya."Badan Yahudi sedunia kata Anwar Ibrahim merupakan seorang musuh Yahudi utama, maka orang Israel mesti putuskan hubungan dengan dia," katanya.

Pada 3 Jun lalu pertubuhan pro-Israel tertua di dunia B'nai B'rith International mengisytiharkan Anwar sebagai ancaman kepada kaum Yahudi.

Berucap dalam ceramah 'Yahudi & Judi' di Selayang malam tadi, Anwar mengaitkan keganasan Yahudi dengan pengaruh Amerika Syarikat (AS).

"Israel tidak akan menjadi ganas dan zalim tanpa dokongan AS. Saya tidak ada masalah kalau berbaik dengan AS tetapi jangan tunduk dengan AS.

"Bila Israel tidak iktiraf (Hamas), AS pun tidak iktiraf. Bila AS tidak iktiraf, Umno pun tidak iktiraf," katanya disambut dengan gelak ketawa daripada hampir 2,000 orang yang hadir.

Terus kaitkan 1Malaysia dan One Israel

Seperti juga dalam siri ceramahnya sebelum ini, Anwar terus mengulangi Umno yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan firma perunding Apco Worldwide.

Ketika sedang diheret ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen, Anwar terus mendakwa telah mengemukakan 'bukti' berhubung dakwaannya yang mengaitkan slogan 1Malaysia dengan One Israel.

Jelasnya, bukti tersebut merupakan perjanjian yang dimaterai antara negara Israel dengan firma perundingan Apco Worldwide pada "tahun 1991 (atau) 1992" serta perjanjian sama yang ditandatangani Malaysia dengan firma yang sama pada 2009.

"Pada tahun 1999 perdana menteri Israel lancarkan One Israel, pada 2009 pula Najib lancarkan 1Malaysia," katanya lagi.

Tambahnya, pegawai yang menguruskan Apco itu pernah bertugas di badan perisikan Israel yang berpengkalan di AS.

Katanya lagi, beliau tidak gentar sekiranya digugurkan daripada menganggotai Parlimen, berikutan pendedahannya itu.

"Kalau saya digugurkan selama enam bulan, saya selama enam bulan akan jelajah seluruh negara," katanya.

Malaysiakini/-

Implikasi Konvensyen Pelarian 1951 terhadap status pelarian Rohingya di Malaysia

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nuruddin Muhammad

Terdapat perbezaan secara defenitif apabila kita membincangkan isu pelarian, imigran kerja serta pendatang tanpa izin. Imigran selalunya adalah pendatang dengan dokumen yang sah serta hadir untuk tujuan pengajian dan mencari rezeki di negara ini. Manakala pendatang tanpa izin adalah bertujuan yang sama tanpa memiliki dokumen yang sah.

Pelarian pula adalah suatu kelompok manusia yang meninggalkan negara mereka yang sedang bergolak sama ada akibat tindakan ganas kerajaan mereka atau campur tangan asing seperti yang berlaku di IndoChina dahulu.

Dalam konsep Islam, melarikan diri dari negara bukan Islam yang menzalimi mereka dan keluar ke negara yang melindungi Islam adalah wajib dan ini dikenali sebagai hijrah.

Malah sebahagian ulama’ fiqh mengharamkan umat Islam berlindung di bawah kerajaan bukan Islam yang menghalang syariah jika tanpa keperluan (seperti menyambung pengajian dan sebagainya.)

Namun begitu, insiden keganasan dan kezaliman RELA dan Polis negara ini terhadap PATI serta dibabitkan juga dengan kaum pelarian seperti Champa, Rohingya dan sebagainya menunjukkan betapa negara ini masih kabur dalam aspek kefahaman definisi pelarian, malah gagal memahami hak-hak asasi pelarian serta pengurusan pelarian yang sewajarnya.

Sebagai contoh kenyataan pemimpin Malaysia sejurus selepas Persidangan ASEAN di Bali pada tahun 2009 yang banyak membahaskan obligasi Myanmar untuk menerima Rohingya semula tanpa mengeluarkan kenyataan untuk terus mendesak Myanmar melalui pintu PBB dan lain-lain jalan antarabangsa.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri pernah berkata, terdapat tuduhan melulu termasuk yang dibuat Jawatankuasa bagi Pelarian dan Pendatang Amerika Syarikat (USCRI) yang meletakkan Malaysia antara negara paling teruk mencabuli hak pelarian.

''Malaysia tidak pernah menandatangani atau mengiktiraf Konvensyen Hapuskan Status Pelarian 1951 dan protokolnya pada 1967 kerana kedudukan geografi Malaysia yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara. Kerajaan menolak sekeras-kerasnya sebarang dakwaan negara luar mengatakan Malaysia tidak mempunyai prosedur perlindungan, pendaftaran dan bersikap diskriminasi dengan perkara berkaitan agama terhadap pelarian”. (23/07/2008 Utusan)

Benar, Malaysia masih membenarkan pelarian seperti Rohingya untuk berada di bumi Malaysia. Namun begitu bagaimana pula dengan pendidikan mereka? Prosedur pendidikan mereka untuk ke sekolah formal masih kabur, tanpa pekeliling dan arahan absah Kementerian Pelajaran kepada guru-guru besar dan PPD untuk menerima pelajar pelarian. Tiada juga pekeliling dan arahan Parlimen kepada ketua-ketua kampung kerajaan untuk menerima kehadiran mereka serta memastikan mereka menerima dokumen sokongan ketua kampung untuk muamalah dan sebarang aktiviti formal mereka di Malaysia.

Undang-undang seperti Akta Imigresen 1951/1963 juga tidak memperincikan golongan pelarian secara khusus. Lebih malang lagi, kerjasama UNHCR yang mulai baik dengan PDRM diburukkan dengan ketidakselarasan RELA untuk mengenali antara pelarian dengan golongan PATI. Semua inilah antara cebisan masalah yang ditimbulkan oleh USCRI bukan menafikan sumbangan NGO dan kerajaan Malaysia terhadap pelarian.

Kedua, kenyataan beliau bahawa Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Hapuskan Status Pelarian 1951 adalah salah kerana konvensyen yang sebenar ialah Konvensyen Pelarian 1951 (Refugee Covention 1951) dan bukannya suatu konvensyen untuk mengadakan jus soli membabi buta terhadap pelarian.

Malaysia bukan ahli dalam Konvensyen 1951 berhubung dengan Status Pelarian dan Protokol 1967, dan undang-undang negara ini tidak memberi status pelarian atau pemohon suaka. Kerajaan belum mewujudkan satu sistem untuk memberi perlindungan kepada pelarian. Sebagai amalan, pihak kerajaan tidak memberi perlindungan terhadap tindakan mengusir atau menghantar balik pelarian ke negara-negara di mana nyawa atau kebebasan mereka boleh diancam disebabkan ras, agama, kerakyatan, keanggotaan dalam kelompok sosial tertentu, atau pandangan politik. Pihak kerajaan umumnya tidak menghantar balik individu-individu yang berdaftar dengan UNHCR dan yang sedang diproses bagi tujuan penempatan semula di negara-negara ketiga.

Pihak kerajaan masih mengusir sesetengah pelarian dan pemohon suaka tetapi membenarkan pelarian-pelarian dan orang-orang tertentu yang memerlukan perlindungan untuk terus tinggal di sini sementara menunggu untuk ditempatkan semula di negara-negara lain. Umumnya, pihak kerajaan tidak membezakan antara pemohon suaka dengan pendatang haram dan menahan mereka di pusat-pusat yang sama. Pada bulan April 2009, kerajaan mulai memberi layanan istimewa kepada mereka yang membawa kad UNHCR.

Dahulu, Tunku Abdul Rahman Putra pernah menerima kaum pelarian bangsa Champa dari Kemboja yang melarikan diri daripada kekejaman Komunis Pol Pot. Disebabkan tiada perjanjian Malaysia dengan Konvensyen tersebut, Malaysia berhak untuk menampilkan sikap sama ada menerima atau menolak kehadiran pelarian. Ketika era 1975 dahulu, masyarakat Muslim Kemboja dilayan dengan baik malah turut menerima perlindungan melalui PERKIM.

Jika diteliti dengan mendalam, dalam krisis Perang Dingin dahulu, blok komunis berlawan dengan blok kapitalis AS. Rentetannya, mangsa perang ini akan diterima oleh Britain, AS dan Perancis sebagai penduduk tetap atau warganegara mereka semasa dan selepas perang. Hal ini adalah kerana mereka menjadi mangsa percaturan perang ideologi AS dan Rusia. Maka istilah ‘Negara Ketiga’ muncul dalam pengistilahan isu pelarian iaitu negara yang bakal menerima mereka. Negara pertama adalah negara mereka sendiri, manakala negara kedua adalah negara persinggahan, sementara menanti masa ke negara ketiga.

Dalam isu Rohingya, tiada istilah negara ketiga yang wujud kerana ia adalah perang ideologi Komunis terhadap kaum Islam. AS pastinya tidak akan bertanggungjawab. Dalam isu pelarian Champa dan kaum Khmer yang beragama Buddha, mereka pasti menerima bantuan suaka politik dan perlindungan negara kedua oleh Malaysia, Thailand dan Indonesia dan sebagainya atas pengaruh AS. Saat itu semua negara blok ASEAN dan kapitalis berusaha melaksanakan kempen AS dan mencontohi sikap AS terhadap pelarian di negara yang mereka kucar-kacirkan. Lihat sahaja bagaimana AS menyokong mujahidin menentang Rusia sekitar tahun 1980an dahulu. Malaysia sendiri tidak menganggap pelajar tempatan yang berjuang di Pakistan dan Afghan sebagai pengganas. Tetapi sikap Malaysia berubah pula selepas 11 September 2001. Inilah malapetaka yang menimpa kepimpinan umat Islam.

Hari ini, Rohingya bersendirian. Tiada negara besar yanag berminat terhadap mereka menyebabkan mereka diusir oleh Thailand dan Bangladesh seperti haiwan semasa mereka menumpang seketika di perairan dan pantai negara berkenaan. Mereka juga menjadi mangsa penindasan umat Islam dan sememangnya hari ini isu penindasan terhadap umat Islam adalah rutin serta sunnah dunia hari ini. Ia bukan sesuatu yang perlu diatasi segera.

Berbalik kepada statistik pelarian di Malaysia, terdapat anggaran tiga juta warga asing di negara ini. Satu juta daripada mereka adalah pendatang haram (pada pandangan undang-undang) dan tidak mempunyai dokumen. Daripada jumlah pendatang haram tersebut, terdapat lebih kurang 90 peratus adalah kaum Chin dan Rohingya yang berasal dari Burma, dan sejumlah besar dari puak Kachin, Karen, dan Sun. Selain itu, seramai 61,000 orang Islam Filipina yang telah melarikan diri daripada pemberontakan Moro pada tahun 1970-an dilaporkan tinggal di negara ini.

Tidak ada undang-undang khusus yang melarang penyeksaan, namun undang-undang melarang "melakukan kecederaan parah" disebabkan seksaan. Terdapat beberapa tuduhan ke atas anggota RELA dan pegawai imigresen yang memukul dan menganiaya tahanan di PTI yang dikelola oleh Jabatan Imigresen dan dibantu oleh RELA.

Pada bulan Mei 2008, sebagai respons terhadap kejadian memukul seorang warga Pakistan yang ditahan oleh pegawai imigresen di PTI Lenggeng pada bulan April 2008, seorang pesuruhjaya daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menyiasat dan menemui "bukti berlaku kes penyeksaan." Namun, tidak ada siasatan lanjutan yang diketahui telah dibuat.

Apa yang terkandung di dalam Konvensyen Pelarian 1951 itu? Menurut UNHCR, konvensyen ini mendefinasikan makna ‘pelarian’. Ia juga menggariskan hak kebebasan pelarian untuk mengamalkan agama mereka serta bergerak dalam negara kedua yang mereka singgah. Hak pendidikan serta hak mendapat dokumen perjalanan juga dinyatakan. Di samping itu, ia juga menggariskan tanggungjawab pelarian terhadap negara yang membantu mereka. Menjadi tanggungjawab negara yang menandatangani perjanjian itu untuk tidak menghantar pulang mereka ke negara asal yang mereka takuti.

Bolehkah negara yang tidak menandatangani konvensyen itu untuk menolak menerima kehadiran kaum pelarian ini? Prinsip asas undang-undang antarabangsa adalah hak asasi manusia. Tidak ada peruntukan undang-undang untuk sesebuah negara memaksa mana-mana kelompok manusia untuk pergi ke negara yang mereka takuti akibat kezaliman dan ketidakstabilan dalaman.

Pada asasnya Malaysia tidak menandatangani sokongan Konvensyen Pelarian 1951 adalah kerana masih bergelut dengan isu kerakyatan dan keadaan pendatang tanpa izin di Sabah serta isu rakyat tanpa warganegara di sana. Namun akibatnya Malaysia tiada obligasi untuk melindungi hak asasi pelarian di negara ini serta tiada negara yang boleh menyalahkan Malaysia dalam hal kebajikan pelarian. Inilah hakikat yang berlaku.

Muhammad Nuruddin Bashah
Sekreteriat MUDA-Teras
Muhammad Nuruddin Bashah

4 wakil Hamas sertai Muktamar PAS

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 8 Jun: Empat wakil Hamas bakal hadir ke Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang bakal berlangsung pada 10 hingga 13 Jun ini di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini.Juga dijangka akan hadir ialah tetamu jemputan dari Maldives dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) serta beberapa tokoh Islam dari luar negara.

Pengarah Muktamar PAS ke-56, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar), berkata kehadiran tetamu luar amat dialu-alukan terutama dalam isu Palestin yang kini hangat diperkatakan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan perjalanan muktamar yang bakal berlangsung dua hari lagi.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu satu usul tergempar berhubung sokongan PAS terhadap pergerakan Palestin akan dikemukakan.

Menyentuh tentang perjalanan muktamar, katanya ianya akan dimulai oleh muktamar dewan-dewan bermula pada 10 Jun ini.

“Muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan berlangsung di tiga kawasan berasingan, iaitu di Kompleks Madu Machang, Kelantan Trade Centre (KTC) dan Perdana Resort.

“Bagaimanapun, majlis perasmiannya akan bermula serentak pada 9 Jun di Putik iaitu malam esok kira-kira pukul 9.00 malam,” ujarnya.

Jelasnya, perubahan buat julung kali diadakan itu dengan harapan ketiga-tiga dewan terbabit akan mendapat maklumat terus dari pimpinan secara serentak.

Sementara itu, bandar Kota Bharu hari ini mula dikunjungi para pelancong termasuk para pemerhati muktamar menyebabkan jalan-jalan utama mulai sesak.

Takiyuddin ketika mengulas perkara itu, berkata hotel-hotel dan rumah tumpangan yang telah ditempah sejak April dan Mei lalu oleh perwakilan dan pemerhati sudah mula diisi oleh tetamu muktamar itu.

Persiapan muktamar, katanya kini hampir siap 100 peratus termasuk khemah pameran, ekspo, ruang makan, bilik media dan berbagai lagi.

Difahamkan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi akan melakukan lawatan ke Putik petang ini untuk meninjau perkembangan persiapan terakhir muktamar.

Semalam juga, rakan-rakan media turut dijemput meninjau bilik khas untuk mereka di samping mendengar taklimat khas dari pengarah muktamar.

Harakahdaily/-

Terap kaedah syarak dalam jualan langsung

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 8 Jun: Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria meminta kerajaan menerapkan kaedah syarak yang adil dalam sistem amalan jualan langsung di tanah air supaya tidak terus menindas rakyat, khususnya umat Islam.

“Saya mencadangkan supaya diwujudkan suatu panel syariah atau penasihat diwujudkan di Kementerian (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna – KDNHEP) dan diterapkan dalam syarikat-syarikat yang berasaskan jualan langsung,” jelas beliau petang tadi ketika menyambung perbahasan sesi petang di Dewan Rakyat berhubung pindaan Akta Jualan Langsung, 1993.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat berkata, sistem jualan langsung yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat kebelakangan ini mengamalkan sistem perniagaan secara tidak adil.

Menurutnya lagi, sistem piramid ‘siapa yang masuk dulu, dia untung’ sebenarnya hanya menguntungkan golongan atasan tertentu sahaja.

Tambahnya lagi, agen-agen jualan langsung bawahan terpaksa bekerja keras untuk terus hidup dalam sistem tersebut berbekalkan motivasi tertentu oleh agen di atas mereka.

Selain meminta akta yang bakal digubal itu supaya selari dengan syarak, beliau juga mencadangkan kementerian berkenaan supaya mengeluarkan suatu garis panduan yang jelas untuk para pemilik syarikat jualan langsung terbabit.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut menggesa pihak berwajib membuat pemantauan menyeluruh ke atas syarikat serta penggiat jualan langsung di tanah air supaya rakyat tidak dikecewakan dengan sistem yang mengelirukan itu.

Bagi Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa pula, jualan langsung yang tidak berasaskan pada menjual produk halal merupakan suatu ‘permainan duit’ yang nyata tidak beretika serta haram di sisi syarak.

Ujarnya lagi, sepatutnya kerajaan perlu memandang serius fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini yang menegaskan bahawa jualan langsung yang tidak berasaskan produk umumnya adalah haram.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mana-mana syarikat yang mahu memulakan aktiviti jualan langsung, mereka diwajib mendapatkan pengesahan dari panel penasihat syariah berwajib terlebih dahulu.

Harakahdaily/-

Kelantan pesat membangun

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 8 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, negeri ini sedang pesat membangun biarpun pihak tertentu mendakwa kerajaan negeri tidak mampu melakukannya sejak PAS memerintah.Katanya, tuduhan kerajaan PAS tidak mampu melakukan pembangunan seperti dakwaan itu hanya akan membuatkan golongan bukan Islam semakin terasing daripada agama suci itu.

“Namun kini, selepas kerajaan PAS Kelantan mendepani perubahan, masyarakat bukan Islam seluruh negara telah menyaksikan sendiri bagaimana sebuah kerajaan yang ditadbir ulama mampu berbuat demikian (pembangunan),” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Bandar Baru Tunjong di sini, hari ini.

Majlis perjanjian itu ditandatangani sendiri oleh pemilik-pemilik syarikat berkenaan bagi mewakili syarikat mereka sambil diperhatikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sebanyak 10 daripada 11 buah syarikat telah menandatangani perjanjian usaha sama antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi memajukan projek tersebut.

Projek pembangunan yang berteraskan auto city dan pembangunan hartanah lain bertujuan untuk mengurangkan kesesakan bandar ini yang semakin kritikal khususnya pada waktu-waktu tertentu.

Seluas 2,000 ekar disediakan untuk projek bercampur yang bakal diisi dengan pembangunan rumah kedai, ruang pejabat, perumahan, masjid dan berbagai lagi.

Kerajaan negeri diwakili Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dana Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Antara syarikat yang bakal melabur bagi memajukan pelbagai projek di bandar baru itu ialah Syarikat Kelantan Motors Credit (M) Sdn Bhd, Ban Chu Bee Sdn Bhd, Soons Seng Motors Enterprise Sdn Bhd.

Turut melabur ialah Charisma Positif (M) Sdn Bhd, Swee Chong Sdn Bhd, Sim Motors Workshop (KB) Sdn Bhd, Mentari Housing Sdn Bhd dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Husam ketika berucap pada majlis yang sama memberitahu pihaknya menerima banyak tempahan para pelabur untuk mengambil bahagian melabur di situ.

Beliau turut berkeyakinan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, masalah kesesakan bandar ini akan selesai apabila siapnya pembangunan di situ.

“Kita juga yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, Bandar Baru Tunjong akan jadi sebuah pusat pembangunan baru di Kota Bharu khususnya Kelantan,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Kerajaan negeri digesa pulihara alam sekitar

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hashim Abdullah

TEMERLOH, 8 Jun: PAS Pahang menggesa kerajaan negeri memberikan perhatian secara fokus terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini yang semakin tidak terkawal sehingga mengakibatkan berlaku penceamaran.

Gesaan itu dibuat dalam deklarasi yang dibacakan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Hamzah Jaafar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar yang diadakan di Taman Esplaned Temerloh, kelmarin.Deklarasi mengandungi tiga perkara penting turut diedarkan kepada orang ramai bagi menimbulkan kesedaran penjagaan alam sekitar.

Deklarasi itu menggesa kerajaan mengekalkan dan memulihara warisan negara di Gunung Senyum dan kawasan sekitar yang berusia 240 juta tahun sebagai destinasi pelancongan sebagai peninggalan berharga untuk generasi akan datang.

“Cadangan pembangunan kilang simen di Gunung Jebak Puyuh yang bersebelahan dengan Gunung Senyum mestilah dibatalkan dan sebarang proses pembinaan yang berkaitan dengannya perlu diberhentikan dengan segera,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri perlu merencana dan mengambil tindakan proaktif dan serius bagi memastikan bekalan dan kualiti air di sepanjang lembangan Sungai Pahang tidak terjejas.

“Aktiviti pembalakan, pembangunan, perladangan dan proses perbandaran tidak terkawal dikenal pasti sebagai antara punca utama pencemaran air sungai.

Kelemahan kawalan dan penguatkuasaan terhadap industri pertanian dan pelancongan di hulu lembangan Sungai Pahang iaitu di Cameron Highlands dikhuatiri menyumbang kepada pencemaran ekstrem semua aliran sungai di Cameron Highlands dan kemudian mengalir ke Sungai Pahang.

“Kita juga mengesa kerajaan meningkatkan keupayaan pengurusan hutan terutama dari sudut pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang terutamanya bagi mengecah pembalakan haram dan pembukaan haram kawasan hutan,” kata Dr Hamzah.

Harakahdaily/-

Wanita Pakatan desak tarik balik lesen judi

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Jun: Wanita Pakatan Rakyat (PR) hari ini mendesak kerajaan menarik balik lesen judi sukan (sports betting) yang diluluskan baru-baru ini.Desakan itu dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim di pejabatnya di Parlimen.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen sebelum penyerahan itu, Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh menyeru pimpinan Umno BN yang beragama Islam agar kembali kepada ajaran Al-Quran yang secara terang-terangan melarang umat Islam berjudi.

Malah katanya, agama-agama lain juga tidak menggalakkan pengganutnya berjudi kerana ianya memberi banyak impak negatif.

"Kepada pemimpin Umno yang beragama Islam, saya meyeru kepada mereka agar kembali kepada perintah Allah SWT yang melarang perjudian di dalam Al-Quran. Malah kalau tanya agama lain sekalipun, semuanya menolak amalan judi," katanya.

Dalam kenyataan bersama yang dibacakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, wanita PR membantah keras lesen judi sukan itu kerana ia akan mengakibatkan wanita yang menanggung risiko dan mudaratnya.

"Sukan adalah aktiviti yang menyihatkan.Tetapi apabila dicemari dengan judi, ia bertukar menjadi mudarat, tidak menyihatkan dan memburukkan dan meruntuhkan seluruh sistem hidup serta mengancam kesejahteraan institusi keluarga dan kesejahteraan generasi muda," kata kenyataan itu.

Siti Zailah juga berkata, kelulusan lesen judi itu akan membuka ruang kepada amalan rasuah dalam sukan.

"Bila adanya lesen judi ini, atlet-atlet akan disogokkan dengan wang ringgit untuk memenangkan pasukan mereka," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menempelak kenyataan pemimpin kerajaan yang bercanggah antara satu sama lain.

"Kita lihat kenyataan kerajaan bercanggah. Kejap kata lulus, kejap kata sedang dipertimbangkan," katanya.

Harakahdaily/-

Ceramah ‘Yahudi dan Judi’ dipindah ke Stadium Selayang

26 Jamadil Akhir 1431 H

GOMBAK, 8 Jun: Ceramah ‘Yahudi dan Judi’ yang melibatkan pemimpin utama Pakatan Rakyat di Kompleks Muhibah Taman Bolton, di sini, malam ini dihalang pihak keselamatan dengan alasan dibuat di tempat terbuka.Majlis yang sepatutnya dibuat di sebuah dewan tidak dapat diadakan kerana pihak penganjur tidak mendapat kuncinya.

Ekoran itu, beberapa orang ditahan iaitu dua anggota Unit Amal, Alfian dan Damanhuri, Ketua Pemuda Selangor, Ustaz Hasbullah dan Ketua Pemuda Gombak, Ustaz Sharhan.Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di Selayang.

Majlis ceramah yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Datuk Mahfuz Omar dipindahkan ke Stadium Selayang.

Turut menyampaikan ceramah ialah sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Gaza yang ditahan tentera rejim Israel iaitu Mustafa Mansor (Mapim) dan Jamuliddin Elias (Yayasan Amal) pada majlis yang dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad itu.

Walaupun tempat ceramah terpaksa dipindahkan pada malam ini juga dalam jarak lebih kurang 15 kilometer, namun sekitar 5,000 orang sudah berada di dalam stadium pada kira-kira jam 10.30 malam ini.

GOMBAK, 8 Jun: Ceramah ‘Yahudi dan Judi’ yang melibatkan pemimpin utama Pakatan Rakyat di Kompleks Muhibah Taman Bolton, di sini, malam ini dihalang pihak keselamatan dengan alasan dibuat di tempat terbuka.

Majlis yang sepatutnya dibuat di sebuah dewan tidak dapat diadakan kerana pihak penganjur tidak mendapat kuncinya.

Ekoran itu, beberapa orang ditahan iaitu dua anggota Unit Amal, Alfian dan Damanhuri, Ketua Pemuda Selangor, Ustaz Hasbullah dan Ketua Pemuda Gombak, Ustaz Sharhan.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di Selayang.

Majlis ceramah yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Datuk Mahfuz Omar dipindahkan ke Stadium Selayang.

Turut menyampaikan ceramah ialah sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Gaza yang ditahan tentera rejim Israel iaitu Mustafa Mansor (Mapim) dan Jamuliddin Elias (Yayasan Amal) pada majlis yang dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad itu.

Walaupun tempat ceramah terpaksa dipindahkan pada malam ini juga dalam jarak lebih kurang 15 kilometer, namun sekitar 5,000 orang sudah berada di dalam stadium pada kira-kira jam 10.30 malam ini.

Harakahdaily/-

Pasaraya, kedai di Seremban kehabisan gula

26 Jamadil Akhir 1431 H

Beberapa pasar raya dan kedai runcit di Seremban berhadapan dengan masalah kekurangan gula sejak beberapa minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam Negeri Datuk Hashim Rushdi berkata antara puncanya ialah pembelian berlebihan oleh pengguna yang khuatir kononnya harga gula akan naik dan sikap peniaga yang menyembunyikan bahan itu.

"Pengguna panik apabila ada khabar angin seperti ini. Kalau kebiasaannya mereka beli gula secara purata dua kilo sebulan, kali ini mereka beli empat kilo sedangkan pengeluaran gula di empat kilang tempatan di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Selangor adalah mencukupi," katanya.

Beliau juga berkata ada kemungkinan pemborong menyembunyikan bekalan gula kerana spekulasi kononnya harganya akan naik bulan ini.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di bandar ini mendapati gula tidak dijual.

Seorang kakitangan The Store, Mohammad Nur, 26, berkata pasar raya itu sudah tidak mempunyai bekalan gula sejak beberapi hari lepas dan beliau diberitahu oleh majikannya bahawa stok gula mereka sudah habis.

"Dalam satu minggu ini, lebih 100 orang sudah datang untuk membeli gula tetapi mereka balik dengan tangan kosong kerana gula tidak ada. Ini menyebabkan barangan lain seperti susu pekat mendapat permintaan tinggi," katanya.

Suri rumah A Lakhsmi, 36, dari Kemayan Jaya, berkata beliau sudah tiga minggu mencari gula tetapi tidak dapat.

"Saya sekarang guna gula melaka dan susu pekat sebagai pemanis makanan dan minuman," katanya.

Zaini Mohd Jailani, pengusaha Restoran Makanan Cina Muslim Sifu Al Ifra di Taman Seri Rahang, berkata, beliau masih boleh mendapatkan bekalan gula dari pemborong di sekitar bandar Seremban tetapi dengan jumlah yang terhad.

"Biasanya saya memesan 10 kilogram gula tetapi pemborong hanya akan mengeluarkan empat kilo sahaja. Jadi saya terpaksa pergi ke pasar besar Seremban lain untuk mendapatkan bekalan," katanya.

Malaysiakini/-

Rugi RM40 juta: Siasatan Kohilal selesai

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Siasatan ke atas Koperasi Al-Hilal Bhd (Kohilal) yang kerugian hampir RM40 juta, sudah selesai, kata pengerusi lembaga Kohilal, Mat Samsudin Abdullah.Menurut beliau, Kohilal kini diletakkan di bawah lembaga pengurusan baru yang dilantik oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) - (dahulunya Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia) sejak 2007.

"Siasatan sudah selesai dan sekarang lembaga baru tumpukan untuk memulihkan koperasi," kata Mat Samsudin ketika dihubungi Malaysiakini semalam.Beliau berkata tumpuan tersebut termasuk aktiviti mempromosikan produk baru keluaran Kohilal.Ketika ditanya, Mat Samsudin bagaimanapun enggan mengulas aktiviti pelaburan yang didakwa menyebabkan Kohilal mengalami kerugian berjumlah hampir RM40 juta itu.

“Siasatan sudah selesai dan lembaga baru yang menguruskan (Kohilal) sekarang. Jadi tidak adil bagi saya untuk memberi komen sekarang kerana semua itu berlaku dalam lembaga dahulu,” katanya.

Ditanya lanjut, beliau juga enggan mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan oleh suruhanjaya berkenaan.

“Hasil siasatan itu ada pada mereka. Tidak adil (kepada ahli lembaga terdahulu) jika saya dedahkan,” katanya lagi.

Isu ini kembali mencuri perhatian susulan laporan akhbar Utusan Malaysia semalam berhubung dakwaan skandal berkenaan.

Laporan itu menyebut, presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan “penyelewengan pengurusan” yang berlaku sejak 2001.

Ibrahim dilaporkan telah menyedia satu dokumen berhubung dakwaan skandal itu, yang didakwa berlaku dalam sebuah anak syarikat koperasi berkenaan Kohilal Holdings Sdn Bhd.

Memetik exco kerajaan Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, laporan hari ini, akhbar itu juga menyebut, kegiatan Kohilal kini "dibekukan buat sementara waktu."

Dalam pada itu pula, lidah rasmi PAS memetik Mohd Amar sebagai berkata, Kohilal sedang "memperbaiki pengurusan baru untuk membuat perubahan dalam koperasi itu agar ia pulih semula."

Beliau juga berkata, Kohilal tidak perlu memberi penjelasan kepada PERKASA memandangkan Ibrahim Ali tidak menganggotai koperasi berkenaan.

Mohd Amar juga menepis dakwaan yang ditimbulkan Ibrahim, namun mengakui bahawa Kohilal sememangnya "mempunyai sedikit masalah."

“Kadang-kadang nasib kita baik, kita mencarum di tempat yang kebetulan ada rezeki yang baik untuk kita, kita akan mendapat keuntungan yang lebih. Jika tidak, inilah yang terpaksa kita tanggung,” ujarnya lagi.

Malaysiakini/-

Kajian ISA selesai, pindaan bulan depan

26 Jamadil Akhir 1431 H

Kementerian Dalam Negeri berharap dapat membentangkan enam akta yang dikatakan ‘menindas’ termasuk Akta Keselamatan Dalam Negara 1960 (ISA) dan Ordinan Darurat pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Abu Seman Yusop memberitahu wartawan hari ini bahawa segala dokumen berhubung perkara berkenaan telah diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk kelulusan.Katanya, pindaan ISA itu akan disesuaikan mengikut keadaan semasa. Ia membabitkan lima perkara utama:

-Kuasa menteri

-Tempoh tahanan

-Kuasa polis

-Hak dan layanan ke atas tahanan

-Pemansuhan beberapa seksyen

Katanya lagi, pindaan ISA dan dua lagi akta di bawah undang-undang pencegahan dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bulan depan.

Dua akta lain itu adalah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Kesemua pindaan undang-undang pencegahan itu kini di peringkat akhir kelulusan oleh Jabatan Peguam Negara dan kita jangka akan dapat dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen bulan hadapan selepas diluluskan Peguam Negara dan Kabinet," katanya.

Abu Seman berkata tiga lagi akta iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959, masih di peringkat semakan Bahagian Penggubalan, Jabatan Peguam Negara.

"Tujuan kita meminda akta-akta ini adalah untuk memelihara hak orang tahanan dan mengelakkan salah guna kuasa dalam melaksanakan undang-undang pencegahan," katanya.

Mac lalu, kabinet memutuskan pindaan ke atas ISA harus dibentang pada persidangan Parlimen bersama-sama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang juga perlu dipinda.

Abu Seman berkata pindaan terhadap semua akta itu berdasarkan perbincangan dengan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan.

"Daripada jumlah itu, hanya dua yang mahukan ISA dihapuskan manakala yang lain bersetuju agar pindaan dilakukan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pindaan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan juga telah siap dikaji oleh kementerian dan dihantar ke bahagian penggubalan Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan.

Malaysiakini/-

'Yahudi & Judi': Empat pemimpin PAS ditahan

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Polis menahan Ketua Pemuda PAS Selangor Hasbullah Ridzwan dan tiga lagi pemimpin akar umbinya di tapak ceramah Pakatan Rakyat di Batu Caves, Selangor.Hasbullah berkata beliau ditahan kerana enggan bersurai apabila polis mengarahkannya supaya berbuat demikian, ketika berkumpul bersama kira-kira 20 orang yang lain di perkarangan Dewan Kompleks Muhibbah di Taman Bolton.

Turut ditahan dalam kejadian pada kira-kira jam 8 malam tadi ialah ketua pemuda PAS bahagian Gombak Syarhan Humaizi Halim, setiausaha Damanhuri Dol dan ketua penerangannya Afyan Mat Rawi.Ketiga-tiga orang tersebut ditahan kerana menghalang tugas polis, kata Hasbullah lagi ketika dihubungi lewat malam tadi.

Kesemua mereka dibawa ke ibu pejabat polis daerah Gombak dan dibebaskan pada kira-kira jam 11.50 malam dengan jaminan polis.

Hasbullah mendakwa, ceramah bertema kan 'Yahudi dan Judi' anjuran lajnah penerangan PAS itu pada awalnya dijadualkan diadakan di tempat berkenaan terpaksa dipindahkan ke Stadium Selayang, hampir 10 kilometer daripada tempat itu.

"Polis menutup tempat itu jadi kami terpaksa ambil tempat alternatif ke Stadium Selayang.

"(Polis) kata sebab penganjuran ceramah ini tidak ada permit, dan mereka kata (Dewan Kompleks Muhibbah) itu kawasan terbuka.

"Hakikatnya tempat itu berbumbung dan sememangnya berada dalam kawasan berpagar," kata Hasbullah lagi.

Di stadium berkenaan, ceramah oleh pemimpin kanan Pakatan Rakyat, antaranya oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang turut disertai peserta flotila pro-Palestin yang diserang tentera Israel baru-baru ini.

Walaupun berlaku pertukaran tempat di saat-saat akhir, hampir 2,000 orang menyertai ceramah tersebut.

Sementara itu menurut Harakahdaily ceramah malam ini dihalang pihak keselamatan dengan alasan dibuat di tempat terbuka.

Versi internet akhbar organ PAS itu melaporkan majlis itu tidak dapat diteruskan di situ kerana pihak penganjur tidak mendapat kuncinya.

Malaysiakini/-