15 April 2013

Enam rumah kongsi musnah

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Enam rumah kongsi musnah

Anggota bomba memadamkan sisa kebakaran rumah kongsi pekerja kilang papan dalam kejadian di Paya Berenjut, Chukai, malam kelmarin.
KEMAMAN – “Kalau jiran tak kejutkan, mungkin saya dah jadi arwah,” demikian kata pemotong kayu, Wan Suhaimi Wan Ali, 43, yang nyaris rentung dalam kebakaran yang menyebabkan enam keluarga tinggal sehelai sepinggang, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30  malam itu, enam rumah kongsi pekerja dalam kilang papan Paya Berenjut, Chukai musnah.

Wan Suhaimi yang bekerja di situ sejak lapan bulan lalu berkata, dia tersedar daripada tidur apabila mendengar namanya dijerit jiran depan rumah, Mohd Hisham Ismail, 33, yang memberitahu rumah terbakar.

“Saya segera dukung dua anak dan redah api yang membakar pintu dapur untuk keluar. Tiada cara lain untuk keluar,” katanya yang melecur kecil di lengan dan belakang badan.

Bagaimanapun, kedua-dua anaknya, Wan Amyza Nadia, 8, dan Wan Amyza Najwa, 7, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, ketika kejadian isterinya pulang ke rumah ibu mentua dan yang tinggal di rumah hanya dia serta dua anak.

“Sebelum tidur saya dah gosokkan baju sekolah anak-anak tapi sekarang semuanya musnah.

“Selepas redah api, saya sempat menolak kereta Kancil di depan rumah dan nasib baik kereta tidak terbakar. Patutlah dua, tiga hari kebelakangan ini saya rasa tidak sedap hati, rupanya akan ditimpa malang seperti ini,” katanya.

Api merebak dengan cepat.

Sementara itu, Nurul Mardiana Mohd Nor, 31, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila suaminya, Mohd Hisham menjerit beritahu rumah jiran di belakang rumah terbakar.

“Kami mahu simbah air tapi tidak sempat. Api turut merebak ke rumah kami. Dalam keadaan cemas,  saya dan suami sempat usung peti ais keluar,” kata ibu dua anak ini.

Susulan itu, semua enam keluarga terbabit membabitkan 18 mangsa terpaksa tumpang berteduh di Balai Raya Kampung Paya Berenjut.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman kira-kira jam 1.50 pagi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Pegawai Bomba Kanan II, Mokhtar Musa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.50 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 12.03 tengah malam dengan kekuatan seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan bantuan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman.

“Ketika pihak kami tiba, kira-kira 80 peratus deretan rumah kongsi yang dibuat daripada kayu ini sudah musnah dijilat api.

“Anggaran kerugian dan punca kebakaran berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: