27 November 2012

Letak lukisan bawah tangga

13 Muharram 1433H. [MOD] -

Letak lukisan bawah tangga

Abdullah menunjukkan hasil karya yang disayanginya di Ganu D’Art Gallery, Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU –  Siapa sangka, kos menghasilkan lukisan yang kurang daripada RM100 mampu dijual dengan harga lumayan sehingga memberi kepuasan kepada peminatnya.

Pelukis, Dr Abdullah Sani Kamaluddin, 59, berkata, lukisannya dijual mencecah RM250 hingga RM6,000 satu unit bertemakan ilusi dan realiti memberi semangat baru kepadanya yang melihat lukisan kurang mendapat sambutan di Terengganu.

Bertitik tolak daripada itu, pensyarah sambilan Fakulti Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) ini meneruskan impiannya membina sebuah galeri yang mampu mempamerkan dan menjual hasil seninya.

“Tiga bulan lalu, saya mula terfikir negeri ini kurang galeri seni yang memaparkan hasil seni pelukis termasuk lukisan saya sendiri.

“Di rumah, lukisan ini hanya diletakkan di bawah tangga kerana tiada galeri khusus yang dapat dipamerkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dek ketiadaan galeri, Abdullah sering mempamerkan lukisannya di hotel termasuk Hotel Renaissance, Kota Sri Mutiara, Kota Bharu, Kelantan.

Akhirnya setelah puas memikirkan cara terbaik mengumpulkan hasil seni itu di suatu tempat, dia mula mengintai peluang membuka sebuah galeri miliknya yang boleh menarik orang ramai terutama pelancong ke Terengganu dan dia berjaya merealisasikannya.

“Sebenarnya galeri sebegini memainkan peranan penting untuk memajukan negeri ini walaupun sesetengah pendapat menyatakan ia sebagai kerja tidak popular,” katanya.

Menurutnya, hanya orang berjiwa seni mampu menilai makna di sebalik lukisan dan hakikatnya, satu unit lukisan yang dijual sudah mampu untuk membayar sewa galerinya berjumlah RM800 setiap bulan.
“Walaupun pada mulanya keputusan untuk membuka galeri ini mendapat tentangan keluarga, namun saya yakin ia pasti berjaya,” katanya.

Abdullah berkata, galeri miliknya, Ganu D’Art Gallery membabitkan kos hampir RM20,000 itu mempamerkan lebih kurang 90 jenis lukisan ilusi dan realiti hasil tangannya.

Ditanya berhubung tema dipilih, Abdullah berkata, kebanyakan pelanggan atau orang ramai lebih gemar melihat atau membeli lukisan bertemakan ilusi serta realiti, sehingga mendorongnya menghasilkan lukisan sedemikian.

Menurutnya, galeri yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, Khamis lalu turut mengadakan pameran silih berganti karya seniman lain yang terdapat dalam negara.  

Abdullah yang pernah menerima pengiktirafan Philip Morris Group of Componies Malaysia/Asean Art Awards 1997 turut melahirkan hasratnya untuk meletakkan lawatan berjadual ke galerinya dalam kalendar pelancongan negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu.

sinar/-

Menteri tidak hadir sidang dewan mengecewakan

13 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini adalah amat mendukacitakan apabila tempoh yang diberikan untuk sesi perbahasan terlalu singkat.

"Persidangan kali ini agak mendukacitakan apabila masa yang diperuntukkan amat terhad pada sesi perbahasan sehinggakan ahli parlimen tidak mempunyai masa untuk mendedahkan segala kepincangan yang berlaku pada sesi perbahasan bagi setiap kementerian," jelasnya kepada Harakahdaily.

Malah menurutnya lagi, kebanyakan menteri juga gagal hadir untuk menjawab setiap persoalan yang diutarakan oleh ahli parlimen.

"Selain dari masa yang tidak mencukupi, kita juga melihat kebanyakan menteri gagal hadir untuk menjawab setiap permasalah yang ditimbulkan.

"Malah hanya timbalan menteri sahaja yang hadir untuk menjawab, dalam pada itu juga timbalan menteri tidak membuat penyelidikan kementerian sehinggalah jawapan yang diberikan itu hanya mengikut teks yang disediakan oleh pegawai," sambung beliau lagi.

Firdaus memberitahu jawapan timbalan menteri tidak pernah menjawab setiap apa yang ditimbulkan, imej yang ditunjukan itu telah menjejaskan sikap kerajaan yang memerintah.

Tambahnya lagi, apa yang dilakukan oleh timbalan menteri hanya memberi jawapan berbentuk politik dan menyerang peribadi ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Saya pasti apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintah di Putrajaya, menteri perlu hadir untuk mengikuti perbahasan bagi kementerian yang diwakili olehnya," kata beliau lagi.

Menurutnya lagi, Pakatan juga akan memastikan menteri akan bertanggungjawab untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan serta memberi masa yang cukup kepada ahli parlimen setiap kali berbahas.

Mesir runding gencatan senjata Hamas-Israel

13 Muharram 1433H. [MOD] -



(Pemimpin Hamas, Khaled Meshal mahukan pergerakan yang bebas di Gaza sebagai sebahagian dari perjanjian gencatan senjata..foto Reuters)

KAHERAH: Mesir telah memulakan rundingan berasingan dengan Hamas dan Israel untuk memberi butiran lebih lanjut perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui minggu lepas yang mengakhiri konflik lapan hari di Gaza.

Seorang pegawai Mesir memberitahu Reuters bahawa rundingan tersebut akan membincangkan permintaan Palestin untuk pembukaan lebih banyak lintasan Israel ke Gaza - satu langkah yang akan membantu mengakhiri sekatan selama enam tahun terhadap enklaf yang diperintah oleh pergerakan Hamas.

Beliau juga berkata bahawa Kaherah akan menggesa kedua-dua pihak untuk mengukuhkan lagi komitmen mereka terhadap perjanjian gencatan senjata.

Pemimpin kanan Hamas, Mahmoud al-Zahar memberitahu pemberita Sabtu lalu bahawa kumpulan itu mahu melihat pembukaan kesemua empat lintasan barangan dengan Israel yang dulunya beroperasi sebelum tahun 2006.

Hanya satu lintasan barangan beroperasi buat masa ini, dengan terminal penumpang kedua dikhaskan untuk segelintir rakyat Palestin dan warga asing yang dibenarkan masuk dan keluar dari wilayah itu.

harakah/-

Liang lahad Arafat digali hari ini

 13 Muharram 1433H. [MOD] -

RAMALLAH – Salah satu misteri politik Asia Barat mungkin dapat diketahui pada hari ini apabila para saintis menggali liang lahad kubur pemimpin terkenal Palestin, Yasser Arafat (gambar kecil) di sini untuk mengetahui sama ada dia diracun.
 
“Ia amat menyakitkan, mengejutkan dan tidak mudah bagi saya dan anak-anak, tetapi ia mesti dilakukan untuk mengetahui perkara yang sebenar, jika terdapat jenayah, ia mesti diselesaikan,” kata balu Arafat, Suha ketika dihubungi di rumahnya di Malta.

Ketua Penyiasat Palestin berkata, Tawfik Tirawi berkata, liang lahad tersebut akan digali pada hari ini untuk mengambil sampel dari tulang Arafat dan pengebumian semula akan dilakukan pada hari yang sama.
Khabar angin dan spekulasi tersebar mengenai punca kematian Arafat.

Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera dekat Paris pada November 2004 ketika berusia 75 tahun.
Doktor-doktor di Perancis tidak dapat mengenal pasti punca kematian presiden Palestin itu.
Penduduk Palestin percaya Arafat diracun Israel.

Pada Julai lalu, stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan penemuan daripada sekumpulan pakar dari Switzerland yang menunjukkan terdapat bahan radioaktif, polonium pada barang peribadinya.

Polonium merupakan racun yang membunuh bekas perisik Rusia yang lantang, Alexander Litvinenko di London pada 2006. 

Liang lahad itu digali selepas kes siasatan kematian Arafat dibuka di Perancis baru-baru ini.

Panel hakim yang mengendalikan siasatan itu tiba di Ramallah, Tebing Barat kelmarin. – AFP

Hasad dengki warisan kederhakaan iblis

13 Muharram 1433H. [MOD] -


Hasad atau dengki adalah satu daripada maksiat batin yang boleh membinasakan seseorang. Kata Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Hidayatus Salikin, "(Dengki) ia sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Ketahuilah hasad itu haram dan makna-(dengki)nya ialah engkau suka hilang (luput)nikmat daripada orang yang engkau dengki atau engkau berkehendak agar turun bala kepada orang itu".

Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan himpunan amalannya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, "Takutlah kamu semua akan sifat dengki kerana sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar." Riwayat Abi Daud daripada Abi Hurairah

Perbuatan dengki dilakukan pelbagai cara, asalkan orang yang didengki itu menerima kesan buruk. Perbuatan itu boleh berlaku melalui penyebaran fitnah, cacian dan umpatan. Sifat dengki mungkin juga dilakukan secara tindakan fizikal seperti memukul dan membunuh seperti sejarah pertama pembunuhan manusia yang berlaku dalam peristiwa Qabil dan Habil. Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam :

Pertama; Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan (beralih) kepadanya.

Kedua; Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia sendiri tidak dapat menikmatinya, sama ada kerana merasa mustahil dirinya akan dapat merasai nikmat tersebut ataupun kerana memang kurang senang memperolehnya atau sebab lain. Asalkan orang itu jatuh, ia tersenyum gembira. Yang ini lebih jahat daripada peringkat dengki yang pertama.

Ketiga; Tidak ingin kenikmatan yang diperoleh oleh temannya hilang tetapi ia benci kalau temannya itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.

Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah, tidak berwawasan dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain. Dalam diri setiap manusia, memang ada keinginan kepada persaingan untuk melebihi atau mendapat nikmat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenal sebagai "ghibtah".

Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju maka ia wajar berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain itu. Ini bukanlah dengki sebenarnya. Ibnu Mas'ud meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda lalu dia membelanjakannya kepada jalan kebajikan. Dan kedua, keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya." Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi

Nikmat dan Ujian Semuanya daripada Allah

Allah sentiasa menguji keimanan setiap daripada kita. Sesiapa yang redha dan menerima dengan terbuka apa yang terjadi kepadanya memperoleh balasan baik di sisi Allah. Sesuatu yang tidak disenangi menimpa seseorang mungkin tersimpan kebaikan di sebaliknya. Oleh itu, tidak wajar sama sekali seseorang menunjukkan sifat dengki atas apa yang diperoleh orang lain. Anggaplah orang yang menerima kebaikan itu sebenarnya sedang diuji Allah. Sekiranya dia berada di jalan benar, pasti Allah melimpahkan lebih banyak nikmat kepadanya.

Allah lebih mengetahui apa yang menimpa setiap orang. Dia berkuasa memberi dan menentukan setiap kejadian di dunia ini. Sesiapa menyimpan dengki terhadap orang lain, samalah dia cuba mengubah apa yang ditentukan Allah terhadap orang lain.

Betapa bahayanya sifat ini (dengki) disebut di dalam banyak kitab. Antaranya kitab Tanbih al-Ghafilin oleh Imam Abu Laith al-Samarqandi, yang meriwayatkan daripada al-Hasan, bahawa sabda Rasulullah SAW bermaksud, "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis kebaikan (hasanaat) sebagaimana api memakan kayu."

Daripada Abd al-Rahman bin Mu'awiyah berkata, Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Tiga jenis sifat yang tidak dapat selamat seorangpun (daripadanya) iaitu berprasangka buruk, hasad dan takut sial kerana sesuatu."

Lalu Baginda ditanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana untuk selamat daripada semua itu?"

Jawab Baginda Nabi SAW, "Jika kamu hasad maka jangan kamu lanjutkan. Dan jika menyangka maka jangan kamu buktikan (jangan kamu cari-cari kenyataannya). Dan jika merasa takut daripada sesuatu, maka teruskanlah (jangan mundur kerana merasa tidak yakin)."

Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kamu lahirkan dalam amal perbuatanmu, kerana selama mana hasad itu masih dalam hati, maka Allah memaafkan selama mana belum keluar dengan lidah atau perbuatanmu. Jika prasangka buruk maka jangan pula kamu cuba buktikan dengan mencari kesalahannya, atau berusaha menyelidiki untuk mencari kenyataannya. Demikian pula jika terbit dalam hati perasaan was-was dalam hati kerana petanda-petanda yang dianggap mendatangkan sial, maka teruskan hajatmu dan jangan mundur.

Kedengkian Yahudi Terhadap Umat Islam

As-Syeikh Mutawalli Sya’rawi berkata di dalam tafsirnya, "Ketika Peperangan Uhud, Rasulullah SAW telah meminta kumpulan pemanah yang ditempatkan di sebuah bukit kecil supaya jangan turun, sama ada orang Islam menang atau kalah. Tetapi tatkala kemenangan hampir menjelma pada peringkat awal, sebahagian golongan pemanah terlupa arahan Rasulullah SAW itu dan ingin menyertai rakan taulannya memungut harta ghanimah. Hal ini mengakibatkan mereka mengalami kekalahan. Walaupun begitu, golongan kuffar tidak mampu menyatakan kemenangan yang mutlak iaitu menjajah kota Madinah dan kekal di sana. Sebaliknya mereka pulang ke Mekah."

"Dalam situasi kekalahan seperti ini, orang Yahudi Madinah mengambil kesempatan dengan cuba memujuk Sahabat Nabi seperti Huzaifah bin al-Yamani, Tariq bin Yasir dan lain-lain supaya kembali kepada ajaran nenek moyang mereka. Tetapi pujukan mereka tidak berjaya. Dengan tegas Para Sahabat Rasulillah menjawab dan menolak pujukan tersebut.

"Antara lain, kata Ammar ibn Yassir di dalam jawapannya; Sesungguhnya aku beriman dengan Allah sebagai Tuhan, aku beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, aku beriman dengan Kitab sebagai penghulu, aku beriman dengan Kaabah sebagai kiblat, aku beriman bahawa seluruh orang beriman sebagai saudara dan sentiasalah aku dalam keadaan ini selama mana nyawa dikandung badan.”

Rasulullah SAW amat gembira dengan sikap mereka yang terus kekal beriman seperti yang yang dimiliki oleh Para Sahabat.

Benarlah seperti firman Allah Taala:

"Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalau kiranya mereka dapat mengembalikan orang yang beriman menjadi kafir, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, walaupun sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."  (Surah al-Baqarah: ayat 109)

Kata Imam Abu Laith As Samarqandi dalam tafsirnya yang dikenali dengan "Bahr al-'Ulum" menyebut, "Ayat ini diturunkan tatkala orang Islam diuji dalam Peperangan Uhud, golongan Yahudi mengambil kesempatan memujuk Ammar bin Yasir dan Huzaifah bin al-Yaman seraya berkata; Kamu telah terkena bala dan musibah. Justeru, eloklah kamu kembali kepada kami yang jauh lebih baik bagimu. Lantas turunnya ayat ini." Inilah juga pendapat Muqatil.

Tafsiran lain menyatakan bahawa Ka`ab bin Al-Asyraf telah memaki Nabi Muhammad SAW di samping mengajak dan menyeru kepada golongan kafir Quraish dalam bentuk syairnya menentang Rasulullah. Golongan musyrikin dan Yahudi Madinah menyakiti Rasulullah ketika mula datangnya Baginda SAW dalam peristiwa hijrah, tetapi Nabi SAW menyuruh Para Sahabat supaya mengabaikan mereka. Kemudian turunnya ayat ini. Inilah pendapat Abdullah bin Ka`ab bin Malik.

Dan makna hasad yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi di sini ialah benci nikmat yang dikurniakan kepada orang beriman, dan berharap untuk menghilangkan nikmat tersebut sekalipun mereka tidak mendapatkannya. Inilah perasaan hitam yang hina yang melimpah dalam jiwa kaum Yahudi terhadap Islam dan kaum Muslimin, dan perasaan ini masih terus melimpah. Perasaan inilah yang melahirkan semua komplot dan perancangan jahat kaum Yahudi yang berterusan.

Hasad Melahirkan Sifat Benci-Membenci

Banyak faktor yang menyebabkan seseorang bersifat hasad, antaranya ialah kerana 'adaawah (permusuhan), takabbur (bongkak), ta'azzuz (benci jika ada orang lain dapat mengatasi reputasinya), bakhil (kedekut), khubthun nafsi (busuk hati), dan hubbul jaah (gila kuasa). Mu'awiyah bin Abi Sufyan berkata kepada puteranya, "Wahai anak, berhati-hatilah (waspadalah) daripada hasad dengki kerana hal itu akan nyata pada dirimu sebelum bahayanya nampak nyata pada musuhmu."

Manakala kata Imam Abu Laith as-Samarqandi berkata, "Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasad, kerana orang yang berlaku hasad itu akan terkena lima bencana;
1. Hati yang tidak putus-putus merasa risau.
2. Ditimpa bala yang tidak berpahala.
3. Terpalit sifat dan label cela.
4. Dimurkai Allah Taala.
5. Tertutup padanya petunjuk Allah."

Hasad menimbulkan keinginan merampas kebaikan orang lain. Mengapa? Mereka yang berlaku hasad bukan kerana jiwa mereka yang jahat itu tidak tahu, tetapi mereka bersifat begitu kerana mereka benar-benar mengetahui. Al-Quran mendedahkan motif hasad ini kepada kaum Muslimin supaya mereka tahu dan menyedari bahawa hasad dengki itulah punca yang wujud di belakang setiap usaha kaum Yahudi yang mahu menggugat akidah dalam jiwa mereka dan mengembalikan mereka selepas itu kepada kekufuran seperti mereka.

Sabda Baginda Nabi SAW, maksudnya : "Janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, dan janganlah kamu saling berdengkian (hasad), janganlah kamu saling membelakang (tidak berteguran), jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara." Riwayat Bukhari dan Muslim

Salah satu larangan keras Baginda Rasul SAW dalam hadis di atas ialah agar kita jangan saling berdengkian (hasad). Hasad adalah dosa yang membawa keingkaran besar pertama kepada Allah iaitu sifat buruk inilah yang mendorong Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam. Sifat tercela ini jugalah yang mendorong terjadinya pembunuhan pertama di atas muka bumi antara Qabil dan abil, dan sifat dengki juga menyebabkan Nabi Yusuf Alaihissalam hampir-hampir dibunuh oleh saudara-saudaranya.

Antara Hasad, Ghibtah dan Munaafasah

Hasad, ghibtah dan munaafasah adalah tiga istilah yang hampir bersamaan maknanya. Tetapi sebenarnya masing-masing mempunyai makna yang tersendiri.

Hasad (Dengki) : Engkau suka jika hilang (luput) nikmat daripada saudaramu seagama tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak (agama). Hukumnya adalah haram. Ia bukan sekadar mendatangkan maksiat hati dan amalan dosa, bahkan ia adalah kejahatan sehingga Allah mengajarkan kepada manusia agar memohon perlindungan kepada-Nya daripada sifat tersebut:

"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki." (Surah al-Falaq: ayat 5)

Ghibtah (Iri Hati): Engkau menginginkan sesuatu nikmat seperti nikmat yang diperoleh oleh saudaramu, tetapi engkau sendiri tidak pula menginginkan agar nikmat tersebut hilang daripada saudaramu itu. Sifat ini tidak mendatangkan dosa selagi tidak melampau ke peringkat hasad.

Munaafasah (Kompetisi): Engkau berusaha keras untuk mencapai sesuatu sebagaimana yang telah dicapai oleh rakanmu, atau engkau bekerja keras kerana ingin mengatasi pencapaian saudaramu. Oleh sebab itu, kadang-kadang kompetisi ini dianjurkan oleh Allah Taala seperti yang terkandung di dalam al- Quran:

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Ali Imran: ayat 133)

http://tarbawi.my

Morsi tetap pertahankan dekri

13 Muharram 1433H. [MOD] -





KAHERAH: Presiden Mesir, Mohamed Morsi memberitahu hakim kanan Mesir bahawa dia tidak mencerobohi kuasa mereka apabila dia mengEluarkan dekri baru-baru ini.

Seorang pembantu Morsi berkata undang-undang itu terhad kepada "isu-isu berkaitan kedaulatan,'' tetapi kenyataan tersebut tidak memuaskan hati pengkritik beliau.

Pendirian tanpa kompromi tersebut diberitahu semasa mesyuarat antara Morsi dan ahli-ahli Majlis Kehakiman Agung Isnin lalu dalam usaha untuk menyelesaikan krisis selama empat hari yang telah meletakkan Mesir dalam pusingan kekacauan yang baru dengan pertempuran antara kedua-dua pihak yang mengakibatkan seorang penunjuk perasaan mati dan ratusan tercedera.

Badan kehakiman, sasaran utama dekri Morsi, juga telah mula memberi respons, memanggil dekri tersebut sebagai rebutan kuasa dan serangan ke atas "kebebasan badan tersebut".

Hakim dan pendakwa mogok dan tidak hadir ke mahkamah di Kaherah dan bandar-bandar lain pada Ahad dan Isnin lalu.

Sementara itu, Ikhwanul Muslimin telah membatalkan demonstrasi besar-besaran di Kaherah, yang dirancang diadakan Selasa ini, "sehingga notis lanjut" bagi "mengelakkan pertempuran".

Melindungi Revolusi
Pentadbiran Morsi mempertahankan dekri tersebut sebagai usaha untuk mempercepatkan pembaharuan yang akan melengkapkan transformasi demokrasi Mesir.

Tetapi seruan beliau untuk berdialog telah ditolak oleh ahli-ahli Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF), pakatan pembangkang baru liberal, berhaluan kiri dan lain-lain ahli politik dan parti, yang sukar untuk bersatu sehinggalah pengumuman dekri Morsi.

Barisan tersebuk termasuk Sabahy, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Mohamed ElBaradei dan bekas ketua Liga Arab, Amr Moussa.

Pihak tentera tidak melibatkan diri dengan krisis selepas mengetuai Mesir melalui peralihan selama 16 bulan untuk pilihan raya presiden pada bulan Jun.

Penganalisis berkata Morsi telah meneutralkan tentera apabila beliau memecat jeneral tertinggi  tentera Ogos lalu, dan melantik satu generasi baru yang kini berhutang budi kepada presiden.

Morsi menyatakan keputusan beliau Khamis lalu sebagai keperluan untuk melindungi revolusi yang menggulingkan Mubarak hampir dua tahun yang lalu dan untuk mengukuhkan peralihan negara kepada pemerintahan demokrasi.

Morsi juga mengarahkan perbicaraan semula Mubarak dan pembantu kanan beliau atas tuduhan membunuh penunjuk perasaan semasa pemberontakan.

"Dia terpaksa bertindak untuk menyelamatkan negara ini dan melindungi revolusi," ujar Pakinam al-Sharqawi, pembantu Morsi.

"Ia adalah satu peringkat utama dalam proses melengkapkan revolusi 25 Januari," katanya merujuk kepada hari bermulanya pemberontakan terhadap Mubarak pada tahun lepas.

Beliau juga mencipta badan kehakiman 'perlindungan revolusi' yang baru untuk menjalankan pendakwaan secepat mungkin.

harakah/-

Pemaju saman syarikat kerajaan Melaka RM53 jut

13 Muharram 1433H. [MOD] -


RAUB: Sebuah syarikat pemaju hartanah yang dipercayai pro Umno, memfailkan tuntutan saman terhadap Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka sebanyak RM53.5 juta kerana perlanggaran kontrak.
 
Peguam syarikat berkenaan, AP Land, Mohd Harris Abdullah (gambar) berkata tuntutan saman difailkan syarikat berkenaan kepada anak syarikat kerajaan negeri Melaka itu berkaitan keingkaran perjanjian dan penamatan tawaran.

Menurutnya, AP Land selaku plaintif telah mencapai persetujuan dengan defendan untuk membangunkan Fasa 5, Bandar Baru Jasin Bistari di Lot PT 8535 Mukim Ayer Panas, Daerah Jasin, Melaka seluas 90.2 ekar (36.5 hektar) secara usahasama.

“Setelah semua perjanjian dipersetujui bersama, satu surat dari defendan bertarikh 21 Februari tahun ini, didapati berbeza dengan persetujuan bersama iaitu di H.S(D) 10230 (FASA 5), PT 8795 Bandar Jasin Bestari, Mukim Ayer Panas, Daerah Jasin, Melaka dengan keluasan 33.94 hektar.

“Ternyata hak milik yang dikeluarkan untuk maksud usahasama tidak menepati keluasan asal. Terdapat pengurangan keluasan sebanyak 2.56 hektar daripada keluasan asal yang dicadangkan oleh defendan melalui surat tersebut,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Tambahnya, akibat daripada itu terbit isu-isu berbangkit yang sepatutnya diselesaikan seperti keperluan untuk menetapkan nilai sebenar projek memandangkan terdapat pengurangan keluasan tanah, balasan yang perlu dibayar kepada defendan kerana pengurangan keluasan tanah dan mengatasi kecacatan dalam rekabentuk kolam takungan.

Akhirnya, melalui surat bertarikh 26 April tahun ini, defendan telah dengan secara salah, tidak sah dan melanggar perjanjian yang termeterai, membatalkan tawaran dalam surat tersebut dan menafikan hak-hak plaintif untuk memajukan tanah tersebut sebagaimana yang telah dipersetujui.

Harris berkata, sebaik sahaja bayaran komitmen dibuat oleh plaintif, kerja-kerja awalan telah dilaksanakan seperti menyediakan pelan-pelan cadangan, merekabentuk unit-unit rumah yang akan dibangunkan, membuat kajian tapak dan kerja-kerja berkaitan melalui perunding yang dilantik.

Tambahnya, plaintif juga telah melantik kontraktor utama bagi membina dan membangun rumah-rumah yang dicadangkan di atas tanah tersebut serta melalui Koperasi Perumahan Angkatan Tentera (KPAT) lebih kurang 500 unit.

“Akibat daripada perlanggaran kontrak oleh defendan, plaintif telah mengalami kerugian-kerugian, kos, penat lelah dan kehilangan peluang mendapatkan keuntungan daripada pembangunan tanah tersebut sebagaimana yang telah dirancang.

“Defendan, semasa membuat penamatan tawaran tersebut tahu atau mempunyai pengetahuan atau sepatutnya tahu bahawa akibat semulajadi kepada penamatan tawaran tersebut, plaintif akan mengalami kerugian-kerugian, kos, penat lelah dan kehilangan  peluang mendapatkan keuntungan,” katanya daripada The Law Office of Mohd Harris di sini.

Pada 1 Julai, AP Land melalui Tetuan Nurliny & Associates telah menuntut perbelanjaan kerja-kerja perundingan RM130,000, rampasan Wang Komitmen RM100,000.00, perbelanjaan dan Kos Perunding RM3,500,000, kos kakitangan dan pengurusan RM830,000 dan kerugian peluang untung pembangunan projek RM49,000,000

Jumlah keseluruhan ialah RM53,560,000. Namun keengganan defendan membuat bayaran kepada plaintif sebagaimana yang dituntut adalah satu penganiayaan yang teruk terhadap plaintif.

Oleh yang demikian, plaintif yang dipercayai ada hubungan dengan Umno menuntut daripada defendan ganti rugi jumlah berkenaan melalui tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Melaka.

harakah/-


 



PAS cadang lantik wanita sebagai speaker

13 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Parlimen disaran melantik seorang speaker daripada kaum wanita kerana mereka lebih memahami khususnya menyentuh isu sensitiviti kaum wanita ketika dibangkitkan di dalam dewan.

Perkara itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff sewaktu berbahas usul pindaan untuk Peraturan Tetap 36(4) mengatakan: “Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap)".

"Selepas ini, speaker pula di kalangan wanita, kerana mereka lebih memahami dalam isu-isu wanita," katanya.

Beliau berkata, setiap ahli parlimen harus menggunakan bahasa yang sopan dan menghormati antara satu sama lain termasuklah tidak mementingkan soal gender.

Katanya, ahli parlimen perlu menunjukkan tatacara yang baik sewaktu berbahas di dewan dan tutur kata yang tidak menyinggung lelaki dan perempuan.

Sebelum itu, ketika mencelah Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata kebanyakan ahli parlimen BN yang sering mengeluarkan kata-kata berunsurkan seksis ketika berbahas.

"Banyak yang keluarkan seksis, adalah di sebelah sana," katanya yang tuju kepada ahli parlimen BN.

Malah beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberikan kursus khas kepada semua ahli parlimen terutama berkaitan sensitiviti kaum wanita.

Katanya, kursus itu penting kerana ia dapat membantu ahli parlimen mengetahui garus panduan dalam isu-isu sensitif.

“Saya cadangkan Kementerian supaya memberikan kursus kepada MP mengenai soal gender ini. Ia supaya mereka ini dapat mengikut garis panduan daripada bercakap perkara-perkara sensitif,” kata Fuziah.

Ekoran itu, Fuziah dikecam kerana beliau menegaskan kursus itu wajib diberikan kepada ahli parlimen BN.

“Kursus ini juga harus diberikan kepada MP BN khususnya. Ini memandangkan mereka yang banyak bercakap tentang soal-soal sensitif ini,” ujar Fuziah.

Menyambung perbahasan, Zailah turut bersetuju dengan Fuziah dan menyifatkan cadangan itu sebagai usaha untuk memartabatkan dewan yang mulia ini tanpa mengira perbezaan gender.

harakah/-

ADUN Bn mengamuk di Dewan kerana anak?

13 Muharram 1433H. [MOD] -


Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah untuk Sidang Bajet 2013 baru sahaja berakhir. Ia merupakan Sidang Bajet kelima bagi Pakatan Rakyat Kedah dan pastinya yang terakhir sebelum PRU 13.

Sepanjang lima tahun bersidang, maka persidangan kali ini dianggap yang paling hangat seakalipun kehangatan Sidang DUN Kedah tidak pernah mengatasi Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan atau Negeri Sembilan.

Kehangatan kali ini ialah kerana pihak pembangkang, BN, berjaya menghimpun isu-isu yang paling banyak untuk menyerang kerajaan negeri pimpinan Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Isu-isu penting yang menjadi peluru BN tersebut ialah kerugian RM6.4 juta pelaburan projek balak di Papua New Guinea oleh Kedah Corporation Berhad anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kedah, kemelut yang melanda Kolej Universiti Insaniah, konfrontasi yang dibuat oleh ahli-ahli majlis kerajaan tempatan 

terhadap Setiausaha kerajaan Negeri, penebangan balak yang kononnya tidak terkawal di hutan simpanan kekal dan pertambahan pusat hiburan. Barangkali kerana tiada pre council antara ADUN BN, maka hampir setiap orang dari mereka asyik mengulang isu yang sama sehingga Sidang DUN menjadi sangat membosankan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato' Ir Amiruddin Hamzah yang mungkin menyedari bahawa semua persoalan tersebut akan dibangkitkan melakukan pre emtif yang berkesan. ADUN PAS Pantai Merdeka, Haji Abdullah Jusoh bertanyakan soalan mengenai projek-projek BN yang menghadapi kegagalan lalu beban kegagalan mereka terpaksa ditanggung oleh kerajaan terkini. Maka Dato' Amiruddin pun melibas BN dengan pendedahan terperinci setiap projek sakit tinggalan BN sehingga tiada seorang pun ADUN BN berani mencelah.

Antaranya ialah projek Taman Industri Tandop, Jerai International Park, ternak udang Kerpan, penyelewengan pembinaan kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani, kegagalan projek ternak lembu di Pendang dan salah laku BN di Seri Temin Development Corporatioan. 'Jaringan awal' yang dibuat oleh Dato' Amiruddin menyebabkan pihak pembangkang hilang arah dan sengat. Serangan balas jadi tumpul.

Jika ada lagi kejutan dalam Sidang bajet 2013 ini, maka pastinya ia adalah keengganan ADUN Kota Siputeh Dato' Abu Hasan Sarif mematuhi arahan Speaker sehingga menyebabkan beliau diusir keluar dewan. 

Sepanjang sejaran lima tahun PR berkuasa inilah kali pertama ADUN diarah keluar Dewan. Semua ADUN BN yang lain turut ikut keluar sebagai tanda sokongan terhadap rakan mereka yang diusir.

Dato’ Abu Hasan diarahkan keluar Dewan apabila beliau membantah keputusan Speaker DUN untuk tidak mengganggu pengulungan oleh Exco Kerajaan Negeri, Lim Soo Nee apabila Exco berkenaan enggan memberi laluan terhadap sebarang soalan ketika beliau menggulung perbahasan.

Abu Hasan sebelum ini telah mempersoalkan tindakan Yang Di Pertua Majlis Daerah Kubang Pasu (YDP MDKP) yang menurunkan pangkat dua orang pegawai gred N41 kepada N17, di mana salah seorang darinya adalah anak beliau sendiri. Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tindakan bermotifkan politik. Yang DiPertua MDKP yang terbabit dengan penurunan pangkat tersebut ialah Dato’ Che Barni.

Exco Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia, YB Lim Soo Nee menjelaskan bahawa setelah disiasat didapati bahawa tiada jawatan yang sah untuk gred N41 tersebut dan yang ada hanyalah untuk gred N17. Jadi tindakan YDP Majis menurunkan pangkat anak Dato' Abu Hasan dianggap tidak menyalahi peraturan.

“Oleh itu, YDP MDKP meminta agar mereka turun memegang jawatan N17 sekiranya masih berminat untuk berkhidmat di MDKP.

“Selepas itu, salah seorang daripada mereka terus bekerja di sana dengan gred N17 sehingga mendapat kerja di KUIN dan seorang lagi berhenti dengan alasan ingin bekerja dengan bapanya,” terang Lim Soo Nee.

YDP MDKP berpendapat bahawa pelantikan dua pegawai ke jawatan yang tidak wujud berdasarkan peraturan dan ianya telah mengambil hak dan peluang orang lain.

Gaji dua pegawai gred N41 itu dapat menampung gaji tujuh pegawai gred N17. Exco kerajaan negeri itu berkata, tindakan YDP MDKP pada waktu itu adalah wajar berdasarkan peraturan dan bukanlah disebabkan pegawai-pegawai tersebut anak kepada sesiapa.

Abu Hasan dilihat sebagai ADUN yang tidak tahu mematuhi peraturan Dewan pernah hilang kelayakan ADUN apabila ponteng Sidang DUN dua kali berturut-turut. Kini membuat onar pula di Dewan sehingga memaksa speaker mengusirnya. Lebih memalukan kerana seorang ADUN 'mengamuk' di Dewan hanya kerana pembelaan terhadap anaknya sendiri. Beliau wakil rakyatkah atau wakil anak?

detikdaily/-

Meraung temui isteri rentung

13 Muharram 1433H. [MOD] -


SIASAT...unit penyiasatan bomba menjalankan siasatan di lokasi kejadian, semalam.

SIASAT...unit penyiasatan bomba menjalankan siasatan di lokasi kejadian, semalam. 
 
TAWAU: Seorang suami hanya mampu meraung kesedihan apabila isterinya yang sakit dan tidak mampu bergerak, rentung dalam kebakaran rumah mereka di Jalan Hamzah, Batu 8, Ranggu, dekat sini, semalam.

Lebih menyedihkan, ketika kebakaran berlaku jam 9 pagi, suami terbabit hanya dikenali sebagai Robert, 30, keluar mengambil wang gaji yang ingin digunakan bagi menyewa kereta untuk membawa isterinya, Rensiana Bara, 25, ke hospital.

Sekembali ke rumah, Robert terkejut dan hanya mampu meratap kematian Rensiana yang mayatnya ditemui rentung dalam keadaan telentang di bilik tidur.

Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri, tetapi gagal kerana kedua-dua kakinya yang sakit dan membengkak menyebabkan dia tidak mampu bergerak.

Seorang ahli keluarga mangsa dikenali sebagai Romanus, 50, berkata mangsa sakit sejak beberapa hari lalu dan tidak mampu bergerak.

metro-