Perhimpunan
Agung UMNO yang baru selesai pada 1 Disember 2012, mudah bagi kita
untuk merumuskannya dan apa yang berlaku dalam perhimpunan itu sangat
tepat dengan apa yang kita telah tahu selama ini.
UMNO itu sungguh
tertekan dan akan menghadapi pilihanraya yang paling getir dalam sejarah
parti itu. Segala apa yang berlaku dalam perhimpunan itu merupakan satu
manifestasi yang jelas tentang tekanan yang parti itu hadapi.
Setakat ini UMNO telah melakukan banyak usaha untuk
mendapatkan keyakinan rakyat dan salah satu dari perkara yang dilakukan
ialah berbai’ah di depan Dr Mahathir supaya ahli-ahli parti tidak
melakukan sabotaj terhadap calon-calon BN. ‘Initiative’ yang dilakukan
oleh Mahathir memanggil pemimpin-pemimpin Bahagian UMNO di seluruh
negara untuk berjanji dan bersumpah tidak mensabotaj parti itu
menunjukkan yang sabotaj-mensabotaj calon merupakan masalah yang
terbesar dalam UMNO.
Jika berbai’ah itu di jadikan sebagai salah satu usaha
besar untuk bertahan, maka itu sekali gus membayangkan kepada kita UMNO
sudah terlalu hampir kepada kekalahan. Jika isu sabotaj-mensabotaj itu
tidak besar masakan tindakan bersumpah itu di jadikan usaha yang
dilakukan oleh pemimpin besar yang pernah menjadi PM selama lebih dari
dua dekad. Tindakan bekas PM ini memanggil pimpinan bahagian untuk
bersumpah itu juga mengiyakan apa yang di pandang oleh rakyat yang
Mahathir merupakan orang yang paling takut jika UMNO itu jatuh. Sebab
beliau merasa takut itu boleh lah tuan-tuan agak dan agakan
saudara-saudara itu tidak mungkin salah.
Kenapa sampai bersumpah?
Kalau parti itu (UMNO) kuat dan mendapat sokongan, apa
yang perlu bersumpah-sumpah itu? UMNO sepatutnya memberikan kepercayaan
kepada pemimpin-pemimpin mereka di peringkat bahagian tetapi sebaliknya
UMNO tidak yakin dan tidak mempercayai ahli-ahlinya sendiri. UMNO
mempunyai masalah dalaman yang ketara. Orang ramai tidak tahu masalah
ini asalnya, tetapi setelah berlakunya angkat sumpah di depan Mahathir
itu sudah cukup untuk menyatakan dengan ‘conclusive’ UMNO dalam
kesempitan.
“Yang lebih lucunya kami terpaksa angkat sumpah dengan
orang yang menjadi penyebab kepada perpecahan kami dalam UMNO ini.
Nampak sangat Mahathir terlalu takut dengan masalah beliau jika UMNO
tewas dan dia mahu kita jadi pelindung dia setiap masa. Kita di bawah ni
hanya diperguna macam lembu saja” kata seorang AJK Bahagian yang saya
kenali sebegitu lama.
Lebih banyak bercakap lebih banyak kelemahan kita lihat
dalam UMNO ini. Kata Najib dalam perhimpunan itu, “satu undi untuk DAP
merupakan satu undi untuk tekanan terhadap orang Melayu”. Kata perpatah
‘bercakap di siang hari pandang-pandang, bercakap malam hari di
dengar-dengar’. Najib tidak langsung nampak musuhnya di dalam BN sendiri
yang bercakap bertentangan dengan kata-kata pemimpin tertingginya.
“Chua Soi Lek pula berkata satu undi untuk DAP itu adalah satu undi
untuk tekanan terhadap orang Cina”. Apa maknanya semua ini?
Kata-kata ini sahaja sudah menunjukkan kecelaruan dalam hala tujuan parti-parti dalam BN. MCA ke hulu UMNO pula ke hilir.
Dalam bercakap dengan gegaran tinggi tentang penyatuan
kaum-kaum di negara ini UMNO dan Najib masih bercakap isu yang
berteraskan elemen rasis yang merbahaya dan ingin melihat rakyat yang
berbilang kaum ini untuk mengesyaki di antara satu dengan lain. Ini
merupakan manifestasi yang UMNO sedang tersepit apabila Pakatan Rakyat
mampu untuk mencari formula penyatuan kaum yang ampuh yang tidak mungkin
boleh dicapai oleh BN.
UMNO memusuhi DAP seolah-olah kami dalam DAP ini seperti
haiwan dan binatang liar. UMNO tidak mahu mengakui yang DAP lebih di
yakini oleh sesiapa yang ikhklas mahu melihat kerjasama di antara kaum
itu. UMNO masih menakut-nakutkan orang Melayu dengan mangatakan jika PR
memerintah maka DAP dan orang Cina akan berkuasa. DAP hanya akan
meletakkan lima puluh calon di dalam PRU ini dan jika calon-calon parti
ini menang kesemua kerusi sekali pun, orang-orang Cina tidak akan
menguasai politik negara ini.
Lagi pun, adalah di perkatakan yang di antara lima puluh
calon-calon DAP itu berkemungkinan ada calon Melayu yang akan
menunjukkan yang DAP bukannya parti rasis seperti UMNO dengan Melayunya
dan MCA dengan chauvinis Cinanya. Sesungguhnya kemampuan DAP untuk lebih
bertanggungjawab terhadap siasah yang realistik dan politik keamanan
ini menjadikan BN khususnya UMNO begitu goyah dari hari ke hari kerana
yang pasti MCA akan kehilangan undi Melayu dan UMNO juga bertambah
kurang sokongan dari orang Melayu itu.
UMNO sekarang ini sedang kehilangan sokongan dari orang
Melayu kerana PAS telah menunjukkan kemantapannya untuk menarik sokongan
Melayu Islam. Isu ini lebih membuatkan UMNO tidak tentu arah dan
menyebabkan pucuk pimpinannya bercakap dengan nada yang tinggi dalam PAU
baru-baru ini. Laungan dan jeritan pucuk pimpinan UMNO itu hanya
melambangkan betapa runsingnya UMNO dalam menghadapi pilihanraya kali
ini, yang merupakan ibu segala pilihanraya dalam sejarah kemerdekaan
negara.
Hanya saya ingin mengingatkan parti-parti dalam PR agar
sentiasa bersyukur dengan perkembangan ini dan jangan sekali-kali
bersikap takbur dan mendahului Tuhan. Sikap parti-parti dalam PR setakat
ini baik dan diharapkan ia akan bertambah baik dari masa ke semasa.
Saya sendiri sangat berbesar hati yang PR tidak henti-henti berusaha
untuk mencapai matlamat yang satu negara kita, iaitu perpaduan kaum atau
yang di sebut selalu sebagai ‘national unity’ ini.
Perjuangan ini merupakan perjuangan ‘ultimate’ rakyat.
Rakyat sudah tidak mahu lagi diperguna oleh mana-mana pihak untuk
memecahkan perpaduan di antara rakyat berbilang kaum semata-mata kerana
sikap ‘desperado’ mereka dalam politik kepartian yang jumud dan
merekahkan kesatuan yang sedang kita pupuk sekarang ini.
Apa yang perlu sekarang hanyalah kesedaran rakyat yang
orang Melayu khususnya tidak menolak perpaduan tetapi biarlah perpaduan
itu berlaku di luar UMNO dan BN. Inilah perubahan yang sedang jelas
berlaku di negara ini dan fenomena ini nampaknya akan membuahkan
masyarakat yang berpadu walaupun di bawah naungan siasah yang berbeza.
Rakyat wajar melakukan perbezaan ini. Kita sudah muak
dan jemu dengan kata-kata yang memecah belahkan kita semua. Ingat! yang
rugi hanya kita rakyat di bawah ini jika kita masih mahu berfikir cara
yang dikehendakki oleh UMNO.
Kita perlu menolak isu rasis terus-terusan dan ini akan
menjamin keamanan negara yang kita cintai ini. Ingat betul-betul,
memberikan kepercayaan kepada pihak yang 'desperate' amat merbahayakan
negara pada masa yang akan datang. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
harakah/-