4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Kurang
seminggu sebelum hari penamaan calon dan tinggal tiga minggu sebelum
hari pengundian…debaran untuk menyaksikan siapakah pemenang Pilihan Raya
Umum ke-13 makin kuat kedengaran.
Ada yang menjangkakan PRU
kali ini cukup sengit hinggakan sukar untuk menentukan pemenang dan
tidak kurang juga, kalangan yang percaya parti pemerintah sedia ada
mampu mengekalkan tampuk kekuasaan yang dipegang mereka selama lebih
lima dekad.
Bagi parti-parti politik yang mempamer prestasi
buruk pada PRU 2008 lalu, PRU ke-13 merupakan medan utama untuk menebus
kembali maruah yang tercalar.
Dalam konteks ini, parti-parti
politik seperti MCA, MIC dan Gerakan…PRU 13 bakal menentukan hidup
matinya mereka di persada politik tanah air. Apa tidaknya, satu lagi
kekalahan memalukan hanya membuktikan bahawa masyarakat yang diwakili
mereka telah menolak secara jelas pendekatan politiknya.
Satu-satunya
pemimpin politik yang mungkin merasa bahang PRU kali ini ialah Presiden
MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. Ini kerana sekiranya parti pimpinan
beliau gagal memperbaiki keputusan PRU 12, beliau bakal berhadapan
dengan pelbagai kemungkinan.
Kemungkinan yang dimaksudkan itu
termasuk tentangan terhadap kepimpinannya, kuasa menawar MCA yang
semakin lemah dan kemungkinan ketiadaan perwakilan Cina dalam Jemaah
menteri.
Sepanjang kerjaya politiknya yang mencecah
berdekad-dekad lamanya, Soi Lek telah mencipta sejarah dalam pelbagai
perkara. Ia termasuk untuk dirinya sendiri mahupun parti politik yang
diterajui beliau sejak 2010 yang lalu.
Buat pertama kalinya
dalam sejarah, seorang Presiden MCA tidak akan bertanding pada Pilihan
Raya Umum. Buat pertama kalinya juga, seorang pemimpin yang dilanda
skandal seks diberi kepercayaan oleh perwakilan untuk memimpin parti.
Lebih
hebat lagi, beliau juga merupakan satu-satunya pemimpin MCA yang pernah
memegang tiga jawatan tertinggi parti iaitu Naib Presiden, Timbalan
Presiden dan Presiden dalam suasana yang penuh kontroversi.
Apa
yang menjadikan Soi Lek seorang pemimpin MCA yang cukup digeruni ialah
keberanian beliau untuk menentang pemilihan mantan Presiden MCA, Dato
Seri Ong Tee Keat sebagai calon BN di Pandan biarpun Tee Keat disenangi
pucuk pimpinan tertinggi BN dan rakyat. Dengan erti kata lain, beliau
berani menentang arus.
Inilah perwatakan dan kekuatan Soi Lek.
Kita tidak nafikan bahawa Soi Lek bukanlah politikus sembarangan.
Lidahnya tajam lagi bercabang manakala otaknya pula sentiasa bergeliga
mematahkan hujah-hujah pedas pembangkang. Kekuatannya cukup ketara
ketika pembabitan debatnya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan
Eng.
Begitupun, kekuatan yang dimiliki Soi Lek itu juga
merupakan kelemahan utama beliau. Dan kelemahan itu juga yang dijadikan
senjata oleh musuh politik untuk memusnahkan reputasi beliau.
Tindak-tanduk
dan keputusan yang dibuat beliau dalam beberapa isu khasnya soal
pemilihan calon, penyerahan kerusi tradisi MCA kepada parti komponen
lain dan keputusannya untuk tidak bertanding menarik perhatian ramai.
Ia
juga telah mewujudkan satu precedent atau peristiwa yang belum pernah
berlaku dalam sejarah MCA sejak parti itu ditubuhkan lebih 64 tahun yang
lalu.
Pada hemat penulis, precedent yang diwujudkan itu mungkin
memakan parti dan dirinya sendiri. Belum pernah dalam sejarah parti MCA
dalam persiapan berhadapan dengan PRU, kedudukan dan sokongan
masyarakat Cina berada pada paras yang begitu lemah. Difahamkan
sokongan masyarakat Cina kepada pembangkang terus mengukuh sejak 2008
dengan peratusan sokongan mencecah hampir 80%.
Mungkinkah kerana
faktor-faktor yang disebutkan tadi mempengaruhi Soi Lek untuk tidak
bertanding pada PRU ke-13? Dari segi undang-undangnya, Soi Lek sebagai
Presiden MCA berhak untuk tidak bertanding dalam PRU kali ini. Malah
sebagai kapten parti berkenaan, beliau berhak memilih untuk memainkan
peranan di belakang tabir. Itu adalah hakiki beliau.
Bagaimanapun
dari segi psikologi dan percaturan politik, tindakan untuk tidak
bertanding mungkin sedikit memberi kesan kepada moral jentera parti.
Situasi ini diibarat sebuah kapal tanpa nakhoda. Apabila sesebuah kapal
tidak bernakhoda, ia mudah hilang arah dan punca.
Dalam
mana-mana perang sekalipun, seseorang kapten wajar menerajui di barisan
hadapan dan bukannya di belakang. Seseorang kapten juga harus
memastikan bahawa bala-bala tenteranya sentiasa bersemangat dan dalam
keadaan siap-siaga.
Justeru, apabila Soi Lek memberikan alasan
bahawa keputusan tidak mahu bertanding PRU bagi memperhebat proses
rejuvenasi dalam parti hanyalah satu alasan semata-mata.
Apakah
pross rejuvenasi hanya boleh dilaksanakan apabila Soi Lek tidak
bertanding pada PRU? Bukankah proses rejuvenasi merupakan satu proses
yang berterusan?
Kalau benar proses rejuvenasi sedang giat
berlaku dalam MCA, mengapakah barisan kepimpinan MCA sedia ada masih
terdiri daripada kalangan pemimpin yang sudah berpangkat veteran?
Agak
malang, barisan pemimpin muda tidak begitu menonjol dalam MCA. Yang ada
pun hanyalah beberapa kerat sahaja. Perkembangan tersebut jelas tidak
akan membantu MCA untuk menarik orang muda menyertai parti berkenaan.
Dan
ini membawa kita kepada persoalan apakah Soi Lek sebenarnya takut kalah
dan tidak yakin untuk menang pada PRU ke-13? Soi Lek sebenarnya tidak
punya banyak pilihan. Jika memutuskan untuk bertanding, Soi Lek akan
dilabel sebagai seorang pemimpin yang gilakan kuasa.
Jika tidak
bertanding pula, beliau akan dikecam sebagai seorang pemimpin yang bacul
dan tidak berani. Akan tetapi bagi mematikan terus kesemua tohmahan,
Soi Lek wajar menimbangkan semula keputusannya dan memilih untuk
bertanding. Jika kalah sekalipun, sekurang-kurangnya tindakan berani itu
akan menutup mulut pengkritik parti.
S
elain
isu kepimpinan, keputusan parti MCA untuk bertukar kerusi dengan
parti-parti komponen dalam beberapa kawasan Parlimen dikecam oleh
kalangan pemimpin akar umbi. Keputusan MCA untuk meminjamkan Wangsa Maju
kepada UMNO walaupun belum disahkan telah mengundang kemarahan
penyokong-penyokong bekas MP Wangsa Maju, Yew Teong Look. Dikhabarkan
mereka bersedia untuk memboikot kempen PRU di Wangsa Maju jika kerusi
itu dipinjam kepada UMNO.
(Ahli MCA Wangsa Maju mahu kerusi itu dikekalkan di
tangan MCA tetapi ia diserahkan oleh Chua Soi Lek kepada Umno ...ini
menghasilkan pendekatan perkauman oleh Umno untuk menang pilihan raya)
Bagi mereka, Wangsa Maju secara tradisinya adalah kerusi MCA dan
Teong Look merupakan calon yang boleh menang. Apa tidaknya, Teong Look
hanya kalah kepada calon PKR ketika itu, Wee Choo Keong dengan 150 undi
sahaja.
Selain kerusi Wangsa Maju, MCA kini dilaporkan telah
menyerahkan kerusi Kuantan kepada UMNO, Tronoh kepada MIC, Kota
Laksamana kepada PPP dan Tanah Rata kepada Gerakan. Melihat kepada
penyerahan kerusi itu, MCA kini dilihat cuba untuk mengurangkan impak
kekalahan pada PRU 13. Dalam erti kata lain, damage limitation.
Namun
usaha mengurangkan impak kekalahan itu mungkin sia-sia jika senarai
calon yang akan diturunkan untuk PRU 13 tidak menyeluruh. Sebelum
ini,telah diuar-uarkan bahawa MCA akan menurunkan hampir 40 peratus muka
baharu manakala selebihnya gandingan pemimpin berpengalaman.
Akan
tetapi, nama mantan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat tidak
tersenarai sebagai calon MCA di Pandan. Ramai menyifatkan pengguguran
Tee Keat daripada senarai itu sebagai tindakan balas dendam Soi Lek
terhadap bekas Menteri Pengangkutan tersebut. Ia juga satu jalan untuk
menamatkan terus kerjaya Tee Keat sebagai pemimpin politik.
Ternyata,
persengketaan terbuka Soi Lek-Tee Keat bukan lagi satu rahsia bahkan ia
mencetuskan kerisauan pemimpin-pemimpin BN lain mengenai kestabilan
parti MCA dalam jangka panjang. Ramai juga menganggap bahawa Soi Lek
terlalu personal dalam serangannya terhadap Tee Keat hinggakan mengaburi
matlamat jangka panjang untuk mengukuhkan parti.
Soi Lek
seharusnya akur dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri
mengenai pemilihan calon khususnya di Pandan. Tidak perlu menentang
sebaliknya akur dengan konsep permuafakatan parti komponen yang
terbentuk selama ini.
Soi Lek perlu faham bahawa BN perlukan
seorang calon berwibawa, kuat dan berpengalaman untuk mempertahankan
kerusi Pandan, lebih-lebh lagi calon yang akan dilawannya ialah Pengarah
Strategik PKR, Rafizi Ramli. Soi Lek juga tentunya sedar bahawa calon
selain Tee Keat hanya akan menyaksikan kerusi Pandan itu jatuh ke tangan
pembangkang.
Pada PRU 2008, hanya Tee Keat seorang sahaja
pemimpin MCA di Selangor yang terselamat daripada tsunami politik
pembangkang. Kejayaan Tee Keat untuk menang pada PRU 2008 di sebalik
tsunami politik merupakan satu manifestasi kepada keyakinan pengundi
terhadap integriti dan komitmen beliau kepada rakyat Pandan.
Dengan
hari pengundian kini berbaki 3 minggu dari sekarang, pucuk pimpinan MCA
harus merapatkan saf dan mengenepikan segala perbezaan pendapat demi
memastikan parti berkenaan dapat memberikan persembahan terbaik pada PRU
13.
Walaupun tidak diberikan peluang untuk menang besar pada
PRU kali ini, namun sekurang-kurangnya MCA boleh membuktikan kepada
masyarakat Cina bahawa ia akan berjuang habis-habisan bagi memastikan
maruah dan kredibiliti parti tersebut terus terpelihara. Mampukah MCA
menangkis kebangkitan dan kemaraan DAP di kawasan yang majoritinya
penduduk Cina? - The Malaysian Insider